Adakah kena qada solat selepas suci dari haid?
Panduan ini menerangkan secara jelas apakah hukum berkaitan masalah ini.
Saya juga turut menyertakan dalil dan penjelasan setiap hukum yang dinyatakan bagi memudahkan kefahaman para pembaca.
Semoga bermanfaat..
Masalah Dan Jawapan
Berikut adalah contoh persoalan berkaitan isu ini:
Saya pernah terdengar bahawa wanita yang telah kering haidnya dalam waktu asar tetap wajib qada solat zohornya walaupun pada masa tersebut darah haidnya masih lagi keluar.
Adakah ia benar?
Jawapannya adalah benar.
Bagi memudahkan para pembaca memahami isu ini, panduan ini akan dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu; penjelasan hukum dan sebab-sebab dihukumkan sedemikian
Penjelasan Hukum
Apabila seorang wanita suci daripada haid dalam waktu Asar, maka wajib ke atasnya untuk mengerjakan solat Asar dan Zohor.
Begitu juga jika dia suci dalam waktu Isyak sebelum masuk waktu Subuh, maka wajib bagi wanita itu menunaikan solat Isyak dan Maghrib untuk hari tersebut.
Di bawah ini adalah ringkasan apa yang perlu dilakukan apabila kering haid dalam masa-masa tertentu:
Waktu Berhenti Haid | Perkara Yang Perlu Dilakukan |
---|---|
Sebelum masuk waktu subuh (masih dalam waktu isyak) | ↠ Mandi wajib ↠ Wajib solat Isyak dan qada solat Maghrib |
Masih dalam waktu Subuh | ↠ Mandi wajib ↠ Wajib solat Subuh |
Selepas habis waktu Subuh | ↠ Tidak perlu terus mandi wajib ↠ Tidak perlu solat Subuh ↠ Wajib mandi untuk Solat Zohor |
Dalam waktu Zohor | ↠ Mandi wajib ↠ Wajib solat Zohor |
Dalam waktu Asar | ↠ Mandi wajib ↠ Wajib solat Asar dan qada solat Zohor |
Dalam waktu Maghrib | ↠ Mandi wajib ↠ Wajib solat Maghrib |
Dalam waktu Isyak | ↠ Mandi wajib ↠ Wajib solat Isyak dan qada solat Maghrib |
Ini merupakan pandangan majoriti ulama, juga pandangan muktamad mazhab Syafi’e berdasarkan beberapa kitab seperti berikut:
1. Imam al-Nawawi menjelaskan:Pandangan yang lebih zahir ialah wajib solat Zohor jika sempat bertakbiratul ihram pada penghujung waktu Asar, dan wajib solat Maghrib (jika sempat bertakbiratul ihram) pada penghujung Isyak.
— Kitab Minhaj al-Tolibin halaman 22
Wajib qada solat yang sebelumnya jika ia dijamak bersamanya
— Kitab al-Muqaddimah al-Hadhramiyah halaman 54
2. Imam Ibn Taimiyyah juga menghuraikan:
Dan atas sebab tersebut, para sahabat seperti Abdul Rahman bin ‘Auf dan selainnya berkata, ‘Sesungguhnya jika seorang wanita yang haid itu suci sebelum terbitnya fajar (masuk waktu Subuh), maka wajib ke atasnya solat Maghrib dan Isyak.
— Kitab Majmu’ al-Fatawa juz 2 halaman 347
Begitu juga jika dia suci sebelum terbenamnya matahari (masuk waktu Maghrib), maka wajib baginya solat Zuhur dan Asar.
Ini merupakan mazhab majoriti ulama fiqh seperti Imam Malik, Imam Syafi’e dan Imam Ahmad.
Sebab Kenapa Dihukumkan Sedemikian
Terdapat beberapa sebab dihukumkan sedemikian.
Antaranya adalah majoriti ulama fiqh berpandangan waktu solat Zohor dan Asar serta Maghrib dan Isyak merupakan satu waktu sahaja bagi orang yang mempunyai keuzuran seperti orang yang dalam musafir.
Justeru dalam keadaan darurat, adalah lebih aula ia dijadikan satu waktu.
Perkara ini sebagaimana yang dijelaskan dalam beberapa kitab seperti berikut:
1.Wajib solat Zohor bersama solat Asar jika sempat bertakbiratul ihram pada akhir waktu Asar. Dan wajib solat Maghrib bersama Isyak jika sempat (bertakbiratul ihram) pada penghujung waktu Isyak.
— Kitab al-Iqna’ Fi Halli Alfaz Matan Abi Syuja’ juz 1 halaman 124
Hal ini kerana waktu Zohor dan Asar merupakan satu waktu, begitu juga waktu Maghrib dan Isyak ketika uzur.
Justeru dalam keadaan darurat, (yang demikian) adalah lebih aula.
2. Imam Ibn Taimiyyah pula menjelaskan:
Dan atas sebab inilah kebanyakkan ulama — seperti Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad — berpandangan jika seorang wanita itu suci daripada haid pada hujung siang hari (penghujung asar), nescaya dia (perlu) mengerjakan solat Zohor dan Asar.
— Kitab Majmu’ al-Fatawa juz 2 halaman 334
Dan jika dia suci di hujung malam (sebelum masuk Subuh), nescaya dia perlu solat Maghrib dan Isyak.
Perkara ini sebagaimana yang dinaqalkan (diambil) daripada Abdul Rahman, Abu Hurairah dan Ibn Abbas.
Sebabnya, waktu tersebut ialah satu waktu yang berkongsi dua solat ketika ada keuzuran.
Justeru, apabila suci (daripada haid) pada penghujung siang hari (akhir Asar), maka waktu Zohor dianggap masih berbaki (dengan perkiraan waktu ketika uzur) dan dia wajib solat Zohor sebelum solat Asar.
Begitu juga apabila dia suci pada hujung malam (akhir Isyak), maka waktu Maghrib dianggap masih lagi berbaki.
Justeru, dia wajib solat Maghrib sebelum solat Isyak.
Kesimpulan
Sebagaimana yang dijelaskan, wanita yang kering haid dalam waktu Asar tetap wajib mengerjakan solat Zohor yang ditinggalkannya.
Begitu juga jika kering haid dalam waktu Isyak, maka dia wajib mengerjakan solat Maghribnya.
Ini merupaakan pandangan majoriti ulama termasuklah pandangan muktamad mazhab Syafie sebagaimana penjelasan di atas.
Wallahu a’lam.
Semoga memberi manfaat.
Nota Rujukan:
- Soal Jawab Fiqh Ibadah, Jilid 1, Bab Taharah, Darah Wanita & Solat — Ustaz Abu Usamah @ Mohd Hanapiah Haji Hussin.
- Irsyad Fatwa Series 287: If The Haid (Menstruation) Ends At Maghrib, It Is Not Necessary To Qadha (Replace) The Asar And Zuhur Prayer [pautan]
Tinggalkan Komen Anda..
Assalamualaikum, ada kekeliruan dalam ringkasan table di atas untuk waktu asar dan isyak? Adakah kesilapan typo di atas? Mohon admin check dan verify info ini. Kenapa wajib solat Subuh sekiranya putus haid dalam waktu Asar?