Panduan Hukum Zakat Fitrah [Ust Azhar Idrus]

hukum zakat fitrah

Ini adalah panduan lengkap mengenai zakat fitrah yang disyarahkan oleh Ustaz Azhar Idrus. Panduan ini merangkumi pelbagai topik hukum zakat, syarat wajib, niat zakat fitrah, waktu dan sebagainya.

Semoga bermanfaat kepada para pembaca. Mari kita mulakan..

Maksud Zakat Fitrah

Dinamakan zakat fitrah kerana ia diwajibkan ketika orang-orang berpuasa itu berhari raya dan dinamakan juga dengan sedekah fitrah.

Hukum Zakat Fitrah

Zakat fitrah hukumnya adalah wajib seperti zakat-zakat yang lain.

Telah difardukan zakat fitrah pada bulan Sya’ban pada tahun yang kedua daripada Hijrah Nabi sollallahu alaihi wasallam iaitu tahun yang sama Allah Taala fardukan akan ibadah puasa Ramadhan.

Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili :

شرعت زكاة الفطر في شعبان في السنة الثانية من الهجرة، عام فرض صوم رمضان

Ertinya: “Disyariatkan kewajipan membayar zakat fitrah pada bulan Sya’ban pada tahun yang kedua daripada Hijrah Nabi sollallahu alaihi wasallam ialah tahun difardukan puasa Ramadhan.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Diantara dalil diwajibkan zakat fitrah itu ialah hadith yang telah diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. kata beliau :

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ مِنْ رَمَضَانَ عَلَى النَّاسِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ

Ertinya : “Bahawasanya Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah mewajibkan akan zakat fitrah pada bulan Ramadhan ke atas manusia sebanyak satu gantang daripada kurma atau satu gantang daripada gandum.” (Hadith riwayat Imam Syafie di dalam Al-Musnad dan lainnya)

Perkataan fitri atau fitrah itu bermaksud memberi makan ketika berhari raya oleh orang yang puasa yakni zakat yang dikenakan ketika datangnya bulan Ramadhan di mana orang Islam berpuasa padanya dan berhari raya.

Berkata Imam Ibnu Al-Atsir :

والفطر: الاسم من قولك أفطر الصائم يفطر إفطارًا

Ertinya : “Perkataan fitrah itu ialah nama dari sebutanmu memberi makan orang yang puasa.” (Kitab As-Syafi Syarah Musnad As-Syafie)

Dan diriwayatkan daripada Abu Said Al-Khudri r.a. beliau berkata :

كُنَّا نُخْرِجُ زَكَاةَ الفِطْرِ إِذْ كَانَ فِينَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَاعًا مِنْ طَعَامٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ

Ertinya : “Adalah kami keluarkan zakat fitrah ketika bersama Rasulullah sollallahu alaihi wasallam akan segantang daripada makanan atau segantang daripada gandum atau segantang daripada kurma.” (Hadith riwayat At-Tirmizi dan lainnya)

Dan antara hikmah diwajibkan zakat fitrah ini ialah menyucikan diri orang-orang yang berpuasa dan memberi sumbangan makanan kepada orang-orang miskin.

Berkata Ibnu Abbas r.a. :

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ

Ertinya : “Rasulullah solallahu alaihi wasallam telah mewajibkan akan zakat fitrah sebagai penyucian kepada orang yang berpuasa dari perkara lagha dan keji dan memberi makan bagi sekelian orang miskin.” (Riwayat Ibnu Majah)

Maksud menyucikan orang yang berpuasa ialah dengan sebab membayar zakat maka dihapuskan segala dosa dan kesalahannya.

Berkata Imam As-Son’ani :

فِيهِ دَلِيلٌ عَلَى وُجُوبِهَا لِقَوْلِهِ : فَرَضَ كَمَا سَلَفَ وَدَلِيلٌ عَلَى أَنَّ الصَّدَقَاتِ تُكَفِّرُ السَّيِّئَاتِ

Ertinya : “Pada hadith ini menjadi dalil atas wajibnya zakat fitrah kerana perkataan Ibnu Abbas r.a. adalah Rasululllah sollallahu alaihi wasallam telah mewajibkan. Dan hadith ini menjadi dalil atas bahawa segala zakat itu menghapuskan segala kesalahan.” (Kitab Subul As-Salam)

Berkata Syeikh Ar-Rahmani Al-Mubarakfuri :

أي تطهيراً لنفس من صام

Ertinya : “Maksudnya ia membersihkan akan jiwa orang yang berpuasa.” (Kitab Mir’atul Mafatih)

Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili :

جبر نقص الصوم، وإغناء الفقراء عن السؤال يوم العيد

Ertinya : (Zakat fitrah itu ialah) menampung ketidak sempurnaan ibadah puasa dan mencukupkan bagi orang-orang faqir dari meminta-minta pada hari raya.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Dan berkata Waqi’ Ibnu Al-Jarrah :

زكاة الفطر لشهر رمضان كسجدة السهو للصلاة

Ertinya : “Zakat fitrah bagi bulan Ramadhan bandingannya seperti sujud sahwi bagi sembahyang.”

Yakni zakat fitrah itu menampung segala kekurangan dalam ibadah puasa yang telah dikerjakan sepertimana sujud sahwi menampung kekurangan yang ada di dalam sembahyang.

Mereka Yang Wajib Bayar Zakat Fitrah

Bermula hukum zakat fitrah ini adalah wajib atas sekelian orang Islam yang merdeka yang mampu pada ketika wajibnya.

Berkata Imam Ibnu Al-Munzir :

أجمع كل من نحفظ عنه من أهل العلم على أن صدقة الفطر فرض

Ertinya : “Telah ijmak oleh sekelian yang kami terima daripada ulamak atas sungguhnya zakat fitrah itu fardu.” (Kitab Al-Ijmak)

Dan jika seorang itu mempunyai orang yang dia wajib menanggung nafaqahnya seperti isteri dan anak dan hamba yang Islam maka wajib pula dia membayar zakat fitrah mereka itu.

Ada pun yang bukan Islam dari sekelian mereka itu maka tiada wajib atasnya mengeluarkan zakat bagi mereka.

Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili :

ولا تلزم المسلم فطرة القريب والزوجة والعبد الكفار

Ertinya : “Dan tiada wajib atas orang Islam bayar zakat fitrah keluarga dan isteri dan hamba yang kafir.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Berkata Imam Nawawi :

وَمَنْ وَجَبَتْ عَلَيْهِ فِطْرَتُهُ وَجَبَتْ عَلَيْهِ فِطْرَة مِنْ تَلْزَمُهُ نَفَقَتُهُ إذَا كَانُوا مُسْلِمِينَ

Ertinya : “Dan barangsiapa wajiblah zakat fitrah atas dirinya nescaya wajib pula atasnya zakat fitrah orang yang dalam tanggungan nafaqahnya apabila adalah mereka itu orang Islam.” (Kitab Al-Majmu’)

Menyebut oleh Dr Wahbah Az-Zuhaili :

ومن لزمه فطرة نفسه، لزمه فطرة من تلزمه نفقته بقرابة كوالديه الفقيرين، أو زوجية أو ملك رقيق إذا كانوا مسلمين ووجد ما يؤدي عنهم

Ertinya : “Dan barangsiapa yang wajib bayar fitrah dirinya nescaya wajib dia bayar fitrah orang yang di bawah nafaqahnya seperti dua ibu bapanya yang faqir keduanya atau sebab perkahwinan atau pemilikan apabila adalah mereka itu Islam dan didapat akan apa yang hendak dibayar daripada mereka.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Niat Zakat Fitrah

Bermula niat ketika membayar zakat adalah wajib maka siapa yang tidak berniat nescaya zakatnya tidak sah.

Berkata Dr Mustafa Al-Khin :

تجب النية عند إخراج الزكاة تميزاً لها عن الكفارات وبقية الصدقات، وللحديث المشهور: إنما الأعمال بالنيات

Ertinya : “Wajib berniat ketika mengeluarkan zakat supaya terbezalah ia dari segala kafarah dan sekelian sedekah dan kerana hadith yang masyhur : Segala amal itu sah ia dengan berniat.” (Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji)

Jika seorang itu hendak membayar zakat sendirinya maka dia sendiri yang berniat dengan menghadirkan dalam hatinya hendak membayar zakat yang wajib atas dirinya dan begitu juga jika dia hendak mewakilkan orang lain menyampaikan zakatnya itu itu kepada penerimanya maka dia boleh berniat ketika hendak menyerahkan zakatnya itu kepada wakil.

Contoh niat jika zakat untuk diri sendiri ialah :

ﻧَﻮَﻳْﺖُ أَﻥْ أُﺧْﺮِﺝَ ﺯَﻛَﺎﺓَ ﺍﻟْﻔِﻄْﺮِ ﻋَﻦْ ﻧَﻔْسيْ ﻓَﺮْﺿًﺎ ﻟﻠﻪِ ﺗَﻌَﺎﻟَﻰ

Ertinya : “Aku berniat mengeluarkan zakat fitrah dari diriku fardu kerana Allah Taala.”

Dan contoh niat zakat fitrah untuk diri sendiri dan anak isteri yang dibawah tanggungannya ialah :

ﻧَﻮَﻳْﺖُ ﺃَﻥْ ﺃُﺧْﺮِﺝَ ﺯَﻛَﺎﺓَ ﺍﻟْﻔِﻄْﺮِ ﻋَنِّيْ ﻭَﻋَﻦْ ﺟَﻤِﻴْﻊِ ﻣَﺎ ﻳَﻠْﺰَﻣُنِيْ ﻧَﻔَﻘَﺎﺗُﻬُﻢْ ﻓَﺮْﺿًﺎ ﻟﻠﻪِ ﺗَﻌَﺎﻟَﻰ

Ertinya : “Aku berniat mengeluarkan zakat fitrah dari diriku dan dari sekelian mereka yang berada dibawah tanggunganku fardu kerana Allah Taala.”

Dan sudah memadai jika seorang itu berniat :

“Inilah zakat fitrah yang wajib atas diriku kerana Allah Taala”

Atau

“Inilah zakat fitrah yang wajib atas diriku dan atas anak isteriku kerana Allah Taala”

Jika seorang itu tidak menyebut fardu dalam niatnya maka niatnya itu sudah memadai.

Berkata Imam Nawawi :

وَلَوْ نَوَى الزَّكَاةَ دُونَ الْفَرْضِيَّةِ أَجْزَأَهُ

Ertinya : “Dan jikalau berniat akan zakat tanpa sebutkan fardu nescaya memadainya.” (Kitab Raudhah At-Talibin)

Dan tempat niat itu ialah di dalam hati maka memadai diniatkan di dalam hati sahaja tanpa melafazkannya pada lisan.

Jika seorang itu telah berniat ketika hendak menyerahkan zakatnya itu kepada wakil maka wakilnya itu tidak wajib lagi berniat ketika hendak menyampaikan zakat tersebut kepada penerimanya.

Menyebut oleh Dr Mustafa Al-Khin :

وإن وكل بها، نوى الزكاة عند تسليم المبلغ إلى الوكيل، ولا يجب على الوكيل بعد ذلك أن يستحضر أي نية عند إعطائه للمستحقين

Ertinya : “Jikalau diwakilkan akan bayar zakat maka hendaklah berniat ketika hendak menyerahkan zakat itu kepada wakilnya dan tidak wajib atas wakil berniat pula selepas itu ketika hendak diserahkan kepada sekelian penerimanya.” (Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji)

Dan waktu yang sah berniat ialah antara selepas mengasingkan harta untuk zakat dan sampai waktu menyerahkannya kepada amil atau asnaf zakat.

Oleh itu sah berniat ketika telah membeli beras untuk fitrah atau ketika membawa beras itu balik ke rumah atau ketika menyimpan beras itu di rumah atau ketika dalam perjalanan membawa beras itu ke tempat amil atau ketika menyerahkannya kepada amil.

Ada pun selepas diserahkan zakat kepada amil atau kepada asnaf zakat baru hendak berniat maka niat tersebut tidak sah.

Begitu juga jika seorang yang telah menyerahkan zakatnya kepada penerimanya baru dia teringat bahawa dia tidak berniat membayar zakat maka tidak sah zakatnya itu sekali pun dia membayar dengan semua hartanya.

Berkata Imam Nawawi :

لَوْ تَصَدَّقَ بِجَمِيعِ مَالِهِ وَلَمْ يَنْوِ الزَّكَاةَ، لَمْ تَسْقُطْ عَنْهُ الزَّكَاةُ

Ertinya : “Jika seorang itu membayar zakat dengan semua hartanya dan dia tidak berniat nescaya tidak gugur daripadanya kewajipan zakat.” (Kitab Raudhah At-Talibin)

Syarat Wajib Zakat Fitrah

Pertama: Islam

Tidak wajib atas orang kafir membayar zakat fitrah di sisi jumhur ulamak akan tetapi menurut pendapat yang paling sahih di sisi mazhab Syafie wajib orang kafir membayarnya bagi hambanya dan kerabatnya yang Islam.

Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah :

أَوَّلاً: الإْسْلاَمُ : وَهَذَا عِنْدَ جُمْهُورِ الْفُقَهَاءِ. وَرُوِيَ عَنِ الشَّافِعِيَّةِ فِي الأْصَحِّ عِنْدَهُمْ أَنَّهُ يَجِبُ عَلَى الْكَافِرِ أَنْ يُؤَدِّيَهَا عَنْ أَقَارِبِهِ الْمُسْلِمِينَ

Ertinya : “Pertamanya ialah islam. Dan syarat Islam ini ialah di sisi jumhur fuqahak. Dan telah diriwayatkan daripada ulamak mazhab Syafie pada pendapat yang paling sahih di sisi mereka wajib atas yang kafir tunaikan zakat fitrah dari kaum kerabatnya yang Islam.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Berkata Imam Nawawi :

وَلَا فِطْرَةَ عَلَى كَافِرٍ إلَّا فِي عَبْدِهِ وَقَرِيبِهِ الْمُسْلِمِ فِي الْأَصَحِّ

Ertinya : “Tiada wajib zakat fitrah atas orang kafir melainkan pada hambanya dan kerabatnya yang Islam menurut pendapat yang paling sahih.” (Kitab Minhaj At-Talibin)

Kedua: Hidup Pada Ramadhan Dan Syawal

Ertinya orang itu hidup ketika bulan Ramadhan dan bulan Syawal oleh itu siapa yang sempat hidup hingga masuknya bulan Syawal walaupun sekejap maka wajib atasnya membayar zakat fitrah. Maka jika seorang itu mati sebelum masuk waktu maghrib pada malam hari raya nescaya tidak wajib atasnya zakat fitrah kerana dia tidak sempat dengan hari raya yakni warisnya tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah mayat tersebut kerana dia telah mati sebelum masuknya bulan Syawal.

Dan orang yang mati selepas masuknya bulan Syawal walau pun sekejap maka wajib atas warisnya membayarkan zakat fitrah bagi dirinya kerana mayat tersebut mendapat akan bulan Ramadhan dan bulan Syawal walau pun sekejap.

Telah menyebut oleh Imam Ibnu An-Naqib :

سببُ الوجوبِ إدراكُ غروبِ الشمسِ ليلةَ الفطرِ، فلوْ ولِدَ لهُ ولدٌ، أوْ تزوجَ، أو اشترى قبلَ الغروبِ وماتَ عقبَ الغروبِ لزمتْهُ فطرتهمْ، وإنْ وُجِدوا بعدَ الغروبِ لم تجب فطرتهم

Ertinya : “Sebab wajib zakat fitrah ialah sempat mendapat maghrib malam hari raya. Maka jikalau dilahirkan baginya seorang anak atau berkahwin atau membeli hamba sebelum maghrib dan mati ia selepas maghrib nescaya wajib dia membayar fitrah mereka itu. Dan jika didapatkan sekeliannya itu selepas maghrib nescaya tidak wajib zakat atas mereka itu.” (Kitab Umdah As-Salik)

Maksudnya anak yang dilahirkan sebelum masuk waktu maghrib diwajibkan membayar zakat fitrahnya oleh bapanya kerana anak itu telah sempat dengan bulan Ramadhan dan mendapat pula akan bulan Syawal.

Begitu juga wajib atas suami membayar zakat fitrah isterinya jika dia berkahwin sebelum maghrib pada malam hari raya. Dan jika suami tersebut berkahwin dengan isterinya selepas maghrib malam hari raya nescaya suami itu tidak wajib membayar zakat fitrah isterinya.

Dan begitu juga wajib atas penghulu bayar zakat hamba yang telah dibelinya sebelum maghrib.

Maka kerana itulah tidak wajib zakat fitrah atas anak yang lahir selepas maghrib kerana anak tersebut hanya sempat dengan bulan Syawal tetapi tidak sempat mendapat bulan Ramadhan dan begitu juga tidak wajib atas suami zakatkan isteri yang dikahwini selepas maghrib dan hamba yang dibeli selepas maghrib.

Ketiga: Cukup Belanja

Yakni orang mempunyai harta yang lebih dari yang cukup untuk belanja diri dan orang yang dibawah tanggungan nafaqahnya.

Berkata Imam Nawawi :

فَمَنْ لَمْ يَفْضُلْ عَنْ قُوتِهِ وَقُوتِ مَنْ فِي نَفَقَتِهِ لَيْلَةَ الْعِيدِ وَيَوْمَهُ شَيْءٌ فَمُعْسِرٌ

Ertinya : “Barangsiapa tidak mempunyai kelebihan makanan bagi dirinya dan mereka yang dibawah nafaqahnya pada malam hari raya dan siang hari raya maka dia dikira tidak mampu (yakni tidak wajib bayar zakat fitrah).”(Kitab Minhaj At-Talibin)

Menyebut oleh Dr Wahbah Az-Zuhaili :

وتجب عند الجمهور خلافاً للحنفية على كل من ملك قوته وقوت من تلزمه نفقته ليلة العيد ويومه، فمن ملك فاضلاً عما يحتاجه لنفسه ولمن تلزمه مؤنته من مسكن وخادم يحتاج إليه ودابة وثياب ونحوها من الحاجات الأصلية، وجبت عليه الفطرة

Ertinya : “Dan wajiblah di sisi jumhur ulamak selain ulamak mazhab Hanafi atas setiap orang yang memiliki belanja dirinya dan belanja orang yang wajib dia nafaqahkan pada malam hari raya dan siangnya. Maka siapa yang mempunyai kelebihan dari harta yang dia perlukan bagi dirinya dan orang yang wajib dia nafaqahkan itu daripada tempat tinggal dan pekerja yang berhajat kepadanya dan kenderaannya dan pakaian dan umpamanya dari segala keperluan yang asal nescaya wajib atasnya bayar zakat fitrah.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Maksudnya ketika malam hari raya apabila ada bagi seseorang itu harta yang lebih dari keperluannya yang mesti ada dan keperluan orang yang di bawah tanggungannya untuk dibelanjakan pada malam hari raya dan siang hari raya maka wajiblah atasnya zakat fitrah.

Contohnya seseorang itu memerlukan wang RM100 untuk belanja dirinya dan isterinya dan anaknya pada malam hari raya dan siangnya dan dia ada lebih dari wang RM100 ketika itu maka wajib atasnya membayar zakat fitrah.

Jika dia hanya memiliki wang RM100 misalnya pada ketika itu maka tidak wajib atasnya bayar zakat fitrah kerana wang RM100 itu untuk dia hendak gunakan bagi belanja dirinya dan anak isterinya pada malam raya dan siang hari raya.

Dan termasuk belanja keperluan diri itu ialah tempat tinggalnya maka jika pada malam hari raya dia mempunyai lebih dari RM100 misalnya tetapi yang lebih itu diperlukan bagi membayar sewa rumahnya maka tidak wajib atasnya membayar zakat fitrah.

Dan jika pada malam hari raya itu seorang itu hanya mempunyai kelebihan harta untuk membeli segantang sahaja beras untuk fitrah dirinya sahaja atau separuh gantang sahaja daripada fitrah nescaya wajib dia belikan dan bayar zakat fitrah menurut pendapat yang paling sahih sekalipun tidak cukup untuk membayar fitrah anak isterinya.

Berkata Imam Nawawi :

وَالْأَصَحُّ أَنَّ مَنْ أَيْسَرَ بِبَعْضِ صَاعٍ يَلْزَمُهُ

Ertinya : “Dan pendapat yang paling sahih bahawasanya barangsiapa yang mampu mendapatkan setengah gantang maka wajib atsnya membayarnya.” (Kitab Minhaj At-Talibin)

Maksudnya jika dia hanya cukup untuk bayar separuh dari zakat yang diwajibkan maka wajib dia bayar separuh yang ada itu.

Dan begitu juga tidak wajib atasnya zakat fitrah jika dia mempunyai harta tetapi diperlukan buat membayar hutang yang telah sampai masa bayarnya.

Berkata Syeikh Khatib As-Syarbini :

وَالْأَصَحُّ أَنَّ مَنْ أَيْسَرَ بِبَعْضِ صَاعٍ يَلْزَمُهُ

Ertinya : “Bermula pendapat yang paling sahih barangsiapa yang mampu dengan setengah gantang sahaja dari fitrah nescaya wajib atasnya (membayar fitrah).” (Kitab Mughni Al-Muhtaj)

Dan tiada wajib atas suami bayar zakat fitrah isterinya yang derhaka bahkan wajib isteri tersebut membayarnya jika dia mempunyai harta.

Telah menyebut oleh Syeikh Zainuddin Al-Malibari :

ولا تجب عن زوجة ناشزة لسقوط نفقتها عنه بل تجب عليها إن كانت غنية

Ertinya : “Dan tidak wajib zakat fitrah dari isterinya yang derhaka kerana gugur nafaqahnya daripada suami bahkan isteri itu wajib keluarkan zakat fitrah dirinya jika ada ia mempunyai harta.” (Kitab Fathul Mu’in)

Dan jika suami miskin manakala isterinya kaya maka sunat atas isterinya bayarkan zakat fitrah suaminya itu tetapi tiada wajib.

Berkata Imam Al-Imrani As-Syafie :

وإن كانت له زوجة موسرة، وهو معسر فقد قال الشافعي رَحِمَهُ اللَّهُ: (أحببت لها أن تخرجها، ولا يتبين لي أن يجب عليها)

Ertinya : “Dan jika adalah isterinya kaya dan suami pula miskin maka sungguh telah berkata oleh Imam Syafie r.a. : Aku sunatkan bagi isteri yang kaya itu keluarkan zakat fitrah suaminya dan isteri keluarkan zakat fitrah suaminya itu tiada wajib.” (Kitab Al-Bayan)

Dan isteri yang kaya wajib keluarkan zakat hartanya dan harus isteri itu berikan zakat hartanya itu kepada suaminya yang miskin.

Telah menyebut oleh Dr Mustafa Al-Bugha :

يسن للزوجة إذا كانت غنية، ووجبت في مالها الزكاة، أن تعطي زكاة مالها لزوجها إن كان فقيراً

Ertinya : “Disunatkan bagi isteri apabila adalah dia seorang kaya (bayar zakat suaminya) dan wajiblah atasnya bayar zakat hartanya dan harus isteri beri zakat hartanya kepada suaminya jika suaminya itu miskin.” (Kitab Al-FiqhAl-Manhaji)

Waktu Wajib Membayar Zakat Fitrah

Waktu wajib membayar zakat fitrah ialah apabila masuk waktu maghrib malam hari raya fitri dan berkekalan waktu wajibnya itu hingga saat didirikan solat hari raya pada siangnya.

Telah diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. berkata :

أمرَنا رسولُ اللهِ صلَّى الله عليه وسلَّم بزكاةِ الفِطرِ أن تؤدَّى قبل خُروجِ النَّاسِ إلى الصَّلاةِ

Ertinya : “Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah menyuruh akan kami membayar zakat fitrah sebelum orang-orang keluar untuk solat hari raya.” (Riwayat Jamaah kecuali Ibnu Majah)

Perintah Rasulullah sollallahu alaihi wasallam dalam hadith ini menyuruh bayar zakat fitrah ketika orang hendak pergi solat hari raya adalah perintah sunat dan ia menjadi dalil atas bahawasanya masa yang afdhal bayar zakat fitrah itu ialah pada waktu pagi sebelum solat hari raya.

Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili :

اتفق الفقهاء على أنه يستحب إخراج صدقة الفطر يوم الفطر بعد الفجر قبل الصلاة

Ertinya : “Telah sepakat para fuqahak atas bahawasanya disunatkan bayar zakat fitrah pada hari raya selepas fajar dan sebelum solat hari raya.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Berkata Imam Nawawi :

وقال في الجديد تجب بغروب الشمس من ليلة الفطر لما روى ابن عمر رضي الله عنهما أن النبي صلى الله عليه وسلم فرض صدقة الفطر من رمضان والفطر من رمضان لا يكون إلا بعد غروب الشمس من ليلة العيد

Ertinya : “Dan telah berkata Imam Syafie pada qaul jadid wajib zakat fitrah itu dengan sebab tenggelamnya matahari pada malam hari raya kerana riwayat Ibnu Umar r.a. bahawasanya Nabi sollallahu alaihi wasallam mewajibkan zakat fitrah ini daripada Ramadhan dan berbuka (berhari raya) ini tiada adalah ia melainkan selepas tenggelam matahari pada malam hari raya.” (Kitab Al-Majmu’)

Bermula maksud tenggelamnya matahari pada malam hari raya itu ialah masuknya 1 haribulan Syawal yaitu pada waktu maghrib kerana sebelum maghrib tersebut ialah akhir bulan Ramadhan.

Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyyah :

وَذَهَبَ الشَّافِعِيَّةُ فِي الأْظْهَرِ وَالْحَنَابِلَةُ، إِلَى أَنَّ الْوُجُوبَ هُوَ بِغُرُوبِ شَمْسِ آخِرِ يَوْمٍ مِنْ رَمَضَانَ

Ertinya : “Dan telah berjalan oleh ulamak mazhab Syafie pada qaul yang azhar dan juga ulamak mazhab Hanbali kepada waktu wajib bayar fitrah itu ialah tenggelam matahari hari yang terkahir dari Ramadhan.”

Maka diketahui bahawa waktu wajib membayar zakat fitrah itu ialah pada waktu maghrib malam hari raya dan berkekalan waktu wajib itu sehingga didirikan solat hari raya dan waktu sebelum maghrib malam raya bukanlah waktu wajib tetapi ia adalah waktu harus bayar zakat fitrah.

Maka barangsiapa yang membayar zakat fitrah antara maghrib malam raya sehingga didirikan solat idil fitri maka dia telah membayar fitrah pada waktu wajib dan siapa yang membayar sebelum waktu maghrib malam raya maka dia telah membayar zakat fitrah pada waktu yang harus.

Akan tetapi jika ketika seorang itu tidak ada harta pada waktu wajib membayar zakat fitrah kemudian dia menjadi orang berharta selepas itu maka tidak dikenakan fitrah atasnya disisi jumhur ulamak.

Dan sunat dibayar sebelum solat hari raya maka jika sengaja dilambatkan sampai selesai solat hari raya tanpa uzur lagi sengaja maka adalah makruh hukumnya.

Berkata Syeikh Khatib As-Syarbini :

(وَيُسَنُّ أَنْ لَا تُؤَخَّرَ عَنْ صَلَاتِهِ) أَيْ الْعِيدِ لِلْأَمْرِ بِهِ قَبْلَ الْخُرُوجِ إلَيْهَا فِي الصَّحِيحَيْنِ، وَالتَّعْبِيرُ بِالصَّلَاةِ جَرَى عَلَى الْغَالِبِ مِنْ فِعْلِهَا أَوَّلَ النَّهَارِ، فَإِنْ أُخِّرَتْ اُسْتُحِبَّ الْأَدَاءُ أَوَّلَ النَّهَارِ لِلتَّوْسِعَةِ عَلَى الْمُسْتَحِقِّينَ

Ertinya : “Dan disunatkan bahawa jangan dilambatkan bayar zakat fitrah daripada solat hari raya kerana perintah dengan membayarnya sebelum keluar kepada solat pada dua kitab sahih. Dan perkiraan dengan solat hari raya itu berlaku atas kebiasaan dari menunaikannya di awal hari. Maka jika dilambatkan solat nescaya disunatkan bayar fitrah itu pada awal hari supaya luas waktu atas sekelian orang yang berhak menerimanya.” (Kitab Mughni Al-Muhtaj)

Dan haram hukumnya sengaja membayar zakat fitrah selepas masuk waktu maghrib pada hari raya yakni apabila telah masuk 2 hari bulan Syawal.

Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyyah :

وَذَهَبَ الشَّافِعِيَّةُ إِلَى أَنَّهُ يُسَنُّ إِخْرَاجُهَا قَبْل صَلاَةِ الْعِيدِ وَيُكْرَهُ تَأْخِيرُهَا عَنِ الصَّلاَةِ، وَمُحَرَّمٌ تَأْخِيرُهَا عَنْ يَوْمِ الْعِيدِ بِلاَ عُذْرٍ؛ لِفَوَاتِ الْمَعْنَى الْمَقْصُودِ

Ertinya : “Telah berjalan oleh ulamak mazhab Syafie kepada bahawasanya disunatkan mengeluarkan fitrah sebelum solat hari raya dan dimakruhkan melambatkan bayar fitrah selepas dari solat. Dan diharamkan melambatkan fitrah dari hari raya (yakni 1 Syawal) tanpa uzur kerana telah luput makna yang dimaksudkan.”

Maksudnya walaupun waktu wajib itu bermula dari maghrib malam hari raya sehingga dikerjakan solat hari raya adalah yang afdhal membayarnya sebelum solat hari raya dikerjakan.

Dan sengaja membayar zakat fitrah selepas selesai solat hari raya hukumnya adalah makruh manakala sengaja membayarnya selepas tenggelam matahari hari raya hukumnya adalah haram.

Ada pun membayar awal akan zakat fitrah hukumnya adalah harus yaitu bayar pada awal bulan Ramadhan.

Dan setengah ulamak menggalakkan bayar awal supaya lebih luas waktu untuk membahagikan zakat kepada sekelian penerimanya.

Dan tidak harus membayar zakat fitrah sebelum masuk bulan Ramadhan.

Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili :

قال الشافعية: المستحب ألا تؤخر عن صلاة العيد، للأمر بها قبل الخروج إليها في الصحيحين، فإن أخرت استحب الأداء أول النهار للتوسعة على المستحقين، ويحرم تأخيرها عن يوم العيد بلا عذر، كغيبة ماله أو المستحقين، لفوات المعنى المقصود، وهو إغناؤهم عن الطلب في يوم السرور، فلو أخر بلا عذر، عصى وقضى، لخروج الوقت على الفور، لتأخيره من غير عذر

Ertinya : “Berkata ulamak-ulamak mazhab Syafie : Yang disunatkan ialah bahawa jangan dilambatkan bayar fitrahnya dari solat hari raya kerana perintah dengan bayarnya ialah sebelum keluar kepada solat hari raya pada hadith Bukhari dan Muslim kerana luput menunaikan dari awal hari bagi memberi keluasan atas segala orang-orang yang berhak. Dan haram melambatkan bayar fitrah dari hari raya (1 Syawal) tanpa uzur (dan misal uzur itu) seperti hilang hartanya atau tiada orang yang berhak dengannya kerana luput makna yang dimaksudkan yaitu bermula maksud fitrah itu ialah mengkayakan orang-orang miskin dari meminta-minta pada hari bergembira (hari raya). Maka jika seorang itu melambatkan tanpa uzur nescaya dia telah derhaka dan wajib dia qadha segera kerana telah keluar waktu sebab melambatkannya itu dengan tiada sebarang uzur.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Maksudnya jika dia melambatkan bayar fitrah sampai masuk 2 haribulan Syawal sebab ada uzur seperti hartanya hilang atau orang berhak menerima belum wujud maka tidaklah haram.

Berkata Syeikh Khatib As-Syarbini :

وَيَحْرُمُ تَأْخِيرُهَا عَنْ يَوْمِهِ أَيْ الْعِيدِ بِلَا عُذْرٍ كَغَيْبَةِ مَالِهِ أَوْ الْمُسْتَحِقِّينَ

Ertinya : “Dan haram melambatkan bayar zakat fitrah dari hari raya tanpa uzur seperti hilang hartanya atau belum muncul sekelian orang yang menerima zakat.” (Kitab Mughni Al-Muhtaj)

Maksudnya jika harta seorang itu hilang dan dijumpai semula selepas maghrib hari raya maka tidaklah haram dan begitu juga jika sekelian orang yang menerima zakat hanya datang selepas maghrib hari raya.

Zakat Fitrah Dengan Wang

Bermula pendapat jumhur ulamak hendaklah dibayar zakat fitrah itu dengan makanan yaitu beras tiada boleh membayar dengan harganya.

Menyebut oleh Dr Wahbah Az-Zuhaili :

ذَهَبَ الْمَالِكِيَّةُ وَالشَّافِعِيَّةُ وَالْحَنَابِلَةُ إِلَى أَنَّهُ لاَ يَجُوزُ دَفْعُ الْقِيمَةِ، لأِنَّهُ لَمْ يَرِدْ نَصٌّ بِذَلِكَ، وَلأِنَّ الْقِيمَةَ فِي حُقُوقِ النَّاسِ لاَ تَجُوزُ إِلاَّ عَنْ تَرَاضٍ مِنْهُمْ، وَلَيْسَ لِصَدَقَةِ الْفِطْرِ مَالِكٌ مُعَيَّنٌ حَتَّى يَجُوزَ رِضَاهُ أَوْ إبْرَاؤُهُ. وَذَهَبَ الْحَنَفِيَّةُ إِلَى أَنَّهُ يَجُوزُ دَفْعُ الْقِيمَةِ فِي صَدَقَةِ الْفِطْرِ، بَل هُوَ أَوْلَى لِيَتَيَسَّرَ لِلْفَقِيرِ أَنْ يَشْتَرِيَ أَيَّ شَيْءٍ يُرِيدُهُ فِي يَوْمِ الْعِيدِ.

Ertinya : “Telah berjalan oleh ulamak mazhab Maliki dan Syafie dan Hanbali kepada tidak harus bayar nilai harga zakat yakni bayar dengan wang kerana tidak ada nas yang datang dengan yang demikian itu dan kerana sungguhnya harga itu pada segala hak manusia tidak harus melainkan dengan redha daripada mereka itu. Dan tiadalah bagi zakat fitrah itu pemilik yang tertentu sehingga harus oleh redhanya. Dan telah berjalan oleh ulamak mazhab Hanafi kepada harus bayar harganya pada zakat fitrah bahkan ialah yang utama kerana memudahkan bagi orang faqir untuk membeli apa sahaja yang dia suka pada hari raya.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Dan setengah dari dalil mazhab Hanafi haruskan membayar zakat fitrah dengan wang ganti daripada beras dari kerana bahawasanya yang wajib pada hakikatnya ialah melepaskan orang miskin dari kesempitan kerana telah diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. berkata :

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ , وَقَالَ: أَغْنُوهُمْ فِي هَذَا الْيَوْمِ

Ertinya : “Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah mewajibkan akan zakat fitrah dan bersabda : Hendaklah kamu sekelian kayakan segala orang miskin itu pada hari raya ini.” (Hadith riwayat Ad-Daruqutni)

Maka setengah fuqahak mengharuskan ditaklid pendapat mazhab Hanafi ini istimewa pula jika ianya diperintahkan oleh pemerintah umat Islam.

Dan di sisi jumhur ulamak tidak memadai mengeluarkan zakat fitrah dengan wang harga makanan.

Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili :

لا يجزئ عند الجمهور إخراج القيمة عن هذه الأصناف، فمن أعطى القيمة لم تجزئه، لقول ابن عمر: فرض رسول الله صلّى الله عليه وسلم صدقة الفطر صاعاً من تمر، وصاعاً من شعير فإذا عدل عن ذلك فقد ترك المفروض

Ertinya : “Tidak memadai di sisi jumhur ulamak mengeluarkan harga daripada ini sekelian asnaf. Maka barangsiapa yang memberikan akan harganya nescaya tidak memadainya kerana perkataan Ibnu Umar r.a. : Rasulullah sollallahu alahi wasallam telah mewajibkan akan zakat fitrah sebanyak segantang daripada kurma dan segantang daripada gandum. Maka jika dipalingkan dari yang demikian itu maka sungguhnya dia telah meninggalkan yang difardukan.”

Maka yang afdhal ialah membayar dengan beras kerana mengikut pandangan jumhur ulamak dan keluar dari khilaf yang mengatakan tidak memadai zakat fitrah dengan wang.

Adalah kadar segantang (timbangan Baghdad) beras mengikut timbangan sekarang ialah antara 2.50kg hingga 2.70kg.

Jika seorang membayar dengan timbangan 3.0 kg maka jadilah beras yang lebih padanya itu sebagai sedekah.

Beberapa Masalah Berkenaan Zakat Fitrah

Isteri Bayar Fitrah Suami

Jika seorang isteri itu mempunyai harta manakala suaminya tidak mempunyai harta maka harus isterinya mengeluarkan zakat fitrah bagi suaminya.

Berkata Imam Al-Imrani Al-Husaini As-Syafie :

وإن كانت له زوجة موسرة، وهو معسر فقد قال الشافعي: أحببت لها أن تخرجها، ولا يتبين لي أن يجب عليها

Ertinya : “Dan jika adalah isterinya berharta dan suaminya miskin maka sungguh telah berkata oleh Imam Syafie : Aku suka bahawa isterinya itu mengeluarkan zakat fitrah suaminya dan tidak jelas bagiku bahawa fitrah suaminya itu wajib atas isteri.” (Kitab Al-Bayan)

Maksudnya suami yang tidak mempunyai harta pada waktu wajib fitrah yaitu pada malam hari raya maka tidak wajib atas suami tersebut mengeluarkan zakat fitrah bagi dirinya dan isterinya tetapi elok jika isterinya keluarkan fitrah suaminya yang miskin itu.

Dan isteri itu wajib mengeluarkan zakat bagi dirinya dan sunat isteri itu keluarkan fitrah suaminya tetapi tidaklah wajib.

Keturunan Nabi Saw Tidak Menerima Zakat

Keturunan Rasulullah sollallahu alaihi wasallam daripada Bani Hashim dan Bani Abdul Muttalib tidak harus menerima sumbangan harta zakat.

Telah menyebut oleh Syeikh Khatib As-Syarbini :

بَنو هَاشم وَبَنُو عبد الْمطلب فَلَا تحل لَهما لقَوْله صلى الله عَلَيْهِ وَسلم إِن هَذِه الصَّدقَات إِنَّمَا هِيَ أوساخ النَّاس وَإِنَّهَا لَا تحل لمُحَمد وَلَا لآل مُحَمَّد رَوَاهُ مُسلم

Ertinya : “Bermula keturunan Bani Hashim dan Bani Abdul Muttalib itu tidak halal zakat bagi keduanya kerana sabda Nabi sollallahu alaihi wasallam : Bahawasanya sedekah-sedekah ini hanyalah lebihan harta manusia dan sungguhnya ia tiada halal bagi Muhammad dan tidak halal bagi keluarga Muhammad : Hadith riwayat Muslim.” (Kitab Al-Iqna’ ala Abi Syuja’)

Dan sebahagian ulamak berkata boleh diberikan kepada keturunan Nabi sollallahu alaihi wasalam akan harta zakat apabila tidak diberikan kepada mereka satu perlima dari harta ghanimah sebagimana yang telah ditetapkan di sisi syarak.

Berkata Dr Mustafa Al-Bugha :

والذي نراه في هذه الأيام أن يعطى هؤلاء من الزكاة إن كانوا من أصناف المستحقين، وذلك أن في عدم إعطائهم تضييعاً لهم، طالماً أنهم لا يعطون ما جعله شرع الله تعالى: لهم من خمس الغنيمة مقابل منعهم من الزكاة.

Ertinya : “Dan yang kami nampak pada sekelian hari ini bahawa diberikan mereka itu yakni keturunan Nabi sollallahu alaihi wasallam daripada harta zakat jika adalah mereka itu termasuk asnaf yang berhak. Dan yang demikian itu bahawa dengan sebab tidak diberikan kepada mereka itu jadi menyempitkan bagi mereka itu selagi mereka tidak diberikan apa yang telah dijadikan oleh syariat Allah Taala bagi mereka itu satu perlima daripada ghanimah sebagai timbal balas tidak diberikan mereka itu daripada harta zakat.” (Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji)

Zakat Fitrah Anak Tidak Saf Taraf

Kewajipan fitrah anak yang tidak sah taraf ialah ke atas ibunya.

Berkata Syeikh Abu Bakar Ad-Dimyathi :

وفطرة ولد الزنا على أمة أي لأنها يلزمها نفقته

Ertinya : “Dan zakat fitrah anak zina itu ialah atas ibunya dari kerana sungguhnya ibu yang wajib memberi nafaqahnya.” (Kitab I’anah At-Talibin)

Bayar Zakat Fitrah Sehari Dua Sebelum Hari Raya

Setengah fuqahak berkata afdhal membayar fitrah awal sehari atau dua hari kerana memudahkan urusan mengumpulkanya dan urusan mengedarkannya kepada penerima zakat.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a. :

وَكَانُوا يُعْطُونَ قَبْلَ الفِطْرِ بِيَوْمٍ أَوْ يَوْمَيْنِ

Ertinya : “Adalah orang-orang pada zaman sahabat r.a. mengeluarkan zakat fitrah sehari atau dua hari sebelum tiba hari raya.” (Riwayat Imam Bukhari)

Jika Tidak Cukup Harta Untuk Semua Siapa Didulukan?

Kalau seseorang itu hanya mempunyai harta yang cukup untuk fitrah seorang sahaja maka hendaklah didulukan dirinya dan jika dia mempunyai harta yang hanya cukup untuk dua orang maka hendaklah didulukan akan dirinya kemudian isterinya.

Telah menyebut oleh Dr Wahbah Az-Zuhaili :

ويقدم عند الشافعية نفسه ثم زوجته، ثم ولده الصغير، ثم الأب، ثم الأم، ثم الولد الكبير، لخبر مسلم: ابدأ بنفسك فتصدق عليها، فإن فضل شيء فلأهلك، فإن فضل عن أهلك شيء فلذي قرابتك

Ertinya : “Dan didulukan disisi ulamak mazhab Syafie akan fitrah dirinya kemudian isterinya kemudian anaknya yang kecil kemudian bapa kemudian ibu kemudian anak yang besar kerana hadith Muslim yaitu sabda Nabi sollallahu alaihi wasallam : Mulakan akan dirimu maka sedekahlah atasnya maka jika ada lebih suatu maka bagi isteri dan anakmu maka jika ada lebih suatu dari isteri dan anakmu maka bagi kaum kerabatmu.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Beri Zakat Fitrah Kepada Kafir Zhimmi

Tidak harus memberikan zakat fitrah kepada orang kafir sekalipun kafir zhimmi di sisi jumhur ulamak kerana ia tidak termasuk dalam asnaf zakat yang layak menerima pemberian zakat.

Telah menyebut oleh Dr Wahbah Az-Zuhaili :

ولا يجوز دفعها إلى من لا يجوز دفع زكاة المال إليه، ولا يجوز عند الجمهور (المالكية والشافعية والحنابلة) دفعها إلى ذمي؛ لأنها زكاة، فلم يجز دفعها إلى غير المسلمين، كزكاة المال، ولا خلاف في أن زكاة المال لا يجوز دفعها إلى غير المسلمين

Ertinya : “Dan tiada harus memberikan fitrah akan orang yang tidak harus diberikan kepadanya zakat harta dan tidak harus pula di sisi jumhur ulamak yaitu mazhab Maliki dan Syafie dan Hanbali berikan fitrah kepada kafir zhimmi kerana fitrah adalah termasuk zakat. Maka tidak harus berinya kepada selain orang-orang Islam sepertimana zakat harta. Dan tiada khilaf pada bahawa sungguhnya zakat harta itu tidak harus berinya kepada selain orang Islam.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Zakat Fitrah Isteri Yang Dalam Iddah

Wajib atas suami mengeluarkan fitrah isterinya yang di dalam iddah raj’ie yakni isteri yang masih boleh dirujuknya kembali jika masih di dalam iddah.

Berkata Syeikh Abdul Rahman Al-Jaziri :

ويجب أن يخرجها عنه وعمن تلزمه نفقته وقت وجوبها، وهم أربعة أصناف: الأول: الزوجة غير الناشز ولو موسرة أو مطلقة رجعياً أو بائناً حاملاً إذا لم تكن لها نفقة مقدرة وإلا فلا تجب

Ertinya : “Dan wajib bahawa mengeluarkan fitrah dari dirinya dan diri orang yang wajib dia nafqahkan pada waktu wajib fitrah dan mereka itu ada empat golongan. Pertamanya ialah isteri yang tidak nusyuz (derhaka) sekalipun isteri yang kaya atau isteri yang ditalak dengan talak raj’ie atau talak ba’in yang sedang hamil apabila tiada bagi isteri itu nafqah yang ditakdirkan dan jika tidak yakni sudah ada nafqah yang ditakdirkan maka tidak wajib fitrahnya.” (Kitab Al-Fiqh ala Mazahib Al-Arba’ah)

Tidak Beritahu Penerima Zakat Fitrah

Tidak disyaratkan bagi orang yang hendak memberi zakatnya kepada penerima zakat mesti memberitahu bahawa harta itu adalah zakat bahkan sah dan harus pemberi zakat itu diam sahaja tanpa berkata apa-apa.

Berkata Imam Nawawi :

إذا دفع المالك أو غيره الزكاة إلى المستحق ولم يقل هي زكاة ، ولا تكلم بشيء أصلا : أجزأه ، ووقع زكاة ، هذا هو المذهب الصحيح المشهور الذي قطع به الجمهور

Ertinya : “Apabila tuan harta menyerahkan zakat itu kepada penerimanya dan tidak menyebut ia adalah zakat dan tidak bercakap apa-apa sama sekali nescaya memadai dan sah ia sebagai zakat. Inilah mazhab yang sahih yang masyhur yang telah memutuskan dengannya oleh jumhur ulamak.” (Kitab Al-Majmu’)

Berkata Syeikh Ahmad Al-Badawi :

ولا يشترط إعلامه أو علمه بأنها زكاة بل قال اللقاني: يكره إعلامه لما فيه من كسر قلب الفقير

Ertinya : “Dan tidak disyaratkan memberitahunya atau mengetahui penerimanya bahawa harta itu ialah zakat bahkan telah berkata Imam Al-Laqani : Dimakruhkan memberitahunya kerana barang yang ada padanya dari meredahkan hati orang faqir.”

Menerima Zakat Dua Kali

Jika seorang itu mempunyai dua kelayakkan asnaf seperti dia seorang miskin dan dia juga muallaf maka menurut pendapat yang paling sahih hanya dapat sekali sahaja zakat samada atas nama miskin atau atas nama muallaf.

Berkata Syeikh Abu Bakar Ad-Dimyathi :

(قوله: وَلَا يُعْطَى أَحَدٌ بِوَصْفَيْنِ) أي اِجْتَمَعَا فِيْهِ، وَاسْتَحَقَّ بِهِمَا الزَّكَاةَ، كَفَقْرٍ وَغَرِمٍ، أَوْ غَزْوٍ

Ertinya : “Dan tidaklah diberikan akan seorang penerima zakat dengan dua sifat yang ada kedua sifat itu pada dirinya yang berhak dia dengan keduanya itu seperti faqir dan berhutang atau berperang.” (Kitab I’anah At-Talibin)

Berkata Syeikh Al-Qalyubi :

وَمَنْ فِيهِ صِفَتَا اسْتِحْقَاق كَفَقِيرٍ غَارِمٍ يُعْطَى بِإِحْدَاهُمَا فَقَطْ فِي الْأَظْهَرِ وَالثَّانِي يُعْطَى بِهِمَا بِجَعْلِ تَعَدُّدِ الْوَصْفِ كَتَعَدُّدِ الشَّخْصِ

Ertinya : “Dan barangsiapa ada pada dirinya dua sifat penerima zakat seperti faqir dan berhutang nescaya diberikan akan salah satu daripadanya menurut qaul Azhar. Dan menurut pendapat yang kedua diberikannya dengan dua zakat kerana dijadikan dua sifat itu seperti dua orang.” (Kitab Hasyiah Al-Qalyubi Wa ‘Umairah)

Berkata Imam Nawawi :

(وَأَصَحُّهَا) طَرِيْقَةُ الْقَوْلَيْنِ صَحَّحَهَا أَصْحَابُنَا وَنَقَلَهَا صَاحِبُ الشَّامِلِ عَنْ أَكْثَرِ الْاَصْحَابِ. وَأَصَحُّ الْقَوْلَيْنِ أَنَّهُ لَا يُعْطَي اِلَّا بِسَبَبٍ وَاحِدٍ يَخْتَارُ أَيّهُمَا شَاءَ

Ertinya : “Dan pendapat yang paling sahihnya yaitu pendapat dari dua jalan yang telah mengesahkannya oleh Ashab kami dan telah memindahkannya oleh empunya kitab As-Syamil dari kebanyakkan Ashab dan yang lebih sahih dari dua pendapat ialah penerima itu tidak diberikan melainkan dari satu sebab sahaja dan dia boleh memilih mana satu yang dia mahu.” (Kitab Al-Majmu’)

Kesimpulannya ada dua pendapat dalam masalah ini yaitu pendapat yang pertama orang yang bersifat dengan miskin dan muallaf itu hanya mendapat satu bahagian sahaja zakat dari salah satu sifat tersebut.

Dan pendapat yang kedua orang tersebut mendapat dua kali pemberian zakat yaitu sekali atas nama miskin dan sekali atas nama muallaf.

Serah Zakat Fitrah Tanpa Ijab Qabul

Sah hukumnya seorang yang menyerahkan zakatnya kepada amil yang mengutip zakat atau kepada penerima zakat tanpa dia ucapkan ijab dan tanpa ucapan qabul dari penerima dengan syarat orang yang membayar zakat itu sudah berniat.

Tersebut pada Kitab Torhu At-Tatsrib :

لَا يُشْتَرَطُ فِي كُلٍّ مِنْ الْهَدِيَّةِ وَالصَّدَقَةِ الْإِيجَابُ وَالْقَبُولُ بِاللَّفْظِ بَلْ يَكْفِي الْقَبْضُ وَتُمْلَكُ بِهِ

Ertinya : “Tidak disyaratkan pada setiap dari hadiah dan sedekah itu akan ijab dan qabul dengan berlafaz bahkan sudah memadai dengan berlaku penerimaan dan pertukaran milik.”

Berkata Syeikh Ibnu Hajar :

يَجُوزُ دَفْعُهَا لِمَنْ لَمْ يَعْلَمْ أَنَّهَا زَكَاةٌ؛ لِأَنَّ الْعِبْرَةَ بِنِيَّةِ الْمَالِكِ

Ertinya : “Harus memberikannya (zakat) kepada penerima yang tidak tahu bahawa harta itu adalah zakat kerana yang diperkirakan ialah dengan niat pembayar zakat itu.” (Kitab Tuhfah Al-Muhtaj)

Maka jika diam oleh yang memberi zakat dan diam pula yang menerimanya nescaya pembayaran zakat tersebut adalah sah dengan syarat pembayarnya sudah berniat mengeluarkan zakat.

Doa Ketika Bayar Fitrah

Disunatkan ketika membayar zakat fitrah itu membaca doa-doa yang baik mudah-mudahan dimakbulkan oleh Allah yaitu dengan sebarang doa yang mempunyai maksud yang baik.

Antara doa yang sangat elok dibaca oleh pembayar zakat ketika membayarnya ialah :

اللَّهُمَّ اجْعَلْهَا مَغْنَمًا وَلاَ تَجْعَلْهَا مَغْرَمًا

Ertinya : “Ya Allah jadikanlah harta ini sebagai simpanan (di negeri akhirat) dan jangan Engkau jadikannya sebagai hutang.”

Ini adalah berdasarkan sebuah hadith yang telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Nabi Sollallahu alaihi wasallam bersabda :

إِذَا أَعْطَيْتُمُ الزَّكَاةَ فَلاَ تَنْسَوْا ثَوَابَهَا أَنْ تَقُولُوا اللَّهُمَّ اجْعَلْهَا مَغْنَمًا وَلاَ تَجْعَلْهَا مَغْرَمًا

Ertinya : “Apabila kamu sekelian menyerahkan harta zakat maka jangan kamu sekelian melupakan akan pahalanya yaitu bahawa kamu sekelian ucapkan : اللَّهُمَّ اجْعَلْهَا مَغْنَمًا وَلاَ تَجْعَلْهَا مَغْرَمًا .” (Hadith riwayat Ibnu Majah)

Dan disunatkan pula ke atas orang yang menerima pemberian zakat itu dia ucapkan :

آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْتَ، وَبَارَكَ لَكَ فِيمَا أبْقَيْتَ، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Ertinya : “Semoga Allah membalas pahala pada harta yang telah kamu berikan dan semoga Allah memberkati atas kamu pada baki harta kamu dan menjadikan harta kamu itu bersih suci.”

Beri Zakat Pada Orang Tidak Solat

Tidak harus memberikan zakat kepada orang yang tidak solat tetapi hendaklah diberikan kepada warisnya jika dia masih seorang Islam.

Jika dia sudah murtad seperti dia beriktikad bahawa solat lima waktu itu tidak wajib atasnya maka haram dan tidak sah diberikan zakat kepadanya atau kepada warisnya.

Berkata Imam Nawawi :

هل يجوز دفع الزكاة الى مسلم بالغ لايصلى ويعتمد ان الصلاة واجبة عليه ويتركها كسلا؟

الجواب : ان كان بالغا تاركاً للصلاة واستمرّ علي ذلك الى حين دفع الزكاة لم يجز دفعها اليه لأنه محجور عليه بالسفه فلا يصح قبضه ولكن يجوز دفعها الى وليه

Ertinya : “Adakah harus memberikan zakat kepada orang Islam yang tidak solat dan dia berpegang bahawa solat itu wajib atasnya dan meninggalkannya hanya sebab malas?

Jawabnya jika adalah dia meninggalkan solat sejak baligh dan berkekalan atas demikian itu sampai pada waktu diberikan zakat nescaya tidak harus berikan zakat itu kepadanya kerana sungguhnya dia dikira sebagai mahjur alaih dengan sebab bodoh maka tidak sah penerimaannya akan tetapi hendaklah diberikan zakatnya kepada walinya.” (Kitab Fatawa An-Nawawi)

Maksudnya orang yang tidak solat itu jika dia masih berpegang bahawa solat lima waktu itu wajib atasnya maka dia masih seorang Islam dan hendaklah diberikan zakat kepada warisnya.

Adapun orang yang tidak solat dan menganggap solat itu tidak wajib maka dia telah keluar dari agama Islam menjadi kafir maka tidak sah diberikan zakat sekalipun melalui warisnya.

Dan berkata Syeikh Ibnu Hajar :

لا يقبضها له إلا وليه أي : كصبي ومجنون فلا يعطى له

Ertinya : “Tiada harus memberi zakat baginya melainkan diberikan kepada warisnya. Masalahnya sama seperti kanak-kanak dan orang gila maka tidak diberikan kepada mereka.” (Kitab Tuhfah Al-Muhtaj)

Maksudnya orang gila dan kanak-kanak layak menerima zakat jika mereka termasuk asnaf zakat akan tetapi hendaklah diberikan zakat itu kepada penjaga bagi keduanya.

Wajibkah Qadha Zakat Fitrah Selepas Jadi Kaya?

Siapa yang tidak ada harta pada waktu wajib membayar zakat fitrah yaitu pada malam hari raya maka tidak wajib atasnya membayarnya dan jika dia mampu selepas daripada itu tetap tidak wajib atasnya qadha akan fitrah tersebut.

Berkata Syeikh Ibnu Hajar :

(وَلَا) فِطْرَةَ عَلَى (مُعْسِرٍ) وَقْتَ الْوُجُوبِ إجْمَاعًا وَإِنْ أَيْسَرَ بَعْدُ

Ertinya : “Tiada (wajib) zakat fitrah atas orang yang tidak mampu pada waktu wajibnya dengan ijmak dan sekalipun dia menjadi mampu selepas itu.” (Kitab Tuhfah Al-Muhtaj)

Maksudnya orang yang tidak ada harta yang lebih dari keperluan wajib dirinya dan anak isterinya pada malam hari raya maka dia tidak wajib membayar zakat fitrah.

Dan jika selepas dari masa wajib itu seperti pada 2 haribulan Syawal dia ada kemampuan semula maka tidak wajib dia qadha fitrah tersebut kerana pada waktu wajib membayar dia tidak diwajibkan fitrah kerana tidak mampu.

Berkata Imam As-Syairazi :

فمن فضل عن قوته وقوت من تلزمه نفقته لليلة العيد ويومه صاع فهو موسر وان لم يفضل شئ فهو معسر ولا يلزمه شئ في الحال

Ertinya : “Maka siapa yang ada kelebihan belanja dari belanja dirinya dan orang yang wajib dia nafqahkannya pada malam hari raya dan siangnya nescaya wajib keluarkan fitrah segantang makanan. Dan jika tiada lebihan belanja suatu pun maka dia dikira tidak mampu dan tidak wajib atasnya suatu pun.” (Kitab Al-Muhazzab)

Zakat Fitrah Bayi Dalam Kandungan

Zakat fitrah diwajibkan ke atas orang yang sempat hidup pada Ramadhan dan Syawal.

Oleh kerana itu bayi yang lahir pada petang terakhir Ramadhan dan hidup selepas masuk bulan Syawal adalah diwajibkan ke atasnya fitrah.

Ada pun bayi yang lahir pada bulan Ramadhan tetapi mati ia sebelum datang bulan Syawal seperti mati bayi itu pada petang terakhir dari bulan Ramadhan maka tiada wajib fitrah atasnya.

Berkata Syeikh Sulaiman Al-Bujairimi :

وكذا من شك في أنه ولد قبله أو بعده ، ويؤخذ من كلامه أنه لو خرج بعض الجنين قبل الغروب وباقيه بعده فلا وجوب ؛ لأنه جنين ، ما لم يتم انفصاله

Ertinya : “Dan seperti demikian juga siapa yang ragu adakah dilahirkan selepas masuk bulan Syawal atau sebelumnya maka tidak wajib atas bayi itu fitrah. Dan diambil dari perkataannya itu jikalau keluar setengah bayi sebelum maghrib (akhir Sya’ban) dan setengah bayi lagi masih di dalam perut nescaya tidak wajib atasnya fitrah.” (Hasyiah Al-Bujairimi ala Al-Khatib)

Maka difaham daripada itu bahawa bayi yang masih berada di dalam perut ibunya tidak wajib atasnya zakat fitrah.

Wallahu a’lam
Ustaz Azhar Idrus

Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments