
Ini adalah panduan lengkap bacaan doa akhir tahun & doa awal tahun Islam (Hijrah) dengan transliterasi Rumi dan juga Audio bacaan.
Panduan ini akan membantu anda membaca doa akhir tahun dan awal tahun hijrah secara langkah demi langkah. Panduan ini ditulis secara lengkap dan tersusun.
Jika anda memerlukan panduan seperti ini, mari kita mulakan..
- Pengenalan
- Kelebihan Bulan Zulhijjah
- Sejarah & Asal Usul Amalan Doa Akhir dan Awal Tahun Hijrah
- Doa Akhir Tahun
- Doa Awal Tahun
- Hukum & Dalil Mengenai Doa Akhir Tahun
- Adakah Doa Ini Dikiaskan Dengan Perbuatan Nabi?
- Mengapa Bulan Muharram Dikaitkan Dengan Peristiwa Hijrah?
- Adakah Doa Akhir Tahun & Awal Tahun Ini Perbuatan Bidaah?
- Kelebihan & Hikmah
Pengenalan

Awal Muharram atau Maal Hijrah merupakan detik penting dalam kalendar Islam yang memperingati peristiwa hijrah Nabi Muhammad ﷺ dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.
Peristiwa bersejarah ini bukan sahaja menjadi lambang permulaan pembentukan masyarakat Islam yang berdaulat, tetapi turut dijadikan asas kepada kiraan tahun Hijrah yang digunakan hingga ke hari ini.
Seiring dengan kedatangan tahun baharu Islam, umat Islam di seluruh dunia mengambil kesempatan ini untuk bermuhasabah dan memperbaharui tekad mereka dengan amalan membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun.
Tradisi ini telah diamalkan sekian lama, khususnya di negara-negara bermazhab Syafie seperti Malaysia, sama ada secara peribadi mahupun secara berjemaah di masjid dan surau.
Doa akhir tahun lazimnya dibaca pada petang terakhir bulan Zulhijjah sebagai simbol penutup amalan setahun, dengan permohonan keampunan atas dosa, penghargaan terhadap segala nikmat dan ujian, serta harapan agar segala amal diterima.
Doa awal tahun pula dibaca selepas masuknya 1 Muharram, memohon perlindungan daripada syaitan, kekuatan untuk berubah ke arah kebaikan, serta keberkatan dalam kehidupan sepanjang tahun baharu.
Namun begitu, masih ramai yang keliru tentang hukum dan kedudukan amalan ini dalam syariat. Isu seperti sumber asal teks doa, status hadis yang dikaitkan dengannya, serta perbezaan pandangan ulama sering menimbulkan persoalan.
Adakah ia sunnah? Adakah berdosa jika tidak membaca? Dan adakah benar ganjaran yang dikaitkan dengannya?
Perkara | Doa Akhir Tahun | Doa Awal Tahun |
---|---|---|
Waktu Baca |
|
|
Tujuan Utama | Muhasabah, istighfar & penutupan amal setahun | Memohon perlindungan, bimbingan & azam baharu |
Hukum | Harus & digalakkan (mustahab) – bukan sunnah muakkad; berdalil kepada galakan umum berdoa | Sama sebagaimana di sebelah |
Bilangan Ulangan | Disunatkan 3 kali (bukan wajib) | Disunatkan 3 kali (bukan wajib) |
Adab Utama | Berwuduk, hadapkan qiblat, angkat tangan, mulakan dengan pujian & selawat. | Adab sama seperti di sebelah |
Kedua-dua doa ini tidak dinukilkan secara langsung daripada Rasulullah ﷺ, namun diterima sebagai doa umum yang baik selagi tidak dianggap syarat sah ibadah atau disandarkan fadilat palsu.
Kelebihan Bulan Zulhijjah
Antara tarikh istimewa & amalan yang disunatkan dalam Bulan Zulhijjah adalah:
- 1–8 Zulhijjah disunatkan untuk berpuasa.
- 8 Zulhijjah dihidupkan malamnya dengan banyak beribadat.
- 9 Zulhijjah Hari Wuquf
- Dihidupkan malamnya dengan banyak beribadah di Arafah
- Disunatkan berpuasa bagi orang yang tidak mengerjakan haji
- Membaca surah al-Ikhlas sebanyak 1000 kali.
- Membaca Doa Hari Wuquf
- Hari Raya Haji pada 10 Zulhijjah
- Solat Sunat Aidiladha, membaca takbir, dan melakukan ibadah korban atau sedekah
- Hari Tasyrik pada 11–13 Zulhijjah
- Dihidupkan malam dengan banyak beribadah.
- Takbir selepas setiap waktu solat fardhu.
- 30 Zulhijjah (akhir Bulan Zulhijjah)
- Membaca doa akhir tahun hijrah selepas waktu asar (yang akan diajarkan dalam panduan ini)
Sejarah & Asal Usul Amalan Doa Akhir dan Awal Tahun Hijrah

Amalan membaca doa akhir dan awal tahun Hijrah merupakan tradisi yang telah lama diamalkan secara meluas dalam kalangan umat Islam di Nusantara, khususnya di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura.
Bagaimanapun, amalan ini tidak terdapat dalam mana-mana riwayat sahih daripada Nabi Muhammad ﷺ mahupun para sahabat baginda. Sebaliknya, ia merupakan satu amalan yang diperkenalkan oleh para ulama terkemudian, bertujuan untuk mengisi saat peralihan tahun Hijrah dengan amalan yang bermakna.
Menurut catatan sejarah, amalan doa ini dipercayai mula tersebar di rantau Nusantara melalui kitab-kitab doa dan wirid yang popular dalam kalangan masyarakat Melayu, antaranya kitab Majmū‘ Syarīf, Perukunan Melayu, dan kitab-kitab lain seumpamanya.
Kitab-kitab ini biasanya memuatkan pelbagai doa dan wirid yang mudah diamalkan oleh masyarakat awam, termasuklah doa akhir dan awal tahun Hijrah. Lama-kelamaan, ia menjadi sebahagian daripada tradisi masyarakat dan diwarisi secara turun-temurun sehingga ke hari ini.
Meskipun asal-usul doa ini tidak bersandarkan kepada hadis sahih, para ulama Nusantara tidak melarang bahkan menggalakkan penggunaannya kerana kandungan doa tersebut dianggap baik dan selari dengan prinsip umum syariat Islam.
Isi doa akhir tahun khususnya mengajak pembacanya bermuhasabah tentang dosa dan amalan sepanjang tahun yang berlalu, manakala doa awal tahun pula mengandungi permohonan perlindungan serta harapan untuk memulakan tahun baharu dengan azam yang lebih baik.
Seiring peredaran zaman, amalan ini terus diamalkan secara konsisten dalam kalangan masyarakat Melayu-Muslim, terutamanya menjelang 1 Muharram. Ia sering dianjurkan secara berjemaah di masjid-masjid atau surau-surau sebagai salah satu acara sambutan Maal Hijrah.
Amalan ini juga diterima baik oleh pihak berkuasa agama tempatan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang turut menyebarkan panduan doa ini secara rasmi kepada masyarakat setiap tahun.
Kesimpulannya, walaupun tidak dinukilkan daripada Nabi ﷺ, amalan doa akhir dan awal tahun Hijrah telah berjaya menjadi sebahagian budaya keagamaan umat Islam, khususnya dalam kalangan pengikut Mazhab Syafie di Nusantara.
Ia menjadi manifestasi kepada kesungguhan umat Islam untuk sentiasa memperbaharui tekad, memperbaiki diri, serta memperkukuhkan hubungan rohani dengan Allah SWT setiap kali tiba tahun baru Hijrah.
Doa Akhir Tahun

Bilakah waktu untuk membaca doa akhir tahun ini?
Bacaan doa akhir tahun ini digalakkan untuk dibaca pada petang diantara waktu selepas Solat Asar sehingga Waktu Maghrib pada 29 atau 30 Zulhijjah.
Bacaan Doa Akhir Tahun (Transliterasi Rumi)

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin, Wassolatu Wassalamu ‘Ala Sayyidina Muhammadin Wa ‘Ala Aalihi Wasohbihi Ajmain

Allahumma Maa ‘Amilna Fii Hazihis-sanati Mimma NahaiTana ‘Anhu, Falam Natub Minhu Walam TarDhoHu Walam TanSaHu

WahaLumTa ‘AlaiNa Ba’da QudRotika, ‘Ala ‘UQuuBatiNaa, Wada-‘UtaNa Ilat-taubati Minhu Ba’da Jur-AaTina ‘Alaa Ma’-Siyatika

FainNana NasTaghFiruka FaghFirLana, Wamaa ‘Amilna FiiHaa Mimma TarDhoHu Wawa ‘AdTana ‘AlayHis-TsaWab, FanasAlukallaHumma Ya Karimu Ya Dzal Jalaali Wal Ikram

An TataQobBalahu Minna Walaa TaqTogh RajaaAna Minka Ya Karim, RabbaNaa Aatina Fiddunya Hasanatan Wa Fil Aakhirati Hasanatan Waqina ‘Aazabannar

Was Sollallahu ‘Ala Sayyidinaa Muhammadin Wa ‘Ala Aalihi Wasohbihi Ajmain, Walhamdulillahi Rabbil ‘Alamin
Maksud Doa Akhir Tahun
Segala pujian bagi Allah, Tuhan semesta alam. Semoga Allah melimpahkan rahmat dan keselamatan kepada junjungan kami Nabi Muhammad SAW, beserta para keluarga dan sahabatnya.
Ya Allah, segala yang telah kami kerjakan selama ini dari apa yang menjadi laranganMu, sedang kami belum bertaubat, padahal Engkau tidak melupakan dan Engkau bersabar (dengan kasih SayangMu), yang sesungguhnya Engkau berkuasa memberikan siksa untuk kami, dan Engkau telah mengajak kami untuk bertaubat sesudah melakukan maksiat.
Kerana itu ya Allah, kami mohon ampunanMu dan berilah ampun kepada kami dengan kemurahanMu.
Segala apa yang telah kami kerjakan, selama tahun ini, berupa amal perbuatan yang Engkau redhai dan Engkau janjikan akan membalasnya dengan pahala, kami memohon kepadaMu, wahai Zat Yang Maha Pemurah, Wahai Zat Yang Mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan, semoga berkenan menerima amal kami dan semoga Engkau tidak memutuskan harapan kami kepadaMu, wahai Zat Yang Maha Pemurah.
Ya Allah, berikan kebaikan hidup di dunia dan kebaikan hidup di Akhirat, serta jauhkan kami dari azab api neraka.
Dan semoga Allah memberikan rahmat dan kesejahteraan atas penghulu kami Muhammad, Keluarga dan sahabatnya.
Segala pujian bagi Allah, Tuhan semesta alam.
Doa Awal Tahun

Bilakah doa awal tahun Islam dibacakan?
Doa awal tahun dibaca pada selepas masuk Waktu Solat Maghrib sebanyak 3 kali pada malam 1 Muharram.
Ia bermaksud, doa ini dibaca selepas kita selesai membaca doa akhir tahun pada waktu Asar.
Bacaan Doa Awal Tahun (Transliterasi Rumi)

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin, Wassolatu Wassalamu ‘Ala Sayyidina Muhammadin Wa ‘Ala Aalihi Wasohbihi Ajmain

Allahumma Antal Abadiyyul Qadiimul Awwal, Wa ‘Ala Fadlikal ‘Azimi Wujuudikal Mu-Awwal

Wahazaa ‘Amun Jadiidun Qad Aqbala ‘Alaina, NasAlukal ‘Ismatafiihi Minassyaitaanir-rajim Wa Auliyaaihi Wajunuudihi Wal ‘Auna ‘Alaa Hazihin-Nafsil Ammarati Bissu’i Wal Isyta-rgholi Bima Yuqorribuna Ilaika Zulfa.

Ya Dzaljalaali Wal Ikram, Ya Arhamar-rohimiin, Rabbanaa Aatinaa Fiddunyaa Hasanatan Wafil Akhiroti Hasanatan Waqinaa ‘Azaabannar

Was Sollallahu ‘Ala Sayyidinaa Muhammadin Wa ‘Ala Aalihi Wasohbihi Ajmain, Walhamdulillahi Rabbil ‘Alamin
Maksud Doa Awal Tahun
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam, Semoga Allah sentiasa melimpahkan rahmat dan keselamatan kepada junjungan kami Nabi Muhammad, beserta keluarga dan sahabatnya.
Ya Allah, Engkaulah Yang Abadi, Dahulu, lagi Awal. Dan hanya kepada anugerahMu yang Agung dan dermawanMu tempat bergantung.
Dan tahun baru ini benar-benar telah datang. Kami memohon kepadaMu perlindungan dalam tahun ini dari (godaan) syaitan yang direjam, pembantu-pembantunya dan bala tenteranya.
Dan kami memohon pertolongan untuk mengalahkan hawa nafsu amarah yang mengajak kepada kejahatan, agar kami sibuk melakukan amal yang dapat mendekatkan diri kami kepadaMu wahai Dzat yang memiliki Keagungan dan Kemuliaan.
Wahai Tuhan yang Maha Mengasihani kepada hamba-hambaNya. Ya Allah, berikanlah kebaikan hidup di dunia dan kebaikan hidup di akhirat, serta jauhkan kami dari azab neraka.
Semoga Allah sentiasa melimpahkan rahmat dan keselamatan kepada junjungan kami Nabi Muhammad, beserta para keluarga dan sahabatnya.
Segala Pujian bagi Allah, Tuhan semesta Alam.
Hukum & Dalil Mengenai Doa Akhir Tahun
Amalan membaca doa akhir tahun dan awal tahun sering menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat, khususnya berkaitan sumber asal, status hadis dan hukum syarak.
Walaupun ia diamalkan secara meluas, sebahagian umat Islam masih tertanya-tanya: apakah amalan ini termasuk dalam sunnah? Adakah ia satu bentuk bid‘ah? Dan apakah pandangan sebenar para ulama, khususnya dalam Mazhab Syafie?
Untuk menjawab persoalan-persoalan ini, berikut adalah huraian lengkap berdasarkan pendirian mazhab dan fatwa ulama semasa.
Pandangan Mazhab Syafie
Dalam Mazhab Syafie, hukum membaca doa akhir dan awal tahun Hijrah dikategorikan sebagai harus dan digalakkan (mustahab), selama mana ia tidak dianggap sebagai sunnah khusus yang disyariatkan oleh Nabi Muhammad ﷺ.
Ulama Syafie menjelaskan bahawa doa pada dasarnya adalah satu bentuk ibadah yang tidak terikat dengan lafaz atau waktu tertentu, selagi mana ia tidak bercanggah dengan prinsip asas syariat. Justeru, menyusun dan membaca doa pada waktu-waktu tertentu seperti penghujung dan permulaan tahun Hijrah adalah termasuk dalam ruang lingkup amalan yang diharuskan syarak.
Imam al-Syafie sendiri menyebut dalam al-Risalah bahawa setiap perkara baharu yang selari dengan syariat dan tidak bertentangan dengan al-Quran dan sunnah adalah bid‘ah hasanah, dan ini menjadi asas kepada banyak amalan baik yang tidak wujud pada zaman Nabi tetapi diterima sebagai ibadah yang sah.
Hal ini juga disokong oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari, yang menyatakan bahawa menentukan waktu tertentu untuk ibadah sunat adalah harus, jika ianya tidak disandarkan sebagai sunnah khusus dan dilakukan atas dasar keinginan untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Maka, membaca doa akhir tahun selepas Asar pada 29 atau 30 Zulhijjah, dan doa awal tahun selepas Maghrib 1 Muharram, dilihat sebagai amalan yang terpuji dan selari dengan kaedah syarak, selagi tidak diyakini sebagai sunnah Nabi ﷺ secara langsung atau disandarkan kepada hadis tertentu yang tidak sahih.
Pandangan Mazhab Lain & Ulama Kontemporari
Secara umum, tiada kenyataan rasmi daripada imam mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali mengenai amalan ini, kerana ia muncul kemudian dan bukan pada zaman awal Islam.
Namun begitu, ulama kontemporari daripada pelbagai latar telah memberikan pandangan yang jelas dan membenarkan amalan ini.
Antaranya ialah Dar al-Ifta’ Mesir melalui Mufti Besar Mesir, Syeikh Dr. Syauqi Allam. Beliau menegaskan bahawa membaca doa akhir dan awal tahun adalah amalan yang baik dan dibolehkan syarak, bahkan termasuk dalam amalan zikir dan doa yang dianjurkan secara umum oleh Allah SWT dan RasulNya.
Beliau juga menyebut bahawa melarang orang lain daripada berdoa semata-mata kerana tiada dalil khusus adalah sikap melampau dalam agama, yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana ulama muktabar sepanjang sejarah.
Pandangan ini turut dikongsi oleh Mufti Wilayah Persekutuan (Datuk Dr. Zulkifli al-Bakri), yang menjelaskan bahawa amalan ini termasuk dalam kategori ibadah sunat yang mubah, selagi tidak disandarkan kepada dalil yang tidak sahih dan tidak dianggap sebagai sunnah muakkad.
Beliau menegaskan bahawa hukum membaca doa ini adalah harus, dan tidak wajar dipertikaikan kerana ia termasuk dalam amalan umum yang digalakkan.
Majlis Ulama Indonesia (MUI) dan institusi agama rasmi seperti JAKIM, MUIS Singapura, dan Jabatan Mufti Negeri-negeri di Malaysia juga secara konsisten mengedarkan doa ini setiap tahun kepada masyarakat sebagai galakan amalan rohani pada malam 1 Muharram.
Ini menunjukkan bahawa pihak berautoriti tidak melihatnya sebagai satu amalan yang bercanggah dengan prinsip syariat.
Adakah Doa Ini Dikiaskan Dengan Perbuatan Nabi?
Adakah benar doa awal tahun ini dikiaskan dengan perbuatan Nabi SAW berdoa pada awal bulan? Adakah terdapat hadis Nabi SAW berdoa pada awal bulan?
Dari Talhah bin ‘Ubaid r.a. katanya :
Sungguhnya Nabi saw adalah baginda telah nampak anak bulan lalu berdoa : “Ya Allah perlihatkan bulan ini pada kami dengan kebahagiaan dan keimanan dan keselamatan dan Islam. Tuhanku dan Tuhan kamu hanyalah Allah.”
(Hadith Tirmizi)
Mengapa Bulan Muharram Dikaitkan Dengan Peristiwa Hijrah?
Mengapa Bulan Muharam dikaitkan dengan peristiwa hijrah sedangkan hijrah berlaku pada Bulan Rabiulawal?
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan daripada sebahagian ulama bahawa ketika para sahabat رضي الله عنه berbincang (pada zaman Khalifah Umar رضي الله عنه), bagaimanakah kita hendak memulakan tarikh? Peristiwa apakah yang kita hendak jadikan sebagai titik permulaan bagi tarikh atau kalendar kita? Maka terdapat beberapa cadangan:
- Peristiwa kelahiran Nabi ﷺ
- Peristiwa Nabi ﷺ dilantik menjadi Nabi
- Peristiwa hijrah Nabi ﷺ
- Peristiwa kewafatan Nabi ﷺ
Akhirnya mereka memilih cadangan ketiga.
Cadangan pertama dan kedua sukar kerana terdapat percanggahan pendapat dalam menentukan tahun kejadiannya. Cadangan keempat juga tidak sesuai kerana mereka tak sampai hati hendak menjadikan kewafatan Nabi ﷺ sebagai permulaan tarikh Islam.
Maka akhirnya mereka memilih untuk menjadikan tahun berlakunya peristiwa hijrah sebagai tahun pertama dalam kalendar Islam.
Tapi mengapa mereka memilih bulan Muharam dan bukannya bulan Rabiulawal sebagai bulan pertama? Bukankah hijrah berlaku pada bulan Rabiulawal?
Jawapannya ialah kerana keazaman Rasulullah ﷺ untuk berhijrah itu sudah bermula sejak bulan Muharam. Hal ini kerana pada bulan Zulhijah telah berlaku baiah. Maka selepas itu Rasulullah ﷺ telah berazam untuk berhijrah dan bulan pertama selepas peristiwa baiat tersebut ialah Muharam. Maka sesuailah bulan Muharam dijadikan sebagai permulaan.
Menurut al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullah, inilah hujah yang paling kuat yang beliau temui dalam menjelaskan faktor kemunasabahan bulan Muharam dipilih sebagai bulan permulaan.
Semoga permulaan tahun baru hijri ini menjadi titik permulaan untuk kita berhijrah ke arah kebaikan dengan taufiq dari Allah ﷻ.




Adakah Doa Akhir Tahun & Awal Tahun Ini Perbuatan Bidaah?
Salah satu isu yang sering dibangkitkan ialah dakwaan bahawa doa ini adalah bidaah yang tidak bersumber daripada Rasulullah ﷺ.
Siapa yang melarang orang berdoa dengan alasan Nabi tidak berdoa adalah orang yang rosak akalnya. Tidak ada seorang pun orang yang cerdik akan berdalil seperti itu.
Berdoa adalah ibadah yang sangat dituntut dan berdoa adalah inti bagi ibadah. Tidak ada sebarang larangan berdoa mengikut tahun atau bulan atau minggu atau hari atau seumpamanya.
Berdoalah setiap masa dan siapa yang lebih kerap berdoa maka lebih kasih Allah kepadanya.
Belum pernah ada seorang pun ulamak muktabar yang ada mengharamkan atau melarang orang berdoa.
Ada juga yang menyebarkan hadis-hadis yang mengandungi kelebihan tertentu berkaitan doa ini, seperti kononnya syaitan akan kecewa atau bahawa seseorang akan dilindungi setahun penuh daripada syaitan jika membacanya sedangkan semua hadis yang menyebut perkara ini adalah palsu dan tidak thabit daripada mana-mana sanad yang sahih.
Namun, para ulama menjelaskan bahawa kewujudan hadis palsu tidak menjadikan isi doa itu sendiri haram atau tertolak, selagi isi kandungan doa tersebut baik dan tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
Apa yang perlu dielakkan ialah menyandarkan fadilat palsu tersebut kepada Nabi ﷺ atau mempercayai ia sebagai janji Allah yang sahih.
Berkenaan isu bidaah pula, para ulama Syafie telah menjelaskan secara jelas perbezaan antara bidaah hasanah (perkara baru yang terpuji) dan bidaah yang sesat. Membaca doa yang baik, walaupun tidak dilakukan oleh Nabi ﷺ secara khusus, tidak menjadikannya bidaah yang tercela.
Imam Nawawi dalam al-Adzkar turut menyusun pelbagai doa yang tidak dinisbahkan kepada Nabi tetapi dianggap sebagai zikir dan munajat yang baik untuk diamalkan. Maka, pendekatan ulama Islam bukanlah menolak semua amalan yang tidak disebut secara khusus oleh Nabi, tetapi menilai kesesuaian kandungan dan prinsipnya dengan syariat.
Ringkasnya:
- Hukum membaca doa akhir dan awal tahun adalah HARUS dan DIGALAKKAN, selama tidak diyakini sebagai sunnah khusus daripada Nabi ﷺ.
- Tidak wajib dan bukan sunnah muakkad. Elakkan menyebarkan fadilat yang tidak sahih atau menyandarkan hadis palsu kepada Rasulullah ﷺ.
Hormati perbezaan pendapat dan jauhi perbalahan dalam isu furu‘ (cabang ibadah).
Kelebihan & Hikmah
Walaupun amalan membaca doa akhir dan awal tahun Hijrah tidak bersumber daripada sunnah Nabi ﷺ secara khusus, namun ia tetap membawa kesan yang mendalam kepada jiwa dan menjadi satu bentuk latihan hati yang amat bermanfaat bagi seorang Muslim.
Kandungan doa yang menyentuh tentang pengakuan dosa, permohonan keampunan, dan azam pembaikan diri menjadikan amalan ini sangat bermakna dari sudut tarbiah jiwa dan pembangunan iman.
Berikut adalah antara hikmah dan nilai rohani yang terkandung dalam amalan ini:
1. Muhasabah Dosa dan Taubat
Doa akhir tahun memberi ruang kepada seseorang untuk merenung kembali perjalanan hidupnya sepanjang tahun yang lalu.
Kandungan doa tersebut menekankan pengakuan terhadap dosa dan kelalaian yang dilakukan, serta permohonan keampunan daripada Allah SWT.
Ini bertepatan dengan konsep muhasabah yang sangat digalakkan dalam Islam, sebagaimana sabda Nabi Muhammad ﷺ:
“Orang yang bijak ialah orang yang menilai dirinya dan beramal untuk kehidupan selepas mati.” (Hadis riwayat Tirmizi, hasan)
Amalan ini mengajak seorang Muslim tidak menangguhkan taubat, dan melihat akhir tahun sebagai masa terbaik untuk memohon ampun sebelum lembaran baru dibuka.
2. Azam dan Perlindungan untuk Tahun Baharu
Isi kandungan doa awal tahun pula menumpukan kepada permohonan perlindungan daripada syaitan dan kejahatan nafsu, serta harapan untuk mendekatkan diri kepada Allah sepanjang tahun baharu. Ia mencerminkan azam dan tekad untuk menjadi insan yang lebih baik.
Amalan ini membantu seseorang memulakan tahun baharu dengan penuh kesedaran, serta meletakkan matlamat yang berpaksikan keredhaan Allah, bukan sekadar azam duniawi. Ini selari dengan adab Islam dalam menyusun niat dan tujuan hidup.
3. Menyatakan Kesyukuran atas Nikmat Yang Berlalu
Doa akhir tahun bukan hanya berisi istighfar, bahkan turut mengandungi penghargaan terhadap amal baik yang dilakukan dan permohonan agar ia diterima oleh Allah SWT.
Ini mendidik seorang Muslim agar sentiasa bersyukur atas taufik dan hidayah, serta tidak merasa bangga atau riak dengan amalannya.
Dengan menyebut secara langsung tentang amal yang diterima, doa ini juga mengingatkan kita bahawa tiada jaminan amal diterima, melainkan dengan rahmat Allah. Justeru, ia melahirkan rasa tawaduk dan rendah hati dalam beribadah.
4. Meningkatkan Husnuzon dan Tawakkal
Kedua-dua doa mengandungi lafaz yang penuh harapan dan kebergantungan kepada Allah SWT.
Doa akhir tahun diakhiri dengan permohonan agar Allah tidak memutuskan harapan hambaNya, manakala doa awal tahun memohon agar segala usaha dalam tahun mendatang diberkati dan dipermudahkan.
Ini memberi kesan rohani yang besar, kerana ia menanam sifat husnuzon (sangka baik) terhadap Allah, dan melatih diri untuk bertawakkal kepadaNya dalam menghadapi cabaran dan ketidaktentuan tahun baharu.
5. Mengukuhkan Ukhuwwah dan Tradisi Keagamaan
Apabila doa ini dibaca secara berjemaah sama ada di masjid, surau, sekolah atau dalam keluarga ia menjadi medium pengukuhan ukhuwwah Islamiah.
Umat Islam berkumpul dengan satu tujuan: menutup tahun dengan taubat, dan membuka tahun dengan doa dan harapan.
Amalan ini juga membentuk identiti kolektif masyarakat Islam dalam menyambut tahun baru Hijrah secara bermakna, bukan dengan hiburan atau kelalaian. Bagi saudara baru (muallaf), ia juga membuka ruang untuk mengenali budaya Islam setempat dan merasai kebersamaan dalam ibadah.
6. Membezakan Sambutan Tahun Baru Islam dengan Tahun Baru Masihi
Dalam dunia hari ini, sambutan tahun baru Masihi sering dikaitkan dengan hiburan, pesta, dan perkara melalaikan.
Doa akhir dan awal tahun Hijrah memberikan alternatif yang lebih bermakna dan berpaksikan nilai Islam dalam menyambut tahun baharu.
Ia mengingatkan umat Islam bahawa permulaan tahun seharusnya dikaitkan dengan doa, harapan, dan muhasabah, bukan dengan kelalaian dan perkara yang sia-sia. Ini selari dengan prinsip Islam dalam mengisi waktu dan memperbaharui niat hidup.
⚠️ Nota penting:
Terdapat sebahagian teks yang tersebar menyebut kelebihan seperti “syaitan menyesal” atau “diampunkan dosa setahun” jika membaca doa ini. Harus diingat bahawa tiada hadis sahih yang menyokong dakwaan ini, dan sebahagian besar fadilat tersebut berasal daripada sumber yang tidak thabit. Oleh itu, amalan ini sepatutnya dilakukan atas dasar semangat muhasabah dan doa, bukan kerana mempercayai fadilat palsu yang direka.
Membaca doa akhir dan awal tahun bukanlah satu kewajipan, tetapi ia merupakan amalan yang memberi kesan mendalam kepada hati dan jiwa. Ia menggabungkan muhasabah, syukur, azam, dan tawakkal dalam satu amalan yang ringkas namun sangat bernilai. Lebih daripada sekadar lafaz, doa ini membawa mesej bahawa seorang Muslim sentiasa hidup dalam hubungan yang erat dengan Tuhannya—menilai masa lalu, merancang masa depan, dan menyerahkan segalanya kepada Allah SWT.
Tinggalkan Komen Anda..
Apa hukum memarahi dan memencilkan orang yang enggan membaca doa awal tahun dan akhir tahun ?
Dalam mazhab Syafi’i, membaca doa awal tahun dan akhir tahun adalah amalan yang dianjurkan tetapi tidak diwajibkan. Oleh itu, seseorang yang tidak melakukannya tidak boleh dianggap berdosa atau dicela.
Memarahi dan memencilkan orang yang enggan membaca doa awal tahun dan akhir tahun bukanlah tindakan yang betul dari segi syariat. Islam menekankan sikap lemah-lembut dan kasih sayang dalam menasihati sesama Muslim. Menghormati pilihan individu dalam hal-hal yang bersifat sunat adalah penting untuk menjaga keharmonian dan persaudaraan dalam masyarakat.
Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Barangsiapa yang tidak menyayangi, maka dia tidak akan disayangi.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, sebaiknya memberi nasihat dengan hikmah dan kelembutan tanpa memarahi atau memencilkan individu tersebut. Allah SWT berfirman dalam Surah An-Nahl ayat 125:
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.”
Kesimpulannya, tindakan memarahi dan memencilkan seseorang kerana enggan membaca doa awal tahun dan akhir tahun adalah tidak bertepatan dengan ajaran Islam yang menganjurkan sikap lemah-lembut dan kasih sayang dalam menasihati sesama Muslim.
Wallahu a’lam
Assalam..dalam doa akhir tahun baris 4.selepas ayat Wamaa ‘Amilna tertinggal ayat fiiHaa dalam tulisan jawi..maaf andai tersilap
Walaikumsalam,
Ya betul. Terima kasih atas makluman. InsyaAllah saya akan buat pembetulan segera.
Zainuddin
Alhamdulillah..,kongsi ilmu besar ganjaran pahala..🤲🏻🤲🏻
Alhamdulillah..jazakumullahu khoir atas perkongsian..
Alhamdulillah, perkongsian terbaik.. mohon kebenaran untuk share ya
Suka. Terima kasih.
Alhamdulillah, sama-sama
Penerangan yang jelas mudah diikuti dan dufahami
Alhamdulillah, terima kasih atas maklumbalas puan
Assalamualaikum wbt…sya ingin brtanya yg doa akhir tahun tu baris ke 4….”alaihi Tawab” atau “Tsawab”…huruf Ta atau Tsa
Wassalam. Alayhi “tsawab” yang sebetulnya. Ada typo disitu dan saya telah buat pembetulan segera. Mohon maaf atas kesilapan.
Assalamualaikum, ustaz, kalau uzur, boleh hanya membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun ini ke?
Wassalam.
Boleh, tiada masalah.