Bagaimana cara iktidal yang betul?
Panduan ini akan menerangkan cara iktidal yang betul dan sempurna dalam solat.
Soal jawab soalan lazim berkaitan cara rukuk dalam solat juga turut disediakan bagi meluaskan lagi pemahaman.
Pengenalan
Ini adalah bab 6 dari siri panduan solat sempurna.
Untuk bab ini, saya akan menerangkan mengenai cara iktidal dalam solat dan bacaan-bacaan semasa iktidal.
Matlamat panduan ini adalah agar kita semua tahu dan faham mengenai cara rukuk dalam solat secara sempurna seterusnya solat kita diterima Allah.
Mari kita mulakan..
Maksud Iktidal Dalam Solat
Apakah maksud iktidal?
Iktidal adalah bermaksud kembali kepada keadaan asal sebelum rukuk.
Caranya adalah kembali berdiri tegak bagi orang solat berdiri, atau kembali duduk bagi orang yang solat duduk.
Dalil Mengenai Iktidal
Rasulullah SAW mengajar seorang sahabat yang tidak betul dalam solatnya (al-Musi’ Solatu), antaranya:
Kemudian bangkitlah (dari rukuk) sehingga kami berdiri lurus
— Riwayat Bukhari, Muslim dan Ashbab as-Sunan.
Syarat-Syarat Sah Iktidal
Antara syarat sah iktidal adalah seperti berikut:
- Rukun sebelumnya iaitu rukuk adalah sah
- Melakukan iktidal kerana melaksanakan rukun solat, bukan kerana sebab lain.
- Melaksanakan dengan tomakninah.
- Badan tegak, tidak memadai jika seperti orang sedang rukuk.
- Tidak memanjangkan lebih daripada kadar membaca doa yang sunat dan membaca surah al-Fatihah.
- Boleh memanjangkan pada rakaat terakhir. Ini kerana pada rakaat terakhir adalah tempat untuk berqunut sama ada Qunut Ratibah (dalam solat Subuh dan Witir) atau Qunut Nazilah (qunut supaya bala diangkat oleh Allah).
Membaca “Sami’ Allahu Liman Hamidah”
Ketika mengangkat kepala daripada rukuk, maka sebutkan kalimah “sami’ Allahu liman hamidah”.
Kemudian bacalah kalimah “Rabbana lakal hamd” selepas berdiri tegak (ketika iktidal).
1. Bacaan ketika mengangkat kepala daripada rukuk adalah:
Sami’ Allahu Liman Hamidah
Maha mendengar Allah akan segala pujian orang yang memuji-Nya”
2. Bacaan ketika iktidal pula adalah:
Rabbana Lakal Hamd
Ya Tuhan kami, untukMu-lah segala pujian”
Dalil
Hadis daripada Abdullah bin Abi Aufa, beliau berkata:
Adalah Rasulullah SAW ketika mengangkatkan kepalanya daripada rukuk, Baginda membaca (mafhumnya), “Allah mendengar sesiapa yang memujiNya. Wahai Tuhan kami, bagiMu segala pujian, sepenuh langit dan sepenuh bumi dan sepenuh yang Engkau kehendaki selain itu“
— Riwayat Muslim
Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya dijadikan imam agar dia diikuti, maka janganlah kami menyalahi ke atasnya. Maka, apabila dia bertakbir, maka hendaklah kamu bertakbir, dan rukuk, maka hendaklah kamu rukuk, dan apabila dia berkata: (mafhumnya) ‘Allah mendengar sesiapa yang memujiNya’, maka katakanlah: (mafhumnya) ‘Wahai Tuhan Kami, bagi-Mu segala pujian’, dan apabila dia sujud, maka sujudlah”
— Muttafaq ‘Alaih
“Jika imam berkata: “Sami Allahu liman hamidah”, maka kamu katakanlah: “Allahumma Rabbana lakal hamd”, kerana sesungguhnya sesiapa yang ucapannya bersamaan dengan ucapan malaikat, diampunkan dosanya yang telah lalu.
— Muttafaq ‘Alaih
Jangan Mendahului Imam Semasa Berpindah Ke Rukun Lain
Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya dijadikan imam agar dia diikuti, maka janganlah kami menyalahi ke atasnya. Maka, apabila dia bertakbir, maka hendaklah kamu bertakbir, dan rukuk, maka hendaklah kamu rukuk, dan apabila dia berkata: (mafhumnya) ‘Allah mendengar sesiapa yang memujiNya’, maka katakanlah: (mafhumnya) ‘Wahai Tuhan Kami, bagi-Mu segala pujian’, dan apabila dia sujud, maka sujudlah”
— Muttafaq ‘Alaih
Perintah Rasulullah dengan sabdanya yang bermaksud, “Maka, apabila dia (imam) sempurna bertakbir, maka hendaklah kamu (makmum) bertakbir”, memberi isyarat bahawa hanya setelah imam menyelesaikan takbiratul ihramnya, barulah makmum bertakbiratul ihram.
Jangan mendahului imam atau sama dengan imam.
Samalah juga dengan sabda Baginda, “Dan apabila dia (imam) sempurna rukuk, maka hendaklah kamu (makmum) rukuk”, isyarat bahawa hanya setelah imam menyelesaikan rukuknya dengan sempurna, barulah makmum rukuk
Jangan mendahului imam atau sama dengan imam ketika rukuk. Begitu juga dengan rukun-rukun yang lain.
Tomakninah Ketika Iktidal
Dalil tentang tomakninah semasa iktidal adalah:
Kemudian angkatlah kepalamu sehingga lurus berdiri di mana setiap tulang kembali mengambil tempatnya. Dalam sebuat riwayat: Dan apabila kamu angkat kepala (daripada rukuk), maka luruskanlah punggungmu, dan angkatlah kepalamu sehingga kembalinya tulang-tulang ke tempat asalnya.
— Riwayat Muttafaq ‘Alaih, Ad-Darimi, al-Hakim, Syafi’e dan Ahmad
Membaca “Allahu Akbar” Iaitu Takbir Intiqalat Ketika Hendak Sujud
Hukumnya adalah sunat haiah.
Adalah Rasulullah SAW apabila berdiri untuk solat, Baginda bertakbir ketika berdiri, kemudian bertakbir ketika hendak rukuk, kemudian Baginda membaca: (mafhumnya) ‘Allah mendengar sesiapa yang memujinya’ ketika mengangkat tulang sulbinya (pinggangnya) daripada rukuk. Kemudian Baginda membaca ketika berdiri: (mafhumnya) ‘Wahai Tuhan kami, bagiMu segala pujian’. Kemudian, Baginda bertakbir ketika hendak turun sujud…
— Muttafaq ‘Alaih
Soalan Lazim
Nota Rujukan
Rujukan untuk panduan ini adalah:
- Praktikal Solat Sempurna, Ustaz Muhadir Haji Joll
- Anda Bertanya Ustaz Menjawab Mengenai Solat, Ustaz Rohidzir Rais
- Ensiklopedia Solat A-Z Tentang Solat, Dr. Nik Yusri Musa
- Indahnya Hidup Bersyariat, Modul Fardu Ain Diri, Keluarga dan Masyarakat Sepanjang Hayat, Dato’ Ismail Kamus dan Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid.
Penutup
Semoga panduan ini memberi manfaat kepada anda semua dalam meningkatkan kualiti solat.
Panduan lain dalam siri ini:
- Bab 1: Berdiri Tegak
- Bab 2: Takbiratul Ihram
- Bab 3: Niat Solat
- Bab 4: Bacaan al-Fatihah
- Bab 5: Cara Rukuk Yang Betul
Jika ada sebarang persoalan berkaitan topik ini, bolehlah nyatakan hal tersebut pada ruangan di bawah.
Tinggalkan Komen Anda..
assamualaikum,saya nak tanya,masa ini saya solat,selepas membaca sami allahu liman hamidah,saya membaca robbana laakal hamd namun sambil hendak sujud,apakah solat saya batal?
assalamualaikum. saya ada satu pertanyaan. Sewaktu i’tidal perlu berdiri tegak, then adakah “tegak’ itu termasuk kedudukan tangan sekali? Perlukah kedua-dua tangan juga dalam keadaan lurus ke bawah untuk menyempurnakan keadaan berdiri tegak dalam i’tidal?
assalamualaikum mohon penjelasan bacaan “rabbana lakal hamd” wajib ke
Assalamualaikum Ustad mohon izin copy dan share kesemua ilmu yang ustad bagi untuk tujuan saya dan keluarga beramal dan halalkan.