Bagaimana cara angkat tangan ketika takbir dalam solat?
Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.
Semoga bermanfaat
SOALANSaya ada soalan berkenaan angkat tangan waktu ucap takbiratulihram.
Tinggi manakah tangan ketika mengangkat takbir solat?
Bagaimana kedudukan tapak tangan masa angkat takbir itu?
Angkat tangan dulu baru takbir atau angkat tangan dengan takbir itu sama-sama?
JAWAPAN
Hukum mengangkat kedua tangan ketika takbiratulihram adalah sunat.
Ketinggian kedua tangan ketika mengangkat itu ialah hujung jari kedua tangan berbetulan dengan paras telinganya yang atas.
Ibu jari kedua tangan berbetulan dengan paras dua lubang telinganya.
Bahagian bawah tapak tangannya berbetulan dengan paras bahunya.
Dan sunat ketika angkat kedua tangan itu kedudukan tapak tangannya mengadap arah kiblat.
Dan masa mengangkatnya ialah ketika mengucap permulaan takbir maka mulakan mengangkat kedua tangan dari bawah manakala masa meletak kedua tangannya itu adalah harus bersamaan dengan selesai mengucap takbir.
Maka jika tangan sudah selesai sampai di dada sedangkan takbir belum selesai maka hukumnya adalah harus.
Begitu juga sebaliknya.
Berkata Imam Nawawi :
Mengangkat kedua tangan ketika takbiratul ihram itu adalah sunat.
Dan pendapat mazhab yaitu mengangkat akan kedua tangan itu dengan sekira-kira segala hujung jarinya setentang dengan atas telinganya dan kedua ibu jarinya setentang dengan dua lubang telinganya dan bahagian bawah tapak tangannya setentang dengan bahunya.
Inilah makna ucapan Imam As-Syafie dan ashab mengangkat dua tangan setentang dua bahunya.
Dan disunatkan bahawa adalah tapak tangannya mengadap kiblat ketika angkat itu.
Dan pendapat yang paling sahih dimulakan angkat tangan itu bersamaan dengan mula bertakbir dan tidak disunatkan bersamaan letak tangan dengan selesai takbir.
Maka jika selesai dari takbir sebelum selesai angkat maka sempurnakanlah angkat atau sebaliknya maka sempurnakan takbir yang belum selesai.”
(Kitab Raudah At-Talibin)
KESIMPULAN
Mengangkat dua tangan ketika takbiratul ihram adalah sunat dan mengucap takbir itu adalah rukun sembahyang.
Sunat mengangkat dua tangan sehingga hujung jarinya berbetulan dengan paras atas telinga dan bahagian tapak tangannya berbetulan paras bahu.
Sunat kedua tapak tanganya mengadap kiblat ketika angkat.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus
Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini
Tinggalkan Komen Anda..