DOA AKHIR TAHUN & AWAL TAHUN ISLAM (Rumi & Audio)

doa akhir tahun

Dalam artikel ini saya akan kongsikan panduan lengkap bacaan Doa Akhir Tahun dan Doa Awal Tahun Hijrah Islam, termasuk teks Arab, transliterasi Rumi, terjemahan, serta audio bacaan sebagai bantuan rujukan.

Jika anda baru pertama kali ingin mengamalkan doa ini, atau masih tertanya-tanya bagaimana cara bacaan yang betul serta apa hukumnya menurut Mazhab Syafie, artikel ini insyaAllah dapat membantu anda.

Dalam tulisan ini, saya akan bantu anda secara langkah demi langkah, tersusun dan akan cuba menerangkan sebanyak mungkin perkara penting yang anda mungkin ingin tahu dan perlu tahu, termasuk isu hukum, waktu bacaan, serta asal-usul amalan ini.

Untuk memudahkan dan menjimatkan masa anda, saya telah menyediakan pautan lompat (jumplink) pada bahagian isi kandungan. Anda hanya perlu klik pada link tersebut untuk terus ke bahagian yang anda ingin baca dan fahami.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, anda boleh tinggalkan soalan di ruangan komen di bawah. Saya akan cuba jawab sebaik mungkin, insya-Allah.

Awal Muharram atau Maal Hijrah merupakan detik penting dalam kalendar Islam yang memperingati peristiwa hijrah Nabi Muhammad ﷺ dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.[1]

Peristiwa bersejarah ini bukan sahaja menjadi lambang permulaan pembentukan masyarakat Islam yang berdaulat, tetapi turut dijadikan asas kepada kiraan tahun Hijrah yang digunakan hingga ke hari ini.

Seiring dengan kedatangan tahun baharu Islam, umat Islam di seluruh dunia mengambil kesempatan ini untuk bermuhasabah dan memperbaharui tekad mereka dengan amalan membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun.

Tradisi ini telah diamalkan sekian lama, khususnya di negara-negara bermazhab Syafie seperti Malaysia, sama ada secara peribadi mahupun secara berjemaah di masjid dan surau.

Doa akhir tahun lazimnya dibaca pada petang terakhir bulan Zulhijjah sebagai simbol penutup amalan setahun, dengan permohonan keampunan atas dosa, penghargaan terhadap segala nikmat dan ujian, serta harapan agar segala amal diterima.

Doa awal tahun pula dibaca selepas masuknya 1 Muharram, memohon perlindungan daripada syaitan, kekuatan untuk berubah ke arah kebaikan, serta keberkatan dalam kehidupan sepanjang tahun baharu.

Namun begitu, masih ramai yang keliru tentang hukum dan kedudukan amalan ini dalam syariat.

Isu seperti sumber asal teks doa, status hadis yang dikaitkan dengannya, serta perbezaan pandangan ulama sering menimbulkan persoalan.

Adakah ia sunnah? Adakah berdosa jika tidak membaca? Dan adakah benar ganjaran yang dikaitkan dengannya?

Perkara Doa Akhir Tahun Doa Awal Tahun
Waktu Baca
  • Petang 29 / 30 Zulhijjah
  • Selepas Asar → sebelum Maghrib
  • Malam 1 Muharram
  • Selepas masuk Maghrib
Tujuan Utama Muhasabah, istighfar & penutupan amal setahun Memohon perlindungan, bimbingan & azam baharu
Hukum Harus & digalakkan (mustahab) – bukan sunnah muakkad; berdalil kepada galakan umum berdoa Sama sebagaimana di sebelah
Bilangan Ulangan Disunatkan 3 kali (bukan wajib) Disunatkan 3 kali (bukan wajib)
Adab Utama Berwuduk, hadapkan qiblat, angkat tangan, mulakan dengan pujian & selawat. Adab sama seperti di sebelah
Nota Ringkas

Kedua-dua doa ini tidak dinukilkan secara langsung daripada Rasulullah ﷺ, namun diterima sebagai doa umum yang baik selagi tidak dianggap syarat sah ibadah atau disandarkan fadilat palsu.

Antara tarikh istimewa & amalan yang disunatkan dalam Bulan Zulhijjah adalah:

  1. 1–8 Zulhijjah disunatkan untuk berpuasa.
  2. 8 Zulhijjah dihidupkan malamnya dengan banyak beribadat.
  3. 9 Zulhijjah Hari Wuquf
    • Dihidupkan malamnya dengan banyak beribadah di Arafah
    • Disunatkan berpuasa bagi orang yang tidak mengerjakan haji
    • Membaca surah al-Ikhlas sebanyak 1000 kali.
    • Membaca Doa Hari Wuquf
  4. Hari Raya Haji pada 10 Zulhijjah
  5. Hari Tasyrik pada 11–13 Zulhijjah
    • Dihidupkan malam dengan banyak beribadah.
    • Takbir selepas setiap waktu solat fardhu.
  6. 30 Zulhijjah (akhir Bulan Zulhijjah)
    • Membaca doa akhir tahun hijrah selepas waktu asar (yang akan diajarkan dalam panduan ini)
Sejarah & Asal Usul Amalan Doa Akhir dan Awal Tahun Hijrah

Amalan membaca doa akhir dan awal tahun Hijrah merupakan tradisi yang telah lama diamalkan secara meluas dalam kalangan umat Islam di Nusantara, khususnya di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura.

Bagaimanapun, amalan ini tidak terdapat dalam mana-mana riwayat sahih daripada Nabi Muhammad ﷺ mahupun para sahabat baginda.

Sebaliknya, ia merupakan satu amalan yang diperkenalkan oleh para ulama terkemudian, bertujuan untuk mengisi saat peralihan tahun Hijrah dengan amalan yang bermakna.

Menurut catatan sejarah, amalan doa ini dipercayai mula tersebar di rantau Nusantara melalui kitab-kitab doa dan wirid yang popular dalam kalangan masyarakat Melayu, antaranya kitab Majmū‘ Syarīf, Perukunan Melayu, dan kitab-kitab lain seumpamanya.[2]

Kitab-kitab ini biasanya memuatkan pelbagai doa dan wirid yang mudah diamalkan oleh masyarakat awam, termasuklah doa akhir dan awal tahun Hijrah. Lama-kelamaan, ia menjadi sebahagian daripada tradisi masyarakat dan diwarisi secara turun-temurun sehingga ke hari ini.

Meskipun asal-usul doa ini tidak bersandarkan kepada hadis sahih, para ulama Nusantara tidak melarang bahkan menggalakkan penggunaannya kerana kandungan doa tersebut dianggap baik dan selari dengan prinsip umum syariat Islam.

Isi doa akhir tahun khususnya mengajak pembacanya bermuhasabah tentang dosa dan amalan sepanjang tahun yang berlalu, manakala doa awal tahun pula mengandungi permohonan perlindungan serta harapan untuk memulakan tahun baharu dengan azam yang lebih baik.

Seiring peredaran zaman, amalan ini terus diamalkan secara konsisten dalam kalangan masyarakat Melayu-Muslim, terutamanya menjelang 1 Muharram. Ia sering dianjurkan secara berjemaah di masjid-masjid atau surau-surau sebagai salah satu acara sambutan Maal Hijrah.

Amalan ini juga diterima baik oleh pihak berkuasa agama tempatan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang turut menyebarkan panduan doa ini secara rasmi kepada masyarakat setiap tahun.[3]

Kesimpulannya, walaupun tidak dinukilkan daripada Nabi ﷺ, amalan doa akhir dan awal tahun Hijrah telah berjaya menjadi sebahagian budaya keagamaan umat Islam, khususnya dalam kalangan pengikut Mazhab Syafie di Nusantara.

Ia menjadi manifestasi kepada kesungguhan umat Islam untuk sentiasa memperbaharui tekad, memperbaiki diri, serta memperkukuhkan hubungan iman dengan Allah SWT setiap kali tiba tahun baru Hijrah.

Mengapa Bulan Muharam dikaitkan dengan peristiwa hijrah sedangkan hijrah berlaku pada Bulan Rabiulawal?

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan[4] daripada sebahagian ulama bahawa ketika para sahabat رضي الله عنه berbincang (pada zaman Khalifah Umar رضي الله عنه), bagaimanakah kita hendak memulakan tarikh? Peristiwa apakah yang kita hendak jadikan sebagai titik permulaan bagi tarikh atau kalendar kita?

Maka terdapat beberapa cadangan:

  1. Peristiwa kelahiran Nabi ﷺ
  2. Peristiwa Nabi ﷺ dilantik menjadi Nabi
  3. Peristiwa hijrah Nabi ﷺ
  4. Peristiwa kewafatan Nabi ﷺ

Akhirnya mereka memilih cadangan ketiga.

Cadangan pertama dan kedua sukar kerana terdapat percanggahan pendapat dalam menentukan tahun kejadiannya. Cadangan keempat juga tidak sesuai kerana mereka tak sampai hati hendak menjadikan kewafatan Nabi ﷺ sebagai permulaan tarikh Islam.

Maka akhirnya mereka memilih untuk menjadikan tahun berlakunya peristiwa hijrah sebagai tahun pertama dalam kalendar Islam.

Tapi mengapa mereka memilih bulan Muharam dan bukannya bulan Rabiulawal sebagai bulan pertama? Bukankah hijrah berlaku pada bulan Rabiulawal?

Jawapannya ialah kerana keazaman Rasulullah ﷺ untuk berhijrah itu sudah bermula sejak bulan Muharam. Hal ini kerana pada bulan Zulhijah telah berlaku baiah.

Maka selepas itu Rasulullah ﷺ telah berazam untuk berhijrah dan bulan pertama selepas peristiwa baiat tersebut ialah Muharam. Maka sesuailah bulan Muharam dijadikan sebagai permulaan.

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullah, inilah hujah yang paling kuat yang beliau temui dalam menjelaskan faktor kemunasabahan bulan Muharam dipilih sebagai bulan permulaan.[5]

Semoga permulaan tahun baru hijri ini menjadi titik permulaan untuk kita berhijrah ke arah kebaikan dengan taufiq dari Allah ﷻ.

Kisah hijrah Rasulullah SAW
Kisah hijrah Rasulullah SAW
Kisah hijrah Rasulullah SAW
Kisah hijrah Rasulullah SAW

Bilakah waktu untuk membaca doa akhir tahun ini?

Bacaan doa akhir tahun ini digalakkan untuk dibaca pada petang diantara waktu selepas Solat Asar sehingga Waktu Maghrib pada 29 atau 30 Zulhijjah.

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin, Wassolatu Wassalamu ‘Ala Sayyidina Muhammadin Wa ‘Ala Aalihi Wasohbihi Ajmain

Audio

Allahumma Maa ‘Amilna Fii Hazihis-sanati Mimma NahaiTana ‘Anhu, Falam Natub Minhu Walam TarDhoHu Walam TanSaHu


WahaLumTa ‘AlaiNa Ba’da QudRotika, ‘Ala ‘UQuuBatiNaa, Wada-‘UtaNa Ilat-taubati Minhu Ba’da Jur-AaTina ‘Alaa Ma’-Siyatika


FainNana NasTaghFiruka FaghFirLana, Wamaa ‘Amilna FiiHaa Mimma TarDhoHu Wawa ‘AdTana ‘AlayHis-TsaWab, FanasAlukallaHumma Ya Karimu Ya Dzal Jalaali Wal Ikram


An TataQobBalahu Minna Walaa TaqTogh RajaaAna Minka Ya Karim, RabbaNaa Aatina Fiddunya Hasanatan Wa Fil Aakhirati Hasanatan Waqina ‘Aazabannar


Was Sollallahu ‘Ala Sayyidinaa Muhammadin Wa ‘Ala Aalihi Wasohbihi Ajmain, Walhamdulillahi Rabbil ‘Alamin

Maksud Doa Akhir Tahun

Segala pujian bagi Allah, Tuhan semesta alam. Semoga Allah melimpahkan rahmat dan keselamatan kepada junjungan kami Nabi Muhammad SAW, beserta para keluarga dan sahabatnya.

Ya Allah, segala yang telah kami kerjakan selama ini dari apa yang menjadi laranganMu, sedang kami belum bertaubat, padahal Engkau tidak melupakan dan Engkau bersabar (dengan kasih SayangMu), yang sesungguhnya Engkau berkuasa memberikan siksa untuk kami, dan Engkau telah mengajak kami untuk bertaubat sesudah melakukan maksiat.

Kerana itu ya Allah, kami mohon ampunanMu dan berilah ampun kepada kami dengan kemurahanMu.

Segala apa yang telah kami kerjakan, selama tahun ini, berupa amal perbuatan yang Engkau redhai dan Engkau janjikan akan membalasnya dengan pahala, kami memohon kepadaMu, wahai Zat Yang Maha Pemurah, Wahai Zat Yang Mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan, semoga berkenan menerima amal kami dan semoga Engkau tidak memutuskan harapan kami kepadaMu, wahai Zat Yang Maha Pemurah.

Ya Allah, berikan kebaikan hidup di dunia dan kebaikan hidup di Akhirat, serta jauhkan kami dari azab api neraka.

Dan semoga Allah memberikan rahmat dan kesejahteraan atas penghulu kami Muhammad, Keluarga dan sahabatnya.

Segala pujian bagi Allah, Tuhan semesta alam.

Teks Bacaan Doa Awal Tahun

doa awal tahun islam

Bilakah doa awal tahun Islam dibacakan?

Doa awal tahun dibaca pada selepas masuk Waktu Solat Maghrib sebanyak 3 kali pada malam 1 Muharram.

Ia bermaksud, doa ini dibaca selepas kita selesai membaca doa akhir tahun pada waktu Asar.

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin, Wassolatu Wassalamu ‘Ala Sayyidina Muhammadin Wa ‘Ala Aalihi Wasohbihi Ajmain

Audio

Allahumma Antal Abadiyyul Qadiimul Awwal, Wa ‘Ala Fadlikal ‘Azimi Wujuudikal Mu-Awwal


Wahazaa ‘Amun Jadiidun Qad Aqbala ‘Alaina, NasAlukal ‘Ismatafiihi Minassyaitaanir-rajim Wa Auliyaaihi Wajunuudihi Wal ‘Auna ‘Alaa Hazihin-Nafsil Ammarati Bissu’i Wal Isyta-rgholi Bima Yuqorribuna Ilaika Zulfa.


Ya Dzaljalaali Wal Ikram, Ya Arhamar-rohimiin, Rabbanaa Aatinaa Fiddunyaa Hasanatan Wafil Akhiroti Hasanatan Waqinaa ‘Azaabannar


Was Sollallahu ‘Ala Sayyidinaa Muhammadin Wa ‘Ala Aalihi Wasohbihi Ajmain, Walhamdulillahi Rabbil ‘Alamin

Maksud Doa Awal Tahun

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam, Semoga Allah sentiasa melimpahkan rahmat dan keselamatan kepada junjungan kami Nabi Muhammad, beserta keluarga dan sahabatnya.

Ya Allah, Engkaulah Yang Abadi, Dahulu, lagi Awal. Dan hanya kepada anugerahMu yang Agung dan dermawanMu tempat bergantung.

Dan tahun baru ini benar-benar telah datang. Kami memohon kepadaMu perlindungan dalam tahun ini dari (godaan) syaitan yang direjam, pembantu-pembantunya dan bala tenteranya.

Dan kami memohon pertolongan  untuk mengalahkan hawa nafsu amarah yang mengajak kepada kejahatan, agar kami sibuk melakukan amal yang dapat mendekatkan diri kami kepadaMu wahai Dzat yang memiliki Keagungan dan Kemuliaan.

Wahai Tuhan yang Maha Mengasihani kepada hamba-hambaNya. Ya Allah, berikanlah kebaikan hidup di dunia dan kebaikan hidup di akhirat, serta jauhkan kami dari azab neraka.

Semoga Allah sentiasa melimpahkan rahmat dan keselamatan kepada junjungan  kami Nabi Muhammad, beserta para keluarga dan sahabatnya.

Segala Pujian bagi Allah, Tuhan semesta Alam.

Amalan membaca doa akhir tahun dan awal tahun sering menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat, khususnya berkaitan sumber asal, status hadis dan hukum syarak.

Walaupun ia diamalkan secara meluas, sebahagian umat Islam masih tertanya-tanya: apakah amalan ini termasuk dalam sunnah? Adakah ia satu bentuk bid‘ah? Dan apakah pandangan sebenar para ulama, khususnya dalam Mazhab Syafie?

Untuk menjawab persoalan-persoalan ini, berikut adalah huraian lengkap berdasarkan pendirian mazhab dan fatwa ulama semasa.

Pandangan Mazhab Syafie

Dalam Mazhab Syafie, hukum membaca doa akhir dan awal tahun Hijrah dikategorikan sebagai harus dan digalakkan (mustahab), selama mana ia tidak dianggap sebagai sunnah khusus yang disyariatkan oleh Nabi Muhammad ﷺ.

Ulama Syafie menjelaskan bahawa doa pada dasarnya adalah satu bentuk ibadah yang tidak terikat dengan lafaz atau waktu tertentu, selagi mana ia tidak bercanggah dengan prinsip asas syariat.[6]

Justeru, menyusun dan membaca doa pada waktu-waktu tertentu seperti penghujung dan permulaan tahun Hijrah adalah termasuk dalam ruang lingkup amalan yang diharuskan syarak.

Imam al-Syafie sendiri menyebut dalam al-Risalah bahawa setiap perkara baharu yang selari dengan syariat dan tidak bertentangan dengan al-Quran dan sunnah adalah bid‘ah hasanah, dan ini menjadi asas kepada banyak amalan baik yang tidak wujud pada zaman Nabi tetapi diterima sebagai ibadah yang sah.[7]

Hal ini juga disokong oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari, yang menyatakan bahawa menentukan waktu tertentu untuk ibadah sunat adalah harus, jika ianya tidak disandarkan sebagai sunnah khusus dan dilakukan atas dasar keinginan untuk mendekatkan diri kepada Allah.[8]

Maka, membaca doa akhir tahun selepas Asar pada 29 atau 30 Zulhijjah, dan doa awal tahun selepas Maghrib 1 Muharram, dilihat sebagai amalan yang terpuji dan selari dengan kaedah syarak, selagi tidak diyakini sebagai sunnah Nabi ﷺ secara langsung atau disandarkan kepada hadis tertentu yang tidak sahih.

Pandangan Mazhab Lain & Ulama Kontemporari

Secara umum, tiada kenyataan rasmi daripada imam mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali mengenai amalan ini, kerana ia muncul kemudian dan bukan pada zaman awal Islam.

Namun begitu, ulama kontemporari daripada pelbagai latar telah memberikan pandangan yang jelas dan membenarkan amalan ini.

Antaranya ialah Dar al-Ifta’ Mesir melalui Mufti Besar Mesir, Syeikh Dr. Syauqi Allam. Beliau menegaskan bahawa membaca doa akhir dan awal tahun adalah amalan yang baik dan dibolehkan syarak, bahkan termasuk dalam amalan zikir dan doa yang dianjurkan secara umum oleh Allah SWT dan RasulNya.[9]

Beliau juga menyebut bahawa melarang orang lain daripada berdoa semata-mata kerana tiada dalil khusus adalah sikap melampau dalam agama, yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana ulama muktabar sepanjang sejarah.

Pandangan ini turut dikongsi oleh Mufti Wilayah Persekutuan (Datuk Dr. Zulkifli al-Bakri), yang menjelaskan bahawa amalan ini termasuk dalam kategori ibadah sunat yang mubah, selagi tidak disandarkan kepada dalil yang tidak sahih dan tidak dianggap sebagai sunnah muakkad.[10]

Beliau menegaskan bahawa hukum membaca doa ini adalah harus, dan tidak wajar dipertikaikan kerana ia termasuk dalam amalan umum yang digalakkan.

Majlis Ulama Indonesia (MUI) dan institusi agama rasmi seperti JAKIM, MUIS Singapura, dan Jabatan Mufti Negeri-negeri di Malaysia juga secara konsisten mengedarkan doa ini setiap tahun kepada masyarakat sebagai galakan amalan pada malam 1 Muharram.

Ini menunjukkan bahawa pihak berautoriti tidak melihatnya sebagai satu amalan yang bercanggah dengan prinsip syariat.

doa tahlil arwah

Salah satu isu yang sering dibangkitkan ialah dakwaan bahawa doa ini adalah bidaah yang tidak bersumber daripada Rasulullah ﷺ.

Sebenarnya, sesiapa yang melarang orang berdoa dengan alasan Nabi tidak berdoa adalah orang yang rosak akalnya. Tidak ada seorang pun orang yang cerdik akan berdalil seperti itu.[11]

Berdoa adalah ibadah yang sangat dituntut dan berdoa adalah inti bagi ibadah. Tidak ada sebarang larangan berdoa mengikut tahun atau bulan atau minggu atau hari atau seumpamanya.[12]

Berdoalah setiap masa dan siapa yang lebih kerap berdoa maka lebih kasih Allah kepadanya.

Belum pernah ada seorang pun ulamak muktabar yang ada mengharamkan atau melarang orang berdoa.

Ada juga yang menyebarkan hadis-hadis yang mengandungi kelebihan tertentu berkaitan doa ini, seperti kononnya syaitan akan kecewa atau bahawa seseorang akan dilindungi setahun penuh daripada syaitan jika membacanya sedangkan semua hadis yang menyebut perkara ini adalah palsu dan tidak thabit daripada mana-mana sanad yang sahih.[13]

Namun, para ulama menjelaskan bahawa kewujudan hadis palsu tidak menjadikan isi doa itu sendiri haram atau tertolak, selagi isi kandungan doa tersebut baik dan tidak bercanggah dengan ajaran Islam.[14]

Apa yang perlu dielakkan ialah menyandarkan fadilat palsu tersebut kepada Nabi ﷺ atau mempercayai ia sebagai janji Allah yang sahih.

Berkenaan isu bidaah pula, para ulama Syafie telah menjelaskan secara jelas perbezaan antara bidaah hasanah (perkara baru yang terpuji) dan bidaah yang sesat. Membaca doa yang baik, walaupun tidak dilakukan oleh Nabi ﷺ secara khusus, tidak menjadikannya bidaah yang tercela.[15]

Imam Nawawi dalam al-Adzkar turut menyusun pelbagai doa yang tidak dinisbahkan kepada Nabi tetapi dianggap sebagai zikir dan munajat yang baik untuk diamalkan.

Maka, pendekatan ulama Islam bukanlah menolak semua amalan yang tidak disebut secara khusus oleh Nabi, tetapi menilai kesesuaian kandungan dan prinsipnya dengan syariat.

Ringkasnya:

  • Hukum membaca doa akhir dan awal tahun adalah HARUS dan DIGALAKKAN, selama tidak diyakini sebagai sunnah khusus daripada Nabi ﷺ.
  • Tidak wajib dan bukan sunnah muakkad. Elakkan menyebarkan fadilat yang tidak sahih atau menyandarkan hadis palsu kepada Rasulullah ﷺ.

Hormati perbezaan pendapat dan jauhi perbalahan dalam isu furu‘ (cabang ibadah).

Kelebihan & Hikmah doa akhir tahun dan awal tahun

Berikut adalah antara hikmah dan nilai yang terkandung dalam amalan ini:

1. Muhasabah Dosa dan Taubat

Doa akhir tahun memberi ruang kepada seseorang untuk merenung kembali perjalanan hidupnya sepanjang tahun yang lalu.

Kandungan doa tersebut menekankan pengakuan terhadap dosa dan kelalaian yang dilakukan, serta permohonan keampunan daripada Allah SWT.

Ini bertepatan dengan konsep muhasabah yang sangat digalakkan dalam Islam, sebagaimana sabda Nabi Muhammad ﷺ:

“Orang yang bijak ialah orang yang menilai dirinya dan beramal untuk kehidupan selepas mati.” (Hadis riwayat Tirmizi, hasan)[16]

Amalan ini mengajak seorang Muslim tidak menangguhkan taubat, dan melihat akhir tahun sebagai masa terbaik untuk memohon ampun sebelum lembaran baru dibuka.

2. Azam dan Perlindungan untuk Tahun Baharu

Isi kandungan doa awal tahun pula menumpukan kepada permohonan perlindungan daripada syaitan dan kejahatan nafsu, serta harapan untuk mendekatkan diri kepada Allah sepanjang tahun baharu. Ia mencerminkan azam dan tekad untuk menjadi insan yang lebih baik.

Amalan ini membantu seseorang memulakan tahun baharu dengan penuh kesedaran, serta meletakkan matlamat yang berpaksikan keredhaan Allah, bukan sekadar azam duniawi. Ini selari dengan adab Islam dalam menyusun niat dan tujuan hidup.

3. Menyatakan Kesyukuran atas Nikmat Yang Berlalu

Doa akhir tahun bukan hanya berisi istighfar, bahkan turut mengandungi penghargaan terhadap amal baik yang dilakukan dan permohonan agar ia diterima oleh Allah SWT.

Ini mendidik seorang Muslim agar sentiasa bersyukur atas taufik dan hidayah, serta tidak merasa bangga atau riak dengan amalannya.

Dengan menyebut secara langsung tentang amal yang diterima, doa ini juga mengingatkan kita bahawa tiada jaminan amal diterima, melainkan dengan rahmat Allah.

Justeru, ia melahirkan rasa tawaduk dan rendah hati dalam beribadah.

4. Meningkatkan Husnuzon dan Tawakkal

Kedua-dua doa mengandungi lafaz yang penuh harapan dan kebergantungan kepada Allah SWT.

Doa akhir tahun diakhiri dengan permohonan agar Allah tidak memutuskan harapan hambaNya, manakala doa awal tahun memohon agar segala usaha dalam tahun mendatang diberkati dan dipermudahkan.

Ini memberi kesan yang besar, kerana ia menanam sifat husnuzon (sangka baik) terhadap Allah, dan melatih diri untuk bertawakkal kepadaNya dalam menghadapi cabaran dan ketidaktentuan tahun baharu.

5. Mengukuhkan Ukhuwwah

Apabila doa ini dibaca secara berjemaah sama ada di masjid, surau, sekolah atau dalam keluarga ia menjadi medium pengukuhan ukhuwwah Islamiah.

Umat Islam berkumpul dengan satu tujuan: menutup tahun dengan taubat, dan membuka tahun dengan doa dan harapan.

Amalan ini juga membentuk identiti kolektif masyarakat Islam dalam menyambut tahun baru Hijrah secara bermakna, bukan dengan hiburan atau kelalaian.

Bagi saudara baru (muallaf), ia juga membuka ruang untuk mengenali budaya Islam setempat dan merasai kebersamaan dalam ibadah.

6. Membezakan Sambutan Tahun Baru Islam dengan Tahun Baru Masihi

Dalam dunia hari ini, sambutan tahun baru Masihi sering dikaitkan dengan hiburan, pesta, dan perkara melalaikan.

Doa akhir dan awal tahun Hijrah memberikan alternatif yang lebih bermakna dan berpaksikan nilai Islam dalam menyambut tahun baharu.

Ia mengingatkan umat Islam bahawa permulaan tahun seharusnya dikaitkan dengan doa, harapan, dan muhasabah, bukan dengan kelalaian dan perkara yang sia-sia.

Ini selari dengan prinsip Islam dalam mengisi waktu dan memperbaharui niat hidup.

Berikut ialah beberapa soalan yang sering ditanya berkenaan amalan membaca doa akhir dan awal tahun Hijrah. Kami susun jawapan ini bagi membantu anda memahami isu ini dengan lebih jelas sama ada dari segi hukum, asal-usul, waktu amalan, dan pandangan ulama.

Jika anda masih mempunyai kekeliruan selepas membaca panduan ini, jangan segan untuk bertanya di ruangan komen. Kami akan cuba membantu sebaik mungkin, insya-Allah.

Apakah maksud doa akhir dan awal tahun Hijrah?

Doa akhir tahun dibaca pada penghujung Zulhijjah sebagai muhasabah dan permohonan ampun. Doa awal tahun dibaca selepas masuk 1 Muharram untuk memohon perlindungan, taufik dan keberkatan sepanjang tahun baharu.

Adakah amalan ini wajib atau sunnah?

Ia bukan wajib dan bukan juga sunnah muakkad. Ulama Mazhab Syafie mengklasifikasikannya sebagai amalan harus dan digalakkan (mustahab) kerana kandungannya baik dan selari prinsip doa umum.

Dari mana asal lafaz doa ini?

Lafaz popular bersumber daripada kitab-kitab doa Nusantara seperti Majmū‘ Syarīf. Ia tidak diriwayatkan secara sahih daripada Nabi ﷺ, namun dibenarkan kerana maknanya baik.

Siapa yang mula mengamalkannya?

Ulama dan masyarakat Melayu bermazhab Syafie memperkenalkannya sebagai pengisian Maal Hijrah. Kini diamalkan meluas di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura.

Adakah terdapat hadis sahih berkaitan doa ini?

Tiada hadis sahih yang menetapkan doa khusus pada akhir atau awal tahun.

Mengapa ada ulama yang menolak perbuatan ini?

Sebahagian ulama Salafi berpendapat setiap ibadah memerlukan nas khusus. Tanpa dalil, mereka menganggapnya bid‘ah. Namun mereka tidak melarang berdoa secara umum.

Apakah pendirian institusi fatwa rasmi?

Dar al-Ifta’ Mesir, Mufti Wilayah Persekutuan, dan banyak mufti Nusantara mengiktiraf doa ini sebagai amalan harus yang membawa kebaikan jika tidak disandarkan fadilat palsu.

Bilakah waktu terbaik membaca doa akhir tahun?

Selepas solat Asar pada 29 atau 30 Zulhijjah hingga sebelum azan Maghrib. Jika terlepas, boleh dibaca pada bila-bila masa sebagai doa umum.

Bolehkah saya membaca dalam Bahasa Melayu?

Boleh. Doa akan lebih khusyuk jika difahami maksudnya. Lafaz Arab disertakan untuk rujukan, tetapi terjemahan atau doa sendiri dibenarkan.

Bolehkan doa dibaca berjemaah dengan suara kuat?

Harus selagi tidak dianggap wajib dan tidak mengganggu ibadah lain. Imam membaca, makmum mengaminkan, sama seperti doa selepas solat.

Adakah doa akhir & awal tahun boleh dikiaskan kepada perbuatan Nabi ﷺ berdoa ketika melihat hilal?

Ya. Nabi ﷺ membaca doa khusus setiap kali terlihat anak bulan (riwayat Tirmizī no. 3451, ḥasan). Ulama Syafie mengqiaskan: jika awal setiap bulan dianjurkan doa, awal tahun lebih utama. Ibn Hajar menegaskan menetapkan waktu ibadah sunat adalah harus; fatwa Mufti WP dan Dar al-Ifta’ Mesir mengiktirafnya sebagai bidʿah ḥasanah, bukan wajib.

Penutup

Tahun baharu Hijrah bukan sekadar pertukaran angka dalam kalendar, tetapi ruang istimewa untuk menilai semula perjalanan iman, mensyukuri nikmat, dan memperbaharui azam.

Doa akhir dan awal tahun yang dibincangkan di atas hanyalah salah satu jalan mudah untuk menghidupkan detik tersebut iaitu mengakhiri tahun dengan istighfar dan membuka tahun baharu dengan harapan perlindungan serta taufik daripada Allah SWT.

Walaupun amalan ini tidak wajib, ia selari dengan semangat hijrah yang menyeru setiap Muslim agar sentiasa bergerak ke arah kebaikan. Bacalah doa ini dengan kefahaman, khusyuk, dan hati yang jujur; jauhi dakwaan fadilat palsu; dan jadikannya pemula kepada perubahan diri yang lebih bermakna sepanjang tahun mendatang.

Jika artikel ini bermanfaat, kongsikanlah bersama sahabat dan keluarga—semoga lebih ramai mendapat panduan yang tepat. Anda juga dipersilakan meninggalkan sebarang pertanyaan di ruangan komen. Semoga Allah menerima setiap usaha kecil kita dan memberkati langkah baharu yang bakal kita tempuh.

Selamat menyambut Maal Hijrah, dan semoga tahun ini membawa ketenangan, keselamatan, dan keberkatan untuk kita semua.

Nota Kaki

  1. Peristiwa hijrah Nabi ﷺ dari Makkah ke Madinah berlaku pada tahun 622 M. Rujuk: Ibn Hishām, Al-Sīrah al-Nabawiyyah, ed. Suhail Zakkār (Beirut: Dār al-Fikr, 1997), jil. 2, hlm. 132; dan al-Ṭabarī, Tārīkh al-Umam wa al-Mulūk, ed. de Goeje (Leiden: Brill, 1888), jil. 2, hlm. 233. ↩︎
  2. Majmūʿ Syarīf Kāmil (Surabaya: Al-Hidayah, t.t.), hlm. 171-173; dan Perukunan Melayu (Jakarta: Pustaka Al-Aidrus, t.t.), hlm. 55-56. Kedua-dua naskhah doa tradisional ini memuatkan lafaz “Doa Akhir Tahun” dan “Doa Awal Tahun” beserta fadhilatnya, lalu tersebar luas sebagai rujukan masyarakat Melayu-Nusantara sejak awal abad ke-20. ↩︎
  3. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), “Doa Akhir Tahun & Awal Tahun Hijrah”, hantaran Facebook rasmi MyJAKIM, 6 Julai 2024. Hantaran ini memaparkan poster rasmi teks doa akhir dan awal tahun Hijrah 1446H serta waktu bacaannya; ia dikongsi setiap tahun sempena sambutan Maal Hijrah bagi memudahkan masyarakat. ↩︎
  4. Al-Ḥāfiẓ Ibn Ḥajar al-ʿAsqalānī, Fatḥ al-Bārī Syarḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, jil. 7, hlm. 268-269 (Beirut: Dār al-Maʿrifa, t.t.). Ketika mensyarahkan hadis no. 3934, beliau menukilkan riwayat-riwayat berkenaan mesyuarat para sahabat pada zaman ʿUmar r.a. yang mempertimbangkan empat cadangan sebagai permulaan takwim Islam: kelahiran Nabi ﷺ, pelantikan baginda sebagai Rasul, hijrah ke Madinah, dan kewafatan baginda. Para sahabat akhirnya sepakat memilih peristiwa hijrah kerana ia menjadi pemisah antara kebenaran dan kebatilan serta mempunyai tarikh yang paling jelas. ↩︎
  5. Al-Ḥāfiẓ Ibn Ḥajar al-ʿAsqalānī, Fatḥ al-Bārī Syarḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, jil. 7, hlm. 270. Beliau merumuskan: “Sebab Muharram dipilih sebagai bulan pertama ialah kerana niat serta azam hijrah telah bermula sebaik selesai Baiah ʿAqabah pada Zulhijjah, lalu Muharram menjadi bulan penuh pertama dalam fasa hijrah. Hujah ini dianggapnya paling kukuh tentang kemunasabahan menjadikan Muharram sebagai permulaan takwim Islam.” ↩︎
  6. Imam al-Nawawī, al-Azkār, tahqīq Ḥ. ʿAbd al-Qādir al-Arnaʿūṭ (Beirut: Dār al-Nafāʾis, 2011), hlm. 34-35. Dalam muqaddimah, beliau menegaskan bahawa berdoa “tidak terikat dengan lafaz atau waktu tertentu” selagi maknanya baik dan tidak menyalahi syarak, justeru apa-apa doa tambahan dikira mustahab, bukan bidʿah tercela. Perkara ini dijadikan asas oleh fuqahāʾ Syāfiʿiyyah untuk mengharuskan amalan doa akhir dan awal tahun selagi tidak dianggap sunnah khusus ↩︎
  7. Imām al-Shāfiʿī, al-Risālah (tahqīq Aḥmad Muḥammad Shākir, Kaherah: Maktabah al-Kulliyyāt al-Azhariyyah, 1973), hlm. 507. Beliau menegaskan: “Perkara baharu (muḥdathāt) terbahagi dua – yang bertepatan dengan al-Qur’an, Sunnah, Ijmāʿ dan Athar, maka itulah ‘bidʿah ḥasanah’; manakala yang menyanggahi nas, itulah ‘bidʿah ḍalālah’.” Kenyataan ini menjadi sandaran fuqahāʾ Syāfiʿiyyah dalam mengharuskan amalan baik yang timbul selepas zaman Nabi ﷺ selagi tidak bertentangan syariat. ↩︎
  8. Al-Ḥāfiẓ Ibn Ḥajar al-ʿAsqalānī, Fatḥ al-Bārī Syarḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, jil. 3, hlm. 69, ketika mensyarahkan hadis “كَانَ يَأْتِي قُبَاءَ كُلَّ سَبْتٍ” (Nabi ﷺ menziarahi Masjid Qubāʾ setiap hari Sabtu). Beliau merumuskan bahawa hadis ini menjadi dalil harusnya menetapkan waktu tertentu bagi amalan sunat selagi tidak diyakini sebagai sunnah khusus yang diwajibkan, sebaliknya dilakukan atas keinginan mendekatkan diri kepada Allah. ↩︎
  9. Fatwa oleh Syeikh Dr. Syauqi Allam, Mufti Besar Mesir, “أدعية نهاية العام الهجرى وبدايته.. هل تجوز شرعاً؟.. الإفتاء تجيب” (Adʿiyah Nihāyah al-ʿĀm al-Hijrī wa Bidāyatuh.. Hal Tajūz Sharʿan? al-Iftāʾ Tujīb), Masrawy, memetik portal rasmi Dar al-Iftāʾ, 22 Ogos 2019. Melalui laman rasmi Dar al-Ifta’, beliau menegaskan bahawa doa akhir dan awal tahun tergolong zikir yang baik, dibolehkan syarak, dan amalan melarangnya adalah tidak berasas. ↩︎
  10. Pejabat Mufti WP, “Bayan Linnas Siri 212: Hijrah Itu Membawa Kejayaan”, 31 Ogos 2019 – Mufti menegaskan keharusan doa. ↩︎
  11. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Bayan Linnas Siri ke-212: Hijrah Itu Membawa Kejayaan, 30 Zulhijjah 1440 H / 31 Ogos 2019. Dalam ruangan “Penutup”, Mufti menekankan bahawa amalan berdoa pada penutup dan permulaan tahun Hijrah adalah harus dan wajar diteruskan selagi tidak disertakan dakwaan fadilat palsu. ↩︎
  12. Ḥadith “«الدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ»” – “Doa itu sendiri adalah ibadah.” Sunan Abī Dāwūd 1479, ṣaḥīḥ (al-Albānī); juga Jāmiʿ at-Tirmidhī 2969, ḥasan ṣaḥīḥ. Hadith ini menjadi dalil umum bahawa berdoa pada bila-bila masa dan dengan apa jua lafaz yang baik adalah tuntutan syarak. ↩︎
  13. Syeikh Jamāl al-Dīn al-Qāsimī menyebut secara tegas dalam Iṣlāḥ al-Masājid (Beirut: Dār al-Ihyāʾ, 1998), hlm. 86, bahawa “riwayat kononnya syaitan menyesal dan manusia terpelihara setahun penuh apabila membaca doa akhir atau awal tahun adalah tidak bersandar kepada mana-mana sanad sahih bahkan tergolong hadis mawdūʿ (palsu) yang tiada asalnya.” Kenyataan serupa dikeluarkan oleh Al-Lajnah ad-Dāʾimah lil-Iftāʾ Saudi (Fatwa no. 23529, jil. 17, hlm. 39) dan Markaz al-Fatwa IslamWeb (Fatwa no. 113659, 2008), masing-masing menegaskan bahawa semua fadilat spesifik berkenaan “syaitan kecewa” atau “dilindungi setahun penuh” tidak thābit dalam mana-mana kitab hadis yang muktamad. ↩︎
  14. Ibn Taymiyyah, Majmūʿ al-Fatāwā, jil. 22, hlm. 510: “Jika suatu zikir atau doa mengandungi makna yang benar, maka membacanya adalah dibolehkan walau tiada hadis sahih mengenainya, selama tidak diyakini sebagai sunnah khusus. Fatwa Lajnah ad-Dāʾimah lil-Iftāʾ (no. 19365, jil. 24, hlm. 179): “Hadis palsu tentang fadilat tidak menjadikan lafaz doa itu haram; yang dilarang ialah menyandarkannya kepada Nabi ﷺ. Orang ramai bebas berdoa dengan lafaz yang baik sesuai keperluan.” ↩︎
  15. Al-ʿIzz ibn ʿAbd al-Salām, Qawāʿid al-Aḥkām, jil. 2, hlm. 173-174, mengklasifikasikan bidʿah kepada lima hukum (wajib, haram, sunat, makruh, harus) dan menyenaraikan contoh zikir tambahan sebagai sunat. Ibn Ḥajar al-ʿAsqalānī, Fatḥ al-Bārī, jil. 4, hlm. 253, ketika mensyarahkan hadis “كُلُّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ”, menjelaskan bahawa larangan bidʿah khusus bagi perkara yang menyalahi nas, manakala “perkara baru yang baik” termasuk di bawah bidʿah ḥasanah. ↩︎
  16. Ḥadith «الكَيِّسُ مَن دَانَ نَفْسَهُ…» – “Orang bijak ialah yang menilai dirinya dan beramal untuk akhirat.” Riwayat Jāmiʿ at-Tirmidhī, no. 2459 (Kitāb Ṣifat al-Qiyāmah); dinilai ḥasan oleh at-Tirmidhī dan al-Albānī (Ṣaḥīḥ at-Tirmidhī). ↩︎
Photo of author

Muhamad Naim

Penulis utama dan ketua editor. Menubuhkan web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

40 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Mae
Mae
11 bulan yang lalu

Apa hukum memarahi dan memencilkan orang yang enggan membaca doa awal tahun dan akhir tahun ?

ani
ani
11 bulan yang lalu

Assalam..dalam doa akhir tahun baris 4.selepas ayat Wamaa ‘Amilna tertinggal ayat fiiHaa dalam tulisan jawi..maaf andai tersilap

Alhamdulilah,semoga dpt diteruskan amalan ini
Alhamdulilah,semoga dpt diteruskan amalan ini
1 tahun yang lalu

Zainuddin

Aishah
Aishah
1 tahun yang lalu

Alhamdulillah..,kongsi ilmu besar ganjaran pahala..🤲🏻🤲🏻

Rodzi
Rodzi
1 tahun yang lalu

Alhamdulillah..jazakumullahu khoir atas perkongsian..

amirul
amirul
1 tahun yang lalu

Alhamdulillah, perkongsian terbaik.. mohon kebenaran untuk share ya

Saadiah Abu Hasan
Saadiah Abu Hasan
2 tahun yang lalu

Suka. Terima kasih.

Hjh Maimunah
Hjh Maimunah
2 tahun yang lalu

Penerangan yang jelas mudah diikuti dan dufahami

Hafizan
Hafizan
2 tahun yang lalu

Assalamualaikum wbt…sya ingin brtanya yg doa akhir tahun tu baris ke 4….”alaihi Tawab” atau “Tsawab”…huruf Ta atau Tsa

Anonymous
Anonymous
3 tahun yang lalu

Assalamualaikum, ustaz, kalau uzur, boleh hanya membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun ini ke?