
Ini adalah panduan cara qada solat (menggantikan solat fardu) yang lengkap dan tersusun untuk memudahkan anda melakukan qada solat yang betul.
Apa yang menarik:
Ejaan dalam rumi juga turut disertakan dalam niat solat qada fardu lima waktu bagi membantu mereka yang sukar membaca tulisan arab.
Semoga panduan ini dapat membantu anda menggantikan solat dengan sempurna.
- Apa Maksud Qada Solat
- Apa Hukum Qada Solat?
- Niat Qada Solat
- Cara Qada Solat Yang Tertinggal
- Lupa Bilangan Solat Yang Tertinggal Lama
- Adakah Wanita Yang Haid dan Nifas Perlu Qada Solat?
- Adakah Perlu Qada Solat Jika Pernah Murtad?
- Adakah Wajib Qada Solat Jika Mabuk, Hilang Akal & Tidak Sedarkan Diri?
- Soal Jawab Berkaitan Qada Solat (FAQ)
- Kewajipan Mengganti Solat Yang Tertinggal
Apa Maksud Qada Solat
Qada solat (قضاء) bermaksud menggantikan atau melaksanakan solat fardu yang telah ditinggalkan atau terlepas. Dalam Islam, solat merupakan salah satu rukun Islam yang wajib dan tidak boleh ditinggalkan.
Apabila seseorang Muslim terlepas solat fardu disebabkan sebab tertentu seperti tertidur, lupa, atau keadaan darurat, maka wajib baginya untuk menggantikan solat tersebut pada masa lain.
Ini dilakukan sebagai cara untuk memenuhi kewajipan solat yang telah ditinggalkan. Qada solat menunjukkan pentingnya menjaga kewajipan solat dalam Islam dan tanggungjawab individu untuk memastikan semua solat fardu dilaksanakan.
Menurut mazhab as-Syafi’e, seseorang dikira sempat menunaikan solat secara tunai apabila dia sempat menghabiskan rakaat yang pertama dalam waktu solat tersebut.
Sebaliknya, mengerjakan solat secara qada adalah melakukan solat selepas waktunya.
Apabila seseorang tidak menunaikan solat pada waktunya, dia mesti menggantinya dengan menunaikan solat yang telah ditinggalkan pada waktu lain.
Orang yang tertidur, gila dan hilang akal ketika murtad diwajibkan untuk mengqadakan solat.

Apa Hukum Qada Solat?
Hukum qada solat dalam Islam adalah wajib. Ia adalah kewajipan bagi mengganti solat fardu yang telah ditinggalkan, sama ada disengajakan atau tidak. Menurut pandangan ulama, setiap solat fardu yang ditinggalkan mesti diganti secepat mungkin.
Ini berdasarkan pemahaman umum dalam Islam bahawa solat adalah tiang agama dan tidak boleh ditinggalkan. Oleh itu, apabila seseorang gagal menunaikan solat pada waktunya, dia wajib menggantikannya melalui qada untuk memastikan kewajipannya terhadap solat terpenuhi.
Bagi mereka yang meninggalkan solat fardu diwajibkan menggantikan solat tersebut.
Ibn Mas’ud r.a menceritakan bahawa ketika Perang Khandak, Rasulullah SAW telah disibukkan dengan serangan Musyrikin sehingga terbenam matahari sedangkan Baginda tertinggal solat empat waktu. Lalu Baginda meminta Bilal melaungkan azan, dan Baginda berdiri menunaikan solat Zuhur, kemudian Asar, kemudian Maghrib dan seterusnya Isyak
(Riwayat al-Tirmizi, al-Nasa’i dan Ahmad)
Hukum melewatkan solat tanpa keuzuran (dengan sebab yang benar-benar mendesak), apalagi diluar waktunya, adalah berdosa besar. Ini adalah satu maksiat besar yang tidak boleh dihilangkan kecuali dengan mengqadakan solat yang ditinggalkan.
Seseorang yang melakukannya mesti bertaubat dengan sebenar-benar taubat untuk tidak mengulanginya.
Niat Qada Solat
Niat qada solat adalah berniat di dalam hati untuk mengganti solat fardu yang telah ditinggalkan. Niat ini dilakukan sebelum takbiratul ihram pada permulaan solat.
Contohnya, jika seseorang hendak mengqada solat Zohor, niatnya adalah: “Sahaja aku solat fardu Zohor empat rakaat qada kerana Allah Taala”.
Niat ini penting untuk menentukan solat tersebut sebagai ganti bagi solat fardu yang tidak sempat atau tidak dapat dilaksanakan pada waktunya.
Berikut dinyatakan niat qada solat untuk setiap solat fardu:
Niat Qada Solat Subuh

Usolli Fardhos-Subhi Rak’ataini Qadaan Lillahi Ta’ala
Sahaja aku Solat Fardu Subuh dua rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala”
Niat Qada Solat Zuhur

Usolli Fardhoz-Zuhri Arba’a Raka’atin Qadaan Lillahi Ta’ala
Sahaja aku solat fardu Zuhur empat rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala”
Niat Qada Solat Asar

Usolli Fardhol Asri Arba’a Raka’atin Qadaan Lillahi Ta’ala
Sahaja aku solat fardu Asar empat rakaat qadha’ kerana Allah Ta’ala
Cara Qada Solat Yang Tertinggal
Qada Solat merupakan cara mengerjakan semula solat yang terlepas. Langkah pertama adalah berniat di dalam hati untuk solat qada bagi waktu solat yang terlepas. Kemudian, ikuti langkah solat seperti biasa, termasuk takbiratul ihram, membaca Al-Fatihah, rukuk, sujud, dan salam. Qada Solat boleh dilakukan pada bila-bila masa sebelum masuk waktu solat yang sama pada hari berikutnya.
- Untuk Solat yang Ditinggalkan Ketika Musafir: Apabila ingin diqada selepas musafir, solat mesti diqada secara sempurna (tidak boleh qasar atau jamak). Jika diqada ketika masih musafir, boleh diqada secara sempurna atau qasar.
- Untuk Solat yang Ditinggalkan Ketika Menetap (Bermukim): Solat yang ditinggalkan ketika menetap wajib diqada secara sempurna (tamam) dan tidak boleh diqasar, walaupun diqada ketika musafir.
- Bacaan dalam Solat Qada: Bacaan boleh dibaca dengan nyaring pada waktu malam (selepas terbenam matahari hingga terbit matahari), sekalipun bukan jenis solat yang biasa dibaca nyaring. Bacaan solat dibaca perlahan pada waktu siang.
- Mengerjakan Qada Solat secara Berjemaah: Dibenarkan apabila ada dua orang atau lebih yang mahu mengganti solat mereka.
- Mengerjakan Qada Solat Secara Tertib (Mengikut Urutan): Disunatkan mengerjakan qada solat mengikut urutan, seperti solat Zuhur dahulu, kemudian Asar. Namun, jika waktu solat yang sedang berlangsung (seperti Asar) hampir habis, wajib mengerjakan solat tersebut dahulu sebelum qada solat yang ditinggalkan (seperti Zuhur).
Bacaan Dalam Solat Qada
Bacaan dalam qada solat sama seperti bacaan dalam solat fardu biasa. Ini termasuk:
- Takbiratul Ihram: Membuka solat dengan takbir.
- Bacaan Al-Fatihah: Membaca surah Al-Fatihah pada setiap rakaat.
- Surah Lazim: Membaca surah atau ayat-ayat Quran selepas Al-Fatihah.
- Rukuk dan Sujud: Melakukan rukuk dan sujud dengan bacaan-bacaan tertentu.
- Tahiyyat Akhir: Membaca tahiyyat pada rakaat terakhir.
- Salam: Mengakhiri solat dengan ucapan salam.
Tiada bacaan khusus atau berbeza untuk solat qada berbanding solat fardu biasa; perbezaannya hanya pada niat untuk menggantikan solat yang tertinggal.
Penjelasan Mengenai Cara Qada Solat
Wajib bagi seseorang yang telah meninggalkan solat untuk mengqada (menggantikan) solatnya itu dengan segera. Bahkan dibenarkan mengantikan solat sekali pun pada waktu yang diharamkan solat (waktu tahrim) seperti selepas asar, selepas subuh dan sebagainya.
1. Apabila meninggalkan solat sewaktu musafir dan hendak diqadakan selepas habis tempoh musafir, maka perlu diqadakan solat secara sempurna (tidak boleh diqasar dan jamak).2. Solat yang ditinggalkan ketika musafir dan hendaklah diqada ketika masih dalam tempoh musafir. Solat juga boleh di qada ketika bermusafir pada waktu lain, secara sempurna atau diqasar.
(terdapat khilaf mengenai perkara ini dalam kalangan beberapa ulama)
3. Solat yang ditinggalkan ketika menetap (bermukim) wajib diqada secara sempurna (tamam) dan tidak boleh diqasar meskipun diqada ketika musafir.
4. Bacaan solat boleh dibaca dengan nyaring (untuk imam atau solat seorang diri) sekiranya waktu mengerjakan qada solat pada waktu malam iaitu selepas terbenam matahari hingga terbit matahari.
Sekalipun solat tersebut adalah bukan dari jenis solat yang dibaca nyaring (seperti Zuhur dan Asar).
Sebaliknya, bacaan solat dibaca perlahan apabila solat yang diqada tersebut dikerjakan pada waktu siang, bermula dari terbit matahari hingga terbenam matahari.
5. Tidak salah mengerjakan qada solat secara berjemaah apabila waktu itu terdapat dua orang atau lebih yang sama-sama mahu mengganti solat mereka.
6. Sunat mengerjakan qada solat secara tertib (mengikut urutan). Misalnya, solat qada Zuhur dahulu, kemudian baru solat qada Asar.
Orang yang meninggalkan solat fardu Zuhur dan mahu mengqadanya dalam waktu Asar, sebaik-baiknya mengerjakan qada solat Zuhur dahulu sebelum mengerjakan solat Asar secara tunai.
Kecuali apabila waktu asar itu tinggal sedikit dan dikhuatiri habis waktu sebelum sempat menunaikan solat Asar, wajib untuknya menunaikan solat Asar dahulu diikuti dengan qada solat Zuhur.

Lupa Bilangan Solat Yang Tertinggal Lama
Jika seseorang lupa bilangan solat fardu yang telah tertinggal, mereka disarankan untuk membuat anggaran terbaik berdasarkan ingatan. Setelah itu, lakukan qada’ mengikut jumlah tersebut. Jika tidak ingat, lakukan qada’ sebanyak mana yang dirasa cukup untuk meyakinkan diri sendiri bahawa kewajipan telah dipenuhi. Penting untuk menetapkan niat qada’ dalam hati sebelum memulai setiap solat.
Ulama mazhab Syafi’e menetapkan orang yang mempunyai terlalu banyak solat yang ditinggalkan sehingga tidak tahu jumlahnya, hendaklah mengqadakan solat-solat tersebut sehingga diyakini semuanya telah diganti.
Oleh itu, sesiapa yang meninggalkan solat selama 20 atau 30 tahun wajib menggantinya sedikit demi sedikit berdasarkan kemampuannya. Ini dilakukan sehingga kita yakin semuanya telah diganti.
Contohnya:
Seseorang yang meninggalkan solat selama 2 tahun boleh menggantikan setiap solat fardu yang ditinggalkan selepas solat tunai. Misalnya selepas solat subuh ataupun sebelum, dan boleh menggantikan satu ataupun dua solat subuh yang ditinggalkan.
Perkara ini dilakukan selama setahun ataupun dua tahun hingga yakin semua solat yang ditinggalkan sudah diganti.
Sekiranya dia mampu melakukan lima solat waktu pada setiap waktu tunai, maka dia boleh melakukannya.
Adakah Wanita Yang Haid dan Nifas Perlu Qada Solat?

Wanita yang berada dalam keadaan haid atau nifas tidak perlu melakukan qada’ untuk solat yang terlepas. Ini kerana dalam Islam, wanita yang mengalami haid atau nifas dikecualikan daripada kewajiban solat. Setelah selesai tempoh haid atau nifas, mereka boleh meneruskan solat seperti biasa tanpa perlu menggantikan solat yang terlepas selama tempoh tersebut.
Penerangan
Wanita yang haid dan nifas tidak wajib mengganti solat (qada) untuk waktu-waktu yang tertinggal semasa haid dan nifas itu.
Tetapi ada beberapa situasi yang perlu diberi perhatian:
- Wanita yang telah kering darahnya (haid dan nifas) dalam waktu Asar perlu qada solat Zohor.
- Dan wanita yang kering darahnya dalam waktu Isyak perlu qada solat Maghrib.
Wanita berkenaan perlu mandi wajib dan mengerjakan solat waktu tersebut secara tunai (sekiranya sempat). Dia juga mesti mengerjakan secara qada untuk solat yang sebelumnya.
Jika dia tidak sempat mengerjakan solat dalam waktu darahnya telah kering, maka dia wajib mengganti solat waktu yang tertinggal dan solat yang sebelumnya itu.
Penjelasan lanjut mengenai masalah ini boleh dilihat pada pautan ini: Adakah Kena Qada Solat Zohor Jika Suci Dari Haid Pada Waktu Asar?
Adakah Perlu Qada Solat Jika Pernah Murtad?
Orang murtad iaitu keluar daripada agama Islam, maka dianggap berdosa besar. Sekiranya dia kembali semula kepada Islam, wajib dia qada solatnya selama dia murtad. Bahkan wajib dia mengqada solatnya selama dia masih Islam sebelum dia murtad dahulu.
Hal ini disebabkan, apabila seseorang telah keluar daripada agama Islam, maka seluruh amalannya sebelum itu terbatal kecuali ibadah haji yang hanya terbatal kerana syirik yang berserta kematian.
Adakah Wajib Qada Solat Jika Mabuk, Hilang Akal & Tidak Sedarkan Diri?
Seorang yang minum minuman keras hingga mabuk dan tidak sedarkan diri, memandu dengan cara berbahaya dan berlaku kemalangan hingga tidak sedarkan diri, atau apabila dia melakukan apa-apa sahaja perkara yang membahayakan dengan sengaja hingga menyebabkan hilang akalnya..
… maka wajib dia mengqada solatnya selama dia hilang akal setelah dia pulih.
Akalnya hilang disebabkan perkara yang diharamkan, maka kewajipan tidak akan gugur daripadanya.
Soal Jawab Berkaitan Qada Solat (FAQ)
Di sini saya kumpulkan beberapa soalan lazim mengenai qada solat yang mungkin membantu anda menjawab persoalan yang sedang anda hadapi:
Solat qada tidak wajib dilakukan mengikut tertib, tetapi disunatkan supaya mengikut tertib. Jika waktu solat masa itu hampir tamat, maka utamakan solat tunai waktu itu terlebih dahulu.
Solat yang tertinggal sama ada secara sengaja ataupun terlupa, wajib diqada sebaik sahaja mengingatinya. Ataupun sekiranya tidur, sebaik sahaja terjaga daripada tidur terus diqada solat yang terlepas.
Solat wajib ditunaikan walaupun ketika sakit dengan menggunakan rukhsah-rukhsah yang Allah berikan seperti tayamum sekiranya tidak dapat menggunakan air, solat duduk ataupun baring sekiranya tidak dapat berdiri dan sebagainya.
Tidak harus membaca dengan nada kuat untuk solat fardu yang dilakukan pada waktu siang. Sama ada solat itu dilakukan pada waktunya ataupun qada. Begitu juga, disunatkan membaca dengan kuat untuk solat fardu yang dikerjakan pada waktu malam, walaupun solat pada zuhur ataupun asar.
Boleh. Sunat mengerjakan solat qada secara tertib.
Harus mengqada solat-solat yang tertinggal sama ada mengikut tertib atau tanpa tertib.
Tiada larangan untuk anda melakukan solat sunat.
Tetapi mengapa perlu melakukan yang sunat sedangkan anda boleh melakukan yang wajib, sekaligus mendapat pahala wajib dan diampunkan dosa akibat meninggalkan yang wajib.
Untuk solat tahiyatul masjid, anda boleh melakukan melakukan solat qada subuh ataupun solat lain ketika masuk ke masjid, sebelum anda duduk. Dengan melakukan solat qada ini, anda sudah mendapat pahala solat wajib dan mendapat pahala solat sunat tahiyatul masjid.
Sekiranya anda tidak merancang bagi bermukim di destinasi ini lebih daripada tiga hari, anda masih dianggap sebagai musafir yang mendapat rukhsah jamak dan qasar solat.
Dalam keadaan ini, anda masih boleh mengqada solat zohor dan asar dengan memendekkan menjadi dua rakaat.
Tetapi anda tidak boleh menjamakkannya kerana kedua-duanya sudah keluar daripada waktunya.
Solat yang ditinggalkan ketika musafir tidak lagi boleh diqasar apabila perjalanan itu tamat. Solat itu perlu diqada secara rakaat penuh (tamam)
Terdapat khilaf (pertembungan) jawapan ulama mengenai hal ini. Anda boleh qasar solat zohor yang ditinggalkan dalam pemusafiran yang lalu walaupun telah berada dalam pemusafiran yang lain. Tetapi adalah lebih baik disegerakan qada solat tersebut.
Anda tidak boleh mengqasarkan solat-solat yang sudah anda tinggalkan ketika bermukim ketika anda sedang musafir.
Disunatkan anda membaca surah dengan kuat kerana solat itu dilakukan pada waktu malam.
Orang yang mengalami masalah mental atau gila tidak diwajibkan qada solat-solat yang ditinggalkan ketika dalam keadaan itu. Ini kerana penyakit ini selalunya menimpa seseorang dalam tempoh yang lama hingga memakan masa bertahun-tahun.
Sekiranya diwajibkan mengqada semua solat-solat ini, sudah tentu sangat membebankan.
Orang yang pitam atau pengsan wajib mengganti solat yang tertinggal ketika dalam keadaan tidak sedarkan diri itu.
Ini kerana pengsan atau pitam selalunya hanya akan berlaku dalam masa yang singkat, berbeza dengan orang gila.
Begitu juga halnya orang yang tertidur sehingga terlepas waktu solat.
Kewajipan Mengganti Solat Yang Tertinggal
Bagi mereka yang meninggalkan kewajipan solat fardu atau ibadah lain, diwajibkan menggantikannya.
1. Ibnu Mas’ud r.a menceritakan bahawa ketika Perang Khandak, Rasulullah SAW telah disibukkan dengan serangan musyrikin sehingga terbenam matahari sedangkan Baginda tertinggal solat empat waktu.Lalu Baginda meminda Bilal melaungkan azan, dan Baginda berdiri menunaikan solat Zuhur, kemudian Asar, Kemudian Maghrib dan seterusnya Isyak.
(Riwayat Tirmizi, Nasai’e dan Ahmad)
2. Orang yang meninggalkan ibadah wajib hendaklah menggantikannya berdasarkan umum sabda Rasulullah SAW, begitu juga solat fardu yang ditinggalkan hendaklah digantikan.
Sabda Nabi:
Hutang Allah itu lebih perlu ditunaikan (diganti)
3. Orang yang sengaja meninggalkan solat fardu tanpa keuzuran telah melakukan dosa dan wajib menggantikannya.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Maka kecelakaan besar bagi orang yang solat. (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya
— Al-Ma’un 107:4-5
Saya berharap agar panduan ini dapat membantu memudahkan anda dalam melaksanan solat ganti.
Jika terdapat sebarang persoalan atau kemusykilan, anda boleh tinggalkan perkara tersebut pada ruangan di bawah.



nak buat qada solat waktu yg sama macam mana?
Lakukan selepas solat tunai jika ingin qada pada waktu yang sama.
Assalamualaikum,,nak tanya adakah perlu baca doa qunut jika qada solat subuh?
Wassalam,
Ya lakukan qada solat seperti solat yang ingin diganti itu.
Tetapi hukum qunut adalah sunat sahaja.
Jika tidak dilakukan, solat tetap sah.
Assalammualaikum, selepas subuh boleh kah saya mengqada kan solat2 yg pernah saya tinggalkan, Dan melakukan secara berterusan – mengganti solat zuhur, asar, maghrib, isyak Dan subuh sekali gus selepas saya menunaikan solat subuh tunai…
Wassalam.
Boleh, tiada masalah.
Tiada batasan waktu dan bilangan solat untuk solat qada.
Saya nak tanya pasal ganti puasa dengan fidyah..boleh terangkan..sbb sya keliru
Fidyah ni adalah denda yang perlu dibayar jika awak gagal ganti puasa dalam masa setahun (sebelum ramadan yang berikutnya).
Yang penting cuba ganti puasa puasa dahulu dalam masa setahun itu. Jika berjaya ganti kesemuanya, tidak perlu bayar fidyah. Jika gagal, kena bayar fidyah.
Jika puasa yg telah lama..cntoh 2011 tggal 5 hari..2015 tggal 4 hari..2017 tggal 4 hari..macam mna keadaan begitu?
Setiap tu kena kira berdasarkan tahun yang ditinggal.
Paling mudah, Syahrul minta jabatan zakat tolong kirakan.
Assalamualaikum..bolehlah saya qada solat asar selepas saya solat asar secara tunai (dalam waktu asar)..saya musykil kerana org mengatakan tiada solat selepas tunai asar
-Jazakallah
Wassalam
Boleh, solat qada boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja.
Yang tak boleh dilakukan selepas asar dan subuh itu adalah untuk solat sunat sahaja. Contohnya solat sunat hajat.
Assalammu’alaikum. Mintak izin dan halal kan ilmu yg bermanfaat di dalam. Ini…
Wassalam,
Ya saya halalkan.
Semoga dipermudahkan urusan beribadat ya :-)
Lepas insak
Salam..boleh ke nak qada 5waktu waktu lepas budak dan boleh buat berapa kali.
Boleh, tiada masalah.
Qada solat ini tiada batasan waktu dan bilangan. Boleh dilakukan pada bila-bila masa dan sebeberapa rakaat yang mampu.
asallamu allaikum bolehkah solat qada isha selepas solat teraweh
Wassalam.
Boleh, tiada masalah :-)
Assalamualaikum.. Bagaimana pula dengan orang yang koma dan muallaf?
Wassalam.
Orang koma tidak perlu qada. Ini kerana penyakit ini selalunya menimpa seseorang dalam tempoh yang lama hingga memakan masa bertahun-tahun.
Begitu juga dengan muallaf. Muallaf tidak perlu qada solat kerana semua dosa mereka diampunkan dan tiada dosa, ibarat seperti dilahirkan semula.
Asalamualaikum ade acc fb ke akuislam.com?
Wassalam, tuan search sahaja di FB.
Atau ikuti pautan ini: https://www.facebook.com/akuislamblog/
Asssalam..sya ingin menqada solat..bolehkan saya qada 2 solat yang sama dlam satu waktu..contoh..selepas solat zuhur ..saya qada 2 x solat zuhur….salam asing2..mohon penjelasan..tq
Wassalam.
Boleh, tiada masalah.
Terima kasih kerana menjawab pertanyaan sya..jika sya nk buat lebih dri 2 pon tiada masalahkan..sebab sya bimbang nnti kne qada balik jika salah buat
Sama-sama tuan.
Ya tiada masalah. Qada solat ini tiada batasan pada bilangan dan waktu untuk mengerjakannya.
Berapa rakaat solat qadar ni?
Solat Qada tuan, bukan qadar.. Ia tiada rakaat tetap, tetapi dilakukan berdasarkan solat yang hendak diganti.
Contohnya kalau mahu qada solat maghrib, maka kena buat 3 rakaat la.
Assalamualaikum nak qadar solat yg lama ii berapa rakaat setiap kali solat
Tiada had.
Boleh buat sebeberapa banyak yang mampu.
contoh,saya boleh qada solat asar 3 atau 4 kali dalam 1 masa?
Boleh rezuan, tiada masalah
Assalamualaikum ustaz..sy sering tertinggal atau terjaga untuk menunaikan solat subuh,perlu kah sy membaca doa qunut ketika qada solat subuh?
Wassalam.
Ya, secara mudahnya lakukan seperti solat yang tertinggal itu.
Assalamualaikum Ustaz. Saya buat Solat Qada 5 waktu secara tertib (subuh, zohor, asar, mahgrib, ishak) selepas solat subuh atau mana-mana selepas solat fardhu. Setelah selesai 5 solat qada baru Saya berwirid Dan berdoa. Adakah cara itu di bolehkan Ustaz?
Wassalam,
Boleh. Itulah cara yang tepat.
Assalammualaikum Tuan Ustaz. Saya nak bertanya soalan berkaitan solat sunat dan qodo solat mana lebih didahulukan solat sunnat ye dibolehkan atau tidak jika sekiranya kesemua qado solatnya yang ditinggal bertahun² perlu dihabiskan dahulu atau boleh juga dikerjakan seiring solat2 sunnah seprti qabliyah nya dan bakdiyah..
Serta boleh mengerjakan solat sunat seperti taubat, tahajud, pada malam harinya?
Mohon pencerahan ye ustaz.
Wassalam,
Lebih utama untuk mendahulukan qada solat fardu berbanding solat sunat. Ini adalah kerana qada solat itu wajib.
Namun tiada halangan untuk mengerjakan solat qada seiring solat-solat sunat yang lain.
Assalamualaikum ustaz saya mahu bertanya… Kerana saya masih keliru…adakah solat qada boleh dilakukan ikut waktu solat selepas habis atas sebelum solat ustaz..?
Wassalam,
Solat qada ni dia tak terikat dengan mana-mana solat.
Ia boleh dilakukan pada bila-bila sahaja.
Dan seboiknya dipercepatkan qada solat tersebut.
Terima kasih ustaz saya faham sekarang
Assalammualaikum Tuan Uztaz, saya Nor ingin bertanya,
1.Bolehkah kita mengqada solat subuh selepas menunaikan solat fardhu subuh? Kerana waktu2 ini saya difahamkan waktu haram menunaikan solat erti kata lain solat sunnah, Adakah dibolehkan untuk saya menggantikannya.
Adakah dibolehkan membaca doa qunutnya sekali?
2. Bolehkah saya mengqada kan solat yang tertiggal sekian Lama ditunaikan selepas solat fardhu. Seperti solat isyak dahulu kemudian qada solat isyak, solat maghrib dahulu kemudian digantikan dengan qada maghrib.. Dan seterusnya?
Soalan saya bolehkah saya lakukan seperti itu?
Terima kasih Tuan ustaz. Saya doakan anda berada dikalangan para solihin. Aamin
Wassalam Nor,
1) Boleh. Tiada masalah.
Solat yang diharamkan ini ialah solat yang tidak bersebab iaitu solat sunat mutlak dan solat yang sebabnya datang terkemudian seperti solat sunat istikharah, solat sunat musafir dan solat sunat Ihram.
Manakala solat yang bersebab seperti solat qada, solat sunat wuduk, solat Tahiyyatul Masjid, solat sunat tawaf, sujud tilawah dan sujud syukur tidak diharamkan.
2) Boleh. Bahkan solat qada ni tiada batasan waktu dan bilangan.
Maknanya, Nor boleh solat pada bila-bila masa, dan sebeberapa banyak solat qada yang Nor mampu.
Contohnya aada solat Isyak untuk 5 waktu sekali gus, tiada masalah.
Harap membantu.
Terima kasih banyak atas jawapan Tuan Ustaz. In SYa Allah saya akan cuba sedaya mampu untuk menuju redho Allah swt.
Sama-sama.
Semoga dipermudahkan urusan Nor.
Ustaz,,boleh tak waktu qada solat ni kita buat dalam waktu contoh seperti selepas subuh dan asar?
Assalamualaikum,
saya nak bertanya, kalau tertinggal waktu subuh dan isyak 3 hari berturut-turut… hari keempat tu boleh qada kan semua sekaligus kah?
Wassalam,
Boleh, tiada masalah :-)
Assamualaikum,
Bagai mana cara saya mahu qada balik solat2 saya yang dah saya tinggalkan bertaun2 lepas?? Mohon bantu saya. Dan apa kah yang harus saya lakukan?
Lagi 1..jika boleh buat sekali gus…macam mana niat untuk sekali gus tu?
Ulama mazhab Syafi’e menetapkan orang yang mempunyai terlalu banyak solat yang ditinggalkan sehingga tidak tahu jumlahnya, hendaklah mengqadakan solat-solat tersebut sehingga diyakini semuanya telah diganti.
Oleh itu, sesiapa yang meninggalkan solat selama 20 atau 30 tahun wajib menggantinya sedikit demi sedikit berdasarkan kemampuannya.
Ini dilakukan sehingga kita yakin semuanya telah diganti.
Maaf ustaz minta ustaz dgr video nie dan apa yang di maksudkan.. Dan selepas tu ustaz jelaskan kepada saya..
https://youtu.be/AnNQjNXXWvw
Betul la ust Shukri dalam video tu cakap.
Tips yang diberikan pun bagus.
Rasanya takde apa yang perlu dijelaskan lagi sbb memang dah jelas penerangan dalam video tu. ?
Tiada solat sekali gus, kena qada solat satu per satu
Ooo.. Ha ya2..trima ksh uztaz