Ini adalah panduan asas solat fardu yang lengkap. Panduan ini ditulis khas secara langkah demi langkah sebagai pengenalan untuk mengerjakan solat.
Perkara-perkara lain yang berkaitan dengan ibadah solat juga turut disertakan bagi memudahkan urusan ibadah anda.
Oleh itu, panduan ini amat sesuai bagi mereka yang ingin belajar solat.
Jika anda memerlukan manual panduan solat yang lengkap, maka ini adalah jawapannya..
Mengapa Orang Islam Perlu Solat?
Orang islam perlu mengerjakan solat kerana solat adalah tiang agama. Kedudukan solat di dalam agama diibaratkan sebagai kepala kepada jasad.
Jasad manusia jika tidak bertangan, masih boleh hidup. Jasad manusia, jika tidak berkaki, masih boleh meneruskan hidup.
Akan tetapi jika jasad manusia itu tidak berkepala, maka jasad itu sendiri tidak bermakna lagi kerana jasad itu mati. Biar sempurna mana pun jasad itu, jika tidak berkepala, jasad tadi tidak dipandang pun.
Begitu jugalah perihal solat.
Jika seseorang itu tidak solat, maka amalan lain tidak ada gunanya. Puasanya, zakatnya dan hajinya tidak dipandang di sisi Allah Taala.
Beginilah yang difahami dari mafhum hadis Nabi yang bermaksud:
Yang pertama dihisab dari amalan hamba pada hari kiamat adalah solatnya
– Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah
Solat juga dikira tiada jika kesempurnaan solat itu tidak dijaga. Tamakninahnya wajib dijaga.
Peristiwa ini dirakamkan dalam hadis teguran Nabi terhadap seorang sahabat yang solatnya tiada tamakninah.
Semoga panduan solat ini dapat membantu para pembaca untuk menunaikan solat dengan baik dan sempurna.
InsyaaAllah.
Apa Maksud Solat?
Dari segi bahasa, solat adalah doa. Apabila seseorang hamba Allah mendirikan solat, bererti dia berdoa kepada Allah SWT. Dari segi syarak, solat ialah amalan yang mengandungi perkataan dan perbuatan tertentu yang dimulai dengan takbiratul ihram dan disudahi dengan salam dengan syarat-syarat tertentu.
Ketika solat, seluruh jasad dihadapkan kepada Allah SWT. Lidah memuji-muji dan memohon kepadaNya.
Akal mengingati Allah, selari dengan ucapan lidah. Hati pula berasa kebesaran dan kekuasaan Allah SWT sebagai Tuhan yang disembah.
Cara Solat (Langkah Demi Langkah Asas)
Berikut adalah cara asas mengerjakan solat secara langkah demi langkah.
1. Menghadap Kiblat
Keadaan berdiri ini disebut qiyam dalam bahasa Arab.
Berdiri lurus dan hadapkan badan ke arah kiblat (Ke arah Kaabah). Mata memandang ke arah tempat sujud.
Orang yang hendak menunaikan solat, wajib mengetahui arah kiblat dengan yakin sebelum menunaikan solat.
Pada zaman sekarang, pelbagai apps menentukan arah kiblat boleh digunakan. Antaranya adalah Qibla Finder
2. Niat Untuk Solat
Ucapkan niat didalam hati dengan niat solat yang anda ingin lakukan.
Contohnya: Sahaja Aku Solat Fardu Zohor 4 Rakaat Tunai Kerana Allah Taala
Rasakan di dalam hati kita sedang berhadapan dengan Allah SWT.
? Antara boleh rujuk senarai niat solat pada pautan ini: Panduan Niat Solat Rumi
3. Angkat Takbir
Angkat kedua belah tangan separas telinga.
Kemudian sebutkan “Allahuakbar!”
Maksudnya “Allah Maha Besar”
Perbuatan ini dalam solat dipanggil Takbiratul Ihram
3. Letakkan Tangan Di Atas Perut
Selepas mengangkat takbir, tangan diletakkan diatas perut.
Letakkan tangan kanan di atas tangan kiri dan wajah memandang ke arah tempat sujud.
Kemudian bacalah doa iftitah:
Allaahu Akbaru kabiiraa-walhamdu lillaahi katsiiran, wa subhaanallaahi bukrataw-wa’ashiila.
Wajjahtu wajhiya lilladzii fatharas-samaawaati wal ardha haniifam-muslimaw-wamaa anaa minal musyrikiina.
Inna solaatii wa nusukii wa mahyaaya wa mamaatii lillaahi Rabbil ‘aalamiina.
Laa syariikalahu wa bidzaalika umirtu wa anaa minal muslimiin
Maksud Doa Ifitah
Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah. Maha Suci Allah pagi dan petang.
Aku hadapkan mukaku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, hal keadaannya bersih dalam Islam. Tidaklah aku dari golongan orang-orang yang mensyirikkan Tuhan.
Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidup dan matiku bagi Allah, Tuhan yang memiliki alam keseluruhannya.
Tidak ada bersekutu denganNya sesuatu dan dengan demikian aku disuruh dan aku dari golongan muslimin.
4. Baca Al Fatihah Dan Seterusnya Surah Lain
Selesai membaca doa iftitah, seterusnya baca pula surah al-Fatihah.
Surah al-Fatihah adalah rukun dalam solat.
Ini bermakna, jika al-Fatihah wajib dibacakan. Jika tidak dibaca solat kita tidak akan sah.
Al hamdu lil lahi rabbil ‘alamin. Arrahmanir rahim. Maliki yawmiddin. Iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’in. Ihdinas siratal mustaqim. Siratal ladhina an’amta’alaihim, ghairil maghdubi’alaihim wa lad dhallin. (Amin)
Surah al-Fatihah mesti dibaca adalam setiap rakaat.
Selesai al-Fatihah, seterusnya bacalah surah lain.
Antara surah yang mudah adalah surah al-Ikhlas.
Qul hu wal lahu ahad, allahus samad, lam yalid wa lam yulad, wa lam ya kul lahu kufuwan ahad.”
5. Kemudian Rukuk
Langkah seterusnya adalah rukuk.
Semasa rukuk, ucapkan takbir (Allahuakbar) dan letakkan kedua belah tangan di atas lutut.
Semasa rukuk:
Belakang badan perlu rata, pandangan dihalakan ke tempat sujud dan tangan diletakkan di kepala lutut dalam keadaan selesa.
Bacaan tasbih semasa rukuk adalah:
Subhaa Na Rabbiyal A’zim Wabihamdih
Maksudnya:
Maha Suci Tuhanku Yang Maha Besar dengan segala sifatNya yang terpuji
6. Berdiri Dari Rukuk (Iktidal)
Setelah selesai rukuk, seterusnya kita akan bangun berdiri tegak (iktidal).
Ucapan semasa iktidal adalah seperti berikut:
Sami Allahu liman hamidah. Rabbana lakal hamdh
Maksudnya:
Allah mendengar perkataan mereka yang memuji-Nya. Ya Tuhan Kami, untuk-Mu segala pujian.
7. Sujud Pertama
Setelah iktidal, seterusnya kita akan sujud.
Cara sujud adalah:
Bertakbir (Allahuakhbar) dan turunkan badan dengan dahi, hidung, kedua belah tapak tangan dan ibu jari kaki menyentuh lantai. (rujuk gambar)
Buka lengan dari sisi badan dan lantai.
Bacaan semasa sujud adalah:
Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih
Maksudnya:
Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya.
Tasbih ini diulangi sebanyak tiga (3) kali.
8. Duduk Antara Dua Sujud
Setelah itu, bangun (duduk) dari sujud sambil menyebut “Allahuakbar” (tanpa mengangkat tangan).
Fasa ini dipanggil “duduk di antara dua sujud”
Bacaan paling mudah semasa duduk antara dua sujud adalah:
Rabbighfir li.”
Maksudnya:
Wahai Tuhanku, ampunilah aku
Jika anda mampu menghafal, bacalah bacaan penuh duduk antara dua sujud.
Bacaan penuh adalah seperti berikut:
Rabbigfirli Warhamni Wajburni Warfagni Warzuqni Wahdini Wa a’fini Wa’fu Anni
Maksudnya:
Wahai Tuhanku, ampunilah aku, rahmatilah aku, lindungilah aku dan angkatlah darjatku berilah aku rezeki, dan berilah petunjuk kepadaku, afiatkanlah aku dan ampunilah aku.
9. Sujud Kedua
Selesai membaca tasbih di atas, maka sujudlah sekali lagi (sujud kedua)
Bertakbir (Allahuakbar) lalu sujud sekali lagi.
Kedudukan dan bacaan tasbihnya adalah sama seperti sujud pertama.
Dengan ini, sudah selesai bahagian rakaat pertama dalam solat.
10. Sekarang bangun berdiri untuk Rakaat Kedua.
Pergerakan dalam rakaat kedua sama seperti rakaat pertama, kecuali selepas sujud kedua anda tidak perlu terus bangun tetapi duduklah pada kedudukan tasyahud (Tahiyat awal)
Cara duduk tasyahud adalah seperti berikut:
- Duduk di atas kaki kiri dengan ibu jari kaki kanan ditegakkan.
- Telapak tangan kanan digenggam melainkan jari telunjuk kanan diluruskan.
Bacaan Tahiyat Awal adalah seperti berikut:
Attahiyyatul Mubarakaatush sholawaatuth thayyibatu lillaah,
Assalaamu’alaika ayyuhan nabiyyu warahmatullaahi wabarakaatuh,
Assalaamu’alaina wa’alaa ‘ibaadillaahish shoolihiin.
Asyhadu an laa ilaaha illallaah,
Waasyhadu anna Muhammadan rasuulullaah.
Allahhumma sholli ‘alaa Saidina Muhammad
Wa ‘ala aalihi Saidina Muhammad
Makna bacaan Tahiyat Awal:
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.
Untuk solat tiga rakaat (Maghrib) dan solat empat rakaat (Zohor, Asar dan Isyak), anda perlu bangun berdiri kembali selepas selesai baca tahiyat awal, untuk meneruskan rakaat seterusnya.
Untuk solat dua rakaat, teruskan duduk tasyahud dan bacalah tahiyat akhir.
Bacaan Tahiyat Akhir adalah seperti berikut:
Bacaan Tahiyat Akhir Dalam Rumi:
Attahiyatul mubarakatus solawatut taiyibatu lillah.
Assalamu’alaika aiyuhan nabiyu warahmatullayhi wabarakatuh.
Assalamu’alaina wa’la ‘ibadillahis salihin.
Asyahadu anla illaha illallah. Wa’asyhadu anna Muhammadar Rasulullah.
Allahumma solli’ala Muhammad wa’ala ali Muhammad.
Kama sollaita’ala Ibrahim wa’ala aliIbrahim.
Wabarik ‘ala Muhammad wa’ala ali Muhammad.
Kama barakta ‘ala Ibrahim wa’ala aliIbrahim.
Fil ‘alamina innaka hamidum-majid.
Maksudnya:
Segala kehormatan, keberkatan, segala doa (solat) dan kebaikan untuk Allah, keselamatan, rahmat Allah dan berkatNya tetap kepadamu ya Nabi. Keselamatan mudah-mudahan tetap kepada kami dan hamba-hamba Allah yang soleh. Aku mengaku tiada tuhan yang disembah melainkan Allah. Dan aku mengaku Nabi Muhammad SAW ialah pesuruh Allah.
Ya Allah, berilah rahmat kepada Penghulu kami Nabi Muhammad dan keluarga Sayidina Muhammad. Sebagaimana Engkau merahmati Sayidina Nabi Ibrahim dan keluarga Sayidina Nabi Ibrahim. Berkatilah penghulu kami Sayidina Nabi Muhammad dan keluarga Penghulu kami Sayidina Muhammad.
Sebagaimana Engkau memberkati Sayidinia Nabi Ibrahim dan keluarga Sayidina Nabi Ibrahim. Di alam semesta ini, Engkau sahajalah Yang Paling Terpuji dan Yang Paling Mulia.
11. Beri Salam
Selesai membaca tahiyat akhir, palingkan muka ke sebelah kanan dan ucapkan: “Assalamu alaikum wa rahmatullah”
kedua ulangi salam dengan memalingkan muka ke sebelah kiri dengan ayat yang sama.
Maka Solat Dua Rakaat Telah Selesai
Untuk solat tiga atau empat rakaat, prosedur semua pergerakan solat diulangi pada rakaat seterusnya, kecuali pada rakaat ketiga & keempat tidak dibaca surah selepas al-Fatihah.
Semua pergerakan dan bacaan lain adalah sama.
Semua solat mesti diakhiri dengan tahiyat akhir dan salam.
Kenapa Kita Perlu Solat?
Solat ialah rukun Islam yang kedua.
Ia menjadi amalan praktikal yang pertama sebagai bukti keislaman seseorang.
Selepas mengerjakan rukun Islam yang pertama iaitu mengucap dua kalimah syahadah, seorang muslim mesti mendirikan solat.
Kemudian, baru diikuti dengan mengerjakan amalan-amalan yang lain.
Solat menjadi penghubung secara langsung antara manusia dengan Allah SWT.
Tidak ada ibadah lain yang lebih utama daripada solat dalam menghubungkan hamba dengan Tuhannya.
Melalui solat, hamba itu mengagungkan Allah, sekaligus memohon rahmatNya.
Apabila solat ditinggalkan, hubungan dengan Allah akan terputus.
Apabila hubungan dengan Allah SWT terputus, seolah-olah kita tidak memerlukan Allah dan tidak mengharapkan rahmatNya.
Sedangkan setiap manusia amat memerlukan rahmat Allah SWT dalam setiap detik kehidupannya.
Kesannya, manusia dapat hidup dengan selamat di dunia dan di akhirat.
Dan, rahmat Allah hanya diberikan kepada orang yang mengerjakan solat.
Hal ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam al-Quran:
Dan dirikan oleh kamu akan solat serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Rasul Allah; supaya kamu beroleh rahmat
— Surah an-Nur 24:56
Syarat Wajib Solat
Allah SWT memerintahkan supaya solat didirikan mengikut syarat dan kaedah (kaifiat) yang tertentu.
Namun Allah SWT memberi kelonggaran dalam keadaan tertentu supaya umat Islam tetap dapat mendirikan solat dalam sebarang keadaan.
Antara Syarat-Syarat Wajib Solat adalah:
- Islam
- Baligh
- Berakal
- Suci daripada haid dan nifas
- Sempurna pendengaran dan penglihatan.
Di bawah ini saya akan huraikan setiap syarat yang mewajibkan seseorang itu untuk solat:
1. Islam
Orang Islam wajib menunaikan solat.
Tidak ada kewajipan solat kepada orang yang belum Islam.
Mereka juga tidak perlu menggantikan solat semasa belum Islam sekiranya masuk Islam.
2. Baligh
Dari segi bahasa bermaksud “telah mencapai”.
Daripada segi istilah, bermaksud seseorang yang mencapai tahap kematangan daripada segi umur.
Baligh ialah sampai umur untuk seseorang itu menanggung kewajipan syarak iaitu peraturan syariat Islam.
Mereka akan mendapat pahala apabila melakukannya dan berdosa apabila meninggalkannya.
LELAKI |
PEREMPUAN |
|
|
3. Berakal
Orang yang berakal wajib menunaikan solat.
Walau bagaimana pun, kewajipan solat gugur ke atas orang yang hilang akal disebabkan gila, terencat akal, pitam dan pengsan.
Menurut jumhur ulama, solat tidak wajib kepada orang gila, terencat akal dan seumpamanya.
Begitu juga orang yang pengsan atau koma, kecuali sekiranya dia sedar dan masih ada lagi waktu solat.
Hal ini disebabkan berakal adalah tanda (mukalaf), sebagaimana hadis Rasulullah SAW.
Terangkat qalam (catatan) dalam tiga keadaan: Orang yang tidur sehingga dia sedar daripada tidurnya, kanak-kanak sehingga dia mimpi (baligh) dan orang gila sehingga dia kembali berakal.
— Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan al-Hakim.
4. Suci Daripada Haid & Nifas
Wanita yang berada dalam keadaan haid atau nifas diharamkan solat dalam tempoh berkenaan.
Mereka juga tidak perlu menggantikan semula solat yang ditinggalkan.
5. Sempurna Pendengaran & Penglihatan
Orang yang buta dan pekak sejak lahir atau sebelum mumaiyiz tidak wajib menunaikan solat.
Hal ini disebabkan mereka tidak mampu menerima ilmu dan seruan dakwah, sama ada dengan mendengar pengajaran atau melihat contoh solat yang diajar.
Sekiranya hanya mengalami kecacatan pada salah satu daripadanya sama ada cacat pendengaran atau cacat penglihatan, solat tetap wajib dilaksanakan kerana masih ada kemampuan untuk menerima tunjuk ajar.
Nota
- Apabila hilang semua sebab yang menjadi penghalang kepada kewajipan menunaikan solat seperti yang telah dijelaskan, maka wajib untuk mereka menunaikan solat sebagaimana biasa.
- Sunat bagi orang yang gila, pengsan dan mabuk untuk qada solat yang ditinggalkan sepanjang tempoh mereka hilang akal. Bagaimana pun, apabila mereka gila, mabuk atau pengsan semasa murtad, wajib bagi mereka menggantikan solat selama mereka hilang akal dalam keadaan murtad.
- Tidak ada dosa untuk orang yang tertidur sebelum masuk waktu solat hingga terlepas satu atau lebih waktu solat. Bagaimana pun, solat itu wajib diqada apabila bangun daripada tidur.
- Menurut sebahagian ulama, menggantikan solat yang ditinggalkan kerana haid dan nifas hukumnya adalah makruh. Bahkan berdosa apabila menyesali takdir kerana tidak dibolehkan solat pada waktu tersebut.
Syarat Sah Solat
Sebelum mendirikan solat, ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi supaya solat sah dan menjadi sebab solat diterima oleh Allah SWT.
Antara syarat sah solat adalah:
- Suci daripada hadas
- Suci daripada najis
- Menghadap kiblat
- Menutup aurat
- Mengetahui masuk waktu solat
Di bawah ini saya jelaskan secara ringkas setiap syarat-syarat yang dinyatakan di atas:
1. Suci Daripada Hadas
Hadas terbahagi kepada dua; hadas kecil dan hadas besar.
Hadas kecil ialah perkara yang membatalkan wuduk.
Cara menyucikan diri daripada hadas kecil adalah dengan berwuduk.
Apabila tidak ada air, diganti dengan tayamum.
Rasulullah SAW bersabda:
Tidak ada solat bagi orang yang tidak berwuduk. Dan tidak sempurna wuduk bagi orang yang tidak menyebut nama Allah Taala atasnya
— Riwayat Abu Dawud
2. Suci Daripada Najis
Suci daripada najis yang tidak dimaafkan pada tubuh badan, pakaian dan tempat solat.
Pengertian najis daripada sudut bahasa ialah sesuatu yang cemar, kotor dan jijik.
Pengertian najis dari sudut hukum syarak pula ialah kekotoran yang menghalang daripada sah solat.
Terdapat tiga jenis najis, iaitu:
- Najis Mukhaffafah (najis ringan)
- Najis Mughallazah (najis berat)
- Najis Mutawassitah (najis pertengahan)
Penjelasan lanjut mengenai topik najis ini akan dibahaskan dalam artikel ini: Panduan Taharah: Memahami Jenis Najis
3. Menutup Aurat
Aurat ialah bahagian yang menjadi aib pada tubuh badan yang wajib ditutup dan haram dilihat oleh orang lain.
Memakai pakaian yang menutup aurat ketika mengerjakan solat menjadi syarat solat diterima oleh Allah Taala.
Bagi lelaki, aurat wajib ditutup ialah kawasan di antara pusat dan lutut.
Aurat perempuan pula meliputi seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan.
Aurat berasal daripada perkataan arab yang bermaksud keaiban.
Menurut istilah fekah, aurat ialah bahagian tubuh badan yang wajib ditutup atau dilindungi daripada pandangan.
Dinamakan aurat kerana mendedahkan dan melihatnya adalah sesuatu yang tercela.
4. Mengetahui Arah Kiblat
Arah kiblat ialah arah terletaknya Kaabah di Mekah.
Orang yang hendak solat, wajib mengetahui arah kiblat terlebih dahulu.
Semasa mengerjakan solat, dada wajib dihadapkan ke arah kiblat.
Mereka yang bersolat berdekatan Kaabah, diwajibkan menghadap tepat ke bangunan Kaabah.
Manakala mereka yang jauh dari Kaabah, memadai dia yakin mengadap ke arah Kaabah dengan mengambil kira ilmu, pengalaman atau maklumat semasa.
Baca lanjut panduan mengenai kaedah menentukan arah kiblat pada artikel ini:
5. Mengetahui Masuk Waktu Solat
Solat perlu dilakukan setelah yakin masuk waktunya.
Tidak sah solat yang ditunaikan selain pada waktunya.
Masuknya waktu solat fardu dapat diketahui dengan cara:
- Mendengar azan dari masjid berdekatan atau melalui siaran radio dan televisyen tempatan.
- Menggunakan jadual waktu solat yang dikeluarkan oleh jabatan-jabatan agama Islam negeri.
- Melihat tanda-tanda alam yang menunjukkan masuknya waktu solat fardu
Panduan Mengerjakan Solat Fardu Lima Waktu
Di bawah adalah panduan lengkap bagi setiap solat fardu yang dipecahkan mengikut waktu.
Saya menyarankan anda mengikuti setiap panduan agar anda memahami dengan jelas kaedah perlaksanaan dan perbezaan diantara setiap solat.
Solat Fardu Zohor
Solat Zohor dilakukan pada waktu tengah hari. Waktu Zohor bermula daripada gelincir matahari dari kedudukan tengah langit hingga bayang-bayang suatu benda menyamai panjangnya.
Secara umumnya, zohor bermula apabila bayang-bayang sudah cenderung ke arah barat.
Solat Fardu Asar
Waktu untuk bersolat Asar bermula selepas berakhirnya waktu solat Zohor, iaitu apabila tergelincir matahari sehingga bayang-bayang sesebuah objek lebih panjang daripada tinggi objek tersebut.
Solat Fardu Maghrib
Perkataan maghrib ialah istilah bahasa Arab bagi matahari senja; daripada perkataan غَرَبَ (gharaba), yang bermaksud “terbenam”; “akan disembunyikan”.
Solat ini terdiri daripada 3 rakaat dan dilakukan ketika senja.
Solat Fardu Isyak
Waktu Isyak bermula apabila hilang cahaya merah di kaki langit hingga terbit fajar sadiq.
Waktu isya adalah waktu solat yang paling lama iaitu sepanjang malam.
Solat Fardu Subuh
Solat Subuh terdiri daripada 2 rakaat.
Waktu Solat Subuh ialah ketika terbitnya fajar sadiq:
— iaitu dari munculnya warna putih yang merata (horizontal) di ufuk (horizon), dan waktu yang dibolehkan untuk melakukan solat ini terus berlangsung hingga nampak timbulnya bulatan terawal matahari.
Masa yang tersedia dianggarkan kira-kira 2 jam.
Bagi mazhab Syafie, solat subuh dilakukan beserta dengan Doa Qunut.
Solat fardu di atas wajib ditunaikan oleh seorang Islam yang masih waras dan hidup.
Solat fardu tidak boleh ditinggalkan sama sekali dalam apa keadaan sekali pun kerana ia termasuk dalam dosa-dosa besar.
Hatta dalam keadaan seseorang sakit teruk sekali pun jika hanya mata yang boleh bergerak maka solat wajib dilaksanakan dalam waktunya iaitu dengan menggunakan isyarat mata.
Jika tertinggal, kita mesti qada solat.
Panduan Solat Berjemaah
Solat berjemaah bermaksud solat yang dilakukan lebih daripada seorang, atau secara beramai-ramai, dengan diketuai seorang imam.
Ini berdasarkan Sabda Nabi SAW:
Solat berjemaah itu lebih afdhal (baik) daripada solat bersendirian dengan 27 kali darjat”
— HR Bukhari dan Muslim
Solat berjemaah terdiri daripada seorang imam dan sekurang-kurangnya seorang makmum.
Solat secara berjemaah sangat dituntut dalam Islam.
Bagi Mazhab Syafie hukumnya ialah fardu kifayah, manakala sesetengah pendapat mengatakan solat berjemaah hukumnya sunat muaakad atau sunat yang sangat dituntut dalam Islam.
Menurut Imam As-Syafi’e, orang yang bersolat mendapat pahala berjemaah walaupun hanya sempat mengikut imam seketika iaitu ketika selesai mengangkat takbir, imam memberi salam.
Orang yang bersolat mendapat pahala yang sempurna apabila dia dapat mengikut imam daripada takbiratulihram sehingga salam.
Pahala atau darjatnya 27 kali ganda daripada solat bersendirian.
Daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah SAW bersabda:
Solat jemaah lebih afdal daripada solat bersendirian dengan 27 kali ganda
— Riwayat Bukhari dan Muslim
Ikuti panduan solat berjemaah ini pada pautan ini: Panduan Lengkap Solat Berjemaah
Tinggalkan Komen Anda..
As Salam Ustaz. Saya ada 2 soalan yang perlukan jawapan.
Soalan 1
Sebelum menunaikan solat, saya pastikan rambut saya tidak terkeluar dari telekung yang saya pakai semasa saya solat. Tapi ada kalanya selepas selesai solat saya dapati ada juga beberapa helai rambut yg terkeluar. Apabila terjadi begitu, adakah saya perlu ulang semula solat saya?
Soalan 2
Apakah hukumnya kalau bacaan dalam solat yg dilakukan bersendirian dirumah dibaca dgn kuat?
Mohon pencerahan. Terima kasih.
Waalaikumussalam,
Berikut adalah jawapan kepada kedua-dua soalan puan:
Soalan 1: Adakah perlu ulang solat jika rambut terkeluar dari telekung selepas solat?
Jika rambut hanya terkeluar selepas selesai solat, solat tersebut tetap sah dan tidak perlu diulang. Ini kerana aurat yang terbuka selepas solat tidak memberi kesan kepada sahnya solat yang telah selesai.
Namun, jika rambut terkeluar ketika sedang solat dan ia dibiarkan tanpa segera diperbetulkan, maka aurat tidak lagi tertutup sempurna, dan solat itu boleh menjadi tidak sah. Oleh itu, semasa solat, pastikan aurat sentiasa tertutup dengan baik. Jika terdapat masalah seperti telekung longgar, sebaiknya semak dan perbaiki sebelum solat bermula.
Soalan 2: Apakah hukum membaca kuat dalam solat bersendirian di rumah?
Wanita dibolehkan membaca kuat dalam solat yang disunatkan membaca kuat (Subuh, Maghrib, dan Isyak), dengan syarat tiada lelaki ajnabi yang boleh mendengar. Sekiranya berada di tempat yang terjaga, seperti di rumah, wanita boleh membaca dengan suara kuat sebagaimana lelaki. Ini sesuai dengan pandangan ulama, termasuk Imam al-Nawawi dalam Al-Majmu’, yang menyatakan wanita boleh menguatkan suara jika tiada kebimbangan fitnah.
Namun, jika ada lelaki ajnabi di tempat tersebut atau jika bacaan kuat boleh menimbulkan fitnah, maka wanita disarankan membaca secara perlahan demi menjaga kehormatan dan mengelakkan sebarang fitnah. Bagi solat Zohor dan Asar pula, bacaan sememangnya disyariatkan secara perlahan tanpa mengira situasi.
Kesimpulan:
Semoga jawapan ini memberikan kefahaman yang jelas dan membantu puan dalam melaksanakan ibadah dengan yakin. 😊
As Salam Ustaz. Saya ingin mengqadar solat2 yg telah saya tinggalkan waktu dulu2. Selepas selesai melaksanakan solat fardhu, saya terus bangun utk tunaikan solat qadar. Selepas tu baru saya berzikir dan berdoa. Bolehkah saya buat begitu atau selepas menunaikan solat fardhu, saya berzikir dan berdoa dahulu barulah tunai solat qadar. Terima kasih.
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Tuan/puan boleh terus menunaikan solat qadha selepas solat fardu tanpa perlu berzikir dan berdoa terlebih dahulu. Namun, jika ingin mengikuti sunnah, berzikir dan berdoa selepas solat fardu terlebih dahulu adalah lebih afdal.
Kedua-duanya dibolehkan, dan tidak menjejaskan amalan puan. Semoga usaha qadha solat ini diterima oleh Allah SWT. 😊
Untuk panduan lanjut mengenai solat qadha, puan boleh rujuk artikel ini: https://akuislam.com/blog/ibadah/cara-qada-solat/
Alhamdullilah. Terima kasih Ustaz diatas jawapan yg diberikan.
Sama-sama ツ
As Salam Ustaz. Saya keliru mengenai kesahihan angkat tangan semasa dalam solat. Pendapat ustaz2 bercanggah. Ada yg kata angkat tangan hanya 4 kali saja iaitu pada rakaat pertama semasa takbiratul ihram, semasa hendak rukuk, iktidal dan bangun dari sujud semasa hendak ke rakaat ketiga. Dirakaat2 kedua, ketiga dan keempat, tidak perlu angkat tangan bagi pergerakan2 diatas. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,
Terima kasih atas pertanyaan puan. Dalam solat, terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai bilangan dan waktu mengangkat tangan (raf’ul yadain). Perbezaan ini berdasarkan hadis-hadis yang sampai kepada mereka dan cara mereka memahaminya.
Mazhab Syafi’e menyatakan bahawa disunatkan mengangkat tangan pada empat tempat dalam solat:
Pandangan ini disokong oleh hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, di mana Nabi Muhammad SAW mengangkat tangan pada waktu-waktu tersebut.
Namun, terdapat perbezaan pendapat di kalangan mazhab lain:
Perbezaan ini timbul kerana variasi dalam periwayatan hadis dan interpretasi ulama terhadap amalan Nabi SAW. Oleh itu, jika terdapat perbezaan pendapat di kalangan ustaz mengenai perkara ini, ia berpunca daripada perbezaan mazhab dan sumber rujukan mereka.
Sebagai seorang Muslim, adalah penting untuk mengikuti panduan mazhab yang diamalkan di tempat kita, serta menghormati perbezaan pendapat yang wujud.
Untuk kita sebagai pengikut Mazhab Syafie, maka mengangkat tangan pada empat tempat seperti yang dinyatakan adalah disunatkan.
Semoga penjelasan ini membantu tuan memahami perbezaan pendapat mengenai mengangkat tangan dalam solat.
Wallahu a’lam.
As Salam Ustaz. Terima kasih diatas penjelasan. Cuma saya ingin satu lagi kepastian contohnya angkat tangan ketika hendak rukuk dan iktidal, adakah dilakukan utk rakaat pertama saja? Bg rakaat kedua, ketiga dan keempat tidak perlu angkat tangan ye? Terima kasih.
Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,
Mengangkat tangan (raf’ul yadain) dilakukan setiap kali pada empat tempat berikut, tanpa mengira rakaat:
Sunnah ini tidak terhad kepada rakaat pertama sahaja, tetapi dilakukan pada setiap rakaat di pergerakan yang berkaitan. Semoga ini menjawab persoalan puan.
Wallahu a’lam.
Terima kasih byk2 Ustaz diatas penjelasan yg diberikan. Semoga Ustaz dan keluarga dirahmati Allah swt.
assalamualaikum Ustaz.
maaf banyak banyak. kompius lagi ni tentang angkat tangan. apakah maksud ustaz (Mengangkat tangan (raf’ul yadain) dilakukan setiap kali pada empat tempat berikut, tanpa mengira rakaat) adakah ini bermaksud – contoh solat magrib
ini bermaksud soalt magrib kita mengangkat tangan sebanyak 8 kali.. atau dalam keseluruhan solat magrib itu hanya mengangkat tangan cuma (4) kali seperti tempat-tempat diatas tadi.
maaf banyak2 ustaz atas pertanyaan ini.
Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,
Terima kasih atas soalan yang diberikan, dan semoga penjelasan ini dapat membantu tuan memahami isu ini dengan lebih jelas.
Dalam Mazhab Syafi’i, mengangkat tangan (raf’ul yadain) dilakukan pada empat tempat semasa solat, tanpa mengira bilangan rakaat, iaitu:
Untuk solat Maghrib, berikut adalah contoh pelaksanaannya:
Keseluruhan jumlah angkat tangan dalam solat Maghrib adalah 6 kali. Jumlah ini berdasarkan sunnah dan tidak terhad kepada rakaat tertentu sahaja.
Semoga penjelasan ini menjawab soalan tuan.
Wallahu a’lam.
Assalamualaikum wrt Ustaz. Mengikut contoh yg Ustaz beri mengenai pelaksanaan angkat tangan, bagi Rakaat Ketiga, mengangkat tangan hanya ketika bangun dari tasyahhud awal. Bagaimana pula ketika hendak rukuk dan bangkit dari rukuk?
Wa’alaikumussalam,
Terima kasih atas soalan yang diberikan. Berikut adalah jawapan spesifik kepada persoalan yang awak tanyakan:
1. Mengangkat Tangan Ketika Rakaat Ketiga (Hendak Rukuk dan Bangkit dari Rukuk)
Mengikut Mazhab Syafi’i, mengangkat tangan (raf’ul yadain) disunatkan dilakukan pada setiap rakaat pada tempat-tempat berikut:
Ini bermakna, pada rakaat ketiga dan keempat, mengangkat tangan tetap disunatkan ketika hendak rukuk dan bangkit dari rukuk, sama seperti pada rakaat pertama dan kedua.
2. Mengangkat Tangan Ketika Bangun dari Tasyahhud Awal
Selain itu, pada rakaat ketiga, disunatkan juga mengangkat tangan ketika bangun dari tasyahhud awal ke rakaat ketiga, tetapi ini adalah satu tempat tambahan yang hanya berlaku jika solat itu mempunyai lebih daripada dua rakaat.
Kesimpulan
Pada rakaat ketiga (dan keempat, jika ada), awak tetap disunatkan mengangkat tangan:
Semoga penjelasan ini menjawab kekeliruan awak dan memberikan kefahaman yang lebih jelas. Jika masih ada persoalan, sila ajukan, insyaAllah saya akan cuba membantu.
Wallahu a’lam.
Terima kasih Ustaz diatas penjelasan yang amat jelas dan menghilangkan kekeliruan saya dalam menunaikan ibadah solat.
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah, terima kasih atas kata-kata puan. Saya bersyukur jika penjelasan yang diberikan dapat membantu dan menghilangkan kekeliruan.
Semoga Allah SWT terus mempermudahkan puan dalam menunaikan ibadah dan memberkati setiap usaha puan untuk memperbaiki amal. 😊
asalamulaikum ustaz.mohon pencerahan bacaan surah al fatihah di dalam solat wajip mahu pun solat sunat kerana surah al fatihah adalh rukun dalam solat.boleh kah membaca surah al fatihah tidak ikut wakaf.menyambung bacaan ikut kamahuan kita contoh ayat iya kanak budu wa iya kenastain di sambung dengan noh dines siratal mustakim.apa kah hukum nya dan adakah sah solat membaca surah al fatihah tidak ikut wakaf.mohon pencerahan ustaz
Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,
Terima kasih atas soalan yang baik ini.
Surah Al-Fatihah adalah rukun dalam solat, dan bacaan Al-Fatihah perlu dijaga dari segi sebutan dan maknanya kerana kesilapan dalam bacaan boleh menjejaskan sahnya solat. Berikut adalah beberapa perkara penting berkaitan bacaan Al-Fatihah dalam solat:
1. Kepentingan Wakaf (Berhenti pada Tempat yang Betul): Dalam membaca Al-Fatihah, wakaf (berhenti di tempat yang sesuai) adalah penting bagi menjaga makna ayat. Setiap ayat Al-Fatihah mempunyai makna tersendiri, dan berhenti di tempat yang salah boleh menyebabkan perubahan makna, yang boleh menjejaskan kesempurnaan bacaan.
2. Menyambung Ayat yang Sepatutnya Berhenti: Menyambung ayat yang sepatutnya berhenti, seperti menyambungkan “Iyyaaka na’budu wa iyyaaka nasta’een” dengan “ihdinas siratal mustaqeem”, tidaklah membatalkan solat jika tidak mengubah makna. Namun, ia adalah kurang afdal dan boleh menjejaskan tuma’ninah serta kejelasan bacaan.
3. Hukum Bacaan yang Tidak Mengikut Wakaf: Solat tetap sah selagi bacaan Al-Fatihah dilakukan dengan betul dan tidak mengubah makna asal ayat-ayatnya. Namun, adalah lebih baik dan disarankan untuk mengikuti wakaf yang betul bagi menjaga kesempurnaan dan adab dalam bacaan Al-Fatihah. Membaca dengan wakaf yang betul juga membantu dalam khusyuk dan tuma’ninah solat.
—-
Kesimpulan: Walaupun solat tidak terbatal jika membaca Al-Fatihah tanpa mengikut wakaf dengan tepat, tetapi disarankan untuk mengikut wakaf yang betul bagi menjaga keindahan dan makna bacaan. Jika bacaan menjadi tidak jelas atau terganggu maknanya akibat penyambungan yang tidak sesuai, maka solat boleh menjadi kurang sempurna.
Semoga penjelasan ini membantu dan memberikan panduan yang jelas.
Wallahu a’lam.
Assalamualaikum ustaz, trima kasih atas panduan solat ini.. saya seorang lelaki yg sudah lama meninggalkan solat dari saya bujang hingga sudah berumah tangga.. saya mohon sesiapa yg membaca ini, doakan saya terus istiqamah dalam melakukan ibadah Amin.
Waalaikumussalam,
Terima kasih atas perkongsian tuan. Alhamdulillah, langkah tuan untuk kembali mendirikan solat adalah satu usaha yang sangat mulia. Setiap manusia tidak terlepas daripada ujian dan kelemahan, tetapi yang paling penting adalah keinginan untuk berubah dan memperbaiki diri.
Semoga Allah SWT memberikan tuan kekuatan dan istiqamah dalam melaksanakan solat dan ibadah yang lain. Saya, bersama para pembaca di sini, mendoakan agar tuan sentiasa diberi hidayah, ketenangan, dan rahmat dalam usaha memperbaiki amalan. Amin ya Rabbal Alamin.
Jangan pernah rasa rendah diri dengan masa lalu, kerana setiap detik yang berlalu adalah peluang untuk mendekatkan diri kembali kepada Allah SWT. Jika ada sebarang soalan, saya di sini sedia membantu.
Wallahu a’lam.
Assalamualaikum uztaz , terima kasih atas panduan panduan solat ini .. Saya seorang remaja perempuan yang ingin kembali semula solat .. semoga saya kekal istiqamah.. doakan saya ustaz .. saya ingin bertaubat, terima kasih uztaz semoga dimurahkan rezeki..
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih atas komen yang penuh ikhlas ini. Alhamdulillah, saya sangat berbesar hati dapat membantu awak untuk kembali menunaikan solat. Semoga Allah sentiasa memudahkan usaha awak dan memberikan kekuatan untuk kekal istiqamah dalam ibadah.
Saya doakan agar awak diberikan ketenangan hati, kekuatan iman, serta diterima taubat dengan sepenuh kasih sayang oleh Allah. Ingatlah, Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Setiap usaha awak untuk mendekatkan diri kepada-Nya adalah amat bernilai di sisi Allah. Semoga awak terus diberi kemudahan dan keberkatan dalam setiap langkah yang diambil.
Amin, ya Rabbal ‘alamin.
Terbaik bagi untuk kami yang mualaf
Alhamdulillah, terima kasih atas maklum balas yang positif. Saya sangat gembira mendengar bahawa kandungan ini bermanfaat buat tuan dan saudara-saudara mualaf yang lain. InsyaAllah, usaha kecil ini dapat membantu dalam mempermudahkan pemahaman dan amalan kita semua.
Jika ada apa-apa lagi yang boleh dibantu atau dipermudahkan, jangan segan untuk berkongsi. Semoga Allah SWT terus memberi hidayah dan kekuatan kepada tuan dalam meniti jalan agama-Nya.
Barakallahu fikum, dan selamat menjalani kehidupan sebagai Muslim dengan penuh keberkatan.
Assalamualaikum ustaz, niat sembahyang fardu menjadi makmum kena ada ada’an atau tidak.. contoh: (sahaja aku sembahyang fardu zohor menjadi makmum ada’an 4 rakaat tunai kerana Allah Ta’ala) atau ( sahaja aku sembahyang fardu zohor 4 rakaat menjadi makmum kerana Allah Ta’ala)
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Dalam persoalan ini, kita perlu memahami bahawa niat adalah amalan hati dan intinya adalah untuk memastikan kita sedar jenis solat yang sedang kita dirikan serta peranannya (sama ada makmum atau imam).
1. Perkataan “ada’an” (tunai):
Dalam niat solat fardu, perkataan “ada’an” digunakan untuk menunjukkan bahawa solat itu dilakukan pada waktunya (tunai). Namun, menurut mazhab Syafi’e, menyebut perkataan “ada’an” atau “qada’an” (jika solat qada) dalam niat tidaklah wajib. Ia hanyalah sunat dan membantu memperjelaskan jenis solat yang sedang dilakukan, sama ada tunai atau qada. Oleh itu, sekiranya anda tidak menyebut “ada’an”, niat solat anda tetap sah, asalkan niat anda jelas untuk menunaikan solat fardu yang tertentu pada waktu tersebut.
2. Perlu atau tidak menyebut “makmum”:
Dalam niat menjadi makmum, menyebut perkataan “menjadi makmum” atau “imaman” (untuk imam) juga disunatkan bagi menegaskan peranan kita dalam solat berjemaah. Namun, seperti juga “ada’an”, jika tidak disebut, solat anda tetap sah, selagi dalam hati anda berniat untuk solat berjemaah sebagai makmum.
Oleh itu, contoh niat seperti “Sahaja aku solat fardu Zohor 4 rakaat menjadi makmum kerana Allah Ta’ala” sudah memadai dan sah. Tambahan perkataan “ada’an” adalah sunat, bukan syarat wajib.
Kesimpulannya, lafaz niat boleh disesuaikan, dan yang paling penting adalah niat dalam hati yang benar dan ikhlas kerana Allah. Menyebut “ada’an” atau “menjadi makmum” adalah sunat, dan tidak menyebutnya tidak menjejaskan sahnya solat.
Wallahu a’lam.
As’salam ustaz,saya nk tanya,jika duduk tahyat awal atau akhir,kaki kanan saya tidak mampu untuk melipat jadi ke arah kiblat,adakah solat saya sah ustaz,kerna kaki saya pernah mengalami kemalangan dan agak keras untuk membengkokkan jari ke arah kiblat
Wa‘alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,
Dalam hal ini, kebolehan dan keselesaan dalam melaksanakan ibadah adalah sangat penting, terutama jika berhadapan dengan kekangan fizikal akibat kemalangan atau kecederaan.
Menurut pandangan Syafie mazhab, posisi kaki semasa duduk tasyahhud (tahiyat awal atau akhir) memang ada sunnahnya, namun keselesaan dan kemampuan adalah diutamakan. Jika tuan mengalami kesulitan untuk melipat kaki kanan menghadap kiblat, tuan dibenarkan untuk menyesuaikan posisi duduk mengikut kemampuan. Solat tuan masih sah selagi rukun dan syarat solat dipenuhi dan tuan berusaha sebaik mungkin untuk mengikut tatacara solat dengan betul berdasarkan kemampuan.
Allah SWT berfirman dalam Al-Quran, “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya” (Surah Al-Baqarah, 286). Oleh itu, lakukan solat sesuai dengan kemampuan dan keselesaan tuan, dan insyaAllah, solat tuan adalah sah dan diterima.
Semoga Allah memudahkan urusan tuan dan memberi kesembuhan kepada tuan. Amin.
Jazakallahu khairan.
Alhamdullilah terima kasih ustaz atas penerangan yang diberikan.
Alhamdulillah sama-sama tuan
assalamualaikum ustaz, saya nak tanya, keadaan kaki seorang perempuan ketika bersiap sedia untuk menghadap kiblat dan mula sembahyang bagaimana? kalau sebelum ini saya solat dengan kaki terbuka adakah terbatal solat saya itu?
bagaimana dengan kalau saya tidak membaca doa iftitah sebelum surah al fatihah ?
terima kasih ustaz
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,
Terima kasih atas soalan puan. Berikut adalah penjelasan mengenai kedudukan kaki ketika solat dan keperluan membaca doa iftitah:
Kedudukan Kaki Semasa Solat
1. Kaki Terbuka atau Rapat
Kedudukan kaki dalam solat tidak perlu dirapatkan secara ketat atau terlalu terbuka. Yang penting adalah keselesaan dan kestabilan tubuh ketika berdiri. Kaki boleh dibuka seluas bahu atau sedikit kurang, mengikut keselesaan puan.
Dalam Mazhab Syafie, tidak ada ketetapan khusus yang mewajibkan kaki mesti dirapatkan atau dibuka dalam jarak tertentu. Yang lebih penting adalah memastikan kiblat dihadapkan dengan sempurna dan tubuh dalam keadaan tenang dan stabil.
2. Kaki Tidak Menjejaskan Sahnya Solat
Jika puan sebelum ini solat dengan kaki terbuka, solat puan tetap sah selagi mana rukun-rukun solat yang lain dipenuhi dengan sempurna. Kedudukan kaki tidak membatalkan solat jika dilakukan dengan tujuan mencapai kestabilan dan kekhusyukan dalam solat.
Doa Iftitah:
Hukum Membaca Doa Iftitah:
– Membaca doa iftitah adalah sunat muakkad (sangat disunatkan) tetapi bukanlah wajib. Solat tetap sah walaupun puan tidak membaca doa iftitah.
– Doa iftitah adalah pembukaan dalam solat yang dianjurkan untuk dibaca selepas takbiratul ihram dan sebelum membaca Surah Al-Fatihah. Ia menambahkan kekhusyukan dan keberkatan dalam solat, tetapi tidak membaca doa iftitah tidak membatalkan solat.
Kesimpulan:
– Kedudukan Kaki. Solat puan tetap sah walaupun kaki dibuka. Pastikan kedudukan kaki memberikan kestabilan dan kekhusyukan dalam solat.
– Doa Iftitah. Tidak membaca doa iftitah tidak membatalkan solat. Ia adalah sunat muakkad yang menambah kesempurnaan solat tetapi tidak wajib.
Semoga penjelasan ini membantu puan dalam memahami lebih lanjut tentang kedudukan kaki dan doa iftitah dalam solat. Jika ada sebarang pertanyaan lanjut atau memerlukan penjelasan tambahan, sila maklumkan.
Wallahu a’lam.
terima kasih ustaz. bagaimana kalau saya sebelum ini tidak merapatkan kaki ketika waktu sujud, adakah solat saya pun turut terbatal juga
Tidak merapatkan kaki ketika sujud tidak menyebabkan solat menjadi batal. Namun, adalah lebih baik untuk merapatkan kaki ketika sujud kerana ini adalah sebahagian daripada sunnah yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW.
Menjaga adab dan tata cara solat adalah penting untuk kesempurnaan solat, tetapi jika ada kekurangan seperti ini, solat anda tetap sah selama rukun dan syarat-syarat sah solat dipenuhi.
Jika ada kekurangan dalam mengikuti sunnah, itu adalah suatu perkara yang boleh diperbaiki untuk solat yang akan datang. Tetaplah berusaha untuk memperbaiki dan meningkatkan kualiti solat anda.
Wallahu a’lam ツ
terima kasih ustaz
Sama-sama :-)