NIAT & CARA SOLAT SUNAT SEBELUM SUBUH (Panduan Lengkap)

solat sunat sebelum subuh

Bagaimana cara mengerjakan solat sunat sebelum subuh?

Ini adalah panduan lengkap cara mengerjakan solat sunat sebelum subuh. Panduan ini ditulis secara langkah demi langkah yang ringkas.

Setiap bacaan dipermudahkan dengan trasliterasi rumi untuk membantu anda.

Semoga memberi manfaat.

Pengenalan

Solat ini tergolong dalam solat Nafl. Dari segi bahasa, solat Nafl ( نَفْل ) bermaksud tambahan. Ia disebut juga sebagai solat sunat (السنّة), mandub (المندوب) dan mustahabb (المستحب)

Solat ini dinamakan sebagai Nafl kerana ia adalah tambahan kepada solat-solat yang difardukan oleh Allah SWT. Solat sunat sebelum subuh juga dikenali sebagai Solat Qabliyyah Subuh dan Solat Sunat Fajar

Solat sunat sebelum subuh dilakukan sebanyak dua rakaat. Solat ini memiliki banyak kelebihan sebagaimana yang disebutkan dalam hadis-hadis Rasulullah SAW.

Perkara utama yang dihitung ke atas seseorang itu adalah solatnya. Sekiranya dia menyempurnakan solatnya, maka ditulis solat itu didirikan dengan sempurna.

Sekiranya tidak sempurna, Allah mengingatkan yang bermaksud, “Perhatikan adakah kamu mendapati hamba-Ku ini melakukan solat-solat sunat. Sempurnakan solatnya dengan solat-solat sunat ini. Kemudian baru dihitung zakat. Selepas itu diambil amalan-amalan berdasarkannya.

— Hadis direkodkan oleh Ahmad

Niat Solat Sunat Sebelum Subuh

Bagaimana lafaz niat solat sunat sebelum subuh?

Sebenarnya tiada lafaz khas untuk solat sunat sebelum subuh. Kita boleh berniat solat sunat subuh dengan pelbagai lafaz.

Anda juga boleh niat solat sunat sama ada dalam Bahasa Arab atau Bahasa Melayu.

Antara lafaz niat yang boleh diucapkan adalah:

niat solat sunat sebelum subuh

 Usolli Sunnatas-Subhi Rak’ataini Lillahi Taala 

Niat dalam melayu:

Sahaja aku solat sunat subuh dua rakaat kerana Allah Taala

… atau seperti di bawah:

niat solat  sunat qabliyyah subuh

   Usolli Sunnatas-Subhi Rak’ataini Qabliyyatan Lillahi Ta’ala   

Niat dalam melayu:

Sahaja aku solat sunat sebelum Subuh dua rakaat Qabliyyah kerana Allah Taala.

… atau seperti di bawah:

niat solat sunat sebelum subuh

 Usolli Sunnatal Fajri Rak’ataini Lillahi Ta’ala 

Maksudnya:

Sahaja aku solat sunat fajar dua rakaat kerana Allah Taala”

Ketahui lanjut mengenai perkara berkaitan niat solat solat pada pautan ini: Cara Niat Solat Yang Betul (Siri Panduan Solat Sempurna)

Cara Solat Sunat Sebelum Subuh

Tempoh melakukan solat sunat ini adalah dalam jangka masa yang sederhana dan tidak terlampau lama.

Saidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah memendekkan solat sunat subuhnya sehingga aku berasa ragu-ragu sama ada baginda membaca al-Fatihah ataupun tidak.

— Hadis direkodkan oleh Ahmad

Di bawah ini merupakan cara melaksanakan solat Sunat sebelum subuh secara langkah demi langkah:

Rakaat Pertama

1. Solat Dimulakan Dengan Takbiratul ihram.

Semasa mengangkat takbir, bacakan niat solat sunat subuh dalam hati.

Antara lafaz niat yang boleh diucapkan adalah:

niat solat sunat sebelum subuh

 Usolli Sunnatas-Subhi Rak’ataini Lillahi Taala 

Sahaja aku solat sunat subuh dua rakaat kerana Allah Taala

* Niat solat juga boleh dilafazkan sebelum mengangkat takbir.

takbiratul ihram

2. Bacalah Surah al-Fatihah.

Pada kebiasaannya, solat sunat terus dibaca al-Fatihah tanpa Doa Iftitah terlebih dahulu.

Tetapi jika ingin membaca Doa Iftitah juga, ia adalah sunat (dapat pahala membaca)

Surah al-Fatihah adalah sebahagian daripada rukun solat. Oleh itu ia wajib dibacakan dalam semua solat.

surah al fatihah

Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Sirāṭallażīna an‘amta ‘alaihim, ghairil-magḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn


3. Kemudian, Baca Surah al-Kafirun

Selesai baca al-Fatihah, maka bacalah pula surah pendek daripada surah al-Quran.

Antaranya surah yang boleh dibaca adalah al-Kafirun:

solat sunat sebelum subuh

Qul Yā Ayyuhal-Kāfirūn. Lā A‘Budu Mā Ta‘Budūn. Wa Lā Antum ‘Ābidūna Mā A‘Bud. Wa Lā Ana ‘Ābidum Mā ‘Abattum. Wa Lā Antum ‘Ābidūna Mā A‘Bud. Lakum Dīnukum Wa Liya Dīn

Maksudnya:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! “Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. “Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. “Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. “Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. “Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku”.


4. Selesai Membaca Surah, Teruskan Dengan Rukuk

rukuk solat

Belakang badan perlu rata, pandangan dihalakan ke tempat sujud dan tangan  diletakkan di kepala lutut dalam keadaan selesa.

Dalam rukuk ini, bacalah bacaan rukuk:

  SubHaaNa Rabbiyal A’zim Wabihamdih 


5. Kemudian Bangun Iktidal

Bangun dari rukuk dan berdirilah tegak (iktidal), kemudian bacalah:

bangun dari rukuk
rabbana lakal hamdh

  Sami Allahu Liman Hamidah. Rabbana Lakal Hamdh 


7. Selepas Iktidal, Teruskan Dengan Melakukan Sujud

sujud

Semasa sujud bacakan bacaan sujud:

  Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih 


8. Kemudian Duduk Diantara Dua Sujud

solat taubat

Baca bacaan antara dua sujud:

  Rabbigfirli Warhamni Wajburni Warfagni Warzuqni Wahdini Wa ‘AaFini Wa’fu Anni 


9. Kemudian Lakukan Sujud Kedua

Semasa sujud bacakan bacaan sujud:

  Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih 


10. Duduk Istirahat Seketika Sebelum Bangun Untuk Rakaat Kedua.

Sebelum bangun ke rakaat kedua, duduk istirahat sebentar (lebih kurang 3 saat) sebelum bangun berdiri untuk rakaat seterusnya.

solat taubat
Posisi Duduk Istirahat

Rakaat Kedua

11. Rakaat Kedua Dimulai Dengan Lafaz Takbir Intiqalat

(takbir intiqalah bermaksud takbir permulaan rakaat kedua).


12. Baca Surah al-Fatihah.

Seperti rakaat pertama, sekali lagi pada rakaat kedua dibacakan surah al-Fatihah.

surah al fatihah
Surah al fatihah

Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Sirāṭallażīna an‘amta ‘alaihim, ghairil-magḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn


13. Seterusnya Membaca al-Ikhlas

Selesai membaca al-Fatihah, maka bacalah pula surah al-ikhlas

al-mathurat

Qul Huwallāhu Aḥad. Allāhuṣ-Ṣamad. Lam Yalid Wa Lam Yūlad. Wa Lam Yakul Lahū Kufuwan Aḥad

Maksudnya:

Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.

Bacaan surah al-Kafirun dan al-Ikhlas pada rakaat pertama dan kedua adalah berdasarkan riwayat Aisyah r.a. “Rasulullah membaca ‘kul ya ayyuhal kafirun’ dan ‘qul huwallahu ahad’ dalam solat sunat subuh” (Hadis ini direkodkan oleh Ahmad dan at-Tahawi


14. Selesai Membaca Surah, Teruskan Dengan Rukuk

rukuk solat

Belakang badan perlu rata, pandangan dihalakan ke tempat sujud dan tangan  diletakkan di kepala lutut dalam keadaan selesa.

Dalam rukuk ini, bacalah bacaan rukuk:

  SubHaaNa Rabbiyal A’zim Wabihamdih 


15. Kemudian Bangun Iktidal

Bangun dari rukuk dan berdirilah tegak (iktidal), kemudian bacalah:

bangun dari rukuk
rabbana lakal hamdh

  Sami Allahu Liman Hamidah. Rabbana Lakal Hamdh 


16. Selepas Iktidal, Teruskan Dengan Melakukan Sujud

sujud

Semasa sujud bacakan bacaan sujud:

  Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih 


17. Kemudian Duduk Diantara Dua Sujud

solat taubat

Baca bacaan antara dua sujud:

  Rabbigfirli Warhamni Wajburni Warfagni Warzuqni Wahdini Wa ‘AaFini Wa’fu Anni 


18. Kemudian Lakukan Sujud Kedua

Semasa sujud bacakan bacaan sujud:

  Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih 


19. Bangun Dari Sujud, Terus Lakukan tahiyyat akhir

tahiyat akhir

20. Selesai Tahiyat, Solat Diakhiri Dengan Memberi Salam.

salam

Palingkan muka ke sebelah kanan, dan ucapkan salam seperti berikut:

ucapan salam

  Assalamualaikum Warahmatullah 

Maksudnya:

Salam sejahtera untuk kamu, juga rahmat Allah dan berkatNya

… kemudian palingkan pula muka ke sebelah kiri dan ucapkan salam kedua:

ucapan salam

  Assalamualaikum Warahmatullah 

Doa Selepas Solat Sunat Subuh

Antara doa yang elok dibaca selepas solat sunat subuh adalah doa berikut:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ وَإِسْرَافِيلَ وَمِيكَائِيلَ وَمُحَمَّدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. أَعُوذُ بِكَ مِنَ النَّارِ.

Allahumma Rabb Jibrila wa Israfila wa Mika’ila, wa Muhammadan an-Nabiyyi salla Allahu ‘alayhi Wa Sallam, A‘udzu Bika Minan-nar.

Maksudnya:

Ya Allah, Tuhan (yang mentadbir) Jibril, Israfil, dan Mikail, dan Muhammad, nabi yang Engkau selawat dan salamkan ke atasnya, aku berlindung kepada-Mu daripada api neraka.

Kelebihan Solat Sunat Sebelum Subuh

Solat sunat ini mempunyai kelebihan yang sangat besar jika dikerjakan.

Antara kelebihan-kelebihan solat sunat sebelum subuh yang disebutkan oleh Nabi SAW adalah:

1. Lebih Baik Daripada Seluruh Dunia

Saidatina Aisyah r.a. melaporkan, Rasulullah SAW berkata berkenaan solat dua rakaat sebelum solat fardu subuh:

Dua rakaat itu lebih baik bagiku daripada seluruh isi dunia

— Hadis ini direkodkan oleh Ahmad, Muslim dan at-Tirmizi

2. Lebih Penting Daripada Nyawa Sendiri

Abu Hurairah melaporkan, Rasulullah SAW berkata:

Janganlah kamu tinggalkan solat sunat dua rakaat sebelum solat subuh, sekalipun kamu dikejar oleh kuda (walaupun kamu dikejar oleh musuh)

— Hadis ini direkodkan oleh Ahmad, Abu Daud, al-Baihaqi dan at-Tahawi

3. Amalan Sunat Yang Paling Dipelihara Oleh Rasulullah SAW

Saidatina Aisyah r.a. meriwayatkan:

Rasulullah tidak menjaga amalan-amalan sunatnya lebih daripada dia menjaga dua rakaat sebelum solat subuh

— Hadis ini direkodkan oleh Bukhari, Muslim, Ahmad dan Abu Daud

Qadha Solat Sunat Qabliyyah Subuh

Bolehkah melakukan qadha solat sunat subuh yang tertinggal?

Menurut Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’:

Solat sunat yang terikat dengan waktu seperti solat sunat rawatib yang mengiringi solat fardu, maka pendapat yang tepat dalam mazhab Syafi’e adalah sunat mengqadhakan solat sunat ini jika tertinggal.

Oleh itu, sekiranya tidak berkesempatan melakukan solat sunat subuh kerana terlewat atau kerana imam mengerjakan solat subuh berjemaah terlalu cepat, disunatkan untuk menggantikannya (qadha solat)

Solat sunat ini dapat digantikan dalam dua waktu:

  1. Sebaik sahaja selepas selesai mengerjakan solat fardu subuh.
  2. Lebih utama dilakukan selepas terbit fajar.

Hukum sunat mengqadakan solat sunat yang terikat dengan waktu ini berdasarkan hadis-hadis berikut:

1. Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

Sesiapa yang tertidur sehingga meninggalkan solat atau terlupa untuk solat, maka hendaklah dia mendirikan solat apabila sudah menyedarinya”

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

2. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

Sesiapa yang belum melakukan solat sunat dua rakaat sebelum subuh sehinggalah matahari terbit, maka hendaklah dia melakukan solat tersebut (qada)”

(Hadis riwayat al-Baihaqi)

Dalam sahih Muslim disebutkan bahawa Nabi SAW pernah mengqadhakan solat sunat ba’diyyah zuhur selepas solat asar.

Tidur Mengiring Selepas Solat Sunat Subuh

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah mengatakan:

Apabila seorang dalam kalangan kamu selesai melakukan solat sunat subuh, dia perlu berbaring di atas lambung kanannya.

— Hadis ini direkodkan oleh at-Tirmizi

Berdasarkan hadis ini, dianjurkan kepada sesiapa yang selesai mengerjakan solat sunat subuh supaya berbaring sebentar.

Tatacara yang dianjurkan adalah dengan berbaring pada lambung kanan sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Nota

Perkara ini menjadi khilaf dalam kalangan para ulama’ samada ia adalah sunnah ataupun tidak.

Di sini pendapat berkaitan hal ini berdasarkan kitab ulama’ al-Syafieyyah:

Disunatkan berbaring pada lambung kanan selepas solat sunat al-Fajar dan perlulah menunaikan solat sunat tersebut di awal waktu. Selain itu juga, seboleh-bolehnya tidak ditinggalkan berbaring (selepas daripada solat sunat). Jika tidak, pisahkan (antara solat sunat al-Fajar dan solat al-Fajar) dengan bercakap atau beralih tempat atau seumpama dengannya”. 

Lihat: al-Mu’tamad, 377/1

Akan tetapi, dinasihatkan agar perbuatan ini dilakukan di rumah agar ia tidak menimbulkan gangguan terhadap jemaah yang datang ke masjid.

Caranya adalah dengan melakukan solat sunat yang ringkas lalu berbaring.

Selain itu juga, hal ini digalakkan bagi sesiapa yang menunaikan solat malam dan tidak bagi sesiapa yang tidak menunaikan solat malam.


Rujukan: Irsyad Al-Hadith Siri Ke-152: Sifat Solat Malam Nabi Saw, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Soal Jawab Lazim Masalah Solat Sunat Subuh

Berikut disenaraikan beberapa masalah lazim yang sering timbul berkaitan Solat Sunat Subuh:

Solat Sunat Subuh Dilakukan Sebelum Waktu Subuh Atau Selepas Masuk Subuh?

Solat sunat ini dilakukan selepas masuknya waktu subuh. Tidak sah jika dilakukan sebelum waktu subuh.

Bolehkah Solat Ini Dilakukan Di Rumah?

Ya boleh. Solat ini boleh dilakukan di rumah.

Adakah Perlu Tunggu Azan Dahulu Sebelum Solat?

Tidak semestinya. Solat ini boleh dilakukan apabila telah masuk waktu subuh.

Adakah Solat Sunat Subuh Ini Sama Dengan Solat Fajar?

Ya, solat sunat subuh adalah solat yang sama dengan solat fajar. Solat ini juga turut dikenali sebagai solat sunat qabliyyah subuh.

Adakah Solat Ini Boleh Dilakukan Secara Berjemaah?

Solat ini hanya dilakukan secara bersendirian.

Penutup

Solat sunat sebelum subuh adalah solat yang tergolong dalam sunat muakkad, iaitu sangat digalakkan.

Kekurangan dalam solat fardu hanya dapat diperbaiki dengan solat sunat yang kita lakukan.

Dan pastinya kebaikan yang datang bersama solat sunat ini amat besar.

Tidak ada perkara yang Allah izinkan dilakukan oleh para hambaNya yang lebih baik daripada solat dua rakaat. Dan akan ditaburkan kebaikan ke atas kepala seseorang sepanjang dia mengerjakan solat.

— Hadis direkodkan oleh Ahmad, at-Tirmizi dan disahkan oleh as-Suyuti

Semoga panduan ini memberi manfaat kepada anda.

Photo of author

Muhamad Naim (Admin)

Penulis utama dan ketua editor. Menubuhkan web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

145 thoughts on “NIAT & CARA SOLAT SUNAT SEBELUM SUBUH (Panduan Lengkap)”

  1. Assalammualaikum

    sekiranya kita terbangun lewat, masih boleh kah kita laksanakan solat sunat qabliyah subuh? (Tapi masih dalam waktu subuh) tqsm

    Reply
    • Walaikumsalam.

      Ya masih boleh jika waktu masih membenarkan dan tidak akan menyebabkan kita terlepas waktu subuh.

      Reply
  2. Assalamualaikum ustaz sy nak tya..kn ada 3 niat solat sunat..niat yg mn 1 yg nak dibacakan..ke kena bt ketiga² solat sunat tu atau 1 je tp nak baca niat yg mn..

    Reply
  3. Asalamualaikum Ustaz terimakasih atas pengkongsian yg di tunjuk ajar disini.saya memg sentiasa buka web ini untk. rujukkan buat saya belajar.saya mendoakan agar Ustaz sentiasa didlm lindungan dan rahmat Allah selalu.

    Reply
    • Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,

      Terima kasih atas doa dan sokongan anda. Saya sangat menghargai dan bersyukur kerana laman web ini berguna bagi pembelajaran anda. InsyaAllah, saya akan terus menyediakan kandungan yang berkualiti dan bermanfaat.

      Semoga Allah SWT membalas kebaikan anda, melindungi kita semua, dan memberi kekuatan dalam menuntut ilmu. Jika ada pertanyaan atau topik yang ingin diketahui lebih lanjut, silakan bertanya. Semoga kita menjadi hamba yang lebih baik di sisi Allah.

      Semoga Allah merahmati kita semua. Amin.

      Reply
    • Walaikumsalam. InsyaAllah, sebenarnya doa tersebut sudah dirakamkan, cuma masih belum direlease oleh pihak studio.

      Reply
  4. As salam ustaz, bila buat solat sunat subuh ni kalau tak baring (seperti yg diberitahu dalam artikel atas) dan terus sambung solat subuh boleh juga?

    Reply
  5. salam ust… boleh saya bertanya.. boleh kah doa selepas sunat solat subuh itu dibaca setiap solat fardhu

    Reply
  6. Saya betul2 nak jumpa dgn org yg tulis artikel dkt akuislam.com ni. Awak tahu tak awak dah banyak tolong orang yg tak pandai macam saya ni. Saya suka membaca tapi saya banyak benda yg saya taktahu. Semua lengkap dlm ni dari solat sunat subuh, wirid dan doa selepas solat dan lain2 lagi. Mmg saya akan sentiasa buka artikel ni setiap kali habis solat utk wirid dan doa. Lengkap semua jenis pula tu. Dah dua artikel saya baca. Tulisan kemas, jarak kemas, font size yg sesuai dan tiada iklan. Tak serabut. Sesiapa yg buat artikel ni, semoga traffic light awak sentiasa hijau. Semoga awak tiada lansung penyakit atas dunia ni. Semoga Allah sentiasa berikan hidayah kepada awak dan keturunan awak dan sambut hidayah itu. Semoga bila awak ke kedai makan ada orang belanja awak. Terima kasih buat artikel ni kemas. Terima kasih sebab wujud. Semoga jangan putus asa utk buat lagi artikel yang bermanfaat dalam keadaan dunia yang lalai ini. Assalamualaikum.

    Reply
    • saya amiin kan doa saudari kerana artikel ini mmg byk membantu saya yg juga kurang arif.. saya bookmark kan dan saya gunakan sebagai tujukan setiap kali habis solat utk doa2 dan wiridnya. Terima kasih manusia baik semoga hidup anda dalam peliharaan Allah swt sentiasa dan dimurahkan rezeki bagai air sungai yg mengalir deras.

      Reply
      • @Salina

        Alhamdulillah, saya bersyukur dan berterima kasih atas doa serta kata-kata baik dari saudari. Mengetahui bahawa artikel ini bermanfaat dan digunakan sebagai panduan dalam amalan harian benar-benar memberi motivasi kepada saya untuk terus berkongsi ilmu yang berguna.

        Semoga Allah SWT sentiasa melindungi, memberkati, dan mempermudah segala urusan kita. Semoga rezeki saudara juga dilimpahi seperti air sungai yang mengalir deras. Amin. 😊

        Reply
    • @Nur ‘Aliyah

      Terima kasih banyak atas sokongan dan kata-kata positif awak. Saya gembira mengetahui artikel di akuislam.com membantu dan memberi manfaat kepada awak.

      Kami akan terus berusaha memberikan informasi yang berguna dan mudah difahami. Doa dan kata-kata semangat dari awak sangat bermakna bagi kami. Insha’Allah, kami akan terus berusaha menyediakan kandungan yang bermanfaat.

      Terima kasih sekali lagi atas sokongan awak. Jangan lupa terus membaca dan berkongsi ilmu yang baik. Semoga Allah merahmati kita semua. Amin. 🥰

      Reply
    • Wassalam. Dibolehkan qada solat ini selepas subuh jika awak memang sentiasa melazimi solat sunat subuh pada sebelum-sebelum ini

      Reply
  7. Assalamulaikum, nak tanya sikit, Adakah solat sunat ini dilakukan selepas azan subuh atau sebelum azan subuh pun kita boleh solat sunat subuh.?

    Reply
    • Wassalam. Solat ini hanya dilakukan selepas azan subuh (masuk waktu).

      Sebelum masuk waktu subuh tidak boleh dilakukan.

      Reply
  8. Salam ustaz,adakah betul selepas selesai membaca doa selepas solat sunat subuh,saya terus berdiri untuk mengerjakan solat subuh?

    Reply
    • Kalau solat di masjid dan imam sudah angkat takbir, maka kena segera bangun untuk solat subuh berjemaah. Jika seorang diri tidak mengapa selagi waktu masih panjang

      Reply
      • Terima kasih ustaz. Kerana kongsi kepada kami semua. Semoga ustaz sekeluarga dipermudahkan urusan di dunia dan akhirat.aamiin

        Reply
  9. Kalau bukan solat berjamaah. Solat sendiri dkt rumah. Boleh ke solat sunat 2 rakaat sebelum subuh ni?

    Reply
  10. assalamualaikum..ingin sy bertanya…selepas kita selesai solat sunat sebelum subuh maka baru kita solat fardhu subuh..adakah betul?

    Reply
  11. Assalammualaikum
    Saya nak bertanya,
    Solat sunat ini dilakukan sebelum azan subuh atau selepas azan subuh?

    Reply

Leave a Comment