Solat jamak qasar adalah suatu kemudahan dalam Islam yang membolehkan orang yang sedang dalam perjalanan (musafir) menghimpunkan dua waktu solat fardu ke dalam satu waktu (jamak) serta memendekkan solat empat rakaat menjadi dua rakaat (qasar).
Panduan ini akan membimbing anda melakukan solat jamak qasar secara mudah dan lengkap.
Ia merangkumi niat solat jamak qasar, cara mengerjakannya, syarat-syarat dan hukum yang berkaitannya.
Apa yang penting:
Setiap bacaan dipermudahkan dalam transliterasi rumi (jika anda menghadapi kesukaran membaca tulisan arab). Ruangan soal jawab (FAQ) juga disediakan untuk memudahkan anda membuat rujukan berdasarkan situasi.
Semoga memberi manfaat.
- Pengenalan Rukhsah Solat
- Maksud Jamak Qasar
- Cara Mengerjakan Solat Jamak Qasar
- Niat Solat Jamak
- Cara Mengira dan Memahami Status Musafir
- Syarat-Syarat Solat Jamak Taqdim & Takhir
- Syarat-Syarat Melakukan Solat Secara Qasar
- Perbezaan Jamak Dan Qasar
- Solat Jamak Yang Dibenarkan Selain Dari Musafir
- Soal Jawab Berkaitan Solat Jamak Qasar (FAQ)
- Penutup: Islam Itu Agama Yang Memudahkan
Pengenalan Rukhsah Solat
Allah Yang Maha Pemurah tidak membebankan hamba-hambaNya dengan kewajipan yang tidak dapat dipikul.
Apabila kita bermusafir lebih daripada 2 marhalah, kita diberi kelonggaran untuk menjamak (menghimpun) dan mengqasar (memendekkan) solat. Perkara ini dipanggil rukhsah (kemudahan).
Kemudahan disini bermaksud kelonggaran kepada orang yang bermusafir lebih daripada dua marhalah (92km) yang berkemungkinan mengalami masalah untuk singgah mendirikan solat berkali-kali.
Ertinya, kita boleh menjamakkan dua solat serta mengqasarkannya sekali gus.
Maksud Jamak Qasar
Solat jamak qasar adalah gabungan dua rukhsah (kemudahan) yang diberikan kepada umat Islam ketika bermusafir.
- ‘Jamak’ membolehkan penghimpunan dua waktu solat fardu (contohnya, Zohor dengan Asar atau Maghrib dengan Isyak) dan dilaksanakan dalam satu waktu solat.
- ‘Qasar’ pula adalah pengurangan bilangan rakaat dalam solat fardu dari empat rakaat kepada dua rakaat, khusus untuk solat Zohor, Asar, dan Isyak.
Apabila digabungkan, seorang musafir boleh menghimpunkan dua waktu solat dan pada masa yang sama memendekkan bilangan rakaatnya.
Maksud Jamak
Jamak bermaksud menghimpunkan. Dari segi bahasa, jamak adalah perkataan Arab yang bermaksud menghimpunkan atau mengumpulkan sesuatu yang berselerak. Dalam hal solat, ia bermaksud menghimpunkan dua waktu solat fardu dengan melakukannya dalam satu waktu.
Maksud Qasar
Qasar bermaksud memendekkan solat. Contohnya daripada empat rakaat dipendekkan menjadi dua rakaat. Solat yang boleh dipendekkan menjadi dua rakaat ialah Solat Isyak, Zohor dan Asar. Solat Qasar juga boleh digabungkan dengan Jamak, iaitu dengan memendekkan jumlah rakaat serta menghimpun solat-solat tersebut.
Maksud Solat Tamam
Solat tamam merujuk kepada melaksanakan solat dengan lengkap tanpa mengambil rukhsah (kemudahan) qasar. Ini bermakna melaksanakan solat dengan bilangan rakaat yang penuh seperti yang telah ditetapkan, contohnya empat rakaat untuk solat Zohor, Asar, dan Isyak apabila seseorang itu tidak dalam keadaan musafir.
Solat tamam adalah bertentangan dengan solat qasar, di mana dalam solat qasar, bilangan rakaat akan dipendekkan menjadi dua rakaat bagi solat-solat tertentu ketika bermusafir.
Cara Mengerjakan Solat Jamak Qasar
Ringkasan Cara Mengerjakan Solat Jamak Qasar
- Solat Jamak Qasar dimulakan dengan niat dalam hati sebelum takbiratul ihram: “Sahaja aku solat fardu (Zohor / Asar atau Maghrib / Isyak) qasar dua rakaat jamak (taqdim / takhir) kerana Allah Taala”.
- Bacaan dalam Solat. Bacalah surah al-Fatihah diikuti dengan surah lazim yang lain pada setiap rakaat.
- Rukuk dan Sujud. Lakukan rukuk dan sujud dua kali dengan tuma’ninah.
- Rakaat Kedua. Ulangi bacaan dan gerakan seperti rakaat pertama.
- Tahiyyat Akhir dan Salam. Duduk untuk tahiyyat akhir setelah rakaat kedua dan akhiri solat dengan salam.
- Jika melakukan jamak taqdim, solat kedua harus segera dilakukan dengan niat jamak setelah solat pertama. Untuk jamak takhir, niatkan untuk menangguh solat waktu pertama ke dalam waktu solat kedua.
Niat Solat Jamak
Niat solat jamak adalah berniat untuk menggabungkan dua waktu solat fardu dalam satu waktu. Niat ini biasanya dilakukan di dalam hati semasa takbiratul ihram dari solat yang hendak dijamak.
Sebagai contoh, ketika seorang musafir ingin menjamak Solat Zohor dan Asar, dia akan berniat untuk Solat Zohor kemudian terus dengan Solat Asar dalam waktu Zohor atau sebaliknya, bergantung kepada sama ada dia jamak taqdim atau jamak takhir.
Di bawah ini disediakan panduan niat solat Jamak & Qasar berserta cara langkah demi langkah untuk mengerjakan solat jamak & qasar (taqdim dan takhir) untuk setiap jenis solat fardu:
Niat Solat Jamak Zohor dan Asar (JAMAK TAQDIM)
Cara solat Jamak Taqdim Zohor dan Asar adalah seperti berikut:
Setelah masuk waktu zohor dan ketika itu kita sudah berada dalam perjalanan bermusafir, maka berwuduk dan bersedialah untuk solat.
Lafaz niat solat jamak taqdim bagi Solat Zohor adalah seperti berikut:
Niat Solat Jamak Taqdim Zohor
أُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْرِ قَصْرًا رَكْعَتَيْنِ جَمْعَ تَقْدِيمٍ لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli Fardoz Zuhri Qosron Rak’ataini Jam’a Takdiimin Lillahi Taala
Maksudnya:
Sahaja aku solat fardu Zohor, qasar dua rakaat jamak taqdim kerana Allah Taala.
Sewaktu takbiratul ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas.
Kerjakanlah solat fardu zohor tersebut sebanyak dua rakaat dengan pembacaan surah al-Fatihah dan diikuti surah-surah lain.
Selesai sahaja salam, segera bangun berdiri untuk Solat Fardu Asar tanpa membaca wirid, doa atau solat sunat. Jangan pisahkan terlalu lama antara kedua solat fardu tersebut (muwalat).
Lafaz niat untuk solat jamak fardu Asar:
Niat Solat Jamak Taqdim Asar
أُصَلِّي فَرْضَ العَصْرِ قَصْرًا رَكْعَتَيْنِ جَمْعَ تَقْدِيمٍ لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli Fardol ‘Asri Qosron Rak’ataini Jam’a Takdiimin Lillahi Taala
Maksudnya:
Sahaja aku solat fardu Asar, qasar dua rakaat jamak taqdim kerana Allah Taala.
Sewaktu Takbiratul Ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas.
Kerjakan solat fardu Asar tersebut sebanyak dua rakaat dengan pembacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti surah-surah lain.
Dengan demikian, kita tidak perlu lagi mengerjakan Solat Fardu Asar di waktu Asar nanti.
Niat Solat Jamak Asar Dan Zohor (JAMAK TAKHIR)
Cara solat Jamak Takhir Zohor dan Asar adalah seperti berikut:
Setelah masuk waktu zohor dan ketika itu kita sudah berada dalam perjalanan bermusafir, maka berniatlah kita untuk mengerjakan solat fardu Zohor di waktu Asar nanti.
Niatnya lebih kurang begini, “Sahaja aku akan mengerjakan solat fardu Zohor jamak takhir di waktu Asar nanti”.
Niat ini adalah syarat untuk jamak takhir. Jika tidak diniatkan dalam waktu Zohor, jamak tersebut tidak sah.
Maksudnya, jika terlupa niat, kita tidak boleh buat jamak takhir tetapi mesti qada solat Zohor dahulu.
Apabila masuk waktu Asar, bersedialah untuk solat. Mulakan dengan solat fardu Asar dahulu. Dalam keadaan berdiri dan mengadap kiblat, ucapkanlah lafaz niatnya:
Niat Solat Jamak Takhir Asar
أُصَلِّي فَرْضَ العَصْرِ قَصْرًا رَكْعَتَيْنِ جَمْعَ تَأْخِيرٍ لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli Fardol ‘Asri Qosron Rak’ataini Jam’a Takhirin Lillahi Taala
Maksudnya:
Sahaja aku solat fardu Asar, qasar dua rakaat jamak takhir kerana Allah Taala.
Sewaktu takbiratul ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas.
Kerjakanlah solat fardu zohor tersebut sebanyak dua rakaat dengan pembacaan surah al-Fatihah dan diikuti surah-surah lain.
Selesai sahaja salam, segera bangun berdiri untuk Solat Fardu Zohor tanpa membaca wirid, doa atau solat sunat. Jangan pisahkan terlalu lama antara kedua solat fardu tersebut (muwalat).
Lafaz niat untuk solat jamak fardu Zohor:
Niat Solat Jamak Takhir Zohor
أُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْرِ قَصْرًا رَكْعَتَيْنِ جَمْعَ تَأْخِيرٍ لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli Fardoz Zuhri Qosron Rak’ataini Jam’a Takhirin Lillahi Taala
Maksudnya:
Sahaja aku solat fardu Zohor, qasar dua rakaat jamak takhir kerana Allah Taala.
Sewaktu Takbiratul Ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas.
Kerjakanlah solat fardu Zohor tersebut sebanyak dua rakaat dengan pembacaan surah Al-Fatihah dan diikuti surah-surah lain.
Niat Solat Jamak Maghrib dan Isyak (JAMAK TAQDIM)
Cara solat Jamak Taqdim Maghrib dan Isyak adalah seperti berikut:
Setelah masuk waktu maghrib dan ketika itu kita sudah berada dalam perjalanan bermusafir, maka berwuduk dan bersedialah untuk solat.
Berdiri lurus dan mengadap kiblat. Lafaz niat solat jamak taqdim bagi Solat Maghrib adalah seperti berikut:
Niat Solat Jamak Taqdim Maghrib
أُصَلِّي فَرْضَ المَغْرِبِ ثَلَاثَ رَكَعَاتٍ جَمْعَ تَقْدِيمٍ لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli Fardol Maghribi TsaLaTsa Raka’atin Jam’a Takdiimin Lillahi Taala
Maksudnya:
Sahaja aku solat fardu Maghrib, tiga rakaat jamak taqdim kerana Allah Taala.
Tiada Qasar (memendekkan) untuk Solat Fardu Maghrib. Hanya Jamak sahaja.
Sewaktu takbiratul ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas.
Kerjakanlah solat fardu zohor tersebut sebanyak dua rakaat dengan pembacaan surah al-Fatihah dan diikuti surah-surah lain.
Selesai sahaja salam, segera bangun berdiri untuk Solat Fardu Isyak tanpa membaca wirid, doa atau solat sunat. Jangan pisahkan terlalu lama antara kedua solat fardu tersebut (muwalat).
Lafaz niat untuk solat jamak Fardu Isyak:
Niat Solat Jamak Taqdim Isyak
أُصَلِّي فَرْضَ العِشَاءِ قَصْرًا رَكْعَتَيْنِ جَمْعَ تَقْدِيمٍ لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli Fardol Isya’i Qosron Rak’ataini Jam’a Takdiimin Lillahi Taala
Maksudnya:
Sahaja aku solat fardu Isyak, qasar dua rakaat jamak taqdim kerana Allah Taala.
Sewaktu Takbiratul Ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas.
Kerjakanlah solat fardu Isyak tersebut sebanyak dua rakaat dengan pembacaan surah al-Fatihah dan diikuti surah-surah lain.
Dengan demikian, kita tidak perlu mengerjakan solat fardu Isyak di waktu Isyak nanti.
Niat Solat Jamak Isyak Dan Maghrib (JAMAK TAKHIR)
Cara solat Jamak Takhir Maghrib dan Isyak adalah seperti berikut:
Setelah masuk waktu Maghrib dan ketika itu kita sudah berada dalam perjalanan bermusafir, maka berniatlah kita untuk mengerjakan solat fardu Maghrib di waktu Isyak nanti.
Niatnya lebih kurang begini, “Sahaja aku akan mengerjakan solat fardu Maghrib jamak takhir di waktu Isyak nanti”.
Niat ini adalah syarat untuk jamak takhir. Jika tidak diniatkan dalam waktu Maghrib, jamak tersebut tidak sah.
Maksudnya, jika terlupa niat, kita tidak boleh buat jamak takhir tetapi mesti qada solat Maghrib dahulu.
Apabila masuk waktu Isyak, bersedialah untuk solat. Mulakan dengan solat fardu Isyak dahulu.Dalam keadaan berdiri dan mengadap kiblat, ucapkanlah lafaz niatnya:
Niat Solat Jamak Takhir Isyak
أُصَلِّي فَرْضَ العِشَاءِ قَصْرًا رَكْعَتَيْنِ جَمْعَ تَأْخِيرٍ لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli Fardol Isya’i Qosron Rak’ataini Jama’a Takhirin Lillahi Taala
Maksudnya:
Sahaja aku solat fardu Isyak, qasar dua rakaat jamak takhir kerana Allah Taala.
Sewaktu takbiratul ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas.
Kerjakanlah solat fardu zohor tersebut sebanyak dua rakaat dengan pembacaan surah al-Fatihah dan diikuti surah-surah lain.
Selesai sahaja salam, segera bangun berdiri untuk Solat Fardu Zohor tanpa membaca wirid, doa atau solat sunat. Jangan pisahkan terlalu lama antara kedua solat fardu tersebut (muwalat).
Lafaz niat untuk solat fardu Maghrib:
Niat Solat Jamak Takhir Maghrib
أُصَلِّي فَرْضَ المغْرِبِ ثَلَاثَ رَكَعَاتٍ جَمْعَ تَأْخِيرٍ لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli Fardol Maghribi Salasa Raka’atin Jam’a Takhirin Lillahi Taala
Maksudnya:
Sahaja aku solat fardu Maghrib tiga rakaat jamak takhir kerana Allah Taala
Sewaktu Takbiratul Ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas.
Kerjakanlah solat fardu Maghrib tersebut sebanyak tiga rakaat (tiada qasar untuk Maghrib) dengan pembacaan surah al-Fatihah dan diikuti surah-surah lain.
Niat Solat Jamak Hari Jumaat
Cara solat Jamak Taqdim Zohor dan Asar adalah seperti berikut:
Orang bermusafir yang memulakan perjalanan sebelum terbit fajar subuh pada hari jumaat tidak diwajibkan Solat Jumaat. Walaupun begitu, jika kita hendak melakukan Solat Jumaat dan Solat Fardu Asar secara jamak, ianya dibolehkan dan sah.
Menurut mazhab Syafi’e, harus dijamakkan dengan jamak taqdim sahaja dan tidak harus dengan jamak takhir kerana Solat Jumaat tidak harus dilewatkan dari waktunya.
Imam al-Khatib asy-Syarbini di dalam al-Iqna’ berkata: “Jumaat adalah seumpama Zohor dalam jamak taqdim. Ditegah jamak takhir kerana solat Jumaat tidak mungkin dilewatkan dari waktunya.
Untuk menjamakkan Solat Jumaat dengan Asar, pertama sekali lakukan Solat Jumaat seperti biasa. Niatnya adalah:
Niat Solat Fardu Jumaat
أُصَلِّي فَرْضَ الْجُمُعَةِ رَكْعَتَيْنِ مَأْمُومًا لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli Fardol Jum’ati Rak’ataini Makmuman Lillahi Taala
Maksudnya:
Sahaja aku solat fardu Jumaat dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala
Sewaktu takbiratul ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas.
Selesai sahaja salam, segera bangun berdiri untuk Solat Fardu Asar tanpa membaca wirid, doa atau solat sunat. Jangan pisahkan terlalu lama antara kedua solat fardu tersebut (muwalat).
Lafaz niat untuk solat jamak fardu Asar:
Niat Solat Jamak Taqdim Asar
أُصَلِّي فَرْضَ العَصْرِ قَصْرًا رَكْعَتَيْنِ جَمْعَ تَقْدِيمٍ لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli Fardol ‘Asri Qosron Rak’ataini Jam’a Takdiimin Lillahi Taala
Maksudnya:
Sahaja aku solat fardu Asar, qasar dua rakaat jamak taqdim kerana Allah Taala.
Sewaktu Takbiratul Ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas. Kerjakan solat fardu Asar tersebut sebanyak dua rakaat dengan pembacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti surah-surah lain.
Dengan demikian, kita tidak perlu lagi mengerjakan Solat Fardu Asar di waktu Asar nanti.
Cara Mengira dan Memahami Status Musafir
Status musafir kita bermula apabila kita meninggalkan kawasan tempat tinggal dan melepasi sempadan kawasan tersebut.
Permulaan musafir bermula apabila seseorang melepasi batas kawasan tempat tinggalnya, seperti sungai, parit, kawasan perumahan, atau kawasan tanpa bangunan dan tanda penduduk. Sebaik sahaja seseorang meninggalkan kawasan ini, dia dianggap sebagai musafir dan layak mendapat keringanan (rukhsah) dalam ibadah, seperti solat jamak dan qasar.
Perjalanan musafir pula dianggap tamat apabila seseorang kembali ke kawasan asal tempat dia memulakan perjalanan. Pada waktu itu, segala keringanan yang dibenarkan semasa musafir, seperti solat jamak dan qasar, tidak lagi sah. Seseorang perlu kembali menunaikan solat secara sempurna (tamam) seperti biasa.
Jarak Minimum Solat Jamak Dan Qasar
Jarak minimum untuk melaksanakan solat jamak dan qasar menurut Mazhab Syafie ialah dua marhalah, bersamaan dengan kira-kira 89-92 kilometer. Jarak ini adalah ukuran perjalanan yang dianggap mencukupi untuk memberi keringanan kepada seorang musafir.
Perjalanan tersebut mesti dilakukan dengan niat yang jelas sejak awal, tidak bertujuan maksiat, dan memenuhi syarat-syarat lain seperti tidak berniat menetap lebih daripada tiga hari penuh di lokasi.
Ukuran jarak ini diambil berdasarkan dalil daripada al-Quran dan hadis, antaranya firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 101 yang menyebut, “Dan apabila kamu bermusafir di muka bumi, maka tidaklah mengapa kamu menqasarkan solat.”
Seterusnya hadis Riwayat Muslim menyebutkan: “Rasulullah SAW mengerjakan solat Zohor dua rakaat dan solat Asar dua rakaat di Mina ketika Haji Wada’.”
Oleh itu, seseorang yang melakukan perjalanan lebih dari 89 kilometer boleh memanfaatkan keringanan ini, termasuk dalam perjalanan pergi dan pulang. Namun, sekiranya jarak perjalanan kurang dari 89 kilometer, keringanan untuk solat jamak dan qasar tidak dibenarkan.
Contoh:
- Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka (kira-kira 145 km): Boleh solat jamak dan qasar.
- Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Klang (kira-kira 40 km): Tidak boleh solat jamak dan qasar kerana jarak kurang dari 89 km.
Berapa Hari Boleh Solat Jamak Qasar?
Dalam Mazhab Syafie, solat jamak dan qasar dibolehkan selama 3 hari penuh di lokasi (tidak termasuk hari tiba dan hari pulang) jika seseorang tidak berniat menetap lebih dari 3 hari penuh. Jika berniat tinggal lebih dari 3 hari penuh, keringanan jamak dan qasar tidak dibenarkan sejak hari pertama tiba di lokasi.
Jadual ini memaparkan status pelaksanaan solat jamak dan qasar bagi seseorang yang bermusafir, berdasarkan hari dan keadaan perjalanan.
Hari | Keadaan | Status Solat Jamak & Qasar |
---|---|---|
Jumaat | Perjalanan ke lokasi | ✔️ Boleh |
Sabtu | Hari Pertama | ✔️ Boleh |
Ahad | Hari Kedua | ✔️ Boleh |
Isnin | Hari Ketiga | ✔️ Boleh |
Selasa | Perjalanan Pulang | ✔️ Boleh |
Ahmad merancang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru (jarak lebih dari 300 km) untuk menghadiri seminar. Ahmad berniat untuk menetap selama 3 hari penuh atau kurang di Johor Bahru sebelum pulang ke Kuala Lumpur. Berikut adalah situasi berdasarkan jadual:
- Ahmad mengekalkan status musafir sepanjang berada di Johor Bahru kerana beliau hanya berniat menetap selama 3 hari penuh atau kurang. Oleh itu, solat jamak dan qasar sah dilakukan semasa perjalanan ke lokasi, semasa berada di lokasi, dan semasa perjalanan pulang.
- Sepanjang berada di lokasi, Ahmad boleh melaksanakan solat secara jamak dan qasar kerana status musafir masih terpakai dalam tempoh tersebut.
Jadual ini pula memberikan panduan tentang status pelaksanaan solat jamak dan qasar bagi mereka yang telah berniat akan menetap di sesuatu lokasi lebih daripada 3 hari penuh.
Hari | Keadaan | Status Solat Jamak & Qasar |
---|---|---|
Isnin | Perjalanan ke lokasi | ✔️ Boleh |
Selasa | Hari Pertama | ❌ Tidak Boleh |
Rabu | Hari Kedua | ❌ Tidak Boleh |
Khamis | Hari Ketiga | ❌ Tidak Boleh |
Jumaat | Hari Keempat | ❌ Tidak Boleh |
Sabtu | Perjalanan Pulang | ✔️ Boleh |
Siti merancang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu (jarak lebih dari 450 km) untuk menghadiri majlis perkahwinan. Siti berniat untuk menetap selama 5 hari penuh di Kota Bharu sebelum pulang ke Kuala Lumpur. Berikut adalah situasi berdasarkan jadual:
- Siti kehilangan status musafir sebaik tiba di Kota Bharu kerana telah berniat menetap lebih daripada 3 hari penuh. Oleh itu, solat jamak dan qasar hanya sah semasa perjalanan ke lokasi dan perjalanan pulang.
- Sepanjang menetap di lokasi, beliau wajib melaksanakan solat secara penuh dan mengikut waktu asal.
Nota Berkaitan Status Musafir
- Apabila seseorang itu bermusafir dan berminat berhenti pada satu tempat selama 4 hari atau lebih maka putuslah pemusafirannya, tapi sekiranya dia hendak berhenti di situ selama tiga hari maka bolehlah melakukan jamak dan qasar. Tiga hari itu tidak termasuk hari sampai dan hari keluar.
- Apabila seseorang itu berhenti di suatu tempat dengan niat akan berada disitu selama tiga hari, tetapi kerana urusan tidak selesai dari sehari ke sehari, maka ia diharuskan jamak dan qasar sehingga 18 hari.
- Apabila seseorang itu bermusafir kerana sesuatu maksiat, maka ia tidak diharuskan sembahyang jamak dan qasar.
- Bagi mereka yang hendak mengerjakan jamak takhir, disunatkan untuk berniat lebih awal. Jangan sampai waktu akhir baru berniat.
- Perjalanan seseorang musafir itu hendaklah tahu ke mana arah tujuan. Jika dia tidak tahu ke mana diarahkan perjalanannya itu, maka tidak boleh melakukan jamak atau qasar.
Syarat-Syarat Solat Jamak Taqdim & Takhir
Solat jamak adalah keringanan (rukhsah) yang diberikan kepada musafir untuk menggabungkan dua solat dalam satu waktu, sama ada melalui Jamak Taqdim (mendahulukan solat dalam waktu pertama) atau Jamak Takhir (melewatkan solat ke waktu kedua). Setiap jenis jamak ini mempunyai syarat tertentu yang perlu dipatuhi.
Syarat Solat Jamak Taqdim
Solat jamak taqdim dilakukan dengan mendahulukan solat pertama dalam waktunya. Contohnya, Zuhur dilaksanakan dalam waktu Zuhur sebelum Asar, atau Maghrib dilaksanakan dalam waktu Maghrib sebelum Isyak.
Berikut adalah syarat-syaratnya:
1. Tertib dalam Melakukan Solat
Solat pertama mesti dilakukan terlebih dahulu sebelum solat kedua. Contohnya, solat Zuhur mesti dilakukan sebelum solat Asar, dan solat Maghrib mesti dilakukan sebelum solat Isyak. Jika tertib ini tidak dipatuhi, jamak taqdim tidak sah.
2. Niat Jamak pada Solat Pertama
Niat untuk menggabungkan dua solat (jamak) mesti dibuat pada solat pertama. Niat ini boleh dilakukan ketika permulaan takbiratul ihram. Jika terlupa, niat masih sah jika dilakukan semasa solat pertama dan sebelum memberi salam.
3. Berturut-turut antara Dua Solat (Muwalat)
- Solat pertama dan kedua mesti dilakukan secara berterusan tanpa selang masa yang lama.
- Jika ada selang masa panjang yang cukup untuk melakukan dua rakaat solat, maka jamak taqdim menjadi batal.
- Namun, jika selang masa itu disebabkan oleh perkara yang tidak dapat dielakkan seperti iqamat atau mengambil wuduk, jamak taqdim tidak batal.
4. Status Musafir Berterusan
Seseorang mesti masih berstatus musafir sekurang-kurangnya sehingga dia takbiratul ihram untuk solat kedua. Tidak diwajibkan untuk mengekalkan status musafir sehingga selesai kedua-dua solat.
5. Tidak Ada Halangan yang Membatalkan Jamak
Tidak boleh ada halangan seperti masuknya waktu solat yang kedua sebelum sempat menyelesaikan solat pertama dan kedua. Sekiranya waktu solat kedua telah masuk sebelum kedua-dua solat selesai, jamak taqdim dianggap tidak sah.
Syarat Solat Jamak Takhir
Solat jamak takhir dilakukan dengan melewatkan solat pertama ke dalam waktu solat kedua. Contohnya, Zuhur dilaksanakan dalam waktu Asar, atau Maghrib dilaksanakan dalam waktu Isyak.
Berikut adalah syarat-syaratnya:
1. Niat Jamak dalam Waktu Solat Pertama
Seseorang mesti berniat untuk melewatkan solat pertama ke dalam waktu solat kedua semasa waktu solat pertama masih berlangsung. Sebagai contoh, niat untuk menggabungkan solat Zuhur ke dalam waktu Asar mesti dilakukan sebelum waktu Zuhur tamat.
2. Kekal dalam Status Musafir
Seseorang mesti masih berstatus musafir sehingga kedua-dua solat selesai. Jika status musafir tamat sebelum selesai kedua-dua solat, maka rukhsah untuk melakukan jamak tidak lagi sah.
3. Melakukan Solat dalam Waktu Kedua
Kedua-dua solat mesti dilaksanakan dalam waktu solat kedua. Sebagai contoh, solat Zuhur dan Asar mesti dilakukan dalam waktu Asar.
4. Tidak Ada Halangan Syariat
Jamak takhir tidak boleh dilakukan jika ada halangan syariat seperti keadaan yang menyebabkan seseorang wajib segera melaksanakan solat pertama dalam waktunya.
Contoh Situasi
Contoh Jamak Taqdim:
Ali seorang musafir yang sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor. Apabila tiba waktu Zuhur, dia berhenti rehat di sebuah kawasan R&R dan mendirikan solat Zuhur diikuti dengan solat Asar (jamak taqdim). Dia memastikan:
- Niat jamak dibuat pada permulaan solat Zuhur.
- Solat Zuhur dan Asar dilakukan secara berturut-turut tanpa sela masa yang panjang.
- Status musafirnya masih kekal sehingga dia selesai takbiratul ihram solat Asar.
Contoh Jamak Takhir:
Ahmad pula seorang musafir yang tidak sempat melaksanakan solat Zuhur dalam waktunya kerana kesuntukan masa di tengah perjalanan. Dia berniat untuk melewatkan solat Zuhur ke dalam waktu Asar (jamak takhir). Dalam waktu Asar, dia mengerjakan Solat Asar dahulu diikuti dengan Solat Zuhur, sambil memastikan:
- Niat jamak dibuat dalam waktu Zuhur sebelum waktu tersebut tamat.
- Kedua-dua solat dilakukan dalam waktu Asar.
- Status musafirnya kekal sehingga selesai kedua-dua solat.
Syarat-Syarat Melakukan Solat Secara Qasar
Solat qasar adalah rukhsah (keringanan) yang diberikan kepada musafir untuk memendekkan solat fardu yang empat rakaat menjadi dua rakaat. Namun, terdapat syarat-syarat yang perlu dipatuhi bagi memastikan solat qasar itu sah.
Berikut adalah syarat-syaratnya yang diperincikan:
1. Musafir Tidak Bertujuan Maksiat
Perjalanan musafir mestilah dengan tujuan yang dibenarkan syarak. Jika perjalanan itu bertujuan maksiat, seperti merompak, berjudi, atau apa-apa perkara yang dilarang oleh agama, maka solat qasar tidak dibenarkan.
2. Jarak Perjalanan Tidak Kurang Daripada Dua Marhalah
Perjalanan musafir hendaklah sekurang-kurangnya sejauh dua marhalah, iaitu bersamaan lebih kurang 92 kilometer. Jika perjalanan kurang daripada jarak ini, solat qasar tidak sah dilakukan.
3. Solat yang Boleh Diqasarkan
- Hanya solat fardu empat rakaat sahaja yang boleh diqasarkan, iaitu Zuhur, Asar, dan Isyak.
- Solat fardu dua rakaat seperti Subuh dan tiga rakaat seperti Maghrib tidak boleh diqasarkan.
- Solat qasar hanya sah jika dilakukan secara tunai (pada waktunya). Oleh itu, solat qada bagi solat yang ditinggalkan semasa berada di tempat kediaman tidak boleh diqasarkan.
- Walau bagaimanapun, solat yang ditinggalkan semasa dalam musafir boleh diqasarkan apabila diqadakan semasa musafir.
4. Tidak Berimamkan Orang yang Solat Sempurna (Tamam)
Seorang musafir yang mengerjakan solat qasar tidak boleh berimamkan seseorang yang menunaikan solat secara sempurna (empat rakaat). Ini kerana perbezaan cara pelaksanaan solat antara imam dan makmum boleh menjejaskan sahnya solat.
5. Destinasi Perjalanan Mestilah Ditetapkan
- Tempat yang dituju oleh musafir mesti jelas dan ditentukan.
- Jika tempat yang dituju tidak pasti atau tidak tetap (contohnya, seseorang yang hanya berjalan tanpa arah tertentu), maka solat qasar tidak sah dilakukan.
6. Perjalanan Berterusan Sehingga Selesai Solat
Musafir perlu berada dalam perjalanan semasa mengerjakan solat qasar. Sekiranya perjalanan musafir telah tamat sebelum solat selesai, maka solat qasar tidak sah.
7. Mengetahui Keizinan untuk Qasar
Seseorang musafir perlu tahu bahawa syarak membenarkan dia untuk mengerjakan solat qasar. Jika dia tidak mengetahui perkara ini dan hanya melakukannya tanpa kefahaman, maka solat qasar itu tidak sah.
Contoh Situasi
- Sah Qasar: Ahmad sedang dalam perjalanan dari Johor ke Melaka (melebihi 92 km) untuk menghadiri majlis perkahwinan saudaranya. Dia berhenti di kawasan rehat untuk mengerjakan solat Zuhur dua rakaat qasar.
- Tidak Sah Qasar: Ali berjalan-jalan tanpa tujuan jelas di kawasan kampungnya, yang jaraknya hanya 50 km dari rumahnya. Dalam keadaan ini, solat qasar tidak sah dilakukan kerana jarak perjalanan tidak mencukupi dan tempat tujuan tidak jelas.
Perbezaan Jamak Dan Qasar
Solat jamak dan qasar adalah dua rukhsah (kemudahan) yang berbeza dalam ibadah solat bagi orang yang bermusafir:
- Solat Jamak mengizinkan penggabungan dua waktu solat fardu ke dalam satu waktu. Contohnya, solat Zohor dan Asar boleh digabung dan dilaksanakan sama ada pada waktu Zohor atau Asar.
- Solat Qasar adalah memendekkan bilangan rakaat dalam solat. Ia melibatkan pengurangan bilangan rakaat dari empat kepada dua untuk solat Zohor, Asar, dan Isyak bagi orang yang bermusafir.
Solat jamak sering dikaitkan dengan solat qasar bagi memudahkan pelaksanaan solat ketika bermusafir, tetapi kedua-duanya mempunyai definisi dan aplikasi yang berbeza.
Ringkasan perbezaan antara solat jamak dan qasar adalah seperti berikut:
Jadual Perbezaan Antara Solat Jamak dan Qasar
Jadual ini menyediakan perbandingan yang jelas dan terperinci antara solat jamak dan solat qasar, termasuk definisi, syarat utama, dan cara pelaksanaannya.
Kriteria | Solat Jamak | Solat Qasar |
---|---|---|
Definisi | Menggabungkan dua solat fardu dalam satu waktu (contoh: Zohor dan Asar, atau Maghrib dan Isyak). | Memendekkan solat fardu empat rakaat (Zohor, Asar, dan Isyak) kepada dua rakaat. |
Syarat Utama |
|
|
Jenis Jamak / Qasar |
|
Tiada jenis berbeza. Semua solat qasar hanya boleh dilakukan pada solat fardu empat rakaat sahaja (Zohor, Asar, dan Isyak). |
Rakaat Solat | Rakaat tidak dipendekkan; kekal seperti biasa (Zohor, Asar, dan Isyak 4 rakaat; Maghrib 3 rakaat; Subuh 2 rakaat). | Rakaat dipendekkan kepada dua bagi solat empat rakaat sahaja (Zohor, Asar, dan Isyak). Solat Maghrib dan Subuh tidak boleh diqasarkan. |
Niat | Niat boleh dilakukan sebelum atau ketika solat pertama (Jamak Taqdim) atau sebelum masuk waktu solat kedua (Jamak Takhir). | Niat qasar mesti dilakukan ketika takbiratul ihram. |
Keutamaan | Ada pendapat yang membolehkan meninggalkan jamak jika tidak terlalu membebankan. | Lebih utama untuk dilakukan (afdal) bagi memanfaatkan rukhsah musafir. |
Keadaan Boleh Dilakukan |
|
Hanya boleh dilakukan semasa perjalanan musafir (≥ 89 km). Tidak boleh dilakukan dalam keadaan bermukim. |
Kedudukan Imam dan Makmum | Solat jamak boleh dilakukan di belakang orang yang tidak menjamakkan solat. | Tidak boleh melaksanakan solat qasar di belakang imam yang solat secara sempurna (4 rakaat). |
Contoh Aplikasi |
|
|
- Solat Maghrib dan Subuh tidak boleh diqasarkan kerana bilangan rakaatnya tetap.
- Solat jamak boleh digabungkan dengan qasar untuk lebih memanfaatkan rukhsah (contoh: Zohor dan Asar, 2 rakaat setiap solat, dalam waktu Zohor atau Asar).
- Keringanan jamak dan qasar hanya sah jika perjalanan tidak bertujuan maksiat dan memenuhi syarat jarak dua marhalah (kira-kira 89-90 km).
- Menurut Mazhab Syafie, solat jamak kerana hujan hanya dibolehkan jika dilakukan secara berjemaah di masjid, dengan syarat: hujan mestilah lebat dan berterusan sehingga menyukarkan perjalanan, hanya boleh dilakukan dalam bentuk Jamak Taqdim, dan tidak sah jika dilakukan di rumah. Dalam konteks moden, ia tetap relevan di kawasan yang mengalami kesulitan akibat hujan lebat, namun perlu merujuk kepada fatwa terkini dari mufti dinegeri masing-masing.
Perbincangan ini kesemuanya berkaitan dengan ilmu furu’ al-fiqhiyyah yang diutarakan oleh Imam al-Suyuti dalam perkara-perkara yang nampak serupa tetapi tidak sama.
Solat Jamak Yang Dibenarkan Selain Dari Musafir
Solat jamak selain dilakukan ketika musafir, ia juga boleh dilakukan ketika ada halangan atau keuzuran. Contohnya disebabkan sakit, hujan dan kesibukan yang melampau.
Contoh orang yang dibenarkan menjamakkan solat termasuk:
- Doktor yang sedang membedah pesakit. Contohnya waktu pembedahan mengambil masa yang lama.
- Pesakit yang menjalani rawatan penyakit kronik yang memakan masa yang lama seperti rawatan hemodialisis dan seumpama dengannya.
- Perempuan yang menaiki bas dalam satu perjalanan jauh, apabila khuatir bas yang ditumpangi tidak berhenti ketika waktu solat atau dia bimbangkan keselamatan dirinya apabila turun dari bas.
- Wanita yang mengalami istihadah (keluar darah penyakit) sehingga menyukarkannya solat.
- Orang yang takut kepada musuh seperti dalam medan perang.
- Bidan yang bimbang kelewatannya akan menyebabkan kematian anak yang dilahirkan atau mendatangkan mudarat kepada ibu yang mahu melahirkan.
Soal Jawab Berkaitan Solat Jamak Qasar (FAQ)
Berikut dikumpulkan soalan-soalan yang sering ditanyakan oleh para pembaca. Ia amat berguna untuk anda yang memerlukan jawapan yang pantas dan lengkap.
Seseorang musafir hanya boleh mengqasarkan solat apabila telah keluar dari kawasan permukimannya (keluar dari sempadan kariah tempat tinggalnya).
Jika dia mengqasarkan solat semasa hendak keluar dari rumah atau belum keluar dari sempadan kariah, maka tidak sah solat yang diqasarnya.
Pertama
Jika kampung tersebut telah menjadi tempat mukimnya seperti terdapat rumah miliknya, bilik, atau katil miliknya, meskipun rumah pusaka yang jarang diduduki atau rumah yang telah dihibahkan kepadanya dan masih diduduki orang tuanya – maka tidak boleh melakukan solat jamak dan qasar.
Ini kerana kampung tersebut adalah watan asal baginya, iaitu dia tidak dianggap sebagai seorang musafir ketika berada di kampung tersebut (seperti berada di rumah atau di kampung sendiri atau seperti tidak bermusafir ke mana-mana).
Kedua
Jika dia telah bermastautin atau bermukim di tempat lain (mencari kehidupan dan membina rumah tangga sendiri) dan hanya pulang bercuti atau berziarah sahaja, walaupun tempat yang dikunjungi itu adalah kampung asalnya, maka keharusan qasar diberikan berdasarkan tempoh keberadaan / permukiman di tempat tersebut.
Jika dia menetap selama tiga hari penuh di situ, statusnya masih seorang musafir dan diberi keharusan melaksanakan solak secara jamak dan qasar.
Jika dia menetap lebih tiga hari atau empat hari penuh atau lebih (tidak termasuk hari sampai dan hari bertolak semula), maka status musafirnya telah hilang dan dia menjadi orang yang telah bermukim (tidak boleh melakukan solat secara jamak dan qasar)
Suami dan isteri sama dari segi hukum musafirnya.
Jika isteri berada di kampung suami (mertua) dan jika pada ketika itu suami diharuskan solat jamak dan qasar, isteri juga akan mengambil hukum yang sama, iaitu diharuskan solat jamak dan qasar walaupun dia bukan berada di kampung kedua-dua ibu bapanya.
Sekiranya suami dan isteri tinggal berjauhan kerana sebab-sebab yang diharuskan syarak, umpamanya terpisah disebabkan tempat kerja yang berlainan, sekiranya suami pulang ke tempat isteri atau sebaliknya dan jarak antara kedua-dua pihak diharuskan qasar solat ketika dalam perjalanan sahaja.
Mereka tidak dibenarkan qasar setelah sampai, kerana kedua-dua pihak telah bertukar status menjadi orang yang bermukim. Ini kerana tempat tinggal suami juga adalah dikira tempat tinggal isteri, begitu juga sebaliknya. Mereka dikira mempunyai dua watan menurut Prof. Dr. Wahbah.
Begitu juga jika suami memiliki ramai isteri dan isteri-isteri tersebut tinggal berjauhan darinya melebihi dua marhalah.
Menurut Syeikh Atiyyah Saqar (bekas Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar) orang yang sentiasa berada dalam musafir perlu dilihat dari dua sudut.
Sama ada mereka membawa bersama anak isteri dan keperluan hidup mereka di atas kapal sepanjang masa (seolah-olah kenderaan adalah rumah kediaman mereka) atau mereka sentiasa bermusafir tetapi tidak menjadikan kapal atau kenderaan sebagai rumah mereka.
Jika mereka membawa bersama anak dan isteri serta keperluan hidup di atas kapal tersebut (seperti makanan dan pakaian) dan menjadikan kapal atau kenderaan yang dinaiki sebagai rumah kediaman, maka mereka adalah seumpama orang yang bermukim.
Tidak harus mengqasar solat dan tidak harus berbuka puasa kerana bermusafir ketika berpuasa kecuali kerana mudarat.
Manakala jika mereka yang kerjanya sentiasa di atas kapal dan sentiasa bermusafir tetapi tidak membawa bersama di atas kapal itu anak isteri serta keperluan hidup mereka, sebaliknya mereka mempunyai watan (tanah air yang menjadi tempat tinggal), diharuskan qasar solat setiap kali mereka memulakan perjalanan.
Pemandu bas ekspress boleh menqasarkan solat mereka setiap kali mereka bermusafir untuk memandu bas.
Menurut Imam Ibnu Taimiyyah, Ijma’ para fuqaha mengenai keharusan solat sunat rawatib (qabliyyah dan ba’diyyah) dalam musafir bagi mereka yang hendak melakukakannya.
Akan tetapi yang afdal adalah melakukannya sekali sekala sahaja jika mahu, dan meninggalkan sekali sekala sahaja jika mahu.
Rasulullah SAW tidak melakukan solat sunat rawatib dalam musafir kecuali dua rakaat sebelum fajar dan solat sunat witir.
Adapun solat sunat sebelum zohor dan selepasnya atau selepas maghrib, tiada yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW melakukannya ketika dalam musafir.
Seorang pegawai yang outstation kerana sesuatu tugas tertentu, keharusan jamak dan qasar adalah mengikut tempoh lamanya dia berada di tempat tersebut.
– Jika tempoh tugas tersebut selama tiga hari, diharuskan qasar.
– Jika empat hari, tidak diharuskan qasar.
Seseorang yang membeli rumah di suatu tempat, tetapi belum diduduki.
Lokasi rumah tersebut adalah tempat dia bekerja dan dia sentiasa berada disitu kerana bekerja.
Setiap kali ke tempat tersebut dia hanya tinggal di hotel atau dia menumpang di rumah rakan (walaupun berada dalam kawasan rumah yang dibelinya), dia tetap dianggap bermukim.
Oleh itu tidak dibenarkan solat jamak.
Seseorang yang telah membeli rumah di suatu tempat, tetapi tidak didiaminya.
Sebaliknya rumah tersebut dicadangkan sebagai rumah yang akan didudukinya pada masa akan datang (umpamanya setelah dia pencen atau apabila dia berpindah tempat kerja).
Jika setiap kali dia ke lokasi rumahnya itu bukan kerana dia bekerja di situ (contohnya hanya berziarah sahaja), maka dia dianggap musafir.
Seseorang yang berulang-alik ke tempat kerja sejauh dua marhalah dari rumahnya pada setiap hari, sepanjang perjalanan ke tempat tersebut dia dianggap musafir.
Tetapi sepanjang berada di tempat kerja, dia dianggap mukim.
Keharusan solat qasar diberikan setiap kali dia berada dalam perjalanan ke tempat kerja sahaja, walaupun setiap hari.
Seseorang tinggal di suatu tempat atau rumah (walaupun hanya menyewa, pinjam atau menumpang), jika rumah tersebut adalah dianggap tempat tinggal yang tetap baginya bersama keluarganya dan akan pulang ke situ setelah bermusafir atau keluar bekerja, dia dianggap bermukim di situ.
Seseorang yang tinggal di sebuah rumah bersama keluarganya, walaupun dia hanya pulang dan tinggal di rumah itu pada setiap hujung minggu sahaja atau berada di situ pada hari cuti atau hari-hari tertentu sahaja.
Maka dia dianggap mukim ketika berada di rumah itu.
Seorang yang berpindah ke tempat lain kerana pekerjaannya, tempat baru itu menjadi tempat mukim yang baru baginya, sama ada dia memiliki rumah di situ ataupun tidak.
Asal sesuatu hukum itu adalah harus selagi tidak terdapat dalil yang mengharamkannya dan tidak terdapat perkara-perkara yang mengeluarkannya daripada batasan keharusan itu seperti melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak.
Jika demikian, maka bermusafir untuk menonton bola sepak adalah diharuskan dan boleh melakukan rukhsah solat.
Sekiranya seseorang hendak melakukan jamak takhir, maka dia mestilah berniat jamak takhir semasa dalam waktu pertama.
Sekiranya seseorang tidak berniat jamak takhir disebabkan terlupa, menurut Imam al-Ghazali dia tidak berdosa kerana ia termasuk dalam keuzuran yang dimaafkan oleh syarak.
Orang yang lupa tidak dihukum atas kelupaan itu. Dia tetap boleh menunaikan solat secara jamak takhir.
Sekiranya dia tidak berniat dengan sengaja, maka dia telah melakukan satu maksiat meninggalkan solat dan solat yang ditinggalkan itu menjadi tanggungan ke atasnya dan hendaklah dia mengqada semula dengan segera.
Kita boleh mentaklikkan niatnya dengan berkata, “Sekiranya imam ini berniat tamam, maka aku solat tamam. Sekiranya dia berniat qasar maka aku solat qasar”
Atau berniat tamam dan terus solat bersama imam. Jika didapati imam solat qasar, hendaklah ditambah dua rakaat lagi setelah imam memberi salam (tambah rakaat yang tidak cukup bagi melengkapkan bilangan rakaat solat seperti makmum yang masbuk)
Jika dia teringat yang dia telah tertambah rakaat ketiga, dia hendaklah segera turun dan duduk semula ke rakaat kedua dan sujud sahwi pada akhir solat sebelum memberi salam kerana terlupa.
Seseorang yang bermusafir diberi peluang untuk memilih antara kedua-duanya, tetapi yang lebih afdal baginya adalah melakukan Solat Jumaat memandangkan pahala dan ganjaran serta kelebihan yang ada padanya.
Sama seperti solat tamam, jika solat waktu malam maka dijaharkan (dibaca nyaring), jika solat waktu siang maka disirrkan (dibaca perlahan)
Menurut Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili, dia tidak harus mengqasar solat dan hendaklah solat secara tamam walaupun dia sekadar berhenti sebentar untuk memenuhi keperluannya, kerana tempat tersebut adalah tempat yang telah ditentukan atau ditetapkan untuk bermukim dan sebab untuk qasar (iaitu bermusafir) telah hilang ketika berada di situ.
Contohnya, Ali menetap bersama keluarganya di Kuantan tetapi bekerja di Subang. Ali juga ada menyewa sebuah rumah di Bangsar.
Dalam perjalanan dari Kuantan ke Subang, Ali boleh melakukan qasar solat, tetapi jika Ali singgah sebentar di rumah sewanya di Bangsar, maka dia telah hilang kelayakan untuk melakukan qasar kerana dia telah tiba ke tempat bermukim yang kedua baginya (watan kedua)
Syarat jamak takdim adalah muwalat (berturut-turut).
Jika jarak waktu antara dua solat itu pendek (berdasarkan adat kebiasaan atau uruf), ia tidak membatalkan jamak.
Contohnya jangka masa yang diambil untuk azan, iqamat, bersuci, mengambil wuduk, mencari air yang tidak lama dan sebagainya.
Bagaimana contoh jarak waktu yang membatalkan muwalat?
Contohnya seperti pengsan, lupa yang lama (dari segi uruf) dan sebagainya. Ada yang meletakkan tanda aras sekadar tidak lebih daripada dua rakaat solat.
Tidak boleh dan tidak sah.
Perjalanan bertujuan maksiat seperti menuju ke suatu tempat untuk merompak, mencari perempuan simpanan, bermain judi di rumah perjudian dan sebagainya.
Termasuk juga perjalanan maksiat bagi isteri nusyuz yang melarikan diri daripada suaminya.
Sakit yang mengharuskan jamak solat ialah sakit yang menimbulkan kesulitan dan kepayahan untuk menunaikan solat pada setiap waktu. Contohnya sakit lumpuh, pesakit buah pinggang yang menjalani hemodialisis yang mengambil keseluruhan masa salah satu waktu solat.
Mungkin orang tua seperti ini sukar untuk berwuduk atau bertayamum dengan kerap. Walau bagaimana pun, dia tidak harus menjamakkan solat.
Yang boleh dilakukan adalah mengerjakan fardu solat yang pertama pada akhir waktu dan seterusnya melakukan fardu solat yang kedua pada awal waktu. Cara solat seperti ini dinamakan jamak suuri (جمع صوري)
Doktor dan jururawat adalah harus menjamakkan solat sekiranya keseluruhan masa bagi salah satu solat fardu itu digunakan sepenuhnya di dalam bilik bedah / merawat kecemasan yang kritikal (yakni melibatkan nyawa).
Mereka boleh melakukan solat secara jamak takdim atau jamak takhir mengikut mana satu yang sesuai.
Kelonggaran ini hanya untuk jamak sahaja tanpa qasar.
Diharuskan untuk qadha solat yang ditinggalkan sewaktu musafir secara qasar, dengan syarat dia masih dalam keadaan musafir.
Adapun jika dalam keadaan mukim, maka dia perlu qadha secara penuh.
Begitu juga jika dia meninggalkan solat sewaktu dalam keadaan mukim dan ingin mengqadhanya sewaktu bermusafir, hendaklah qadha secara penuh.
Penutup: Islam Itu Agama Yang Memudahkan
Solat itu adalah tiang agama. Sesiapa yang mendirikannya, maka ia mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkannya maka dia meruntuhkan agama.”
– HR Baihaqi
Begitulah pentingnya solat dalam Islam.
Walau di mana jua kita berada, solat mesti ditunaikan.
Disebabkan itu lah Islam memudahkannya agar kita tidak terlepas daripada menunaikan tanggungjawab kita.
Semoga panduan ini dapat membantu memudahkan anda di dalam perjalanan.
Nota Rujukan:
- Soal Jawab Fiqh Ibadah: Bab Solat Musafir — Ustaz Abu Usamah Mohd Hanifiah Haji Hussin
- Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 11/289
- Indahnya Hidup Bersyariat — Allahyarham Dato’ Ismail Kamus [Pautan]
- Ensiklopedia Solat — Rohidzir Rais, Fuad Ismail, Mohd Wahid Abd Hanif
- Ensiklopedia A-Z Tentang Solat — Dr Nik Yusri Musa
- Ensiklopedia Solat: Solat Musafir — TV3 Official [Pautan]
- 1157 Persoalan Solat — Ustaz Muhadir Haji Joll [Pautan]
- Panduan Solat Jamak & Qasar Untuk Para Musafir — Ust Zulkarnain Dollah
- Solat Ketika Keuzuran – Syeikh Ahmad Faisol Haji Omar
Tinggalkan Komen Anda..
Assalamualaikum ustaz..ada kekeliruan tentang solat jamak..
sewaktu pulang dari teambuilding untuk balik ke rumah,bolehkah solat jamak takhir(zohor/asar)jika perjalanan untuk sampai ke rumah dalam 40km
lokasi perak ke banting,bas berhenti di Shah Alam untuk solat jamak,
terdapat percanggahan diantara org2 di dalam bas..sepatutnya berhenti ditapah untuk solat jamak,tapi ada yg suruh teruskan sampai ke Shah Alam..sedangkan Shah Alam ke Banting cuma 40km
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Dalam kes ini, solat jamak dan qasar dibolehkan sepanjang perjalanan selagi puan berada dalam status musafir. Perjalanan dari Banting ke destinasi di Perak memenuhi syarat musafir kerana ia melebihi dua marhalah (kira-kira 85-90 kilometer). Oleh itu, sepanjang perjalanan tersebut, puan layak melakukan solat jamak dan qasar.
Walaupun bas berhenti di Shah Alam, keringanan untuk solat musafir masih sah selagi puan belum memasuki kawasan mukim asal di Banting. Walaupun jarak dari Shah Alam ke Banting hanya sekitar 40 kilometer, status sebagai musafir tidak tamat sehingga puan benar-benar memasuki kawasan mukim di Banting. Oleh itu, solat jamak yang dilakukan di Shah Alam adalah sah kerana status musafir masih terpakai.
Semoga penjelasan ini membantu menghilangkan kekeliruan, dan semoga Allah mempermudahkan urusan ibadah puan.
Wallahu a’lam.
Alhamdulilah…terima kasih ustaz atas penjelasan yg diberi..baru faham,semuga Allah membalas segala kebaikan ustaz,kerana byk memberi ilmu kepada kami
Assalamualaikum ustaz. Nak tanya niat tu wajib ke cakap rakaat brp dan kerana Allah Ta’ala? Boleh ke tak niat mcm ni (contoh) : Sahaja aku solat fardhu Zuhur qasar jamak takdim.
Waalaikumussalam,
Terima kasih atas soalan yang sangat baik. Dalam Mazhab Syafie, niat adalah wajib dan merupakan salah satu rukun sah solat. Namun, niat itu dilakukan di dalam hati, bukan wajib dilafazkan. Apa yang penting ialah keazaman dalam hati untuk melaksanakan ibadah solat yang ditentukan.
Mengenai format niat, secara asasnya dalam Mazhab Syafie, niat perlu merangkumi:
1. Penentuan jenis solat (fardhu atau sunat).
2. Penentuan waktunya (seperti Zuhur, Asar, dsb).
3. Keazaman kerana Allah Ta’ala.
Contohnya: “Sahaja aku solat fardhu Zuhur kerana Allah Ta’ala.”
Adakah perlu menyebut jumlah rakaat dan jamak/qasar dalam niat?
Tidak wajib menyebut jumlah rakaat atau menyebut “kerana Allah Ta’ala” dalam niat secara lafaz. Namun, menyebutnya boleh membantu menambah keyakinan dalam hati. Untuk solat jamak atau qasar, menyebut niat “jamak” atau “qasar” juga bukan syarat sah, tetapi ia membantu dalam menetapkan niat yang lebih spesifik.
Jadi, jika tuan berniat seperti contoh yang disebutkan, ia masih sah asalkan tuan benar-benar berniat di dalam hati untuk melaksanakan solat tersebut.
Kesimpulan: Niat perlu ada dalam hati, dan lafaz hanyalah untuk membantu fokus. Tidak wajib melafazkan rakaat atau jamak / qasar dalam niat, tetapi melakukannya boleh menambah keyakinan diri.
Wallahu a’lam.
assalam.saya tingal di selangor..saya balik ke rumah mak mertua selama 6 hari di johor..soalan saya selama 6 hari saya di johor..brp hari kan saya boleh lakukan solat jamak@qasar???..terima kasih..assalam..
Waalaikumussalam,
Terima kasih atas soalan yang diajukan. Dalam hal ini, terdapat beberapa perkara penting yang perlu diperhatikan berkaitan solat jamak dan qasar ketika musafir:
1. Tempoh Dibolehkan Solat Jamak dan Qasar:
Berdasarkan pandangan Mazhab Syafie, jika seseorang musafir berniat untuk tinggal di suatu tempat selama empat hari atau lebih (tidak termasuk hari ketibaan dan hari pulang), dia tidak lagi dianggap musafir dan tidak boleh lagi melakukan solat jamak atau qasar. Dalam situasi ini, dia dianggap sebagai mukim di tempat tersebut dan perlu melakukan solat secara penuh (solat empat rakaat bagi solat fardu yang berkenaan) dan pada waktunya yang sebenar.
Namun, jika dia berniat untuk tinggal di tempat tersebut kurang daripada empat hari, maka dia masih dianggap musafir dan dibolehkan untuk melakukan solat jamak dan qasar selama tempoh tersebut.
2. Solat Jamak dan Qasar Hanya Dalam Perjalanan:
Apabila seseorang melakukan perjalanan yang melebihi dua marhalah (lebih kurang 81-89 km), dia dibolehkan untuk melakukan solat jamak dan qasar semasa dalam perjalanan. Namun, sebaik sahaja tiba di destinasi dan jika dia berniat untuk tinggal lebih dari empat hari, rukhsah (keringanan) untuk solat jamak dan qasar tidak lagi terpakai.
Kesimpulan:
Jika tuan berniat untuk tinggal di Johor selama enam hari, tuan hanya boleh melakukan solat jamak dan qasar dalam perjalanan menuju ke Johor. Setelah tiba di Johor, jika tuan berniat untuk tinggal lebih dari empat hari, tuan tidak boleh lagi melakukan solat jamak dan qasar kerana dianggap sebagai mukim. Sebaliknya, jika tuan berniat untuk tinggal kurang daripada empat hari, tuan masih boleh melakukan solat jamak dan qasar selama tempoh tersebut.
Semoga penjelasan ini dapat membantu dan memberikan pencerahan.
Wallahu a’lam.
Assalamualaikum ustaz sebelum Kita memulakan perjalanan jauh adakah Kita perlu berniat utk solat qasar jamak atau Kita boleh terus berniat ketika solat setibanya sampai ke destinasi kita
Waalaikumsalam,
Niat tidak perlu diniatkan sebelum memulakan perjalanan. Ia boleh diniat semasa dalam perjalanan sebelum masuk waktu solat yang kedua jika ingin melakukan solat jamak qasar takhir.
Assalamualaikum ustaz..sy nak tnya sy berada diantara sempadan malaysia dan thailand..jikalau sy msuk sempadan thailand contohnya di sungai Go-lok adakah dibolehkan jamak
Walaikumsalam,
Boleh, jika destinasi yang dituju adalah melebihi 2 marhalah dari tempat asal.
Mcm mana nk kira 2 marhalah tu ustaz
2 marhalah itu adalah 81 km ke atas.
Terima kasih ustaz..semoga Allah permudahkan segala urusan
Sama-sama ツ
Assalamualaikum wbt, saya nak tanya ustaz berkenaan dengan solat jamak qasar:
Saya ni orang Tanjung Karang, bekerja di Kuala Selangor tapi bekerja sebagai runner ambil barang hantar barang di kawasan sekitar Kuala Lumpur. Boleh dikatakan tiap-tiap hari bekerja saya berulang-alik ke sana. Bolehkah orang macam saya mengerjakan solat jamak qasar bagi orang yang selalu berulang-alik ke Kuala Lumpur setiap hari bekerja? Terima kasih saya ucapkan.
Walaikumsalam,
Ya tuan boleh melakukan jamak qasar kerana cukup syarat iaitu destinasi yang dituju itu melebihi 2 marhalah dan tidak menetap melebihi 3 hari di sana.
Wallahu a’lam.
Assalamualaikum tuan..maaf sy ingin bertanya..sy masih tgh belajar..kalau sy dlm keadaan musafir tapi sy buat solat tamam penuh utk setiap solat waktu boleh ke?.. terima kasih
Walaikumsalam. Boleh, tiada masalah jika tuan memilih untuk melakukan solat secara tamam semasa bermusafir.
Assalamua’laikum ustaz…terima kasih byk membantu kami terutama skali bab solat ketika kita sdg ‘bermusafir’ sgt membantu Alhamdulillah dipermudahkan Allah urusan dr Kuching Sarawak ke KL & pth balik ke Kuching tempoh hari…drpd ‘tak tahu jd ambil tahu & wajib tahu’ sentiasa belajar & perbaiki diri…doakan kami ya ustaz trus istiqomah ke jln Allah…semoga Allah redha 🤲🏼…terus kongsi ilmu yg bermanfaat ya ustaz…salam
Waalaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah, sangat menggembirakan mendengar bahawa informasi mengenai solat ketika bermusafir yang saya kongsikan telah memberi manfaat kepada anda
Semoga Allah SWT memberikan kekuatan dan keistiqamahan kepada kita semua untuk terus berada di jalan yang diredhai-Nya. Dengan ilmu, kita dapat memperbaiki diri sendiri dan membantu orang lain.
Saya doakan anda dan keluarga sentiasa di bawah lindungan dan rahmat Allah SWT, serta berjaya dalam setiap urusan dunia dan akhirat. Amin.
ツ
Assalamulaikum ustaz,
Sekiranya saya bekerja oustation (luar negara) selama 2 minggu tapi tapi berlainan tempat (seminggu di negara Indonesia & kemudian berpindah seminggu di negara Korea pula) sebelum pulang ke Malaysia, bolehkah saya berterusan jamak qasar selama 2 minggu atau hanya boleh qasar jika memerlukan ketika saya bertugas? Apakah nasihat ustaz utk situasi saya?
Walaikumsalam,
Jika saudara/saudari berada di Indonesia selama seminggu dan kemudian berpindah ke Korea untuk seminggu lagi, dan setiap tempat tinggal tidak melebihi empat hari, maka saudara/saudari boleh melakukan qasar dan jamak.
Namun, jika tempoh tinggal di suatu tempat itu melebihi empat hari, maka saudara/saudari tidak lagi berhak untuk melakukan solat jamak dan qasar berdasarkan tempoh yang ditetapkan.
Dalam situasi saudara/saudari yang berada di luar negara untuk tempoh dua minggu dengan perpindahan tempat, anda boleh melakukan solat qasar selagi syarat-syarat musafir terpenuhi, iaitu perjalanan yang jauh melebihi 2 marhalah dan niat untuk tidak menetap lebih dari empat hari di satu tempat.
Untuk solat jamak, ia boleh dilakukan jika dalam perjalanan atau ketika tiba di suatu tempat dan anda merancang untuk tidak menetap lebih dari empat hari.
Nasihat saya, setiap kali berpindah ke tempat baru, niatkan dalam hati berapa lama anda akan berada di tempat tersebut. Jika ia tidak melebihi empat hari, maka saudara/saudari berhak untuk menjamak dan mengqasar solat.
Jangan lupa untuk selalu memastikan syarat-syarat yang diperlukan untuk menjaga sah solat kita apabila musafir.
Semoga penjelasan ini membantu dan memudahkan saudara/saudari dalam menjalankan ibadah semasa berada di luar negara. Wallahu a’lam.
Assalamualaikum ustaz,
Sekiranya sy jamak qasar tapi terlupa & terbangun utk rakaat ketiga. Sedar kesilapan pada pertengahan rakaat ketiga.
1. Wajar ke sy terus hentikan bacaan Al-Fatihah/surah lazim ketika pertengahan bacaan? (tak habis baca, terus stop bila teringat)
2. Dah teringat, boleh ke kalau sy terus angkat tangan takbir & duduk tahiyat akhir habiskan solat; atau sy perlu ikut rukun satu persatu dgn niat ini rakaat akhir? (rukuk iktidal sujud seperti biasa)
Sy mohon pencerahan, ustaz. Terima kasih. =)
Waalaikumsalam,
Dalam situasi ini, ada beberapa langkah yang perlu diambil:
1. Apabila anda tersedar kesilapan pada pertengahan rakaat ketiga (sewaktu qasar), wajar untuk anda menghentikan bacaan Al-Fatihah atau surah pada saat itu juga. Ini kerana kesinambungan solat itu penting, dan bacaan yang tidak perlu tidak sepatutnya dilanjutkan.
2. Setelah menghentikan bacaan, anda boleh langsung melakukan takbir (angkat tangan) dan duduk untuk tahiyyat akhir. Ini adalah langkah yang betul kerana anda telah menyedari bahawa ini sepatutnya adalah rakaat terakhir dalam solat qasar anda. Tidak perlu mengulangi rukun-rukun yang lain seperti rukuk atau sujud untuk rakaat ketiga tersebut. Langsungkan ke duduk tahiyyat akhir dan teruskan dengan tasyahhud, salam, dan lakukan sujud sahwi (sujud kerana lupa) sebagai penyelesaian solat anda.
Jadi, dalam kes ini, selepas menyedari kesilapan, langkah yang betul adalah menghentikan bacaan segera, lalu melanjutkan ke tahiyyat akhir untuk menamatkan solat anda dengan cara yang betul.
Jika awak tidak tahu mengenai sujud sahwi, boleh rujuk panduan ini: https://akuislam.com/blog/ibadah/melakukan-sujud-sahwi/
Semoga penjelasan ini membantu dan memudahkan amalan ibadah anda. Jika ada keraguan lain, jangan segan untuk bertanya.
Wallahu a’lam ツ
Alhamdulillah. Terima kasih banyak2 ustaz untuk penerangan yang jelas. Sy cukup suka jadikan website ustaz sebagai panduan. Banyak nota2 ringkas (untuk rujukan sendiri) sy juga berpandukan akuislam. Sebab bagi sy, perkongsian ustaz detail, straightforward & mudah difahami. Syukur Alhamdulillah ustaz. Terima kasih sangat2. Mintak halal ye. Hihi
Alhamdulillah, terima kasih banyak atas kata-kata penghargaan anda. Saya sangat bersyukur dan gembira dapat membantu dan menyediakan informasi yang berguna untuk anda.
Jika ada sebarang pertanyaan atau topik yang ingin anda ketahui lebih lanjut, jangan segan untuk bertanya. InsyaAllah, saya akan cuba memberikan jawapan dan penerangan yang sebaik mungkin.
Semoga redha Allah kepada kita semua. Amin. ツ