Solat Sunat Wuduk (Panduan Lengkap)

Bagaimana cara melakukan Solat Sunat Wuduk?

Panduan ini akan membimbing anda melakukan solat sunat wuduk secara lengkap, mudah, dan boleh difahami oleh semua orang.

Anda akan dibimbing langkah demi langkah sehingga selesai.

Jika anda memerlukan panduan ini, mari kita mulakan..

Pengenalan

Solat sunat wuduk dilakukan selepas mengambil wuduk.

Ia juga dikenali sebagai solat syukur wuduk.

Solat Sunat Wuduk merupakan solat sunat sebanyak dua rakaat yang dilakukan setiap kali seseorang itu selesai mengambil wuduk.

Tidak ada waktu yang ditetapkan, samaada pagi, petang, siang ataupun malam.

Sembahyang sunat ini juga tergolong kepada sembahyang sunat muqayyad iaitu sembahyang yang dikaitkan waktunya dengan wuduk.

Dengan itu solat sunat ini boleh dilakukan walaupun dalam waktu terlarang untuk melakukan sembahyang sunat.

Rasulullah SAW menyebut tentang solat ini dengan sabdanya:

Sesiapa daripada kalangan Muslim yang berwuduk dan menyempurnakan wuduknya. Kemudian melakukan solat dua rakaat dengan mengadap kiblat dengan sepenuh hati pasti mendapat syurga

— Riwayat Muslim, Abu Dawud dan an-Nasa’i

 

Niat Solat Sunat Wuduk

Niat solat sunat wuduk adalah seperti berikut:

niat solat sunat wuduk

 Usolli sunnatal wudu’i rak’ataini lillahi taala 

Niat dalam bahasa melayu:

Sahaja aku solat sunat wuduk dua rakaat kerana Allah Taala.

Selepas selesai mengambil wuduk, disunatkan untuk membaca doa selepas wuduk:

doa wuduk

Maksudnya:

Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, Tuhan yang Esa tiada sekutu bagiNya, dan aku naik saksi Nabi Muhamad itu hamba dan pesuruhNya. Ya Allah, jadikanlah aku daripada golongan yang bertaubat, jadikanlah aku daripada golongan yang bersih, jadikanlah aku daripada golongan yang soleh. Maha Suci Allah dengan sifat kepujianMu. Aku menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Engkau. Aku mohon keampunan dan taubat kepadaMu, dan Allah rahmati serta sejahterakanlah junjungan kami Muhammad, keluarga serta sahabat-sahabat Baginda.

 

Cara Mengerjakannya

Rakaat pertama
  1. Dimulai dengan lafaz Takbiratul ihram berserta niat.
  2. Membaca doa iftitah.
  3. Membaca surah Al-Fatihah.
  4. Membaca ayat al-Kursi atau surah al-Kafirun atau surah lain daripada al-Quran.
  5. Meneruskan solat sehingga selesai rakaat pertama.

surah al-kafirun

Maksudnya:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.


Rakaat kedua
  1. Dimulai dengan lafaz takbir intiqalat (takbir permulaan rakaat kedua).
  2. Membaca surah Al-Fatihah.
  3. Membaca surah al-Ikhlas atau surah lain daripada al-Quran.
  4. Meneruskan solat sehingga selesai rakaat kedua.

cara solat taubat

Maksudnya:

Katalah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.”

 

Penutup: Kelebihan Mengerjakan Solat Wuduk

Ternyata solat sunat setelah wuduk itu memiliki kelebihan yang sangat besar sebagaimana yang termaktub di dalam hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

1. Diampunkan Dosa-Dosa Lampau

Barangsiapa yang berwuduk menurut sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam lalu mengerjakan solat sunat dua rakaat maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.

Menurut Humran pembantu ‘Uthman, ‘Uthman pernah menceritakan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Barangsiapa berwuduk seperti wudukku ini lalu mengerjakan solat dua rakaat, yang pada solatnya dia tidak berbicara pada dirinya sendiri (yakni mengerjakannya dengan khusyuk) nescaya Allah akan memberikan ampunan kepadanya atas dosa-dosanya yang lampau.

– Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Wudhu’, no: 159


2. Mengerjakannya akan dimasukkan ke syurga

Bagi mereka yang telah menyempurnakan wuduknya lalu mengerjakan solat sunat dua rakaat dengan penuh khusyuk kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala, maka dia akan dimasukkan ke syurga.

Dari ‘Uqbah bin ‘Amir, dia berkata Baginda bersabda:

Tidaklah salah seorang di antara kalian berwuduk lalu menyempurnakan wuduknya kemudian mengucapkan: Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya, melainkan akan dibukakan baginya lapan pintu-pintu syurga. Dia boleh masuk mengikuti mana-mana sahaja (pintu) yang dikehendakinya.

– Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Thohaarah, no: 234.

Oleh itu marilah kita semua merebut mengerjakan solat sunat ini.

Semoga panduan ini dapat membantu anda!

Sertai Channel Telegram Kami

Dapatkan newsletter terbaru dari akuislam.com melalui Telegram secara PERCUMA!

Tinggalkan Komen Anda..

8 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu
Inline Feedbacks
View all comments
Yana
3 bulan yang lalu

Assalamualaikum ustaz,
-solat sunat wuduk ini perlu di lakukan apabila telah masuk waktu solat fardhu atau kita boleh laksanakan sebelum masuk waktu solat (azan).

NorZarina
4 bulan yang lalu

Assalamualaikum
-Boleh baca wirid tak bila dah habis sembahyang?
-Klau boleh baca wirid nak kena sekali dengan doa tak?

Osuera
10 bulan yang lalu

Alhamdulillah, terima kasih atas perkongsian ke jalan syurga.

Azura Najib
11 bulan yang lalu

Kiranya lepas wudhuk, tunaikan solat wudhuk, kemudian solat rawatib dan solat fardhu? Begitu ke?