Apakah hukum tidak menyamakan saf dalam solat berjemaah?
Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.
Semoga bermanfaat.
SOALANKetika solat jemaah dikerjakan ada seorang yang tidak berdiri betul sama dengan saf seperti orang lain. Adakah semua yang ada dalam saf itu luput fadhilat menyamakan saf?
JAWAPAN
Hukum menyamakan saf adalah sunat yang sangat dituntut ketika solat berjemaah dan adalah Nabi saw amat mengambil berat tentang menyamakan saf ini.
Dan tidaklah dikatakan mendirikan sembahyang yang betul jika tidak menyamakan saf.
Telah diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. Rasulullah saw telah bersabda :
سَوُّوا صُفُوفَكُمْ فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ إِقَامَةِ الصَّلَاةِ
Samakan kamu sekelian akan saf-saf kamu maka sungguhnya menyamakan segala saf itu setengah dari mendirikan sembahyang.”
(Hadith Imam Bukhari)
Dan menyamakan saf itu membawa kepada bersatu segala hati orang-orang yang beriman dan tidak menyamakan saf itu punca perselisihan di antara mereka.
Telah diriwayatkan daripada An-Nu’man bin Basyir r.a. Raslullah saw bersabda :
عِبَادَ اللهِ لَتُسَوُّنَّ صُفُوفَكُمْ، أَوْ لَيُخَالِفَنَّ اللهُ بَيْنَ وُجُوهِكُمْ
Wahai hamba Allah! Hendaklah kamu sekelian menyamakan saf-saf kamu atau Allah akan menjadikan kamu sekelian berselisih sesama kamu.”
(Hadith Imam Muslim)
Dan telah kita maklum bahawa saf itu tidak akan menjadi sama melainkan setiap orang memelihara dan memerhati tempat ia berdiri.
Siapa yang tidak memelihara dan melihat bagaimana dia berdiri di dalam saf sehingga jadi bengkang bengkok saf itu maka dialah yang dikira melakukan kesalahan di sisi syarak.
Jika imam melihat saf yang tidak sama maka hendaklah imam menegurnya dan jika imam tidak dapat melihatnya maka hendaklah orang-orang yang melihatnya itu menegurnya.
Dan sayugia bagi imam jangan ia memulai sembahyang melainkan setelah melihat saf dibelakangnya itu sudah sama atau belum.
Jika orang yang tidak sama safnya itu sudah ditegur tetapi tiada ia samakan juga saf maka solat jemaah tersebut adalah sah dan dan orang yang menjadi punca saf tidak sama itulah yang menanggung kesalahan.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus
Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini
Tinggalkan Komen Anda..