Cara Iktidal Yang Betul (Siri Panduan Solat Sempurna)

iktidal

Bagaimana cara iktidal yang betul?

Panduan ini akan menerangkan cara iktidal yang betul dan sempurna dalam solat.

Soal jawab soalan lazim berkaitan cara rukuk dalam solat juga turut disediakan bagi meluaskan lagi pemahaman.

Pengenalan

Ini adalah bab 6 dari siri panduan solat sempurna.

Untuk bab ini, saya akan menerangkan mengenai cara iktidal dalam solat dan bacaan-bacaan semasa iktidal.

Matlamat panduan ini adalah agar kita semua tahu dan faham mengenai cara rukuk dalam solat secara sempurna seterusnya solat kita diterima Allah.

Mari kita mulakan..

Maksud Iktidal Dalam Solat

Apakah maksud iktidal?

Iktidal adalah bermaksud kembali kepada keadaan asal sebelum rukuk.

Caranya adalah kembali berdiri tegak bagi orang solat berdiri, atau kembali duduk bagi orang yang solat duduk.

Dalil Mengenai Iktidal

Rasulullah SAW mengajar seorang sahabat yang tidak betul dalam solatnya (al-Musi’ Solatu), antaranya:

Kemudian bangkitlah (dari rukuk) sehingga kami berdiri lurus

— Riwayat Bukhari, Muslim dan Ashbab as-Sunan.

Syarat-Syarat Sah Iktidal

Antara syarat sah iktidal adalah seperti berikut:

  1. Rukun sebelumnya iaitu rukuk adalah sah
  2. Melakukan iktidal kerana melaksanakan rukun solat, bukan kerana sebab lain.
  3. Melaksanakan dengan tomakninah.
  4. Badan tegak, tidak memadai jika seperti orang sedang rukuk.
  5. Tidak memanjangkan lebih daripada kadar membaca doa yang sunat dan membaca surah al-Fatihah.
  6. Boleh memanjangkan pada rakaat terakhir. Ini kerana pada rakaat terakhir adalah tempat untuk berqunut sama ada Qunut Ratibah (dalam solat Subuh dan Witir) atau Qunut Nazilah (qunut supaya bala diangkat oleh Allah).

Membaca “Sami’ Allahu Liman Hamidah”

Ketika mengangkat kepala daripada rukuk, maka sebutkan kalimah “sami’ Allahu liman hamidah”.

Kemudian bacalah kalimah “Rabbana lakal hamd” selepas berdiri tegak (ketika iktidal).

1. Bacaan ketika mengangkat kepala daripada rukuk adalah:

 Sami’ Allahu Liman Hamidah 

Maha mendengar Allah akan segala pujian orang yang memuji-Nya”

2. Bacaan ketika iktidal pula adalah:

 Rabbana Lakal Hamd 

Ya Tuhan kami, untukMu-lah segala pujian”

Dalil

Hadis daripada Abdullah bin Abi Aufa, beliau berkata:

Adalah Rasulullah SAW ketika mengangkatkan kepalanya daripada rukuk, Baginda membaca (mafhumnya), “Allah mendengar sesiapa yang memujiNya. Wahai Tuhan kami, bagiMu segala pujian, sepenuh langit dan sepenuh bumi dan sepenuh yang Engkau kehendaki selain itu

— Riwayat Muslim

Rasulullah SAW bersabda:

Sesungguhnya dijadikan imam agar dia diikuti, maka janganlah kami menyalahi ke atasnya. Maka, apabila dia bertakbir, maka hendaklah kamu bertakbir, dan rukuk, maka hendaklah kamu rukuk, dan apabila dia berkata: (mafhumnya) ‘Allah mendengar sesiapa yang memujiNya’, maka katakanlah: (mafhumnya) ‘Wahai Tuhan Kami, bagi-Mu segala pujian’, dan apabila dia sujud, maka sujudlah”

— Muttafaq ‘Alaih

“Jika imam berkata: “Sami Allahu liman hamidah”, maka kamu katakanlah: “Allahumma Rabbana lakal hamd”, kerana sesungguhnya sesiapa yang ucapannya bersamaan dengan ucapan malaikat, diampunkan dosanya yang telah lalu.

— Muttafaq ‘Alaih

Jangan Mendahului Imam Semasa Berpindah Ke Rukun Lain

Rasulullah SAW bersabda:

Sesungguhnya dijadikan imam agar dia diikuti, maka janganlah kami menyalahi ke atasnya. Maka, apabila dia bertakbir, maka hendaklah kamu bertakbir, dan rukuk, maka hendaklah kamu rukuk, dan apabila dia berkata: (mafhumnya) ‘Allah mendengar sesiapa yang memujiNya’, maka katakanlah: (mafhumnya) ‘Wahai Tuhan Kami, bagi-Mu segala pujian’, dan apabila dia sujud, maka sujudlah”

— Muttafaq ‘Alaih

Perintah Rasulullah dengan sabdanya yang bermaksud, Maka, apabila dia (imam) sempurna bertakbir, maka hendaklah kamu (makmum) bertakbir”, memberi isyarat bahawa hanya setelah imam menyelesaikan takbiratul ihramnya, barulah makmum bertakbiratul ihram.

Jangan mendahului imam atau sama dengan imam.

Samalah juga dengan sabda Baginda, “Dan apabila dia (imam) sempurna rukuk, maka hendaklah kamu (makmum) rukuk”, isyarat bahawa hanya setelah imam menyelesaikan rukuknya dengan sempurna, barulah makmum rukuk

Jangan mendahului imam atau sama dengan imam ketika rukuk. Begitu juga dengan rukun-rukun yang lain.

Tomakninah Ketika Iktidal

Dalil tentang tomakninah semasa iktidal adalah:

Kemudian angkatlah kepalamu sehingga lurus berdiri di mana setiap tulang kembali mengambil tempatnya. Dalam sebuat riwayat: Dan apabila kamu angkat kepala (daripada rukuk), maka luruskanlah punggungmu, dan angkatlah kepalamu sehingga kembalinya tulang-tulang ke tempat asalnya.

— Riwayat Muttafaq ‘Alaih, Ad-Darimi, al-Hakim, Syafi’e dan Ahmad

Membaca “Allahu Akbar” Iaitu Takbir Intiqalat Ketika Hendak Sujud

Hukumnya adalah sunat haiah.

Adalah Rasulullah SAW apabila berdiri untuk solat, Baginda bertakbir ketika berdiri, kemudian bertakbir ketika hendak rukuk, kemudian Baginda membaca: (mafhumnya) ‘Allah mendengar sesiapa yang memujinya’ ketika mengangkat tulang sulbinya (pinggangnya) daripada rukuk. Kemudian Baginda membaca ketika berdiri: (mafhumnya) ‘Wahai Tuhan kami, bagiMu segala pujian’. Kemudian, Baginda bertakbir ketika hendak turun sujud…

— Muttafaq ‘Alaih

Soalan Lazim

Apakah yang dimaksudkan dengan Iktidal

Iktidal ialah perbuatan berdiri sebentar selepas rukuk dan sebelum sujud.

Ia menjadi pemisah antara rukuk dan sujud.

Adakah Iktidal ini rukun atau sunat?

Iktidal adalah rukun yang wajib dilakukan.

Solat tidak sah sekiranya iktidal tidak dibuat atau dilakukan dengan tidak sempurna.

Apa yang perlu dilakukan ketika Iktidal?

Tiada apa-apa bacaan ketika iktidal, sekadar berhenti sebentar sebelum sujud.

Berapa lama masa bagi melakukan Iktidal?

Sekurang-kurangnya iktidal itu lamanya sekadar bacaan satu tasbih yang dibaca dengan tenang.

Bolehkah berdiri terlalu lama ketika iktidal?

Iktidal adalah rukun solat yang pendek.

Berdiri terlalu lama ketika iktidal tidak membatalkan solat.

Tetapi sekiranya kadar lamanya itu sama dengan kadar lamanya membaca al-Fatihah, ia membatalkan solat.

Ketika iktidal, perlukah meletakkan kedua-dua tangan pada dada ataupun meluruskan tangan ke bawah sahaja?

Terdapat perbahasan dalam isu ini sama ada meletakkan tangan di dada ataupun melepaskannya.

Kebiasaan yang kita lakukan adalah dengan melepaskan tangan.

Ulama fekah mazhab Syafie menggunakan hadis Ibnu Umar yang menceritakan tentang sifat solat Rasulullah, ketika menceritakan perbuatan rukuk dan iktidal, tidak disebutkan Baginda meletakkan tangannnya di dada.

Kesimpulan daripada itu, ulama fekah memutuskan tangan tidak perlu diletakkan di dada ketika iktidal.

Saya pernah rukuk dan kemudian terus sujud tanpa iktidal kerana terlupa. Ketika itu saya berada pada rakaat pertama dan hanya ingat ketika rakaat keempat. Apakah perlu saya ulangi solat saya atau meneruskannya?

Iktidal adalah rukun di sisi mazhab Syafie.

Oleh itu, solat tidak sah tanpanya.

Sekiranya tertinggal dan teringat kembali ketika masih dalam solat, anda perlu kembali melakukan iktidal pada rakaat pertama dan meneruskan solat dengan rakaat kedua sehingga selesai solat.

Nota Rujukan

Rujukan untuk panduan ini adalah:

  1. Praktikal Solat Sempurna, Ustaz Muhadir Haji Joll
  2. Anda Bertanya Ustaz Menjawab Mengenai Solat, Ustaz Rohidzir Rais
  3. Ensiklopedia Solat A-Z Tentang Solat, Dr. Nik Yusri Musa
  4. Indahnya Hidup Bersyariat, Modul Fardu Ain Diri, Keluarga dan Masyarakat Sepanjang Hayat, Dato’ Ismail Kamus dan Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid.

Penutup

Semoga panduan ini memberi manfaat kepada anda semua dalam meningkatkan kualiti solat.

Panduan lain dalam siri ini:

Jika ada sebarang persoalan berkaitan topik ini, bolehlah nyatakan hal tersebut pada ruangan di bawah.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

4 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
fareez
fareez
10 bulan yang lalu

assamualaikum,saya nak tanya,masa ini saya solat,selepas membaca sami allahu liman hamidah,saya membaca robbana laakal hamd namun sambil hendak sujud,apakah solat saya batal?

zahra
zahra
2 tahun yang lalu

assalamualaikum. saya ada satu pertanyaan. Sewaktu i’tidal perlu berdiri tegak, then adakah “tegak’ itu termasuk kedudukan tangan sekali? Perlukah kedua-dua tangan juga dalam keadaan lurus ke bawah untuk menyempurnakan keadaan berdiri tegak dalam i’tidal?

KAMIE
KAMIE
3 tahun yang lalu

assalamualaikum mohon penjelasan bacaan “rabbana lakal hamd” wajib ke

Mohd Arif
Mohd Arif
3 tahun yang lalu

Assalamualaikum Ustad mohon izin copy dan share kesemua ilmu yang ustad bagi untuk tujuan saya dan keluarga beramal dan halalkan.