DAM HAJI & UMRAH: Jenis Dam & Bayarannya (Lengkap)

Panduan Dam Haji dan Umrah

Apakah maksud Dam bagi Haji dan Umrah?

Ini adalah panduan lengkap yang membincangkan masalah berkaitan Dam bagi ibadah Haji dan Umrah.

Semoga panduan ini membantu anda mengerjakan ibadah haji dan umrah dengan sempurna.

Dam ialah suatu denda atau kifarah yang diwajibkan ke atas seseorang yang melanggar pantang larang ihram atau meninggalkan perkara yang diwajibkan semasa mengerjakan Haji atau Umrah.

Antara perkara yang dikenakan dam adalah:

  • Melakukan Haji Tamattuk
  • Melakukan Haji Qiran
  • Melanggar 5 wajib Haji
  • Melanggar 12 larangan ihram (wajib Haji)
  • Luput wukuf selepas berniat Haji
  • Meninggalkan Tawaf Wada’
  • Melakukan dam ihsar (menamatkan haji)
  • Melanggar nazar semasa mengerjakan haji

Tidak semua jemaah melanggar segala jenis dam di atas. Hanya yang berkaitan sahaja.

Melontar Jamrah

Jenis-jenis Dam Haji dan Umrah terbahagi kepada 4 kategori iaitu:

  1. Dam Tertib dan Taqdir
  2. Dam Tertib dan Ta’dil
  3. Dam Takhyir dan Ta’dir
  4. Dam Takhyir dan Taqdir
  5. Dam Ihsar (Dam ini di bawah kategori Tertib dan Ta’dil)

Penjelasan bagi istilah ringkas di atas ialah:

  • Tertib. Ertinya tidak boleh berpindah kepada yang kedua kecuali lemah melakukan yang pertama dan begitu seterusnya.
  • Taqdir. Syarak telah menetapkan gantiannya.
  • Takhyir. Boleh membuat pilihan.
  • Ta’dil. Syarak menyuruh kita mentaksirkan gantiannya.
  • Ihsar. Situasi di mana seseorang yang sedang dalam keadaan ihram terhalang untuk menyelesaikan haji atau umrahnya. Halangan ini disebabkan oleh berbagai sebab, misalnya penyakit, keadaan darurat, atau halangan lain yang tidak terduga. Jika seseorang terhalang dalam situasi ihsar, maka ia perlu membayar Dam sebagai ganti.

Semua pelaksanaan dam atau fidyah hendaklah dibuat di Makkah kecuali Dam Ihsar disembelih kambing di tempat terhalang.

📗 Bagi rujukan dan kemudahan para jemaah, ringkasannya disertakan juga dalam panduan ini pada bahagian di bawah.

TERTIB Dan TAQDIR

Tertib bermakna satu demi satu, tidak boleh dipilih atau diganti dengan yang lain, kecuali tidak terdaya melakukannya. Dan “Taqdir” penentuan syarak sebagai gantian jika tidak berkuasa.

Kesalahan

Berikut adalah kesalahan yang tertakluk dibawah dam tertib dan taqdir ini:

  1. Tidak berihram di Miqat
  2. Ihram Tamattuk (dengan syarat-syaratnya)
  3. Ihram Qiran (dengan syarat-syaratnya)
  4. Luput wukuf di Arafah
  5. Tidak melontar Jamrah
  6. Tidak bermalam di Muzdalifah (dengan syarat-syaratnya)
  7. Tidak bermalam di Mina (dengan syarat-syaratnya)
  8. Meninggalkan Tawaf Wada
  9. Melanggar nazar dalam masa mengerjakan haji
Dam Yang Dikenakan

Berikut adalah dam yang dikenakan dibawah tertib dan taqdir:

  • Menyembelih seekor kambing ataupun kibas ataupun 1/7 lembu ataupun unta.
  • Jika tidak berkeupayaan – puasa 10 hari iaitu 3 hari di Mekah dan 7 hari setelah balik ke tanah air ataupun 10 hari di tanah air tetapi hendaklah di selangkan di antara 3 hari pertama dengan bakinya.
  • Dan jika tiada keupayaan – bayar 1 cupak makanan sebagai ganti bagi setiap hari puasa.
  • Dan jika tiada keupayaan juga – tertanggunglah di atas zimmahnya (kemampuannya)

TERTIB Dan TA’DIL

Ta’dil bermakna apabila seseorang tidak berkuasa mengeluarkan makanan hendaklah diganti dengan puasa.

Kesalahan

Berikut adalah kesalahan yang tertakluk dibawah dam tertib dan ta’dil ini:

  1. Persetubuhan yang merosakkan Haji, iaitu yang dilakukan sebelum Tahallul Awal
  2. Mengadakan persetubuhan semasa ihram umrah.
  3. Tertahan atau tertegah daripada menyempurnakan Haji / Umrah setelah berihram.
Dam Yang Dikenakan

Berikut adalah dam yang dikenakan di bawah kesalahan Tertib dan Ta’dil

1

Kesalahan Mengadakan Persetubuhan Semasa Masih Dalam Ihram

  • Menyembelih seekor unta.
  • Dan jika tidak keupayaan – menyembelih seekor lembu dan sebanding.
  • Dan jika tidak keupayaan – menyembelih 7 ekor kambing atau biri-biri.

  • Dan jika tidak keupayaan -
memberi makan kepada fakir miskin mengikut nilai harga seekor unta dan dibahagikan kepada fakir / miskin di Tanah Haram.
  • Dan jika tidak ada keupayaan – berpuasa beberapa hari mengikut jumlah cupak yang dibeli dengan nilai seekor unta.

Peringatan:
Kerja-kerja Haji atau Umrahnya tetap perlu disempurnakan dan wajib diqada’ (diulang) kembali pada tahun berikutnya.

2

Tertahan atau Tertegah daripada Menyempurnakan Haji / Umrah setelah Berihram

  • Hendaklah dia bertahallul (ishar) iaitu menyembelih seekor kambing dan bercukur / bergunting
  • Dan jika tiada upaya – membeli makanan mengikut nilai harga seekor kambing dan diberikan kepada fakir miskin tempat tahallul.
  • Dan jika tiada upaya – berpuasa mengikut bilangan cupak makanan yang dapat dibeli mengikut nilai harga seekor kambing.

TAKHYIR Dan TA’DIL

Takhyir bererti boleh dipilih satu daripada perkara-perkara yang ditetapkan

Kesalahan

Berikut adalah kesalahan yang tertakluk dibawah dam takhyir dan ta’dil ini:

  1. Memburu binatang buruan daratan yang halal dimakan sama ada di Tanah Haram ataupun Halal semasa dalam ihram atau menyimpannya.
  2. Mengerat, menebang ataupun mencabut pokok-pokok di dalam ihram kecuali yang telah kering (mati).
Dam Yang Dikenakan

Berikut adalah dam yang dikenakan di bawah kesalahan Takhyir dan Ta’dil

1

Kesalahan memburu binatang buruan di Tanah Haram

  • Menyembelih binatang mengikut bandingan binatang yang diburu. Kalau rusa bandingannya lembu, kalau kijang bandingannya kambing dan lain-lain.
  • Atau membeli makanan mengikut nilai harga binatang bandingan dan disedekahkan kepada fakir miskin Makkah.
  • Atau berpuasa mengikut bilangan cupak makanan yang dapat dibeli daripada nilai harga binatang bandingan, iaitu satu cupak satu hari.
2

Kesalahan mengerat, menebang atau mencabut pokok dalam Tanah Haram

  • Sama seperti di atas, iaitu mengikut bandingan pokok yang dikerat / ditebang / dicabut. Kalau pokok besar bandingannya lembu, kalau pokok kecil bandingannya kambing.
  • Jika tidak mampu — maka damnya sama seperti peraturan dam memburu binatang buruan iaitu perlu bersedekah makanan atau berpuasa.

Catatan

  • Membunuh binatang dan membinasakan pokok di Tanah Haram adalah berdosa dan dikenakan dam bagi semua, sama ada dalam ihram atau tidak di Tanah Mekah dan berdosa serta tidak dikenakan dam di Tanah Haram yang lain.
  • Diharam memindahkan Tanah Haram ke Tanah Halal ataupun di antara ke satu tanah Haram yang lain.

TAKHYIR Dan TAQDIR

Ini adalah Dam yang paling ringan. Ia mempunyai ketetapan pada barang yang boleh diganti (boleh dipilih).

Kesalahan

Berikut adalah kesalahan yang tertakluk dibawah dam takhyir dan taqdir ini:

  1. Membuang / mencabut / menggunting 3 helai rambut ataupun bulu dari mana-mana anggota badan.
  2. Memakai pakaian yang dilarang dalam ihram.
  3. Mengerat ataupun mencabut kuku.
  4. Memakai minyak di kepala, janggut dan semua bulu muka kecuali bulu yang tumbuh di dahi ataupun pipi.
  5. Memakai wangi-wangian.
  6. Bercumbu-cumbuan (permulaan persetubuhan)
  7. Melakukan persetubuhan selepas selesai Tahalul Awal, tetapi belum selesai Tahallul Thani.
  8. Melakukan persetubuhan kali kedua sebelum menyempurnakan umrah yang telah rosak disebabkan persetubuhan pertama.
Dam Yang Dikenakan

Berikut adalah dam yang dikenakan di bawah kesalahan Takhyir dan Taqdir. Dam ini boleh dipilih salah satu

  • Menyembelih seekor kambing
  • Ataupun memberi sedekah kepada 6 orang fakir miskin sebanyak dua cupak setiap seorang.
  • Ataupun berpuasa 3 hari.

NOTA:
Sekiranya rambut itu tidak dibuang sekaligus ataupun dipotong 3 kali berturut-turut, maka damnya ialah 1 cupak bagi sehelai rambut dan 1 kuku.

Bagi masalah gugur rambut sama ada dengan sengaja atau tidak yang kurang dari 3 helai atau 3 kuku, maka Dam-nya adalah bersedekah kepada fakir miskin secupak sehelai setiap kali pelanggaran. Jika melebihi 3 helai atau 3 kuku barulah dibayar dam mengikut pilihan di atas.

DAM IHSAR

Maksud Dam Ihsar

Dam ihsar bermaksud dam untuk melepaskan diri daripada larangan ihram bagi seseorang yang sudah berniat ihram tetapi tidak dapat menyelesaikan rukun hajinya atau rukun umrahnya atau kedua-duanya disebabkan peperangan, musuh, wabak, penyakit dan sebagainya.

Dam Ihsar juga dapat dilakukan oleh wanita yang datang haid dan tidak dapat melakukan tawaf haji / umrah kerana terpaksa balik segera ke tanah air, atau pesakit yang berpenyakit berat yang terpaksa dihantar balik ke malaysia untuk rawatan lanjut.

Apabila wanita itu telah suci dan mandi hadas besar, atau pesakit berat telah sembuh daripada penyakitnya, hendaklah dia pergi lagi ke tanah suci Makkah bagi menyelesaikan haji / umrahnya (hanya bagi haji dan umrah wajib)

Dam Yang Dikenakan
  • Menyembelih seekor kambing dan bercukur / bergunting, atau jika tidak mampu;
  • Hendaklah membeli makanan dengan nilai seekor kambing dan dibahagikan kepada fakir miskin di tempat tahallul itu. Dan jika tidak berkuasa;
  • Hendaklah berpuasa beberapa hari sebanyak bilangan cupak makanan yang dapat dibeli dengan nilai seekor kambing

Cara Melaksanakan Dam Ihsar

Setelah keluar dari makkah sejau dua marhalah atau lebih kurang 91 kilometer atau setelah tiba di tanah air, hendaklah:

  • Menyembelih seekor kambing dan bercukur atau bergunting dengan niat tahallul, dan daging sembelihan itu dibahagikan kepada fakir miskin tempatan. Niatnya: “aku menyembelih kambing ini sebagai dam ihsar untuk tahallul nusukku.”
  • Jika tidak mampu hendaklah membeli makanan dengan nilai seekor kambing dan bercukur atau bergunting dengan niat tahallul, dan makanan itu dibahagikan kepada fakir miskin tempatan. Niatnya: “aku bersedekah makanan sebagai ganti menyembelih kambing dam ihsar untuk tahallul nusukku (haji/umrah)”
  • Jika tidak mampu juga, hendaklah berpuasa beberapa hari sebanyak bilangan cupak makanan yang dapat dibeli dengan nilai seekor kambing (1 cupak = 1 hari) dan bercukur atau bergunting dengan niat tahallul. Niatnya: “aku puasa esok hari sebagai ganti menyembelih kambing dam ihsar untuk tahallul nusukku (haji/umrah).”

Dengan berpuasa dan bercukur atau bergunting dengan niat tahallul ihsar itu, maka terhasillah tahallulnya meskipun bilangan hari puasanya belum selesai.

Dalam urusan Dam ada dua keadaan yang menentukan wajib dam atau dimaafkan, iaitu:

  1. ITLAF — Bermaksud membinasakan keaslian atau mengubahnya seperti gugur bulu atau rambut, mencabut tumbuh-tumbuhan di Tanah Haram atau membinasakan kuku juga memburu.

    Maka wajib bayar dam sama ada sengaja atau terlupa kerana merosakkan keaslian seperti tergugur rambut kerana mandi dan sebagainya. Bezanya ialah kalau sengaja berdosa dan jika sebaliknya tidak berdosa.

    Namun bagi wanita yang mandi mengangkat hadas besar, setelah bersih daripada haid tidak dikenakan dam jika rambut tergugur.
  2. TARAFFUH — Ertinya melanggar tetapi tidak membinasakan. Contohnya seorang lelaki tersilap menutup kepala secara tidak sengaja atau terkena minyak wangi lalu segera dicuci, maka dia tidak dikenakan dam dan dimaafkan jika tidak sengaja. Ini kerana dia tidak membinasakan apa-apa.

    Selain itu dimaafkan juga jika dia seorang yang jahil dan tidak tahu akan larangannya.

Soalan Lazim Berkaitan Dam

Berikut adalah beberapa soal jawab bagi soalan lazim yang berkaitan dengan Dam Haji & Umrah:

Bolehkah berhutang untuk membayar Dam?

Hukumnya harus.

Bolehkah Dam itu dibayar di Malaysia?

Boleh membayar di Malaysia tetapi melaksanakannya hendaklah di Makkah dan dagingnya juga dibahagikan kepada fakir miskin dan ahli-ahli Makkah sahaja.

Adakah mencabut gigi dikenakan Dam?

Tidak, kerana ianya tidak termasuk dalam perkara-perkara larangan dalam Ihram.

Adakah dikenakan Dam membunuh nyamuk atau lalat?

Tidak dikenakan Dam, harus membunuhnya.

Seseorang berniat Ihram Haji, sebelum Wuquf dia meninggal dunia, adakah dikenakan Dam?

Tidak dikenakan Dam.

Adakah dikenakan Dam seorang yang berihram dan mimpi bersetubuh?

Tidak dikenakan Dam.

Sebab apakah seseorang itu wajib membayar Dam?

Seseorang itu wajib membayar Dam dengan sebab atau lebih dari pekara-perkara berikut:

1. Melakukan perkara yang dilarang dalam masa berihram.

2. Meninggalkan perkara-perkara wajib Haji dan Umrah.

3. Membuat Haji Tamattu’ atau qiran (menurut syarat-syarat yang wajib dibayar Dam)

4. Luput Wuquf di Arafah bagi mereka yang tiada uzur syar’ie.

5. Meninggalkan Tawaf Wada bagi mereka yang tidak ada uzur syar’ie

6. Berlaku Ihsar bagi orang yang telah berniat Ihram (terhalang daripada menyempurnakan Wuquf di Arafah, Tawaf atau Sa’ie dengan sebab ketakutan daripada musuh, penyakit dan sebagainya).

7. Melanggar Nazar dalam masa mengerjakan haji.

Apakah syarat-syarat binatang yang hendak dijadikan Dam?

Syarat-syaratnya sama seperti syarat-syarat bagi binatang-binatang yang memadai dijadikan Quran iaitu:

1. la hendaklah dari binatang jenis unta, lembu, kibasy atau kambing.

2. Cukup umur iaitu:
(i) Unta: Cukup umur lima tahun masuk enam tahun.
(ii) Lembu, kerbau dan kambing: Cukup umur dua tahun masuk kepada tiga tahun.
(iii) Kibasy: Cukup umur satu tahun masuk kedua tahun atau telah bersalin dua gigi hadapan.

3. Tidak ada kecacatan dan tidak terlalu kurus, tidak terkerat ekor atau terputus telinga, tempang, terpotong lidah dan lain-lain

Perhatian:

1. Hendaklah berniat menyempurnakan Dam dan jenisnya pada ketika menyembelih.

2. Harga kambing, lembu atau unta adalah mengikut harga pasaran pada satu-satu masa.

(Lembu dan unta boleh dibuat 7 Dam manakala kambing adalah untuk 1 Dam)

Seorang yang melakukan Haji Tamattu’ membuat Umrah berulang-ulang kali sebelum Haji, adakah ia dikenakan berulang kali Dam?

Dikenakan Dam hanya sekali sahaja walaupun melakukan Umrah berkali-kali.

Apakah jenis dam yang wajib dibayar oleh mereka yang berniat Ihram di Jeddah? Dan adakah dikenakan dam jika dia tidak memakai pakaian Ihram di Miqat?

Dia dikenakan Dam Tertib dan Taqdir sebab meninggalkan Miqat semasa berniat Ihram kerana Jeddah bukan Miqat.
 
Hukum tidak memakai pakaian Ihram semasa / selepas berniat di Miqat adalah:
 
1.    Jika dengan sengaja dikenakan Dam Takhyir dan Taqdir serta berdosa.
 
2. Sekiranya dengan keadaan jahil / lupa/ tidak sengaja dan segera memakai Ihram bila teringat / diingatkan maka dia tidak dikenakan Dam

Seorang masuk ke Makkah tidak berniat Ihram di Miqat kerana sakit. Setelah dia sembuh, barulah dia berniat Ihram. Adakah dia dikenakan Dam?

Dia dikenakan Dam kerana tidak berihram di Miqat yang telah ditentukan oleh Rasulullah SAW

Seorang dalam Ihram mencabut sehelai bulu atau rambut dan sebelum sempat membayar dam dia mencabut sekali lagi yang berjumlah tiga helai rambut, adakah dikenakan Dam seekor kambing?

Pada setiap satu helai dikenakan dam satu cupak makanan (anggaran SR 5.00) dan pada masalah ini dikenakan tiga cupak makanan kerana ia berlainan masa.
 
Rujuk:
 
Minhaajut Talibin, juzu’. 2 muka surat 135 bermaksud:
 
“Kalau ia mencukupi 3 urat rambut di tiga masa yang berasingan (ia mencukur tiap-tiap seurat rambut pada tempat atau pada masa yang tidak sama hingga jadi 3 urat rambut) wajib ia membayar Dam bagi tiap-tap rambut yang gugur itu mengikut sekiranya rambut itu gugur sehelai (tiap-tiap sehelai dibayar satu cupak).”

Seseorang dalam Ihram, mandi kemudian ternampak rambut orang lain, adakah dikenakan Dam?

Tidak dikenakan Dam kecuali jika ia yakin rambut itu rambutnya dan gugurnya adalah hasil daripada perbuatannya seperti a menggosok-gosok kepala ketika mandi.

Seseorang lelaki yang sedang dalam Ihram melihat perempuan atau dilamun khayal lalu keluar air maninya, adakah dikenakan Dam?

Tidak dikenakan Dam

Adakah dikenakan Dam ke atas seorang yang berihram Umrah dan Umrah Sunat sebelum dia bercukur telah melakukan persetubuhan?

Jika dilakukan dalam keadaan berikut:
 
i.  Sengaja tidak dipaksa;
ii. Tahu akan haramnya;
iii.   Mumaiyiz (sudah dapat membezakan antara yang bersih dan yang kotor).
 
Maka wajib Dam ke atas lelaki sahaja iaitu Dam Tertib dan Ta’dil.
 
Hukum Umrah kedua-duanya batal (rosak) tetapi wajib ke atas kedua-duanya menghabiskan baki rukun-rukun Umrah yang belum dilaksanakan dan walib ke atas kedua-duanya yang mengqada’kan Umrah tersebut.

Adakah sah berwakil melakukan Dam tanpa niat?

Satu daripada syarat berwakil hendaklah yang (muwakil) itu melafazkan dengan lafaz yang menunjukkan redhanya. Oleh itu, tiada sah Wakalah (berwakil) dengan ketiadaan niat dan lafaz. Namun begitu sah Akad Wakalah dengan perbuatan di sertai niat الو كاله الفعلية

Seseorang yang dikenakan Dam Tertib dan Taqdir ia tidak mampu menyembelih binatang ternakan. Demikian juga tidak mampu berpuasa tiga hari di Tanah Suci, adakah dibolehkan ia berpuasa sepuluh hari kesemuanya di tanah air dan bagaimana caranya?

Boleh dia berpuasa sepuluh hari kesemuanya di tanah air dengan cara berikut:
 
la berpuasa 3 hari. Kemudian diselangi (tidak berpuasa) selama empat hari dan ditambah dengan tempo masa perjalanan yang menyampaikannya ke rumahnya dari Tanah Suci barulah ia berpuasa semula bagi hari keempat hingga hari kesepuluh.

Perlaksanaan puasa tersebut disunatkan berturut-turut.

Adakah dibolehkan Jemaah Haji yang telah dikenakan Dam berbentuk makanan seperti gandum atau beras diganti dengan bayaran wang?

Oleh kerana tidak ada yang mahu menerima dengan makanan seperti beras, gandum atau seumpamanya maka boleh ianya digantikan dengan wang yang sama nilainya dengan harga barang makanan itu.
 
Merujuk kitab al-Umm jilid 2, muka surat 215 bahawa Imam Syafi’e berkata yang bermaksud:

“Sesiapa yang meninggalkan Mina selain dari mereka yang aku telah sebutkan itu maka hendaklah ia bersedekah pada satu malam satu dirham dan pada dua malam dua dirham dan pada tiga malam satu Dam.”

Kami baru sahaja membayar Dam Tamattu kepada Tabung Haji dan kami tidak melakukan sebarang akad, tetapi berdasarkan resit serah / terima melalui akaun kami adakah sah pembayaran Dam tersebut?

Pembayaran Dam yang dibuat berdasarkan resit serah / terima melalui akaun masing-masing adalah sah kerana sahnya akad dengan perbuatan.

Jemaah Haji yang membayar Dam Ihsar adakah boleh digantikan dengan berpuasa?

Sekiranya ia tidak berkuasa menyembelih kambing maka diharuskan baginya berpuasa mengikut sebanyak secupak makanan yang dapat dibeli daripada harga nilai seekor kambing Dam, iaitu secupak makanan bagi sehari puasanya.

Adakah seseorang itu terlepas dari dosa kerana melakukan perkara-perkara yang diharamkan semasa berihram dengan membayar Dam?

Hukum melakukan perkara-perkara yang diharamkan semasa berihram sama ada terlepas dari dosa atau tidak terbahagi kepada empat hukum:

1. Tidak Berdosa dan Tidak Dikenakan Dam.

laitu melakukan perkara-perkara yang dilarang tetapi diharuskan kerana hajat seperti:
 
·      Lelaki memakai seluar kerana ketiadaan/ kehilangan kain.
·      Lelaki memakai kasut yang dipotong bahagian hujung jari dan tumit kerana ketiadaan selipar.
·      Mengikat sesuatu dengan perca kain kepada kemaluan lelaki berpenyakit Salisulbaul (tidak tus air kencing)
·      Mengangkat wangian seperti kasturi dengan tujuan memindahkannya dengan syarat masa mengangkatnya pendek.
·      Membunuh binatang buruan yang mengganas
·      Menyelematkan binatang buruan dari mulut binatang yang ganas dan binatang buruan itu menjadi mati.
·      Melakukan apa-apa perkara yang menjadi kenikmatan bersedap-sedap seperti memakai pakaian dan bau-bauan dengan keadaan lupa, jahil atau terpaksa.
 
2.     Berdosa Tetapi Tidak Wajib Bayar Fidyah.

laitu kerana melakukan perkara-perkara larangan seperti berikut:

·      Berakad nikah.
·      Memandang dengan syahwat.
·      Menolong orang lain sama ada orang itu dalam Ihram atau tidak membunuh binatang buruan walaupun hanya dengan menunjukkan atau meminjamkan alat buruan.
·      Memakan binatang buruan yang diburu oleh orang lain untuknya.
·      Melakukan perkara-perkara yang diharamkan semasa Ihram ke atas mayat yang masih dalam Ihram.
 
 
3. Wajib bayar Dam Tetapi Tidak Berdosa.
 
a)     Memakai pakaian berjahit (bersarung bagi lelaki dan menutup muka bagi perempuan kerana hajat (keperluan).
b)    Memotong / menghilangkan rambut atau kuku kerana sakit atau jahil.
c)     Menghalau binatang buruan dengan tada tujuan untuk membinasakannya dengan sebab perbuatannya itu.
d)    Menyembelih binatang buruan untuk dimakan kerana lapar yang darurat.
e)    Terbinasa binatang buruan dengan sebab ditendang atau digigit oleh binatang tunggangnya tapa taqsirnya (kecuaiannya)
 
4. Berdosa Dan Wajib Bayar Dam.
 
laitu kerana melakukan perkara-perkara yang dilarang selain dari perkara-perkara yang dilarang selain dari perkara dan keadaan yang disebutkan di atas.
 
Kesimpulannya:
 
1.     Dam tidak menghapuskan dosa.
 
2.     Melakukan perkara larangan dalam Ihram, tidak berdosa jika dilakukan dengan terlupa, tidak sengaja, terpaksa atau jahil.

Adakah dikenakan Dam seseorang yang sedang mengerjakan Sa’ie dipusingan pertama setibanya di Marwah digunting rambutnya oleh orang lain.

Jika bukan dengan ikhtiar dan persetujuan orang yang berihram itu sendiri semasa di dalam Sa’ie itu tiadalah dia dikenakan Dam. Sebaliknya Dam itu dikenakan ke atas orang yang mengguntingkan sama ada orang yang menggunting itu orang yang dalam Ihram atau halal sekalipun.
 
Tersebut keterangan di dalam Nihayatul Muhtaj, Juzuk 3, muka surat 338:
 
Bermaksud:

“Dan kalau mencukur/menggunting seseorang muhrim (di dalam Ihram) atau bukan seseorang bukan dalam Ihram akan kepala seseorang yang sedang dalam Ihram bukan dalam ikhtiarnya sebelum masuk waktu bercukur maka Damnya adalah dikenakan ke atas pencukurnya/pengguntingnya samalah seperti kalau dia melakukan yang demikian terhadap orang yang tidur atau orang gila atau orang yang tiada Taqsir dalam perkara tersebut dan kerana rambut nisbah kepada orang yang muhrim adalah sebagai Wadi’ah (suatu tanggungan amanah) bukan sebagai tanggungan pinjaman (jadi apabila rambut tersebut it dihukumkan sebagai Wadi’ah maka siapa yang merosakkannya dialah yang menanggungkannya, sebab itu maka Damnya dikenakan ke atas orang yang mencukur atau orang yang mengguntingkannya).”

Apakah Dam memotong satu kuku atau dua kuku atau tiga kuku atau lebih dalam waktu yang sama?

Dam memotong satu kuku wajib mengeluarkan satu cupak makanan, Dam memotong dua kuku wajib mengeluarkan mengeluarkan dua cupak makanan dan Dam memotong tiga atau lebih kuku pada masa yang sama wajib mengeluarkan Dam Takhyir dan Taqdir iaitu hendaklah menyembelih seekor kambing atau bersedekah kepada enam orang fakir miskin sebanyak dua cupak makanan tiap-tiap seorang atau berpuasa selama tiga hari.
 
— Rujuk: Manasik al-Haj, muka surat 191. cetakan Dar al-Hadith.
 

Jemaah Haji mengerjakan Haji Ifrad dan ia dikenakan Dam Takhyir dan Taqdir kerana memakai pakaian berjahit dan jemaah ini menukarkan pakaian untuk kali kedua dan seterusnya. Bagaimana kiraan Dam tersebut hendak dikira?

Sekiranya beliau telah membayar Dam di atas kesalahan yang pertama, maka beliau dikenakan Dam di atas kesalahan yang dilakukan berulang-ulang. Sebaliknya jika beliau belum membayar Dam maka dikenakan satu Dam sahaja sekalipun di atas kesalahan yang berulang-ulang. Kerana sebagai satu kesalahan yang sejenis.

Apakah Dam yang dikenakan jika seseorang dalam Ihram berasa was-was terhadap kerja-keria Haji atau Umrah yang sedang dilakukan khassnya terhadap pelanggaran larangan-larangan dalam Ihram?

Tidak ada Dam was-was. Jemaah Haji dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dalam penjagaan semasa berihram. Mereka hendaklah bersikap percaya kepada diri sendiri dan tidak membiarkan dirinya dilamun was-was kerana was-was itu adalah dari rasukan syaitan. Bersifat yakin adalah sebaik-baik jalan mengatasi perasaan was-was itu.

Pokok-pokok yang ditanam oleh Kerajaan Arab Saudi di Tanah Haram Makkah, adakah dikenakan Dam ke atas orang yang mematah, memotong atau mencabutnya?

Semua pokok di tanah Haram Makkah, sama ada yang tumbuh sendiri atau yang ditanam atau dicabut sekiranya ia berasal dari Tanah Haram. Maka dikenakan Dam ke atas orang yang , mematah, memotong atau mencabutnya sama ada ia di dalam Ihram atau tidak.
 
Sekiranya ia berasal dari Tanah Halal maka tidak haram. Ada pun beni daripada Tanah Halal ditumbuhkan di Tanah Haram kerana pokok diktibarkan kepada tempat tumbuhnya.

Memandangkan pokok-pokok yang ditanam oleh Kerajaan Arab Saudi di Tanah Suci itu tidak diketahui asalnya maka dinasihatkan ianya tidak dipatah, dipotong atau dicabut sebagai ihtiyat ( احتياط ). Damnya Takhyir dan Ta’dil.

Rujuk:
·      Nihayah al-Muhtaj juzuk 3 cetakan 1404 Hijrah mukasurat 353.
·      Sabiilul Muhtadim juzuk 2 muka surat 214.
 

Seorang Jemaah Haji hendak membayar Dam Tamattu’ selepas Hari Wuquf, supaya dengan tujuan menampung jika ada lagi kesalahan-kesalahan lain yang dikenakan Dam, maka dengan itu Dam Tamattu’ yang telah dilakukan selepas Umrah. Bolehkah menampung kesalahan-kesalahan lain?

Dam Tamattu’ boleh dibayar selepas Hari Wuquf tetapi Dam tersebut tidak boleh menampung Dam kesalahan-kesalahan lain.

Kuku jari tertanggal dengan sendiri, adakah dikenakan Dam?

Tidak dikenakan dam kerana tidak disengajakan jika kuku tersebut tidak tanggal sedangkan ia menganggu keadaan harus juga dikerat kuku itu tapa dikenakan dam.

Adakah dikenakan Dam apabila menanggalkan kulit bibir, kulit kaki dan tangan yang telah mengelupas dalam masa Ihram?

Harus ditanggalkan dan tidak dikenakan Dam.

Apakah hukumnya jika seseorang menyerah Dam Tamattu’nya kepada penuntut atau pelajar?

Diharuskan seseorang menyerahkan Dam Tamattu’ nya kepada penuntut akan tetapi tiada sah penyembelihan dam tersebut selagi ibadat Umrahnya belum selesai dilaksanakan.

Jika terbuka aurat perempuan seperti lengan, rambut, batang leher dan seumpamanya adakah dikenakan Dam?

Tidak dikenakan Dam.

Rambut saya mudah gugur dalam masa mandi / mengambil air solat, adakah ini dikenakan Dam?

Selagi keadaan rambut anda mudah gugur dengan tidak payah digosok atau diturut atau dilap maka tidak dikenakan Dam.

Bilakah masa melakukan Dam Tamattu’?

Waiib melaksanakan Dam Tamattu’ ketika niat, mengerjakan Haji, tetapi boleh dilakukan apabila selesai kerja-kerja Umrah.

Seorang bakal Haji tidak berniat umrah kerana sakit, beliau tidak boleh ke Madinah dan terus dimasukkan ke Hospital di Jeddah, kemudian dibawa ke Hospital Makkah dengan Ihram Tamattu’, apabila beliau sihat terus Tawaf dan Sa’ie, berapakah Dam yang dikenakan?

Beliau dikenakan satu Dam sahaja kerana mengerjakan Haji Tamttu’ iaitu Dam Tertib dan Taqdir.

Kami empat orang, mulakan Saie dari Marwah, apabila sampai 7 kali kami berada di Safa dan kami bergunting rambut itu kami teringat ini tidak betul lalu terus ke Marwah dengan bergunting lagi, adakah kami dikenakan Dam?

lanya dikenakan Dam kerana bergunting sebelum sempurna tujuh kali Sa’ie iaitu Dam Takhyir dan Taqdir.

Apakah hukum makan daging Dam sendiri?

Hukumnya tidak harus dimakan menurut Mazhab Syafi’e, tetapi menurut Mazhab Hanafi diharuskan.

Apakah hukum orang yang uzur syarie tidak kuasa melontar. Adakah boleh ia membayar Dam, walhal masih ada orang yang menggantikannya dengan sukarela atau dengan upahan.

la boleh berwakil orang lain melontar bagi dirinya dan tidak boleh ia membayar dengan Dam, melainkan jika tidak ada orang yang sanggup menggantikannya dengan sukarela atau dengan upahan.

Seorang Jemaah Haji mengerjakan Haji Tamattu’. Setelah selesai dari menyempurnakan Damnya adakah dikenakan Dam lagi apabila ia mengerjakan Umrah sunat selepas itu?

Tidak dikenakan Dam.

Jemaah Haji lelaki selesai Hajinya, kemudian melakukan persetubuhan dengan isterinya yang belum Tahallul Thani lagi, ke atas siapakah Dam diwajiban?

Persetubuhan di antara Jemaah Haji lelaki yang telah selesai Hajinya dengan isterinya yang belum Tahallul Thani, kedua-dua mereka itu tidak dikenakan Dam tetapi berdosa jika sengaja (kedudukan ibadat Haji isterinya tidak rosak kerana sudah Tahallul Awwal).

Adakah dikenakan Dam Jemaah Haji perempuan mengerjakan Umrah berkali-kali tetapi ia tidak bergunting kerana jahil dan telah melakukan bersetubuhan berkali-kali dengan suaminya?

Umrahnya tidak rosak kerana persetubuhan berlaku dalam keadaan jahil. Jemaah tersebut hendaklah bergunting semula. Sekiranya melanggari larangan ihram dalam bentuk Itlaf tempo tersebut maka jemaah dikenakan Dam mengikut syaratnya tidak berdosa sebab tidak tahu.

Adakah dikenakan Dam ke atas jemaah haji yang melakukan persetubuhan selepas selesai membuat Haji Ifrad (Tahallul Thani) tetapi belum mengerjakan Umrah lagi?

Jemaah haji boleh melakukan persetubuhan selepas selesai membuat Haji Ifrad (Tahallul Thani) walaupun ia belum lagi mengerjakan Umrahnya dan tidak dikenakan Dam.

Sekembalinya dari Mina Nafar Thani, sepasang suami isteri telah mengerjakan Umrah tanpa menyelesaikan keria-kerja Haji mereka. Ketika Tawaf suaminya batal wuduk, tetapi meneruskan juga Tawafnya kemudian Sa’ie dan bergunting. Sekembali mereka di tempat penginapan, mereka telah mengadakan hubungan suami isteri. Adakah dikenakan Dam seekor unta?

Umrah kedua-dua tidak sah kerana belum sempurna kerja-kerja Haji lagi. Jika persetubuhan dilakukan sebelum Tahallul Awwal maka (Fasad) rosak Haji keduanya dan wajib menyelesaikan kerja-kerja Haji dan Qada’ pada tahun hadapan ke atas kedua-duanya serta wajib ke atas suaminya Dam Tertib dan Ta’dil. Sekiranya mereka telah Tahallul Awwal Haji mereka tidak rosak. Dikenakan Dam Takhyir dan Taqdir ke atas suami. Kedua-dua mereka dikehendaki menyempurnakan kerja-kerja Haji hingga selesai Tahallul Thani.

Adakah dikenakan Dam seseorang yang luka berdarah semasa dalam Ihram?

Jemaah Haji yang luka semasa dalam Ihram, sama ada di Arafah atau di tempat-tempat lain tidak dikenakan Dam.

Adakah dikenakan Dam kepada orang yang Nafar Awwal kerana tidak melontar pada hari Tasyriq ketiga?

Jemaah Haji yang membuat Nafar Awwal, mereka tidak dikenakan Dam apabila tidak melontar Jamrah pada hari Tasyriq ketiga tidak dituntut mengerjakannya bagi mereka yang membuat Nafar Awwal.

Adakah dikenakan Dam ke atas Jemaah Haji membuat Haji Ifrad keluar ke Tanah Halal Arafah dan ia masuk semula ke Makkah?

Jemaah haji yang melakukan Haji Ifrad atau Qiran tidak wajib melakukan Tawaf Wada jika meninggalkan Makkah walaupun jarakya melebihi dari 2 marhalah (kerana jemaah tersebut belum selesai ihram hajinya)

Jika dipilih puasa 3 hari, bolehkah dilaksanakan di Malaysia?

Boleh dilakukan di mana sahaja, sama ada di Tanah Haram, di tanah air sendiri atau di tempat lain kerana tidak melibatkan hak fakir miskin di Tanah Haram tetapi puasa di Tanah Haram lebih Afdhal.

— Kitab al-Idah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah, hlm. 492.

Jika Jemaah haji membayar Dam Takhyir dan Taqdir secara berulang kerana melakukan dua larangan ihram berbentuk itlaf secara berulang; contohnya, bagi setiap kesalahan Dam yang dikenakan adalah 60 Riyal. Oleh itu bagi dua kesalahan, jumlah Dam yang dikenakan adalah 120 Riyal. Adakah sah jika kedua-dua Dam ini dibayar kepada 6 orang fakir miskin sahaja di mana setiap orang akan mendapat 20 Riyal?

Sah membayar Dam yang berulang-ulang kepada 6 orang fakir miskin sahaja dan tidak wajib mengagihkan 120 Riyal tersebut kepada 12 orang fakir miskin.

Sekiranya ketika saya mandi menggunakan “shower’ atau menjirus air ke kepala tapa menggosok kepala, adakah dikenakan Dam jika ada rambut yang gugur.

Tidak dikenakan Dam kerana rambut itu gugur bukan dengan perbuatan sendiri secara langsung.

Penutup

Kesimpulannya, pemahaman tentang Dam dalam konteks Haji dan Umrah adalah penting kerana ia bukan hanya tanggungjawab kewangan, tetapi juga simbolik penyesuaian diri atas segala kesalahan atau kekurangan yang mungkin berlaku semasa menjalankan ibadah.

Semoga panduan ini dapat membantu anda melaksanakan Haji atau Umrah dengan lebih sempurna.

Marilah kita berusaha mematuhi segala peraturan dan tuntutan ibadah ini dengan hati yang ikhlas dan penuh taqwa, dan semoga Allah SWT menerima segala amalan dan ibadah kita.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, anda boleh meninggalkan soalan tersebut pada ruangan komen di bawah.

InsyaAllah saya akan menjawab dengan segera yang mungkin.

Nota & Rujukan

  1. Nota Kursus Asas Haji 1440H, edisi cetakan kemaskini November 2018, Bahagian Bimbingan Jabatan Haji, Lembaga Tabung Haji
  2. Nota Kursus Ibadah Haji & Umrah serta Ziarah Madinah, Hj. Abdul Rahman Saleh & Hj Kamaluddin Ibrahim, al-Hidayah Publication
  3. Panduan Ziarah Madinah Umrah & Haji, Ustaz Dato’ Haji Md Daud Bin Che Ngah, Pustaka Haji Abdul Majid
  4. Panduan Haji, Umrah dan Ziarah, Ustaz Ibrahim Zakaria.
  5. Panduan Ibadah Umrah & Ziarah, Ustaz Muhamad Dhiauddin, Pustaka Azhar
  6. Panduan Lengkap Haji, Umrah & Ziarah Edisi Kemaskini, Haji Abu Mazaya Al-Hafiz, Al-Hidayah House of Publisher
  7. Panduan Meraih Umrah Yang Mabrurah, Dato’ Dr Hj Zahazan B. Mohamed, Telaga Biru
  8. Soal Jawab Haji, Umrah & Ziarah, Edisi kemaskini 2020, Disemak dan diluluskan oleh Jawatankuasa Penasihat Ibadah Haji (TH-JAKIM) Bil 2/1440H
  9. Bimbingan Umrah & Ziarah, Ust Mohd Faez Bin Mohd Shah Al-Hashim, Pustaka al-Ehsan
  10. Soal Jawab Fiqh Ibadah Jilid 3, Bab Puasa, Haji, Korban & Akikah, Ustaz Abu Usamah Mohd Hanapiah Haji Husin, Ikon Syabab Resources.
Photo of author

Muhamad Naim

Penulis utama dan ketua editor. Menubuhkan web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

207 thoughts on “DAM HAJI & UMRAH: Jenis Dam & Bayarannya (Lengkap)”

  1. Salam. Nak tanya. Mak sy tengah buat umrah, dan dia melakukan ini 👉🏻 tersalah guna sabun nk rendam kain masa berihram lepastu baru teringat dn dgn serta merta brhenti. Perlu ke membayar dam?

    Reply
    • Waalaikumsalam.

      Mengenai isu ini, dalam mazhab Syafie, terdapat beberapa pandangan yang boleh diambil kira.

      Secara umum, penggunaan sabun semasa berihram adalah dilarang kerana ia mengandungi bau dan melanggar larangan berwangi semasa ihram. Namun, jika ia berlaku tanpa sengaja atau lupa, seperti dalam kes ibu anda, maka hukumnya adalah berbeza.

      Menurut mazhab Syafie, jika seseorang itu tersalah guna sesuatu yang dilarang semasa ihram dengan tidak sengaja atau kerana lupa, maka dia tidak perlu membayar dam. Namun, sebaik sahaja menyedari kesilapannya, dia perlu segera berhenti dari melakukan perbuatan tersebut, seperti yang dilakukan oleh ibu anda.

      Dalam kes ibu anda, memandangkan dia telah berhenti menggunakan sabun itu sebaik sahaja menyedari kesilapannya, maka tidak wajib baginya untuk membayar dam. Namun, disarankan untuk melakukan istighfar dan memperbanyakkan doa sebagai bentuk taubat atas kesalahan tidak sengaja tersebut.

      Dia tidak perlu membayar dam kerana tidak ada niat memakai wangian dan penggunaannya bukan untuk tujuan wangian. 

      Wallahu a’lam

      Reply
  2. Apakah hukum apabila seseorang itu tidak membayar dam , dan kemudian melakukan umrah buat kedua kalinya
    Adakah umrah kali kedua yg dilakukannnya itu sah ? Mohon penjelasan 🙂

    Reply
    • Dalam Mazhab Syafie, hukum tidak membayar dam dan kemudian melakukan umrah untuk kali kedua bergantung pada keadaan-keadaan tertentu.

      Jika seseorang tidak membayar dam yang wajib atas kesalahannya dan kemudian melakukan umrah buat kali kedua:

      1. Secara umum, pelaksanaan umrah kedua itu dianggap sah menurut Mazhab Syafie. Ini kerana sahnya umrah tidak berkait oleh pelanggaran atau kewajipan yang belum ditunaikan dari umrah sebelumnya.

      2. Walaupun umrah kedua itu sah, individu tersebut masih berhutang dam dari umrah pertamanya. Hutang ini perlu diselesaikan untuk memastikan pelaksanaan ibadahnya lengkap dan diterima.

      3. Seseorang yang melakukan umrah kedua haruslah memiliki niat yang ikhlas dan berazam untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama. Juga disarankan untuk melakukan taubat atas kelalaian dalam menunaikan kewajiban dam dari umrah sebelumnya.

      Penting untuk menunaikan segala kewajipan dan mengelakkan pelanggaran dalam melaksanakan ibadah. Disarankanuntuk membayar dam yang tertunggak secepat mungkin agar ibadahnya lengkap dan diterima.

      Wallahu a’lam

      Reply
  3. Assalamualaikum,

    Saya sudah berniat ihram tidak bersyarat (bagi tujuan umrah sunat dan niat badal) tetapi telah keluar haid sebelum melakukan tawaf. Saya segera mengambil ubat tahan haid dan selalunya dalam tempoh 24 jam darah haid akan berhenti dn kering.

    Ingin meminta pendpt ustaz apa yg perlu saya lakukan seterusnya? Jika perlu membayar dam, berapa dan bagaimana? Perlu menyambung umrah sunat sehingga selesai? Atau ada cara lain yang disarankan. Mohon pencerahan. Terima kasih.

    Reply
    • Walaikumsalam,

      Berdasarkan soalan:

      1) Kena bayar dam seekor kambing

      2) Puan tidak dapat meneruskan kerja-kerja umrah. Perlu tunggu sehingga suci dan tidak keluar darah, barulah dapat tawaf dan seterusnya.

      3) Puan mesti dalam keadaan ihram selama mana puan dalam haid.

      4) Sekiranya darah berhenti sebelum pulang, maka terus sambung kerja-kerja umrah iaitu tawaf dan seterusnya. (tidak perlu ke miqat tanaim).

      5) Pilihan yang lain adalah talfiq kepada mazhab imam Hanbali dan Hanafi, iaitu boleh terus mengerjakan tawaf walaupun masih dalam keadaan haid.

      Wallahu a’lam

      Reply
  4. Jika semasa tawaf anak saya menyentuh makam Ibrahim Dan hijir Ismail sedang ia tidak tahu ttg larangannya perlukkah bayar dam..Dan bagaimana dam nya

    Reply
    • Wassalam,

      Menyentuh Maqam Ibrahim tiada larangan tentangnya, cuma menjadi larangan adalah menyentuh dinding kaabah dan Hijr Ismail (untuk mengelakkan diri termasuk dalam kawasan kaabah)

      Jika disentuh dengan sengaja (tahu akan larangan) maka akan terbatal pusingan tawaf tersebut. Jika tidak sengaja (tidak tahu akan larangan) maka tidak batal pusingan tawaf.

      Oleh itu tidak perlu bayar dam.

      Reply
  5. Saya ingin bertanya jika seseorang itu tertahan atas sebab-sebab tertentu dan tidak mampu untuk pergi ke mekah untuk melakukan umrah dan berada diluar kota mekah, adakah dia hanya boleh melaksanakan dam di tempat dia tertahan? Adakah dia boleh menyuruh wakil untuk melakukan dam di Mekah dan dia bertahallul di tempat dia tertahan? Terima kasih atas jawapan

    Reply
    • Berdasarkan Mazhab Syafi’i:

      1. Seseorang yang tertahan dan tidak mampu untuk pergi ke Mekah untuk melakukan umrah boleh melaksanakan dam di tempat dia tertahan. Ini termasuk menyembelih seekor kambing dan melakukan tahallul (bercukur atau bergunting) sebagai tanda mengakhiri ihram. Jika tidak mampu menyembelih kambing, alternatif lain termasuk memberi sedekah makanan dengan nilai setara atau berpuasa.

      2. Dalam Mazhab Syafi’i, pelantikan wakil untuk melaksanakan ibadat tertentu, termasuk dam dalam konteks haji dan umrah, adalah dibenarkan. Oleh itu, seseorang boleh melantik wakil untuk melakukan dam di Mekah atas namanya.

      3. Setelah dam dilaksanakan, baik oleh diri sendiri di tempat tertahan atau melalui wakil di Mekah, tahallul (proses mengakhiri ihram dengan mencukur atau memotong sedikit rambut) boleh dilakukan di tempat tertahan.

      Kesimpulannya, seseorang yang tertahan di luar Mekah dan tidak dapat menunaikan umrah boleh melaksanakan dam di tempat tertahan dan boleh juga melantik wakil untuk melakukan dam di Mekah, sementara dia sendiri bertahallul di tempat tertahan.

      Wallahu a’lam

      Reply
  6. Soalan pertama: Bagaimana jika kita gugur sehelai rambut (secara sengaja) kemudian gugur lagi banyak rambut lebih 3 helai serentak (juga secara sengaja). Adakah perlu membayar 5 riyal dahulu bagi sehelai rambut yg gugur pada permulaan kemudian bayar 60 riyal pula untuk rambut yang gugur banyak tersebut? Adakah ia dianggap kesalahan terpisah dan perlu bayar dam berasingan? Ataupun memadai bayar 60 riyal sekali sahaja?

    Soalan kedua: Dam pilihan ada tiga iaitu sembelih seekor kambing, puasa 3 Hari ataupun memberi Makan kepada 6 orang fakir Miskin. Jika Kita memilih untuk berpuasa 3 Hari, adakah ia perlu dilaksanakan di Mekah atau boleh berpuasa di Malaysia?

    Mohon pencerahan kepada kedua dua soalan. Terima kasih

    Reply
    • As Salam,

      Jawapan Soalan Pertama

      Mengikut beberapa pandangan, jika perbuatan mencabut rambut dilakukan dalam keadaan yang berbeza, setiap kejadian perlu dibayar secara berasingan. Namun, jika semua rambut gugur dalam satu keadaan yang sama, pembayaran dam yang lebih besar mungkin mencukupi untuk semua kesalahan.

      Oleh itu, dalam situasi anda, jika anda mencabut sehelai rambut dan kemudian mencabut lebih dari tiga helai dalam satu keadaan yang sama, pembayaran dam yang lebih besar (seperti puasa tiga hari, memberi makan enam orang miskin, atau menyembelih seekor kambing) mungkin mencukupi untuk semua kesalahan.

      Jawapan Soalan kedua mengenai pilihan ‘dam’.

      Jika anda memilih untuk berpuasa selama tiga hari sebagai bentuk ‘dam’, puasa tersebut boleh dilaksanakan di mana saja, termasuk di Malaysia. Tidak ada syarat yang menyatakan bahawa puasa ini harus dilaksanakan di Mekah. Namun, penting untuk memastikan puasa dilakukan dengan niat yang betul dan mengikut syarat-syarat puasa yang ditetapkan dalam Islam.

      Saya berharap pencerahan ini membantu dan semoga Allah SWT memberkati langkah-langkah anda dalam menunaikan ibadah.

      Reply
  7. Semasa persiapan ihram, terlupa ada menyembur minyak wangi ke pakaian. Pergi ke miqat dan berniat ihram. Apakah sah umrah kerana terlupa dan adakah dikenakan dam?

    Reply
    • Assalam,

      Jika seseorang yang sedang dalam ihram memakai wangi-wangian secara tidak sengaja, seperti terlupa atau tidak mengetahui hukumnya, maka dia dimaafkan dan tidak dikenakan dam.

      Namun, sebaik sahaja menyedari atau mengetahui hukumnya, individu tersebut hendaklah segera menghilangkan atau membersihkan wangi-wangian tersebut.

      Reply
  8. Salam, saya ingin bertanya jika seseorang dalam ihram kemudian dia menggugurkan sehelai rambut dengan sengaja dan sebelum sempat dia membayar dam bagi sehelai rambut tersebut, dia menggugurkan lagi 5 helai rambut pada waktu yang berbeza. Bagaimana pelaksanaan dam yang perlu dibayar?

    Reply
    • Dalam ihram semasa ibadah haji atau umrah, menggugurkan rambut secara sengaja adalah dilarang dan memerlukan pembayaran dam atau fidyah. Berdasarkan apa yang saya temui, terdapat perincian mengenai pembayaran dam atau fidyah ini.

      Jika seseorang menggugurkan rambut secara sengaja semasa dalam ihram, mereka perlu membayar fidyah atau dam. Menurut Dr. Muhammad Zuhaili, jika sehelai rambut gugur, dikenakan sebanyak satu mud makanan asasi (setengah kilo atau lebih).

      Jika dua helai rambut gugur, maka diwajibkan dua mud. Jika melebihi tiga helai rambut, maka dikenakan dam iaitu puasa tiga hari atau memberi makan kepada enam orang miskin atau menyembelih seekor kambing.

      Tambahan pula, menurut beberapa sumber lain, jika seseorang tidak mampu menyembelih kambing atau memberi makan kepada fakir miskin, mereka boleh menggantikannya dengan berpuasa.

      Jumlah hari puasa ini setara dengan bilangan makanan yang dapat dibeli dengan nilai seekor kambing, di mana satu cupak makanan setara dengan satu hari puasa.

      Dalam konteks seseorang yang menggugurkan lebih dari satu helai rambut pada waktu yang berbeza, sepertinya prinsip yang sama berlaku di mana setiap tindakan menggugurkan rambut dianggap sebagai kesalahan yang terpisah dan memerlukan fidyah masing-masing.

      Ini bermakna, jika seseorang menggugurkan rambut pada waktu yang berbeza, mereka perlu membayar fidyah untuk setiap kejadian menggugurkan rambut tersebut.

      Namun, jika ada keraguan atau tidak yakin sama ada rambut gugur disebabkan oleh tindakan sengaja atau tidak, maka fidyah mungkin tidak diperlukan. Ini kerana asasnya hukum fiqh menetapkan seseorang itu bebas daripada tanggungan kecuali jika terbukti jelas ada kesalahan.

      Wallahu a’lam

      Reply
  9. assalamualaikum..sy ada pergi menunaikan umrah, semasa sy membuat saie sy pimpin tangan isteri beberapa saat (perbuatan terlupa) tetapi berlapik
    soalan sy adakah perbuatan sy itu berdosa dan dikenakan dam..

    Reply
    • Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.

      Alhamdulillah atas kesempatan yang diberikan kepada tuan untuk menunaikan ibadah umrah.

      Tidak batal wuduk jika tersentuh kulit berlainan jantina ketika melakukan tawaf disebabkan oleh masyaqqah dan kesukaran untuk mengelakkannya kerana kesesakan di tempat tawaf / saie.

      Pendapat ini juga adalah sebagaimana yang telah diputuskan oleh Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-21 Musim Haji 1426H dan pendapat yang marjuh dalam mazhab al-Syafi‘i. Justeru, tawaf / saie yang dilakukan adalah dikira sah dan tidak perlu mengulanginya.

      Berkaitan dengan soalan tuan:

      1. Pimpin Tangan Isteri: Dalam keadaan ihram, seorang lelaki tidak seharusnya menyentuh wanita yang bukan mahramnya. Bagi isteri sendiri, sebaiknya dielakkan menyentuhnya secara berlebihan atau dengan niat nafsu. Namun, jika tujuan menyentuh isteri adalah untuk membantu, memimpin, atau sebab-sebab yang tidak melibatkan nafsu, dan dilakukan tanpa niat nafsu, maka itu tidak membatalkan ihram.

      2. Berlapik: Jika menyentuh isteri dengan berlapik (misalnya melalui pakaian atau sarung tangan), dan tanpa ada niat nafsu, ini memperkuat lagi bahawa perbuatan tersebut tidak membawa kepada dosa atau denda (dam).

      Berdasarkan apa yang tuan ceritakan, iaitu menyentuh tangan isteri dengan berlapik dan atas dasar terlupa, insyaAllah, tuan tidak berdosa dan tidak dikenakan dam.

      Semoga Allah menerima ibadah umrah tuan dan memberkati tuan dengan keberkatan dan hidayah-Nya. Aamiin.

      Reply

Leave a Comment