MALAM NISFU SYAABAN: Doa, Amalan & Kelebihan

malam nisfu syaban

Apakah kelebihan Malam Nisfu Syaaban?

Apakah hukum, doa dan amalan-amalan yang digalakkan pada malam tersebut?

Artikel ini akan menjelaskan beberapa kelebihan, doa dan amalan yang digalakkan untuk dilakukan pada malam tersebut.

Semoga bermanfaat..

Maksud Nisfu Syaaban

Nisfu adalah bermaksud separuh (Nisf). Oleh itu Nisfu Syaaban bermaksud separuh daripada Bulan Syaaban, iaitu pada malam ke-15 (iaitu pada siangnya 14 Syaaban).

Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadar. Malam Nisfu Syaaban adalah hari dimana buku catatan amalan orang-orang Muslimin selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru.

Mengapakah malam Nisfu Syaaban begitu istimewa?

Banyak kelebihan malam nisfu syaaban, antaranya malam ini adalah terbukanya pintu langit dan malam dimakbulkan doa.

Malam Nisfu Syaaban juga dipanggil:

  • Lailatul Mubarakah (malam keberkatan),
  • Lailatul Baraah (malam pelepasan),
  • Lailatul Qismah wal-taqdir (malam pembahagian dan penentuan)
  • Lailatul Takfir (malam mengkifaratkan dosa).
  • Lailatul Ijabah (malam diperkenankan doa),
  • Lailatul Syafaah (malam syafaat)
  • Lailatul Idil Malaikah (malam raya malaikat).
  • Lailatul Hayat (malam hidup), iaitu malam yang tidak dimatikan apabila seseorang menghidupkan malamnya.

Hadis Sahih Kelebihan Malam Nisfu Syaaban

Berikut adalah beberapa hadis yang menceritakan kelebihan malam Nisfu Syaaban yang dipetik dari laman Mufti Wilayah Persekutuan.

1. Daripada Abu Musa al-Asy’ari RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Sesungguhnya Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”.

[Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 1380] Imam al-Zahabi mengatakan hadith ini dhaif disebabkan terdapat pada sanadnya Ibn Lahi’ah. [Lihat: Talkhis al-‘ilal al-Mutanihiyah, 184]


2. Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan sebanyak bilangan bulu kambing pengawal”.

[Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 670] Al-‘Aini mengatakan hukum hadith ini adalah munqathi’. [Lihat: ‘Umdah al-Qari, 11:116]


3. Daripada Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

“Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan hamba-Nya kecuali dua (golongan) iaitu orang yang bermusuhan dan orang yang membunuh diri”.

[Riwayat Ahmad, no. Hadith 6353] Ibn Hajar mengatakan sanadnya layyin (salah satu daripada ciri hadith dhaif). [Lihat: al-Zawajir  ‘an Iqtiraf al-Kabair, 2:43] Manakala Ahmad Syakir mengatakan sanadnya adalah sahih [Lihat: Musnad Ahmad, 10:127]


4. Daripada Mu’az bin Jabal RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Allah SWT melihat makhluk-Nya pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”.

[Sahih Ibn Hibban, no. Hadith 5665]


5. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Apabial tiba malam nisfu Sya’ban, Allah SWT mengampunkan hamba-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. 

[Majma’ al-Zawaid, 8:68] Imam al-Sakhawi menyatakan bahawa perawi-perawinya tidak ada dipertikaikan. [Lihat: al-Ajwibah al-Mardhiyyah, 1:325]

Tarjih Hukum Hadis

Setelah melihat hadith-hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban telah berlaku perselisihan antara para ulama’ dalam menyatakan hukum berkenaan hadith ini

Sebahagian mereka mengsahihkan hadith ini dan sebahagian lagi sebaliknya.

Berdasarkan hadith-hadith yang kami nyatakan, ia menunjukkan akan sabitnya hadith-hadith yang menceritakan akan kelebihan malam nisfu Sya’ban sehinggakan Ibn Hibban mengsahihkan satu riwayat daripada Mu’az bin Jabal tanpa memerlukan sokongan daripada jalur yang lain.

Untuk itu, kami cenderung untuk mengatakan bahawa hukum hadith ini sahih dengan kesemua jalur-jalurnya yang lain dan ini menunjukkan bahawa hadith ini mempunyai asal.

Walaubagaimanapun, kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sabit namun amalan tertentu pada malam tersebut adalah tidak ada sama sekali melainkan amalan yang bersifat umum seperti memperbanyakkan zikir, istighfar kepada Allah SWT, solat-solat sunat, berdoa, bersedekah dan lain-lain lagi.

— Mufti Wilayah Persekutuan

Amalan Pada Malam Nisfu Syaaban

amalan malam nisfu syaban

Islam tidak meletakkan sesuatu amalan khusus yang mungkin boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah untuk diamalkan pada Malam Nisfu Syaaban.

Tetapi dalam masa yang sama, kita hendaklah mengambil peluang dengan kelebihan yang ada pada malam tersebut dengan beramal sebanyak-banyaknya.

Berikut adalah amalan-amalan yang boleh dikerjakan:

Amalan Pertama

Solat Sunat Mutlak

Solat ini tergolong dalam kategori solat Sunat Mutlak, yang dilakukan pada waktu malam 15 Syaaban.

Ia boleh didirikan selepas mengerjakan Solat Maghrib, Isyak atau bersama solat-solat sunat semasa qiamullail.

Sesungguhnya Malam Nisfu Syaaban ini adalah kesempatan untuk menyuci dan memperbaiki diri dengan meminta ampun dan mohon diubah segala yang tercatat dikitab Azali kearah positif bagi menginsafi dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Cara Mengerjakan Solat Sunat Nisfu Syaaban:

1. Lafaz niat:

Niat Solat Sunat Nisfu Syaban

 Usolli Sunnata Lailati Nisfi Sya’bana Rak’ataini Lillahi Taala 

Niat dalam Melayu:

Sahaja aku solat sunat malam nisfu Syaaban dua rakaat kerana Allah Taala

2.  Rakaat pertama baca surah al-Fatihah dan Surah al-Kafirun.

3.  Rakaat ke dua, selepas al-Fatihah baca Surah al-Ikhlas.

4.  Teruskan solat sehingga selesai. Selepas memberi salam, bacalah surah Yasin 3 kali.

Nota

Para ulama’ khilaf tentang solat ini. Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazzali (505H) adalah antara ulama’ yang membolehkannya, dalam kitab Ihya’ Ulumid Din, 1/209-210

Haruslah difahami bahawa mengerjakan solat sunat Mutlak atau solat Sunat Awwabin, boleh dilakukan pada mana-mana malam sekalipun, termasuklah malam Nisfu Sya’ban.

Amalan Kedua

Membaca Surah Yasin Sebanyak 3 Kali

Selepas selesai melakukan solat sunat, bacalah surah Yasin tiga kali.

Disebutkan oleh Imam Abdul Ghani bin Ismail an-Nablusi dalam kitabnya
Fadha’il al-Ayyam wa asy-Syuhur, ms. 38, antara amalan para solehin pada malam ini, selepas solat fardhu Maghrib dan Sunat Ba’diahnya, dibaca Surah Yaasin 3 kali.

Sekiranya tidak sempat melakukannya selepas solat Maghrib, lakukannya selepas Solat Isyak.

Bacalah Yasin dengan niat supaya:

  1. Allah memanjangkan umur serta dapat beribadat
  2. Menambah rezeki
  3. Ditetapkan dan meningkatkan iman dan mati dalam husnul khatimah

Rujukan Bacaan Yasin Rumi

Ini adalah panduan ringkas Surah Yasin & Doa yang dipermudahkan dengan transliterasi rumi serta audio.

Anda akan dibimbing secara lengkap dengan bacaan-bacaan sebelum membaca Surah Yasin dan juga doa selepas yasin.

Amalan Ketiga

Doa Nisfu Syaaban

Selepas selesai membaca Yasin, bacalah Doa Nisfu Syaaban.

Antara doa malam Nisfu Syaaban yang ma’thur boleh dibaca adalah seperti berikut:

doa nisfu syaaban
doa nisfu sya'ban
doa nisfu sya'ban
doa nisfu sya'ban
doa malam nisfu sya'ban
doa nisfu sya'ban

Bacaan Doa Dalam Rumi:

Bismillahir-Rahmanir-Rahim

Alhamdulillahi Rabbi ‘Alamin Wassolatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrofil Mursalin Sayyidina Muhammadin Wa ‘Alaa Aalihi Wasohbihi Ajmain.

Allahumma Ya Dzalmanni Walaa Yamunnu ‘Alaika Ya DzaljalaaLi Wal Ikraam Ya Dzat-Thauli Wal In’Aami Laa Ilaha illa Anta Zahral-lajin WajaaRal Mustajiirina Wa AmaaNal Kho’iifinn.

Allahumma In Kunta Katabtani Indaka Fii Ummil-Kitaabi Syaqiyyan Au MahruuMan Au Mathrudan Au Muqtaran Alayya FirRizqi FamHu Allahumma BiFadlika Fii Ummil-Kitaab SyaQooWatii WaHirMaaNi Wa ThorDhii RizQii Wa AsBitNi InDaka Fii Ummil-Kitaabi Sa’iidan MarZuQon MuwafFaqon LilKhaiRoti FainNaKa Qulta WaQauLukal-Haqqu Fii KiTaaBikal Mursali YamHullahHu Ma YaSyaa’ Wa YusBiThu Wa’InDaHu Ummul-Kitaab.

iLaaHi BitTaJallil A’Zomi Fii Lailatil Nifsi Min Syahri Sya’Banal MukarRamil-Lati YufRoQu FiiHaa Kullu AmRinn HakiiMin WaYubRomu An TakSyiFa ‘AnNaa Minal BaLaa’i Maa Na’Lam WaMaa Laa Na’lam WaMaa Anta Bihi ‘Alamu InnaKa Antal A’azDzulKariim.

Wasollallahu ‘Ala Sayyidina Muhammadin Wa ‘Alaa Aalihi WaSohbihi WaSallam Walhamdulillahi Rabbil ‘Alamin.

Maksudnya:

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian Alam. Selawat dan salam ke atas Muhammad dan sekalian keluarganya serta sahabat baginda.

Ya Allah pemilik (semuanya) baik anugerah dan yang tidak dianugerahi, wahai yang memiliki kebesaran dan kemulian, wahai yang memiliki kurnia dan kenikmatan, tiada Tuhan kecuali Engkau.

Engkaulah tempat berlindung,tempat memohon pertolongan dan pengaman bagi orang yang ketakutan.

Ya Allah, jika Engkau telah menulis di dalam Ummul Kitab nasib kami sebagai orang yang sengsara, atau yang diharamkan mendapatkan kenikmatan, atau yang ditolak, atau yang disempitkan rezekinya, maka demi kemuliaan-Mu ya Allah, hapuskanlah kesengsaraan kami, keterhalangan kami dari nikmat, ketertolakan dan kesempitan rezeki kami.

Dan tetapkanlah di dalam Ummul Kitab yang ada di sisi-Mu, kami sebagai orang yang bahagia, mendapat rezeki, mendapat taufik untuk melakukan kebaikan.

Sesungguhnya Engkau telah berfirman dengan firmanMu yang hak di dalam kitab-Mu yang diturunkan kepada Nabi utusanMu, “Allah (berkuasa untuk) menghapus dan menetap yang dikehendakiNya dan di sisiNya Ummul Kitab.”

Ya Allah, dengan tajalli-Mu yang Maha Agung pada Malam Nisfu Syaaban yang mulia ini, yang di dalamnya dipisahkan dan dikukuhkan seluruh persoalan penting, kami mohon agar dihindarkan dari malapetaka yang kami ketahui ataupun yang tidak kami ketahui dan Engkau Maha Mengetahui, sesungguhnya Engkau Maha Pemurah dan Maha Mulia.

Semoga salam dan sejahtera dilimpahkan kepada Nabi Muhammad, keluarga dan sahabatnya.

Segala puji bagiMu ya Allah, Tuhan pemelihara Alam.

Nota

Doa ini ma’thur dan masyhur. Daripada Ibn Mas’ud berkata:

Tidaklah seseorang hamba yang berdoa dengan doa ini, melainkan akan diluaskan kehidupannya.”

Pada malam ini juga, sangat baik untuk memperbanyakkan beristighfar (memohon keampunan) dan bertaubat dari dosa-dosa besar dan kecil serta meminta keampunan Allah untuk ibu bapa dan keluarga kita.

Kelebihan Malam Nisfu Syaaban

Berikut adalah beberapa pendapat ulama’ berkaitan kelebihan malam Nisfu Sya’ban:

1. Telah berkata Imam al-Syafie RA:

Doa mustajab adalah pada 5 malam, iaitu malam jumaat, malam al-Adha, malam al-Fitri, malam awal bulan Rejab, dan malam nisfu Sya’ban”.

— Lihat: al-Um, 1:264

2. Ibnu Rajab RA mengatakan:

Berkaitan malam nisfu Sya’ban, pada zaman dahulu para tabi’in daripada penduduk al-Syam, seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin Amir, dan beberapa para tabi’in yang lain memuliakannya (malam tersebut) dan mereka bersungguh-sungguh beribadah pada malam itu”.

— Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 247

Oleh itu, hidupkan malam Nisfu sya’ban dengan beribadah seperti solat sunat tasbih, baca al-Quran, berzikir, selawat, dan berdoa dengan niat:

  1. Panjang umur sihat wal’afiat dalam taat dan ibadah kepada Allah.
  2. Selamat dari pada musibah, bala, penyakit, wabak penyakit.
  3. Minta rezeki yang halal dan kaya hati dari sekalian makhluk dan mati dalam keadaan husnul khatimah baik kesudahan.
  4. Dan sekurang-kurangnya pada malam Nisfu Sya’ban beribadah dengan mengerjakan Solat Isyak berjamaah dan Solat Subuh berjamaah.

Soal Jawab Lazim Berkaitan Malam Nisfu Syaaban

Berikut disenaraikan beberapa soal jawab lazim berkaitan Malam Nisfu Syaaban:

Apa Itu Malam Nisfu Syaaban?

Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam ke-15 Syaaban iaitu siangnya 14 haribulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadar.

Adakah Dosa Diampunkan Pada Malam Nisfu Syaaban?

Semestinya pengampunan Allah s.w.t tersebut berasaskan amalan-amalan soleh yang dilakukan oleh hamba-hambaNya. Galakan serta amalan-amalan tersebut seperti yang dinyatakan dalam hadis berikut: “Apabila datang malam Nisfu Syaaban maka hendaklah kamu bangun mendirikan  solat-solat sunat pada malamnya dan melaksanakan puasa sunat pada siang harinya. Kerana sesungguhnya Allah turun ke langit dunia pada malam tersebut bermula dari terbenam matahari”. (H.R Ibnu Majah)

(Kanzul Ulum al-Jami’ lilahkami al-Syari’yyah fi al-Fiqhi al-Syafie: ms 215).

Apakah Hukum Menghidupkan Malam Nisfu Syaaban?

Kesemua amalan pada Malam Nisfu Syaaban tidak boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah yang mesti dibuat dalam bentuk tuntutan kerana kesemua amalan ini adalah bersifat umum.

Adakah Wajib Membaca Surah Yasin Sebanyak 3 Kali Pada Malam Nisfu Syaaban?

Tidak wajib. Tiada Nas yang mewajibkan bacaan Yasin sebanyak 3 kali pada Malam Nisfu Syaaban. Amalan membaca Yasin 3 kali adalah amalan para solehin seperti yang disebutkan oleh Imam Abdul Ghani bin Ismail an-Nablusi dalam kitabnya Fadha’il al-Ayyam wa asy-Syuhur

Adakah Amalan Pada Malam Nisfu Syaaban Sunnah Nabi?

Islam tidak meletakkan sesuatu amalan khusus yang mungkin boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah untuk diamalkan pada Malam Nisfu Syaaban. Semua amalan-amalan pada malam ini adalah bersifat umum.

Adakah Terdapat Hadis Sahih Mengenai Kelebihan Malam Nisfu Syaaban?

Terdapat hadis yang sahih jelas menunjukkan kelebihan malam Nisfu Syaaban ini iaitu: Daripada Abu Musa al-Asya’ri r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Allah s.w.t menilik (hamba-hambaNya) pada malam Nisfu Syaaban, lalu diampunkan seluruh hamba-hambaNya melainkan orang melakukan syirik dan orang munafik.” (H.R Ibnu Majah).

Khilafiah Pendapat Ulama Mengenai Malam Nisfu Syaaban

Terdapat khilafiah pendapat ulama terhadap malam Nisfu Syaaban.

Kesemua amalan ini tidak boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah yang mesti dibuat dalam bentuk tuntutan kerana kesemua amalan ini adalah bersifat umum.

Terpulanglah kepada kita yang mana dirasakan lebih baik. Memetik kata-kata Ustaz Muhadir bin Haji Jol:

Nilailah sesuatu qadhiah (isu) dengan neraca ilmu yang tahqiq (benar), melalui irsyadat (panduan) daripada para masyaikh yang bersanad. Luaskanlah iththila’ (pembacaan) agar bertemu kebenaran.

Disebutkan:

“Sesiapa yang banyak membaca, maka sedikitlah bangkangannya.”

Walau bagaimana pun, jangan diiktikadkan bahawa malam tertentu sahaja dianjurkan beramal seperti membaca al-Quran dan sebagainya, tetapi boleh dibuat pada bila-bila masa dan tidak semestinya dibaca Yasin 3 kali.

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim..

Jika Engkau takdirkan panjang usiaku

Tetapkanlah aku di jalanMu

Agar aku istiqamah menjejaki keredhaanMu

Teguh menjalankan perintahMu,tunduk pada ketentuanMu.

Jadikanlah diri ini orang yang selalu menjauhi laranganMu.

Agar tidak sia-sia sisa umurku berlalu…

Amin

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

216 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Sabby
Sabby
9 bulan yang lalu

Assalamualaikum.

Terima kasih banyak2 atas perkongsian yang memudahkan urusan saya pada malam nifsu syaa’ban ini yang saya jadikan sebagai rujukan dan panduan. Moga segala urusan Tuan juga dipermudahkan Allah s.w.t

Athufalifi
Athufalifi
9 bulan yang lalu

Alhamdulillah,jumpa web tulisan kedua dari sain satu sekolah mmt dlu,page pertama hok ngail pasal air pasang surut tu blog inchinaem,klau Salah ejaan mnta maaf Deh 😅 ,hebat sahabat naim,teruskan perjuangan ,bnyk ilmu dpt👍👍👍

Masdiana Binti Minhat
Masdiana Binti Minhat
9 bulan yang lalu

Alhamdulillah..terima kasih atas perkongsian ilmu ini. Ianya jelas dan mudah difahami. Semoga Allah swt membalas dengan rezeki yang melimpah ruah, kesihatan yang baik dan umur yang berkat.amin

Azlyn
Azlyn
9 bulan yang lalu

Alhamdulillah, terima kasih kerana memudahkan,semoga Allah sahaja yang mmbalasnya..

fatiha
fatiha
9 bulan yang lalu

Assalamualaikum, saya nak tanya, boleh ke kalau tk buat solat tasbih untuk nifsu syaaban ni ?

trackback
Tilmizah Busyra Sebak Umum Tarik Diri Semasa Penyingkiran Di Akademi Qurra 2024 - Hijabista - The Malay Tribune
10 bulan yang lalu

[…] SUMBER: AKUISLAM […]

Rose
Rose
1 tahun yang lalu

Saya ikt apa yg awak cakap ni ada solat sunat nisfu syaaban.suami saya cakap x ada dan x ada org melakukan itu.saya rasa bersalah sbb ini.betul kah xada solat sunat nisfu syaaban?

siti
siti
1 tahun yang lalu

asslamualaikum , kalau baca yaasin 1 kali waktu malam nisfu syaaban lepastu sambung esok nya sebelum maghrib 2 kali boleh ke ?

siti
siti
Reply to  Muhamad Naim
1 tahun yang lalu

Terima kasih

Maklang
Maklang
1 tahun yang lalu

Terima kasih

Ahmad
Ahmad
1 tahun yang lalu

Nape mcm mngelirukan ya? Tidak sunnah dan bersifat umum tapi seperti ditekan buat seperti ini itu. Ini bkn bersifat umum klau mcmtu malah spesifik seperti surah yasin mcm tkde surah lain, solat sunat rakaat baca surah ini itu. Kalau umum disebut, baca Quran bnyk2, solat sunat bnyk2 surah bebas stiap rakaat. Baru betul brsifat umum