NIAT & CARA SOLAT SUNAT AIDILFITRI (Panduan Lengkap)

Panduan Solat Sunat Aidilfitri

Ini adalah panduan lengkap niat dan cara melakukan Solat Sunat Aidilfitri. Panduan ini akan membimbing anda melakukan Solat Sunat Aidilfitri dengan betul secara langkah demi langkah.

Apa yang penting:

Setiap bacaan juga dipermudahkan dalam transliterasi RUMI dan AUDIO untuk membantu anda yang sukar atau tidak mahir membaca tulisan jawi atau arab.

Tanpa buang masa mari kita ikuti panduan ini..

Makna aidilfitri

Aidilfitri, juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa atau Eid al-Fitr dalam bahasa Arab, merupakan salah satu perayaan utama dalam Islam yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia.

Perkataan “Aidilfitri” berasal daripada gabungan dua perkataan Arab:

  • Eid (عيد) yang bermaksud perayaan atau festival.
  • Al-Fitr (الفطر) yang bermaksud berbuka atau berakhirnya puasa.

Secara literal, Aidilfitri bermaksud “Perayaan Berbuka Puasa”. Ia menandakan berakhirnya bulan Ramadan, di mana umat Islam telah menunaikan ibadah puasa selama sebulan sebagai salah satu daripada rukun Islam.

Aidilfitri disambut pada 1 Syawal, bulan kesepuluh dalam kalendar Hijrah. Ia adalah hari kemenangan dan kegembiraan bagi mereka yang telah berjaya menunaikan kewajipan berpuasa dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Sebelum menyambut Aidilfitri, umat Islam diwajibkan menunaikan zakat fitrah. Zakat fitrah adalah sumbangan wajib yang bertujuan untuk membersihkan jiwa dan membantu golongan yang memerlukan, agar semua orang dapat merayakan Aidilfitri dengan kegembiraan.

Aidilfitri juga merupakan masa untuk mempereratkan silaturahim, memohon maaf, dan saling berkunjung antara keluarga, saudara-mara, dan sahabat handai. Amalan ini mencerminkan semangat perpaduan dan kasih sayang dalam masyarakat Islam.

Solat Sunat Aidilfitri adalah salah satu amalan yang sangat dianjurkan dalam Islam dan mempunyai kedudukan istimewa. Ia dikategorikan sebagai sunnah muakkad, iaitu sunnah yang sangat dituntut oleh Rasulullah SAW dan tidak pernah ditinggalkan oleh baginda.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA, beliau berkata:

“Sesungguhnya Nabi SAW keluar pada hari Aidilfitri lalu menunaikan solat dua rakaat…” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW sentiasa melaksanakan solat Aidilfitri, menandakan kepentingannya dalam syariat Islam.

Para ulama berbeza pendapat mengenai hukum solat Aidilfitri. Mazhab Hanafi menganggapnya sebagai wajib bagi individu, berdasarkan keumuman perintah syariat dan amalan Rasulullah SAW.

Sementara itu, Mazhab Maliki, Syafi’e, dan Hanbali menganggapnya sebagai sunnah muakkadah. Walaupun terdapat perbezaan pandangan, semua ulama sepakat bahawa solat ini sangat penting dan tidak wajar ditinggalkan tanpa alasan yang kukuh.

Selain itu, solat ini dianjurkan untuk dilaksanakan secara berjemaah, seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW yang sentiasa menunaikannya bersama-sama umat Islam lain di tanah lapang atau masjid.

Solat Sunat Aidilfitri boleh dilaksanakan selepas terbit matahari, iaitu kira-kira jam 8.00 pagi waktu Malaysia (Semenanjung), sehingga sebelum masuk waktu Zuhur.

Ini berdasarkan amalan Rasulullah SAW yang menunggu sehingga matahari terbit sebelum menunaikan solat hari raya. Diriwayatkan oleh Abdullah bin Busr RA, beliau berkata: “Rasulullah SAW keluar bersama kami pada dua hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha), dan solat didirikan apabila matahari naik sekadar dua tombak.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Berdasarkan waktu terbit matahari di Malaysia, terdapat perbezaan kecil antara waktu di Semenanjung dan di Sabah serta Sarawak.

  • Semenanjung Malaysia. Waktu terbaik untuk memulakan solat sunat Aidilfitri adalah sekitar jam 8.00 pagi, selepas matahari naik setinggi satu tombak, iaitu lebih kurang 15-20 minit selepas terbit matahari. Ini selaras dengan sunnah Rasulullah SAW, yang menunaikan solat pada waktu ini bagi menunjukkan keutamaannya.
  • Sabah dan Sarawak. Di Sabah, matahari terbit lebih awal, iaitu sekitar jam 6:00 hingga 6:05 pagi, sementara di Sarawak (contohnya di Kuching), matahari terbit sekitar jam 6:21 hingga 6:39 pagi. Oleh itu, waktu solat sunat Aidilfitri di Sabah dan Sarawak boleh dimulakan lebih awal, sekitar jam 7:30 hingga 8:00 pagi, bergantung kepada lokasi spesifik di negeri tersebut.

Waktu yang paling afdal untuk menunaikan solat Aidilfitri adalah ketika matahari naik sekadar segalah, kerana pada waktu ini Rasulullah SAW sering melaksanakan solat.

Waktu akhir untuk menunaikan solat Aidilfitri adalah sebelum masuk waktu Zuhur, iaitu sebelum gelincir matahari. Jika terlepas waktu ini, solat tidak boleh lagi dilaksanakan kerana waktu khususnya telah berakhir.

Sekiranya seseorang terlewat atau ada halangan, dia masih boleh menunaikan solat Aidilfitri secara sendirian tanpa khutbah selagi masih dalam waktu yang dibenarkan.

Niat merupakan salah satu syarat sah solat yang penting dalam Islam. Ia adalah ungkapan yang lahir dari hati, menggambarkan keazaman dan keikhlasan seseorang untuk melaksanakan sesuatu ibadah semata-mata kerana Allah SWT. Begitu juga dalam solat sunat Aidilfitri, niat adalah perkara utama yang mesti dilakukan sebelum memulakan solat.

Cara Niat

Niat solat sunat Aidilfitri tidak perlu dilafazkan secara lisan; ia memadai dengan niat di dalam hati. Namun begitu, melafazkan niat secara lisan adalah amalan yang baik bagi membantu seseorang lebih fokus dan khusyuk dalam melaksanakan solat.

Jika anda solat secara seorang diri, anda boleh berniat seperti ini:

أُصَلِّي سُنَّةَ عِيْدِ الْفِطْرِ رَكْعَتَيْنِ أَدَاءً لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Sunnatan ‘idilfitri Rak’ataini Adaan Lillahi Taala

Niat Dalam Bahasa Melayu

Sahaja aku solat sunat Aidilfitri dua rakaat tunai kerana Allah Taala.

Jika anda solat berjemaah sebagai makmum, anda boleh berniat solat sunat Aidilfitri seperti ini:

أُصَلِّي سُنَّةَ عِيْدِ الْفِطْرِ رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Sunnatan ‘idilfitri Rak’ataini Makmuman Lillahi Taala

Niat Dalam Bahasa Melayu

Sahaja aku solat sunat Aidilfitri dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Ta’ala.

Jika anda menjadi imam untuk solat berjemaah bersama keluarga, berniatlah sebagai imam:

أُصَلِّي سُنَّةَ عِيْدِ الْفِطْرِ رَكْعَتَيْنِ إِمَامًا لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Sunnatan ‘idilfitri Rak’ataini imaman Lillahi Taala

Niat Dalam Bahasa Melayu

Sahaja aku solat sunat Aidilfitri dua rakaat sebagai imam kerana Allah Taala.

Cara Mengerjakan Solat Sunat Aidilfitri

Ringkasan Cara Melakukan Solat Sunat Aidilfitri

  • Solat Sunat Aidilfitri dimulakan dengan takbiratul ihram sambil berniat dalam hati “Sahaja Aku Solat Sunat Aidilfitri Dua Rakaat Tunai / Makmum Kerana Allah Taala”
  • Disunatkan membacalah Doa Iftitah selepas takbiratul ihram.
  • Kemudian lakukan takbir tambahan sebanyak tujuh (7) kali untuk rakaat pertama. Takbir tersebut diselangi dengan bacaan tasbih.
  • Selesai takbir tambahan, bacalah al-Fatihah dan surah lazim.
  • Seterusnya lakukan rukuk, sujud dua kali dan bangun semula untuk rakaat kedua.
  • Rakaat kedua dimulakan dengan takbir intiqalat. Kemudian lakukan takbir tambahan sebanyak lima (5) kali untuk rakaat kedua, dan juga diselangi dengan bacaan tasbih.
  • Seterusnya bacalah surah al-Fatihah dan surah lazim.
  • Kemudian lakukan rukuk, sujud dan tahiyyat akhir untuk rakaat kedua. Akhiri Solat Sunat Aidilfitri dengan memberi salam.
  • Jika solat berjemaah, maka seterusnya adalah Khutbah Aidilfitri

Tatacara lengkap mengerjakan Solat Sunat Aidilfitri secara langkah demi langkah adalah seperti di bawah ini:

Rakaat Pertama

1

Solat Dimulakan Dengan Takbiratul Ihram dan Niat

cara solat sunat aidilfitri -- Takbir Solat
Tangan diangkat sehingga separas telinga semasa takbiratul ihram

Semasa mengangkat takbir, bacakan niat Solat Sunat Idulfitri dalam hati seperti berikut:

أُصَلِّى سُنَّةَ عِيدِ الْفِطْرِ رَكْعَتَيْنِ مَأْمُومًا لِلَّهِ تَعَالَى

 Usolli Sunnata ‘idil fitri Rak’ataini Makmuman Lillahi Taala 

Atau anda boleh berniat dalam Bahasa Melayu sahaja “Sahaja aku sembahyang sunat Aidilfitri dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala”

Nota
  • Anda boleh rujuk niat solat sunat Aidilfitri yang telah dinyatakan pada bahagian niat di atas. Berniatlah mengikut kesesuaian anda.
  • Jika anda mengalami kesukaran untuk berniat semasa takbiratul ihram, anda boleh juga berniat dahulu sebelum mengangkat takbir.

2

Kemudian, Bacalah Doa Iftitah

Hukum membaca Doa Iftitah dalah sunat hai’ah. Tidak mengapa jika bacaan doa ini ditinggalkan.

اللّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالحَمْدُ لِلّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا وَجَّهْتُ وَجْهِىَ لِلَّذِى فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحْيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ لَا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Allāhu Akbaru Kabīrāw Wal-Ḥamdu Lillāhi Kathīrāw Wa Subḥānal-Lāhi Bukrataw Wa Aṣīlā. Wajjahtu Wajhiya Lilladhī Faṭaras-Samāwāti Wal-Arḍa Ḥanīfan Muslimāw Wa Mā Anā Minal-Mushrikīn. Inna Ṣalātī Wa Nusukī Wa Maḥyāya Wa Mamātī Lillāhi Rabbil-‘Ālamīn. Lā Sharīka Lahū Wa Bidzālika Umirtu Wa Anā Minal-Muslimīn.

Maksud Bacaan

Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah. Maha Suci Allah pagi dan petang. Aku hadapkan mukaku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, hal keadaannya bersih dalam Islam. Tidaklah aku dari golongan orang-orang yang mensyirikkan Tuhan. Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidup dan matiku bagi Allah, Tuhan yang memiliki alam keseluruhannya. Tidak ada bersekutu denganNya sesuatu dan dengan demikian aku disuruh dan aku dari golongan muslimin.


3

Lakukan Takbir Tambahan Sebanyak 7 Kali Untuk Rakaat Pertama

Selesai bacaan Iftitah, kita akan bertakbir sebanyak tujuh kali dan diikuti dengan bacaan tasbih.

Cara Takbiratul ihram
cara solat sunat aidilfitri -- Takbir 7 kali

Seperti Takbiratul Ihram, setiap kali takbir dilafazkan “Allahukbar!”. Kemudian, letakkan tangan di atas perut.

Seterusnya bacalah tasbih seperti berikut:

سُبْحَانَ اللّٰهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلٰهَ إِلَّا اللّٰهُ وَاللّٰهُ أَكْبَرُ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ

Subḥānallāh Wal-Ḥamdu Lillāh Wa Lā Ilāha Illallāh Wallāhu Akbar Wa Lā Ḥawla Wa Lā Quwwata Illā Billāhil-‘Aliyyil-‘Aẓīm.

Maksud Bacaan

Maha Suci Allah, segala pujian bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Allah, Allah Maha Besar, dan tiada daya dan upaya serta kekuatan (bagi kita) melainkan dengan kekuasaan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung.

Takbir 7 kali ini hendaklah diselangai bacaan tasbih sebanyak 6 kali. Sila rujuk gambar di bawah ini:

Bilangan takbir tambahan 7 kali rakaat pertama
Bilangan takbir tambahan 7 kali rakaat pertama

4

Selesai Takbir Sebanyak Tujuh Kali, Seterusnya Kita Akan Membaca Surah al-Fatihah.

Selesai takbir tambahan, bacalah surah al-Fatihah:

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ١ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ٢ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ٣ مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ٤ إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ ٥ ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ٦ صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ ٧

Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Sirāṭallażīna an‘amta ‘alaihim, ghairil-magḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn

Maksud Bacaan

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan Mentadbirkan Alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami Sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukkan kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.


5

Kemudian, Bacalah Surah Lazim Selepas al-Fatihah

Selesai baca al-Fatihah, maka bacalah pula surah pendek daripada mana-mana surah al-Quran.

Antaranya surah pendek yang boleh dibaca adalah al-Kafirun:

Surah Al Kafirun

قُلۡ يَٰٓأَيُّهَا ٱلۡكَٰفِرُونَ ١ لَآ أَعۡبُدُ مَا تَعۡبُدُونَ ٢ وَلَآ أَنتُمۡ عَٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ ٣ وَلَآ أَنَا۠ عَابِدٞ مَّا عَبَدتُّمۡ ٤ وَلَآ أَنتُمۡ عَٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ ٥ لَكُمۡ دِينُكُمۡ وَلِيَ دِينِ ٦

Qul Yā Ayyuhal-Kāfirūn. Lā A‘Budu Mā Ta‘Budūn. Wa Lā Antum ‘Ābidūna Mā A‘Bud. Wa Lā Ana ‘Ābidum Mā ‘Abattum. Wa Lā Antum ‘Ābidūna Mā A‘Bud. Lakum Dīnukum Wa Liya Dīn

Maksud Bacaan

Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! “Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. “Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. “Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. “Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. “Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku”.


6

Selesai Membaca Surah, Teruskan Dengan Rukuk

Posisi dan cara melakukan rukuk dalam solat

Belakang badan perlu rata, pandangan dihalakan ke tempat sujud dan tangan  diletakkan di kepala lutut dalam keadaan selesa.

Bacaan dalam rukuk adalah sama seperti bacaan rukuk solat fardu iaitu:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ

SubHaaNa Rabbiyal A’zim Wabihamdih (3x)

Maksud Bacaan

“Maha Suci Tuhanku yang Maha Agung, serta segala puji bagi-Nya.”


7

Kemudian Bangun Iktidal

Kedudukan ketika iktidal

Bangun dari rukuk dan berdirilah tegak (iktidal). Kemudian bacalah bacaan iktidal seperti ini:

سَمِعَ اللّٰهُ لِمَنْ حَمِدَهُ

Sami Allahu Liman Hamidah

Maksud Bacaan

“Allah mendengar orang yang memuji-Nya.”


8

Selepas Iktidal, Teruskan Dengan Melakukan Sujud

sujud

Semasa dahi menyentuh lantai dalam sujud, maka bacakan bacaan sujud seperti ini:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ

Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih (3x)

Maksud Bacaan

Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya


9

Kemudian Duduk Diantara Dua Sujud

Posisi istirahah atau cara duduk antara dua sujud dalam solat

etelah selesai bacaan sujud sebanyak 3 kali, maka bangkit dari sujud dan duduklah dalam posisi di atas (antara dua sujud atau istirahah).

Kemudian bacalah bacaan tasbih antara dua sujud seperti ini:

رَبِّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَاجْبُرْنِي وَارْفَعْنِي وَارْزُقْنِي وَاهْدِنِي وَعَافِنِي وَاعْفُ عَنِّي

Rabbigfirli Warhamni Wajburni Warfagni Warzuqni Wahdini Wa ‘AaFini Wa’fu Anni

Maksud Bacaan

“Ya Tuhanku, ampunilah aku, rahmatilah aku, cukupkanlah kekuranganku, angkatlah darjatku, berilah rezeki kepadaku, berilah petunjuk kepadaku, sihatkanlah aku, dan maafkanlah kesalahanku.”


10

Kemudian Lakukan Sujud Kedua

Sujud kali kedua dalam solat

Selesai bacaan tasbih antara dua sujud, turunlah bersujud sekali lagi. Seperti sujud sebelumnya, bacalah bacaan dalam sujud.

سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ

Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih (3x)

Maksud Bacaan

Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya


11

Duduk Istirahat Seketika Sebelum Bangun Untuk Rakaat Kedua.

Sebelum bangun ke rakaat kedua, duduk istirahat sebentar (lebih kurang 3 saat) sebelum bangun berdiri untuk rakaat seterusnya.

Posisi atau cara duduk istirahat
Posisi Duduk Istirahat

Dalam kedudukan ini tidak perlu dibaca apa-apa. Hanya perlu diam menghayati solat.

Rakaat Kedua

12

Rakaat Kedua Dimulai Dengan Lafaz Takbir intiqalat

Selepas bangun dari duduk istirahah, maka bertakbirlah sekali lagi untuk rakaat kedua. Takbir ini dikenali sebagai takbir intiqalat.

(Takbir intiqalat bermaksud takbir permulaan rakaat kedua).

Takbir intiqalat

اَللَّهُ أَكْبَرُ

Allahuakbar!


14

Selepas Takbir Intiqalat Pada Rakaat Kedua — Juga Dilakukan Takbir Tambahan Sebanyak Lima (5) Kali

Bertakbirlah sebanyak lima kali yang diikuti oleh dengan bacaan tasbih.

Bacaan tasbih tersebut adalah sama seperti bacaan tasbih pada rakaat pertama.

سُبْحَانَ اللّٰهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلٰهَ إِلَّا اللّٰهُ وَاللّٰهُ أَكْبَرُ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ

Subḥānallāh Wal-Ḥamdu Lillāh Wa Lā Ilāha Illallāh Wallāhu Akbar Wa Lā Ḥawla Wa Lā Quwwata Illā Billāhil-‘Aliyyil-‘Aẓīm.

Maksud Bacaan

Maha Suci Allah, segala pujian bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Allah, Allah Maha Besar, dan tiada daya dan upaya serta kekuatan (bagi kita) melainkan dengan kekuasaan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung.

Takbir 5 kali ini hendaklah diselangai bacaan tasbih sebanyak 4 kali. Sila rujuk infografik di bawah ini:

Takbir Tambahan Rakaat Kedua 5 kali.png
Takbir Tambahan Rakaat Kedua 5 kali.png

15

Seperti rakaat pertama, sekali lagi selepas selesai takbir tambahan pada rakaat kedua dibacakan juga surah al-Fatihah.

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ١
ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ٢ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ٣ مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ٤ إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ ٥ ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ٦ صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ ٧

Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Sirāṭallażīna an‘amta ‘alaihim, ghairil-magḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn

Maksud Bacaan

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan Mentadbirkan Alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami Sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukkan kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.


16

Seterusnya Membaca al-Ikhlas

Selesai membaca al-Fatihah, maka bacalah pula surah al-ikhlas.

Surah Al Ikhlas

قُلۡ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ ١ ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ ٢ لَمۡ يَلِدۡ وَلَمۡ يُولَدۡ ٣ وَلَمۡ يَكُن لَّهُۥ كُفُوًا أَحَدُۢ ٤

Qul Huwallāhu Aḥad. Allāhuṣ-Ṣamad. Lam Yalid Wa Lam Yūlad. Wa Lam Yakul Lahū Kufuwan Aḥad

Maksud Bacaan

Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.

Seperti rakaat pertama, kita bebas untuk membaca mana-mana surah yang kita mahu dan ingat.


17

Selesai Membaca Surah, Teruskan Dengan Rukuk

rukuk solat

Asas dalam melakukan rukuk adalah keadaan belakang badan perlu rata, pandangan dihalakan ke tempat sujud dan tangan  diletakkan di kepala lutut dalam keadaan selesa.

Seperti sebelumnya, bacaan rukuk adalah:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ

SubHaaNa Rabbiyal A’zim Wabihamdih (3x)

Maksud Bacaan

“Maha Suci Tuhanku yang Maha Agung, serta segala puji bagi-Nya.”


18

Kemudian Bangun Iktidal

Posisi dan cara iktidal

Bangun dari rukuk dan berdirilah tegak (iktidal), kemudian bacalah:

سَمِعَ اللّٰهُ لِمَنْ حَمِدَهُ

Sami Allahu Liman Hamidah

Maksud Bacaan

“Allah mendengar orang yang memuji-Nya.”


19

Selepas Iktidal, Teruskan Dengan Melakukan Sujud

cara sujud dalam solat

Semasa sujud bacakan bacaan sujud:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ

Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih (3x)

Maksud Bacaan

Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya


20

Kemudian Duduk Diantara Dua Sujud

Posisi duduk antara dua sujud

Baca bacaan antara dua sujud:

رَبِّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَاجْبُرْنِي وَارْفَعْنِي وَارْزُقْنِي وَاهْدِنِي وَعَافِنِي وَاعْفُ عَنِّي

Rabbigfirli Warhamni Wajburni Warfagni Warzuqni Wahdini Wa ‘AaFini Wa’fu Anni

Maksud Bacaan

“Ya Tuhanku, ampunilah aku, rahmatilah aku, cukupkanlah kekuranganku, angkatlah darjatku, berilah rezeki kepadaku, berilah petunjuk kepadaku, sihatkanlah aku, dan maafkanlah kesalahanku.”


21

Kemudian Lakukan Sujud Kedua

Sujud kali kedua

Semasa sujud bacakan bacaan sujud:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ

Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih

Maksud Bacaan

Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya


22

Bangun Dari Sujud, Terus Lakukan Tahiyyat Akhir 

Posisi atau cara tahiyat akhir

Seperti bacaan tahiyat akhir solat-solat fardu, bacaan tahiyat adalah seperti berikut:

التَّحِيَّاتُ الْمُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ ِللّٰهِ. السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ. السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللّٰهِ الصَّالِحِينَ. أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللّٰهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللّٰهِ. اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ. كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ. كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

At-taḥiyyātu al-mubārakātu aṣ-ṣalawātu aṭ-ṭayyibātu lillāh. As-salāmu ‘alaika ayyuhan-nabiyyu wa raḥmatullāhi wa barakātuh. As-salāmu ‘alainā wa ‘alā ‘ibādillāhi aṣ-ṣāliḥīn. Ash-hadu alla ilāha illallāh, wa ash-hadu anna Muḥammadar-rasūlullāh. Allāhumma ṣolli ‘alā Muḥammad, wa ‘alā āli Muḥammad, kamā ṣollaita ‘alā Ibrāhīm wa ‘alā āli Ibrāhīm. Wa bārik ‘alā Muḥammad wa ‘alā āli Muḥammad, kamā bārakta ‘alā Ibrāhīm wa ‘alā āli Ibrāhīma fil-‘ālamīn, innaka ḥamīdun majīd.

Maksud Bacaan

Segala kehormatan, keberkatan, segala doa (solat) dan kebaikan untuk Allah, keselamatan, rahmat Allah dan berkatNya tetap kepadamu ya Nabi. Keselamatan mudah-mudahan tetap kepada kami dan hamba-hamba Allah yang soleh. Aku mengaku tiada tuhan yang disembah melainkan Allah. Dan aku mengaku Nabi Muhammad SAW ialah pesuruh Allah. Ya Allah, berilah rahmat kepada Penghulu kami Nabi Muhammad dan keluarga Sayidina Muhammad. Sebagaimana Engkau merahmati Sayidina Nabi Ibrahim dan keluarga Sayidina Nabi Ibrahim. Berkatilah penghulu kami Sayidina Nabi Muhammad dan keluarga Penghulu kami Sayidina Muhammad.Sebagaimana Engkau memberkati Sayidinia Nabi Ibrahim dan keluarga Sayidina Nabi Ibrahim. Di alam semesta ini, Engkau sahajalah Yang Paling Terpuji dan Yang Paling Mulia


23

Selesai Tahiyat, Solat Diakhiri Dengan Memberi Salam

Akhiri solat dengan memberi salam sebanyak dua kali, iaitu bermula dengan memberi salam ke sebelah kanan dan kemudian memberi salam kedua sambil memalingkan muka ke sebelah kiri.

memberi salam dalam solat

Pada salam pertama, palingkan muka ke sebelah kanan dan ucapkan salam seperti berikut:

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّٰهِ

Assalamualaikum Warahmatullah

… kemudian palingkan pula muka ke sebelah kiri dan ucapkan salam kedua:

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّٰهِ

Assalamualaikum Warahmatullah

Maksud Bacaan

Salam sejahtera untuk kamu, juga rahmat Allah dan berkatNya

Selepas selesai melaksanakan solat sunat Aidilfitri, khutbah akan disampaikan oleh imam kepada jemaah yang hadir. Khutbah Aidilfitri merupakan salah satu sunnah Rasulullah SAW yang sangat dianjurkan dan penting dalam melengkapkan ibadah hari raya.

Ia berfungsi sebagai peringatan jiwa, nasihat, dan panduan untuk umat Islam dalam menghayati nilai dan makna Aidilfitri, serta memberikan peringatan tentang amalan-amalan yang perlu diteruskan selepas Ramadan.

Keperluan Khutbah bagi Solat Sunat Aidilfitri Berjemaah

Dalam solat sunat Aidilfitri yang dilaksanakan secara berjemaah, khutbah adalah salah satu sunnah muakkadah, iaitu sunnah yang sangat dituntut.

Selepas solat dua rakaat selesai, imam akan berdiri dan menyampaikan khutbah dalam dua bahagian. Bahagian pertama dimulakan dengan pujian kepada Allah SWT dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW, diikuti dengan peringatan untuk meningkatkan ketakwaan, mengukuhkan amalan baik, serta mengekalkan ukhuwah Islamiah. Khutbah kedua biasanya memuatkan pesanan kepada umat Islam tentang nilai kasih sayang, persaudaraan, dan amalan-amalan baik yang harus diteruskan selepas Ramadan.

Mendengar khutbah ini adalah amat digalakkan bagi semua jemaah yang hadir, kerana ia mengandungi nasihat dan panduan untuk menambah baik amalan serta menjaga hubungan sesama Muslim.

Khutbah ini juga bertujuan untuk memperkukuh semangat persaudaraan, kasih sayang, dan meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab sebagai seorang Muslim.

Solat Sunat Aidilfitri Bersendirian

Bagi mereka yang menunaikan solat sunat Aidilfitri secara bersendirian, khutbah tidak dilakukan dan tidak diwajibkan.

Solat Aidilfitri boleh dilaksanakan secara bersendirian jika terdapat halangan untuk hadir ke masjid atau tempat perhimpunan jemaah, seperti keadaan kesihatan, situasi darurat, atau faktor lain yang menghalang seseorang daripada menyertai solat berjemaah. Dalam keadaan ini, hanya solat dua rakaat yang dilakukan tanpa khutbah.

Meskipun khutbah tidak disampaikan dalam solat yang dilakukan secara bersendirian, umat Islam tetap dianjurkan untuk berdoa dan memohon kepada Allah SWT selepas solat.

Doa ini menjadi cara untuk menzahirkan rasa syukur atas nikmat Ramadan, memohon keberkatan dan keampunan, serta memohon kekuatan untuk terus istiqamah dalam melakukan amalan kebaikan.

Bagi solat sunat Aidilfitri yang dilaksanakan secara berjemaah di masjid atau musalla, doa biasanya dibaca selepas khutbah. Selepas imam selesai menyampaikan khutbah, beliau akan memimpin jemaah dalam berdoa, memohon rahmat, keberkatan, dan keselamatan bagi seluruh umat Islam.

Doa Selepas Solat Bagi Orang yang Solat Bersendirian

Bagi mereka yang menunaikan solat sunat Aidilfitri secara bersendirian, mereka boleh terus membaca doa selepas selesai solat tanpa perlu khutbah. Memandangkan khutbah hanya dilakukan dalam solat berjemaah, maka bagi mereka yang solat bersendirian, fokus utama adalah pada solat dua rakaat dan doa selepasnya.

Antara doa selepas solat yang boleh dibacakan adalah seperti berikut:

Doa Selepas Solat Fardu
Doa Selepas Solat Fardu

Transliterasi Rumi

Bismillāhir Raḥmānir Raḥīm.

Al-Ḥamdu Lillāhi Rabbil-‘Ālamīn, Waṣ-Ṣalātu Waṣ-Salāmu ‘Alā Ashrafil-Anbiyā’i Wal-Mursalīn Sayyidinā Muḥammadin Wa ‘Alā Ālihi Waṣ-Ḥabihī Ajma‘Īn.

Allāhumma Taqabbal Minnā Ṣalātanā Wa Du‘Ā’anā Innaka Antaṣ-Ṣamī‘Ul-‘Alīm, Wa Tub ‘Alaynā Innaka Antat-Tawwābur-Raḥīm. AllāhummaJ‘Al Dīnanā Dīnan-Nabiyyi Muḥammad Ṣollāllāhu ‘Alayhi Wa Sallam, Wa Islāmanā Islāmal-Muslimīn, Wa Īmānanā Īmānal-Mu’minīn, Wa Ṣolātanā Ṣolātal-Khāshi‘Īn.

Wa A‘Mālanā A‘Mālas-Ṣāliḥīn, Wa Niyyatanā Niyyatal-Mukhliṣīn, Wa DzunūBanā Yā Allāhu Dzunūbal-Mustaghfirīn.

Wa Ḥayātanā Ḥayātal-‘Ulamā’, Wa Mawtanā Bimawtish-Shuhadā’, Wa Adkhilnāl-Jannata Ma‘Al-Anbiyā’i ‘Alayhimus-Ṣalātu Was-Salām.

Rabbanā Ātinā Fid-Dunyā Ḥasanataw Wa Fil-Ākhirati Ḥasanataw Wa Qinā ‘Adhāban-Nār, Wa Ṣollallāhu ‘Alā Khayri Khalqihi Sayyidinā Muḥammadin Wa ‘Alā Ālihi Wa Ṣaḥbihī Wa Sallam, Subḥāna Rabbika Rabbil-‘Izzati ‘Ammā Yaṣifūn, Wa Salāmun ‘Alāl-Mursalīn, Wal-Ḥamdu Lillāhi Rabbil-‘Ālamīn.

Maksud Doa

Dengan nama Allah, yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam atas semulia-mulia para nabi dan rasul, junjungan kami Muhammad dan ats keluarga dan sahabat Baginda seluruhnya. Ya Allah, ya Tuhan kami! Terimalah solat dan doa kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Berilah keampunan kepada kami, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Ya Allah, jadikanlah agama kami agama Nabi Muhammad. Keislaman kami, Islam yang sebenar-benarnya. Keimanan kami, iman yang sempurna. Solat kami, solat yang khusyuk. Amal kami, amal yang soleh. Niat kami, niat yang ikhlas. Jadikanlah dosa-dosa kami, dosa-dosa yang terampun. Jadikanlah hidup dan kehidupan kami, hidup dan kehidupan para ulama. Mati kami dengan mati syahid. Ya Allah, masukkanlah kami ke dalam syurga bersama dengan para Nabi. Ya Tuhan kami, kurniakanlah kami kebaikan di dunia dan di akhirat. Jauhkanlah kami daripada seksaan neraka. Semoga Allah mencurahkan kesejahteraan ke atas sebaik-baik makhluknya, junjungan kami Nabi Muhammad, keluarga dan sahabatnya. Maha suci Tuhan yang Maha Mulia daripada sebarang kekurangan. Salam sejahtera ke atas para rasul dan segala puji hanya bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

Bertakbir pada hari raya Aidilfitri adalah satu amalan yang sangat dianjurkan dalam Islam sebagai tanda syukur dan mengagungkan kebesaran Allah SWT.

Takbir ini bermula sebaik sahaja terbenam matahari pada malam 1 Syawal dan diteruskan sehingga imam bertakbiratul ihram untuk solat sunat Aidilfitri. Amalan bertakbir ini dapat dilaksanakan secara individu atau berjemaah, di rumah, masjid, atau tempat perhimpunan.

Dalam Al-Quran, Allah SWT berfirman:

“Dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur”
(Surah al-Baqarah, ayat 185)

Ayat ini menjadi dalil akan kepentingan mengagungkan Allah SWT, terutama ketika kita menyambut hari kemenangan setelah menunaikan ibadah puasa di Bulan Ramadan.

Berdasarkan amalan Rasulullah SAW dan para sahabat, takbir Aidilfitri merupakan sebahagian daripada cara untuk memuliakan hari raya. Diriwayatkan daripada Ali dan Ammar r.a, Nabi SAW bertakbir pada hari Arafah, selepas solat Subuh, dan menghentikannya selepas solat Asar di akhir hari-hari Tasyrik (Riwayat al-Hakim). Meskipun hadis ini berkaitan dengan Aidiladha, semangat dan penghayatannya dalam membesarkan Allah adalah serupa dengan takbir Aidilfitri.

Lafaz takbir raya yang sering diulang adalah:

“Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, La ilaha illa Allah, Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa lillahil hamd.”

1
BILAL | IMAM
Takbir raya aidilfitri dan aidiladha

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar

Takbir raya aidilfitri dan aidiladha

Laa ilaaha illallahu Wallahu Akbar
Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar

Takbir raya aidilfitri dan aidiladha

Allaahu Akbar Walillahil Hamd’
Allah Maha Besar dan bagi Allah segala puji-pujian

BERAMAI-RAMAI
Takbir raya aidilfitri dan aidiladha

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar

Takbir raya aidilfitri dan aidiladha

Laa ilaaha illallahu Wallahu Akbar
Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar

Takbir raya aidilfitri dan aidiladha

Allaahu Akbar Walillahil Hamd’
Allah Maha Besar dan bagi Allah segala puji-pujian

2
BILAL | IMAM
Takbir raya aidilfitri dan aidiladha

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar

Takbir raya aidilfitri dan aidiladha

Laa ilaaha illallahu Wallahu Akbar
Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar

Takbir raya aidilfitri dan aidiladha

Allaahu Akbar Walillahil Hamd’
Allah Maha Besar dan bagi Allah segala puji-pujian

BERAMAI-RAMAI
Takbir raya aidilfitri dan aidiladha

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar

Takbir raya aidilfitri dan aidiladha

Laa ilaaha illallahu Wallahu Akbar
Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar

Takbir raya aidilfitri dan aidiladha

Allaahu Akbar Walillahil Hamd’
Allah Maha Besar dan bagi Allah segala puji-pujian

3
BILAL | IMAM

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar

Laa ilaaha illallahu Wallahu Akbar
Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar

Allaahu Akbar Walillahil Hamd’
Allah Maha Besar dan bagi Allah segala puji-pujian

BERAMAI-RAMAI

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar

Laa ilaaha illallahu Wallahu Akbar
Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar

Allaahu Akbar Walillahil Hamd’
Allah Maha Besar dan bagi Allah segala puji-pujian

4
BILAL | IMAM
Takbir raya aidilfitri dan aidiladha

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar

Takbir raya aidilfitri dan aidiladha

Allahu Akbar Kabiiraa Walhamdulillaahi Katsiiraa
Allah Maha Besar sebesar-besarnya Dan segala puji bagi Allah sebanyak-banyaknya

Takbir raya aidilfitri dan aidiladha

Wasubhaanallaahi Bukrataw Wa Asiillaa
Dan Subhanallah (Maha Suci Allah) pagi dan petang

Takbir raya aidilfitri dan aidiladha

Laa ilaaha Illallallahu Walaa Na’budu illaa Iyyaahu
Tidak ada Tuhan melainkan Allah kami tidak menyembah kecuali kepada-Nya

Takbir raya aidilfitri dan aidiladha

Mukhlishiina Lahuddiin Walau Karihal Kaafiruun
dengan ikhlas untuk agama (Islam) walaupun dibenci oleh golongan kafir

Takbir raya aidilfitri dan aidiladha

Laa ilaaha Illallallahu Wahdah
Tidak ada Tuhan melainkan Allah yang Esa

Takbir raya aidilfitri dan aidiladha

Sadaqa Wa’dah Wanashara ‘Abdah
Yang benar janji-Nya dan yang menolong hamba-Nya

Takbir raya aidilfitri dan aidiladha

Wa A’azza Jundahu Wahazamal Ahzaaba Wahdah
Dan yang memuliakan tentera-tentera-Nya (tentera Muslimin) dengan mengalahkan tentera Ahzab dengan keesaan-Nya

Takbir raya aidilfitri dan aidiladha

Laa ilaaha ilallaahu Wallaahu Akbar
Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar

Allaahu Akbar Walillahil Hamd’
Allah Maha Besar dan bagi Allah segala puji-pujian

5
BERAMAI-RAMAI

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar

Laa ilaaha illallahu Wallahu Akbar
Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar

Allaahu Akbar Walillahil Hamd’
Allah Maha Besar dan bagi Allah segala puji-pujian

Selesai bacaan ini, anda boleh mula kembali dari dari urutan #1.

Lakukanlah takbir sebeberapa banyak yang boleh kerana pada Hari Raya disunatkan untuk memperbanyakkan takbir.

Takbir ini disertai dengan penuh penghayatan akan kebesaran Allah dan rasa syukur atas segala nikmat yang diberikan, terutamanya setelah berjaya melalui bulan Ramadan dengan pelbagai ibadah dan ketaatan.

Takbir bukan sahaja menghidupkan suasana hari raya, tetapi juga menjadi satu cara untuk menzahirkan kegembiraan dan kemenangan setelah sebulan berpuasa. Ia adalah simbol kesyukuran kepada Allah SWT serta lambang kebesaran Islam yang menyatukan umat dalam semangat ukhuwah dan ketaqwaan.

Oleh itu, marilah kita sekeluarga menghidupkan hari raya dengan bertakbir, tidak kira di rumah mahupun bersama jemaah di masjid.

PDF

Bagi rujukan lebih lanjut, saya juga menyediakan Panduan Khas Takbir Raya dalam bentuk PDF yang boleh diakses pada pautan ini: TAKBIR RAYA AIDILFITRI & AIDILADHA Rumi (PDF)

Melaksanakan beberapa amalan sunnah sebelum solat Aidilfitri adalah cara untuk menzahirkan rasa syukur dan penghormatan pada hari yang mulia ini. Berikut adalah amalan-amalan sunnah yang disarankan:

1. Mandi Sunat Aidilfitri

Mandi sunat Aidilfitri adalah antara amalan yang disunnahkan sebelum menunaikan solat. Disunnahkan untuk mandi pada pagi hari raya sebelum berangkat ke tempat solat.

Ali bin Abi Talib RA pernah mandi pada hari raya dan berkata: “Termasuk sunnah adalah mandi pada hari raya.” (Riwayat al-Firyabi dan al-Baihaqi).

Niat mandi sunat ini dilakukan di dalam hati untuk mandi kerana Allah SWT, dengan tujuan membersihkan tubuh badan sebagai persediaan rohani dan jasmai, serta menunjukkan penghormatan dan kegembiraan dalam menyambut hari yang mulia.

2. Memakai Pakaian Terbaik dan Berwangian

Memakai pakaian terbaik dan berwangian juga disunnahkan pada pagi Aidilfitri. Disunnahkan memakai pakaian baru jika mampu, atau pakaian yang bersih dan kemas.

Rasulullah SAW sendiri mempunyai jubah khusus yang dipakai pada hari raya dan hari Jumaat. Lelaki disunnahkan memakai wangian yang harum, namun perlu diingat agar tidak mengganggu jemaah lain dengan bau yang kuat. Pakaian hendaklah menutup aurat dengan sempurna dan elakkan berlebih-lebihan yang boleh menimbulkan rasa riak atau pembaziran.

3. Makan Sedikit Sebelum Keluar untuk Solat

Amalan makan sedikit sebelum keluar solat Aidilfitri adalah sunnah yang dianjurkan. Makan sebelum menunaikan solat Aidilfitri adalah sebagai tanda bahawa kita tidak lagi berpuasa, menandakan perubahan daripada amalan Ramadan ke Aidilfitri.

Diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW tidak keluar pada pagi Aidilfitri sehingga baginda makan beberapa biji kurma (Hadis Riwayat Bukhari). Disunnahkan makan dalam bilangan ganjil seperti tiga, lima, atau tujuh biji kurma.

Sekiranya tiada kurma, makanan lain yang halal dan baik juga memadai. Amalan ini memberikan kekuatan fizikal dan menjadi simbol kegembiraan menyambut hari raya.

4. Bertakbir Raya dalam Perjalanan ke Tempat Solat

Bertakbir raya adalah antara sunnah yang menghidupkan suasana Aidilfitri dan menambahkan kemeriahannya. Bertakbir bermula dari malam Aidilfitri sehingga imam memulakan solat sunat Aidilfitri.

Takbir ini diulang-ulang sepanjang perjalanan ke tempat solat dan sebelum solat bermula. Bertakbir menzahirkan rasa syukur dan mengagungkan kebesaran Allah SWT, serta membangkitkan suasana raya yang penuh dengan kegembiraan dan rasa keakraban dalam kalangan umat Islam.

Dengan mengamalkan takbir ini, kita bersama-sama menzahirkan syiar Islam dan mengekspresikan kegembiraan pada hari kemenangan selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadan.

Berikut saya senaraikan persoalan-persoalan yang sering ditanyakan berkaitan dengan Solat Sunat Aidilfitri.

Penutup: Sambutlah Aidilfitri dengan Jiwa Orang Beriman

Hari Raya Aidilfitri adalah hari kemenangan dan kegembiraan bagi mereka yang beriman, sebagai penutup bagi sebulan penuh perjuangan rohani di bulan Ramadan. Pada pagi yang mulia ini, kita disunnahkan untuk menyucikan diri dengan mandi sunat, memakai pakaian yang terbaik, dan memancarkan wajah kegembiraan sebagai simbol kebersihan hati dan ketakwaan.

Dalam perjalanan ke masjid, dan sepanjang hari, kita mengambil peluang untuk bertemu saudara sesama Islam, mengucapkan salam dan doa, bertukar senyuman serta ucapan tahniah, menzahirkan rasa syukur atas petunjuk dan kekuatan yang diberikan oleh Allah SWT. Aidilfitri bukan hanya perayaan jasmani, tetapi juga perayaan rohani—di mana kita menyemarakkan rasa kesatuan, kasih sayang, dan keikhlasan antara sesama insan.

Semoga panduan ini dapat membantu anda merasai dan menghayati kemuliaan Aidilfitri dengan penuh rasa syukur dan kegembiraan. Sambutlah Aidilfitri dengan penuh keinsafan, semangat yang tinggi, dan niat untuk terus istiqamah dalam kebaikan sepanjang tahun. Semoga kita semua tergolong dalam golongan yang diberkati Allah dan diterima segala amal ibadah.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin!

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

149 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Fadz
Fadz
7 bulan yang lalu

Alhamdulillah. Terimakasih atas panduan dan penerangan yg jelas. Sy sentiasa merujuk laman portal anda bg membolehkan sy menunaikan kewajiban sy sbg Muslim dgn terang dan jelas. InshaAllah

Azri
Azri
1 tahun yang lalu

Maaf saya bertanya.. Tiada sujud antara dua sujud ke untuk solat sunat aidilfitri dan aidiladha? berdasarkan gambaran tiada.. ingin belajar.

mira
mira
1 tahun yang lalu

Alhamdulilah banyak benda belajar dari sini dan memudahkan saya faham terima kasih

alifmimyanun
alifmimyanun
3 tahun yang lalu

istilah yang betul adalah ‘solat -hari- raya’, bukan solat raya.
raya bermaksud besar, maka apabila diletak perkataan ‘raya’ di belakang ‘solat’, menjadilah ia ‘solat besar’.
maka apa dia yang namanya solat besar ini?

apabila kita mahu memberikan maklumat, adalah penting bahasa yang kita guna itu tidak mendatangkan keliru, kerana dari keliru datanglah fitnah dan celaru.

seperti yang Allah persoalkan kepada kita di dalam surah al-Rahman;
“Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?”
bahasa, kita mendustakan bahasa.
kita terbiasa membuat yang salah, hingga kita tidak mahu berubah.

hamba keliru..
hamba keliru..
3 tahun yang lalu

assalamualaikum, ustaz..
sy ada kemusykilan, benarkah..

  1. semua solat sunat tidak perlu baca doa iftitah..melainkan hanya d baca ketika solat fardhu.

mohon pencerahan, ustaz..terima kasih..

Mysyara
Mysyara
3 tahun yang lalu

Bolehkah kita bertakbir Aidilfitri selama 3hari?

SHAWLA
SHAWLA
3 tahun yang lalu

Terima Kasih admin… Sye baru sngt nk belajar semula dngn Agama kite… Alhamdulillah mmg sngt membantu… Terima Kasih bnyak…

Wan Muhammad Adnin Naim
Wan Muhammad Adnin Naim
3 tahun yang lalu

Sangat berguna dan membuatkan saya lebih faham. Terima kasih.

Ainul
Ainul
3 tahun yang lalu

Assalamualaikum..Boleh tak solat sunat hari raya ni tanpa takbir?Sebab saya tak berapa hafal takbir dan takut salah..