NIAT & CARA SOLAT SUNAT HAJAT (Doa Hajat Lengkap)

solat sunat hajat

Ini adalah panduan lengkap cara Solat Hajat dan Doa Solat Hajat.

Anda akan dibimbing secara langkah-demi-langkah dengan mudah.

Apa yang menarik:

Panduan solat hajat ini dipermudahkan dengan ejaan rumi & audio untuk membantu sesiapa yang mengalami kesukaran membaca skrip tulisan arab.

Jika anda memerlukan panduan ini, jom kita mulakan.

Maksud Solat Hajat

Hajat dari segi bahasa merujuk kepada keperluan atau memohon sesuatu. Solat Hajat dikerjakan apabila kita memohon sesuatu hajat daripada Allah. Sama ada memohon kebaikan atau pun menolak sesuatu keburukan.

Imam al-Syatibi mentakrifkan hajat sebagai sesuatu yang amat diperlukan oleh seseorang untuk melapangkannya daripada situasi kesempitan yang lazimnya membawa kepada kesukaran.

Allah berfirman:

Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Surah Ghafir ayat 60

Tidak kira sama ada doa itu dalam keadaan terdesak atau semata-mata menunaikan kewajipan, setiap doa pasti Allah akan beri perhatian.

Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah menerusi sabdanya yang bermaksud:

Doa itu ialah senjata orang Mukmin, tiang agama dan cahaya langit dan bumi (Riwayat al-Hakim no. 1218)

Bertepatan dengan maksud solat dari segi bahasa sebagai doa, maka ibadat solat merupakan jalan yang terbaik untuk kita mengajukan doa, hajat dan permohonan kepada Allah.

Diharapkan dengan solat yang kita laksanakan secara bersungguh-sungguh, Allah SWT akan memperkenankan doa yang kita hajati.

Solat sunat hajat boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja sama ada pada siang dan malam, kecuali pada waktu yang diharamkan solat.

Terutama apabila ada suatu hajat yang baik untuk dipohon kepada Allah SWT.

Namun sebaik-baiknya, solat hajat dilakukan pada waktu tengah malam sama ada pukul satu, dua atau tiga pagi, bagi menghadirkan rasa ketenangan, kesungguhan dan penuh pengharapan kepadaNya.

Setelah bangun daripada tidur, terlebih dahulu hendaklah Solat Tahajjud.

Kemudian dibacakan al-Fatihah sekali untuk dihadiahkan kepada Nabi Muhammad SAW, arwah kaum muslimin muslimat dan arwah ibu bapa.

Selepas itu barulah dimulakan solat sunat hajat ini.

Ada pendapat yang masyhur dalam Mazhab Syafi’e adalah sebanyak dua rakaat, sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Abdullah bin Abu Awfa.

Namun, terdapat juga pendapat yang berlainan tentang bilangan rakaat solat sunat hajat. Ada yang berpendapat empat rakaat ada juga yang berpendapat dua belas rakaat.

Secara kesimpulannya, solat ini boleh dilakukan sekurang-kurangnya dua rakaat dan sebanyak-sebanyaknya 12 rakaat.

Solat hajat paling afdal ialah 12 rakaat, 6 kali salam (Menurut Imam al-Ghazali dalam Kitab ihya’ Ulumuddin)

Lafaz niat Solat Sunat Hajat adalah seperti berikut:

أُصَلِّي سُنَّةَ الحَاجَةِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Sunnatal Hajati Rak’ataini Lillahi Taala

Maksudnya:

Sahaja aku solat sunat hajat dua rakaat kerana Allah Taala

Penjelasan Tambahan

Menurut Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, niat itu tempatnya di dalam hati. Sekiranya seseorang melafazkan niat dengan lidah secara perlahan bagi membantu menghadirkan hati, maka perbuatan itu dibolehkan dan dianggap sunat.

Namun begitu, sekiranya ia mengganggu kekhusyukan, lebih baik meninggalkannya dan mencukupkan dengan niat di dalam hati sahaja.

  • Pastikan niat dilakukan berserta keikhlasan dan kesungguhan untuk memohon hajat dan keampunan daripada Allah SWT.
  • Niat tidak perlu dilafazkan secara kuat. Cukup sekadar didengar oleh diri sendiri untuk membantu menumpukan hati.

Semoga Allah menerima taubat kita dan mengampunkan segala dosa yang telah dilakukan, insyaAllah.

Cara Mengerjakan Solat Hajat

Ringkasan Cara Melakukan Solat Hajat

  • Solat Hajat dimulakan dengan takbiratul ihram sambil niat dalam hati: “Sahaja aku solat sunat hajat dua rakaat kerana Allah Taala”.
  • Bacaan dalam Solat: Bacalah surah al-Fatihah kemudian Ayat Kursi atau mana-mana surah lazim yang dihafaz.
  • Lakukan rukuk, kemudian sujud dua kali. Pastikan anda menjaga tuma’ninah (ketenangan) dalam setiap gerakan.
  • Rakaat Kedua: Bangun untuk rakaat kedua dengan membaca takbir. Bacalah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas atau surah lazim yang lain. Kemudian lakukan lagi rukuk dan sujud. Dalam sujud terakhir, bacalah doa Nabi Yunus: “lā ilāha illā anta, subḥānaka innī kuntu minaẓ-ẓālimīn” dan pohonlah sebarang hajat dalam hati.
  • Tahiyyat Akhir dan Salam: Setelah selesai rakaat kedua, duduk untuk tahiyyat akhir. Akhiri solat dengan memberi salam.
  • Bagi orang yang ingin melaksanakan Solat Sunat Hajat lebih daripada dua rakaat, hendaklah dia terus bangun untuk menambah dua rakaat lagi.
  • Setelah menunaikan solat Hajat, berdoalah dengan hati yang ikhlas dan rendah diri, meminta kepada Allah SWT agar dimakbulkan hajat-hajat yang dipohon, diampuni dosa-dosa, dan dilapangkan jalan untuk mendapatkan keberkatan serta rezeki yang halal.

Di bawah ini adalah tatacara mengerjakan Solat Hajat secara langkah demi langkah:

Rakaat Pertama

1

Solat Hajat Dimulakan Dengan Takbiratul ihram dan Niat

Semasa mengangkat takbir, bacakan niat solat sunat hajat dalam hati:

أُصَلِّي سُنَّةَ الحَاجَةِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Sunnatal Hajati Rak’ataini Lillahi Taala

Atau anda boleh berniat dalam Bahasa Melayu sahaja, “Sahaja aku Solat Sunat Hajat dua rakaat kerana Allah Taala

Nota

Jika anda tidak dapat berniat dalam hati serentak dengan takbiratul ihram, maka boleh lakukan takbiratul ihram dahulu kemudian diikuti oleh niat dalam hati beberapa detik kemudian.

Cara mengangkat takbir (takbiratul ihram) dalam solat

Ucapkan takbir “Allahuakbar” dengan jelas (dapat didengari oleh telinga sendiri) sambil mengangkat tangan dan berniat di dalam hati.

اَللَّهُ أَكْبَرُ

Allahuakbar!

Maksud Bacaan

Allah Maha Besar!


2

Kemudian, Bacalah Doa Iftitah

Hukum membaca Doa Iftitah dalah sunat hai’ah. Tidak mengapa jika bacaan doa ini ditinggalkan.

اَللّٰهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالحَمْدُ لِلّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا وَجَّهْتُ وَجْهِىَ لِلَّذِى فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحْيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ لَا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Allāhu Akbaru Kabīrāw Wal-Ḥamdu Lillāhi Kathīrāw Wa Subḥānal-Lāhi Bukrataw Wa Aṣīlā. Wajjahtu Wajhiya Lilladhī Faṭaras-Samāwāti Wal-Arḍa Ḥanīfan Muslimāw Wa Mā Anā Minal-Mushrikīn. Inna Ṣalātī Wa Nusukī Wa Maḥyāya Wa Mamātī Lillāhi Rabbil-‘Ālamīn. Lā Sharīka Lahū Wa Bidzālika Umirtu Wa Anā Minal-Muslimīn.

Maksud Bacaan

Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah. Maha Suci Allah pagi dan petang. Aku hadapkan mukaku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, hal keadaannya bersih dalam Islam. Tidaklah aku dari golongan orang-orang yang mensyirikkan Tuhan. Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidup dan matiku bagi Allah, Tuhan yang memiliki alam keseluruhannya. Tidak ada bersekutu denganNya sesuatu dan dengan demikian aku disuruh dan aku dari golongan muslimin.


3

Bacalah Surah al-Fatihah.

Pada kebiasaannya, solat sunat terus dibaca al Fatihah tanpa Doa Iftitah terlebih dahulu. Tetapi jika ingin membaca Doa Iftitah juga, maka ia adalah perbuatan sunat (dapat pahala membaca)

Surah al-Fatihah adalah sebahagian daripada rukun solat. Oleh itu ia wajib dibacakan dalam semua solat.

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ١ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ٢ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ٣ مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ٤ إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ ٥ ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ٦ صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ ٧

Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Sirāṭallażīna an‘amta ‘alaihim, ghairil-magḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn

Maksud Bacaan

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan Mentadbirkan Alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami Sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukkan kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.


4

Kemudian, Bacalah Ayat Kursi Atau Mana-Mana Surah Lazim

Selesai baca al-Fatihah, maka bacalah pula ayat kursi atau mana-mana surah pendek daripada mana-mana surah dalam al-Quran.

Ayat Kursi adalah seperti berikut:

Ayat Kursi (Al Baqarah 255)

ٱللَّهُ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡحَيُّ ٱلۡقَيُّومُۚ لَا تَأۡخُذُهُۥ سِنَةٞ وَلَا نَوۡمٞۚ لَّهُۥ مَا فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِي ٱلۡأَرۡضِۗ مَن ذَا ٱلَّذِي يَشۡفَعُ عِندَهُۥٓ إِلَّا بِإِذۡنِهِۦۚ يَعۡلَمُ مَا بَيۡنَ أَيۡدِيهِمۡ وَمَا خَلۡفَهُمۡۖ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَيۡءٖ مِّنۡ عِلۡمِهِۦٓ إِلَّا بِمَا شَآءَۚ وَسِعَ كُرۡسِيُّهُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَۖ وَلَا يَـُٔودُهُۥ حِفۡظُهُمَاۚ وَهُوَ ٱلۡعَلِيُّ ٱلۡعَظِيمُ ٢٥٥

Allāhu Lā Ilāha Illā Huw, Al-Ḥayyul-Qayyūm, Lā Ta’khużuhū Sinatuw Wa Lā Naum, Lahū Mā Fis-Samāwāti Wa Mā Fil-Arḍ, Man Żallażī Yasyfa‘U ‘Indahū Illā Bi’iżnih, Ya‘Lamu Mā Baina Aidīhim Wa Mā Khalfahum, Wa Lā Yuḥīṭūna Bisyai’im Min ‘Ilmihī Illā Bimā Syā’, Wasi‘A Kursiyyuhus-Samāwāti Wal-Arḍ, Wa Lā Ya’ūduhū Ḥifẓuhumā, Wa Huwal-‘Aliyyul-‘Aẓīm

Maksud Bacaan

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi, dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya).


5

Selesai Membaca Surah, Teruskan Dengan Rukuk

Posisi dan cara melakukan rukuk dalam solat

Belakang badan perlu rata, pandangan dihalakan ke tempat sujud dan tangan  diletakkan di kepala lutut dalam keadaan selesa.

Bacaan dalam rukuk adalah sama seperti bacaan rukuk solat fardu iaitu:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ

SubHaaNa Rabbiyal A’zim Wabihamdih (3x)

Maksud Bacaan

“Maha Suci Tuhanku yang Maha Agung, serta segala puji bagi-Nya.”


6

Kemudian Bangun Iktidal

Kedudukan ketika iktidal

Bangun dari rukuk dan berdirilah tegak (iktidal). Kemudian bacalah bacaan iktidal seperti ini:

سَمِعَ اللّٰهُ لِمَنْ حَمِدَهُ

Sami Allahu Liman Hamidah

Maksud Bacaan

“Allah mendengar orang yang memuji-Nya.”


7

Selepas Iktidal, Teruskan Dengan Turun Melakukan Sujud

Kedudukan atau posisi yang betul ketika sujud dalam solat

Semasa dahi menyentuh lantai dalam sujud, maka bacakan bacaan sujud seperti ini:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ

Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih (3x)

Maksud Bacaan

Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya


8

Kemudian Duduk Diantara Dua Sujud

Posisi istirahah atau cara duduk antara dua sujud dalam solat

Setelah selesai bacaan sujud sebanyak 3 kali, maka bangkit dari sujud dan duduklah dalam posisi di atas (antara dua sujud atau istirahah).

Kemudian bacalah bacaan tasbih antara dua sujud seperti ini:

رَبِّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَاجْبُرْنِي وَارْفَعْنِي وَارْزُقْنِي وَاهْدِنِي وَعَافِنِي وَاعْفُ عَنِّي

Rabbigfirli Warhamni Wajburni Warfagni Warzuqni Wahdini Wa ‘AaFini Wa’fu Anni

Maksud Bacaan

“Ya Tuhanku, ampunilah aku, rahmatilah aku, cukupkanlah kekuranganku, angkatlah darjatku, berilah rezeki kepadaku, berilah petunjuk kepadaku, sihatkanlah aku, dan maafkanlah kesalahanku.”


9

Kemudian Lakukan Sujud Kedua

Sujud kali kedua dalam solat

Selesai bacaan tasbih antara dua sujud, turunlah bersujud sekali lagi. Seperti sujud sebelumnya, bacalah bacaan dalam sujud.

سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ

Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih (3x)

Maksud Bacaan

Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya


10

Duduk Istirahat Seketika Sebelum Bangun Untuk Rakaat Kedua.

Sebelum bangun ke rakaat kedua, duduk istirahat sebentar (lebih kurang 3 saat) sebelum bangun berdiri untuk rakaat seterusnya.

Posisi atau cara duduk istirahat
Posisi Duduk Istirahat

Dalam kedudukan ini tidak perlu dibaca apa-apa. Hanya perlu diam menghayati solat.

Rakaat Kedua

11

Rakaat Kedua Dimulai Dengan Lafaz Takbir intiqalat

Selepas bangun dari duduk istirahah, maka bertakbirlah sekali lagi untuk rakaat kedua. Takbir ini dikenali sebagai takbir intiqalat.

(Takbir intiqalat bermaksud takbir permulaan rakaat kedua).

Takbir intiqalat

اَللَّهُ أَكْبَرُ

Allahuakbar!


12

Baca Surah al-Fatihah

Seperti rakaat pertama, sekali lagi pada rakaat kedua dibacakan surah al-Fatihah.

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ١
ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ٢ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ٣ مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ٤ إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ ٥ ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ٦ صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ ٧

Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Sirāṭallażīna an‘amta ‘alaihim, ghairil-magḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn

Maksud Bacaan

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan Mentadbirkan Alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami Sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukkan kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.


13

Seterusnya Sekali Lagi Membaca Surah Lazim

Setelah selesai membaca al-Fatihah, maka bacalah pula surah seterusnya. Antara surah yang boleh dibacakan adalah surah al-ikhlas

Surah Al Ikhlas

قُلۡ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ ١ ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ ٢ لَمۡ يَلِدۡ وَلَمۡ يُولَدۡ ٣ وَلَمۡ يَكُن لَّهُۥ كُفُوًا أَحَدُۢ ٤

Qul Huwallāhu Aḥad. Allāhuṣ-Ṣamad. Lam Yalid Wa Lam Yūlad. Wa Lam Yakul Lahū Kufuwan Aḥad

Maksudnya:

Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.



Seperti rakaat pertama, kita bebas untuk membaca mana-mana surah yang kita sukai atau ingat.


14

Selesai Membaca Surah, Teruskan Dengan Rukuk

cara rukuk solat

Asas dalam melakukan rukuk adalah keadaan belakang badan perlu rata, pandangan dihalakan ke tempat sujud dan tangan  diletakkan di kepala lutut dalam keadaan selesa.

Seperti sebelumnya, bacaan rukuk adalah:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ

SubHaaNa Rabbiyal A’zim Wabihamdih (3x)

Maksud Bacaan

“Maha Suci Tuhanku yang Maha Agung, serta segala puji bagi-Nya.”


15

Kemudian Bangun Iktidal

Posisi dan cara iktidal

Bangun dari rukuk dan berdirilah tegak (iktidal), kemudian bacalah:

سَمِعَ اللّٰهُ لِمَنْ حَمِدَهُ

Sami Allahu Liman Hamidah

Maksud Bacaan

“Allah mendengar orang yang memuji-Nya.”


16

Selepas Iktidal, Teruskan Dengan Melakukan Sujud

cara sujud dalam solat

Semasa sujud bacakan bacaan sujud:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ

Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih (3x)

Maksud Bacaan

Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya


17

Kemudian Duduk Diantara Dua Sujud

Posisi duduk antara dua sujud

Baca bacaan antara dua sujud:

رَبِّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَاجْبُرْنِي وَارْفَعْنِي وَارْزُقْنِي وَاهْدِنِي وَعَافِنِي وَاعْفُ عَنِّي

Rabbigfirli Warhamni Wajburni Warfagni Warzuqni Wahdini Wa ‘AaFini Wa’fu Anni

Maksud Bacaan

“Ya Tuhanku, ampunilah aku, rahmatilah aku, cukupkanlah kekuranganku, angkatlah darjatku, berilah rezeki kepadaku, berilah petunjuk kepadaku, sihatkanlah aku, dan maafkanlah kesalahanku.”


18

Kemudian Lakukan Sujud Kedua

Sujud kali kedua

Semasa sujud bacakan bacaan sujud:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ

Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih

Maksud Bacaan

Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya

Bacaan Tasbih Dalam Sujud Akhir

Sujud solat witir

Semasa sujud akhir (sebelum bangun untuk tahiyat), ucapkanlah sebagaimana berikut sebanyak 40 kali:

لَا إِلٰـهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّى كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

Laa ilaaha illa Anta Subhanaka Inni Kuntu Minazzolimin

Maksudnya:

Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim

Memohon Hajat Semasa Dalam Sujud Terakhir

Jika tidak dibaca tasbih tersebut, atau setelah cukup bilangan bacaan tasbih,  maka pohonlah sebarang hajat di dalam hati sewaktu masih dalam keadaan sujud itu. 

Mudah-mudahan Allah memakbulkan hajat kita kerana antara tempat paling mustajab berdoa adalah semasa didalam sujud.[1]


19

Bangun Dari Sujud, Terus Lakukan tahiyyat akhir 

Posisi atau cara tahiyat akhir

Seperti bacaan tahiyat akhir solat-solat fardu, bacaan tahiyat adalah seperti berikut:

التَّحِيَّاتُ الْمُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ ِللّٰهِ. السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ. السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللّٰهِ الصَّالِحِينَ. أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللّٰهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللّٰهِ. اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ. كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ. كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

At-taḥiyyātu al-mubārakātu aṣ-ṣalawātu aṭ-ṭayyibātu lillāh. As-salāmu ‘alaika ayyuhan-nabiyyu wa raḥmatullāhi wa barakātuh. As-salāmu ‘alainā wa ‘alā ‘ibādillāhi aṣ-ṣāliḥīn. Ash-hadu alla ilāha illallāh, wa ash-hadu anna Muḥammadar-rasūlullāh. Allāhumma ṣolli ‘alā Muḥammad, wa ‘alā āli Muḥammad, kamā ṣollaita ‘alā Ibrāhīm wa ‘alā āli Ibrāhīm. Wa bārik ‘alā Muḥammad wa ‘alā āli Muḥammad, kamā bārakta ‘alā Ibrāhīm wa ‘alā āli Ibrāhīma fil-‘ālamīn, innaka ḥamīdun majīd.

Maksud Bacaan

Segala kehormatan, keberkatan, segala doa (solat) dan kebaikan untuk Allah, keselamatan, rahmat Allah dan berkatNya tetap kepadamu ya Nabi. Keselamatan mudah-mudahan tetap kepada kami dan hamba-hamba Allah yang soleh. Aku mengaku tiada tuhan yang disembah melainkan Allah. Dan aku mengaku Nabi Muhammad SAW ialah pesuruh Allah. Ya Allah, berilah rahmat kepada Penghulu kami Nabi Muhammad dan keluarga Sayidina Muhammad. Sebagaimana Engkau merahmati Sayidina Nabi Ibrahim dan keluarga Sayidina Nabi Ibrahim. Berkatilah penghulu kami Sayidina Nabi Muhammad dan keluarga Penghulu kami Sayidina Muhammad.Sebagaimana Engkau memberkati Sayidinia Nabi Ibrahim dan keluarga Sayidina Nabi Ibrahim. Di alam semesta ini, Engkau sahajalah Yang Paling Terpuji dan Yang Paling Mulia


20

Setelah Selesai Membaca Tahiyat, Akhiri Solat Hajat Dua Rakaat Pertama Ini Dengan Memberi Salam.

Akhiri solat hajat dua rakaat pertama dengan memberi salam sebanyak dua kali, iaitu bermula dengan memberi salam ke sebelah kanan dan kemudian memberi salam kedua sambil memalingkan muka ke sebelah kiri.

memberi salam dalam solat

Pada salam pertama, palingkan muka ke sebelah kanan dan ucapkan salam seperti berikut:

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّٰهِ

Assalamualaikum Warahmatullah

Maksud Bacaan

Salam sejahtera untuk kamu, juga rahmat Allah dan berkatNya

… kemudian palingkan pula muka ke sebelah kiri dan ucapkan salam kedua:

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّٰهِ

Assalamualaikum Warahmatullah

Bagi orang yang ingin melaksanakan Solat Sunat Hajat 4 rakaat, hendaklah dia terus bangun untuk menambah dua rakaat lagi setelah selesai solat dua rakaat yang pertama.

Sesudah salam, bacalah istighfar, zikir dan doa semoga dimakbulkan hajat yang dipohon.

1

Membaca Istighfar

أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ العَظِيمَ الَّذِي لَا إِلٰـهَ إِلَّا هُوَ الحَيُّ القَيُّومُ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ

 AstaghFirullahal ‘Aziim al-LaDzii LaaHa illa Huwal Hayyul Qayyumu Wa AtuuBu ilaih (10 Kali) 

Aku memohon ampun kepada Allah Yang Maha Agung, tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Hidup lagi Maha Mengurus segala urusan, dan aku bertaubat kepadaNya.

2

Membaca Tasbih & Tahmid

سُبْحَانَ اللّٰهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلٰـهَ إِلَّا اللهُ أَكْبَرُ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ

 SubHaNallahi WalHamduLillah Wa Laa IlaaHa illallahu Wallahu Akbar, Walaa HawLa Walaa Quwwata Illa Billahi ‘Aliyyil ‘Aziim (10 Kali) 

Maha Suci Allah dan segala pujian hanya bagi Allah dan tiada tuhan (yang layak disembah) selain Allah dan Allah Maha Besar. Dan tiada daya dan upaya kecuali dengan izin Allah yang Maha Tinggi dan Maha Agung.

3

Membaca Selawat Ke Atas Nabi ﷺ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

 Allahumma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammad Wa ‘Ala Aali Sayyidina Muhammad (10 Kali) 

Ya Allah, limpahilah kesejahteraan ke atas junjungan Nabi Muhammad dan ke atas keluarga junjungan Nabi Muhammad.

4

Membaca Doa Solat Hajat

Doa Pilihan 1

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مُوْجِبَاتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ، وَالْغَنِيْمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ، وَالسَّلَامَةَ مِنْ كُلِّ إِثْمٍ، وَالْفَوْزَ بِالْجَنَّةِ، وَالنَّجَاةَ مِنَ النَّارِ.

اللَّهُمَّ إِنَّكَ تَسْمَعُ كَلَامِي، وَتَرَى مَكَانِي وَتَعْلَمُ سِرِّي وَعَلَانِيَتِي وَلَا يَخْفَى عَلَيْكَ شَيْءٌ مِنْ أَمْرِي وَأَنَا الْبَائِسُ الْفَقِيرُ وَالْمُسْتَغِيثِ وَالْمُسْتَجِيرُ وَالْوَجِلُ الْمُشْفِقُ الْمُقِرُّ الْمُعْتَرِفُ .إِلَيْكَ بِذَنْبِهِ

أَسْأَلُكَ مَسْأَلَةَ الْمِسْكِينِ وَأَبْتَهِلُ إِلَيْكَ إِبْتِهَالَ الْمُذْنِبِ الذَّلِيلِ وَأَدْعُوكَ دُعَاءَ الْخَائِفِ الضَّرِيرِ دُعَاءَ مَنْ خَضَعَتْ لَكَ رَقَبَتُهُ وَذَلَّ لَكَ جِسْمُهُ وَرَغِمَ لَكَ أَنْفُهُ.

Transliterasi

Allāhumma innā nas’aluka mujibāti raḥmatika,
wa ‘azā’ima maghfiratika, wal-ghanīmata min kulli birr,
was-salāmata min kulli ithm, wal-fawza bil-jannah,
wan-najāta minan-nār.

Allāhumma innaka tasma‘u kalāmī,
wa tarā makānī, wa ta‘lamu sirrī wa ‘alāniyatī,
wa lā yakhfā ‘alaika syai’un min amrī.
Wa anā al-bā’isu al-faqīr, wal-mustaghīthi wal-mustajīru,
wal-wajilu al-mushfiqu al-muqirru al-mu‘tarifu ilayka bi dzanbihī.

As’aluka mas’alatal-miskīn,
wa abtahilu ilayka ibtihāla al-mudznibi adz-dzalīl,
wa ad‘ūka du‘ā’a al-khā’ifi aḍ-ḍarīr,
du‘ā’a man khaḍa‘at laka raqabatuhu,
wa dzalla laka jismuh,
wa raghima laka anfuh.

Maksud Doa

Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu perkara-perkara yang menjadi sebab turunnya rahmat-Mu, keteguhan keampunan-Mu, keuntungan daripada setiap kebaikan, keselamatan daripada setiap dosa, kejayaan memperoleh syurga dan diselamatkan daripada api neraka.

Ya Allah, sesungguhnya Engkau mendengar segala kata-kataku, Engkau melihat di mana aku berada, Engkau mengetahui rahsia dan perkara zahirku. Tidak ada satu pun daripada urusanku yang tersembunyi daripada pengetahuan-Mu. Sedangkan aku ini hamba yang sengsara lagi fakir, yang sangat memohon pertolongan dan perlindungan, yang gementar lagi takut, yang mengaku dan menginsafi kepada-Mu akan segala dosanya.

Aku memohon kepada-Mu seperti permohonan seorang yang miskin; aku merayu kepada-Mu seperti rayuan seorang pendosa yang hina; dan aku berdoa kepada-Mu seperti doa seorang yang takut lagi lemah tidak berdaya. (Iaitu) doa seorang hamba yang tunduk patuh tengkuknya kepada-Mu, yang tubuhnya hina mengalah di hadapan-Mu, dan yang merendahkan dirinya serendah-rendahnya demi-Mu.


Doa Pilihan 2

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

الْـحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، حَمْدًا يُوَافِي نِعَمَهُ وَيُكَافِئُ مَزِيْدَهُ، يَا رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ كَمَا يَنْبَغِي لِجَلَالِكَ وَجْهِكَ وَعَظِيْمِ سُلْطَانِكَ، سُبْحَانَكَ لَا نُحْصِي ثَنَاءً عَلَيْكَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلَى .نَفْسِكَ، فَلَكَ الْحَمْدُ حَتَّى تَرْضَى

ثُمَّ نصَلِّي وَنُسَلِّمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَنَقُوْلُ:

نَبِيَّنَا مُحَمَّدٍ صَلَوَاتُ اللهِ وَسَلَامُهُ عَلَيْكَ إِنَّا تَوَجَّهْنَا بِكَ إِلَى رَبِّنَا فِي قَضَاءِ حَاجَتِنَا

(dan jika hajat orang lain gantikan perkataan حَاجَتِنَا  dengan nama orang yang kita ingin doakan hajatnya).

اللَّهُمَّ فَشَفِّعْ نَبِيَّكَ مُحَمَّدًا صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيَّ، وَاغْفِرْ لَنَا حَوَائِجَنَا وَخَطَايَانَا، أَنْتَ رَبُّ الطَّيِّبِيْنَ، يَا عَزِيْزُ يَا عَلِيْمُ، يَا عَزِيْزُ يَا حَلِيْمُ، يَا عَزِيْزُ يَا عَظِيْمُ، يَا عَزِيْزُ يَا عَظِيْمُ، يَا وَهَّابُ، يَا لَطِيْفُ، يَا حَلِيْمُ، يَا كَرِيْمُ. وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.

Transliterasi

Bismillāhir-Raḥmānir-Raḥīm.

Al-ḥamdu lillāhi rabbil-ʿālamīn, ḥamdan yuwāfī niʿamahu wa yukāfiʾu mazīdahu, Yā rabbana laka al-ḥamdu kamā yanbaghī li jalālika wajhika wa ʿaẓīmi sulṭānika, Subḥānaka lā nuḥṣī thanāʾan ʿalayka kamā athnayta ʿalā nafsika, Fa laka al-ḥamdu ḥattā tarḍā.

Tsumma nuṣallī wa nusallimu ʿalā sayyidinā Muḥammadin ṣallallāhu ʿalayhi wa sallam, wa naqūlu: Nabiyyana Muḥammadin ṣalawātu llāhi wa salāmuhu ʿalayka, innā tawajjahnā bika ilā rabbinā fī qaḍāʾi ḥājatina.

Allāhumma fa-shaffiʿ nabiyyaka Muḥammadan ṣallallāhu ʿalayhi wa sallam fiyya, waghfir lanā ḥawāʾijanā wa khaṭāyānā; anta rabbu al-ṭayyibīn. Yā ʿAzīzu yā ʿAlīm, yā ʿAzīzu yā Ḥalīm, yā ʿAzīzu yā ʿAẓīm, yā ʿAzīzu yā ʿAẓīm, yā Wahhāb, yā Laṭīf, yā Ḥalīm, yā Karīm. Wa ṣallallāhu ʿalā sayyidinā Muḥammad, wa ʿalā ālihi wa ṣaḥbihi ajmaʿīn, wal-ḥamdu lillāhi rabbil-ʿālamīn.

Maksud Doa

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam; pujian yang menyamai nikmat-nikmat-Nya dan sepadan dengan segala tambahan kurnia-Nya. Wahai Tuhan kami, bagi-Mu segala puji sebagaimana layak bagi keagungan-Mu dan (keagungan) Wajah-Mu serta kebesaran kekuasaan-Mu. Maha Suci Engkau; kami tidak mampu menghitung pujian terhadap-Mu sebagaimana Engkau sendiri memuji diri-Mu. Maka bagi-Mu segala puji hingga Engkau reda.

Seterusnya kami berselawat dan mengucap salam ke atas penghulu kami Nabi Muhammad SAW, dan kami berkata: Nabi kami Muhammad, selawat dan salam Allah ke atasmu. Sesungguhnya kami menghadap (bertawassul) denganmu kepada Tuhan kami untuk menunaikan hajat kami.

Ya Allah, maka perkenankanlah Nabimu Muhammad SAW memberi syafaat untukku; kabulkanlah hajat-hajat kami dan ampunilah dosa-dosa kami. Engkaulah Tuhan bagi orang-orang yang baik (suci).

Wahai Yang Maha Perkasa, wahai Yang Maha Mengetahui; wahai Yang Maha Perkasa, wahai Yang Maha Penyantun; wahai Yang Maha Perkasa, wahai Yang Maha Agung; wahai Yang Maha Perkasa, wahai Yang Maha Agung; wahai Yang Maha Pemberi, wahai Yang Maha Halus, wahai Yang Maha Penyantun, wahai Yang Maha Mulia.

Selawat Allah ke atas penghulu kami Nabi Muhammad serta ke atas keluarganya dan para sahabatnya seluruhnya; dan segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

Soal Jawab Masalah Berkaitan Solat Sunat Hajat

Berikut disenaraikan beberapa soal jawab lazim mengenai masalah dan isu yang berkaitan Solat Sunat Hajat:

Bolehkah Memohon Banyak Hajat Dalam Satu Solat Hajat?

Boleh, tiada masalah. Allah itu Maha Kaya Lagi Maha Memberi, tidak kiralah sebanyak mana hajat atau permintaan kita, mintalah segalanya kepada Tuhan Yang Maha Kaya.

Bolehkah Solat Hajat Dilakukan Secara Berjemaah?

Boleh. Harus hukumnya mengerjakan Solat Sunat Hajat secara berjemaah.

Bolehkah Solat Hajat Dilakukan Selepas Subuh Atau Asar?

Secara umum, waktu selepas Subuh dan selepas Asar ialah waktu yang dilarang untuk solat sunat mutlak dalam mazhab Syafie. Bagi solat sunat hajat, sebahagian ulama menganggap ia termasuk dalam solat sunat bersebab dan mengharuskannya jika ada hajat mendesak. Namun, sebagai langkah lebih selamat dan keluar daripada khilaf, sebaik-baiknya solat hajat dilakukan di luar waktu tahrim, contohnya pada waktu malam atau selain selepas Subuh dan Asar.

Apakah Maksud Solat Hajat?

Solat Hajat dilakukan apabila kita ingin memohon sesuatu keperluan daripada Allah. Sama ada memohon kebaikan atau pun menolak sesuatu keburukan.

Apakah Waktu Paling Afdal Melakukan Solat Hajat?

Waktu paling afdal mengerjakan Solat Hajat ialah pada waktu tengah malam sama ada pukul satu, dua atau tiga pagi, bagi menghadirkan rasa ketenangan, kesungguhan dan penuh pengharapan kepadaNya.

Penutup: Mintalah Perkara Baik Yang Berkekalan Hingga Akhirat

Sekadar panduan untuk hajat yang diminta:

Jika hajatnya mahu menjadi kaya, mintalah kaya yang beriman, dermawan lagi berkat. Semoga harta menjadi bekalan di hari akhirat.

Jika mahukan zuriat, pohonlah zuriat yang soleh, sihat dan murah rezeki. Doa anak soleh tidak putus walaupun selepas kematian.

Jika memohon jodoh, biarlah jodoh yang membawa kebahagiaan dunia dan akhirat.

Berapa ramai pasangan turun naik mahkamah walaupun berkahwin atas dasar cinta.

Janganlah terlalu spesifik hajatnya, kerana kita sendiri tidak tahu apa yang terbaik untuk diri sendiri.

Biar Allah yang mengaturnya.

InsyaaAllah, hajat yang baik akan dimakbul, sama ada cepat atau lambat.

1 Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda; maksudnya: “Keadaan yang paling dekat seseorang hamba dengan Tuhan-nya ialah ketika dia bersujud. Maka perbanyakkanlah berdoa (pada waktu sujud).” — Riwayat Muslim dan al-Nasaie.

Nota Rujukan:

  1. Indahnya Hidup Bersyariat — Allahyarham Dato’ Ismail Kamus [Pautan]
  2. Ensiklopedia Solat — Rohidzir Rais, Fuad Ismail, Mohd Wahid Abd Hanif
  3. Ensiklopedia A-Z Tentang Solat — Dr Nik Yusri Musa
  4. Bimbingan Lengkap Solat Sunat — Dato’ Dr. Mahmood Haji Abdul Majib, Rohidzir Rais [Pautan]
  5. Solat Sunat Harian — Ustaz Mohd Faez B. Mohd Shah al-Hashimi
  6. 1157 Persoalan Solat — Ustaz Muhadir Haji Joll [Pautan]
Photo of author

Muhamad Naim (Admin)

Penulis utama dan ketua editor. Menubuhkan web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

1,438 thoughts on “NIAT & CARA SOLAT SUNAT HAJAT (Doa Hajat Lengkap)”

    • Waalaikumussalam tuan.

      Waktu yang paling afdal untuk menunaikan solat hajat ialah pada waktu yang dekat dengan sepertiga malam terakhir, kerana pada waktu itu Allah SWT menurunkan rahmat dan mengabulkan doa-doa hamba-Nya. Sepertiga malam terakhir biasanya bermula selepas tengah malam sehingga sebelum waktu Subuh.

      Berdasarkan ini, jam 12 malam boleh dianggap sebagai permulaan sepertiga malam terakhir, bergantung kepada waktu Isyak dan Subuh di kawasan tuan. Jadi, waktu tersebut sangat sesuai untuk menunaikan solat hajat, kerana ia termasuk dalam waktu-waktu yang mustajab untuk berdoa.

      Namun, solat hajat boleh dilakukan pada bila-bila masa, tetapi waktu sepertiga malam terakhir adalah yang paling disarankan untuk doa dan permohonan kepada Allah SWT.

      Wallahu a’lam.

      Reply
  1. Assalamualaikum tuan, katakan, saya nak buat solat hajat selepas solat maghrib. Selepas solat maghrib, habis sahaja beri salam, terus bangun buat solat hajat ke? atau perlu baca wirid dan baca doa selepas solat maghrib baru buat solat hajat pula? terima kasih tuan.

    Reply
    • Wa’alaikumussalam.

      Selepas Solat Maghrib, puan boleh terus menunaikan Solat Hajat tanpa perlu membaca wirid dan doa terlebih dahulu. Namun, jika puan ingin membaca wirid dan doa selepas Solat Maghrib sebelum melakukan Solat Hajat, itu juga dibolehkan. Kedua-duanya amalan yang baik; pilihlah yang sesuai dengan hati puan.

      Wallahu a’lam.

      Reply
  2. Assalamualaikum ustaz…mohon pencerahan…boleh tak klau kita melakukan solat tahajjud,taubat,hajat selapas itu sekaligus kita akhiri dgn satu himpunan doa sahaja?…terima kasih

    Reply
    • Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.

      Ya, dibolehkan untuk melaksanakan Solat Tahajjud, Taubat, dan Hajat secara berturut-turut, kemudian mengakhiri dengan satu himpunan doa sahaja. Yang penting adalah keikhlasan dan kekhusyukan dalam beribadah dan berdoa kepada Allah SWT.

      Wallahu a’lam.

      Reply
  3. Assalammualaikum tuan…adakah perlu ditambah niat ‘makmuman’ jika solat hajat berjamaah ?…

    Reply
    • Waalaikumussalam.

      Untuk solat hajat berjemaah, tidak wajib menambah niat “makmuman” dalam niat solat. Namun, jika disebut “makmuman” untuk menegaskan bahawa anda menjadi makmum dalam solat berjemaah, itu adalah sunat dan disarankan. Niat asas solat hajat berjemaah tetap sah tanpa menyebut perkataan “makmuman”, kerana yang penting adalah niat solat dilakukan kerana Allah dan kesedaran bahawa kita sedang solat berjemaah.

      Wallahu a’lam.

      Reply
  4. Assalamualaikum,
    Saya ingin bertanya sama ada bacaan ayat kursi sebanyak 7 kali adalah wajib? Adakah solat sah jika membaca sekali sahaja?

    Reply
  5. Assalam ustaz.
    Sekadar untuk kepastian, bacaan doa nabi yunus pada sujud terakhir dibaca dlm hati atau dilafaz? sebab ada pendaoat yg mengatakan kena baca dlm hati sahaja.
    terima kasih

    Reply
    • Walaikumsalam

      Boleh dilafazkan jika dibacakan dalam bahasa arab. Jika dibaca dalam bahasa melayu, maka barulah disebutkan dalam hati.

      Reply
  6. Assalamualaikum Ustaz, terlebih dahulu nak ucapkan terima kasih kerana portal ini byk mengajar saya tentang solat. Saya ada satu soalan sebab menurut emak saya kita sembahyang solat hajat dahulu baru lah solat Tahajjud. Betul ke turutan Tu?

    Terima kasih Ustadz.

    Reply
    • Waalaikumussalam,

      Terima kasih atas pertanyaan dan sokongan anda terhadap portal ini. Mengenai urutan solat Hajat dan solat Tahajjud, terdapat beberapa pandangan dari ulama.

      Tiada nas khusus yang menetapkan turutan antara solat Hajat dan solat Tahajjud. Anda boleh memulakan dengan solat Tahajjud dan diikuti dengan solat Hajat atau sebaliknya, mengikut keperluan dan keselesaan anda. Kedua-duanya adalah ibadah yang baik dan disunatkan, jadi yang penting adalah keikhlasan dan kekhusyukan dalam melaksanakannya.

      Namun sebagai adab untuk menghormati empunya waktu, kita boleh melakukan solat Tahajjud terlebih dahulu dan kemudian barulah diikuti dengan solat Hajat jika dilakukan pada malam hari selepas tidur.

      Semoga jawapan ini membantu dan Allah menerima amal ibadah kita semua.

      Wallahu a’lam.

      Reply
  7. Assalamualaikum ustaz, saya nak bertamya ni, jika solat sunat hajatsaya lakukan selepas solat maghrib adakah diboleh kan? kerana saua melakukan solat sunat hajat kebiasaan selepas maghrib

    Reply
    • Waalaikumsalam,

      Terima kasih atas soalan yang diajukan. Mengenai solat sunat hajat, ianya adalah solat sunat yang dilakukan untuk memohon sesuatu hajat atau permintaan daripada Allah SWT. Solat sunat hajat boleh dilakukan pada bila-bila masa kecuali pada waktu-waktu yang dilarang untuk bersolat.

      Waktu-waktu yang dilarang untuk bersolat adalah:

      1. Selepas solat Subuh sehingga terbit matahari.
      2. Ketika matahari tegak di tengah langit sehingga tergelincir.
      3. Selepas solat Asar sehingga terbenam matahari.

      Jadi, melakukan solat sunat hajat selepas solat Maghrib adalah dibolehkan dan tiada halangan. Malah, ianya adalah waktu yang baik kerana ia bukan dalam waktu-waktu yang dilarang.

      Reply
      • Terima kasih tuan atas makluman..moga ilmu yg bermanafaat ni saya kongsikan untuk semua, dan pdf bacaan selepas solat tuan telah saya kongsikan di group² whatsapp moga ia menjadi manafaat buat semua

        Reply
            • Ya, benar tuan.

              Di luar daripada waktu-waktu ini, tuan boleh menunaikan solat sunat taubat pada bila-bila masa.

              Waktu yang terbaik untuk solat sunat taubat adalah pada sepertiga malam terakhir, iaitu sebelum waktu Subuh, kerana waktu ini adalah waktu yang penuh dengan keberkatan dan peluang untuk doa diterima adalah lebih tinggi.

              Wallahu a’lam

              Reply
  8. Assalamualaikum.apakah di rakaat pertama surah selepas surah alfatihah. Lain Dari ayat kursi kena baca 7 Kali juga atau sekali je cukup.

    Reply
  9. Assalamualaikum Ustaz, jika ingin buat solat hajat lebih dari 2 rakaat, adalah lebih afdal kalau semua surah dalam rakaat yg berikut surahnya dibaca 7 kali ayatul Kursi dikuti dgn surah Ikhlas atau bertukar surah selepas 2 rakaat yg pertama?

    Reply
    • Walaikumsalam,

      Boleh sahaja mana-mana bacaan yang tuan sukai. Ini kerana tiada penetapan khas mengenai bacaan surah selepas al-Fatihah.

      Reply
  10. Assalammualaikum ustaz
    Ustaz dlm sujud terakhir solat hajat akk kdang2 tros duduk sepatutnya akk nk bace tasbih dan doa hajat semasa sujud….
    Bila terlupa tu akk sujud balik dan bace tasbih juga doa hajat 😔
    Sah ke solat tu?..jika berlaku mcm tu lagi ape perlu akk buat ye ustaz?
    Sering jd pelupe

    Reply
    • Walaikumsalam Kak,

      Begini, bacaan tasbih tambahan dan doa hajat semasa sujud terakhir adalah sunat sahaja — jika tidak dilakukan ia tidak membatalkan solat dan tidak perlu sujud sahwi.

      Oleh itu, jika akak sengaja sujud kembali dengan tujuan untuk membaca bacaan-bacaan tersebut — maka solat tersebut batal kerana sengaja menambah rukun dalam solat.

      Di lain masa, jika akak masih terlupa, maka teruskan solat seperti biasa sehingga selesai. kemudian tasbih tambahan dan doa hajat tersebut boleh dibacakan pada selepas solat

      Wallahu a’lam ツ

      Reply
    • Wassalam.

      Batal solat jika melafazkan doa dalam bahasa melayu jika dalam solat mengikut mazhab syafie.

      Jika mengerjakan solat fardu, solat itu tidak sah dan harus diqada semula.

      Wallahu a’lam.

      Reply
  11. Assalamualaikum ustad…boleh ke saya berdoa melalui mulut dalam bahasa melayu ketika sujud terakhir atau harus berdoa sahaja dalam hati? Adakah solat saya batal jika terbuat tanpa pengetahuan?

    Reply
    • Wassalam,

      Berdoa dalam bahasa Melayu secara lisan ketika sujud dalam solat boleh menyebabkan solat menjadi batal, terutama jika dilakukan tanpa keuzuran.

      Ini adalah kerana dalam mazhab Syafi’i, wajib dilafaz dalam bahasa arab semasa dalam solat.

      Jika seseorang tidak mampu berbahasa Arab, berdoa dalam hati dengan bahasa lain, seperti Bahasa Melayu, dibolehkan.

      Reply
    • Alhamdulillah, saya bersyukur dapat menjadi sumber rujukan untuk tuan.

      Semoga apa yang dikongsikan di sini dapat memberi manfaat dan memperkukuhkan pemahaman tuan dalam pelbagai topik, khususnya berkaitan dengan pengajaran Islam.

      Jika ada sebarang pertanyaan atau topik tertentu yang tuan ingin ketahui lebih lanjut, jangan ragu untuk bertanya. Saya sedia membantu.

      Semoga Allah SWT memberkati usaha kita dalam menuntut ilmu dan menjadikannya sebagai amalan yang berterusan.

      Reply
  12. Ustaz, boleh ke kita solat hajat doakan hancurkan Israel yg jahattt itu.? Boleh ke doa kan macam tu?. Bagaimana doa yg betul untuk doakan Palestine ustaz. Cuba ustaz bagi contoh untuk panduan kami.. terima kasih

    Reply
    • Ya, solat Sunat Hajat boleh dilakukan selepas solat Maghrib.

      Solat Sunat Hajat boleh dilaksanakan pada bila-bila masa, kecuali pada waktu-waktu yang diharamkan untuk mengerjakan solat sunat, seperti ketika matahari terbit, berada di puncaknya (zawal), dan ketika matahari terbenam.

      Reply
  13. Assalamualaikum ustaz,kalau waktu baca al fatihah tak sebut Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm.terus baca Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm lepastu baca sampai habis,sah ke solat?saya takut kalau tak sah🥲
    Tapi lepasni saya mmg akan baca Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm utk mulakan al fatihah,cuma ni saya risau takut solat saya sebelum ni tak sah sebab tak sebut Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm…jika ustaz dah jawab pertanyaan saya terima kasih ye

    Reply
    • Waalaikumussalam,

      Bacaan al Fatihah adalah ayat pertama Surah Al Fatihah. Jadi, wajib membaca ‘Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm’ sebelum al-Fatihah.

      Reply
        • Sama-sama.

          Jika ada apa-apa soalan lagi, sila ajukan ya. InsyaAllah saya akan memberi jawapan beserta penerangan.

          Reply
          • Maaf ye..surah alfatihah ada 7 ayat .bacaan Bismillah merupakan ayat pertama dalam surah Al fatihah..hanya surah ini sahaja yg istumewa kerana ayat pertama dikira Dari Bismillah. Wallah hu a’lam.

            Reply
            • Astaghfirullah! Ya saya baru teringat Bismillah adalah ayat pertama al Fatihah. Saya benar-benar minta maaf kepada semua atas kesilapan ini. Ini jawapan yang betul.

              Terima kasih atas pembetulan ini 🙏
              Minta maaf atas kekeliruan jawapan. Saya memohon ampun atas kesilapan ini.

              Reply

Leave a Comment