Apakah maksud keputihan dan hukumnya dalam Islam?
Artikel ini akan membincangkan secara khusus mengenai topik ini dan hukumnya dari sudut fekah dan ibadah solat.
Kaedah bersuci dari keputihan juga turun dibincangkan secara mudah untuk membantu para pembaca.
Maksud Keputihan
Apakah itu keputihan?
Dari sudut perubatan, keputihan atau leukorrehea ialah pengeluaran lendiran atau cecair putih atau kuning dari faraj atau serviks.
Dari sudut feqah pula, keputihan ditakrifkan sebagai sesuatu yang pekat berwarna putih yang keluar dari faraj wanita. Pada kebiasaannya, keputihan keluar apabila wanita hampir datang haid.
Penyebab Keputihan
Lazimnya, mukosa faraj lembab dan menghasilkan lelehan untuk mengelakkan kulit mukosa daripada melekat atau mengering.
Hal ini disebabkan oleh:
1. Rangsangan SyahwatApabila wanita terangsang syahwatnya, kelembapan mukosa meningkat dengan adanya penghasilan cecair dari mukosa faraj dan bahagian bibir kecil yang dikenali sebagai vertibule.
Jika rangsangan seks kurang maka penghasilan keputihan berkurang dan keadaan menjadi biasa.
2. Keradangan
Sama ada keradangan disebabkan jangkitan (jangkitan kulat, parasit atau kuman) atau tekanan (terdedah kepada kimia atau memakai pakaian ketat atau akibat alahan kepada makanan tertentu).
Keputihan akibat keradangan, disebabkan jangkitan, lelehan yang keluar itu mungkin berbau (bau semacam bangkai jika terkena jangkitan parasit, bau seperti najis jika dijangkiti kuman dari lubang najis) dan gatal (jika keradangan akibat kulat seperti yis dan candidia).
Hukum Keputihan
Fuqaha sependapat bahawa keputihan yang keluar dari faraj wanita adalah najis dan membatalkan wuduk.
Berkata Syeikh Jamal, ertinya:
Maka jika keputihan itu keluar ia dari kawasan yang tidak wajib membasuhnya maka ia adalah najis kerana ia adalah cecair yang terbit dari sebelah dalam.
Bila keputihan ini keluar sampai kawasan zahir faraj maka dihukumkan dengan najis.
Dan apa sahaja yang benda suci bersentuh dengannya menjadi ternajis.”
— Kitab Hasyiah Jamal
Jika keputihan berlaku, wanita mestilah membersihkannya dan kemudian mengambil wuduk untuk melakukan ibadah-ibadah yang mewajibkan wuduk seperti solat dan tawaf.
Wanita yang mengalami keputihan keputihan semasa mengerjakan haji, hendaklah memakai tuala wanita atau pantyliner (pelapik seluar dalam) untuk memastikan keputihan telah keluar dari dalam faraj atau tidak.
Wanita yang mengalami keputihan tidak digalakkan memakai tampon atau memasukkan kapas ke dalam faraj kerana perbuatan ini akan mengakibatkan jangkitan kuman yang akan mengakibatkan penyakit.
Kaedah Mengerjakan Solat Bagi Wanita Yang Mengalami Keputihan
Keputihan yang sentiasa keluar sehingga menyukarkan wanita melakukan ibadah, hukumnya adalah sama dengan hukum darah istihadah dan daim al-Hadath (دَائِمُ الْحَدَثِ) iaitu berkekalan hadas.
Ini bermakna cara wuduknya adalah sama dengan cara berwuduk orang istihadah dan daim al-Hadath.
Caranya wuduknya adalah seperti berikut:
- Membasuh faraj daripada najis keputihan
- Memakai tuala wanita atau pantyliner yang bersih dipermukaan faraj
- Mengambil wuduk setelah masuk waktu solat.
- Wuduk yang diambil hanya sah untuk satu solat fardu atau tawaf fardu atau rukun dan beberapa sunat.
Kaifiat atau cara ini berdasarkan kepada hadis riwayat Aisyah r.ha yang menyatakan bahawa Fatimah binti Hubaisy datang menemui Rasulullah SAW menceritakan tentang kedudukan darah istihadahnya, lalu Baginda bersabda:
Mandilah, kemudian berwuduklah bagi setiap (waktu) solat dan solatlah.
— Riwayat Abu Daud1
Keputihan Yang Sentiasa Keluar
Bagi wanita yang keputihannya sentiasa keluar, mazhab Hambali berpendapat wanita terbabit boleh menjamakkan solatnya; iaitu zuhur dan asar, maghrib dan isyak, dengan satu wuduk selagi tidak batal wuduk dengan perkara lain dan tidak tidak tamat waktu solat itu2.
Bagi mazhab lain, termasuk al-Syafi’iyah, mereka yang beristihadah dan daim al-Hadath (berkekalan hadas) tidak diberikan rukhsah (kemudahan) untuk menjamak solat.
Mereka hanya dibolehkan menggunakan sekali wuduk hanya untuk satu solat fardu dan beberapa solat sunat.
Ertinya, wanita yang mengalami keputihan yang kerap dan berterusan adalah sama dengan orang mengalami istihadah dan daim al-hadath.
Kelembapan Faraj
Seperti yang dijelaskan sebelum ini, lazimnya faraj lembab dan menghasilkan lelehan untuk mengelakkan kulit mukosa daripada melekat dan mengering.
Kenyataan ini menjelaskan bahawa ‘lembab’ dan ‘sentiasa menghasilkan lelehan’ adalah tabiat semulajadi faraj.
Lelehan yang terdapat dalam faraj samalah dengan cecair yang sentiasa terdapat dalam mulut manusia.
Kelembapan dan faraj adalah dua benda yang tidak mungkin berpisah.
Oleh itu, fuqaha berpendapat kelembapan faraj akibat daripada lelehan yang dihasilkan mukosa tidak membatalkan wuduk, sama keadaannya dengan seseorang yang menjulurkan lidahnya, kemudian dia memasukkan kembali ke dalam mulutnya dan menelan air liur yang terdapat pada lidahnya.
Perbuatan itu tidak membatalkan puasa kerana air liur yang terdapat pada lidahnya tidak terpisah dari lidah3.
Nota Kaki:
- Riwayat Abu Daud no. 298
- Ibn Qudamah; al-Mugnni wa al-Syarh al-Kabir Jil 1 hlm 390
- Ibn Qudamah; al-Mugnni wa al-Syarh al-Kabir Jil 1 hlm 193
Rujukan:
- Dr. Anisah Ab. Ghani; Darah Wanita, Pandangan Ulama dan Pakar Perubatan
- Ust Azhar Idrus, Hukum Pakaian Solat Terkena Keputihan [pautan]
Tinggalkan Komen Anda..
Macam mana, jika perempuan itu musafir? Tk boleh jama’ solat lah? Hanya boleh qasar? Dan jika dh ambil wudhu utk solat, sdg solat terbuang angin, perlu bersih dulu juga ke?
Adakah lembapan faraj boleh menjadi sedikit melekit/putih ataupun lembapan faraj hanya seperti peluh?
Salam tuan.jika keputihan berlaku apabila menghampiri waktu haid,wajib mandi hadas besar atau perlu memberikan dan berwuduk kembalk shj sekiranya ingin solat? Terima kasih tuan
Wassalam.
Tidak perlu mandi wajib. Hanya perlu bersihkan, gunakan pantyliner dan ambil wuduk sahaja.
Wuduk yang diambil hanya sah untuk satu solat fardu sahaja.