Cara Rukuk Yang Betul (Siri Panduan Solat Sempurna)

cara rukuk dalam solat

Bagaimana cara rukuk yang betul dan sempurna dalam solat?

Panduan ini akan menerangkan secara lengkap mengenai cara rukuk dalam solat yang betul dalam solat.

Soal jawab soalan lazim berkaitan cara rukuk dalam solat juga turut disediakan bagi meluaskan lagi pemahaman.

Pengenalan

Ini adalah bab 5 dari siri panduan solat sempurna.

Untuk bab ini, saya akan menerangkan mengenai rukun solat berkaitan cara rukuk dan bacaannya dalam solat secara spesifik.

Matlamat panduan ini adalah agar kita semua tahu dan faham mengenai cara rukuk dalam solat secara sempurna seterusnya solat kita diterima Allah.

Mari kita mulakan..

Bagaimana Cara Rukuk Yang Betul Dalam Solat?

Lakukan rukuk dengan membongkok ke hadapan dengan kedua tapak tangan memegang kedua lutut.

Paling afdal dan sempurna adalah membongkok ke hadapan dengan meluruskan belakang agar rata separas tengkuk dan meluruskan kaki.

Kedua tapak tangan memegang dua lutut dengan cara anak jari direnggangkan.

cara rukuk yang betul
cara rukuk yang betul.

Firman Allah:

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu rukuk dan bersujud (mengerjakan solat) ..

— Surah al-Hajj ayat 77

Kenapa Perlu Mengenggam Kedua-Dua Lutut dan Meluruskan Badan Ketika Rukuk?

Dalilnya adalah daripada hadis Abu Humaid as-Sa’idi beliau berkata:

Aku telah melihat Rasulullah SAW ketika baginda bertakbir, Baginda menjadikan kedua-dua tangannya setentang dengan dua bidang bahunya dan apabila rukuk, Baginda meletakkan kedua-dua tangannya pada kedua-dua lututnya, kemudian meluruskan belakangnya

— Riwayat Bukhari

Dalam hadis lain:

Adalah Nabi SAW menekankan kedua-dua tangannya ke atas kedua-dua lututnya seolah-olah Baginda menggenggam kedua-dua lututnya.

— Riwayat Bukhari dan Abu Dawud

Merenggangkan Jari-Jemari Ketika Rukuk

Dalil kepada perbuatan ini adalah:

Apabila kamu rukuk, maka letakkan kedua-dua tapak tanganmu ke atas kedua-dua lututmu, kemudian jarakkan di antara jari-jarimu, kemudian tenanglah sehingga tetap segala ruas tulang belakangmu

— Riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban

Tomakninah Ketika Rukuk

Maksud Tomakninah

Tomakninah bermaksud berhenti selepas bergerak, atau berhenti sekejap dalam kadar masa yang menceraikan di antara dua pergerakan.

YouTube video

Rasulullah SAW bersabda:

Sempurnakanlah rukuk dan sujud

— Riwayat Bukhari dan Muslim

Begitu juga hadis Abu Hurairah tentang kisah al-Musi’ Solatuh (orang yang tidak sempurna dalam solatnya), dimana Rasulullah SAW bersabda:

Kemudian rukuklah sehingga kamu tenang dalam keadaan rukuk

— Riwayat Bukhari, Muslim dan Ashhab as-Sunan

Rasulullah SAW bersabda:

Sejahat-jahat pencuri ialah yang mencuri ketika solat. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana dia mencuri di dalam solatnya?” Baginda menjawab: “Dia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya”

— Riwayat Ibnu Syaibah, Tirmizi dan al-Hakim

Syarat-Syarat Sah Rukuk

Ijmak ulama mengatakan bahawa rukuk adalah rukun solat.

Syarat-syarat sah rukuk solat adalah:

  1. Sah rukun yang sebelumnya (iaitu saha rukun membaca al-fatihah dan qiam)
  2. Melakukan rukuk kerana melaksanakan rukun solat, bukan kerana lain (umpama rukuk kerana mengelak terkena batu yang dilemparkan orang kepadanya yang sedang qiam)
  3. Melaksanakan tomakninah dalam rukuk
  4. Membongkokkan badan sehingga kedua-dua tangannya dapat mencapai kedua-dua lututnya.

Bacaan Dalam Rukuk

Bagaimana bacaan semasa rukuk?

Bacaan tasbih ketika rukuk adalah:

bacaan rukuk

Subhana Rabbiyal ‘Azhimi wa bihamdih

Maha Suci Tuhanku yang Maha Agung dan dengan segala pujian ke atas-Nya

Dalil

Dalil bacaan ini adalah berdasarkan hadis daripada Ibnu Mas’ud berkata: Sesungguhnya Nabi SAW bersabda:

Apabila seseorang kamu rukuk lalu berkata di dalam rukuknya: (mafhumnya) “Maha Suci Tuhanku yang Maha Agung” tiga kali, maka telah sempurna rukuknya dan itulah yang sekurang-kurangnya dan apabila sesorang kamu sujud, lalu membaca dalam sujudnya: (mafhumnya) “Maha Suci Tuhanku yang Maha Tinggi” tiga kali, maka telah sempurna sujudnya dan itulah yang sekurang-kurangnya.

— Riwayat Abu Dawud dan Tirmizi

Ini juga berdasarkan hadis Nabi SAW:

Dan adapun ketika rukuk, maka agungkanlah Allah di dalamnya

— Riwayat Muslim

Kaedah Mengangkat Kedua-dua Tangan Ketika Hendak Bangkit Dari Rukuk

Bagaimana cara yang betul untuk mengangkat tangan apabila bangun dari rukuk?

Terdapat banyak pendapat mengenai perkara ini.

Antaranya adalah dari Ibnu Umar.

Sayyidina Ibnu Umar berkata:

Sesungguhnya Nabi SAW mengangkat kedua-dua tangannya selari dengan bahunya ketika mula solat, ketika bertakbir untuk rukuk dan ketika mengangkat kepalanya daripada rukuk

— Muttafaq ‘Alaih

Kaedah Yang Diajarkan Oleh Imam an-Nawawi


Cara yang diajarkan oleh imam an-Nawawi adalah seperti berikut:

Hujung jari kedua-dua tangan diangkat selari dengan hujung telinga bahagian atas. Ibu jari pula selari dengan bahagian bawah cuping telinga. Tapak tangan hendaklah selari dengan bahu.

Kaedah ini diterima oleh Mazhab Maliki dan Syafi’e, serta diamalkan oleh ar-Rafi’i, al-Ghazali, dan al-Baghawi.

Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani (pengarang Bulugh al-Maram dan Fath al-Bari), kaedah ini selaras dengan laporan Wa’il bin Hujr:

Dia melihat Nabi Muhammad SAW apabila mahu mengerjakan solat, Baginda mengangkat kedua-dua tangannya sehingga selari dengan bahunya, dan ibu jarinya selari dengan kedua belah telinganya.

— Riwayat Abu Daud dalam Sunan Abi Daud

Soal Jawab Berkaitan Rukuk Dalam Solat

1. Apakah hukum mengangkat dua tangan ketika takbir untuk rukuk dan bangun daripada rukuk? Bagaimana sekiranya terlupa?

Mengangkat kedua-dua tangan ketika takbir untuk rukuk dan bangun daripada rukuk adalah sunat hai’ah di sisi Mazhad Syafi’e.

Ia adalah perbuatan yang digalakkan, tetapi sekiranya tidak dilakukan solat tetap sah.


2. Ketika rukuk, adakah perlu memegang lutut ataupun paha? Bagaimana pula sekiranya memegang betis?

Disyaratkan ketika rukuk hendaklah memegang lutut bagi memastikan tubuh bongkok dengan sempurna dan tidak berlebihan.

Ini berdasarkan perbuatan Rasulullah SAW sebagaimana yang direkodkan oleh al-Bukhari daripada Abu Humaid al-Sa’idi berkenaan dengan sifat solat Nabi, katanya:

Apabila rukuk, Rasulullah menekan kedua-dua tangan ke lututnya

— Direkod oleh al-Bukhari dalam sahih al-Bukhari pada bab Azan; Sunat Duduk Tasyahud

3. Berapa lama kadar masa untuk rukuk? Apakah hukum orang yang rukuk dan bangun daripada rukuk dengan pantas?

Perbuatan tergesa-gesa dalam solat ditegah kerana mampu menyebabkan solat tidak sah.

Rukuk dan bangun semula dalam keadaan terlalu pantas sehingga tidak dapat mendapat syarat tomakninah, iaitu berhenti sekejap, ialah solat yang tidak sah.

Rasulullah sendiri mencela perbuatan ini dengan menganggapnya sebagai perbuatan mencuri dalam solat.

“Seburuk-buruk manusia adalah pencuri yang mencuri dalam solatnya”. Mereka bertanya: “Wahai Rasulullah bagaimana mencuri dalam solat itu?” Baginda menjawab: “Dia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya”

— Direkodkan oleh Ahmad dalam kitab Musnad Ahmad pada bab hadis Abu Qatadah al-Ansori

4. Bagaimana keadaan kepala yang betul semasa rukuk? Didongakkan atau ditundukkan.

Cara terbaik adalah dengan tidak terlalu mendongakkan kepala dan tidak juga terlalu menundukkannya.

Sebaik-baiknya berada sama lurus dengan badan.

Ini berdasarkan perbuatan Rasulullah sebagaimana yang diceritakan oleh Aisyah:

Rasulullah apabila rukuk tidak mengangkat kepalanya dan tidak juga menundukkannya, tetapi pertengahan antara kedua-duanya.


5. Sekiranya semasa saya rukuk, saya tidak membaca apa-apa — adakah sah solat saya? Apa yang perlu dibaca ketika rukuk?

Rukuk adalah rukun perbuatan dalam solat.

Ia wajib dilakukan, tetapi bacaan ketika rukuk adalah sunat hai’ah yang digalakkan.

Sekiranya anda rukuk tanpa membaca apa-apa tetapi dalam tempoh masa yang membolehkan membaca tasbih dengan tenang, solat anda sah.

Sebaik-baiknya baca tasbih sebanyak tiga kali sebagaimana yang disarankan oleh Rasulullah berdasarkan riwayat Ibnu Mas’ud.

Apabila seseorang daripada kamu rukuk, dan membaca dalam rukuknya subhana robbiyal ‘azim sebanyak tiga kali, dia sudah menyempurnakan rukuknya dan itu adalah sekurang-kurangnya (rukuk)

— Direkodkan oleh at-Tirmizi dalam kitab Sunan at-Tirmizi

6. Apa hukum tersilap rukuk dalam solat berjemaah? Adakah perlu bangun semula atau meneruskan rukuk? Adakah ia membatalkan solat?

Anda perlu kekal dalam posisi rukuk sehingga imam benar-benar rukuk dan ikut semula imam seperti biasa.

Dalam keadaan ini, anda sudah mendahului satu rukun daripada imam, dan ia tidak membatalkan solat.

Solat hanya batal sekiranya anda mendahului dua rukun daripada imam.

Nota Rujukan

Rujukan untuk panduan ini adalah:

  1. Praktikal Solat Sempurna, Ustaz Muhadir Haji Joll
  2. Anda Bertanya Ustaz Menjawab Mengenai Solat, Ustaz Rohidzir Rais
  3. Ensiklopedia Solat A-Z Tentang Solat, Dr. Nik Yusri Musa
  4. Indahnya Hidup Bersyariat, Modul Fardu Ain Diri, Keluarga dan Masyarakat Sepanjang Hayat, Dato’ Ismail Kamus dan Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid.

Penutup

Semoga panduan ini memberi manfaat kepada anda semua dalam meningkatkan kualiti solat.

Panduan lain dalam siri ini:

Jika ada sebarang persoalan berkaitan topik ini, bolehlah nyatakan hal tersebut pada ruangan di bawah.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

8 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Ati HJ A
Ati HJ A
3 bulan yang lalu

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh Ustaz. Boleh tak sertakan gambar untuk Panduan solat bagi Perempuan. ( Sujud, Rukuk ) Bagaimana keadaan kedudukan tangan dan kaki yg betul utk Perempuan. Terima kasih Ustaz.

madamekiky
madamekiky
1 tahun yang lalu

Adakah sah solat jika melakukan rukuk dengan meletakkan kedua tangan di betis?

Man
Man
2 tahun yang lalu

Kaki saya tidak dapat lurus ketika rukuk kerana sakit saraf punggung,,adakah sah rukuk saya ketika kaki tidak lurus/bengkok ke depan?

Mat
Mat
3 tahun yang lalu

Ketika rukuk atau sujud, adakah berat badan ditampung oleh kedua2 tangan