
Ini adalah panduan lengkap tentang niat puasa Hari Arafah serta amalan-amalan utama yang dianjurkan pada hari tersebut. Panduan ini akan membimbing anda secara teratur bermula daripada lafaz niat puasa (dalam Arab, Rumi & audio), sehinggalah kepada doa, zikir, waktu takbir, dan adab menjelang ibadah korban.
Apa yang anda akan temui dalam panduan ini:
- Lafaz niat yang tepat dan mudah diikuti, lengkap dalam tulisan Arab dan Rumi.
- Doa serta zikir mustajab berdasarkan hadis sahih termasuk waktu-waktu paling utama untuk berdoa.
- Susunan ringkas dan praktikal, dirujuk daripada pandangan ulama mazhab Syafie dan fatwa semasa.
Dengan panduan ini, mudah-mudahan amalan kita pada Hari Arafah lebih tersusun, yakin dan diterima oleh Allah SWT.
Pengenalan
Hari Arafah merujuk kepada 9 Zulhijjah dalam kalendar Hijrah, iaitu hari kemuncak ibadah haji di mana para jemaah haji berwukuf di Padang Arafah.
Hari ini dianggap amat istimewa dalam Islam, bukan sahaja bagi mereka yang menunaikan haji, malah bagi seluruh umat Islam. Bagi yang tidak mengerjakan haji, puasa sunat Hari Arafah merupakan amalan utama yang dianjurkan.
Puasa pada hari tersebut membawa keutamaan besar, antaranya peluang pengampunan dosa dan limpahan rahmat Allah SWT sebagaimana yang disebut dalam hadis-hadis sahih (akan dibincangkan kelak). Justeru, setiap tahun umat Islam di Malaysia dan serata dunia berlumba-lumba untuk berpuasa pada 9 Zulhijjah sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha keesokannya.
Artikel ini akan mengupas panduan lengkap niat puasa Hari Arafah, hukum dan dalilnya menurut mazhab Syafie, serta amalan-amalan sunnah yang boleh diamalkan sepanjang hari yang penuh keampunan ini.
Maksud & Sejarah Hari Arafah
Ia dinamakan “Arafah” bersempena dengan Padang Arafah, iaitu sebuah kawasan lapang yang terletak di luar kota Mekah, tempat para jemaah haji berwukuf dimana ia adalah rukun utama dalam ibadah haji.
Dari sudut bahasa Arab, perkataan ‘Arafah (عَرَفَة) berasal daripada kata kerja ‘arafa (عَرَفَ), yang bermaksud mengetahui atau mengenali. Para ulama berpendapat nama Arafah ini diberikan kerana di tempat inilah manusia daripada pelbagai bangsa dan negara berkumpul serta saling mengenali (ta‘aruf).
Dalam sesetengah riwayat yang masyhur pula, disebut bahawa Padang Arafah adalah lokasi pertemuan kembali Nabi Adam AS dengan isterinya, Siti Hawa, setelah mereka diturunkan ke bumi. Di sini mereka saling mengenali dan seterusnya bertaubat kepada Allah SWT. Oleh itu, secara simboliknya, Hari Arafah dikaitkan dengan kesedaran, pengakuan dosa, dan taubat hamba kepada Tuhannya.
Dalam sejarah Islam, Hari Arafah mencatatkan satu peristiwa besar, iaitu ketika Rasulullah ﷺ menunaikan Haji Wida’ (Haji Perpisahan) pada tahun ke-10 Hijrah. Pada hari tersebut, baginda menyampaikan khutbah terakhir yang sarat dengan pesanan dan nasihat penting kepada lebih 100,000 umat Islam yang berkumpul di Jabal Rahmah, sebuah bukit kecil yang terletak di kawasan Arafah.
Pada waktu inilah, Allah SWT menurunkan ayat berikut:
ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَٰمَ دِينٗاۚ
“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, Aku telah cukupkan nikmatKu ke atas kamu, dan Aku reda Islam sebagai agama kamu.” (Surah al-Ma’idah, ayat 3)
Peristiwa ini merupakan detik penting dalam sejarah Islam kerana ia menandakan kesempurnaan syariat Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad ﷺ kepada umat manusia. Malah, para sahabat seperti Saidina Umar al-Khattab RA menyifatkan hari turunnya ayat tersebut sebagai dua perayaan, iaitu Hari Arafah dan Hari Jumaat.
Dalam konteks ibadah haji, Hari Arafah dikaitkan secara langsung dengan wukuf, iaitu berdiam di kawasan Arafah bermula dari tergelincir matahari (Zuhur) pada 9 Zulhijjah hingga terbit fajar 10 Zulhijjah. Rasulullah ﷺ menegaskan dalam sabda baginda:
الحَجُّ عَرَفَةُ
“Haji itu adalah (wukuf di) Arafah.” (Hadis riwayat Tirmizi & Abu Dawud)
Hari ini juga dianggap sebagai hari paling mustajab untuk berdoa dan memohon pengampunan Allah SWT. Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah ﷺ bersabda:
“Tidak ada hari yang Allah lebih banyak membebaskan hamba-hambaNya daripada api neraka berbanding Hari Arafah.”
Oleh itu, walaupun umat Islam yang tidak mengerjakan haji tidak berada secara fizikal di Arafah, mereka tetap digalakkan berpuasa dan memperbanyakkan doa serta amalan soleh sebagai tanda menyertai keberkatan dan rahmat pada hari yang penuh kemuliaan ini.
Rasulullah ﷺ secara khusus menyebut tentang kelebihan berpuasa pada Hari Arafah dengan janji keampunan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang:
“Puasa Hari Arafah, aku berharap kepada Allah agar ia menghapuskan dosa-dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” (Hadis riwayat Muslim daripada Abu Qatadah RA)
Dengan memahami secara jelas maksud dan sejarah Hari Arafah, umat Islam dapat menghayati hikmah serta menghidupkan hari ini dengan ibadah yang lebih bermakna, insaf, dan penuh pengharapan kepada keredaan Allah SWT.
Hukum Puasa Hari Arafah

Dalam mazhab Syafie, hukum puasa Hari Arafah adalah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi umat Islam yang tidak menunaikan haji. Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ menyebut bahawa para ulama Syafi‘iyyah sepakat menggalakkan umat Islam yang tidak berada di Arafah untuk melaksanakan puasa sunat pada hari ini.
Sebaliknya, bagi jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah, mazhab Syafie menyatakan makruh berpuasa pada hari tersebut.
Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa Nabi Muhammad ﷺ sendiri tidak berpuasa semasa baginda berwukuf di Arafah dalam Haji Wida’, bertujuan untuk memberi kekuatan fizikal kepada para jemaah agar mereka mampu memanfaatkan waktu tersebut untuk berdoa, berzikir, dan bermunajat dengan sempurna.
Berikut ialah ringkasan pandangan daripada tiga mazhab utama lain, iaitu Hanafi, Maliki, dan Hanbali mengenai hukum puasa Hari Arafah:
- Mazhab Hanafi. Puasa Hari Arafah disunatkan bagi mereka yang tidak mengerjakan haji. Namun, bagi jemaah haji yang sedang berwukuf, puasa ini dianggap makruh jika boleh menyebabkan tubuh menjadi lemah, sehingga menjejaskan ibadah mereka semasa wukuf.
- Mazhab Maliki. Puasa pada hari ini adalah sunat bagi mereka yang tidak berada di Arafah. Sebaliknya, jemaah haji yang berwukuf tidak digalakkan untuk berpuasa supaya kekuatan fizikal mereka tidak terganggu, selari dengan amalan Nabi ﷺ yang berbuka puasa semasa wukuf.
- Mazhab Hanbali. Menurut mazhab Hanbali, puasa Hari Arafah merupakan sunat muakkad bagi bukan jemaah haji. Manakala, bagi mereka yang sedang berwukuf, mereka tidak disunatkan berpuasa bahkan sebahagian ulama menyatakan larangan untuk berpuasa pada hari tersebut supaya para jemaah dapat beribadah dengan lebih sempurna.
Secara keseluruhannya, semua mazhab bersepakat bahawa puasa sunat pada Hari Arafah adalah satu ibadah yang sangat digalakkan untuk umat Islam yang tidak mengerjakan haji, manakala bagi para jemaah haji pula lebih utama untuk tidak berpuasa agar dapat menumpukan sepenuhnya tenaga kepada ibadah wukuf.
Fatwa Berkaitan di Malaysia
Di Malaysia, umat Islam sering tertanya-tanya tentang tarikh sebenar untuk melaksanakan puasa Arafah, khususnya apabila terdapat perbezaan tarikh antara Arab Saudi (tempat berlakunya wukuf) dengan negara kita.
Dalam hal ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Jabatan Mufti Negeri telah menjelaskan bahawa puasa Hari Arafah hendaklah dilaksanakan berdasarkan tarikh 9 Zulhijjah yang telah ditetapkan menurut rukyah hilal tempatan.
Menurut Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan dan fatwa-fatwa negeri yang lain, umat Islam di Malaysia wajib mengikut tarikh 9 Zulhijjah yang ditetapkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berdasarkan kaedah rukyah tempatan (imkanur rukyah), walaupun ia mungkin berbeza sehari dengan Arab Saudi.
Ini bermakna, umat Islam di Malaysia tidak perlu bimbang jika wukuf di Arab Saudi berlaku sehari lebih awal atau lewat berbanding Malaysia, kerana penentuan puasa Arafah dan Aidiladha adalah berdasarkan kedudukan anak bulan (hilal) di negara masing-masing.
Maklumat lanjut mengenai penetapan waktu puasa hari Arafah boleh dibaca lanjut pada pautan ini: Bayan Al-Falak Siri 2
Niat Puasa Hari Arafah
Seperti puasa-puasa sunat lain, melaksanakan puasa Hari Arafah memerlukan seseorang Muslim itu berniat terlebih dahulu. Niat merupakan rukun penting yang menentukan kesahihan ibadah puasa seseorang.
Waktu Niat Puasa Hari Arafah
Bagi puasa sunat seperti Puasa Hari Arafah, niat boleh dilakukan bermula dari terbenamnya matahari (waktu Maghrib) sehingga sebelum tergelincir matahari (sebelum masuk waktu Zuhur) pada hari tersebut.
Ini bermakna, berbeza dengan puasa wajib Ramadan yang niatnya mesti dilakukan sebelum fajar, puasa sunat mempunyai tempoh masa niat yang lebih fleksibel.
Namun, untuk mendapatkan kesempurnaan ibadah dan memudahkan urusan, adalah digalakkan seseorang itu berniat sejak malam hari atau sebelum terbit fajar.
Lafaz Niat Puasa Hari Arafah
Berikut adalah lafaz niat puasa Hari Arafah yang boleh digunakan dalam Bahasa Arab beserta transliterasi rumi dan maksudnya:
نَوَيْتُ صَوْمَ يَوْمِ عَرَفَةَ سُنَّةً لِلّٰهِ تَعَالَى
Nawaitu Sawma Yaumi ‘Arafata Sunnatan Lillāhi Ta‘āla
Maksudnya:
“Sahaja aku berniat puasa Hari Arafah, sunat kerana Allah Ta‘ala.”
Niat di atas boleh dilafazkan secara lisan atau sekadar diniatkan dalam hati.
- Menurut mazhab Syafie, berniat dengan hati adalah syarat sah yang paling utama. Melafazkan niat di bibir hukumnya sunat untuk menguatkan lagi niat tersebut, namun niat di dalam hati adalah wajib.
- Sebaik-baiknya, lafazkan niat secara perlahan agar dapat membantu hati untuk lebih khusyuk dan jelas dalam niat yang dilakukan.
- Sekiranya seseorang terlupa untuk berniat pada waktu malam, beliau masih boleh berniat pada pagi hari asalkan beliau belum melakukan perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum.
Doa Berbuka Puasa Hari Arafah
Adakah Bacaan Doa Buka Puasa Arafah Sama Dengan Puasa Ramadan?
Jawapannya, YA sama sahaja.
Doa berbuka puasa untuk puasa sunat Arafah boleh dibaca seperti berikut:

Allahumma Lakasumtu Wabika Aamantu Wa’alaa Rizqika Afthortu Birohmatika Yaa Arhamar Roohimiin
Maksudnya:
Ya Allah kerana Mu aku berpuasa, Dengan Mu aku beriman, kepada Mu aku berserah dan dengan rezeki Mu aku berbuka (puasa) dengan Rahmat Mu, Ya Allah Tuhan Maha Pengasih.
Amalan Sunnah Pada Hari Arafah (Selain Puasa)

Selain daripada berpuasa sunat, terdapat beberapa amalan lain yang sangat digalakkan oleh Nabi Muhammad ﷺ bagi menghidupkan kemuliaan Hari Arafah. Berikut adalah antara amalan-amalan sunnah yang boleh dilakukan secara bersendirian mahupun bersama keluarga, supaya hari mulia ini dimanfaatkan sepenuhnya.
1. Melaungkan Takbir
Pada Hari Arafah, umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan takbir sebagai tanda mengagungkan kebesaran Allah SWT.
Takbir Mutlak boleh dilakukan pada bila-bila masa, bermula dari masuknya bulan Zulhijjah sehingga terbenam matahari hari terakhir hari-hari Tasyriq (13 Zulhijjah).
Takbir Muqayyad pula dilakukan selepas selesai solat fardu secara khusus. Ia bermula pada waktu Subuh 9 Zulhijjah (Hari Arafah) dan berakhir selepas solat Asar pada 13 Zulhijjah.
Lafaz Takbir Aidiladha yang biasa diamalkan:
اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ
لَا إِلٰهَ إِلَّا اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ
اللهُ أَكْبَرُ وَلِلّٰهِ الْحَمْدُ
Maksudnya:
“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, tiada Tuhan selain Allah, dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagi Allah segala pujian.”
Untuk penjelasan lebih terperinci tentang jenis takbir, waktu pelaksanaan, serta lafaz-lafaz yang sahih berserta audio bacaan, tuan/puan boleh rujuk artikel penuh kami di sini:
👉 Panduan Lengkap Takbir Raya Aidiladha
2. Memperbanyakkan Doa Mustajab
Hari Arafah merupakan antara hari yang paling mustajab untuk berdoa, terutamanya pada waktu petang antara Asar hingga Maghrib. Nabi Muhammad ﷺ bersabda:
“Sebaik-baik doa adalah doa pada Hari Arafah.”
(Hadis riwayat Tirmizi, dinilai Hasan oleh al-Albani)
Disunatkan juga berdoa secara bebas dengan hajat yang diinginkan, sama ada dalam bahasa Arab mahupun bahasa sendiri, dengan penuh rasa rendah hati, harapan, dan keyakinan kepada Allah.
Tuan/puan juga boleh rujuk senarai doa-doa pilihan untuk diamalkan pada Hari Arafah yang telah saya sediakan di bahagian akhir artikel ini yang lengkap dengan teks Arab, transliterasi Rumi, dan maksud dalam Bahasa Melayu.
3. Memperbanyakkan Zikir Tahlil
Antara zikir yang paling digalakkan untuk diamalkan pada Hari Arafah ialah kalimah Tauhid atau zikir Tahlil seperti yang disebutkan oleh Nabi ﷺ:
لَا إِلٰهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Lā ilāha illallāhu wahdahu lā syarīka lah, lahul mulku wa lahul hamdu, wa huwa ‘alā kulli syai’in qadīr.
Maksudnya:
“Tiada Tuhan selain Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kerajaan dan bagi-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”
Digalakkan mengulang-ulang zikir ini sebanyak mungkin sepanjang hari tersebut. Sebagai bantuan, tuan boleh menggunakan aplikasi atau kaunter zikir digital bagi memudahkan kiraan.
4. Bersedekah & Melakukan Kebajikan
Bersedekah merupakan salah satu amalan yang amat dituntut dalam Islam, terutamanya pada hari-hari yang mempunyai kelebihan seperti Hari Arafah. Antara bentuk sedekah yang sangat dianjurkan ialah menyediakan juadah berbuka puasa kepada mereka yang berpuasa, memberi bantuan kepada fakir miskin, anak yatim atau mana-mana golongan yang memerlukan.
Sabda Rasulullah ﷺ:
“Sesiapa yang memberi makan (berbuka) kepada orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu, tanpa mengurangkan pahala orang yang berpuasa sedikit pun.” (Hadis riwayat Tirmizi)
Oleh itu, rebutlah peluang ini untuk memperbanyakkan sedekah, memberi makan dan melakukan amal kebajikan lain yang mampu membawa rahmat serta keberkatan dalam kehidupan.
5. Persediaan Ibadah Korban & Aidiladha
Selain itu, umat Islam yang berkemampuan digalakkan membuat persiapan untuk melaksanakan ibadah korban yang akan berlangsung pada Hari Raya Aidiladha dan hari-hari Tasyriq.
Dalam hal ini, bagi mereka yang berniat melakukan korban, disunatkan agar tidak memotong kuku, rambut atau mencukur bulu pada tubuh mereka bermula dari masuknya 1 Zulhijjah sehingga selesai melaksanakan sembelihan korban.
Sabda Nabi ﷺ:
“Apabila kamu melihat hilal (bulan Zulhijjah) dan salah seorang daripada kamu ingin melaksanakan korban, maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehingga dia selesai menyembelih (haiwan korbannya).” (Hadis riwayat Muslim)
Adab ini bertujuan supaya orang yang berkorban turut sama merasai suasana pengorbanan dan kesederhanaan seperti para jemaah haji di tanah suci.
Sekiranya tuan/puan belum mengetahui cara atau niat yang betul untuk melaksanakan korban, sila rujuk panduan lengkap yang disediakan di sini:
👉 Niat Korban & Cara Pelaksanaannya (Panduan Lengkap)
Zikir Hari Arafah
Apakah zikir yang boleh dibaca pada Hari Arafah?
Walaupun kita tidak dapat berhimpun dan memperoleh kemuliaan berwukuf di Padang Arafah sepertimana para jemaah haji di Tanah Suci, tetapi kita turut dibolehkan untuk berdoa dan beramal walau di mana pun kita berada.
Kita digalakkan untuk melakukan amalan-amalan sunat seperti solat, berpuasa, berzikir dan berdoa terutama dengan zikir doa yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW.
Zikir Doa Hari Arafah ini sebaik-baiknya dibaca seberapa banyak yang termampu selepas solat Zuhur 9 Zulhijjah sehingga menjelang Subuh 10 Zulhijjah.
At-Tarmizi meriwayatkan, semasa Hari Arafah, Nabi mengamalkan zikir doa berikut:

Laa ilaha illallahu Wahdahu Laa Syarikalah, Lahul Mulku Walahul Hamdu Yuhyi Wayumitu Wahuwa A’la Kulli Syai’in Qadirr
Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, Tuhan Yang Maha Esa tiada sekutu bagiNya. BagiNya segala kerajaan dan bagiNya segala pujian. Dialah Yang Maha Kuasa ke atas segala sesuatu.
Daripada Amru bin Syu’aib dari ayahnya dan daripada datuknya, Abdullah bin Amr bin Ash radhiyallâhu ‘anhu, Rasulullah ﷺ bersabda:
Sebaik-baik doa adalah yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik ucapan adalah ucapan Nabi-nabi sebelumku iaitu, “Tiada tuhan yg berhak disembah melainkan Allah yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya kepujian dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu.”
— Hadis Riwayat at Tirmizi
Doa Hari Arafah
Waktu Yang Mustajab Untuk Berdoa
Umat Islam disunatkan membaca Doa Hari Arafah walau di mana pun mereka berada.
Salah satu waktu doa dimakbulkan Allah SWT adalah di Padang Arafah iaitu hari kesemua Jemaah Haji berkumpul di Padang Arafah, simbolik dan lambang Padang Mahsyar.
Waktunya ialah selepas gelincir matahari 9 Zulhijjah sehingga sebelum terbit Fajar 10 Zulhijjah.
Berdoalah di mana jua, kita hanya menyatakan permohonan kita kepada Allah SWT hak menunaikan adalah hak Allah Ta’ala.
Nabi Muhammad Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda:
Sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah.
— HR At Tirmidzi dishahihkan Al-Albani
Doa Hari Arafah Yang Ma’thur

Doa Hari Arafah bukan sahaja baik dibaca oleh Jemaah Haji pada hari Arafah, tetapi disunatkan juga kepada seluruh Umat Muslim di seluruh dunia walaupun tidak berada di Padang Arafah.
Antara doa Hari Afarah yang dianjurkan adalah:

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin, Hamdan Yuwaafi Ni’amahu Wa Yukaafi-u Mazidah, Ya Rabbana Lakal-hamdu Kama Yanbaghi Lijalaali Wajhika Wa ‘Azhiimii Sulthonik, Allahumma Solli Wasallim ‘Ala Sayyidina Muhammad, Wa ‘Ala Aalihi Wasohbihi Ajma’in.

Allahumma Rabbana Zolamna Anfusana Wa In Lam Taghfirlana Wa Tarhamna Lanakuunanna Minal-khasiriin. Allahummaghfirlana Zunuubana Wa Tub ‘Alaina Taubatan Nasuuha. Allahumma Anta Robbuna Farzuqna-istiqamah.

Allahumma Inni As-aluka Minal-khairi Kullihi ‘Ajilihi wa Aajilihi Ma ‘Alimtu Minhu Wa Ma Lam A’lam.

Allahumma Inni As-aluka Min Khairi Ma Sa-a-laka Bihi ‘Abduka Wa Nabiyyuka Muhammad, Wa A’uzubika Min Syarri Mas-ta’Aazaka Bihi ‘Abduka Wa Nabiyyuka Muhammad, Allahumma Inni As-alukal-jannah, Wa Ma Qarraba Ilaihi Min Qaulin Wa ‘Amalin, Wa As-aluka An Taj’alaka Kulla Qadha-in Qadhaitahu Lana Khaira.



Allahumman-qulni Min Zillil-ma’siyyati ila ‘Izzit-tho’ati, Wakfini BihaLaaLika ‘An Haramik, Waghnini Bifadhlika ‘Amman Siwaak, Wa Nawwir Qalbi Wa Qabri, Wahfazni Minasy-syarri Kulih, Wajma’ Liyal-khaira Kullah, Innaka ‘ala Kulli Syai-in Qadiir, Allahumma Inni As-alukal-huda Wat tuqa Wal-‘afaaFa Wal-ghina, Ya Hayyu Ya Qayyum Birahmatika Astaghist, Asih Li Syakni Kullah, Wa Jannibnil-‘usra Warzuqni Tho’ataka Ma Abqaitani, Allahumma Aslih Li Diinil-lazi huwa ‘Ismatu Amri, Wa Asih Li DunyaaYal-lati Fiiha Ma’Aasyi, Wa Aslih Li Aakhiratiyal-ati Ilaiha Ma’Aadi, Waj’alil-hayaata Zaiyaadatan Li Fi Kulli Khairin, Waj’alil-mauta RaaHatan Li Min Kulli Syarr.

Allahummagfirlana Wa Liwadidiina Wa Zurriyyaatina Wa Ikhwaanina Wa AhliiNaa Wal Gho-iBiiNa Minal MuslimiiNa Wal Muslimaati Ajma’ain Birahmatika Ya Arhamar-raahimin, Wa Sollallahu ‘Ala Sayyidina Muhammadin Wa ‘Ala Aalihi Wa Sohbihi Ajma’in Wal-hamdulillahi Rabbil-‘Aalamin.
Maksud Doa Hari Arafah
Maksud bagi doa hari Arafah di atas adalah seperti berikut:
Segala puji-pujian adalah milik Allah yang memerintah sekalian alam, dengan satu pujian yang sentiasa menepati nikmat-nikmatNya dan mencukupi segala tambahannya, wahai Tuhanku hanya bagiMu segala puji-pujian sebagaimana selayaknya dengan keagungan Zat-Mu dan keunggulan pemerintahanMu. Ya Allah cucurlah selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhamad SAW dan juga ke atas seluruh keluarga dan para sahabatnya.
Ya Allah Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah menzalimi diri kami, dan seandainya Engkau tidak mengampuni kami dan mengasihani kami nescaya kami mesti akan menjadi golongan orang-orang yang rugi. Ya Allah Ya Tuhan Kami, ampunilah dosa-dosa kami dan terimalah taubat kami serta berikanlah kami taubat nasuha (taubat yang sebenar). Ya Allah Engkau adalah Tuhan kami, kerana itu anugerahkanlah kami suatu keistiqamahan.
Ya Allah sesungguhnya aku memohon kepadaMu segala kebaikan, kebaikan yang sepatutnya segera aku terima atau pun yang tertangguh, kebaikan yang aku ketahui dan yang tidak aku tahu, Ya Allah aku memohon kepadaMu kebaikan sebagaimana apa yang telah dipohon oleh hambaMu dan Nabi-Mu junjungan besar Nabi Muhamad SAW, aku juga berlindung kepadaMu dari sebarang keburukan sebagaimana yang dimintakan perlindungan kepadaMu oleh hambaMu dan Nabi-Mu junjungan besar Nabi Muhamad SAW, Ya Allah aku memohon syurga kepadaMu dan apa-apa yang boleh mendekatkan kepadanya, sama ada berupa ucapan ataupun perbuatan.
Aku juga berlindung kepadaMu dari api neraka dan apa sahaja yang boleh mendekatkan kepadanya sama berupa ucapan ataupun perbuatan. Dan aku memohon kepadaMu supaya engkau menjadikan semua qada’ yang sudah Engkau tetapkan kepadaku itu sebagai ketetapan yang baik belaka.
Ya Allah pindahkanlah aku dari maksiat yang hina kepada ketaatan yang terpuji. Anugerahkanlah aku rezeki yang halal dan jauhkanlah aku dari rezeki yang haram. Cukupkanlah aku dengan kurniaMu dari yang selain Engkau. Terangilah hatiku dan kuburku, peliharalah aku dari segala keburukan dan kumpulkanlah kepadaku semua kebaikan, sesungguhNya Engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Ya Allah aku memohon kepadaMu petunjuk dan ketakwaan, keafiatan dan kekayaan, wahai Tuhan yang Hidup dan Berdiri sendiri, dengan rahmatMu aku meminta tolong, perelokkanlah segala keadaanku dan jangan biarkan aku bersendirian walaupun sekelip mata. Ya Allah permudahkanlah aku kepada kemudahan dan jauhkanlah kesusahan dari diriku. Jadikanlah aku sebagai orang yang sentiasa mentaatiMu selagi Engkau mengekalkan diriku. Ya Allah perelokkanlah bagiku agamaku yang menjadi peganganku dan juga baikkanlah duniaku yang di dalamnya aku menjalani kehidupan. Dan juga perelokkanlah akhirat yang menjadi tempat kembaliku. Jadikanlah masa hayatku ini untuk menambah kebaikan dan jadikanlah matiku nanti sebagai kerehatan dari segala keburukan.
Ya Allah ampunilah segala dosa kami, dosa ibu bapa kami, dosa zuriat kami, dosa saudara-saudara kami dan juga dosa orang-orang yang ghaib daripada kaum muslimin dan muslimat dengan berkat rahmatMu wahai Tuhan yang Maha Penyayang. Semoga Allah memberi rahmat kepada junjungan kami Nabi Muhamad SAW dan juga ke atas seluruh keluarga dan para sahabatnya semua.
Hikmah Dan Kelebihan Puasa Arafah

Puasa Hari Arafah bukan sekadar amalan sunat yang besar pahalanya, malah ia memiliki kedudukan istimewa dalam syariat yang diangkat oleh para ulama sebagai satu bentuk ibadah ruhi iaitu ibadah yang menyucikan hati, mendekatkan diri kepada Allah, dan melatih keikhlasan hati secara mendalam.
Berikut adalah beberapa hikmah dan kesan puasa Arafah yang telah dijelaskan oleh para ulama terdahulu dan kontemporari:
1. Peluang Keampunan Besar
Imam al-Nawawi menyebut bahawa puasa Hari Arafah merupakan sunat yang paling utama dilakukan oleh orang yang tidak menunaikan haji, kerana fadilatnya yang luar biasa:
“Ia adalah hari yang padanya Allah mengampunkan dosa dua tahun: setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Maka tiada hari puasa sunat lain yang disebut memiliki kelebihan sebegini.” — Imam al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jil. 6, hlm. 428
Beliau merujuk kepada hadis sahih riwayat Muslim:
“Puasa Hari Arafah, aku berharap kepada Allah agar ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” — Riwayat Muslim (1162)
Penghapusan ini menurut majoriti ulama merujuk kepada dosa-dosa kecil, manakala dosa besar tetap memerlukan taubat yang khusus (taubat nasuha).
2. Hari Pembebasan dari Api Neraka
Imam Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan bahawa Hari Arafah adalah:
“Hari yang paling banyak Allah membebaskan hamba-hamba-Nya daripada api neraka. Tidak ada hari lain yang seumpamanya dari segi keluasan rahmat dan ampunan.” — Ibn Rajab, Lata’if al-Ma‘arif, hlm. 494
Ini berdasarkan sabda Nabi ﷺ:
“Tiada hari yang Allah lebih banyak membebaskan hamba daripada neraka berbanding Hari Arafah. Allah mendekati mereka (dengan rahmat-Nya), lalu membanggakan mereka di hadapan para malaikat.” — Riwayat Muslim (1348)
Ulama menegaskan bahawa keadaan orang yang berpuasa, sedang tunduk kepada Allah, dan berdoa pada hari tersebut termasuk dalam golongan yang mendapat keutamaan ini.
3. Menyucikan Jiwa dan Meningkatkan Taqwa
Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa puasa yang dilakukan dalam konteks hari-hari yang dimuliakan syariat, seperti Hari Arafah, membantu menyucikan hati daripada kekotoran rohani dan mengangkat kedudukan insan di sisi Allah.
“Puasa menundukkan nafsu, dan puasa pada hari-hari tertentu yang diberkati membawa seseorang kepada kejernihan hati dan kelembutan jiwa yang sebenar.” — al-Ghazali, Ihya’ ‘Ulum al-Din, jil. 1, hlm. 235
Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT:
لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“…agar kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah: 183)
Puasa Arafah adalah medan latihan ruhani untuk kembali kepada nilai taqwa dengan sebenar-benar keinsafan terutamanya kerana ia datang di penghujung tahun hijrah sebelum Aidiladha.
4. Menyamai Semangat Wukuf
Imam Ibn Rajab juga menyatakan bahawa puasa Arafah bagi yang tidak berhaji dianggap ibadah khusus sebagai ganti kepada wukuf:
“Orang yang tidak berwukuf di Arafah disyariatkan untuk berpuasa, sebagai bentuk ibadah yang menghubungkan mereka dengan semangat para hujjaj.” — Lata’if al-Ma‘arif, hlm. 496
Syaikh ‘Abd al-Razzaq al-Badr pula menyebut:
“Puasa pada Hari Arafah menyatukan umat Islam di seluruh dunia pada hari yang paling agung – sama ada di tanah suci atau di tempat masing-masing, mereka sama-sama tunduk, berdoa dan berzikir kepada Tuhan yang satu.” — Syarh al-Adzkar an-Nawawiyyah, al-Badr
Ini menunjukkan bahawa puasa Arafah memiliki nilai ukhuwah dan solidariti ibadah — mempertemukan hati-hati umat Islam walau mereka berada di benua yang berbeza.
5. Waktu Mustajab Doa
Puasa pada Hari Arafah mengandungi hikmah besar kerana digabungkan dengan waktu paling mustajab untuk berdoa, sebagaimana sabda Nabi ﷺ:
“Sebaik-baik doa ialah doa pada Hari Arafah.”
— Riwayat Tirmizi (3585), dinilai hasan oleh al-Albani
Imam Ibn Kathir menyatakan dalam tafsirnya bahawa doa pada Hari Arafah adalah sebahagian daripada syiar ibadah umat Islam, dan tidak terhad hanya kepada mereka yang berada di Arafah:
“Hari Arafah adalah hari pengampunan dan pengabulan doa – untuk yang hadir di padang Arafah, dan juga yang jauh darinya namun menghidupkan hari tersebut dengan ibadah.”
— Tafsir Ibn Kathir, surah al-Baqarah: 200–203
Apabila seseorang berpuasa, doanya lebih mustajab (rujuk hadis tentang doa orang berpuasa tidak ditolak – Riwayat Tirmizi), maka gabungan puasa dan Hari Arafah menjadikan saat petang menjelang berbuka sebagai antara waktu paling mulia untuk bermunajat.
Kesemua kalam ulama ini menunjukkan bahawa puasa Hari Arafah bukan sekadar amalan sunat biasa, tetapi ia adalah ladang pengampunan, taman keinsafan, dan pintu pembebasan dari azab neraka yang terbuka luas sekali setahun.
Sebagaimana kata Ibn Rajab:
“Siapa yang tidak mampu hadir ke Arafah secara jasad, janganlah dia terhalang untuk hadir secara ruhani – melalui puasa, doa dan zikir.”
Semoga kita tidak mensia-siakan anugerah hari yang agung ini, dan tergolong dalam golongan yang diampuni dan diredai Allah pada Hari Arafah. والله تعالى أعلم.
Soalan Lazim (FAQ) Berkaitan Puasa Hari Arafah

Untuk memudahkan pemahaman dan mengelakkan kekeliruan yang sering berlaku dalam kalangan umat Islam, berikut disediakan senarai soalan lazim berkaitan puasa Hari Arafah.
Jawapan diberikan secara ringkas, padat dan berdasarkan panduan mazhab Syafie serta fatwa rasmi di Malaysia. Termasuk juga di dalamnya beberapa kesalahan umum yang sering berlaku agar kita dapat mengambil langkah berhati-hati dalam melaksanakan ibadah pada hari yang mulia ini.
Ikut 9 Zulhijjah kalendar Malaysia yang diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja; tidak terikat dengan tarikh wukuf di Arab Saudi.
Sunat muakkad menurut mazhab Syafie dan jumhur ulama.
Makruh (atau sekurang-kurangnya tidak disunatkan); sunnah Nabi ﷺ berbuka semasa wukuf.
Boleh: pilih satu niat utama (puasa qadha ➔ afdhal) dan sertakan niat Arafah sebagai niat taba‘i (mengiringi).
Sah selagi berniat sebelum tergelincir matahari (sebelum Zuhur) dan belum makan/minum kerana ini puasa sunat.
Sepanjang hari; paling mustajab antara Asar → Maghrib (gabungan waktu doa Arafah + hampir berbuka).
Sunat mendahulukan tamar/air seperti berbuka puasa lain; disyorkan berdoa sebelum berbuka kerana doa orang berpuasa tidak ditolak.
Individu yang berniat untuk melaksanakan ibadah korban disunatkan agar tidak memotong kuku, rambut atau bulu badan mulai 1 Zulhijjah hingga selesai sembelihan, berdasarkan hadis Nabi ﷺ riwayat Muslim. Ramai terlepas pandang perkara ini kerana menyangka larangan tersebut hanya untuk jemaah haji, sedangkan ia turut merangkumi peserta korban di luar tanah suci.
Penutup
Hari Arafah merupakan antara hari yang paling agung dalam Islam iaitu hari keampunan, pembebasan dari api neraka, dan medan doa yang mustajab.
Meskipun kita tidak berada di Padang Arafah secara zahir, kita masih diberikan peluang untuk menghidupkan hari tersebut dengan ibadah, khususnya melalui puasa sunat, zikir, takbir, doa, dan amal kebajikan. Ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT amat besar, bahkan ia hanya datang sekali setahun.
Semoga panduan ini membantu tuan/puan mempersiapkan diri untuk menyambut Hari Arafah dengan sebaik-baiknya. Marilah kita merebut peluang ini dengan penuh kesedaran dan pengharapan, mudah-mudahan kita termasuk dalam kalangan hamba yang diampuni, diterima amalnya, dan dibebaskan daripada azab.
Wallahu a‘lam.
Tinggalkan Komen Anda..
Salam Ustaz, di bahagian doa hari arafah macam x kluar bahasa arabnya. Nk confirm kan itu masalah phone sy atau dia mmg dah hilang. Terima kasih ustaz
Wassalam. Memang masalah teknikal dari web ini dan saya sudah buat pembaikan. Minta maaf segala kesulitan. Puan boleh cuba sekali lagi
Doa akhir bahagian rumi ada yg terkurang selepas Ikhwaanina Wal…
Oh maaf sangat2. Nanti saya tambahkan segera
Salam, kalau lupa baca niat puasa sebelum subuh, boleh ke kita niat puasa sunat Arafah apabila bangun dari tidur dan belum makan/minum apa2 lagi.
Waalaikumussalam,
Ada juga pendapat ulama’ lain yang membolehkan niat puasa dilakukan selepas subuh asalkan belum ada apa-apa yang membatalkan puasa yang dilakukan, seperti makan atau minum. Ini berlaku untuk puasa sunat seperti Puasa Arafah.
Wallahu a’lam.
Asalamualaikum ustaz, doa Arafah bahagian terakhir ada menyebut (juga dosa orang-orang yang ghaib daripada kaum muslimin dan muslimat) siapakah yg dimaksudkan orang2 ghaib itu ustaz? Mohon pencerahan…
Assalamualaikum.Saya nak tanya lagi?Doa berbuka puasa Arafah adakah sama juga seperti doa berbuka puasa di bulan Ramadhan?
Wassalam.
Ya, boleh baca doa berbuka puasa yang sama.
Sebab tiada doa khusus untuk berbuka puasa pada hari Arafah.
Assalamualaikum.Saya nak tanya niat puasa atau mana² niat boleh ke tak dilafazkan?Sblm ni saya pernah baca yg niat harus dari hati dan tak wajib pun dilafazkan.Jadi kalau tak lafaz niat puasa ni boleh ke?Sah ke puasanya?
Edited:
Maaf sbb tanya 2 kali.Saya sangka pertanyaan yg pertama tu tak terhantar?
Wassalam.
Ya benar, niat tidak wajib dilafazkan.
Puasa sah walaupun hanya niat dalam hati. ?
Baik, terima kasih?✨
Assalamualaikum.Saya nak tanya niat puasa,atau mana² niat boleh ke kalau tak dilafazkan?Sblm ni saya pernah baca niat tak wajib pun dilafazkan.Niat harus dari hati.Jadi kalau tak lafaz niat puasa ni,boleh ke?Sah ke puasanya?
boleh ker puasa arafah pada hari esok
Esok 9 zulhijjah memang esok adalah puasa arafah,hari tasyrik dilarang berpuasa iaitu 10 ,11,12,13 zulhijjah berdasarkan hadis Rasulullah https://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/thumb/c/c5/Mohamed_peace_be_upon_him.svg/20px-Mohamed_peace_be_upon_him.svg.png yang bermaksud: Dari Nubaisyah al-Hudzali RA katanya: ”Rasulullah https://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/thumb/c/c5/Mohamed_peace_be_upon_him.svg/20px-Mohamed_peace_be_upon_him.svg.png bersabda: ”Hari-hari Tasyrik (10,11,12 dan 13 Zulhijjah) adalah hari-hari makan minum.”
(Hadis Riwayat Imam Muslim)
Maksudnya Isnin ini dah 11 Zulhijjah tak boleh puasa sunat isninlah ya .
Ya, tidak boleh
Mohon halalkn ilmu
InsyaaAllah.
Semoga dapat membantu memudahkan muslimin dan muslimat.
Syukrun, jazakallahughoir
Semoga dapat membantu :-)