
Ini adalah panduan cara qada solat (menggantikan solat fardu) yang lengkap dan tersusun untuk memudahkan anda melakukan qada solat yang betul.
Apa yang menarik:
Ejaan dalam rumi juga turut disertakan dalam niat solat qada fardu lima waktu bagi membantu mereka yang sukar membaca tulisan arab.
Semoga panduan ini dapat membantu anda menggantikan solat dengan sempurna.
- Apa Maksud Qada Solat
- Apa Hukum Qada Solat?
- Niat Qada Solat
- Cara Qada Solat Yang Tertinggal
- Lupa Bilangan Solat Yang Tertinggal Lama
- Adakah Wanita Yang Haid dan Nifas Perlu Qada Solat?
- Adakah Perlu Qada Solat Jika Pernah Murtad?
- Adakah Wajib Qada Solat Jika Mabuk, Hilang Akal & Tidak Sedarkan Diri?
- Soal Jawab Berkaitan Qada Solat (FAQ)
- Kewajipan Mengganti Solat Yang Tertinggal
Apa Maksud Qada Solat
Qada solat (قضاء) bermaksud menggantikan atau melaksanakan solat fardu yang telah ditinggalkan atau terlepas. Dalam Islam, solat merupakan salah satu rukun Islam yang wajib dan tidak boleh ditinggalkan.
Apabila seseorang Muslim terlepas solat fardu disebabkan sebab tertentu seperti tertidur, lupa, atau keadaan darurat, maka wajib baginya untuk menggantikan solat tersebut pada masa lain.
Ini dilakukan sebagai cara untuk memenuhi kewajipan solat yang telah ditinggalkan. Qada solat menunjukkan pentingnya menjaga kewajipan solat dalam Islam dan tanggungjawab individu untuk memastikan semua solat fardu dilaksanakan.
Menurut mazhab as-Syafi’e, seseorang dikira sempat menunaikan solat secara tunai apabila dia sempat menghabiskan rakaat yang pertama dalam waktu solat tersebut.
Sebaliknya, mengerjakan solat secara qada adalah melakukan solat selepas waktunya.
Apabila seseorang tidak menunaikan solat pada waktunya, dia mesti menggantinya dengan menunaikan solat yang telah ditinggalkan pada waktu lain.
Orang yang tertidur, gila dan hilang akal ketika murtad diwajibkan untuk mengqadakan solat.

Apa Hukum Qada Solat?
Hukum qada solat dalam Islam adalah wajib. Ia adalah kewajipan bagi mengganti solat fardu yang telah ditinggalkan, sama ada disengajakan atau tidak. Menurut pandangan ulama, setiap solat fardu yang ditinggalkan mesti diganti secepat mungkin.
Ini berdasarkan pemahaman umum dalam Islam bahawa solat adalah tiang agama dan tidak boleh ditinggalkan. Oleh itu, apabila seseorang gagal menunaikan solat pada waktunya, dia wajib menggantikannya melalui qada untuk memastikan kewajipannya terhadap solat terpenuhi.
Bagi mereka yang meninggalkan solat fardu diwajibkan menggantikan solat tersebut.
Ibn Mas’ud r.a menceritakan bahawa ketika Perang Khandak, Rasulullah SAW telah disibukkan dengan serangan Musyrikin sehingga terbenam matahari sedangkan Baginda tertinggal solat empat waktu. Lalu Baginda meminta Bilal melaungkan azan, dan Baginda berdiri menunaikan solat Zuhur, kemudian Asar, kemudian Maghrib dan seterusnya Isyak
(Riwayat al-Tirmizi, al-Nasa’i dan Ahmad)
Hukum melewatkan solat tanpa keuzuran (dengan sebab yang benar-benar mendesak), apalagi diluar waktunya, adalah berdosa besar. Ini adalah satu maksiat besar yang tidak boleh dihilangkan kecuali dengan mengqadakan solat yang ditinggalkan.
Seseorang yang melakukannya mesti bertaubat dengan sebenar-benar taubat untuk tidak mengulanginya.
Niat Qada Solat
Niat qada solat adalah berniat di dalam hati untuk mengganti solat fardu yang telah ditinggalkan. Niat ini dilakukan sebelum takbiratul ihram pada permulaan solat.
Contohnya, jika seseorang hendak mengqada solat Zohor, niatnya adalah: “Sahaja aku solat fardu Zohor empat rakaat qada kerana Allah Taala”.
Niat ini penting untuk menentukan solat tersebut sebagai ganti bagi solat fardu yang tidak sempat atau tidak dapat dilaksanakan pada waktunya.
Berikut dinyatakan niat qada solat untuk setiap solat fardu:
Niat Qada Solat Subuh

Usolli Fardhos-Subhi Rak’ataini Qadaan Lillahi Ta’ala
Sahaja aku Solat Fardu Subuh dua rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala”
Niat Qada Solat Zuhur

Usolli Fardhoz-Zuhri Arba’a Raka’atin Qadaan Lillahi Ta’ala
Sahaja aku solat fardu Zuhur empat rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala”
Niat Qada Solat Asar

Usolli Fardhol Asri Arba’a Raka’atin Qadaan Lillahi Ta’ala
Sahaja aku solat fardu Asar empat rakaat qadha’ kerana Allah Ta’ala
Cara Qada Solat Yang Tertinggal
Qada Solat merupakan cara mengerjakan semula solat yang terlepas. Langkah pertama adalah berniat di dalam hati untuk solat qada bagi waktu solat yang terlepas. Kemudian, ikuti langkah solat seperti biasa, termasuk takbiratul ihram, membaca Al-Fatihah, rukuk, sujud, dan salam. Qada Solat boleh dilakukan pada bila-bila masa sebelum masuk waktu solat yang sama pada hari berikutnya.
- Untuk Solat yang Ditinggalkan Ketika Musafir: Apabila ingin diqada selepas musafir, solat mesti diqada secara sempurna (tidak boleh qasar atau jamak). Jika diqada ketika masih musafir, boleh diqada secara sempurna atau qasar.
- Untuk Solat yang Ditinggalkan Ketika Menetap (Bermukim): Solat yang ditinggalkan ketika menetap wajib diqada secara sempurna (tamam) dan tidak boleh diqasar, walaupun diqada ketika musafir.
- Bacaan dalam Solat Qada: Bacaan boleh dibaca dengan nyaring pada waktu malam (selepas terbenam matahari hingga terbit matahari), sekalipun bukan jenis solat yang biasa dibaca nyaring. Bacaan solat dibaca perlahan pada waktu siang.
- Mengerjakan Qada Solat secara Berjemaah: Dibenarkan apabila ada dua orang atau lebih yang mahu mengganti solat mereka.
- Mengerjakan Qada Solat Secara Tertib (Mengikut Urutan): Disunatkan mengerjakan qada solat mengikut urutan, seperti solat Zuhur dahulu, kemudian Asar. Namun, jika waktu solat yang sedang berlangsung (seperti Asar) hampir habis, wajib mengerjakan solat tersebut dahulu sebelum qada solat yang ditinggalkan (seperti Zuhur).
Bacaan Dalam Solat Qada
Bacaan dalam qada solat sama seperti bacaan dalam solat fardu biasa. Ini termasuk:
- Takbiratul Ihram: Membuka solat dengan takbir.
- Bacaan Al-Fatihah: Membaca surah Al-Fatihah pada setiap rakaat.
- Surah Lazim: Membaca surah atau ayat-ayat Quran selepas Al-Fatihah.
- Rukuk dan Sujud: Melakukan rukuk dan sujud dengan bacaan-bacaan tertentu.
- Tahiyyat Akhir: Membaca tahiyyat pada rakaat terakhir.
- Salam: Mengakhiri solat dengan ucapan salam.
Tiada bacaan khusus atau berbeza untuk solat qada berbanding solat fardu biasa; perbezaannya hanya pada niat untuk menggantikan solat yang tertinggal.
Penjelasan Mengenai Cara Qada Solat
Wajib bagi seseorang yang telah meninggalkan solat untuk mengqada (menggantikan) solatnya itu dengan segera. Bahkan dibenarkan mengantikan solat sekali pun pada waktu yang diharamkan solat (waktu tahrim) seperti selepas asar, selepas subuh dan sebagainya.
1. Apabila meninggalkan solat sewaktu musafir dan hendak diqadakan selepas habis tempoh musafir, maka perlu diqadakan solat secara sempurna (tidak boleh diqasar dan jamak).2. Solat yang ditinggalkan ketika musafir dan hendaklah diqada ketika masih dalam tempoh musafir. Solat juga boleh di qada ketika bermusafir pada waktu lain, secara sempurna atau diqasar.
(terdapat khilaf mengenai perkara ini dalam kalangan beberapa ulama)
3. Solat yang ditinggalkan ketika menetap (bermukim) wajib diqada secara sempurna (tamam) dan tidak boleh diqasar meskipun diqada ketika musafir.
4. Bacaan solat boleh dibaca dengan nyaring (untuk imam atau solat seorang diri) sekiranya waktu mengerjakan qada solat pada waktu malam iaitu selepas terbenam matahari hingga terbit matahari.
Sekalipun solat tersebut adalah bukan dari jenis solat yang dibaca nyaring (seperti Zuhur dan Asar).
Sebaliknya, bacaan solat dibaca perlahan apabila solat yang diqada tersebut dikerjakan pada waktu siang, bermula dari terbit matahari hingga terbenam matahari.
5. Tidak salah mengerjakan qada solat secara berjemaah apabila waktu itu terdapat dua orang atau lebih yang sama-sama mahu mengganti solat mereka.
6. Sunat mengerjakan qada solat secara tertib (mengikut urutan). Misalnya, solat qada Zuhur dahulu, kemudian baru solat qada Asar.
Orang yang meninggalkan solat fardu Zuhur dan mahu mengqadanya dalam waktu Asar, sebaik-baiknya mengerjakan qada solat Zuhur dahulu sebelum mengerjakan solat Asar secara tunai.
Kecuali apabila waktu asar itu tinggal sedikit dan dikhuatiri habis waktu sebelum sempat menunaikan solat Asar, wajib untuknya menunaikan solat Asar dahulu diikuti dengan qada solat Zuhur.

Lupa Bilangan Solat Yang Tertinggal Lama
Jika seseorang lupa bilangan solat fardu yang telah tertinggal, mereka disarankan untuk membuat anggaran terbaik berdasarkan ingatan. Setelah itu, lakukan qada’ mengikut jumlah tersebut. Jika tidak ingat, lakukan qada’ sebanyak mana yang dirasa cukup untuk meyakinkan diri sendiri bahawa kewajipan telah dipenuhi. Penting untuk menetapkan niat qada’ dalam hati sebelum memulai setiap solat.
Ulama mazhab Syafi’e menetapkan orang yang mempunyai terlalu banyak solat yang ditinggalkan sehingga tidak tahu jumlahnya, hendaklah mengqadakan solat-solat tersebut sehingga diyakini semuanya telah diganti.
Oleh itu, sesiapa yang meninggalkan solat selama 20 atau 30 tahun wajib menggantinya sedikit demi sedikit berdasarkan kemampuannya. Ini dilakukan sehingga kita yakin semuanya telah diganti.
Contohnya:
Seseorang yang meninggalkan solat selama 2 tahun boleh menggantikan setiap solat fardu yang ditinggalkan selepas solat tunai. Misalnya selepas solat subuh ataupun sebelum, dan boleh menggantikan satu ataupun dua solat subuh yang ditinggalkan.
Perkara ini dilakukan selama setahun ataupun dua tahun hingga yakin semua solat yang ditinggalkan sudah diganti.
Sekiranya dia mampu melakukan lima solat waktu pada setiap waktu tunai, maka dia boleh melakukannya.
Adakah Wanita Yang Haid dan Nifas Perlu Qada Solat?

Wanita yang berada dalam keadaan haid atau nifas tidak perlu melakukan qada’ untuk solat yang terlepas. Ini kerana dalam Islam, wanita yang mengalami haid atau nifas dikecualikan daripada kewajiban solat. Setelah selesai tempoh haid atau nifas, mereka boleh meneruskan solat seperti biasa tanpa perlu menggantikan solat yang terlepas selama tempoh tersebut.
Penerangan
Wanita yang haid dan nifas tidak wajib mengganti solat (qada) untuk waktu-waktu yang tertinggal semasa haid dan nifas itu.
Tetapi ada beberapa situasi yang perlu diberi perhatian:
- Wanita yang telah kering darahnya (haid dan nifas) dalam waktu Asar perlu qada solat Zohor.
- Dan wanita yang kering darahnya dalam waktu Isyak perlu qada solat Maghrib.
Wanita berkenaan perlu mandi wajib dan mengerjakan solat waktu tersebut secara tunai (sekiranya sempat). Dia juga mesti mengerjakan secara qada untuk solat yang sebelumnya.
Jika dia tidak sempat mengerjakan solat dalam waktu darahnya telah kering, maka dia wajib mengganti solat waktu yang tertinggal dan solat yang sebelumnya itu.
Penjelasan lanjut mengenai masalah ini boleh dilihat pada pautan ini: Adakah Kena Qada Solat Zohor Jika Suci Dari Haid Pada Waktu Asar?
Adakah Perlu Qada Solat Jika Pernah Murtad?
Orang murtad iaitu keluar daripada agama Islam, maka dianggap berdosa besar. Sekiranya dia kembali semula kepada Islam, wajib dia qada solatnya selama dia murtad. Bahkan wajib dia mengqada solatnya selama dia masih Islam sebelum dia murtad dahulu.
Hal ini disebabkan, apabila seseorang telah keluar daripada agama Islam, maka seluruh amalannya sebelum itu terbatal kecuali ibadah haji yang hanya terbatal kerana syirik yang berserta kematian.
Adakah Wajib Qada Solat Jika Mabuk, Hilang Akal & Tidak Sedarkan Diri?
Seorang yang minum minuman keras hingga mabuk dan tidak sedarkan diri, memandu dengan cara berbahaya dan berlaku kemalangan hingga tidak sedarkan diri, atau apabila dia melakukan apa-apa sahaja perkara yang membahayakan dengan sengaja hingga menyebabkan hilang akalnya..
… maka wajib dia mengqada solatnya selama dia hilang akal setelah dia pulih.
Akalnya hilang disebabkan perkara yang diharamkan, maka kewajipan tidak akan gugur daripadanya.
Soal Jawab Berkaitan Qada Solat (FAQ)
Di sini saya kumpulkan beberapa soalan lazim mengenai qada solat yang mungkin membantu anda menjawab persoalan yang sedang anda hadapi:
Solat qada tidak wajib dilakukan mengikut tertib, tetapi disunatkan supaya mengikut tertib. Jika waktu solat masa itu hampir tamat, maka utamakan solat tunai waktu itu terlebih dahulu.
Solat yang tertinggal sama ada secara sengaja ataupun terlupa, wajib diqada sebaik sahaja mengingatinya. Ataupun sekiranya tidur, sebaik sahaja terjaga daripada tidur terus diqada solat yang terlepas.
Solat wajib ditunaikan walaupun ketika sakit dengan menggunakan rukhsah-rukhsah yang Allah berikan seperti tayamum sekiranya tidak dapat menggunakan air, solat duduk ataupun baring sekiranya tidak dapat berdiri dan sebagainya.
Tidak harus membaca dengan nada kuat untuk solat fardu yang dilakukan pada waktu siang. Sama ada solat itu dilakukan pada waktunya ataupun qada. Begitu juga, disunatkan membaca dengan kuat untuk solat fardu yang dikerjakan pada waktu malam, walaupun solat pada zuhur ataupun asar.
Boleh. Sunat mengerjakan solat qada secara tertib.
Harus mengqada solat-solat yang tertinggal sama ada mengikut tertib atau tanpa tertib.
Tiada larangan untuk anda melakukan solat sunat.
Tetapi mengapa perlu melakukan yang sunat sedangkan anda boleh melakukan yang wajib, sekaligus mendapat pahala wajib dan diampunkan dosa akibat meninggalkan yang wajib.
Untuk solat tahiyatul masjid, anda boleh melakukan melakukan solat qada subuh ataupun solat lain ketika masuk ke masjid, sebelum anda duduk. Dengan melakukan solat qada ini, anda sudah mendapat pahala solat wajib dan mendapat pahala solat sunat tahiyatul masjid.
Sekiranya anda tidak merancang bagi bermukim di destinasi ini lebih daripada tiga hari, anda masih dianggap sebagai musafir yang mendapat rukhsah jamak dan qasar solat.
Dalam keadaan ini, anda masih boleh mengqada solat zohor dan asar dengan memendekkan menjadi dua rakaat.
Tetapi anda tidak boleh menjamakkannya kerana kedua-duanya sudah keluar daripada waktunya.
Solat yang ditinggalkan ketika musafir tidak lagi boleh diqasar apabila perjalanan itu tamat. Solat itu perlu diqada secara rakaat penuh (tamam)
Terdapat khilaf (pertembungan) jawapan ulama mengenai hal ini. Anda boleh qasar solat zohor yang ditinggalkan dalam pemusafiran yang lalu walaupun telah berada dalam pemusafiran yang lain. Tetapi adalah lebih baik disegerakan qada solat tersebut.
Anda tidak boleh mengqasarkan solat-solat yang sudah anda tinggalkan ketika bermukim ketika anda sedang musafir.
Disunatkan anda membaca surah dengan kuat kerana solat itu dilakukan pada waktu malam.
Orang yang mengalami masalah mental atau gila tidak diwajibkan qada solat-solat yang ditinggalkan ketika dalam keadaan itu. Ini kerana penyakit ini selalunya menimpa seseorang dalam tempoh yang lama hingga memakan masa bertahun-tahun.
Sekiranya diwajibkan mengqada semua solat-solat ini, sudah tentu sangat membebankan.
Orang yang pitam atau pengsan wajib mengganti solat yang tertinggal ketika dalam keadaan tidak sedarkan diri itu.
Ini kerana pengsan atau pitam selalunya hanya akan berlaku dalam masa yang singkat, berbeza dengan orang gila.
Begitu juga halnya orang yang tertidur sehingga terlepas waktu solat.
Kewajipan Mengganti Solat Yang Tertinggal
Bagi mereka yang meninggalkan kewajipan solat fardu atau ibadah lain, diwajibkan menggantikannya.
1. Ibnu Mas’ud r.a menceritakan bahawa ketika Perang Khandak, Rasulullah SAW telah disibukkan dengan serangan musyrikin sehingga terbenam matahari sedangkan Baginda tertinggal solat empat waktu.Lalu Baginda meminda Bilal melaungkan azan, dan Baginda berdiri menunaikan solat Zuhur, kemudian Asar, Kemudian Maghrib dan seterusnya Isyak.
(Riwayat Tirmizi, Nasai’e dan Ahmad)
2. Orang yang meninggalkan ibadah wajib hendaklah menggantikannya berdasarkan umum sabda Rasulullah SAW, begitu juga solat fardu yang ditinggalkan hendaklah digantikan.
Sabda Nabi:
Hutang Allah itu lebih perlu ditunaikan (diganti)
3. Orang yang sengaja meninggalkan solat fardu tanpa keuzuran telah melakukan dosa dan wajib menggantikannya.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Maka kecelakaan besar bagi orang yang solat. (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya
— Al-Ma’un 107:4-5
Saya berharap agar panduan ini dapat membantu memudahkan anda dalam melaksanan solat ganti.
Jika terdapat sebarang persoalan atau kemusykilan, anda boleh tinggalkan perkara tersebut pada ruangan di bawah.



Assalamualaikum ustaz…
Saya nak tanya. lepas solat asar saya qada solat zohor tapi tengah qada solat zohor azan maghrib, patut ka saya berenti atau teruskan solat? Mohon pencerahan…
Wassalam. Teruskan solat sehinggalah selesai.
Assallamualaikum ustaz..maaf kn sy bertanya..sy nk qada solat yg telah di tinggalkan sewaktu dahulu..sy was2 nk qada selepas asar dan subuh kerana ditakuti utk sebarang solat selepas waktu subuh dan asar..sepertimana yg sy tahu selepas subuh dan asar adalah waktu yg haram utk buat solat melainkan solat dhuha(betulkan sy jika sy silap)..dan ada juga yg sy tahu jika utk solat qada ia dibolehkan..mohon penjelasan dari ustaz bg merungkai kekeliruan sy..terima kasih ustaz..
Wassalam.
Yang diharamkan selepas asar dan subuh adalah solat sunat sahaja.
Solat qada dibenarkan untuk dilakukan pada bila-bila masa sahaja.
Alhamdulillah terima kasih ustaz..maka nya lega dan tenang lah hati sy utk menunaikan nye..terima kasih sekali lagi..
Sama-sama ?
Assalamualaikum ustaz saya nak tanya kalau saya tertinggal solat subu bila masa yg saya boleh qada subu makasi
Assallamualaikum ustaz..maaf kn sy bertanya..sy nk qada solat yg telah di tinggalkan sewaktu dahulu..sy was2 nk qada selepas asar dan subuh kerana ditakuti utk sebarang solat selepas waktu subuh dan asar..sepertimana yg sy tahu selepas subuh dan asar adalah waktu yg haram utk buat solat melainkan solat dhuha(betulkan sy jika sy silap)..dan ada juga yg sy tahu jika utk solat qada ia dibolehkan..mohon penjelasan dari ustaz bg merungkai kekeliruan sy..terima kasih ustaz..
Wassalam.
Boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja.
Aslmlkm ,Adakah niat qada wajib dibaca,kalau tertinggal niat kena solat balik ke
Wassalam.
Tidak wajib dilafazkan melalui mulut, hanya wajib dihadirkan melalui hati
assalammualaikum ustaz ? saya tak pernah solat sbelum ni , sya nak solat qada , tpi masa saya sgt suntuk untuk melakukan solat qada , jdi bolehka klau sya buat smua solat qada waktu tgh malam ? contoh pukul 12 malam , saya buat solat qada subuh , zohor , asar , maghrib , isyak , dan saya akan solat qada bgitula stiap hari ? jdi prtanyaan sya bolehka sya solat qada dgn cara sebegitu ? dan sya akan solat dgn cara sperti itu selama 7 tahun
Wassalam.
Boleh, solat qada boleh dilakukan tanpa batasan waktu dan rakaat, selagi awak mampu..
Aslm,nak tanya boleh ke qada solat 4 atau 5 kali dalam satu hari?contohnya,qada solat subuh,zuhur,asar,maghrib dan isyak 5 kali dalam 1 hari
Bolehhhh
Wassalam. Boleh, tiada masalah
Assalamualaikum wbt…boleh ke mengqado solat diwaktu solat yang lain? cthnya qado solat subuh dlm solat zhohor? atau wajib qado solat ikut waktu yang sama solat yang ditinggalkan tersebut
Wassalam.
Boleh. Solat qada boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja
Assalamualaikum ust/ustzh…….boleh ke solat ganti 5 kali dalam setiap waktu pada satu hari….. Contohnya saya ganti solat subuh sebanyak 5 kali dlm satu hari…..
Wassalam,
Boleh, tiada masalah ?
Assalamualaikum Ustaz
Boleh atau tidak jika saya mengerjakan solat qada selepas solat Subuh dan Solat Asar?
Wassalam.
Boleh, tiada masalah.
Yang haram adalah solat sunat sahaja. Solat qada dibolehkan.
Assalamualaikum Ustaz,
Utk Solat Subuh Qadha, perlukan membaca doa Qunut?
Wassalam.
Sunat membaca qunut.
Maknanya baca qunut pun boleh, tidak baca pun boleh untuk qada solat.
Asalamualaikum saya ingin bertanya.. dalam 5 tahun saya meningal kan solat sekarang saya berubah nak gantikan solat tersebut.. Contoh nya nak ganti solat zohor tu mesti ganti 4 rakaat juga?tak Ustaz.. Sebab sebelum ni saya ganti 2 rakaat??.. Cuma saya salah paham setiap waktu saya kena ganti solat 5 waktu yg tertingal ikut rakaat yang betul tak ustaz? Atau ganti dua rakaat jer. Saya ingin kan pencerahan ustaz terimakseh
Wassalam
Bilangan rakaat dan cara solat adalah sama dengan solat yang ingin di qada itu.
Jika qada solat zohor, asar dan isyak maka mesti dilakukan 4 rakaat. Jika qada solat maghrib 3 rakaat, jika solat subuh maka 2 rakaat.
assalamualaikum ustadz ,ana ingin bertanya,,,ana sudah mengajak(membawa) keluarga ana untuk menunaikan solat tetapi keluarga ana berkata agar solatlah dahulu,kadang bagi alasan selalu..apakah yg perlu ana lakukan selain menasihati?syukron ustadz atas jawapannya,,,wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Wassalam.
Jangan berputus asa dalam mengajak ke arah kebaikan.
Dan banyakkan berdoa agar Allah melembutkan hati ahli keluarga.
Assalamualaikum
saya nk tau boleh ke saya mengerjakan solat solat sunat yg lain contohnya tahajub walaupun solat wajib saya belum llagi habis di qada
Wassalam.
Boleh, tiada masalah.
Solat sunat boleh dikerjakan seiring dengan qada solat fardu.
Assalamualaikum ustaz maaf saya bertanya . Ada seorang hamba allah ni dea tidak pernah sembahyang dengan betui selama hidupnya . Maksudnya sewaktu sekolah dea hanya main² solat dan telah tinggal solat selama 21 tahun , dea tidak tau baca apapun surah hanya yg asas sahaja seperti al Fatihah doa mkn dan tidur . Dan tak pernah puasa dengan betuii jugak , Dan mcm mna hendak mengganti solat dan puasa tersebut adakah puasa ganti diterima oleh Allah ? .dan juga hamba allah itu pernah melakukan maksiat didalam hidupnya yg lepas dan mempunyai anak perempuan dari maksiat yg dilakukan olehnya adakah masih di terima taubat nya ?
Wassalam
InsyaAllah, Allah itu Maha Menerima Taubat.
Maka bertaubatlah selagi masih bernyawa.
Dan qada kembali semua solat dan puasa yang pernah ditinggalkan.
Assalamualaikum ustaz boleh ke kalau nak qada’ untk 15 waktu (3 hari) dalam sehari?? mohon penjelasan ustaz ??
Wassalam.
Boleh, tiada masalah jika awak mampu lakukan sekaligus.
Assalam ustaz. Dari yg saya faham dgn penjelasan ustaz pada soalan2 yg pernah ada, seseorang itu perlu mengganti pada setiap kali solat wajibnya dijalankan. Contoh 10 tahun tidak solat maka 10 tahun perlu melakukan hari2 utk qada. Tapi apa jadi kalau belum sempat kita selesai mengganti, Allah tarik nyawa kita? Apa hukumnya utk solat2 yg belum diganti lagi tu? Mohon pencerahan. Terima kasih. Assalam.
Wassalam,
Menurut Ust Jafri, jika seseorang meninggal ketika dalam proses menggantikan solat, maka dia sudah diterima oleh Allah sebagai orang yang mati dalam usaha membayar hutang. InsyaAllah.
Assalamualaikum ustaz..saya nk bertanya pandangan…sekiranya saya sebelum ini jarang solat semasa zaman remaja iaitu dari tingkatan 3 sehingga berumur 20 tahun…adakan saya perlu mengganti semua nya…?dan bagaimana cara utk menggantinya secara berturut ii ??mohon pencerahan
Wassalam.
Ya, kena qada bermula dari umur baligh.
Kaedah paling mudah dan tidak membebankan, awak buat solat qada selepas selesai solat fardu. Contohnya, selepas selesai solat Zuhur, awak lakukan solat qada Zuhur.
Jika awak tertinggal solat selama 10 tahun, maka lakukan ini selama 10 tahun.
Akan tetapi jika awak mampu lakukan qada solat dengan banyak sekali gus, ia juga di bolehkan dan tidak menjadi masalah.
Assalamualaikum Ustaz, adakah digalakkan membaca wirid dan doa setiap kali selesai utk qada’ solat yg ditinggalkan beberapa tahun?
Wassalam, jika banyak solat yang perlu diqada, maka terus lakukan solat seterusnya tapa wirid dan doa.
Assalammualaikum Ustaz saya nak tanya,
Bila perlu kita solat qada subuh, adakah sebelum atau selepas subuh atau sebelum atau selepas solat zohor?
Ada sesetengah orang berkata yang tidak boleh menqada kesemua solat yang kita lepas dan ada jugak yang berkata boleh. Minta penjelasan Ustaz.
Adakah kesemua solat dapat diqadakan atau yang tidak disengajakan sahaja?
Saya sering solat subuh pada pukul 6.30 kerana di kawasan saya azan subuh adalah pada 6.20 atau 6.25 macam tu. Saya kadang2 bangun terlalu awal dan kembali tidur untuk menunggu azan subuh, tetapi sesetengah hari saya akan terlajak tidur sampai pukul 8 pagi. Adakah saya perlu qada solat subuh?
Wassalam,
1) Solat qada tiada batasan waktu dan bilangan. Maknanya, awak boleh lakukan pada bila-bila masa sahaja, dan sebanyak mana yang awak mahu.
2) Semua solat yang tertinggal secara sengaja atau tidak, wajib untuk diqada.
3) Jika bangun jam 8, maka perlu qada subuh.
Assalam ustaz nak tanya, sekarang unur saya umur 18 dan saya baru nak cukup kan solat dan qada solat2 yg pernh saya tinggal..boleh saya tau macam mna nak kira berapa banyak yg perlu saya gantikan ? Btw saya baligh umur 11 tahun ? saya nak ubah diri saya ustaz ?
Wassalam,
Secara anggarannya, 18-11 = 7 tahun yang awak kena qada.
Kaedah paling mudah, setiap kali selepas solat fardhu, awak kena buat solat qada. Contohnya selepas solat subuh, lakukan qada solat subuh. Lakukan ini selama 7 tahun.
InsyaAllah awak tidak akan rasa berat sangat.