Kaedah Kiraan Tempoh Haid Dalam Islam

tempoh haid

Bagaimanakah kaedah kiraan tempoh haid dalam Islam?

Dalam artikel ini, saya akan menjelaskan secara terperinci berkaitan kaedah kiraan tempoh haid yang tepat menurut Islam.

Apa yang menarik:

Contoh dan situasi turut disertakan untuk memudahkan kefahaman para pembaca.

Mari kita mulakan..

? Artikel Ini adalah perbahasan lanjut dari panduan utama mengenai darah haid

Tempoh Haid Paling Sedikit (Minimum)

Tempoh minimum haid ialah sehari semalam.

Tetapi bagaimana yang dikatakan darah keluar sehari semalam itu?

Adakah darah perlu keluar secara berterusan dalam tempoh tersebut sehingga mencukupi syarat untuk dikatakan sebagai darah haid?

Atau kiraannya adalah lain?

Baiklah, disini akan diterangkan berkaitan kaedah kiraan tempoh haid:

Seperti yang dijelaskan sebelum ini, pandangan muktamad dalam Mazhab Syafi’e berkenaan tempoh minimum haid ialah keluar darah yang kadarnya sebanyak sehari semalam (24 jam).

Hal ini dinyatakan dalam beberapa kitab seperti berikut:

1. Kitab Mughni al-Muhtaj juz. 2 halaman 28:

Sekurang-kurang tempoh haid ialah sehari semalam, yakni dengan kadar sehari semalam

2. Kitab Hashiyah al-Bujairami ‘Ala al-Khatib juz 3 halaman 220:

Iaitu 24 jam pengiraan falak

PERTAMA: Jika Darah Keluar Secara Berterusan Tanpa Henti

Jika darah tersebut keluar secara berterusan tanpa henti, maka kaedah pengiraan sehari semalamnya bermula sejak darah keluar sehingga cukup 24 jam.

Contoh

Aina mendapati darah haidnya mula keluar pada hari Ahad jam 8.00 pagi. Maka pada jam 8.00 pagi hari Isnin, cukuplah tempoh sehari semalam darahnya keluar.

Sekiranya dalam tempoh tersebut darahnya keluar berterusan tanpa henti, maka darah tersebut dihukumkan sebagai darah haid kerana ia telah mencapai tempoh minimum haid iaitu 24 jam.

Namun jika darah Aina berhenti pada jam 7.00 pagi pada hari Isnin, maka darah tersebut bukanlah darah haid kerana belum mencapai tempoh minimum iaitu 24 jam.

Dari sudut hukum, darah yang keluar selama 23 jam itu dikira darah fasad atau dipanggil juga darah istihadah.

Maka Aina wajib mengerjakan solat ketika itu tanpa perlu mandi hadas disamping wajib qada semula solat yang ditinggalkan dalam tempoh 23 jam itu.

KEDUA: Jika Darah Keluar Secara Putus-Putus

Jika darah tersebut keluar secara putus-putus dan tidak berterusan, maka kaedah pengiraannya ialah dengan mengumpulkan keseluruhan tempoh darah keluar sepanjang 15 hari.

Seandainya tempoh keseluruhannya cukup sehari semalam, maka darah tersebut dihukumkan sebagai darah haid.

Akan tetapi, jika tidak mencapai tempoh minimum tersebut, maka darah tersebut tidak dikira darah haid, tetapi darah fasad ataupun istihadah.

Contoh

Farah mendapati ada darah keluar pada hari Ahad bermula jam 8.00 pagi sehingga 2.00 petang (6 jam).

Kemudian darah tersebut berhenti sementara dan keluar semula pada bermula jam 8.00 pagi Isnin sehingga pukul 5.00 petang (9 jam).

Sejurus selepas itu, darah tersebut berhenti dan keluar semula pada hari Selasa bermula jam 9.00 pagi hingga pukul 6.00 petang (9 jam).

Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, tindakan yang perlu dilakukan untuk mengenalpasti sama ada darah tersebut haid atau sebaliknya ialah dengan mengumpulkan keseluruhan tempoh masa darah keluar.

Ini bermakna, 6 jam pada hari Ahad + 9 jam pada hari Isnin + 9 Jam pada hari Selasa dan mencapai cukup 24 jam.

Justeru, darah tersebut dikira sebagai darah haid.

Hal ini sebagaimana yang dijelaskan dalam beberapa kitab seperti berikut:

1. Imam al-Haramain menyatakan dalam kitab Nihayah al-Matlab Fi Dirayah al-Mazhab juz 1 halaman 420

Adapun darah-darah dihimpunkan dalam tempoh 15 hari 15 malam itu sampai tempoh minimum haid (24 jam) meskipun setiap satu tempoh keluar darah itu sendiri tidak sampai tempoh minimum tersebut, maka pandangan yang sahihnya adalah darah-darah tersebut dihukumkan sebagai haid.

2. Kitab Hawasyi al-Syarawani Wa al-‘Abadi juz 1 halaman 385:

Jika jumlah tempoh darah-darah yang keluar secara putus-putus itu mencapai kadar sehari semalam, maka kesemuanya dikira darah haid.. namun jika tempohnya tidak cukup sehari semalam, maka darah tersebut bukanlah haid secara mutlak (tanpa ada pengecualian).

3. Kitab Mughni al-Muhtaj juz 2 halaman 28:

Bahkan maknanya ialah apabila seorang wanita melihat darah-darah keluar yang tempohnya tidak cukup sehari semalam akan tetapi apabila dikumpulkan nescaya cukup sehari semalam secara bersambung, maka memadailah keadaan tersebut untuk menghasilkan sekurang-kurang (tempoh minumum) haid.

Tempoh Haid Normal

Pada kebiasaannya (tempoh normal) haid ialah tujuh hari tujuh malam.

Ini lah tempoh normal yang biasanya dilalui oleh kebanyakkan wanita mengikut pandangan majoriti ulama.

Tempoh Haid Paling Lama (Maksimum)

Berapakah tempoh haid paling lama?

Menurut pandangan mazhab Syafi’e, tempoh maksimum haid ialah selama 15 hari 15 malam.

Hal ini sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab al-Muqaddimah al-Hadhramiyah halaman 51, terjemahannya:

Sekurang-kurang (tempoh) haid sehari semalam. Sebanyak-banyak (tempoh maksimum) haid ialah 15 hari 15 malam.

Justeru itu, dapat difahami bahawa darah yang keluar dalam tempoh 15 hari 15 malam dan berhenti sebelum masuk hari ke-16 adalah dikira sebagai darah haid, walaupun kiraannya menyalahi adat dan kebiasaan sebelum ini.

Bagaimana jika darah keluar melebihi 15 hari?

Jika ada wanita yang keluar darah melebihi 15 hari 15 malam, maka mereka termasuk dalam golongan mustahadhah (wanita yang keluar darah istihadah).

Bermula hari ke-16 dan seterusnya, ia dikira sebagai darah istihadhah

Hal ini kerana ia telah melebihi tempoh maksimum haid, sebagaimana yang dijelaskan dalam kitab al-Iqna’ Fi Halli Alfaz Matan Abi Syu’ja juz 1 halaman 97:

Dinamakan bagi wanita yang darahnya (keluar) melebihi 15 hari sebagai mustahadhah

Dijelaskan dalam kitab al-Najmu al-Wahhaj Fi Syarhi al-Minhaj juz 1 halaman 498:

Seorang wanita melihat (keluar darah) dalam tempoh umur haid (sembilan tahun dan ke atas) sekurang-kurangnya (sehari semalam) dan tidak melepasi sebanyak-banyaknya (15 hari 15 malam), maka kesemuanya adalah haid, sama ada bersamaan tempoh tersebut dengan adat sebelum ini atau sebaliknya, juga sama ada sama warnanya atau berbeza. Ini kerana syarat-syarat haid telah berkumpul padanya.

Ini bermakna, darah yang keluar semula pada hari yang ke-16 meskipun telah berhenti sekejap sebelumnya dihukumkan sebagai darah istihadhah.

Hal ini kerana ia keluar sebelum cukup sekurang-kurangnya tempoh suci, iaitu 15 hari 15 malam.

Untuk memahami topik ini dengan lebih mudah, sila teliti 2 contoh situasi berikut:

Contoh 1

Azlina mendapati darahnya mula keluar pada jam 10.00 pagi 1 Muharam.

Justeru, tempoh 15 hari 15 malam bagi beliau ialah pada jam 10.00 pagi 16 Muharam.

Sekiranya darah Azlina berhenti sebelum melepasi jam 10.00 pagi 16 Muharam, maka kesemua darah tersebut dikira sebagai darah haid.

Katakanlah darah Azlina berhenti tepat pada jam 10.00 pagi 16 Muharam, maka darah yang keluar sejak dari jam 10.00 pagi 1 Muharam sehingga 10.00 pagi 16 Muharam tersebut dikira sebagai darah haid.

Kadarnya ialah 15 hari 15 malam, iaitu kadar maksimum tempoh haid.

Namun, jika darahnya keluar semula sebelum cukup tempoh suci 15 hari 15 malam, maka darah tersebut dihukumkan sebagai darah Istihadhah.

Contoh 2

Jika Saadiah keluar darah selama tujuh hari lalu berhenti, kemudian keluar semula pada hari ke-10 sehingga hari ke-15, apakah status darah tersebut?

Adakah ia haid ataupun istihadhah?

Penjelasan

Darah yang keluar dari hari pertama sehingga hari ketujuh ialah darah haid.

Begitu juga darah yang keluar semula pada hari yang ke-10 hingga hari ke-15, ia juga dikira sebagai darah haid dan bukannya darah istihadhah.

Perhatian

Tempoh tidak keluar darah bermula hari ke-7 sehingga hari ke-10 dinamakan sebagai tempoh naqa’.

Menurut pandangan muktamad dalam mazhab Syafi’e, tempoh naqa’ yang berada dicelah-celah haid juga masih dikira sebagai tempoh haid.

Contoh 3

Natasha mula keluar darah pada jam 10.00 pagi 1 Muharam.

Justeru, tempoh 15 hari 15 malam bagi Natasha ialah pada jam 10.00 pagi 16 Muharam.

Jika darahnya keluar berterusan tanpa henti sehingga melepasi jam 10.00 pagi 16 Muharram, maka perlu dilihat dan dikenalpasti semula dimanakah status kedudukan dirinya dalam kategori wanita mustahadhah.

Setelah mengetahui perkara tersebut dengan jelas, maka ketika ini boleh ditentukan tempoh haid yang sebenar, begitu juga tempoh istihadhah.

Kesimpulan

Secara kesimpulannya:

  • Tempoh keluar haid berlaku minimum sehari semalam
  • Tempoh paling lama haid adalah Maksimum 15 hari 15 malam.
  • Pada kebiasaannya (tempoh normal) ialah tujuh hari tujuh malam.

Saya sarankan anda membaca juga panduan lain yang berkaitan fiqh darah wanita.

Sebagai peringatan:

Bab haid memang sebuah topik yang agak kompleks untuk difahami.

Walaupun begitu, ia amat penting diketahui oleh semua orang, termasuklah lelaki selaku ketua keluarga. Dan apa yang paling penting, ia AMAT BERKAIT RAPAT dengan soal ibadat solat.

Hakikatnya, golongan yang dipuji dan dibangga Allah ialah golongan yang pekerjaannya tidak sedikitpun melalaikan solat dan mengingati Allah.

Semoga panduan ini memberi manfaat kepada para pembaca.

Nota Rujukan:

  1. Soal Jawab Fiqh Ibadah, Jilid 1, Bab Taharah, Darah Wanita & Solat — Ustaz Abu Usamah @ Mohd Hanapiah Haji Hussin.
  2. Darah Haid — Ustazah Norhafizah Musa [Pautan]
  3. Ust Azhar Idrus- Tempoh Suci Haid [Pautan]
Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

1 Comment
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
naz
naz
2 tahun yang lalu

Salam.
saya uzur pada 5/2-6/2
berhenti 7/2-11/2
dan keluar darah semula pada 12/2 sehingga sekarang…
bagaimana kategori saya..