
Ini adalah panduan cara qada solat (menggantikan solat fardu) yang lengkap dan tersusun untuk memudahkan anda melakukan qada solat yang betul.
Apa yang menarik:
Ejaan dalam rumi juga turut disertakan dalam niat solat qada fardu lima waktu bagi membantu mereka yang sukar membaca tulisan arab.
Semoga panduan ini dapat membantu anda menggantikan solat dengan sempurna.
- Apa Maksud Qada Solat
- Apa Hukum Qada Solat?
- Niat Qada Solat
- Cara Qada Solat Yang Tertinggal
- Lupa Bilangan Solat Yang Tertinggal Lama
- Adakah Wanita Yang Haid dan Nifas Perlu Qada Solat?
- Adakah Perlu Qada Solat Jika Pernah Murtad?
- Adakah Wajib Qada Solat Jika Mabuk, Hilang Akal & Tidak Sedarkan Diri?
- Soal Jawab Berkaitan Qada Solat (FAQ)
- Kewajipan Mengganti Solat Yang Tertinggal
Apa Maksud Qada Solat
Qada solat (قضاء) bermaksud menggantikan atau melaksanakan solat fardu yang telah ditinggalkan atau terlepas. Dalam Islam, solat merupakan salah satu rukun Islam yang wajib dan tidak boleh ditinggalkan.
Apabila seseorang Muslim terlepas solat fardu disebabkan sebab tertentu seperti tertidur, lupa, atau keadaan darurat, maka wajib baginya untuk menggantikan solat tersebut pada masa lain.
Ini dilakukan sebagai cara untuk memenuhi kewajipan solat yang telah ditinggalkan. Qada solat menunjukkan pentingnya menjaga kewajipan solat dalam Islam dan tanggungjawab individu untuk memastikan semua solat fardu dilaksanakan.
Menurut mazhab as-Syafi’e, seseorang dikira sempat menunaikan solat secara tunai apabila dia sempat menghabiskan rakaat yang pertama dalam waktu solat tersebut.
Sebaliknya, mengerjakan solat secara qada adalah melakukan solat selepas waktunya.
Apabila seseorang tidak menunaikan solat pada waktunya, dia mesti menggantinya dengan menunaikan solat yang telah ditinggalkan pada waktu lain.
Orang yang tertidur, gila dan hilang akal ketika murtad diwajibkan untuk mengqadakan solat.

Apa Hukum Qada Solat?
Hukum qada solat dalam Islam adalah wajib. Ia adalah kewajipan bagi mengganti solat fardu yang telah ditinggalkan, sama ada disengajakan atau tidak. Menurut pandangan ulama, setiap solat fardu yang ditinggalkan mesti diganti secepat mungkin.
Ini berdasarkan pemahaman umum dalam Islam bahawa solat adalah tiang agama dan tidak boleh ditinggalkan. Oleh itu, apabila seseorang gagal menunaikan solat pada waktunya, dia wajib menggantikannya melalui qada untuk memastikan kewajipannya terhadap solat terpenuhi.
Bagi mereka yang meninggalkan solat fardu diwajibkan menggantikan solat tersebut.
Ibn Mas’ud r.a menceritakan bahawa ketika Perang Khandak, Rasulullah SAW telah disibukkan dengan serangan Musyrikin sehingga terbenam matahari sedangkan Baginda tertinggal solat empat waktu. Lalu Baginda meminta Bilal melaungkan azan, dan Baginda berdiri menunaikan solat Zuhur, kemudian Asar, kemudian Maghrib dan seterusnya Isyak
(Riwayat al-Tirmizi, al-Nasa’i dan Ahmad)
Hukum melewatkan solat tanpa keuzuran (dengan sebab yang benar-benar mendesak), apalagi diluar waktunya, adalah berdosa besar. Ini adalah satu maksiat besar yang tidak boleh dihilangkan kecuali dengan mengqadakan solat yang ditinggalkan.
Seseorang yang melakukannya mesti bertaubat dengan sebenar-benar taubat untuk tidak mengulanginya.
Niat Qada Solat
Niat qada solat adalah berniat di dalam hati untuk mengganti solat fardu yang telah ditinggalkan. Niat ini dilakukan sebelum takbiratul ihram pada permulaan solat.
Contohnya, jika seseorang hendak mengqada solat Zohor, niatnya adalah: “Sahaja aku solat fardu Zohor empat rakaat qada kerana Allah Taala”.
Niat ini penting untuk menentukan solat tersebut sebagai ganti bagi solat fardu yang tidak sempat atau tidak dapat dilaksanakan pada waktunya.
Berikut dinyatakan niat qada solat untuk setiap solat fardu:
Niat Qada Solat Subuh

Usolli Fardhos-Subhi Rak’ataini Qadaan Lillahi Ta’ala
Sahaja aku Solat Fardu Subuh dua rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala”
Niat Qada Solat Zuhur

Usolli Fardhoz-Zuhri Arba’a Raka’atin Qadaan Lillahi Ta’ala
Sahaja aku solat fardu Zuhur empat rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala”
Niat Qada Solat Asar

Usolli Fardhol Asri Arba’a Raka’atin Qadaan Lillahi Ta’ala
Sahaja aku solat fardu Asar empat rakaat qadha’ kerana Allah Ta’ala
Cara Qada Solat Yang Tertinggal
Qada Solat merupakan cara mengerjakan semula solat yang terlepas. Langkah pertama adalah berniat di dalam hati untuk solat qada bagi waktu solat yang terlepas. Kemudian, ikuti langkah solat seperti biasa, termasuk takbiratul ihram, membaca Al-Fatihah, rukuk, sujud, dan salam. Qada Solat boleh dilakukan pada bila-bila masa sebelum masuk waktu solat yang sama pada hari berikutnya.
- Untuk Solat yang Ditinggalkan Ketika Musafir: Apabila ingin diqada selepas musafir, solat mesti diqada secara sempurna (tidak boleh qasar atau jamak). Jika diqada ketika masih musafir, boleh diqada secara sempurna atau qasar.
- Untuk Solat yang Ditinggalkan Ketika Menetap (Bermukim): Solat yang ditinggalkan ketika menetap wajib diqada secara sempurna (tamam) dan tidak boleh diqasar, walaupun diqada ketika musafir.
- Bacaan dalam Solat Qada: Bacaan boleh dibaca dengan nyaring pada waktu malam (selepas terbenam matahari hingga terbit matahari), sekalipun bukan jenis solat yang biasa dibaca nyaring. Bacaan solat dibaca perlahan pada waktu siang.
- Mengerjakan Qada Solat secara Berjemaah: Dibenarkan apabila ada dua orang atau lebih yang mahu mengganti solat mereka.
- Mengerjakan Qada Solat Secara Tertib (Mengikut Urutan): Disunatkan mengerjakan qada solat mengikut urutan, seperti solat Zuhur dahulu, kemudian Asar. Namun, jika waktu solat yang sedang berlangsung (seperti Asar) hampir habis, wajib mengerjakan solat tersebut dahulu sebelum qada solat yang ditinggalkan (seperti Zuhur).
Bacaan Dalam Solat Qada
Bacaan dalam qada solat sama seperti bacaan dalam solat fardu biasa. Ini termasuk:
- Takbiratul Ihram: Membuka solat dengan takbir.
- Bacaan Al-Fatihah: Membaca surah Al-Fatihah pada setiap rakaat.
- Surah Lazim: Membaca surah atau ayat-ayat Quran selepas Al-Fatihah.
- Rukuk dan Sujud: Melakukan rukuk dan sujud dengan bacaan-bacaan tertentu.
- Tahiyyat Akhir: Membaca tahiyyat pada rakaat terakhir.
- Salam: Mengakhiri solat dengan ucapan salam.
Tiada bacaan khusus atau berbeza untuk solat qada berbanding solat fardu biasa; perbezaannya hanya pada niat untuk menggantikan solat yang tertinggal.
Penjelasan Mengenai Cara Qada Solat
Wajib bagi seseorang yang telah meninggalkan solat untuk mengqada (menggantikan) solatnya itu dengan segera. Bahkan dibenarkan mengantikan solat sekali pun pada waktu yang diharamkan solat (waktu tahrim) seperti selepas asar, selepas subuh dan sebagainya.
1. Apabila meninggalkan solat sewaktu musafir dan hendak diqadakan selepas habis tempoh musafir, maka perlu diqadakan solat secara sempurna (tidak boleh diqasar dan jamak).2. Solat yang ditinggalkan ketika musafir dan hendaklah diqada ketika masih dalam tempoh musafir. Solat juga boleh di qada ketika bermusafir pada waktu lain, secara sempurna atau diqasar.
(terdapat khilaf mengenai perkara ini dalam kalangan beberapa ulama)
3. Solat yang ditinggalkan ketika menetap (bermukim) wajib diqada secara sempurna (tamam) dan tidak boleh diqasar meskipun diqada ketika musafir.
4. Bacaan solat boleh dibaca dengan nyaring (untuk imam atau solat seorang diri) sekiranya waktu mengerjakan qada solat pada waktu malam iaitu selepas terbenam matahari hingga terbit matahari.
Sekalipun solat tersebut adalah bukan dari jenis solat yang dibaca nyaring (seperti Zuhur dan Asar).
Sebaliknya, bacaan solat dibaca perlahan apabila solat yang diqada tersebut dikerjakan pada waktu siang, bermula dari terbit matahari hingga terbenam matahari.
5. Tidak salah mengerjakan qada solat secara berjemaah apabila waktu itu terdapat dua orang atau lebih yang sama-sama mahu mengganti solat mereka.
6. Sunat mengerjakan qada solat secara tertib (mengikut urutan). Misalnya, solat qada Zuhur dahulu, kemudian baru solat qada Asar.
Orang yang meninggalkan solat fardu Zuhur dan mahu mengqadanya dalam waktu Asar, sebaik-baiknya mengerjakan qada solat Zuhur dahulu sebelum mengerjakan solat Asar secara tunai.
Kecuali apabila waktu asar itu tinggal sedikit dan dikhuatiri habis waktu sebelum sempat menunaikan solat Asar, wajib untuknya menunaikan solat Asar dahulu diikuti dengan qada solat Zuhur.

Lupa Bilangan Solat Yang Tertinggal Lama
Jika seseorang lupa bilangan solat fardu yang telah tertinggal, mereka disarankan untuk membuat anggaran terbaik berdasarkan ingatan. Setelah itu, lakukan qada’ mengikut jumlah tersebut. Jika tidak ingat, lakukan qada’ sebanyak mana yang dirasa cukup untuk meyakinkan diri sendiri bahawa kewajipan telah dipenuhi. Penting untuk menetapkan niat qada’ dalam hati sebelum memulai setiap solat.
Ulama mazhab Syafi’e menetapkan orang yang mempunyai terlalu banyak solat yang ditinggalkan sehingga tidak tahu jumlahnya, hendaklah mengqadakan solat-solat tersebut sehingga diyakini semuanya telah diganti.
Oleh itu, sesiapa yang meninggalkan solat selama 20 atau 30 tahun wajib menggantinya sedikit demi sedikit berdasarkan kemampuannya. Ini dilakukan sehingga kita yakin semuanya telah diganti.
Contohnya:
Seseorang yang meninggalkan solat selama 2 tahun boleh menggantikan setiap solat fardu yang ditinggalkan selepas solat tunai. Misalnya selepas solat subuh ataupun sebelum, dan boleh menggantikan satu ataupun dua solat subuh yang ditinggalkan.
Perkara ini dilakukan selama setahun ataupun dua tahun hingga yakin semua solat yang ditinggalkan sudah diganti.
Sekiranya dia mampu melakukan lima solat waktu pada setiap waktu tunai, maka dia boleh melakukannya.
Adakah Wanita Yang Haid dan Nifas Perlu Qada Solat?

Wanita yang berada dalam keadaan haid atau nifas tidak perlu melakukan qada’ untuk solat yang terlepas. Ini kerana dalam Islam, wanita yang mengalami haid atau nifas dikecualikan daripada kewajiban solat. Setelah selesai tempoh haid atau nifas, mereka boleh meneruskan solat seperti biasa tanpa perlu menggantikan solat yang terlepas selama tempoh tersebut.
Penerangan
Wanita yang haid dan nifas tidak wajib mengganti solat (qada) untuk waktu-waktu yang tertinggal semasa haid dan nifas itu.
Tetapi ada beberapa situasi yang perlu diberi perhatian:
- Wanita yang telah kering darahnya (haid dan nifas) dalam waktu Asar perlu qada solat Zohor.
- Dan wanita yang kering darahnya dalam waktu Isyak perlu qada solat Maghrib.
Wanita berkenaan perlu mandi wajib dan mengerjakan solat waktu tersebut secara tunai (sekiranya sempat). Dia juga mesti mengerjakan secara qada untuk solat yang sebelumnya.
Jika dia tidak sempat mengerjakan solat dalam waktu darahnya telah kering, maka dia wajib mengganti solat waktu yang tertinggal dan solat yang sebelumnya itu.
Penjelasan lanjut mengenai masalah ini boleh dilihat pada pautan ini: Adakah Kena Qada Solat Zohor Jika Suci Dari Haid Pada Waktu Asar?
Adakah Perlu Qada Solat Jika Pernah Murtad?
Orang murtad iaitu keluar daripada agama Islam, maka dianggap berdosa besar. Sekiranya dia kembali semula kepada Islam, wajib dia qada solatnya selama dia murtad. Bahkan wajib dia mengqada solatnya selama dia masih Islam sebelum dia murtad dahulu.
Hal ini disebabkan, apabila seseorang telah keluar daripada agama Islam, maka seluruh amalannya sebelum itu terbatal kecuali ibadah haji yang hanya terbatal kerana syirik yang berserta kematian.
Adakah Wajib Qada Solat Jika Mabuk, Hilang Akal & Tidak Sedarkan Diri?
Seorang yang minum minuman keras hingga mabuk dan tidak sedarkan diri, memandu dengan cara berbahaya dan berlaku kemalangan hingga tidak sedarkan diri, atau apabila dia melakukan apa-apa sahaja perkara yang membahayakan dengan sengaja hingga menyebabkan hilang akalnya..
… maka wajib dia mengqada solatnya selama dia hilang akal setelah dia pulih.
Akalnya hilang disebabkan perkara yang diharamkan, maka kewajipan tidak akan gugur daripadanya.
Soal Jawab Berkaitan Qada Solat (FAQ)
Di sini saya kumpulkan beberapa soalan lazim mengenai qada solat yang mungkin membantu anda menjawab persoalan yang sedang anda hadapi:
Solat qada tidak wajib dilakukan mengikut tertib, tetapi disunatkan supaya mengikut tertib. Jika waktu solat masa itu hampir tamat, maka utamakan solat tunai waktu itu terlebih dahulu.
Solat yang tertinggal sama ada secara sengaja ataupun terlupa, wajib diqada sebaik sahaja mengingatinya. Ataupun sekiranya tidur, sebaik sahaja terjaga daripada tidur terus diqada solat yang terlepas.
Solat wajib ditunaikan walaupun ketika sakit dengan menggunakan rukhsah-rukhsah yang Allah berikan seperti tayamum sekiranya tidak dapat menggunakan air, solat duduk ataupun baring sekiranya tidak dapat berdiri dan sebagainya.
Tidak harus membaca dengan nada kuat untuk solat fardu yang dilakukan pada waktu siang. Sama ada solat itu dilakukan pada waktunya ataupun qada. Begitu juga, disunatkan membaca dengan kuat untuk solat fardu yang dikerjakan pada waktu malam, walaupun solat pada zuhur ataupun asar.
Boleh. Sunat mengerjakan solat qada secara tertib.
Harus mengqada solat-solat yang tertinggal sama ada mengikut tertib atau tanpa tertib.
Tiada larangan untuk anda melakukan solat sunat.
Tetapi mengapa perlu melakukan yang sunat sedangkan anda boleh melakukan yang wajib, sekaligus mendapat pahala wajib dan diampunkan dosa akibat meninggalkan yang wajib.
Untuk solat tahiyatul masjid, anda boleh melakukan melakukan solat qada subuh ataupun solat lain ketika masuk ke masjid, sebelum anda duduk. Dengan melakukan solat qada ini, anda sudah mendapat pahala solat wajib dan mendapat pahala solat sunat tahiyatul masjid.
Sekiranya anda tidak merancang bagi bermukim di destinasi ini lebih daripada tiga hari, anda masih dianggap sebagai musafir yang mendapat rukhsah jamak dan qasar solat.
Dalam keadaan ini, anda masih boleh mengqada solat zohor dan asar dengan memendekkan menjadi dua rakaat.
Tetapi anda tidak boleh menjamakkannya kerana kedua-duanya sudah keluar daripada waktunya.
Solat yang ditinggalkan ketika musafir tidak lagi boleh diqasar apabila perjalanan itu tamat. Solat itu perlu diqada secara rakaat penuh (tamam)
Terdapat khilaf (pertembungan) jawapan ulama mengenai hal ini. Anda boleh qasar solat zohor yang ditinggalkan dalam pemusafiran yang lalu walaupun telah berada dalam pemusafiran yang lain. Tetapi adalah lebih baik disegerakan qada solat tersebut.
Anda tidak boleh mengqasarkan solat-solat yang sudah anda tinggalkan ketika bermukim ketika anda sedang musafir.
Disunatkan anda membaca surah dengan kuat kerana solat itu dilakukan pada waktu malam.
Orang yang mengalami masalah mental atau gila tidak diwajibkan qada solat-solat yang ditinggalkan ketika dalam keadaan itu. Ini kerana penyakit ini selalunya menimpa seseorang dalam tempoh yang lama hingga memakan masa bertahun-tahun.
Sekiranya diwajibkan mengqada semua solat-solat ini, sudah tentu sangat membebankan.
Orang yang pitam atau pengsan wajib mengganti solat yang tertinggal ketika dalam keadaan tidak sedarkan diri itu.
Ini kerana pengsan atau pitam selalunya hanya akan berlaku dalam masa yang singkat, berbeza dengan orang gila.
Begitu juga halnya orang yang tertidur sehingga terlepas waktu solat.
Kewajipan Mengganti Solat Yang Tertinggal
Bagi mereka yang meninggalkan kewajipan solat fardu atau ibadah lain, diwajibkan menggantikannya.
1. Ibnu Mas’ud r.a menceritakan bahawa ketika Perang Khandak, Rasulullah SAW telah disibukkan dengan serangan musyrikin sehingga terbenam matahari sedangkan Baginda tertinggal solat empat waktu.Lalu Baginda meminda Bilal melaungkan azan, dan Baginda berdiri menunaikan solat Zuhur, kemudian Asar, Kemudian Maghrib dan seterusnya Isyak.
(Riwayat Tirmizi, Nasai’e dan Ahmad)
2. Orang yang meninggalkan ibadah wajib hendaklah menggantikannya berdasarkan umum sabda Rasulullah SAW, begitu juga solat fardu yang ditinggalkan hendaklah digantikan.
Sabda Nabi:
Hutang Allah itu lebih perlu ditunaikan (diganti)
3. Orang yang sengaja meninggalkan solat fardu tanpa keuzuran telah melakukan dosa dan wajib menggantikannya.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Maka kecelakaan besar bagi orang yang solat. (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya
— Al-Ma’un 107:4-5
Saya berharap agar panduan ini dapat membantu memudahkan anda dalam melaksanan solat ganti.
Jika terdapat sebarang persoalan atau kemusykilan, anda boleh tinggalkan perkara tersebut pada ruangan di bawah.



Assalamualaikum, macam mana nk qada solat yang dtinggalkan kerana was2 dengan haid? Cth:haid dtng masa subuh.. Masa zohor dan asar tiada, tapi masih was2 untuk mandi wajib kerana hari pertama haid, tapi, mandi wajib jugak semasa maghrib kerana kurang rasa was2 tu.. Macam mana nk qada solat zuhur dan asar? Qada sekali gus secara jamak dan qasar? Atau qada satu2 4 rakaat?
Wassalam.
Kena qada satu persatu 4 rakaat.
Tidak boleh secara lakukan jamak qasar kecuali awak dalam permusafiran.
Salam. betul ke ada yg bgitahu kena qada solat pada waktu yg tertinggal contoh tertinggal solat asar jadi kena qada waktu asar and xboleh qada waktu laen. betul ke?
Wassalam. Tidak betul.
Solat qada boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja.
Kalau saya kada solat subuh di siang hari kena baca doa qunub juga ka
Ya sunat untuk baca qunut.
assalamualaikum..
setiap kali tido malam saya akan bangun tepat jam 3pagi..saya tak pasti adakah itu 1 petanda allah sedang menguji saya untuk solat tahajud untuk tenangkan hati saya..saya bangun saya belajar solat tahajud bukak internet cuba pages ustaz..alhamdulilah banyak membantu dan pages ustaz juga telah mengubah 100% diri saya yang lama menjadi lebih baik..terima kasih ustaz walaupun dengan hanya membaca tapi point2 sia semua sampai sangat padat dan mudah difahami berbandingkan dengan secara perbualan..
Alhamdulillah.
Semoga awak istiqamah dan ditetapkan hati untuk sentiasa buat ibadah. Berdoalah semoga awak sentiasa tetap menjadi yang terpilih untuk bangun setiap malam ?
Assalamualaikum,
Saya nak tanya bolehke saya lakukan solat sunat rawatib contohnya saya terlepas subuh disebabkan terlajak tidur.Adakah solat sunat rawatib tu tidak perlu buat dan hanya ganti solat subuh sahaja?
Wassalam.
Solat subuh memang wajib kena ganti.
Untuk solat rawatib subuh pula, jika awak memang melazimi solat ini, maka dibenarkan untuk qada. Jika jarang-jarang buat, maka tidak perlu qada.
Aslm,saya ingin bertanya wajibkah ganti solat jika tinggal solat dengan sengaja?sbb kwn saya kata tak perlu.mohon penjelasan.
Wassalam.
Wajib. Solat fardu wajib diganti sama ada ditinggalkan dengan sengaja atau tidak.
As salam. Soalan saya, jika tinggal solat 5 waktu selama 10 tahun, boleh ke diqada kan pada waktu 2/3 malam dan mengikut tertib seperti subuh, zohor, asar dan seterusnya?
Wassalam.
Boleh, tiada masalah.
Solat qada boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja ?
Assalamualaikum…..saya banyak tinggalkan solat fardhu dan agak meletihkan untuk diqada …apa pandangan ustaz kalau saya qada semua solat itu dengan hanya membuat perkara yang wajib sahaja…tanpa melakukan perkara sunat ketika solat…contohnya baca doa ketika duduk antara dua sujud..adakah rugi di situ kerana tinggalkan perbuatan sunat dalam solat…terima kasih
Wassalam.
Ya boleh, tiada masalah buat perkara rukun sahaja dalam solat. Solat itu tetap sah.
Cuma awak tidak dapat fadhilat perkara sunat itu sahajalah. Solat tetap juga sah selagi perkara rukun dilakukan.
Assalaam,
Bolehkah kita menggantikan solat dan puasa bagi ahli keluarga yg telah meninggal dunia? Jika boleh, adakah hubungan sebagai anak sahaja kepada si mati yg boleh menggantikannya atau hubungan sebagai cucu dll dibenarkan. Terima kasih ust.
Wassalam,
Assalammualaikum..
Niat sy btul2 ingin berubah..
Sy mulakan dengan solat fardhu yg wajib..
Atau sy perlu lakukan solat taubat nasuha baru solat sy diterima?..hmm sy seorang hamba yg sangat hina..banyak dosa besar sy..sy betul2 nak kembali cari redha Allah..apa perlu sy lakukan..
Wassalam
Yang wajib adalah qada solat fardhu. Solat taubat hanya sunat dilakukan. (digalakkan buat)
Assalammmualaikum..Saya nak Tanya kalau solat yg lama ditinggalkan..jika nak qada solat subuh buat lepas solat fardu subuh nak ulang 3 kali….nak qada solat zuhur buat selepas solat zuhur nak ulang 3 Kali jugak Dan seterusnya hingga Isyak ulang 3 Kali..boleh ker? Terima kasih
Wassalam.
Boleh, tiada masalah.
Qada solat tiada batasan waktu dan bilangan yang ingin dilakukan.
Assslamualaikkum w.b.t…jika saya melakukan solat dhuha dan di akhirnya (selepas salam) saya tidak membaca doa solat dhuha (tidak hafal)…adakah sempurna/diterima solat dhuha saya itu…
Wassalam
Ya, sah solat tersebut. Doa dhuha adalah sunat sahaja.
Assalamualaikum ustaz. Saya ingin sekali mendapatkan fadilat melakukan solat sunat rawatib tetapi banyak lg solat fardu yang masih belum diqada kerana pernah meninggalkan solat begitu lama semasa muda. Apa yang sebaiknya saya lakukan dlm hal ini. Terima kasih ustaz.
Wassalam.
Lakukan solat sunat disamping melakukan qada solat fardu.
InsyaaAllah semoga urusan tuan dipermudahkan.
Assslamualaikkum w.b..t, saya ingin bertanya bolehkah kita qadar solat fardhu yang lama kita tinggal pada waktu dhuha hingga sebelum masuk zuhor
Wassalam. Boleh, tiada batas waktu untuk qada solat. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja.
Asl.. Bagaimana ustaz klau seseorang itu meninggalkn solat begitu lama dari usia muda 20 tahun hingga ke usia tua, conthnye 65 tahun dlm erti kata lain xpernah solat @ puasa. Tiba2 datang keinsafan dn bertaubat. Adakah wajib qada? Adalh mustahil utk ganti smula berpuluh tahun ditinggalkn disamping usia yg sudah tua dan tiada qudrat. Mohon pencerahan ustaz..
Wassalam.
Ya wajib ganti solat dan puasa yang ditinggalkan selama umur bermula dari usia baligh sehingga usia 65 tahun.
Assalamualaikum wbt.
saya ingin bertanya jika nak qada solat fardu subuh..di siang hari atau malam hari.wajib ka saya membaca doa qunut seperti biasa?.
mohon jawapan ustz☺️☺️
Wassalam
Solat qada boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja.
Doa qunut pula sunat untuk dibacakan.
soalan, boleh kah kita lelaki berwuduk dgn memakai seluar pendik sahaja?
Boleh kalau seorang diri dan tidak dilihat oleh orang lain kerana lutut itu aurat.
soalan, jika saya sedang menunaikan solat fardu..dlm keadaan keletihan di sebabkan kerja seharian..dan pada masa melakukan solat tiba2 tertidur..dan terjaga..adakah saya perlu mengulangi semula solat fardu tadi dari mula…
Ya. Kerana dikira solat yang lalai.
Terima kasih ustaz
Sama-sama ?
Assalamualaikum ustaz… Saya nak tanya.. Solat subuh pukul 6.06am tapi saya tak sempat nak menunaikannya kerana nak kena tggu van ke tmpt kerja, jadi sesampainya saya di tmpt keja dalam pukul 7.30am, saya kena melakukan solat qada atau boleh solat subuh macam biasa?
Wassalam, kena qada.