FIDYAH PUASA: Niat, Hukum & Cara Kiraan (Beserta Contoh)

Fidyah Puasa

Fidyah puasa adalah suatu pampasan yang dilakukan oleh seseorang yang tidak mampu berpuasa, kerana mengalami penyakit kronik atau kehamilan, dengan memberi sejumlah makanan kepada golongan fakir miskin. Fidyah dianggap sebagai kewajipan bagi mereka yang terhalang daripada berpuasa.

Panduan ini menerangkan secara lengkap mengenai fidyah puasa yang merangkumi niat fidyah, hukum, cara kiraan fidyah, waktu membayar fidyah serta pelbagai perkara yang berkaitan.

Apa yang menarik:

Saya turut menyediakan contoh-contoh situasi yang mungkin terjadi bagi memudahkan anda memahami cara pengiraan fidyah.

Semoga bermanfaat.

Fidyah merupakan denda yang dikenakan kepada seseorang yang tidak dapat mengganti puasanya di bulan Ramadhan pada sesuatu tahun sehinggalah tibanya bulan Ramadhan tahun berikutnya. Ia dikeluarkan mengikut bilangan hari berpuasa yang ditinggalkan dan diberikan kepada fakir miskin.

Kadar fidyah yang dikenakan ialah sebanyak satu mud, iaitu satu cupak (700± gram) bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan.

Memberikan lebih daripada secupak kepada seorang fakir miskin adalah digalakkan (hukumnya harus). Akan tetapi, membahagikan satu cupak makanan kepada dua orang fakir miskin adalah tidak sah.

Fidyah juga merupakan satu keringanan bagi mereka yang tidak mampu untuk berpuasa ganti. 

Hukum fidyah puasa adalah WAJIB. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.

Kewajipan ini jelas dinyatakan dalam firman Allah SWT yang bermaksud :

(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu, maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain, dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa).

— al-Baqarah: 184

Golongan Yang Dikenakan Fidyah

Pertama: Dikenakan Fidyah Dan Qada Puasa

Selain dikenakan qada puasa, golongan ini juga diwajibkan membayar fidyah bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan.

Golongan yang dimaksudkan ialah:

  1. Perempuan yang haid, namun tidak sempat menggantikan puasa sebelum masuk Ramadan tahun berikutnya.
  2. Individu yang berbuka puasa kerana bimbangkan kemudaratan pada orang yang selain dirinya, seperti untuk menyelamatkan nyawa orang lain.
  3. Perempuan hamil atau menyusu yang berbuka kerana bimbang anaknya sahaja.
  4. Individu yang tidak qada puasa yang ditinggalkan dalam keadaan dia mampu untuk melakukannya, sehinggalah tiba Ramadan yang berikutnya.
  5. Orang yang sakit tidak berpanjangan lalu berbuka dan tidak sempat menggantikan puasa sebelum Ramadan berikutnya.

Perhatian

Jika terlewat qada puasa kerana keuzuran seperti sakit, musafir, hamil atau menyusukan anak, maka tidak diwajibkan fidyah melewatkan qada (fidyah ta’khir)

Kedua: Dikenakan Fidyah Sahaja

Golongan yang termasuk dalam kategori ini ialah mereka yang telah uzur dan tidak mampu lagi untuk berpuasa seperti:

  1. Orang sakit yang tiada harapan sembuh.
  2. Orang tua yang tidak mampu berpuasa.
  3. Orang mati yang tidak sempat qada puasa yang ditinggalkannya (sedangkan dia mampu untuk qada puasa ketika hayatnya). Ahli waris boleh memilih salah satu sama ada:
    • Membayar fidyah dengan harta si mati.
    • Qada puasa bagi pihak si mati

Perhatian

  1. Jika seseorang itu meninggalkan puasa dengan sengaja (tanpa uzur) dan dia tidak sempat qada puasa tersebut kerana sakit lalu meninggal dunia, maka wajib dikeluarkan fidyah daripada harta pusaka si mati.

    Akan tetapi jika waris ingin mengeluarkan fidyah tersebut daripada harta mereka sendiri atau menggantikan puasa bagi pihak si mati, maka hukumnya sunat sahaja.
  2. Jika seseorang itu meninggalkan puasa kerana keuzuran dan uzur tersebut berterusan sehingga dia meninggal dunia, maka tidak perlu dikeluarkan fidyah untuknya daripada harta pusakanya, atau digantikan puasanya oleh waris.

    Hal ini kerana si mati tidak mempunyai masa untuk mengqada puasa tersebut disebabkan uzur. Namun keadaan ini hanya bagi mereka yang ada sangkaan dan harapan untuk sembuh kembali setelah uzur.

    Akan tetapi, untuk individu yang tidak mampu berpuasa sejak awal uzurnya seperti orang yang sakit berat atau mengalami gastrik yang teruk, maka dia wajib membayar fidyah bagi hari Ramadan yang dilaluinya.

    Hal ini kerana kewajipan fidyah telah dikenakan kepadanya sejak awal.

Ketiga: Wajib Ganti Puasa Sahaja

Antara golongan yang wajib ganti puasa tetapi tidak wajib bayar fidyah adalah:

  • Perempuan yang menyusukan anak dan bimbang keselamatan dirinya jika berpuasa Ramadan.

    Tetapi sekiranya dia meninggalkan puasa kerana bimbangkan anaknya, maka dia perlu ganti puasa dan membayar fidyah.
  • Perempuan hamil yang bimbangkan keselamatan dirinya jika berpuasa Ramadan.
  • Orang yang musafir dan berbuka kerana musafirnya.
  • Orang yang sakit sehingga tidak dapat berpuasa kemudian.

Waktu Bayar Fidyah

Paling awal boleh membayar fidyah adalah seawal 2 Syawal. Ia berlarutan sehingga sebelum tiba Ramadan seterusnya. Manakala, bermula waktu membayar fidyah bagi orang yang tidak mampu berpuasa (sakit / orang tua tidak terdaya) adalah setelah terbit fajar pada hari tersebut.

Namun begitu, dia boleh sahaja mendahulukan membayar fidyah pada malam hari tersebut. Walaupun demikian, membayar fidyah bagi hari-hari yang belum dilaluinya adalah tidak dibenarkan menurut Mazhab Syafi’e.

Begitu juga tidak sah bagi seseorang yang mendahulukan membayar fidyah sebelum masuk bulan Ramadan.

Namun bagi mereka yang lewat membayar fidyah, ia tidaklah menyebabkan fidyah tersebut berganda.

Hal ini kerana kewajipan menjelaskan fidyah bagi orang yang tidak mampu berpuasa adalah bersifat tarakhi iaitu secara meluas dan tidak terikat dengan tempoh yang mendesak.

Lafaz Niat Fidyah

Tiada lafaz khusus untuk niat fidyah. Kita boleh berniat dalam Bahasa Melayu sahaja semasa membayar fidyah. Contoh lafaz fidyah adalah seperti berikut:

Inilah fidyah puasa yang wajib atas ku kerana Allah Taala.”

Hukum lafaz niat adalah sunat. Yang wajib adalah niat di dalam hati.

Adakah Bayaran Fidyah Akan Berganda?

Ya, kadar fidyah akan berganda dengan bertambahnya tahun.

Jesteru itu, sesiapa yang meninggalkan satu hari puasa Ramadan, namun dia tidak menggantikan puasa tersebut tanpa uzur sehinggalah masuk Ramadan tahun seterusnya — maka wajib ke atasnya membayar fidyah sebanyak satu cupak.

Hal ini kerana dia telah melewatkan qada puasa (fidyah ta’khir).

Perhatian

Pendapat tentang gandaan ini sebenarnya adalah khilaf dalam kalangan fuqaha.

Jika merujuk kepada pandangan mazhab Syafie pembayaran kafarah dan fidyah yang tertangguh hendaklah digandakan.

Ini berdasarkan qaul yang sahih :

((Barang siapa yang terlewat mengqada Ramadan pada tahun itu sedangkan ia berkemampuan melakukannya sehingga masuk Ramadan berikutnya maka wajib ke atasnya (membayar fidyah satu hari satu cupak) di samping ia mengqadakan puasa yang ditinggalkannya itu pada pendapat yang sahih fidyah itu berulang dengan berulangnya tahun- tahun yang ia luput itu, dan sekiranya ia melewatkan qada puasanya sedangkan ia mampu berbuat demikian maka jika ia mati di tahun itu. Maka hendaklah dikeluarkan fidyah itu daripada pusakanya setiap hari dua cupak: satu cupak untuk qada dan satu cupak lagi untuk kelewatannya )).

Tetapi keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang bersidang pada tahun 2001, maka diputuskan bahawa tidak wajib menggandakan fidyah, yakni hanya dibayar berdasarkan hari yang ditinggalkan sahaja biar pun sudah berlalu beberapa tahun.

Oleh itu, dalam situasi ini, bayaran fidyah itu bergantung kepada KEMAMPUAN pembayar fidyah itu sendiri.

  • Jika pembayar fidyah dan kafarah itu di kalangan orang kaya dan berkemampuan, maka pembayaran fidyah dan kafarah yang tertangguh hendaklah digandakan sesuai dengan qaul yang sahih dalam mazhab Imam Syafie.
  • Akan tetapi, jika pembayar fidyah dan kafarah itu di kalangan orang yang tidak berkemampuan, maka tidak perlu digandakan berpandukan kepada satu qaul yang lain di dalam mazhab Syafie.

Bayar Fidyah Dalam Bentuk Makanan Atau Memberi Wang Ringgit?

Terdapat dua pandangan ulama berkaitan hal ini:

  • Fidyah ini boleh dibayar dalam bentuk bahan makanan itu sendiri (beras) menurut pendapat Imam Syafi’e.
  • Namun begitu, Imam Hanafi mengharuskan secupak makanan itu dinilai dengan harga tertentu lalu dibayar kepada fakir miskin.

Umumnya, fuqaha seperti Ibnu Taimiyah dan Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi sendiri lebih cenderung agar fidyah boleh dikeluarkan dalam bentuk wang.

Di Malaysia, harga secupak beras hendaklah dinilai dengan harga beras yang biasa dimakan oleh rakyat negara ini.

Dalam konteks amalan hari ini, sudah pasti memberikan wang adalah lebih praktikal; apatah lagi melihat kepada zakat fitrah sendiri sudah ditunaikan dalam bentuk wang.

Pun begitu, adalah dinasihatkan, seandainya kita mahu mengeluarkan terus fidyah dalam bentuk wang kepada orang miskin, maka hendaklah diberitahu bahawa itu adalah wang fidyah.

Cara Kiraan Fidyah Puasa

Formula pengiraan fidyah adalah seperti berikut:

(Hari yang ditinggalkan) ⨯ (Tahun semasa – Tahun puasa yang ditinggalkan) ⨯ (1 Cupak) = FIDYAH

Di bawah ini saya sediakan contoh pengiraan fidyah berdasarkan beberapa situasi yang sering berlaku:

Contoh 1

Husin meninggalkan puasa selama 5 hari pada tahun 2016 dan masih belum menggantikan puasa tersebut sehinggalah masuknya Ramadan tahun 2021.

Kaedah pengiraan:

5 hari ⨯ (2021 – 2016) ⨯ 1 cupak = 25 cupak

Jika Husin ingin membayar fidyah dalam bentuk wang ringgit, maka jumlah 25 cupak tadi perlu didarabkan dengan ¼ daripada harga zakat fitrah sesebuah negeri. (Iaitu harga semasa untuk secupak beras)

Contohnya di Selangor, nilai zakat fitrah adalah RM7. Maka kadar fidyah sehari tinggal puasa adalah RM1.75 (iaitu ¼ daripada RM7.00).

25 cupak ⨯ RM1.75 = RM43.75

JUMLAH HARIJUMLAH TAHUNHARGA SECUPAK BERASJUMLAH
5 Hari2021 — 2016
(5 Tahun)
RM1.75
(1/4 Harga Zakat Fitrah)
RM43.75

Selain dari membayar fidyah, Husin juga diwajibkan untuk mengqadakan puasa 5 hari yang ditinggalkan tersebut

Contoh 2

Farah meninggalkan puasa Ramadhan pada tahun 2003 sebanyak 8 hari.

Puasa tersebut tidak diqada’ (ganti) sehinggalah masuk Ramadhan Tahun 2010.

Berapa jumlah fidyah yang perlu dibayar oleh Farah?

Kaedah pengiraan:

JUMLAH HARIJUMLAH TAHUNHARGA SECUPAK BERASJUMLAH
8 Hari2010 — 2003
(7 Tahun)
RM1.75
(1/4 Harga Zakat Fitrah)
RM98.00

Contoh 3: Jumlah Hari Berbeza Setiap Tahun

Ali meninggalkan puasa Ramadhan 3 tahun berturut – turut tanpa diqada’ puasa yang ditinggalkan sehingga Ramadhan Tahun 2021 seperti berikut:

  • Tahun 2018 tinggal puasa 6 hari
  • Tahun 2019 tinggal puasa 5 hari
  • Tahun 2020 tinggal puasa 7 hari

Bagaimana kaedah pengiraan fidyah bagi Ali?

Kaedah pengiraan:

Langkah 1

Kira jumlah tahun puasa yang ditinggalkan oleh Ali, iaitu jumlah dia telah melangkaui Ramadhan berikutnya.

Oleh itu, jumlah tahun ditinggalkan puasa dari tahun:

  1. Dari 2018 hingga masuk Ramadhan 2021 ialah 3 tahun
  2. Dari 2019 hingga masuk Ramadhan 2021 ialah 2 tahun
  3. Dari 2020 hingga masuk Ramadhan 2021 ialah 1 tahun
Langkah 2

Darabkan setiap jumlah tahun tinggal puasa dengan jumlah hari tinggal puasa kemudian didarabkan dengan ¼ nilai zakat fitrah semasa (nilai satu cupak beras).

JUMLAH HARIJUMLAH TAHUNHARGA SECUPAK BERASJUMLAH
6 Hari2021 — 2018
(3 Tahun)
RM1.75
(1/4 Harga Zakat Fitrah)
RM31.50
5 Hari 2021 — 2019
(2 Tahun)
RM1.75
(1/4 Harga Zakat Fitrah)
RM17.50
7 Hari 2021 — 2020
(1 Tahun)
RM1.75
(1/4 Harga Zakat Fitrah)
RM12.25
RM61.25
  • Kadar zakat fitrah adalah berbeza antara setiap negeri. Oleh itu, sila pastikan harga zakat fitrah di kawasan anda.
  • Jika anda berhajat membayar fidyah dalam bentuk beras, gunakan formula ini untuk menentukan jumlah cupak beras:

Selain dari membayar jumlah fidyah di atas, Ali juga diwajibkan untuk mengqadakan puasa 18 hari yang ditinggalkan tersebut.

Contoh 4: Fidyah Untuk Puasa Yang Telah Diganti Sebahagian Daripadanya

Zaid meninggalkan puasa sebanyak lima hari pada tahun 2015, enam hari pada tahun 2016, dan tujuh hari pada tahun 2017.

Zaid telah menggantikan lima hari puasa sebelum tibanya Ramadan tahun 2018.

Untuk tahun 2018 dan 2019 Zaid dapat berpuasa penuh sebulan Ramadan kedua-dua tahun tersebut. Walaupun begitu, Zaid masih tidak menggantikan baki puasa yang tertinggal pada tahun-tahun sebelumnya.

Persoalannya, berapakah baki puasa yang perlu diqada dan berapakah jumlah fidyah yang perlu dibayar jika telah melepasi Ramadan 2020.

Kaedah pengiraan:

Perhatian
  1. Kadar bayaran fidyah puasa untuk tahun 2015 tidak akan berganda selepas tahun 2018 kerana Zaid sudah pun menggantikan puasa 5 hari tersebut sebelum Ramadan 2018.
  2. Apabila puasa telah diqada, maka gandaan bilangan cupak / fidyah akan terhenti.
  3. Oleh itu, kadar fidyah puasa tahun 2015 dikira dari tahun 2015 — tahun 2017 sahaja.
  4. Kadar fidyah untuk puasa 2016 & 2017 tetap berganda sehingga 2020 kerana Zaid belum menggantikan puasa bagi tahun-tahun tersebut.
TAHUNJUMLAH HARIJUMLAH TAHUNHARGA SECUPAK BERASJUMLAH
20155 Hari2 Tahun
(2017 — 2015)
※ Dikira sehingga 2017 sahaja kerana zaid telah ganti puasa untuk tahun tersebut ※
RM1.75
(1/4 Harga Zakat Fitrah)
RM17.50
20166 Hari 4 Tahun
(2020 — 2016)
RM1.75
(1/4 Harga Zakat Fitrah)
RM42.00
20177 Hari 3 Tahun
(2020 — 2017)
RM1.75
(1/4 Harga Zakat Fitrah)
RM36.75
RM96.25
  • Kadar zakat fitrah adalah berbeza antara setiap negeri. Oleh itu, sila pastikan harga zakat fitrah di kawasan anda.
  • Jika anda berhajat membayar fidyah dalam bentuk beras, gunakan formula ini untuk menentukan jumlah cupak beras:

Oleh itu, tanggungjawab yang wajib ditunaikan oleh Zaid adalah:

  • Membayar fidyah sebanyak RM96.25 kepada fakir miskin
  • Qada puasa sebanyak 13 hari sebelum tiba Ramadan tahun 2020.

Contoh 5: Fidyah Untuk Orang Sakit & Tiada Harapan Sembuh

Pak Din meninggalkan puasa selama 6 tahun kerana sakit kronik dan disahkan doktor tidak boleh berpuasa serta tiada harapan untuk sembuh.

JUMLAH HARIJUMLAH TAHUNHARGA SECUPAK BERASJUMLAH
30 Hari6 Tahun RM1.75
(1/4 Harga Zakat Fitrah)
RM315.00
Nota
  • Orang yang sakit yang penyakitnya pada adat tidak akan sembuh atau tersangat tua maka keduanya tidak wajib puasa Ramadhan dan hanya wajib membayar fidyah.
  • Orang yang hendak membayar fidyah puasa boleh memilih antara membayar pada awal Ramadhan atau pada hujung Ramadhan.
  • Harus membayar fidyah awal, tetapi setelah masuknya bulan Ramadhan. Jika membayar awal sebelum masuknya bulan Ramadhan adalah tidak sah.
  • Kaedah bayaran fidyah boleh dilakukan secara setiap hari satu fidyah, atau bayar sekaligus semua fidyah.

※ Penjelasan terperinci boleh dibaca pada pautan ini

Contoh 6: Fidyah Untuk Waris Yang Telah Meninggal

Hajah Zainab meninggalkan puasa kerana sakit dari tahun 2001 serta disahkan doktor tidak boleh berpuasa dan tiada harapan untuk sembuh.

Kemudian Hajah Zainab telah meninggal dunia selepas Ramadhan pada tahun 2005.

Waris beliau menyatakan hasrat ingin membayar fidyah bagi si mati selepas ramadhan 2010. Bagaimana kaedah pengiraan fidyah bagi Allahyarhamah Hajah Zainab?

Kaedah pengiraan:

Tahun tinggal puasa bagi si mati hanya diambil kira bermula dari si mati meninggalkan puasa sehingga meninggal dunia sahaja

Oleh itu, ia dikira dari Ramadhan 2001 sehingga Ramadhan 2005 sahaja.

Maka, jumlah tahun puasa yang ditinggalkan puasa adalah:

Tahun 2005 — Tahun 2001 = 4 Tahun

JUMLAH HARIJUMLAH TAHUNHARGA SECUPAK BERASJUMLAH
30 Hari4 Tahun RM1.75
(1/4 Harga Zakat Fitrah)
RM210.00

Jumlah fidyah yang harus dikeluarkan atas Allahyarhamah Hajah Zainab adalah RM210.00 sahaja.

Isu & Persoalan Lazim Berkaitan Fidyah

Berikut disenaraikan beberapa isu dan masalah yang sering timbul berkaitan dengan fidyah puasa.

Siapakah golongan fakir miskin yang layak diberi fidyah kepada mereka?

Fakir miskin ialah orang yang tidak mempunyai harta/pendapatan untuk menyara diri dan keluarga di bawah tanggungannya (sama ada kerana sakit, kurang upaya, belum mendapat pekerjaan atau sebagainya) atau mereka mempunyai pendapatan, tetapi tidak mencukupi (seperti memiliki gaji bulanan tetapi gaji itu tidak mampu menampung keperluan diri dan keluarganya)

Fidyah seharusnya diberikan kepada seorang atau ramai?

Boleh diberikan semua kepada seorang miskin atau 10 orang di antara mereka.

Bolehkah fidyah diganti dengan duit?

Menurut Mazhab Syafi’e, afdhal (lebih baik) membayar fidyah dengan beras. Walau bagaimanapun, fidyah beras boleh diganti dengan nilai duit mengikut harga beras semasa.

Adakah sah fidyah dengan makanan yang dimasak terlebih dahulu?

Tidak sah. Fidyah hendaklah dengan beras atau makanan asasi yang belum dimasak atau dengan duit senilai harga makanan tersebut.

Jika seseorang itu berpuasa Ramadan, kemudian meninggal dunia pada 2 Syawal pada tahun yang sama, adakah wajib dikeluarkan fidyah untuknya?

Tidak wajib kerana dia meninggal dunia dalam tempoh yang tidak membolehkannya qadha puasa yang ditinggalkannya.

Jika seseorang itu telah membayar fidyah atas perbuatannya yang telah membatalkan puasa dalam bulan Ramadan, adalah dia masih perlu mengqadha puasa?

Ya, dia wajib berpuasa walaupun sudah membayar fidyah. Pembayaran fidyah tidak menghapuskan tanggungjawabnya untuk qadha puasa kecuali kepada orang tua yang tidak berdaya untuk puasa dan orang sakit teruk yang tidak ada harapan sembuh.

Bolehkah waris membayar fidyah puasa untuk ahli keluarga yang telah meninggal dunia?

Boleh. Penerangannya seperti yang telah dijelaskan sebelum ini.

Kesimpulan

Saya berharap panduan ini dapat membantu anda memahami topik fidyah puasa ini dengan jelas.

Jika anda mempunyai masalah berkaitan pengiraan fidyah dan memerlukan bantuan saya, anda boleh nyatakan perkara tersebut pada ruangan komen di bawah.

InsyaaAllah saya akan membantu.

Semoga bermanfaat, terima kasih.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

45 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
dee
dee
1 bulan yang lalu

Assalamualaikum ustaz, boleka kalau saya sebagai kakak membayarkan fidyah adik saya yang sudah baligh dan dia tidak mampu untuk membayar??

Last edited 1 bulan yang lalu by dee
sya
sya
1 bulan yang lalu

tahun 2020 – 5 hari tinggal puasa (tahun 2023 saya dah bayar fidyah, masa tu saya bayar 5hari x 3 tahun)

2024 saya tak sempat qada puasa lagi untuk 5 hari puasa. jadi perlu bayar fidyah lagi?
5 hari x 4 tahun?
atau
5 hari x1 tahun?

Yatt
Yatt
1 bulan yang lalu

Assalamualaikum.

SITUASI :-
Fidyah telah dibayar secara online kepada Majlis Agama Islam Negeri melalui portal websiteb e-fidyah Majlis Agama Islam Negeri di mana Majlis Agama Islam Negeri telah menyediakan kalkulator pengiraan beserta harga nilai semasa secupak beras untuk negeri tersebut di laman web portal e-fidyah mereka.

PERSOALAN:-
Adakah fidyah si pembayar dikira sah sekiranya, bayaran online fidyah kepada Majlis Agama Islam Negeri dibuat 2 hari sebelum masuknya 1hb Ramadhan, di mana Majlis Agama Islam Negeri tidak sempat mengagihkan bayaran (= beras) tersebut kepada fakir miskin dan duit bayaran fidyah si pembayar masih kekal di dalam simpanan Majlis Agama Islam Negeri sehinggalah masuknya 1 Ramadhan.

Adi
Adi
3 bulan yang lalu

Asalam macam mana pula klau lupa berapa tahun sudah

Adi
Adi
Reply to  Muhamad Naim
3 bulan yang lalu

Hari tu ingat mungkin 2 atau 3 hari yg tak ingat cuma sudah berapa tahun tak ganti puasa je

Last edited 3 bulan yang lalu by Adi
Zairul
Zairul
3 bulan yang lalu

Terima kasih 🙏

tasha
tasha
5 bulan yang lalu

berapa saya perlu bayar fidyah (negeri pahang)jika saya tinggal puasa tahun 2020 sebanyak 8 hari (belum qadha puasa),
tahun 2021 sebanyak 9 hari (belum qadha ) ,
tahun 2022 sebanyak 8 hari ( sudah qadha berniat ganti untuk tahun 2022) ,
dan tahun 2023 sebanyak 8 hari (belum qadha)

bila waktu saya perlu bayar fidyah ?

Last edited 5 bulan yang lalu by tasha
Husna
Husna
6 bulan yang lalu

Assalamualaikum ustaz, saya tak pernah ganti puasa dari start saya baligh umur 11 tahun sebab tak de siapa yang guide. Saya tahu kena ganti puasa tapi tak der siapa yang tolong saya. Sekarang saya dah berumur 22 tahun, ada pendapatan sendiri. Kalau saya bayar fidyah saya pada ahli keluarga saya yang miskin boleh ke? Pengiraan fidyah pun saya tak tahu nak letak berapa hari sebab benda dah lama dan saya tak tulis dekat mana mana. Jadi perlu ke saya ganti tahun yang saya tak ingat tu pada 30 hari puasa?

Husna
Husna
Reply to  Husna
6 bulan yang lalu

Saya nak tanya jugak, berapa harga sebenarnya 1 cupak beras untuk tahun 2023 ni ye? Saya nak kira tapi tak tahu ikut harga yang mana

Amran bin abdullah
Amran bin abdullah
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum ustaz saya diselangor sebagai contoh saya saja nak bayar fidyah utk arwah orang tua saya selama 40tahun berapa tu ustaz

Last edited 1 tahun yang lalu by Amran bin abdullah
zhaki
zhaki
1 tahun yang lalu

Aslmualaikum ustaz…sekiranya fidyah puasa yang ditinggalkan pada tahun 2015 hingga tahun 2022 telah dibayar tetapi puasa yang ditinggalkan tersebut masih belum diqada’ setelah ramadan 2023, apakah fidyah puasa yang ditinggalkan tahun 2015 hingga 2022 perlu dibayar sekali lagi

Nur
Nur
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum , saya nak tnya sekiranya dari tahun 2016 sehingga masuk ramadhan tahun 2022 tidak mengantikan puasa kiraannya adalah 2022-2016 = 6thn atau 7tahun? Mohon penjelasan