“Dik, kamu harus pakai tudung. Wajah kamu cantik, boleh mengundang lelaki untuk memandang..“
MUNGKIN ungkapan itu pernah anda terima daripada seorang teman. Sebuah nasihat yang bersulam rasa keikhlasan daripada seorang teman, bukan perintah ataupun cemuhan.
Memang, menjadi wanita yang cantik bukan perkara yang mudah.
Mereka sering dipersalahkan menjadi punca apabila ada lelaki yang gagal menundukkan pandangan lantaran terpasung oleh kecantikan muslimah itu.
Cantik
Muslimah pada zaman moden ini rata-ratanya memang mempunyai rupa fizikal yang cantik.
Kulit putih, gigi yang rapi, mata yang berkaca, senyuman yang manis dan ditambah pula dengan kehadiran pelbagai jenis fesyen muslimah sekarang ini menjadi bukti kecantikan seseorang.
Kecantikan seorang muslimah boleh menangkap dan menyita pandangan setiap lelaki, lantas hati terpikat dan terpanggil untuk memiliki pemilik seraut wajah yang indah bak purnama itu.
Maka tidak hairanlah apabila kaum muslimah sering mendapat godaaan, sama ada berupa ucapan bernada perhatian, ungkapan luahan cinta berupa SMS dan miscall.
Tapi apakah itu semua adalah salah mereka?
Apakah ini semua berlaku lantaran kesilapan mereka kerana mempunyai wajah yang memikat?
Sedangkan semua kecantikan itu adalah anugerah daripada Allah SWT, dan mereka hanya memelihara amanah kecantikan itu dengan sebaik mungkin.