Perkara Yang Sunat Ketika Iktikaf & Yang Membatalkannya

perkara yang sunat dan membatalkan iktikaf

Adalah disunatkan ke atas orang yang sedang iktikaf itu menyibukkan diri dengan berbuat taat akan Allah Taala seperti solat dan berzikir dan membaca Quran dan muzakarah ilmu kerana ia lebih menghasilkan kepada tujuan iktikaf itu iaitu mendekat diri kepada Allah.

Telah menyebut oleh Dr Wahbah Az-Zuhaili :

يستحب للمعتكف التشاغل على قدر الاستطاعة ليلاً ونهاراً بالصلاة، وتلاوة القرآن، وذكر الله تعالى نحو لا إله إلا الله، ومنه الاستغفار، والفكر القلبي في ملكوت السموات والأرض ودقائق الحكم، والصلاة على النبي صلّى الله عليه وسلم، وتفسير القرآن ودراسة الحديث، والسيرة، وقصص الأنبياء وحكايات الصالحين، ومدارسة العلم، ونحو ذلك من الطاعات المحض

Ertinya: “Disunatkan bagi orang yang iktikaf itu dengan semampunya menghabiskan masa iktikaf itu pada siang dan malam dengan mengerjakan solat dan membaca Quran dan zikir akan Allah Taala seperti bertahlil dan setengah daripadanya ialah beristighfar dan hati memikirkan pada kerajaan segala langit dan bumi dan segala kehalusan hikmah dan berselawat atas Nabi sollallahu alaihi wasallam dan tafsir Quran dan belajar hadith dan sirah dan segala kisah para Nabi a.s. dan hikayat orang-orang soleh dan mempelajari ilmu pengetahuan dan umpama yang demikian itu dari segala bagai ketaatan.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Dan sunat pula seorang yang beriktikaf itu dalam keadaan berpuasa sama ada puasa wajib atau sunat dan jika tidak dia melakukan puasa nescaya sah iktikafnya itu.

Berkata Imam Al-Imrani As-Syafie:

والمستحب أن يعتكف وهو صائم

Ertinya : “Dan yang disunatkan ialah seorang itu iktikaf dalam keadaan dia sedang berpuasa.” (Kitab Al-Bayan)

Berkata pula Imam As-Syairazi:

والأفضل أن يعتكف بصوم لأن النبي صلى الله عليه وسلم كان يعتكف في شهر رمضان فإن اعتكف بغير صوم جاز

Ertinya : “Dan yang afdhal ialah seorang itu beriktikaf dengan berpuasa kerana sungguhnya Nabi sollallahu alaihi wasallam adalah baginda beriktikaf pada bulan Ramadhan. Maka jika seorang itu iktikaf dengan tidak berpuasa nescaya harus ia.” (Kitab Al-Muhazzab)

Dan sunat iktikaf di dalam masjid yang didirikan Solat Jumaat padanya daripada masjid yang tidak didirikan solat jumaat dan hikmahnya ialah tidak perlu lagi orang yang iktikaf itu dia keluar pergi ke tempat solat jumaat.

Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili :

والجامع أولى بالاعتكاف فيه من غيره، للخروج من خلاف من أوجبه، ولكثرة الجماعة فيه، وللاستغناء عن الخروج للجمعة

Ertinya : “Dan iktikaf di masjid yang dibuat jumaat itu lebih utama dari masjid yang lainnya kerana keluar dari khilaf mereka yang mewajibkannya dan kerana ramainya jemaah di situ dan kerana tidak perlu sibuk untuk keluar kepada tempat solat jumaat.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Dan sunat orang yang iktikaf itu meninggalkan bercakap akan perkara yang tiada faedah lebih-lebih lagi bercakap perkara yang diharamkan.

Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah :

يَنْبَغِي لِلْمُعْتَكِفِ أَلاَّ يَتَكَلَّمَ إِلاَّ بِخَيْرٍ

Ertinya : “Sepatunya bagi orang yang beriktikaf itu tidak bercakap melainkan percakapan yang baik.”

Berkata Syeikh Abdul Rahman Al-Jaziri:

وأما آدابه: فمنها أن يشتغل بطاعة الله تعالى كتلاوة القرآن والحديث والذكر والعلم، لأن ذلك طاعة؛ ويسن له الصيام؛ وأن يكون في المسجد الجامع؛ وأفضل المساجد الحرام؛ ثم المسجد النبوي، ثم المسجد الأقصى؛ وأن لا يتكلم إلا بخير فلا يشتم، ولا ينطق بلغو الكلام.

Ertinya: “Dan adapun adab-adab iktikaf maka setengahnya ialah menyibukkan diri dengan taatkan Allah Taala seperti membaca Quran dan hadith dan zikir dan ilmu kerana sungguhnya yang demikian itu ialah taat dan disunatkan baginya berpuasa. Dan disunatkan bahawa adalah iktikaf itu di dalam masjid jame’ yakni masjid yang dibuat solat jumaat dan yang paling afdhal ialah masjid Haram kemudian masjid Nabawi kemudian masjid Aqsa. Dan hendaklah dia tidak bercakap melainkan yang baik-baik dan tidak berkata yang tidak baik dan tidak bercakap dengan percakapan yang sia-sia.” (Kitab Al-Fiqh Ala Mazahib Al-Arba’ah)

Akan tetapi harus orang yang iktikaf itu berbual atau berkata-kata perkara yang harus dan hendaklah berhati-hati kerana biasanya apabila banyak berkata-kata maka banyaklah tersalahnya dan jauh pula lajaknya.

Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili:

يجتنب المعتكف كل مالا يعنيه من الأقوال والأفعال، ولا يكثر الكلام؛ لأن من كثر كلامه كثر سَقَطه، وفي الحديث: من حسن إسلام المرء تركه ما لا يعنيه

Ertinya : “Hendaklah orang yang iktikaf itu menjauhkan akan sekelian perkara yang tidak berfaedah dari segala ucapan dan perbuatan dan tidak membanyakkan berkata-kata kerana sungguhnya siapa yang banyak berkata-kata nescaya banyaklah salahnya dan sabit pada hadith bahawa setengah dari keelokkan akhlak seseorang itu ialah dia meninggalkan apa yang tidak berfaedah baginya.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Perkara Yang Membatalkan Iktikaf

Ada beberapa perkara yang membatalkan akan iktikaf iaitu :

KELUAR DARI MASJID

Telah sepakat para fuqahak atas bahawa keluar dari masjid itu bagi lelaki dan perempuan apabila bukan kerana hajat seperti pergi membeli barangan atau pulang ke rumah berjumpa anak isterinya atau seumpamanya maka keluarnya itu membatalkan akan iktikaf samada keluar dari masjid itu lama masanya atau sekejap sahaja.

Dan adalah keluar tanpa uzur yang membatalkan iktikaf itu ialah yang berlaku dengan sengaja maka jika seorang itu terlupa bahawa dia sedang iktikaf lalu keluar dari masjid maka tidaklah membatalkan iktikafnya kerana kelupaanya itu.

Tersebut pada Kitab Al-Maus’atul Fiqhiyah :

وَذَهَبَ الشَّافِعِيَّةُ وَالْحَنَابِلَةُ إِلَى عَدَمِ الْبُطْلاَنِ إِذَا خَرَجَ نَاسِيًا ، لِقَوْل النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: عُفِيَ لأِمَّتِي عَنِ الْخَطَأِ وَالنِّسْيَانِ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Ertinya : “Telah berjalan oleh ulamak-ulamak mazhab Syafie dan Hanbali kepada tiada batal iktikaf jika keluar dari masjid dalam keadaan terlupa kerana sabda Nabi sollallahu alaihi wasallam : Dimaafkan bagi umatku daripada kesalahan dan kelupaan dan perkara yang dipaksakan mereka atasnya.”

Adapun jika keluar dari masjid kerana menunaikan hajat maka tidaklah membatalkan iktikaf dan contoh perkara yang dikira sebagai hajat itu ialah kencing dan berak dan berwuduk dan mandi yang wajib.

Telah diriwayatkan daripada Aisyah r.a. :

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لَا يَدْخُلُ الْبَيْتَ إلَّا لِحَاجَةِ الْإِنْسَانِ

Ertinya : “Sungguhnya Nabi saw adalah baginda tidak pulang ke rumah kecuali kerana hajat yang diperlukan manusia.” (Riwayat Imam Muslim)

Berkata Imam Ibnu Al-Munzir :

أَجْمَعَ أَهْل الْعِلْمِ عَلَى أَنَّ لِلْمُعْتَكِفِ أَنْ يَخْرُجَ مِنْ مُعْتَكَفِهِ لِلْغَائِطِ وَالْبَوْل، لأِنَّ هَذَا مِمَّا لاَ بُدَّ مِنْهُ، وَلاَ يُمْكِنُ فِعْلُهُ فِي الْمَسْجِدِ

Ertinya : “Telah ijmak sekelian ulamak atas bahawa harus bagi yang beriktikaf keluar dari tempat iktikafnya kerana kencing dan berak dari kerana sungguhnya ini adalah perkara yang tidak dapat dielakkan daripadanya dan tidak mungkin melakukannya di dalam masjid.”

Jika muazzin yang sedang beriktikaf dia keluar dari banggunan masjid kerana hendak azan di luar masjid atau pergi ia ke atas menara azan yang terletak di luar masjid maka berkata sebahagian fuqahak batal iktikafnya dan jika menara tersebut berada di dalam masjid maka tiada batal iktikafnya.

Dan harus keluar dari masjid oleh orang yang sakit kerana berubat atau kerana bimbangkan air kencing atau najisnya terkena masjid.

Berkata Imam As-Syairazi :

إِنْ مَرِضَ مَرَضًا لَا يَأْمَنُ مَعَهُ تَلْوِيثَ الْمَسْجِدِ كَانْطِلَاقِ الْجَوْفِ وَسَلَسِ الْبَوْلِ خَرَجَ كَمَا يَخْرُجُ لِحَاجَةِ الْإِنْسَانِ وَإِنْ كَانَ مَرَضًا يَسِيرًا يُمْكِنُ مَعَهُ الْمَقَامُ فِي الْمَسْجِدِ مِنْ غَيْرِ مَشَقَّةٍ لَمْ يَخْرُجُ وَإِنْ خَرَجَ بَطَلَ اعْتِكَافُهُ

Ertinya : “Jika seorang yang sedang iktikaf itu jatuh sakit yang tidak mampu dari memelihara masjid dari tercemar oleh najis seperti sakit perutnya dan menitik air kencingnya maka harus dia keluar seperti harus keluar kerana keperluan kemanusiaan. Dan jika dia sakit sedikit yang mungkin dia terus tinggal dalam masjid tanpa sebarang kesukaran maka jika dia keluar nescaya batal iktikafnya.” (Kitab Al-Muhazzab)

Berkata Imam As-Syairazi lagi :

وَيَجُوزُ أَنْ يَخْرُجَ مِنْ اعْتِكَافِ التَّطَوُّعِ لِعِيَادَةِ الْمَرِيضِ لِأَنَّهَا تَطَوُّعٌ وَالِاعْتِكَافُ تَطَوُّعٌ فَخُيِّرَ بَيْنَهُمَا فَإِنْ اخْتَارَ الْخُرُوجَ بَطَلَ اعْتِكَافُهُ لِأَنَّهُ غَيْرُ مظطر إلَيْهِ

Ertinya : “Dan harus yang beriktikaf yang sunat keluar dari masjid kerana ziarah orang sakit kerana ziarahnya itu adalah sunat dan iktikaf juga sunat maka diberi pilih antara keduanya. Maka jika dia memilih keluar nescaya batal iktikafnya kerana keluarnya itu bukan darurah kepadanya.” (Kitab Al-Muhazzab)

Dan sebahagian fuqahak mengkiaskan dengan keluar ziarah orang sakit ini akan ziarah sanak saudara dan sahabat handai dan jiran-jiran.

Berkata Syeikh Khatib As-Syarbini:

أما ذَوُو الرَّحِم والأقارب والأصدقاء وَالْجِيرَان فَالظَّاهِر أَن الْخُرُوج لعيادتهم أفضل لَا سِيمَا إِذا علم أَنه يشق عَلَيْهِم وَعبارَة القَاضِي الْحُسَيْن مصرحة بذلك وَهَذَا هُوَ الظَّاهِر وَالله تَعَالَى أَعلَى وَأعلم

Ertinya : “Ada pun keluarga yang rapat dan kaum kerabat dan sahabat handai dan segala jiran itu maka yang zahirnya bahawa keluar ziarah akan mereka itu afdhal istimewa pula apabila mengetahui akan kesukaran atas mereka itu. Dan ibarat Al-Qadhi Husain menjelaskan dengan yang demikian itu dan ialah pendapat yang zahir.” (Kitab Al-Iqna’ Syarah Abi Syuja’)

Dan jika seorang sedang iktikaf yang sunat maka harus dia keluar ke tempat solat jenazah dan jika sedang iktikaf yang wajib maka tiada harus dia keluar kerana solat jenazah jika sudah ada orang yang lain boleh bersolat ke atas jenazah tersebut.

Berkata Imam Nawawi:

وَإِنْ عَرَضَتْ صَلَاةُ جِنَازَةٍ نَظَرْت فَإِنْ كَانَ فِي اعْتِكَافِ تَطَوُّعٍ فَالْأَفْضَلُ أَنْ يَخْرُجَ لِأَنَّ صَلَاةَ الْجِنَازَةِ فَرْضٌ عَلَى الْكِفَايَةِ فَقُدِّمَتْ عَلَى الِاعْتِكَافِ وَإِنْ كَانَ فِي اعْتِكَافِ فَرْضٍ لَمْ يَخْرُجْ لِأَنَّهُ تَعَيَّنَ عَلَيْهِ فَرْضُهُ فَلَا يَجُوزُ أَنْ يَخْرُجَ لِصَلَاةِ الْجِنَازَةِ الَّتِي لَمْ يَتَعَيَّنْ عَلَيْهِ فَرْضُهَا فَإِنْ خَرَجَ بَطَلَ اعْتِكَافُهُ لِأَنَّهُ غَيْرُ مُضْطَرٍّ الي الخروج لان غيره يقوم مقامه

Ertinya : “Dan jika berhadap kepadanya tuntutan solat jenazah maka hendaklah dilihat jika dia sedang iktikaf yang sunat maka yang afdhal hendaklah dia keluar dari masjid untuk solat kerana sungguhnya solat jenazah itu fardu kifayah maka fardu kifayah didulukan atas iktikaf. Dan jika dia sedang iktikaf yang wajib nescaya tidak harus dia keluar kerana bahawasanya tertentu kewajipan iktikaf itu atas dirinya maka tidak harus bahawa keluar ia bagi solat jenazah yang tidak tertentu atasnya kewajipannya. Maka jika dia keluar nescaya batal iktikafnya kerana keluarnya itu bukan darurah dan kerana bahawasanya orang yang lain boleh mengerjakan solat itu menggantikan tempatnya.” (Kitab Al-Majmu’)

PERSETUBUHAN

Melakukan jimak yakni persetubuhan dengan sengaja sekalipun tidak keluar mani adalah haram ke atas orang yang sedang beriktikaf dan ia membatalkannya dengan sepakat fuqahak.

Dan telah sepakat oleh fuqahak bahwa sengaja melakukan persetubuhan itu haram dan membatalkan iktikaf.

Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah:

اتَّفَقَ الْفُقَهَاءُ عَلَى أَنَّ الْجِمَاعَ فِي الاِعْتِكَافِ حَرَامٌ وَمُبْطِلٌ لَهُ، لَيْلاً كَانَ أَوْ نَهَارًا، إِنْ كَانَ عَامِدًا

Ertinya : “Telah sepakat oleh fuqahak atas bahawasanya jimak ketika iktikaf itu haram dan membatalkan iktikaf samada siang atau malam jika adalah ia dengan disengajakan.”

Berkata Imam Taqiyudin Ad-Dimasyqi :

وَلَو جَامع بَطل اعْتِكَافه لِأَنَّهُ منَاف للاعتكاف وَهَذَا بِشَرْط كَونه مُخْتَارًا ذَاكِرًا للاعتكاف عَالما بِالتَّحْرِيمِ

Ertinya : “Dan kalau orang yang iktikaf itu menjimak isterinya nescaya batal iktikafnya kerana sungguhnya jimak itu menafikan bagi iktikaf. Dan ini dengan syarat perbuatan jimak itu dengan pilihan dan dia sedar sedang iktikaf lagi tahu dengan diharamkan jimak itu.” (Kitab Kifayatul Akhyar)

Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah :

لاَ خِلاَفَ بَيْنَ الْفُقَهَاءِ فِي أَنَّ الرَّفَثَ فِي الاِعْتِكَافِ مُحَرَّمٌ؛ لِقَوْلِهِ تَعَالَى: {وَلاَ تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنْتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ} فَإِنْ جَامَعَ مُتَعَمِّدًا فَسَدَ اعْتِكَافُهُ بِإِجْمَاعِ أَهْل الْعِلْمِ؛ لأِنَّ الْجِمَاعَ إِذَا حُرِّمَ فِي الْعِبَادَةِ أَفْسَدَهَا كَالْحَجِّ وَالصَّوْمِ.

Ertinya : “Tiada khilaf antara fuqahak pada bahawasanya persetubuhan ketika iktikaf itu diharamkan kerana firman Allah Taala : Dan jangan kamu sekelian menggauli isteri-isteri sedang kamu sekelian beriktikaf di dalam segala masjid. Maka jika dia jimak dengan sengaja nescaya merosakkan iktikafnya dengan ijmak ulamak kerana jimak itu apabila diharamkan pada ibadah maka ia merosakkan ibadah tersebut seperti pada haji dan puasa.”

Dan begitu juga haram ia melakukan jimak ketika keluar dari masjid kerana hajat dan batal iktikafnya.

Maksudnya sekalipun dia keluar dari masjid kerana suatu hajat seperti pulang ke rumahnya untuk mandi hadas lalu dia jimak akan isterinya maka iktikafnya batal.

Adapun jika seorang itu lupa dia sedang beriktikaf lalu melakukan jimak maka tidak batal iktikafnya di sisi mazhab Syafie kerana sungguhnya pengharaman jimak dalam iktikaf itu hanyalah ke atas orang yang tahu tentang haramnya lagi ingat dia sedang iktikaf.

Berkata Imam Nawawi :

{فَرْعٌ} فِي مَذَاهِبِ الْعُلَمَاءِ فِي جِمَاعِ الْمُعْتَكِفِ نَاسِيًا. قَدْ ذَكَرْنَا أَنَّهُ لَا يَفْسُدُ اعْتِكَافُهُ عِنْدَنَا وَبِهِ قَالَ دَاوُد . وَقَالَ مَالِكٌ وَأَبُو حَنِيفَةَ وَأَحْمَدُ يَفْسُدُ

Ertinya : “Ini satu cabang masalah pada mazhab-mazhab ulamak tentang jimak orang yang iktikaf dalam keadaan lupa. Sungguhnya telah kami sebutkan bahawasanya ia tidak membatalkan iktikafnya di sisi kami dan dengannya telah berkata oleh Daud. Dan berkata Malik dan Abu Hanifah dan Ahmad batal iktikafnya.” (Kitab Al-Majmu’)

Ada pun selain dari jimak seperti berpeluk atau bercium atau seumpamanya maka tidak membatalkan iktikaf melainkan jika keluar mani.

Berkata Syeikh Khatib As-Syarbini :

وَأما الْمُبَاشرَة بِشَهْوَة فِيمَا دون الْفرج كلمس وقبلة فتبطله إِن أنزل وَإِلَّا فَلَا تبطله

Ertinya : “Dan adapun bersentuhan dengan syahwat padan anggota badan yang lain daripada faraj seperti sentuhan dan ciuman maka membatalkan iktikaf jika keluar mani dan jika tidak keluar mani maka tidak membatalkan.” (Kitab Al-Iqna’)

Dan selain dari kedua ini yang membatalkan iktikaf itu ialah persentuhan yang mengeluarkan mani dan mabuk dan riddah dan haid dan nifas.

Berkata Imam Taqiyudin Ad-Dimasyqi :

وَاعْلَم أَنه لَو بَاشر بلمس أَو قبْلَة بِشَهْوَة فَأنْزل بَطل اعْتِكَافه

Ertinya : “Dan ketahui olehmu sungguhnya jikalau seorang itu menyentuh isteri atau menciumnya dengan syahwat lalu keluar mani maka batal iktikafnya.” (Kitab Kifayatul Akhyar)

Berkata Syeikh Nawawi Al-Bantan :

وَالَّذِي يبطل الِاعْتِكَاف تِسْعَة أَشْيَاء الْوَطْء والإنزال عَن مُبَاشرَة بِشَهْوَة وَالسكر المتعدى بِهِ وَالرِّدَّة وَالْحيض إِذا كَانَت مُدَّة الِاعْتِكَاف تَخْلُو عَنهُ غَالِبا وَالنّفاس كَذَلِك وَالْخُرُوج لغير عذر

Ertinya : “Dan bermula perkara yang membatalkan akan iktikaf itu ada sembilan perkara iaitu jimak dan keluar mani sebab bersentuhan dengan syahwat dan mabuk yang disengajakan dengannya dan murtad dan haidh apabila adalah masa iktikaf itu sunyi daripadanya pada ghalib dan nifas dan begitu juga keluar dari masjid tanpa uzur.” (Kitab Nihayah Az-Zain)

Ketahui olehmu bahawa jimak dan bersentuhan suami isteri dengan syahwat adalah diharamkan di dalam masjid sekalipun bagi orang yang tidak beriktikaf.

Berkata Syeikh Nawawi :

وَاعْلَم أَن الْوَطْء والمباشرة بِشَهْوَة حرَام فِي الْمَسْجِد مُطلقًا وَلَو من غير معتكف

Ertinya : “Ketahui olehmu bahawasanya persetubuhan dan persentuhan dengan syahwat itu haram di dalam masjid secara mutlak walaupun dari orang yang tidak beriktikaf.” (Kitab Nihayah Az-Zain)

Dan adalah orang yang iktikaf yang membatalkan iktikafnya dengan jimak itu tiada diwajibkan ke atasnya membayar kafarah.

Berkata Syeikh Ad-Damiri :

ولا كفارة في إفساد الاعتكاف بالجماع

Ertinya : “Dan tidak ada kewajipan membayar kafarah pada masalah merosakkan iktikaf dengan jimak.” (Kitab An-Najm Al-Wahhaj)

LAIN-LAIN YANG MEMBATALKAN IKTIKAF

Dan orang yang hilang aqal itu rosak iktikafnya kerana tiada sah niat dari mereka ini.

Berkata Syeikh Ibnu Hajar :

فلا يصح من مجنون ومغمى عليه وسكران إذ لا نية لهم، ويصح من المميز والعبد والمرأة

Ertinya : “Maka tidak sah iktikaf dari orang yang gila dan yang pingsan dan yang mabuk kerana tiada sah niat bagi mereka ini. Dan sah iktikaf dari kanak-kanak yang sudah mumayyiz dan hamba abdi dan perempuan.” (Kitab Minhajul Qawwim)

Dan setengah dari perkara yang membatalkan iktikaf ialah datang haidh dan nifas ke atas perempuan kerana haram mereka tinggal di dalam masjid.

Oleh itu jika perempuan yang sedang beriktikaf datang haid maka hendaklah dia segera keluar dari masjid dan jika dia sengaja melambatkan keluar dari masjid maka dia berdosa.

Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus

Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

2 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
wan
wan
13 hari yang lalu

Terima kasih Tuan.