PUASA SUNAT ASYURA (Niat, Hukum & Kelebihan)

Niat Puasa Asyura

Puasa Asyura merupakan salah satu amalan sunat yang paling utama dalam Islam. Dilaksanakan pada 10 Muharram, ia bukan sahaja menghubungkan umat ini dengan sejarah Nabi Musa AS dan perjuangannya menentang kezaliman Firaun, malah dijanjikan oleh Rasulullah ﷺ dengan ganjaran yang sangat besar iaitu pengampunan dosa setahun yang lalu.

Panduan ini disediakan untuk memberikan anda gambaran lengkap dan sahih mengenai puasa Asyura, berdasarkan pandangan Mazhab Syafi‘e serta disokong dengan rujukan daripada hadis-hadis sahih, kitab muktabar dan fatwa-fatwa kontemporari.

Jika anda mencari satu panduan yang lengkap, sahih dan mudah difahami, inilah artikel yang sesuai untuk anda.

Tanpa buang masa mari kita mulakan..

Puasa Asyura ialah puasa sunat yang dilaksanakan pada 10 Muharram, iaitu hari kesepuluh dalam bulan pertama takwim Hijrah. Dalam bahasa Arab, ia dikenali sebagai عَاشُورَاء (‘Āsyūrā’) iaitu berasal daripada perkataan ‘asyarah (عَشَرَة) yang bermaksud “sepuluh”.[1]

doa melihat kaabah

Hari ini mempunyai nilai sejarah dan keagamaan yang sangat besar dalam Islam, bahkan turut dihormati oleh umat terdahulu sebelum kedatangan Nabi Muhammad ﷺ.

Rasulullah ﷺ sendiri sangat menekankan kelebihan berpuasa pada hari Asyura. Dalam sebuah hadis sahih riwayat Muslim, baginda bersabda:

“Puasa pada hari Asyura, aku berharap kepada Allah agar ia menghapuskan dosa setahun sebelumnya.” (HR Muslim, no. 1162)

Dalam mazhab Syafi‘e, puasa ini termasuk dalam kategori sunat mu’akkad, iaitu amalan sunat yang sangat dituntut.

Walaupun cukup dengan berpuasa pada 10 Muharram sahaja, namun adalah lebih utama untuk disertakan dengan puasa pada 9 Muharram (dikenali sebagai Puasa Tasu‘a) bagi menyelisihi amalan kaum Yahudi pada zaman Nabi ﷺ.

Jika mampu, puasa pada 11 Muharram juga digalakkan sebagai tambahan, walaupun tidak sampai tahap sunat mu’akkad.

Hari Asyura juga mempunyai kaitan langsung dengan peristiwa besar dalam sejarah Islam. Pada tarikh inilah Allah menyelamatkan Nabi Musa AS dan Bani Israil daripada kezaliman Firaun, lalu Nabi ﷺ berpuasa sebagai tanda syukur dan memerintahkan umat Islam melakukannya juga.[2]

Namun, sebagaimana banyak amalan sunat yang diwarisi turun-temurun, puasa Asyura turut dikelilingi oleh pelbagai kepercayaan dan riwayat yang tidak sahih.

Secara ringkas, berikut adalah beberapa fakta penting yang perlu anda ketahui:

  • Hukum puasa Asyura: Sunat mu’akkad menurut mazhab Syafi‘e
  • Tarikh pelaksanaan: 10 Muharram setiap tahun Hijrah.
  • Kelebihan: Menghapuskan dosa setahun yang lalu.
  • Kaifiat terbaik: Puasa pada 9 dan 10 Muharram; atau ditambah 11 Muharram jika mampu.
  • Hadis utama: Riwayat Abu Qatādah dan Ibnu ʿAbbās
  • Amalan tambahan: Disarankan memperbanyakkan doa, zikir dan amal soleh seperti bersedekah.
  • Perkara perlu dielakkan: Mengamalkan doa khusus tanpa dalil sahih, mempercayai senarai peristiwa yang tidak disahkan, atau menjadikan hari ini sebagai adat semata-mata.

Dalam seksyen berikutnya, kita akan menelusuri dengan lebih mendalam tentang sejarah pensyariatan puasa Asyura, termasuk bagaimana ia mula diamalkan oleh Rasulullah ﷺ dan bagaimana kedudukannya berubah seiring perkembangan syariat.

Sebelum turunnya wahyu, penduduk Makkah khususnya kabilah Quraisy sudah mengenali hari kesepuluh Muharram sebagai hari istimewa. Dalam satu riwayat sahih, ʿĀishah RA menyebut bahawa Quraisy berpuasa pada 10 Muharram di zaman Jahiliah, dan Rasulullah ﷺ turut berpuasa bersama mereka ketika itu.[3]

Masyarakat Quraisy di zaman Jahiliah memuliakan hari ini; mereka berpuasa padanya, dan pada hari itulah Kaabah ditutup dengan kain kiswah.[4]

Walaupun unsur syirik mencemari amalan itu, hakikatnya ia meletakkan 10 Muharram sebagai tarikh suci dalam ingatan masyarakat Arab sebelum Islam.

Apabila Rasulullah ﷺ berhijrah ke Madinah, baginda mendapati golongan Yahudi juga berpuasa pada 10 Muharram. Mereka menjelaskan bahawa tarikh tersebut merupakan hari Allah menyelamatkan Nabi Musa AS dan Bani Israil daripada kezaliman Firaun.

Mendengar jawapan itu, baginda bersabda:

“Kami lebih berhak dan lebih hampir kepada Musa berbanding kalian.” (Riwayat al-Bukhārī & Muslim)

Sebagai tanda syukur, Nabi ﷺ segera berpuasa dan memerintahkan sahabat turut berpuasa pada hari itu. Pada tahap ini, puasa Asyura diangkat darjatnya daripada adat Quraisy kepada ibadah khusus yang bersifat kesyukuran tauhid.

Para sahabat meriwayatkan bahawa pada permulaan hijrah, perintah Nabi ﷺ ke atas puasa Asyura sangat tegas iaitu hampir menyerupai kewajipan.[5]

Sebahagian ulama Hanafiyyah memahami teks “Baginda memerintahkan kami berpuasa” sebagai kewajipan buat sementara waktu. Namun jumhur Syafi‘e, Mālikī dan Hanbalī menafsirkannya sebagai sunnah muakkad yang amat ditekankan.

Titik perubahan berlaku pada tahun kedua hijrah apabila turunnya ayat kewajipan puasa Ramadhan (al-Baqarah, 2:183-185). Sejak itu, Nabi ﷺ menegaskan:

“Ini (puasa Asyura) tidak lagi diwajibkan Allah ke atas kalian, sesiapa mahu, bolehlah berpuasa, dan sesiapa enggan, tinggalkan.” (Riwayat al-Bukhārī)

Dengan turunnya syariat Ramadhan, status puasa Asyura beralih secara rasmi menjadi sunat mu’akkad. Khilaf sama ada ia pernah benar-benar wajib tidak menjejaskan hakikat bahawa hari ini kekal tergolong dalam puasa sunat paling utama.[6]

Perbezaan Puasa Asyura & Puasa Kaum Yahudi

Pada peringkat awal, penyerasian (tālif al-qulūb) dengan Yahudi merupakan strategi dakwah. Baginda mengekalkan puasa 10 Muharram agar hati mereka lebih dekat menerima Islam.

Pada awalnya, Nabi ﷺ suka menyamai Ahl al-Kitāb dalam perkara yang belum ada perintah mengenainya. Namun pada tahun terakhir hayat Baginda, apabila para sahabat memaklumkan bahawa Yahudi dan Nasrani mengagungkan hari ini, Baginda berazam untuk turut berpuasa pada 9 Muharram.[7]

Lalu baginda bersabda di akhir hayat:

“Jika aku masih hidup tahun hadapan, pasti aku akan berpuasa juga pada hari kesembilan (Muharram).” (Riwayat Muslim)

Hasrat ini menunjukkan dua hikmah besar:

  1. Membezakan ibadah Muslim daripada ritual Yahudi yang hanya berpuasa pada hari kesepuluh.
  2. Melapangkan ruang ihtiyāt (berjaga-jaga) sekiranya berlaku kekeliruan pengiraan awal Muharram, kerana berpuasa 9 & 10 pasti mencakupi hari Asyura sebenar.

Daripada sabda itu, ulama Syafi‘i menetapkan susunan keutamaan:

  • Terbaik — puasa 9, 10 & 11;
  • Afdhal — puasa 9 & 10;
  • Sah & berpahala — puasa 10 sahaja.

Model dakwah Nabi ﷺ ini mengajar kita dua pelajaran penting: Pertama, strategi beransur-ansur (tadarruj) dalam menegakkan syariat. Kedua, kuasa identiti Islam yang teguh tetapi tetap berteraskan rahmat.

Itulah roh di sebalik puasa Asyura sebagai ibadah syukur, simbol kesatuan dengan para nabi, dan perisai jati diri umat.

Perkara yang membatalkan puasa

Puasa Asyura bukan sahaja ibadah yang penuh fadhilat, bahkan pelaksanaannya juga mudah dan tidak membebankan. Namun untuk meraih ganjaran yang paling afdal, penting untuk kita memahami kaifiat (cara perlaksanaan), niat, doa, dan adab-adab yang dianjurkan menurut panduan para ulama.

Kaedah Perlaksanaan Puasa Asyura

Para ulama menyebut bahawa puasa Asyura boleh dilaksanakan dalam tiga susunan berbeza, bergantung kepada kemampuan dan kesungguhan seseorang.[8]

Semakin lengkap susunannya, semakin tinggi darjat keutamaannya:

  1. Peringkat Terbaik – Puasa 9, 10 dan 11 Muharram
    (Disarankan oleh sebahagian ulama bagi menambah kepastian dan berbeza sepenuhnya dengan Yahudi)
  2. Peringkat Pertengahan – Puasa 9 dan 10 Muharram
    (Ini adalah sunnah paling kuat, seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas bahawa Rasulullah ﷺ berazam untuk berpuasa pada 9 dan 10 sekiranya Baginda masih hidup pada tahun berikutnya)
  3. Peringkat Minimum – Puasa 10 Muharram sahaja
    (Masih mendapat ganjaran besar dan tidak makruh dalam mazhab Syafi‘e, walaupun kurang utama)

Susunan ini bukanlah beban, tetapi ruang pilihan. Setiap peringkat tetap berpahala dan menunjukkan keindahan syariat yang meraikan kemampuan individu.

Lafaz Niat Puasa Asyura

Walaupun niat tempatnya di hati, menyebut lafaz niat boleh membantu menghadirkan kesedaran dalam ibadah. Berikut ialah lafaz niat puasa sunat bagi hari ‘Āsyurā (10 Muharram):

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ عَاشُورَاءَ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى

Nawaitu Sauma Ghadin ‘An ‘Āsyurā Sunnatan Lillāhi Ta‘ālā

“Sahaja aku berpuasa sunat Asyura esok hari kerana Allah Ta‘ala.”

Puasa Asyura tergolong dalam puasa sunat, maka waktu niatnya adalah lebih fleksibel berbanding puasa wajib seperti Ramadan.

Menurut pendapat yang sahih dalam Mazhab Syafi‘e, niat puasa sunat boleh dilakukan sehingga sebelum tergelincir matahari (zawal), asalkan belum makan atau melakukan perkara yang membatalkan puasa sejak terbit fajar.[9]

Namun, apa yang lebih utama adalah berniat pada malam sebelumnya, sebagaimana sunnah Rasulullah ﷺ.

Bolehkah Gabung Niat (Puasa Asyura + Qadha)?

Ini soalan yang sering ditanya. Jawapan ringkasnya: puasa qadha anda sah, dan anda masih memperoleh pahala sunat Asyura, walaupun tidak sesempurna puasa Asyura yang dilakukan secara berasingan.

  • Jika anda berpuasa qadha Ramadan pada hari Asyura, puasa qadha itu sah. Menurut al-Ramlī (ulama Syafi’e), anda turut memperoleh pahala sunat Asyura, tetapi bukan pahala yang sempurna.
  • Yang afdal ialah memisahkan puasa qadha dan puasa sunat, sekiranya mampu.

Pandangan ini dinukilkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.[10]

Apabila seseorang berpuasa, hakikat ibadahnya bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Ia adalah latihan hati iaitu menundukkan hawa nafsu dan menghidupkan ingatan kepada Allah.

Demikian juga dengan puasa Asyura. Meskipun tiada doa khusus yang sahih diturunkan khusus untuk hari ini. Rasulullah ﷺ mengajar kita supaya memenuhi detik-detik berpuasa dengan doa, istighfar dan zikir yang menambah nilai puasa sunat ini.[11]

Dalam tempoh siang, sebaiknya lisan kita dibasahi:

  • Doa taubat. Menginsafi dosa setahun lalu sambil memohon agar janji kafarah dosa Asyura benar-benar tertunai.
  • Permohonan keampunan dan rahmat. Mendoakan diri, keluarga serta ummah, sebagaimana Nabi Musa AS bersyukur ketika diselamatkan.
  • Zikir harian. Tasbih, tahmid dan tahlil; membacakan al-Quran walaupun satu atau dua halaman.

Islam memberi ruang yang luas sama ada anda memilih Rabbighfirli warhamni, Astaghfirullah seratus kali, atau apa-apa lafaz yang datang daripada hati. Semuanya dikira ibadah selagi ia bersandarkan niat ikhlas.

Doa Berbuka Puasa Sunat

Ketika matahari terbenam, Rasulullah ﷺ biasa berdoa dengan lafaz berikut; ia sesuai diamalkan sewaktu berbuka Asyura:

اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ، وَبِكَ آمَنْتُ، وَعَلَيْكَ تَوَكَّلْتُ، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ

Allāhumma laka ṣumtu, wa bika āmant(u), wa ʿalayka tawakkaltu, wa ʿalā rizqika afṭartu

“Ya Allah, kerana-Mu aku berpuasa, kepada-Mu aku beriman, kepada-Mu aku bertawakal, dan dengan rezeki-Mu aku berbuka.”

Dengan doa yang ringkas ini, seorang hamba mengakui seluruh pergantungannya kepada Allah dari niat mulanya hingga seteguk air yang menamatkan puasanya.

Dalam Mazhab Syafi‘e, puasa Asyura termasuk dalam kategori sunat mu’akkad, iaitu amalan sunat yang sangat dituntut.

Imam al-Nawawi menyebut dalam al-Majmū‘:

“Disunatkan berpuasa pada hari kesepuluh Muharram, dan lebih baik disertakan dengan puasa sehari sebelumnya (9 Muharram) bagi menyelisihi golongan Yahudi. Namun, tiada makruh bagi sesiapa yang hanya berpuasa pada 10 Muharram.”

Pandangan ini turut diperkuat oleh Imam Ibn Hajar al-Haytami dalam Tuhfah al-Muhtāj. Maka, dalam mazhab Syafi‘e, meskipun puasa 9 dan 10 lebih utama, namun puasa pada 10 Muharram sahaja tetap sah dan berpahala tanpa sebarang keraguan.

Keempat-empat mazhab utama dalam Islam sepakat bahawa puasa pada 10 Muharram adalah sah dan dianjurkan. Perbezaan hanya berlaku dari sudut kaifiat pelaksanaannya.

Imam al-Nawawi menyebut dalam al-Majmū‘ (6/379), bahawa puasa Asyura merupakan antara puasa sunat paling utama dan sangat dianjurkan oleh Rasulullah ﷺ. Ini menunjukkan betapa tinggi kedudukannya walaupun hukumnya bukan wajib.[12]

Selain rujukan kitab turath, pandangan ulama kontemporari dan institusi fatwa moden turut mengukuhkan kedudukan puasa Asyura sebagai amalan sunat yang sangat digalakkan.

Beberapa pandangan yang dapat dikemukakan ialah seperti berikut:

1. Dar al-Iftaʾ Mesir memfatwakan bahawa puasa Asyura tetap disyariatkan tanpa makruh walaupun jatuh pada hari Jumaat, kerana niatnya ialah puasa Asyura, bukan mengkhususkan hari Jumaat.[13]

2. Syeikh Ibn Bāz dalam himpunan fatwanya menyatakan: “Disyariatkan puasa hari kesepuluh Muharram (Asyura), dan lebih baik jika disertakan dengan hari sebelum atau selepasnya. Ini menepati sunnah Nabi ﷺ yang berpuasa pada hari itu dan memerintahkan para sahabat untuk melakukannya.” (Fatāwa Ibn Bāz, jilid 15)[14]

Kesemua pandangan ini memberi isyarat jelas bahawa puasa Asyura bukan sahaja berpaksikan kepada sunnah, tetapi turut diraikan dalam pelbagai dimensi. Sama ada melalui ibadah, sejarah, mahupun kesatuan hati umat Islam dalam mencontohi perjuangan para nabi terdahulu.

Puasa Asyura merupakan ruang istimewa untuk memperhalus jiwa, bukan hanya menahan lapar dan dahaga. Di sinilah kita belajar menyaring niat, menundukkan hawa nafsu, dan mempraktikkan akhlak Nabi ﷺ dalam kehidupan seharian.

Berikut beberapa adab dan amalan yang digariskan ulama bagi memperindah ibadah anda pada 9 dan 10 Muharram:

  • Perbaharui niat dengan ikhlas
    Mulakan hari dengan tekad bahawa seluruh puasa kita bermula dari sahur hingga berbuka hanyalah kerana Allah. Ingatlah, amalan yang sedikit tetapi lahir daripada hati yang jernih lebih berharga daripada ibadah yang panjang namun lalai.
  • Pelihara lidah dan anggota
    Benar, menahan diri daripada makan minum itu wajib; namun menahan diri daripada mengumpat, kata kesat, tontonan sia-sia dan maksiat mata jauh lebih sukar. Di sinilah letaknya nilai puasa. Rasulullah ﷺ bersabda: “Puasa itu benteng.”[15] yang bermaksud benteng yang memelihara maruah dan jiwa, bukan sekadar perut.
  • Semaikan ihsan dalam keluarga dan masyarakat
    Jadikan hari Asyura medan menyantuni ibu bapa, pasangan, anak-anak, jiran dan rakan. Sebahagian salaf menukilkan riwayat hasan bahawa melapangkan belanja keluarga pada hari Asyura diharap membawa keluasan rezeki sepanjang tahun. Walaupun sanadnya tidak qat‘ie, konsep menggembirakan keluarga sentiasa selaras dengan nilai ihsan yang dituntut syarak.
  • Perbanyak sedekah dan meringankan beban orang lain
    Puasa menajamkan rasa empati. Sediakan sebahagian rezeki walau sekadar sebungkus nasi untuk fakir miskin, pelarian, atau sesiapa yang memerlukan. Rasulullah ﷺ sendiri digelar “manusia paling pemurah” dan Baginda lebih pemurah pada hari-hari mulia; Asyura adalah salah satu daripadanya.
  • Istighfar dan tadabbur sejarah para Nabi
    Luangkan masa meneliti kisah Nabi Musa AS yang diselamatkan, lalu kaitkan dengan perjuangan peribadi kita melawan “Fir‘aun” hawa nafsu. Setiap istighfar adalah kunci memutus belenggu dosa setahun lalu, sesuai dengan janji keampunan pada hari Asyura.
  • Berbuka secara bersederhana dan bersyukur
    Sunnah Rasulullah ﷺ ialah menyegerakan buka dengan kurma atau air, lalu berdoa penuh syukur. Elakkan menjadikan Asyura pesta makan; tujuan kita ialah mensyukuri nikmat, bukan menebus lapar dengan berlebihan.

Puasa Asyura ialah latihan menyucikan hati: niat yang ikhlas, tutur kata yang terjaga, tangan yang memberi, dan keluarga yang merasai kasih anda.

Jadikan 9 dan 10 Muharram detik mendekatkan diri kepada Allah dan menzahirkan rahmat-Nya kepada sekeliling. Itulah roh sebenar sunnah yang diwariskan oleh Rasulullah ﷺ.

Hari Asyura 10 Muharram tidak sekadar tarikh dalam takwim Hijrah. Ia ialah hari yang Rasulullah ﷺ ajarkan kepada kita sebagai pintu keampunan, lambang syukur, dan tanda identiti umat Islam.

Berikut ialah empat kelebihan yang sahih bersandarkan hadis‐hadis muktabar, diakhiri penjelasan ringkas tentang riwayat yang lemah agar anda tidak keliru.

1. Penghapus Dosa Setahun Lalu

Rasulullah ﷺ bersabda ketika ditanya tentang puasa Asyura:

“Puasa pada hari Asyura aku berharap kepada Allah agar Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Riwayat Muslim, 1162)

Para ulama seperti Imam an-Nawawi menjelaskan bahawa “dosa” di sini merujuk dosa-dosa kecil. Dosa besar tetap memerlukan taubat nasuha. Bayangkan satu hari puasa yang ringan, tetapi Allah menjanjikan pembersihan rekod setahun penuh. Itulah bukti rahmat Allah bagi hamba-Nya yang mencari peluang taubat.


2. Puasa Sunat Paling Utama Selepas Ramadan

Dalam riwayat lain, Baginda ﷺ menyebut:

“Puasa yang paling utama selepas (puasa) Ramadan ialah puasa di bulan Allah – al-Muharram.” (Riwayat Muslim, 1163)

Walaupun hadis ini memuji keseluruhan bulan Muharram, para sarjana hadis menyimpulkan kemuncak puasa Muharram ialah 10 haribulan.

Justeru, jika anda mencari puasa sunat bertaraf “premium”, inilah peluang terbaik selepas Arafah dan Ramadan.


3. Tanda Syukur atas Kemenangan Nabi Musa AS

Sejarah mencatatkan: pada 10 Muharram Allah menyelamatkan Nabi Musa AS serta Bani Isra’il daripada kekejaman Firaun.[16]

Ketika Rasulullah ﷺ tiba di Madinah, Baginda mendapati kaum Yahudi berpuasa sebagai tanda syukur. Baginda bersabda:

“Kami lebih berhak terhadap Musa berbanding kalian.” (Riwayat al-Bukhari, 2004)

Lalu Baginda berpuasa dan memerintahkan sahabat berpuasa. Puasa Asyura menjadi simbol kesatuan iman antara kita dan para nabi terdahulu tanda bahawa kemenangan haq atas batil wajib dikenang dengan syukur, bukan sekadar diingati dengan cerita.


4. Membezakan Identiti Muslim daripada Ahli Kitab

Menjelang akhir hayat, Rasulullah ﷺ berhasrat menambah puasa pada 9 Muharram (Tasu‘a):

“Jika aku masih hidup sampai tahun depan, pasti aku akan berpuasa juga pada hari kesembilan.” (Riwayat Muslim, 1134)

Hasrat Baginda mengandungi dua hikmah:

  1. Menyelisihi puasa Yahudi yang hanya pada 10 Muharram.
  2. Ihtiyat iaitu memastikan tidak tersalah tarikh sekiranya penentuan awal bulan tersilap.

Amalan berpuasa 9 & 10 (atau 10 & 11) inilah yang membezakan umat Islam, memperkukuh identiti, dan menzahirkan kesetiaan kita kepada sunnah.

Nota

Ramai tertarik dengan cerita “19 peristiwa ajaib” kononnya Nabi Adam diterima taubat, Ibrahim selamat dari api, Yusuf keluar penjara, hujan pertama turun, dan sebagainya yang semuanya berlaku pada 10 Muharram.

Ulama hadis (Ibn al-Jawzi, al-Sakhawi, al-Albani) mengklasifikasikan sanad-sanad tersebut sebagai sangat dhaif atau palsu.[17]

Begitu juga fadilat bercelak, mandi khas, berinai atau solat khusus pada hari Asyura. Tiada satu pun sahih secara marfu‘ daripada Rasulullah ﷺ.[18]

Prinsipnya mudah: peganglah apa yang sabit sahih, tinggalkan apa yang diragui. Sunnah tidak memerlukan hiasan cerita palsu untuk kelihatan indah.

Soalan Lazim (FAQ)

Sahkah berpuasa pada 10 Muharram sahaja?

Ya, sah dan berpahala. Dalam Mazhab Syafi‘i tidak makruh men­yendiri­kan puasa 10 Muharram. Cuma lebih utama digandingkan dengan 9 Muharram untuk menyelisihi kaum Yahudi.

Bagaimana jika 10 Muharram jatuh pada hari Jumaat atau Sabtu?

Puasa tetap sah kerana ia disyari‘atkan atas sebab khas (Asyura). Larangan mem­puasai Jumaat/Sabtu secara tunggal tidak terpakai di sini. Jika mahu lebih tenang, anda boleh tambah sehari sebelum atau selepas.

Boleh­kah gabung niat qadha Ramadan atau puasa Isnin Khamis dengan Asyura?

Boleh. Niat qadha + sunat Asyura dalam satu puasa diterima menurut ramai fuqaha Syafi‘iyyah. Namun jika berkemampuan, memisahkan qadha dan sunat memberi ganjaran lebih sempurna.

Perlu fidyah jika tidak berpuasa Asyura?

Tidak. Puasa Asyura ialah sunat mu’akkad; meninggalkan­nya tidak berdosa dan tiada fidyah.

Bolehkah melatih kanak-kanak berpuasa Asyura?

Disunatkan meng­galak anak (mengikut ke­mampuan mereka), se­pertimana sahabat melatih anak-anak kecil pada zaman Nabi ﷺ.

Wanita haid: adakah hilang fadilat Asyura?

Wanita haid tidak boleh berpuasa tetapi tetap boleh mendapat pahala zikir, doa dan sedekah pada hari Asyura. Tiada puasa gantian diwajibkan ke atas mereka.

Apakah hukum “bubur Asyura”? sunnah atau adat?

Ia adat Nusantara. Memasak dan makan­nya harus sebagai budaya, bukan ibadah khusus. Tiada dalil yang meletakkan fadilat syar‘i pada bubur tersebut.

Bolehkah mengganti puasa Asyura pada tarikh lain?

Tidak perlu. Keutamaan khas (kafarah dosa setahun) hanya terikat pada 10 Muharram. Puasa sunat di hari lain tetap berpahala tetapi tidak dinamakan Asyura.

Perlukah sahur untuk puasa Asyura?

Sahur bukan syarat sah, tetapi ia sunnah yang diberkati. Walau hanya seteguk air, ia membezakan puasa Muslim daripada puasa Ahli Kitab.

Makruh tanzih menurut Mazhab Hanafiyyah, adakah saya perlu risau?

Istilah itu merujuk “makruh ringan” (tidak berdosa). Ia bukan pandangan Mazhab Syafi‘i. Jika anda tetap ingin keluar dari khilaf, tambahkan puasa 9 atau 11 Muharram.

Benarkah upah dan rezeki diluaskan jika melapangkan belanja keluarga pada Asyura?

Riwayatnya dha‘if; boleh dilakukan sebagai ihsan umum, bukan kerana fadilat khusus yang dijamin. Amalan memberi kegembiraan kepada keluarga tetap dituntut sepanjang tahun.

Penutup

Dalam perjalanan hidup yang semakin pantas ini, hari-hari istimewa seperti 10 Muharram seringkali berlalu tanpa disedari.

Padahal, di sebalik tarikh itu tersimpan peluang luar biasa iaitu peluang untuk menghapuskan dosa setahun yang lalu, peluang untuk meneladani Nabi Musa AS, dan peluang untuk menghidupkan kembali sunnah Rasulullah ﷺ yang semakin dilupakan.

Puasa Asyura bukan sekadar ibadah sunat. Ia adalah simbol syukur, solidariti akidah, dan ketulusan iman.

Ia mengajarkan kita bahawa walaupun amalan itu ringkas, jika dilakukan dengan penuh ikhlas, ganjarannya amat besar di sisi Allah.

Maka marilah kita hidupkan semula sunnah ini, bukan hanya untuk diri kita tetapi juga anak-anak kita, keluarga kita, dan masyarakat kita.

Semoga hari-hari seperti Asyura ini menjadi peringatan bahawa Islam sentiasa memberi ruang untuk taubat, peluang untuk berubah, dan dorongan untuk menjadi hamba yang lebih dekat kepada Tuhan.

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِمَّنْ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ، وَارْزُقْنَا صِيَامَ تَاسُوعَاءَ وَعَاشُورَاءَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، وَاكْتُبْ لَنَا بِهَا مَغْفِرَةً وَرَحْمَةً وَفَتْحًا مِنْ عِنْدِكَ يَا أَكْرَمَ الْأَكْرَمِينَ.

“Ya Allah, jadikanlah kami dalam kalangan orang yang mendengar peringatan dan mengikuti yang terbaik daripadanya. Kurniakanlah kepada kami peluang untuk berpuasa pada Tasu‘ā dan ‘Āsyurā dengan penuh iman dan pengharapan. Anugerahkanlah kepada kami keampunan, rahmat, dan pembukaan pintu-pintu kebaikan daripada-Mu, wahai Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.”

Amin ya Rabbal ‘Alamin.

Nota kaki

  1. Al-Qurṭubī (Abū al-‘Abbās), al-Mufhim limā Asykala min Talkhīṣ Kitāb Muslim, Kitāb al-Ṣiyām, bab puasa ‘Āsyūrā’: «وهو معدول عن عاشرة؛ للمبالغة والتعظيم» dan «مأخوذ من العشر الذي هو اسم للعقد الأول». Lihat juga Ibn al-Aṡīr, al-Nihāyah fī Gharīb al-Ḥadīṡ, madah ‘-sy-r. Al-Nawawī, al-Majmū‘ Syarḥ al-Muhażżab, Kitāb al-Ṣiyām, Bāb Ṣawm al-Taṭawwu‘: «عاشوراء وتاسوعاء اسمان ممدودان، هذا هو المشهور في كتب اللغة». ↩︎
  2. Al-Bukhārī, Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, Kitāb al-Ṣawm, Bāb Ṣiyām Yawm ‘Āsyūrā’, no. 2004; Muslim, Ṣaḥīḥ Muslim, Kitāb al-Ṣiyām, no. 1130. Lihat huraian al-Nawawī, Syarḥ Ṣaḥīḥ Muslim, Kitāb al-Ṣiyām, Bāb Ṣawm Yawm ‘Āsyūrā’. [Pautan 1] [Pautan 2] ↩︎
  3. Hadis ‘Āisyah RA: «كَانَ يَوْمُ عَاشُورَاءَ تَصُومُهُ قُرَيْشٌ فِي الْجَاهِلِيَّةِ». Al-Bukhārī, Kitāb al-Ṣawm, Bāb Ṣiyām Yawm ‘Āsyūrā’, no. 2002; Muslim, Kitāb al-Ṣiyām, no. 1125. Lihat Ibn Ḥajar, Fatḥ al-Bārī, Kitāb al-Ṣawm, Bāb Ṣiyām Yawm ‘Āsyūrā’. [Pautan 1] [Pautan 2] ↩︎
  4. Hadis ‘Āisyah RA: «كَانُوا يَصُومُونَ عَاشُورَاءَ قَبْلَ أَنْ يُفْرَضَ رَمَضَانُ، وَكَانَ يَوْمًا تُسْتَرُ فِيهِ الْكَعْبَةُ». Al-Bukhārī, Kitāb al-Ḥajj, no. 1592. [Pautan] ↩︎
  5. Ibn ‘Umar RA: «صَامَ النَّبِيُّ ﷺ عَاشُورَاءَ، وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ». Al-Bukhārī, Kitāb al-Ṣawm, no. 1892; lihat juga Muslim, Kitāb al-Ṣiyām, no. 1126. Sebahagian ulama, antaranya Ibn Ḥajar dalam Fatḥ al-Bārī, memahami perintah ini sebagai kewajipan yang kemudian dimansuhkan oleh kefarduan puasa Ramadan. [Pautan 1] [Pautan 2] ↩︎
  6. Hadis ‘Āisyah RA: «فَمَنْ شَاءَ صَامَهُ، وَمَنْ شَاءَ تَرَكَهُ». Al-Bukhārī, no. 2002; Muslim, no. 1125. Ulama berbeza pendapat sama ada puasa Asyura pernah wajib sebelum Ramadan: Abū Ḥanīfah berpendapat ia pernah wajib, manakala pendapat yang masyhur dalam kalangan ulama Syafi’e ialah ia tidak pernah wajib tetapi sunat yang sangat dituntut. Namun mereka sepakat bahawa hukumnya kini sunat, bukan wajib. Lihat al-Nawawī, Syarḥ Ṣaḥīḥ Muslim, Kitāb al-Ṣiyām, Bāb Ṣawm Yawm ‘Āsyūrā’. [Pautan] ↩︎
  7. Ibn ‘Abbās RA: «كان النبي ﷺ يحب موافقة أهل الكتاب فيما لم يؤمر فيه». Al-Bukhārī, Kitāb al-Libās, no. 5917. Hadis Ibn ‘Abbās RA: «فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ – إِنْ شَاءَ اللَّهُ – صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ». Muslim, Kitāb al-Ṣiyām, no. 1134. [Pautan 1] [Pautan 2] ↩︎
  8. Ibn Ḥajar, Fatḥ al-Bārī, Kitāb al-Ṣawm, Bāb Ṣiyām Yawm ‘Āsyūrā’: «وعلى هذا فصيام عاشوراء على ثلاث مراتب». Paling rendah ialah berpuasa pada 10 Muharram sahaja, lebih tinggi daripadanya ialah 9 dan 10, dan paling tinggi ialah 9, 10 dan 11. Dalam Mazhab Syafi’e: «قال الشافعي وأصحابه وأحمد وإسحاق وآخرون: يستحب صوم التاسع والعاشر جميعا» (al-Nawawī, al-Majmū‘, Kitāb al-Ṣiyām, Bāb Ṣawm al-Taṭawwu‘). ↩︎
  9. Al-Nawawī, Minhāj al-Ṭālibīn, Kitāb al-Ṣiyām: «ويصح النفل بنية قبل الزوال وكذا بعده في قول، والصحيح اشتراط حصول شرط الصوم من أول النهار». Maksudnya, niat puasa sunat sah dilakukan sebelum gelincir matahari (zawal) dengan syarat tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa sejak terbit fajar. [Pautan] ↩︎
  10. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Al-Kafi #1275: “Bolehkah Niat Puasa Enam dan Puasa Ganti Secara Serentak?” (3 Jun 2019). Artikel ini menukilkan al-Ramlī (Nihāyah al-Muḥtāj dan Fatāwā al-Ramlī) bahawa sesiapa yang berpuasa qadha pada hari yang disunatkan berpuasa, termasuk Asyura, memperoleh pahala sunat itu tetapi bukan pahala yang sempurna. Kesimpulannya, yang afdal ialah memisahkan puasa qadha daripada puasa sunat. [Pautan] ↩︎
  11. Tiada hadis sahih yang mengkhususkan doa atau zikir tertentu pada hari Asyura; hadis sahih tentang hari ini hanya berkaitan puasa. Ibn Taimiyyah ditanya tentang amalan orang ramai pada hari Asyura seperti bercelak, mandi dan berinai, lalu menjawab: «لم يرد في شيء من ذلك حديث صحيح عن النبي ولا عن أصحابه». Lihat Ibn Taimiyyah, Majmū‘ al-Fatāwā, jld. 25, fatwa tentang amalan hari Asyura; juga al-Fatāwā al-Kubrā, Kitāb al-Sunnah wa al-Bid‘ah. Ibn al-Qayyim, al-Manār al-Munīf, tentang hadis-hadis bercelak, berhias, meluaskan belanja dan solat pada hari Asyura: «لا يصح منها شيء». ↩︎
  12. Ibn ‘Abbās RA: «مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ ﷺ يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ، إِلاَّ هَذَا الْيَوْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ…». Al-Bukhārī, no. 2006. Abū Qatādah RA: «وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ». Muslim, Kitāb al-Ṣiyām, no. 1162. [Pautan 1] [Pautan 2] ↩︎
  13. Dar al-Iftā’ al-Miṣriyyah, fatwa no. 7756, «حكم صيام يوم عاشوراء منفردًا إذا وافق يوم الجمعة» (26 Julai 2023), oleh Syawqī ‘Allām: «إذا وافق يوم عاشوراء يوم جمعة، فصيامه مشروع بلا كراهة؛ لأن نيَّة الصائم صوم عاشوراء لا الجمعة». [Pautan] ↩︎
  14. Ibn Bāz, «الترغيب في صوم عاشوراء», Majmū‘ Fatāwā wa Maqālāt Mutanawwi‘ah, jld. 15, hlm. 397: «ويستحب أن يصوم قبله يومًا أو بعده يومًا مخالفة لليهود في ذلك». Beliau juga menyatakan tidak mengapa berpuasa ketiga-tiga hari (9, 10 dan 11). [Pautan] ↩︎
  15. Abū Hurairah RA: «الصِّيَامُ جُنَّةٌ، فَلاَ يَرْفُثْ وَلاَ يَجْهَلْ، وَإِنِ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ». Al-Bukhārī, Kitāb al-Ṣawm, Bāb Faḍl al-Ṣawm, no. 1894; Muslim, Kitāb al-Ṣiyām, no. 1151. [Pautan 1] [Pautan 2] ↩︎
  16. Ibn ‘Abbās RA: «قَدِمَ النَّبِيُّ ﷺ الْمَدِينَةَ، فَرَأَى الْيَهُودَ تَصُومُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ… هَذَا يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ، فَصَامَهُ مُوسَى». Al-Bukhārī, no. 2004. Dalam riwayat Muslim: «هَذَا الْيَوْمُ الَّذِي أَظْهَرَ اللَّهُ فِيهِ مُوسَى وَبَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَى فِرْعَوْنَ». Muslim, no. 1130. [Pautan 1] [Pautan 2] ↩︎
  17. Ibn al-Jawzī, al-Mawḍū‘āt, Kitāb al-Ṣiyām, tentang hadis panjang peristiwa-peristiwa hari Asyura: «هذا حديث لا يشك عاقل في وضعه». Ibn al-Qayyim, al-Manār al-Munīf, tentang hadis-hadis fadilat hari Asyura selain puasa: «لا يصح منها شيء». Al-Albānī, Silsilat al-Aḥādīṡ al-Ḍa‘īfah, mendaifkan hadis «من وسع على عياله يوم عاشوراء» daripada semua jalannya. ↩︎
  18. Ibn Taimiyyah, Majmū‘ al-Fatāwā, jld. 25, fatwa tentang amalan hari Asyura (bercelak, mandi, berinai dan lain-lain): «لم يرد في شيء من ذلك حديث صحيح عن النبي ولا عن أصحابه». Ibn Rajab, Laṭā’if al-Ma‘ārif, majlis bulan Muharram: «كل ما روي في فضل الاكتحال في يوم عاشوراء والاختضاب والاغتسال فيه فموضوع لا يصح». Ibn al-Qayyim, al-Manār al-Munīf: «لا يصح منها شيء». ↩︎
Photo of author

Muhamad Naim Abd Manaf

Penulis utama dan ketua editor. Menubuhkan web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

12 komentar pada “PUASA SUNAT ASYURA (Niat, Hukum & Kelebihan)”

    • Terima kasih banyak atas respon puan

      Alhamdulillah, saya bersyukur jika perkongsian ini dapat memberi manfaat. Moga Allah terus memberkati puan dengan ilmu yang bermanfaat dan amal yang diterima.

      Balas
    • Waalaikumussalam

      Solat sunat Asyura tidak ada dalil sahih yang khusus daripada Nabi ﷺ yang menyatakan Baginda melakukan solat sunat tertentu pada 10 Muharram (Hari Asyura).

      Maka ia bukan solat sunat yang disyariatkan secara khusus dalam Islam.

      Wallahu a’lam

      Balas
        • Waalaikumussalam.

          Ya, boleh gunakan niat umum yang sama untuk puasa sunat pada 9, 10 dan 11 Muharram, iaitu berniat puasa sunat kerana Allah Taala.

          Namun jika mahu lebih khusus, boleh bezakan niat seperti berikut:

          Untuk 9 Muharram, niatkan puasa sunat Tasu‘a.

          Untuk 10 Muharram, niatkan puasa sunat Asyura.

          Untuk 11 Muharram, niatkan puasa sunat bulan Muharram.

          Jika sekadar berniat “sahaja aku berpuasa sunat esok hari kerana Allah Taala”, itu juga memadai untuk puasa sunat tersebut.

          Wallāhu a‘lam.

          Balas
  1. Alhamdulillah, info yang sangat baik dari masa kesemasa. Teruskan informasi, ramai yang lupa atau tak pernah tahu. Terima kasih tuan

    Balas
  2. Nak tau cara niat yg lebih mudah?
    Takya lafaz,niat jela dlm hati ?
    Atau boleh tunjukkan bukti Nabi SAW ajar lafaz niat puasa mcm tu.

    Balas
    • Waalaikumussalam, terima kasih atas teguran

      Benar, tidak ada lafaz niat khusus yang diajarkan oleh Nabi ﷺ untuk puasa, termasuk puasa Asyura.

      Niat itu tempatnya di hati, dan jika seseorang sudah berniat dalam hati (tanpa lafaz), puasanya tetap sah menurut ijmak ulama.

      Namun begitu, tidak semua orang memiliki latar belakang kefahaman, tumpuan atau ketenangan hati yang sama.

      Atas dasar inilah para ulama seperti dalam mazhab Syafi‘e menyusun lafaz-lafaz niat sebagai alat bantu – supaya hati lebih mudah terarah dan tidak terganggu oleh waswas.

      Lafaz tersebut bukan diwajibkan, bukan juga menggantikan niat di hati tetapi ia seperti tongkat untuk yang memerlukan. Ada orang mampu berdiri tanpa sokongan, tetapi ada yang memerlukan sedikit bantuan untuk berdiri teguh.

      Jadi, kita raikan semua – yang kuat dengan ilmunya, dan yang perlahan mencari jalan ke istiqamah.

      Semoga Allah menerima amalan kita dengan rahmat dan kasih sayangNya.

      Balas

Tinggalkan Komen Anda..