
Ini adalah panduan cara qada solat (menggantikan solat fardu) yang lengkap dan tersusun untuk memudahkan anda melakukan qada solat yang betul.
Apa yang menarik:
Ejaan dalam rumi juga turut disertakan dalam niat solat qada fardu lima waktu bagi membantu mereka yang sukar membaca tulisan arab.
Semoga panduan ini dapat membantu anda menggantikan solat dengan sempurna.
- Apa Maksud Qada Solat
- Apa Hukum Qada Solat?
- Niat Qada Solat
- Cara Qada Solat Yang Tertinggal
- Lupa Bilangan Solat Yang Tertinggal Lama
- Adakah Wanita Yang Haid dan Nifas Perlu Qada Solat?
- Adakah Perlu Qada Solat Jika Pernah Murtad?
- Adakah Wajib Qada Solat Jika Mabuk, Hilang Akal & Tidak Sedarkan Diri?
- Soal Jawab Berkaitan Qada Solat (FAQ)
- Kewajipan Mengganti Solat Yang Tertinggal
Apa Maksud Qada Solat
Qada solat (قضاء) bermaksud menggantikan atau melaksanakan solat fardu yang telah ditinggalkan atau terlepas. Dalam Islam, solat merupakan salah satu rukun Islam yang wajib dan tidak boleh ditinggalkan.
Apabila seseorang Muslim terlepas solat fardu disebabkan sebab tertentu seperti tertidur, lupa, atau keadaan darurat, maka wajib baginya untuk menggantikan solat tersebut pada masa lain.
Ini dilakukan sebagai cara untuk memenuhi kewajipan solat yang telah ditinggalkan. Qada solat menunjukkan pentingnya menjaga kewajipan solat dalam Islam dan tanggungjawab individu untuk memastikan semua solat fardu dilaksanakan.
Menurut mazhab as-Syafi’e, seseorang dikira sempat menunaikan solat secara tunai apabila dia sempat menghabiskan rakaat yang pertama dalam waktu solat tersebut.
Sebaliknya, mengerjakan solat secara qada adalah melakukan solat selepas waktunya.
Apabila seseorang tidak menunaikan solat pada waktunya, dia mesti menggantinya dengan menunaikan solat yang telah ditinggalkan pada waktu lain.
Orang yang tertidur, gila dan hilang akal ketika murtad diwajibkan untuk mengqadakan solat.

Apa Hukum Qada Solat?
Hukum qada solat dalam Islam adalah wajib. Ia adalah kewajipan bagi mengganti solat fardu yang telah ditinggalkan, sama ada disengajakan atau tidak. Menurut pandangan ulama, setiap solat fardu yang ditinggalkan mesti diganti secepat mungkin.
Ini berdasarkan pemahaman umum dalam Islam bahawa solat adalah tiang agama dan tidak boleh ditinggalkan. Oleh itu, apabila seseorang gagal menunaikan solat pada waktunya, dia wajib menggantikannya melalui qada untuk memastikan kewajipannya terhadap solat terpenuhi.
Bagi mereka yang meninggalkan solat fardu diwajibkan menggantikan solat tersebut.
Ibn Mas’ud r.a menceritakan bahawa ketika Perang Khandak, Rasulullah SAW telah disibukkan dengan serangan Musyrikin sehingga terbenam matahari sedangkan Baginda tertinggal solat empat waktu. Lalu Baginda meminta Bilal melaungkan azan, dan Baginda berdiri menunaikan solat Zuhur, kemudian Asar, kemudian Maghrib dan seterusnya Isyak
(Riwayat al-Tirmizi, al-Nasa’i dan Ahmad)
Hukum melewatkan solat tanpa keuzuran (dengan sebab yang benar-benar mendesak), apalagi diluar waktunya, adalah berdosa besar. Ini adalah satu maksiat besar yang tidak boleh dihilangkan kecuali dengan mengqadakan solat yang ditinggalkan.
Seseorang yang melakukannya mesti bertaubat dengan sebenar-benar taubat untuk tidak mengulanginya.
Niat Qada Solat
Niat qada solat adalah berniat di dalam hati untuk mengganti solat fardu yang telah ditinggalkan. Niat ini dilakukan sebelum takbiratul ihram pada permulaan solat.
Contohnya, jika seseorang hendak mengqada solat Zohor, niatnya adalah: “Sahaja aku solat fardu Zohor empat rakaat qada kerana Allah Taala”.
Niat ini penting untuk menentukan solat tersebut sebagai ganti bagi solat fardu yang tidak sempat atau tidak dapat dilaksanakan pada waktunya.
Berikut dinyatakan niat qada solat untuk setiap solat fardu:
Niat Qada Solat Subuh

Usolli Fardhos-Subhi Rak’ataini Qadaan Lillahi Ta’ala
Sahaja aku Solat Fardu Subuh dua rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala”
Niat Qada Solat Zuhur

Usolli Fardhoz-Zuhri Arba’a Raka’atin Qadaan Lillahi Ta’ala
Sahaja aku solat fardu Zuhur empat rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala”
Niat Qada Solat Asar

Usolli Fardhol Asri Arba’a Raka’atin Qadaan Lillahi Ta’ala
Sahaja aku solat fardu Asar empat rakaat qadha’ kerana Allah Ta’ala
Cara Qada Solat Yang Tertinggal
Qada Solat merupakan cara mengerjakan semula solat yang terlepas. Langkah pertama adalah berniat di dalam hati untuk solat qada bagi waktu solat yang terlepas. Kemudian, ikuti langkah solat seperti biasa, termasuk takbiratul ihram, membaca Al-Fatihah, rukuk, sujud, dan salam. Qada Solat boleh dilakukan pada bila-bila masa sebelum masuk waktu solat yang sama pada hari berikutnya.
- Untuk Solat yang Ditinggalkan Ketika Musafir: Apabila ingin diqada selepas musafir, solat mesti diqada secara sempurna (tidak boleh qasar atau jamak). Jika diqada ketika masih musafir, boleh diqada secara sempurna atau qasar.
- Untuk Solat yang Ditinggalkan Ketika Menetap (Bermukim): Solat yang ditinggalkan ketika menetap wajib diqada secara sempurna (tamam) dan tidak boleh diqasar, walaupun diqada ketika musafir.
- Bacaan dalam Solat Qada: Bacaan boleh dibaca dengan nyaring pada waktu malam (selepas terbenam matahari hingga terbit matahari), sekalipun bukan jenis solat yang biasa dibaca nyaring. Bacaan solat dibaca perlahan pada waktu siang.
- Mengerjakan Qada Solat secara Berjemaah: Dibenarkan apabila ada dua orang atau lebih yang mahu mengganti solat mereka.
- Mengerjakan Qada Solat Secara Tertib (Mengikut Urutan): Disunatkan mengerjakan qada solat mengikut urutan, seperti solat Zuhur dahulu, kemudian Asar. Namun, jika waktu solat yang sedang berlangsung (seperti Asar) hampir habis, wajib mengerjakan solat tersebut dahulu sebelum qada solat yang ditinggalkan (seperti Zuhur).
Bacaan Dalam Solat Qada
Bacaan dalam qada solat sama seperti bacaan dalam solat fardu biasa. Ini termasuk:
- Takbiratul Ihram: Membuka solat dengan takbir.
- Bacaan Al-Fatihah: Membaca surah Al-Fatihah pada setiap rakaat.
- Surah Lazim: Membaca surah atau ayat-ayat Quran selepas Al-Fatihah.
- Rukuk dan Sujud: Melakukan rukuk dan sujud dengan bacaan-bacaan tertentu.
- Tahiyyat Akhir: Membaca tahiyyat pada rakaat terakhir.
- Salam: Mengakhiri solat dengan ucapan salam.
Tiada bacaan khusus atau berbeza untuk solat qada berbanding solat fardu biasa; perbezaannya hanya pada niat untuk menggantikan solat yang tertinggal.
Penjelasan Mengenai Cara Qada Solat
Wajib bagi seseorang yang telah meninggalkan solat untuk mengqada (menggantikan) solatnya itu dengan segera. Bahkan dibenarkan mengantikan solat sekali pun pada waktu yang diharamkan solat (waktu tahrim) seperti selepas asar, selepas subuh dan sebagainya.
1. Apabila meninggalkan solat sewaktu musafir dan hendak diqadakan selepas habis tempoh musafir, maka perlu diqadakan solat secara sempurna (tidak boleh diqasar dan jamak).2. Solat yang ditinggalkan ketika musafir dan hendaklah diqada ketika masih dalam tempoh musafir. Solat juga boleh di qada ketika bermusafir pada waktu lain, secara sempurna atau diqasar.
(terdapat khilaf mengenai perkara ini dalam kalangan beberapa ulama)
3. Solat yang ditinggalkan ketika menetap (bermukim) wajib diqada secara sempurna (tamam) dan tidak boleh diqasar meskipun diqada ketika musafir.
4. Bacaan solat boleh dibaca dengan nyaring (untuk imam atau solat seorang diri) sekiranya waktu mengerjakan qada solat pada waktu malam iaitu selepas terbenam matahari hingga terbit matahari.
Sekalipun solat tersebut adalah bukan dari jenis solat yang dibaca nyaring (seperti Zuhur dan Asar).
Sebaliknya, bacaan solat dibaca perlahan apabila solat yang diqada tersebut dikerjakan pada waktu siang, bermula dari terbit matahari hingga terbenam matahari.
5. Tidak salah mengerjakan qada solat secara berjemaah apabila waktu itu terdapat dua orang atau lebih yang sama-sama mahu mengganti solat mereka.
6. Sunat mengerjakan qada solat secara tertib (mengikut urutan). Misalnya, solat qada Zuhur dahulu, kemudian baru solat qada Asar.
Orang yang meninggalkan solat fardu Zuhur dan mahu mengqadanya dalam waktu Asar, sebaik-baiknya mengerjakan qada solat Zuhur dahulu sebelum mengerjakan solat Asar secara tunai.
Kecuali apabila waktu asar itu tinggal sedikit dan dikhuatiri habis waktu sebelum sempat menunaikan solat Asar, wajib untuknya menunaikan solat Asar dahulu diikuti dengan qada solat Zuhur.

Lupa Bilangan Solat Yang Tertinggal Lama
Jika seseorang lupa bilangan solat fardu yang telah tertinggal, mereka disarankan untuk membuat anggaran terbaik berdasarkan ingatan. Setelah itu, lakukan qada’ mengikut jumlah tersebut. Jika tidak ingat, lakukan qada’ sebanyak mana yang dirasa cukup untuk meyakinkan diri sendiri bahawa kewajipan telah dipenuhi. Penting untuk menetapkan niat qada’ dalam hati sebelum memulai setiap solat.
Ulama mazhab Syafi’e menetapkan orang yang mempunyai terlalu banyak solat yang ditinggalkan sehingga tidak tahu jumlahnya, hendaklah mengqadakan solat-solat tersebut sehingga diyakini semuanya telah diganti.
Oleh itu, sesiapa yang meninggalkan solat selama 20 atau 30 tahun wajib menggantinya sedikit demi sedikit berdasarkan kemampuannya. Ini dilakukan sehingga kita yakin semuanya telah diganti.
Contohnya:
Seseorang yang meninggalkan solat selama 2 tahun boleh menggantikan setiap solat fardu yang ditinggalkan selepas solat tunai. Misalnya selepas solat subuh ataupun sebelum, dan boleh menggantikan satu ataupun dua solat subuh yang ditinggalkan.
Perkara ini dilakukan selama setahun ataupun dua tahun hingga yakin semua solat yang ditinggalkan sudah diganti.
Sekiranya dia mampu melakukan lima solat waktu pada setiap waktu tunai, maka dia boleh melakukannya.
Adakah Wanita Yang Haid dan Nifas Perlu Qada Solat?

Wanita yang berada dalam keadaan haid atau nifas tidak perlu melakukan qada’ untuk solat yang terlepas. Ini kerana dalam Islam, wanita yang mengalami haid atau nifas dikecualikan daripada kewajiban solat. Setelah selesai tempoh haid atau nifas, mereka boleh meneruskan solat seperti biasa tanpa perlu menggantikan solat yang terlepas selama tempoh tersebut.
Penerangan
Wanita yang haid dan nifas tidak wajib mengganti solat (qada) untuk waktu-waktu yang tertinggal semasa haid dan nifas itu.
Tetapi ada beberapa situasi yang perlu diberi perhatian:
- Wanita yang telah kering darahnya (haid dan nifas) dalam waktu Asar perlu qada solat Zohor.
- Dan wanita yang kering darahnya dalam waktu Isyak perlu qada solat Maghrib.
Wanita berkenaan perlu mandi wajib dan mengerjakan solat waktu tersebut secara tunai (sekiranya sempat). Dia juga mesti mengerjakan secara qada untuk solat yang sebelumnya.
Jika dia tidak sempat mengerjakan solat dalam waktu darahnya telah kering, maka dia wajib mengganti solat waktu yang tertinggal dan solat yang sebelumnya itu.
Penjelasan lanjut mengenai masalah ini boleh dilihat pada pautan ini: Adakah Kena Qada Solat Zohor Jika Suci Dari Haid Pada Waktu Asar?
Adakah Perlu Qada Solat Jika Pernah Murtad?
Orang murtad iaitu keluar daripada agama Islam, maka dianggap berdosa besar. Sekiranya dia kembali semula kepada Islam, wajib dia qada solatnya selama dia murtad. Bahkan wajib dia mengqada solatnya selama dia masih Islam sebelum dia murtad dahulu.
Hal ini disebabkan, apabila seseorang telah keluar daripada agama Islam, maka seluruh amalannya sebelum itu terbatal kecuali ibadah haji yang hanya terbatal kerana syirik yang berserta kematian.
Adakah Wajib Qada Solat Jika Mabuk, Hilang Akal & Tidak Sedarkan Diri?
Seorang yang minum minuman keras hingga mabuk dan tidak sedarkan diri, memandu dengan cara berbahaya dan berlaku kemalangan hingga tidak sedarkan diri, atau apabila dia melakukan apa-apa sahaja perkara yang membahayakan dengan sengaja hingga menyebabkan hilang akalnya..
… maka wajib dia mengqada solatnya selama dia hilang akal setelah dia pulih.
Akalnya hilang disebabkan perkara yang diharamkan, maka kewajipan tidak akan gugur daripadanya.
Soal Jawab Berkaitan Qada Solat (FAQ)
Di sini saya kumpulkan beberapa soalan lazim mengenai qada solat yang mungkin membantu anda menjawab persoalan yang sedang anda hadapi:
Solat qada tidak wajib dilakukan mengikut tertib, tetapi disunatkan supaya mengikut tertib. Jika waktu solat masa itu hampir tamat, maka utamakan solat tunai waktu itu terlebih dahulu.
Solat yang tertinggal sama ada secara sengaja ataupun terlupa, wajib diqada sebaik sahaja mengingatinya. Ataupun sekiranya tidur, sebaik sahaja terjaga daripada tidur terus diqada solat yang terlepas.
Solat wajib ditunaikan walaupun ketika sakit dengan menggunakan rukhsah-rukhsah yang Allah berikan seperti tayamum sekiranya tidak dapat menggunakan air, solat duduk ataupun baring sekiranya tidak dapat berdiri dan sebagainya.
Tidak harus membaca dengan nada kuat untuk solat fardu yang dilakukan pada waktu siang. Sama ada solat itu dilakukan pada waktunya ataupun qada. Begitu juga, disunatkan membaca dengan kuat untuk solat fardu yang dikerjakan pada waktu malam, walaupun solat pada zuhur ataupun asar.
Boleh. Sunat mengerjakan solat qada secara tertib.
Harus mengqada solat-solat yang tertinggal sama ada mengikut tertib atau tanpa tertib.
Tiada larangan untuk anda melakukan solat sunat.
Tetapi mengapa perlu melakukan yang sunat sedangkan anda boleh melakukan yang wajib, sekaligus mendapat pahala wajib dan diampunkan dosa akibat meninggalkan yang wajib.
Untuk solat tahiyatul masjid, anda boleh melakukan melakukan solat qada subuh ataupun solat lain ketika masuk ke masjid, sebelum anda duduk. Dengan melakukan solat qada ini, anda sudah mendapat pahala solat wajib dan mendapat pahala solat sunat tahiyatul masjid.
Sekiranya anda tidak merancang bagi bermukim di destinasi ini lebih daripada tiga hari, anda masih dianggap sebagai musafir yang mendapat rukhsah jamak dan qasar solat.
Dalam keadaan ini, anda masih boleh mengqada solat zohor dan asar dengan memendekkan menjadi dua rakaat.
Tetapi anda tidak boleh menjamakkannya kerana kedua-duanya sudah keluar daripada waktunya.
Solat yang ditinggalkan ketika musafir tidak lagi boleh diqasar apabila perjalanan itu tamat. Solat itu perlu diqada secara rakaat penuh (tamam)
Terdapat khilaf (pertembungan) jawapan ulama mengenai hal ini. Anda boleh qasar solat zohor yang ditinggalkan dalam pemusafiran yang lalu walaupun telah berada dalam pemusafiran yang lain. Tetapi adalah lebih baik disegerakan qada solat tersebut.
Anda tidak boleh mengqasarkan solat-solat yang sudah anda tinggalkan ketika bermukim ketika anda sedang musafir.
Disunatkan anda membaca surah dengan kuat kerana solat itu dilakukan pada waktu malam.
Orang yang mengalami masalah mental atau gila tidak diwajibkan qada solat-solat yang ditinggalkan ketika dalam keadaan itu. Ini kerana penyakit ini selalunya menimpa seseorang dalam tempoh yang lama hingga memakan masa bertahun-tahun.
Sekiranya diwajibkan mengqada semua solat-solat ini, sudah tentu sangat membebankan.
Orang yang pitam atau pengsan wajib mengganti solat yang tertinggal ketika dalam keadaan tidak sedarkan diri itu.
Ini kerana pengsan atau pitam selalunya hanya akan berlaku dalam masa yang singkat, berbeza dengan orang gila.
Begitu juga halnya orang yang tertidur sehingga terlepas waktu solat.
Kewajipan Mengganti Solat Yang Tertinggal
Bagi mereka yang meninggalkan kewajipan solat fardu atau ibadah lain, diwajibkan menggantikannya.
1. Ibnu Mas’ud r.a menceritakan bahawa ketika Perang Khandak, Rasulullah SAW telah disibukkan dengan serangan musyrikin sehingga terbenam matahari sedangkan Baginda tertinggal solat empat waktu.Lalu Baginda meminda Bilal melaungkan azan, dan Baginda berdiri menunaikan solat Zuhur, kemudian Asar, Kemudian Maghrib dan seterusnya Isyak.
(Riwayat Tirmizi, Nasai’e dan Ahmad)
2. Orang yang meninggalkan ibadah wajib hendaklah menggantikannya berdasarkan umum sabda Rasulullah SAW, begitu juga solat fardu yang ditinggalkan hendaklah digantikan.
Sabda Nabi:
Hutang Allah itu lebih perlu ditunaikan (diganti)
3. Orang yang sengaja meninggalkan solat fardu tanpa keuzuran telah melakukan dosa dan wajib menggantikannya.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Maka kecelakaan besar bagi orang yang solat. (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya
— Al-Ma’un 107:4-5
Saya berharap agar panduan ini dapat membantu memudahkan anda dalam melaksanan solat ganti.
Jika terdapat sebarang persoalan atau kemusykilan, anda boleh tinggalkan perkara tersebut pada ruangan di bawah.



Assalamualaikum ustaz saya nak tanya klau saya qada solat kan maksudnyer saya sebelum solat fardu saya kena solat qada dululah mcam contoh saya nak solat subuh tapi saya kena buat solat qada subuh dululah
ustaz sbelum solat fardu subuh.
Soalan ke 2 bacaan solat dan rakaat die sama saja ke ustaz mcam solat biasa yg lain hanya niat shaja kan ustaz yg lain mcam contoh saya tinggal solat zohor jadi saya qada solat zohor dan rakaat dn bacaan sama saja kan yg lain cuma niat nya saja kan ustaz.
Soalan 3 Ustaz saya perempuan baru 17 tahun saya nak tahu mcam mana nak kira waktu kita tinggal solat saya x pastilah sbab ustaz kata smpai tanggungjawab nya selasai jadi saya x pasti mcam mana nak kira sbab saya kdang solat kdang ade yg x solat jadi saya x tau nak kira mcam mana.
Soalan 4 wajib ke kita baca doa qada tu kuat² pada waktu mlam klau kita qada waktu tu pada waktu malam.
Saya minta maaf ustaz ade setengah yg ustaz terangkan saya x berapa nak
faham
Wassalam,
1) Tidak semestinya buat solat qada dahulu. Solat qada ni kita boleh lakukan pada bila-bila masa sahaja. Selepas solat fardu subuh pun boleh.
2) Ya betul, cuma niat sahaja yang berbeza.
3) Cuba anggarkan berapa jumlah solat yang awak tertinggal, dan lakukanlah qada berdasarkan anggaran tersebut.
4) Tidak wajib kuat-kuat. Baca perlahan-lahan pun okay.
Jika ada apa-apa lagi yang perlu penjelasan, tanya sahaja ya.
Bolih ke saya kadho solat hanya membaca alfatihah…dah hanya bac 1 x je pada rukuk dan sujud
Boleh. Selagi awak melakukan perkara rukun dalam solat, solat itu akan sah.
Asalammualaikum ustaz,mohon pencerahan,ustaz sya solat Asar,tapi sya terbaca tahyat akhir,apa bila nak salam,baru perasan saya tertinggal rakaat k3,mcm mna nak ganti ustaz😭🙏🏻,sya baru belajar sembayang ustaz btl2x tak tau nak buat apa 😭😭😭,mohon bantuaan 🙏🏻
Waalaikumsalam.
Alhamdulillah, bagus sekali ada niat untuk belajar dan memperbaiki solat. Jangan bimbang, semuanya boleh diuruskan dan diperbaiki.
Menurut Mazhab Syafie, jika awak telah membaca tahyat akhir tetapi teringat bahawa awak telah tertinggal rakaat ketiga, inilah yang awak perlu lakukan:
1. Awak sepatutnya bangun untuk melengkapkan rakaat ketiga yang tertinggal dan melakukan satu lagi rakaat (sebagai rakaat keempat). Pada rakaat ketiga dan keempat, baca Al-Fatihah biasa (surah lain tidak perlu utk rakaat ketiga dan keempat).
2. Selepas awak selesai dengan membaca tahiyat, awak perlu melakukan dua rakaat sujud sahwi (sujud untuk membetulkan kesalahan dalam solat).
3. Sujud sahwi ini dilakukan dengan cara duduk tahiyat seperti biasa selepas tahiyat, kemudian melakukan sujud seperti biasa, kemudian duduk kembali, kemudian sujud sekali lagi, dan akhirnya memberi salam seperti biasa.
4. Selama proses ini, pastikan awak berniat di dalam hati awak bahawa ini adalah sujud sahwi untuk memperbaiki kesalahan dalam solat.
5. Sujud sahwi ini adalah penting kerana ia memperbaiki kesalahan yang terjadi dalam solat. Selepas awak melakukan ini, solat awak akan dianggap sah menurut Mazhab Syafie.
Semoga penjelasan ini membantu. Jangan putus asa jika masih ada kesalahan. Semua kita sedang belajar dan Allah Maha Pengampun.
Semoga Allah memberkati usaha awak untuk memperbaiki ibadah awak. Amin.
Ya allah terima kasih ustaz,btl2x terima kasih,klu mcm tu,solat asar kemarin saya tak sah la kan,tak apa nanti saya ganti balik 🙏🏻😭🥹,terima kasih ustaz,btl2x terima kasih lega hati sya.🤲🏻🥹
Alhamdulillah, terima kasih ustaz atas perkongsian.
Sama-sama Sarina
Assalamualaikum…Saya manusia yg lalai..berpuluh tahun lamanya..selagi masih bernyawa ni saya nak ganti semua solat yg sy tinggalkan..anggaplah seumur hidup saya tak pernah solat..disini saya inginkan kepastian dan pandangan Ust..
1) Qada’ solat boleh dilakukan bila2 masa sahaja…cth; ( qada’ waktu Zuhur / Asar pd waktu malam @ qada’ waktu Maghrib/ isyak pd waktu siang..?? cuma sebaiknya mengikut tertib…Benar?
2) dan x kisah berapa byk waktu pon kita hendak Qada’ pada satu masa ..cth; ( selepas Subuh saya nak Qada’ utk Solat Subuh yg lama mgkin dalam 4..5..hari sekaligus…/ selepas Zuhur saya nak Qada’ utk Solat Zuhur yg lama mgkin ..2..3.. hari sekaligus)
3) Qada’ Subuh..yg sebetulnya perlu atau tidak utk membaca Qunut..? Sekian, Assalamualaikum…
Maaf byk bertanya..saya mgharapkan jawapan pihak Ust. dan kalau boleh dgn kadar segera…Hanya Allah dpt membalas segala jasa baik Ust…
Wassalam,
Alhamdulillah jika tuan telah ada keazaman untuk berbuat sedemikian. Semoga Allah memudahkan urusan tuan dan mengurniakan pahala atas usaha tuan ini.
1) Ya, boleh dilakukan pada bila-bila masa dan seeloknya dibuat secara tertib.
2) Ya benar. Boleh dilakukan sebeberapa banyak dalam satu masa atas kemampuan tuan.
3) Tuan perlu fahami, hukum bacaan qunut adalah sunat sahaja. Jadi ia terpulang kepada tuan hendak qada subuh bersama qunut atau tidak. Namun jika tuan baca qunut, tuan akan dapat pahala membaca qunut. Jika tidak lakukan qunut, solat qada itu tetap sah.
Semoga jawapan saya dapat membantu tuan ya.
aslm,saya nak tanya adakah kena qada solat jika kita tak niat solat dalam hati tetapi lafaz niat solat itu sebelum takbir?sebab saya tak tahu yang kena niat dalam hati…dari saya kecil lagi.mohon pencerahan.
Wassalam,
Eh tak perlu qadha dah. Sebab bila kita sudah lafaz niat di mulut maka secara automatiknya kita sudah berniat dalam hati.
Assalamulaikum ustaz, nak tanya perlu ka kita wirid untuk qada solat fardhu walaupun cuma wirid singkat?atau tidak perlu wirid untuk qada
Wassalam.
Wirid ini hukumnya sunat sahaja. Oleh itu, pada pandangan saya, jika solat yang perlu di-qada itu banyak, maka lebih baik utamakan solat terlebih dahulu.
Tetapi jika solat yang diqada itu cuma satu waktu, dan tuan mempunyai masa, adalah lebih baik jika berwirid dan berdoa seperti solat-solat tunai
Alhamdulillah ..Terima kasih ustaz
Ustaz, nk tanya habis waktu zuhur bila? bole solat zuhur lagi ka d jam 2-3 ptg? ataupun tu dh jadi qada?
Masih boleh solat zuhur tu selagi belum masuk waktu asar. Tidak perlu qada. Qada hanya dilakukan jika sudah terlepas waktu zuhur.
assalamulaikum ustaz…
nak tanya boleh ke saya buat qada solat subuh semasa solat terawih bersama imam di masjid? dapatkah saya pahala solat berjemaah walaupun saya buat solat qada subuh bersekali dgn imam yg buat solat sunat terawih? maksudnya kat sini semasa imam buat solat sunat terawih di masjid sy ikut imam tapi saya buat solat qada subuh 2 rakaat.
Wassalam.
Boleh, dapat pahala berjemaah.
Bagaimana niat qada solat Subuh bila kita ikuti Imam yang mengerjakan solat sunat terawikh?
Sahaja solat Fardu Subuh 2 rakaat qada’ mengikut imam kerana Allah Taala.
Aslm, ustaz. Saya nak tanya adakah kena qada balik solat jika kita lafaz niat solat sebelum takbiratul ihram. Sebab saya selama ni saya tak tahu kena niat sewaktu sedang takbiratul ihram. Mohon penjelasan
Satu lagi soalan, saya tertanya tanya adakah kita kena qada balik semua solat qada jika kita sengaja menangguhkan qada solat? Mohon pencerahan.
Juga tidak perlu qada. Cuma tidak elok menangguhkan qada solat kerana kita tidak tahu nyawa kita bila akan dicabut.
Wassalam. Tidak perlu qada jika begitu.
Menurut Ustaz Azhar Idrus, siapa yang kesukaran ia berniat di dalam takbir maka diberi kelonggaran atasnya bertaklid kepada pendapat imam Hanafi dan Hanbali yang mengatakan sah berniat sebelum takbir dengan masa yang sedikit.
Maksud masa yang sedikit itu ialah berniat ketika hendak mengangkat takbir.
Perkara ini adalah bersandarkan kaedah الأمر إذا ضاق اتسع yang ertinya:
Maksudnya apabila seseorang itu menghadapai kesukaran untuk menghadirkan niat ketika melafazkan takbir maka diberi kelonggaran hukum baginya untuk berniat sebelum dari takbir.
Begitu juga pendapat Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, niat boleh didahulukan daripada takbir.
Assalamualaikum… mohon pencerahan ustaz,Apakah surah yang di baca semasa qadha solat?Dalam rakaat pertama, perlukah saya membaca surah iftitah atau saya terus sahaja membaca surah alfatihah ? Terima kasih.
Wassalam. Bacaannya adalah sama sahaja seperti solat tunai, cuma niat sahaja yang berbeza
Assalamualaikum… ustaz, saya nak tanya. saya tertinggal waktu zuhur dan maghrib… saya nk qada dlm waktu isyak… mna yg ptut sya qada dlu? asar atau maghrib ?
Wassalam, mana-mana solat dulu boleh. Cuma lebih afdal qada solat ikut tertib yang mana dahulu tertinggal.
Assalamualaikum.. Saya ada 1 pertanyaan.. Melakukan qada solat sunat tertib.. Adakan boleh jika saya melakukan 2,atau 3 qada solat yang sama pada satu masa? Contohnya selepas solat fardu subuh, kemudian saya melakukan qada solat subuh sebanyak 2 atau 3 waktu qada solat subuh pada waktu yg sama. Selepas solat zohor pula, saya melakukan qada solat zohor 2 atau 3 qada waktu zohor. Begitu lah seterus nya pada setiap solat.. Terima kasih atas penjelasan nanti.. Assalamualaikum…
Wassalam. Boleh, tiada masalah.
Solat itu sah.
Almdulillah.. terima kasih atas penjelasannya..
Sama-sama 😊
Assalamualaikum Ustaz , bolekah saya nak qada solat macam subuh 3 kali zohor 3kali asar3kali maghrib 3kali isya 3kali , bolehkaa ustaz mohon pencerahan . Terima kasih.
dia macam solat subuh tu 3kali buat baru solat zohor 3kali buat dan seterusnya bolehkee macamtu , lepastu bila masa yang kene baca doa solat yang akhir sekali ke ? mohon pencerahan
Wassalam. Boleh, tiada masalah.
Cuma yang afdhal buat ikut tertib solat yang ditinggalkan. Tapi kalau nak buat macam awak tanya tu, tiada masalah juga 👌🏻
Assalamuaikum Ustaz,boleh kah saya tak baca wirid dan doa selepas solat qado , sebab saya buat sekali gus 5 waktu sekali dlm satu masa, dan sebanyak 3 kali. Ini memakan masa yg lama kalau perlu buat semua yg sunat dlm solat. Bole kat saya buat yg rukun syarat sah solat saja dlm solat qado yg saya rasa banyak sekali jumlah tahun yg saua lalai
Wassalam,
Ya boleh, tiada masalah untuk lakukan yang rukun sahaja dalam solat. Ini bersesuaian dengan situasi tuan yang perlu qada banyak solat.
Assalamualaikum ustaz saya ada persoalan saya kereja jam 4 petang asar 3.40 saya tak dapat solat asar ma magrib saya habis jam 9 mlm balek saya solat ishak saya qadak magrib ma asar boleh ke …..ustaz terima kaseh..
Wassalam,
Kalau sudah tertinggal solat, memang kena qada solat. Untuk menjawab soalan awak, ya boleh qada solat asar dan maghrib selepas solat isyak.
Kedua, solat fardu tidak boleh ditinggalkan atas alasan kerja. Kerana kerja tidak termasuk dalam perkara masyaqah (kesukaran) yang membolehkan solat ditinggalkan, kecuali kerja yang kritikal seperti pakar bedah yang menyelamatkan nyawa.
Assalammualaikum, surah apa yg patut dibaca ketika qada’ solat ?
Wassalam. Apa-apa sahaja surah boleh dibaca
Assalamualaikum,sya mahu tnya.Berapa rakaat untuk qada solat?Adakah perlu qada ikut rakaat solat fardhu?
Wassalam. Ya, kena buat seperti solat yang ingin diganti itu.
Kalau tertinggal solat jumaat patut ke kita ganti solat zohor
Minta pencerahan
Ya. Sebab tiada qada untuk Jumaat.
Salam. Sya nak menggantikan semula semua solat2 fardhu yg sya pernah tinggalkan sebelum2 ini (bertahun). Bolehkah sya membayar hutang solat (5 waktu sekaligus, setiap hari) ini selepas fardhu isya’ /sebelum subuh? Maknanya disini, setiap kali lepas sya solat isya’ (atau sebelum fardhu subuh) sya terus melakukan solat qada utk subuh, zohor, asar, maghrib & isya. Boleh x sya nak bayar hutang solat sya nie setiap hari 5waktu sekaligus? Sbb waktu isya’ / subuh sahaja yg sya ada banyak waktu dan x terkejar2 ketika menunaikan solat. Mohon pencerahan admin. Terima kasih :)
Wassalam. Ya boleh, tiada masalah.
Ini kerana tiada had bilangan untuk qada solat. Maksudnya, kita boleh lakukan sebanyak mana solat qada pada satu-satu masa atas kemampuan kita.
Terima kasih atas penjelasan 👍👍