Takbir Raya Rumi dan Jawi: Aidilfitri dan Raya Haji (PDF)

Lafaz takbir raya penuh dalam Arab, Rumi dan maksud untuk Aidilfitri dan Raya Haji. Bila bermula, sampai bila, dan takbir selepas solat 9 hingga 13 Zulhijjah.

Muhamad Naim Abd ManafDikemas kini 12 November 2026
Takbir raya aidilfitri dan aidiladha

Ini adalah panduan lengkap takbir raya Aidilfitri dan Aidiladha: lafaz pendek dan lafaz panjang dalam tulisan Arab dan Rumi beserta maksud, bila takbir bermula dan berakhir, dan cara bertakbir selepas solat pada Hari Raya Haji.

Ringkasan Takbir Raya

  • Hukum: sunat, dengan suara nyaring bagi lelaki.
  • Lafaz pendek: Allāhu akbar tiga kali, lā ilāha illallāhu wallāhu akbar, Allāhu akbar wa lillāhil-ḥamd.
  • Takbir malam raya (mursal): dari terbenam matahari malam raya hingga imam memulakan solat raya, bagi kedua-dua hari raya.
  • Takbir selepas solat (muqayyad): khusus Aidiladha, dari Subuh 9 Zulhijjah hingga Asar 13 Zulhijjah.
  • Siapa: lelaki dan wanita, kanak-kanak mumayyiz, musafir, termasuk wanita haid.

Lafaz takbir raya sama bagi Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, dan sama bagi takbir di malam raya dan takbir selepas solat.1

Susunan Satu Kitaran Takbir

Ikut nombor dari atas ke bawah. Setiap nombor dibaca sekali. Bilangan enam kali ialah kebiasaan setempat, dan tuan puan boleh kurangkan atau tambah.

  1. Langkah 1 hingga 6: lafaz pendek, enam kali.
  2. Langkah 7 hingga 16: lafaz panjang, sekali.
  3. Langkah 17: lafaz pendek sekali lagi.
  4. Ulang: kembali ke langkah 1 selagi takbir diteruskan.

Lafaz Pendek (Langkah 1 hingga 6)

Ini lafaz asas takbir raya. Bacalah enam kali sebelum masuk ke lafaz panjang.

1

Pusingan 1 daripada 6

Mulakan takbir dengan lafaz ini:

اللّٰهُ أَكْبَرُ، اللّٰهُ أَكْبَرُ، اللّٰهُ أَكْبَرُ، لَا إِلٰهَ إِلَّا اللّٰهُ وَاللّٰهُ أَكْبَرُ، اللّٰهُ أَكْبَرُ وَلِلّٰهِ الْحَمْدُ

Allāhu akbar, Allāhu akbar, Allāhu akbar, lā ilāha illallāhu wallāhu akbar, Allāhu akbar wa lillāhil-ḥamd.

“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Tiada tuhan melainkan Allah, dan Allah Maha Besar. Allah Maha Besar, dan bagi Allah segala puji.”

2

Pusingan 2 daripada 6

Ulang lafaz yang sama:

اللّٰهُ أَكْبَرُ، اللّٰهُ أَكْبَرُ، اللّٰهُ أَكْبَرُ، لَا إِلٰهَ إِلَّا اللّٰهُ وَاللّٰهُ أَكْبَرُ، اللّٰهُ أَكْبَرُ وَلِلّٰهِ الْحَمْدُ

Allāhu akbar, Allāhu akbar, Allāhu akbar, lā ilāha illallāhu wallāhu akbar, Allāhu akbar wa lillāhil-ḥamd.

3

Pusingan 3 daripada 6

Ulang lafaz yang sama:

اللّٰهُ أَكْبَرُ، اللّٰهُ أَكْبَرُ، اللّٰهُ أَكْبَرُ، لَا إِلٰهَ إِلَّا اللّٰهُ وَاللّٰهُ أَكْبَرُ، اللّٰهُ أَكْبَرُ وَلِلّٰهِ الْحَمْدُ

Allāhu akbar, Allāhu akbar, Allāhu akbar, lā ilāha illallāhu wallāhu akbar, Allāhu akbar wa lillāhil-ḥamd.

4

Pusingan 4 daripada 6

Ulang lafaz yang sama:

اللّٰهُ أَكْبَرُ، اللّٰهُ أَكْبَرُ، اللّٰهُ أَكْبَرُ، لَا إِلٰهَ إِلَّا اللّٰهُ وَاللّٰهُ أَكْبَرُ، اللّٰهُ أَكْبَرُ وَلِلّٰهِ الْحَمْدُ

Allāhu akbar, Allāhu akbar, Allāhu akbar, lā ilāha illallāhu wallāhu akbar, Allāhu akbar wa lillāhil-ḥamd.

5

Pusingan 5 daripada 6

Ulang lafaz yang sama:

اللّٰهُ أَكْبَرُ، اللّٰهُ أَكْبَرُ، اللّٰهُ أَكْبَرُ، لَا إِلٰهَ إِلَّا اللّٰهُ وَاللّٰهُ أَكْبَرُ، اللّٰهُ أَكْبَرُ وَلِلّٰهِ الْحَمْدُ

Allāhu akbar, Allāhu akbar, Allāhu akbar, lā ilāha illallāhu wallāhu akbar, Allāhu akbar wa lillāhil-ḥamd.

6

Pusingan 6 daripada 6

Ulang kali terakhir sebelum lafaz panjang:

اللّٰهُ أَكْبَرُ، اللّٰهُ أَكْبَرُ، اللّٰهُ أَكْبَرُ، لَا إِلٰهَ إِلَّا اللّٰهُ وَاللّٰهُ أَكْبَرُ، اللّٰهُ أَكْبَرُ وَلِلّٰهِ الْحَمْدُ

Allāhu akbar, Allāhu akbar, Allāhu akbar, lā ilāha illallāhu wallāhu akbar, Allāhu akbar wa lillāhil-ḥamd.

Lafaz pendek sudah dibaca enam kali. Teruskan dengan lafaz panjang.

Lafaz Panjang (Langkah 7 hingga 16)

Lafaz ini ialah tambahan yang disukai Imam asy-Syafi‘i, dan susunan inilah yang biasa dilaungkan di masjid dan surau di Malaysia.2 Bacalah langkah 7 hingga 16 berturut-turut tanpa berhenti.

7

Lafaz panjang

Mulakan dengan tiga kali takbir:

اللّٰهُ أَكْبَرُ، اللّٰهُ أَكْبَرُ، اللّٰهُ أَكْبَرُ

Allāhu akbar, Allāhu akbar, Allāhu akbar.

“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar.”

8

اللّٰهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا، وَالْحَمْدُ لِلّٰهِ كَثِيرًا

Allāhu akbar kabīrā, wal-ḥamdu lillāhi kaṡīrā.

“Allah Maha Besar dengan sebesar-besarnya, dan segala puji bagi Allah dengan sebanyak-banyaknya.”

9

وَسُبْحَانَ اللّٰهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

Wa subḥānallāhi bukrataw wa aṣīlā.

“Dan Maha Suci Allah pada waktu pagi dan petang.”

10

لَا إِلٰهَ إِلَّا اللّٰهُ وَلَا نَعْبُدُ إِلَّا إِيَّاهُ

Lā ilāha illallāhu wa lā na‘budu illā iyyāh.

“Tiada tuhan melainkan Allah, dan kami tidak menyembah melainkan Dia.”

11

مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ

Mukhliṣīna lahud-dīn, wa lau karihal-kāfirūn.

“Dengan mengikhlaskan agama kepada-Nya, walaupun orang kafir membencinya.”

12

لَا إِلٰهَ إِلَّا اللّٰهُ وَحْدَهُ

Lā ilāha illallāhu waḥdah.

“Tiada tuhan melainkan Allah Yang Esa.”

13

صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ

Ṣadaqa wa‘dah, wa naṣara ‘abdah.

“Dia menunaikan janji-Nya dan menolong hamba-Nya.”

14

وَأَعَزَّ جُنْدَهُ، وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ

Wa a‘azza jundahu wa hazamal-aḥzāba waḥdah.

“Dia memuliakan tentera-Nya, dan Dia sendiri mengalahkan golongan Ahzab.”

15

لَا إِلٰهَ إِلَّا اللّٰهُ وَاللّٰهُ أَكْبَرُ

Lā ilāha illallāhu wallāhu akbar.

“Tiada tuhan melainkan Allah, dan Allah Maha Besar.”

16

اللّٰهُ أَكْبَرُ وَلِلّٰهِ الْحَمْدُ

Allāhu akbar wa lillāhil-ḥamd.

“Allah Maha Besar, dan bagi Allah segala puji.”

Lafaz panjang selesai. Tutup kitaran dengan lafaz pendek sekali lagi.

Penutup Kitaran (Langkah 17)

17

Penutup kitaran

Baca lafaz pendek sekali:

اللّٰهُ أَكْبَرُ، اللّٰهُ أَكْبَرُ، اللّٰهُ أَكْبَرُ، لَا إِلٰهَ إِلَّا اللّٰهُ وَاللّٰهُ أَكْبَرُ، اللّٰهُ أَكْبَرُ وَلِلّٰهِ الْحَمْدُ

Allāhu akbar, Allāhu akbar, Allāhu akbar, lā ilāha illallāhu wallāhu akbar, Allāhu akbar wa lillāhil-ḥamd.

Satu kitaran selesai. Untuk meneruskan takbir, kembali ke langkah 1.

Tentang Susunan dan Lafaz Ini

  • Lafaz pendek: Imam an-Nawawi menyebut lafaz ini sebagai lafaz yang disukai, dan ia juga lafaz yang dinukil daripada Imam asy-Syafi‘i serta diamalkan sejak dahulu.3 Sebutan Allāhu akbar tiga kali berturut-turut di awalnya ialah pendapat yang masyhur dalam mazhab Syafi‘i.4
  • Sumbernya: tambahan Allāhu akbar kabīrā hingga wa hazamal-aḥzāba waḥdah disebut Imam asy-Syafi‘i dalam al-Umm, dan diambil daripada zikir Nabi ﷺ di atas bukit Safa.
  • Wa a‘azza jundah: frasa ini tiada dalam teks al-Umm, tetapi disebut oleh ulama Syafi‘i terkemudian dan menjadi bacaan masyhur di Malaysia.5
  • Penutup: kitab fiqh menutup tambahan ini dengan lā ilāha illallāhu wallāhu akbar. Sambungan Allāhu akbar wa lillāhil-ḥamd selepasnya ialah susunan lazim di Malaysia yang kembali kepada lafaz pendek.6
  • Bilangan ulangan: enam kali lafaz pendek dalam susunan di atas mengikut kebiasaan setempat, bukan bilangan yang ditetapkan oleh syarak. Memperbanyakkan takbir tiada hadnya.7
  • Selawat: sebahagian masjid menyambung takbir dengan selawat ke atas Nabi ﷺ. Ia kebiasaan yang baik, dan sebahagian ulama Syafi‘i berpandangan tidak jauh untuk dikira sunat.8

Takbir raya ialah zikir membesarkan Allah dengan lafaz Allāhu akbar yang dilaungkan sempena Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Hukumnya sunat bagi setiap Muslim, dan disunatkan dengan suara yang nyaring.9

Ulama membahagikan takbir raya kepada dua jenis.10

JenisMaksudHari raya
Takbir mursal (juga disebut takbir mutlak)Tidak terikat dengan solat. Dibaca di mana-mana, siang atau malam, dalam tempohnya.Aidilfitri dan Aidiladha
Takbir muqayyadDibaca terus selepas solat.Aidiladha sahaja

Dalil daripada al-Quran

Surah al-Baqarah, ayat 185

وَلِتُكْمِلُوا۟ ٱلْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

“Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.”

Ayat ini menjadi dalil takbir Aidilfitri, selepas bilangan puasa Ramadan disempurnakan. Kerana itu, menurut qaul jadid Imam asy-Syafi‘i, takbir malam Aidilfitri lebih dituntut daripada takbir malam Aidiladha.11

Surah al-Baqarah, ayat 203

وَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ فِىٓ أَيَّامٍ مَّعْدُودَٰتٍ

“Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan Haji) dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya.”

Ibn ‘Abbas RA mentafsirkan “beberapa hari yang tertentu bilangannya” sebagai hari-hari Tasyriq, iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.12

Amalan Para Sahabat

Ibn ‘Umar RA, apabila keluar pada pagi Aidilfitri dan Aidiladha, menyaringkan takbir sehingga sampai ke tempat solat, kemudian terus bertakbir sehingga imam datang.13

Pada hari-hari di Mina, Saidina ‘Umar RA bertakbir dalam khemahnya sehingga orang di masjid dan di pasar turut bertakbir, dan Mina bergema dengan takbir. Ibn ‘Umar RA pula bertakbir selepas solat, di tempat tidur, dalam khemah, di majlis dan ketika berjalan.14

Takbir mursal bermula sebaik sahaja matahari terbenam pada malam raya, dan berterusan hingga imam bertakbiratul ihram untuk solat sunat hari raya.9

Hari rayaBermulaBerakhir
AidilfitriTerbenam matahari (masuk Maghrib) pada malam 1 SyawalImam memulakan solat sunat Aidilfitri
AidiladhaTerbenam matahari (masuk Maghrib) pada malam 10 ZulhijjahImam memulakan solat sunat Aidiladha. Takbir selepas solat diteruskan hingga Asar 13 Zulhijjah

Jadi takbir Aidilfitri berlangsung kurang daripada sehari, iaitu sepanjang malam raya dan pagi raya. Selepas solat sunat Aidilfitri bermula, tiada lagi takbir khusus hari raya. Pada Aidiladha pula, takbir diteruskan selepas setiap solat hingga 13 Zulhijjah, seperti yang dijelaskan di bawah.

Di Mana Takbir Raya Dibaca?

Takbir mursal dibaca di rumah, di jalan, di masjid dan di pasar atau tempat orang ramai. Ia boleh dibaca ketika berjalan, duduk atau berbaring, termasuk di atas tempat tidur.15

Bolehkah Bertakbir Selepas Maghrib dan Isyak Malam Aidilfitri?

Boleh, malah digalakkan sebagai sebahagian daripada takbir malam raya. Cuma ia tidak dituntut secara khusus seperti takbir selepas solat pada Aidiladha.16

Pada Hari Raya Haji, ada dua jenis takbir. Lafaznya sama, tetapi waktunya berbeza. Takbir mursal dibaca pada malam raya hingga imam memulakan solat raya. Takbir muqayyad pula dibaca selepas setiap solat selama lima hari.

HariTarikhTakbir selepas solat (muqayyad)
Hari Arafah9 ZulhijjahBermula selepas solat Subuh, kemudian selepas setiap solat
Malam raya dan Hari Raya10 ZulhijjahSelepas setiap solat, termasuk solat sunat Aidiladha
Hari Tasyriq11 dan 12 ZulhijjahSelepas setiap solat
Hari Tasyriq terakhir13 ZulhijjahBerakhir selepas solat Asar

Waktu ini ialah pendapat yang dipilih Imam an-Nawawi dan menjadi amalan umat Islam di pelbagai negeri.17 Hadis marfu‘ yang menyebut waktu ini lemah, jadi ia bersandar kepada amalan para sahabat dan ulama.18

Solat yang Diikuti Takbir

Takbir muqayyad dibaca selepas setiap solat dalam tempoh ini, sama ada solat fardu atau sunat, tunai atau qada, termasuk solat jenazah.19 Sujud tilawah dan sujud syukur tidak termasuk.20

Takbir ini dibaca terus selepas salam, sebelum zikir dan wirid yang biasa. Takbir mursal pula dibaca selepas zikir.21 Jika terlupa bertakbir selepas solat, bacalah sebaik sahaja teringat walaupun sudah lama, kerana ia syiar hari-hari tersebut.22

Jemaah Haji

Jemaah haji tidak bertakbir mursal pada malam raya kerana mereka bertalbiah. Takbir mereka selepas solat bermula dari Zohor 10 Zulhijjah hingga Subuh 13 Zulhijjah.23

Takbir dalam Sepuluh Hari Awal Zulhijjah

Dalam sepuluh hari awal Zulhijjah, Ibn ‘Umar dan Abu Hurairah RA keluar ke pasar dan bertakbir, lalu orang ramai bertakbir bersama mereka. Ulama Syafi‘i juga menyebut sunat bertakbir apabila melihat binatang ternakan dalam tempoh ini.24

Solat sunat aidiladha

Panduan penuh

Solat Sunat Aidiladha: Niat, Cara dan Waktu

Niat, cara solat raya haji dengan 7 dan 5 takbir, waktu dan sunnah pagi raya.

  • Suara nyaring: disunatkan tanpa khilaf, supaya syiar hari raya kedengaran.25
  • Wanita: turut bertakbir, tetapi tidak menyaringkan suara di hadapan lelaki yang bukan mahram. Bersama wanita lain atau mahram, tidak mengapa dinyaringkan.26
  • Bersendirian atau berjemaah: sama-sama disunatkan, bagi lelaki dan wanita, kanak-kanak yang mumayyiz, orang bermukim dan musafir.27
  • Di masjid dan surau: imam atau bilal memulakan, dan jemaah menyambut bersama-sama.
  • Di rumah: bertakbir bersama keluarga pada malam raya, dan ajar anak-anak menyebut lafaznya.

Cara Bertakbir Selepas Solat pada Aidiladha

  1. Selesaikan solat dengan salam.
  2. Terus bertakbir dengan lafaz pendek, dan boleh disambung dengan lafaz panjang.
  3. Kemudian baca zikir dan wirid selepas solat seperti biasa.

Makmum tetap bertakbir walaupun imam tidak bertakbir.28

PerkaraAidilfitriAidiladha
LafazSamaSama
Takbir mursal (malam raya)Terbenam matahari malam 1 Syawal hingga imam memulakan solat rayaTerbenam matahari malam 10 Zulhijjah hingga imam memulakan solat raya
Takbir selepas solat (muqayyad)Tiada tuntutan khususSubuh 9 Zulhijjah hingga Asar 13 Zulhijjah
TempohKurang daripada sehariLima hari (9 hingga 13 Zulhijjah)
Takbir malam rayaLebih dituntut (qaul jadid)Dituntut
Jemaah hajiTidak berkaitanBertalbiah pada malam raya, takbir selepas solat bermula Zohor 10 Zulhijjah
Solat sunat aidilfitri

Panduan penuh

Solat Sunat Aidilfitri: Niat, Cara dan Waktu

Niat, cara solat raya dengan 7 dan 5 takbir, dan pukul berapa solat raya bermula.

SituasiHukum dan cara
Wanita haid atau nifasDisunatkan bertakbir, kerana takbir bukan sebahagian daripada solat.29
Berjunub atau tiada wudukDisunatkan bertakbir.
MusafirSama seperti orang yang bermukim.
Kanak-kanak mumayyizDisunatkan bertakbir.
Makmum masbuk (Aidiladha)Jangan bertakbir bersama imam. Sempurnakan rakaat yang tertinggal, beri salam, kemudian barulah bertakbir.30
Imam tidak bertakbirMakmum tetap bertakbir selepas solat.
Terlupa bertakbirBertakbir sebaik sahaja teringat, walaupun sudah lama.
Solat sunat, qada atau jenazah (9 hingga 13 Zulhijjah)Bertakbir juga selepasnya.
Sujud tilawah atau sujud syukurTidak diikuti takbir muqayyad.
KesilapanYang betul
Menyangka takbir selepas solat Aidiladha bermula Zohor 10 ZulhijjahItu waktu bagi jemaah haji. Bagi orang lain, ia bermula selepas Subuh 9 Zulhijjah (Hari Arafah).
Berhenti bertakbir selepas solat sebaik sahaja hari raya pertama berlaluTakbir selepas solat diteruskan hingga Asar 13 Zulhijjah.
Membaca zikir dan wirid dahulu, kemudian baru bertakbir, selepas solat pada AidiladhaTakbir dibaca terus selepas salam, kemudian barulah zikir dan wirid.
Menyangka wanita haid tidak boleh bertakbirWanita haid disunatkan bertakbir, kerana takbir bukan solat.
Makmum masbuk bertakbir bersama imam sebelum menyempurnakan solatnyaSempurnakan solat dahulu, kemudian bertakbir.
Menganggap bilangan ulangan tertentu sebagai syaratTiada bilangan tetap. Bertakbirlah sebanyak yang mampu.
Menyangka bertakbir di luar hari raya membuat roh si mati bersedihKepercayaan ini tiada asas dalam al-Quran dan hadis.
Bilakah takbir raya Aidilfitri bermula dan sampai bila?

Takbir raya Aidilfitri bermula sebaik sahaja matahari terbenam pada malam 1 Syawal, dan berterusan hingga imam memulakan solat sunat Aidilfitri.9

Berapa hari takbir raya Aidiladha?

Takbir selepas solat pada Aidiladha berlangsung lima hari, dari selepas Subuh 9 Zulhijjah hingga selepas Asar 13 Zulhijjah. Takbir mursal pula bermula terbenam matahari malam 10 Zulhijjah hingga imam memulakan solat raya.17

Adakah takbir dibaca selepas solat fardu pada malam Aidilfitri?

Tiada tuntutan khusus seperti takbir selepas solat pada Aidiladha. Namun bertakbir selepas Maghrib dan Isyak pada malam raya tetap digalakkan sebagai sebahagian daripada takbir malam raya.16

Apakah lafaz takbir raya yang paling betul?

Lafaz pendek yang disukai ulama ialah Allāhu akbar tiga kali, lā ilāha illallāhu wallāhu akbar, Allāhu akbar wa lillāhil-ḥamd. Ia boleh disambung dengan lafaz panjang yang disukai Imam asy-Syafi‘i. Kedua-duanya baik.1

Berapa kali takbir raya perlu diulang?

Tiada bilangan tetap. Yang disebut ulama ialah sebutan Allāhu akbar tiga kali berturut-turut pada awal lafaz. Selebihnya, ulanglah sebanyak yang mampu.7

Adakah doa khusus selepas takbir raya?

Tiada doa khusus yang disebut dalam kitab fiqh mazhab Syafi‘i untuk dibaca selepas takbir raya. Anda boleh berdoa dengan apa-apa doa yang baik.

Bolehkah berselawat selepas takbir raya?

Boleh. Berselawat selepas takbir sudah menjadi kebiasaan, dan sebahagian ulama Syafi‘i berpandangan tidak jauh untuk dikira sunat.8

Bolehkah wanita bertakbir dengan suara kuat?

Wanita disunatkan bertakbir, tetapi tidak menyaringkan suara di hadapan lelaki yang bukan mahram. Bersama wanita lain atau mahram, tidak mengapa.26

Bolehkah wanita haid bertakbir raya?

Boleh, malah disunatkan. Takbir bukan sebahagian daripada solat, jadi wanita haid, orang berjunub dan orang yang tiada wuduk juga disunatkan bertakbir.29

Bagaimana takbir bagi makmum masbuk pada Aidiladha?

Makmum masbuk tidak bertakbir bersama imam. Dia menyempurnakan rakaat yang tertinggal dahulu, memberi salam, kemudian barulah bertakbir.30

Bolehkah memasang rakaman takbir raya?

Tiada larangan memperdengarkan rakaman takbir. Namun pahala takbir diperoleh dengan bertakbir sendiri, jadi lebih baik turut bertakbir bersama rakaman itu.

Adakah berdosa jika tidak bertakbir raya?

Tidak berdosa, kerana hukumnya sunat. Namun orang yang meninggalkannya terlepas pahala dan syiar yang besar pada hari raya.

Bolehkah takbir raya dibaca di luar hari raya?

Lafaz takbir ialah zikir, dan zikir boleh dibaca pada bila-bila masa. Kepercayaan bahawa bertakbir di luar hari raya membuat roh si mati bersedih tiada asas dalam al-Quran dan hadis.

Kulit PDF Panduan Takbir Raya: Lafaz Arab, Rumi dan Maksud, Waktu dan Takbir Selepas Solat

Siri Panduan Ibadah

Muat Turun Panduan Takbir Raya (PDF)

Percuma. Masukkan nama dan emel anda, dan PDF akan dihantar terus ke peti masuk anda.

  • Lafaz takbir langkah 1 hingga 17, dengan Arab, rumi dan maksud
  • Skrip Takbir satu halaman untuk diedarkan di masjid dan surau
  • Jadual tampal Raya Haji 23 solat fardu, saiz A5 dan A4






Privasi anda menjadi keutamaan kami. Kami tidak bertoleransi dengan sebarang spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Penutup: Membesarkan Allah atas Petunjuk-Nya

Takbir raya ialah zikir yang ringkas, tetapi maknanya besar. Selepas sebulan berpuasa atau selepas hari-hari ibadah haji dan korban, kita diajar menutupnya dengan membesarkan Allah, bukan membesarkan diri.

Laungkanlah takbir di rumah, di jalan dan di masjid. Ajarkan lafaznya kepada anak-anak, dan jangan lupa takbir selepas setiap solat dari Hari Arafah hingga 13 Zulhijjah.

Semoga bermanfaat.

Nota Kaki & Rujukan

  1. Imam an-Nawawi, Minhaj al-Talibin, Bab Solat al-‘Idain: «وصيغته المحبوبة الله أكبر الله أكبر الله أكبر لا إله إلا الله والله أكبر الله أكبر ولله الحمد» (Lafaznya yang disukai ialah …). Lafaz ini sama bagi takbir mursal dan takbir muqayyad. Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj, 3/54. ↩︎
  2. Imam asy-Syafi‘i, al-Umm, 1/276, bab Kaifiat at-Takbir: jika ditambah dengan «الله أكبر كبيرا، والحمد لله كثيرا، وسبحان الله بكرة وأصيلا» dan seterusnya, maka itu baik, dan «وما زاد مع هذا من ذكر الله أحببته» (zikir lain yang ditambah juga aku sukai). Imam an-Nawawi menukilnya dalam al-Majmu‘, 5/39 dengan lafaz «لا إله إلا الله ولا نعبد إلا إياه مخلصين له الدين ولو كره الكافرون لا إله إلا الله وحده صدق وعده ونصر عبده وهزم الأحزاب وحده لا إله إلا الله والله أكبر», dan menyebut dalilnya: Nabi ﷺ menyebut zikir seperti ini di atas bukit Safa, «وهذا الحديث رواه مسلم في صحيحه من رواية جابر بن عبد الله رضي الله عنهما أخصر من هذا اللفظ». Lihat juga Tuhfat al-Muhtaj, 3/54 dan Nihayat al-Muhtaj, 2/399-400. ↩︎
  3. Imam an-Nawawi, Raudhat al-Talibin, 2/81, menukil pengarang al-Syamil bahawa lafaz yang diucapkan orang ramai ini tidak mengapa, dan pengarang al-Bahr menukilnya daripada nas Imam asy-Syafi‘i dalam al-Buwaiti: «قلت: هو الذي ذكره صاحب (الشامل) نقله صاحب (البحر) عن نص الشافعي – رحمه الله – في (البويطي) وقال: والعمل عليه» (dan amalan adalah di atasnya). ↩︎
  4. Imam an-Nawawi, al-Majmu‘ Syarh al-Muhadhdhab, 5/39: «صفة التكبير المستحبة الله أكبر الله أكبر الله أكبر هذا هو المشهور من نصوص الشافعي في الأم والمختصر» … «والصواب الأول ثلاثا نسقا» (tiga kali berturut-turut). Ada qaul qadim bahawa takbir dua kali sahaja, dan riwayat daripada ‘Umar dan Ibn Mas‘ud RA juga dengan dua kali takbir di awal (al-Majmu‘, 5/40). ↩︎
  5. Frasa «وأعز جنده» tidak terdapat dalam teks al-Umm, al-Majmu‘ dan Tuhfat al-Muhtaj. Asy-Syabramallisi menyatakan ia tambahan Ibn Qasim al-Ghazzi dalam syarah Matan Abi Syuja‘: «زاد سم الغزي على أبي شجاع: وأعز جنده وهزم. . إلخ» (Hasyiah asy-Syabramallisi ‘ala Nihayat al-Muhtaj, 2/400). Ia juga tercatat dalam I‘anat al-Talibin, 1/303: «لا إله إلا الله وحده، صدق وعده، ونصر عبده، وأعز جنده، وهزم الأحزاب وحده». ↩︎
  6. Asy-Syabramallisi: «لكن ظاهر كلام الشارح كالمحلي أن يختم بلا إله إلا الله والله أكبر» (zahir kata-kata pensyarah, seperti al-Mahalli, ialah tambahan ini ditutup dengan lā ilāha illallāhu wallāhu akbar). Hasyiah asy-Syabramallisi ‘ala Nihayat al-Muhtaj, 2/400. ↩︎
  7. Imam an-Nawawi, Raudhat al-Talibin, 2/81: «أما لو استغرق عمره بالتكبير في نفسه، فلا منع منه» (jika seseorang menghabiskan umurnya dengan bertakbir, tiada larangan). Bilangan pusingan yang lazim di masjid ialah susunan amalan setempat, dan tidak ditemui nas yang menetapkan bilangannya. ↩︎
  8. Asy-Syabramallisi: «صريح كلامهم أنه لا تندب الصلاة على النبي – صلى الله عليه وسلم – بعد التكبير لكن العادة جارية بين الناس بإتيانهم بها بعد تمام التكبير، ولو قيل باستحبابها عملا بظاهر {ورفعنا لك ذكرك} … لم يكن بعيدا». Hasyiah asy-Syabramallisi ‘ala Nihayat al-Muhtaj, 2/400. ↩︎
  9. Imam an-Nawawi, Minhaj al-Talibin, Bab Solat al-‘Idain: «يندب التكبير بغروب الشمس ليلتي العيد في المنازل والطرق والمساجد والأسواق برفع الصوت والأظهر إدامته حتى يحرم الإمام بصلاة العيد» (Disunatkan bertakbir bermula terbenam matahari pada kedua-dua malam hari raya, di rumah, di jalan, di masjid dan di pasar dengan suara yang nyaring. Menurut pendapat al-azhar, ia berterusan sehingga imam bertakbiratul ihram untuk solat hari raya). ↩︎
  10. Imam an-Nawawi, al-Majmu‘, 5/31, tentang takbir mursal: «ويقال له المطلق هو الذي لا يتقيد بحال بل يؤتى به في المنازل والمساجد والطرق ليلا ونهارا». Tentang takbir muqayyad: «وهذا التكبير يسمى مقيدا، وهو خاص بعيد الأضحى» (I‘anat al-Talibin, 1/303). ↩︎
  11. Imam an-Nawawi, al-Majmu‘, 5/32: «واعلم أن تكبير ليلة الفطر آكد من تكبير ليلة الأضحى على الأظهر وهو القول الجديد» … «ودليل الجديد قول الله تعالى (ولتكملوا العدة ولتكبروا الله)». ↩︎
  12. Sahih al-Bukhari, Kitab al-‘Idain, bab Fadl al-‘Amal fi Ayyam at-Tasyriq (ta‘liq sebelum hadis no. 969): «وقال ابن عباس: ” واذكروا الله في أيام معلومات: أيام العشر، والأيام المعدودات: أيام التشريق “». ↩︎
  13. Sunan ad-Daraqutni, Kitab al-‘Idain, no. 1716: «أنه كان إذا غدا يوم الأضحى ويوم الفطر يجهر بالتكبير حتى يأتي المصلى ثم يكبر حتى يأتي الإمام». Riwayat yang menisbahkan perbuatan ini kepada Nabi ﷺ diriwayatkan al-Baihaqi melalui dua jalan yang lemah, dan yang sahih ialah mauquf pada Ibn ‘Umar: «فرواه البيهقي مرفوعا من طريقين ضعيفين والصحيح أنه موقوف على ابن عمر» (Imam an-Nawawi, al-Majmu‘, 5/41). ↩︎
  14. Sahih al-Bukhari, Kitab al-‘Idain, bab at-Takbir Ayyam Mina (ta‘liq sebelum hadis no. 970): «وكان عمر رضي الله عنه، يكبر في قبته بمنى فيسمعه أهل المسجد، فيكبرون ويكبر أهل الأسواق حتى ترتج منى تكبيرا» dan «وكان ابن عمر يكبر بمنى تلك الأيام، وخلف الصلوات وعلى فراشه وفي فسطاطه ومجلسه، وممشاه تلك الأيام جميعا». ↩︎
  15. Imam an-Nawawi, al-Azkar, fasal takbir dua hari raya: «ويستحب في عيد الفطر من غروب الشمس إلى أن يحرم الإمام بصلاة العيد، ويستحب ذلك خلف الصلوات وغيرها من الأحوال» dan «ويكبر ماشيا وجالسا ومضطجعا، وفي طريقه، وفي المسجد، وعلى فراشه». ↩︎
  16. Imam an-Nawawi, Minhaj al-Talibin, Bab Solat al-‘Idain: «ولا يسن ليلة الفطر عقب الصلوات في الأصح» (menurut pendapat al-asah, tidak disunatkan takbir khusus selepas solat pada malam Aidilfitri). Namun dalam al-Azkar, Imam an-Nawawi menyebut takbir malam Aidilfitri disunatkan «خلف الصلوات وغيرها من الأحوال», iaitu sebagai takbir mursal yang dibaca dalam semua keadaan. ↩︎
  17. Imam an-Nawawi, Minhaj al-Talibin, Bab Solat al-‘Idain: «ويكبر الحاج من ظهر النحر ويختم بصبح آخر التشريق وغيره كهو في الأظهر وفي قول من مغرب ليلة النحر وفي قول من صبح عرفة ويختم بعصر آخر التشريق والعمل على هذا». Ibn Hajar menjelaskan pendapat terakhir ini dipilih Imam an-Nawawi: «ومن ثم اختاره المصنف في المجموع وغيره وفي الأذكار أنه الأصح وفي الروضة أنه الأظهر عند المحققين» (Tuhfat al-Muhtaj, 3/53). ↩︎
  18. Hadis marfu‘ tentang takbir dari Subuh hari Arafah hingga Asar hari Tasyriq terakhir tidak boleh dijadikan hujah. Al-Baihaqi: «وقد روي في ذلك حديث مرفوع لا يحتج بمثله» (Imam an-Nawawi, al-Majmu‘, 5/35). Pendapat ini bersandar kepada amalan sahabat dan para ulama. ↩︎
  19. I‘anat al-Talibin, 1/303: «أي ويسن أن يكبر أيضا عقب كل صلاة، أي فرضا كانت أو نفلا، أداء أو قضاء». Termasuk solat jenazah: «وكذا صلاة الجنازة؛ لأنه شعار الوقت» (Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj, 3/53). ↩︎
  20. Syamsuddin al-Ramli, Nihayat al-Muhtaj, 2/399: «ولا يلحق بذلك سجود التلاوة والشكر» (sujud tilawah dan sujud syukur tidak termasuk). ↩︎
  21. Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj, 3/51, tentang takbir mursal: «ويسن تأخيره عن أذكارها بخلاف المقيد الآتي» (disunatkan ia dilewatkan selepas zikir solat, berbeza dengan takbir muqayyad). ↩︎
  22. Syamsuddin al-Ramli, Nihayat al-Muhtaj, 2/399: «ولو ترك التكبير عمدا، أو سهوا عقب الصلاة تداركه وإن طال الفصل لأنه شعار الأيام لا تتمة للصلاة». ↩︎
  23. Imam an-Nawawi, Minhaj al-Talibin, Bab Solat al-‘Idain: «ولا يكبر الحاج ليلة الأضحى بل يلبي» dan «ويكبر الحاج من ظهر النحر ويختم بصبح آخر التشريق». ↩︎
  24. Sahih al-Bukhari, Kitab al-‘Idain (ta‘liq sebelum hadis no. 969): «وكان ابن عمر، وأبو هريرة: «يخرجان إلى السوق في أيام العشر يكبران، ويكبر الناس بتكبيرهما»». Ar-Ramli: «وإذا رأى شيئا من بهيمة الأنعام في عشر ذي الحجة سن له التكبير، قاله صاحب التنبيه وغيره» (Nihayat al-Muhtaj, 2/400). ↩︎
  25. Imam an-Nawawi, al-Majmu‘, 5/39: «يستحب رفع الصوت بالتكبير بلا خلاف». ↩︎
  26. I‘anat al-Talibin, 1/302: «(قوله: مع رفع صوت) أي لغير المرأة، أما هي فلا ترفع صوتها مع غير محارمها». Pada zaman tabiin, wanita bertakbir bersama lelaki di masjid: «وكانت ميمونة: «تكبر يوم النحر» وكن «النساء يكبرن خلف أبان بن عثمان، وعمر بن عبد العزيز ليالي التشريق مع الرجال في المسجد»» (Sahih al-Bukhari, ta‘liq sebelum hadis no. 970). ↩︎
  27. Imam an-Nawawi, al-Majmu‘, 5/39: «مذهبنا أنه يستوي في التكبير المطلق والمقيد المنفرد والمصلي جماعة والرجل والمرأة والصبي المميز والحاضر والمسافر». Lihat juga Raudhat al-Talibin, 2/81. Bagi musafir: «(فرع) في المسافر * مذهبنا أنه يكبر» (al-Majmu‘, 5/40). ↩︎
  28. Imam asy-Syafi‘i, al-Umm, 1/275: «وإن ترك ذلك الإمام كبر من خلفه» (jika imam meninggalkannya, makmum di belakangnya tetap bertakbir). ↩︎
  29. Imam asy-Syafi‘i, al-Umm, 1/275: «ويكبر الناس في الآفاق والحضر والسفر كذلك، ومن يحضر منهم الجماعة، ولم يحضرها والحائض والجنب وغير المتوضئ في الساعات من الليل والنهار». Al-Qadi Abu at-Tayyib: «وإن من لا يصلي كالجنب والحائض يستحب لهم التكبير» (al-Majmu‘, 5/36). Ummu ‘Atiyyah RA: wanita haid keluar pada hari raya «فيكن خلف الناس، فيكبرن بتكبيرهم، ويدعون بدعائهم يرجون بركة ذلك اليوم وطهرته» (Sahih al-Bukhari, no. 971). ↩︎
  30. Imam an-Nawawi, al-Majmu‘, 5/38: «المسبوق ببعض الصلاة لا يكبر إلا بعد فراغه من صلاة نفسه». Imam asy-Syafi‘i, al-Umm, 1/276: «وإذا فات رجلا معه شيء من الصلاة فكبر الإمام قام الذي فاته بعض الصلاة يقضي ما عليه، فإن كان عليه سهو سجد له؛ فإذا سلم كبر». ↩︎

Bibliografi Tambahan

  • Imam asy-Syafi‘i, al-Umm, jilid 1.
  • al-Nawawi, Minhaj al-Talibin wa ‘Umdat al-Muftin.
  • al-Nawawi, al-Majmu‘ Syarh al-Muhadhdhab, jilid 5.
  • al-Nawawi, Raudhat al-Talibin, jilid 2.
  • al-Nawawi, al-Azkar.
  • Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj, jilid 3.
  • Syamsuddin al-Ramli, Nihayat al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, jilid 2, bersama Hasyiah asy-Syabramallisi.
  • al-Bakri, I‘anat al-Talibin, jilid 1.
  • al-Bukhari, Sahih al-Bukhari. ad-Daraqutni, Sunan ad-Daraqutni.
  • Sheikh Abdullah Basmeih, Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada Pengertian al-Quran.
KongsiWhatsAppTelegramFacebook

Ditulis oleh

Muhamad Naim Abd Manaf

Pengasas AkuIslam. Menulis panduan ibadah sejak 2010, dengan bahasa yang mudah dan rujukan yang disemak.

اِقْرَأْ أَيْضًا

Bacaan Berkaitan

Dipilih berdasarkan isi artikel ini

تَزْكِيَةُ النَّفْسِ

Siri Tazkiyah

Peringatan ringkas untuk hati, terus ke e-mel anda. Percuma, dan boleh berhenti bila-bila masa.

Tiada spam. Maklumat anda tidak dikongsi.

13 Komen

  1. Assalammualaikum
    Selamat haru raya Korban, semoha Allah mengampunkan dosa dosa kita, dan di kurniakan keredaan dan kasih sayangnya..Semoga kita tergolongan orang orang dia atas jalan para para Nabi dan Rasulnya.
    Saya mohon tuan mengizinkan serta halalkan dunia dan akhirat, kerana saya pengguna dan mengamalkan setiap tulisan tuan, terutamanya doa doa selepas subuh.

    Balas
    • Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.

      Selamat Hari Raya Aidiladha. Semoga Allah menerima segala amal ibadah kita, mengampuni dosa-dosa kita, dan mengurniakan rahmat serta kasih sayang-Nya kepada kita semua. Semoga kita tergolong dalam kalangan mereka yang mengikuti jalan para Nabi dan Rasul.

      Saya sangat berterima kasih atas sokongan dan doa anda. Dengan ikhlas hati, saya mengizinkan serta menghalalkan segala ilmu dan amalan yang dikongsikan di dunia dan akhirat. Semoga doa-doa yang diamalkan memberi keberkatan dan manfaat kepada anda dan keluarga. Teruskan berdoa dan berusaha, dan semoga kita semua sentiasa dalam lindungan dan rahmat Allah SWT.

      Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

      Balas
  2. Alhamdulillah satu usaha yang baik dan telah banyak membantu memahami bacaan serta maksudnya, aaminn.

    Balas
    • Alhamdulillah. Terima kasih atas kata-kata yang baik dan sokongan anda. Semoga usaha ini terus memberikan manfaat dan membantu kita semua memahami serta menghayati bacaan dan doa-doa dengan lebih baik. Semoga Allah memberkati kita semua dan menerima segala amalan kita. Amin.

      Balas
  3. Adakah salah jika Tabir Raya dilafaz selain dari Hari Raya contohnya selepas solat wajib?

    Balas
  4. Saya tiada telefon saya nak telefon untuk belajar online plesea??

    Balas
  5. JZKK Abg Naim untuk maklumat ni. Sangat sangat membantu. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Taqoballahu minna wa minkum

    Balas

Kongsi pandangan atau soalan anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.