Apakah hukum sujud dahi tertutup rambut masa solat?
Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.
Semoga bermanfaat
SOALANJika masa sujud hanya sebahagian sahaja dahi kena pada lantai kerana sebahagian lagi tertutup dengan rambut adakah sah sujud?
JAWAPAN
Di antara syarat sah sujud ialah kena sebahagian dari dahi pada lantai dengan tidak berlapik tetapi yang afdhal ialah kena semua bahagian dahi yang hadapan.
Walau pun sah tetapi sujud dengan hanya mengenakan sedikit dari dahi itu makruh melainkan ada uzur seperti ada pembalut atau ada luka misalnya.
Berkata Imam Nawawi:
Ada pun hukum sujud atas dahi itu adalah wajib tanpa khilaf disisi kami.
Dan yang afdhal ialah sujud atas sekelian dahi.
Maka jika seorang itu sujud hanya kena sedikit dari dahi nescaya sah tetapi hukumnya makruh tanzih.
Inilah pendapat yang benar yang telah menaskan atasnya oleh Imam Syafie dalam kitab Al-Umm dan telah memutuskan dengannya oleh jumhur ashab.”
(Kitab Al-Majmu’)
Dan tersebut pada kitab Hasyiah Syarwani :
Dan tergambar rupa sahnya sujud dengan sebahagian dahi itu seperti ia sujud atas kayu misalnya yang sebahagian dahinya tertutup maka sujud ia pada bahagian dahi yang terbuka.”
Maka berbalik kepada soalan jika dia sujud dengan bahagian dahi yang tidak tertutup oleh rambutnya itu maka sah sujudnya tetapi makruh kerana rambut yang menutup dahi itu bukan termasuk uzur.
Kesimpulan
Jika masa sujud itu semua dahi berlapik dengan rambut maka sujudnya tidak sah.
Jika masa sujud hanya sebahagian dahinya kena pada lantai dan sebahagian lagi dahi tertutup dengan rambut maka sujudnya itu sah.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus
Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini
Tinggalkan Komen Anda..