NIAT PUASA TASU’A 9 Muharram (Panduan Lengkap)

Puasa sunat tasua

Bagaimana niat Puasa Tasu’a?

Ini adalah panduan lengkap Niat Puasa Sunat Tasu’a yang dipermudahkan dengan bacaan transliterasi rumi.

Jika anda sedang memerlukan panduan ini, mari kita mulakan..

Puasa sunat tasua

Apakah maksud Tasu’a?

Tasu’a sebenarnya berasal daripada perkataan “tis’a” yang bermaksud sembilan. Oleh itu,puasa sunat ini dilakukan pada setiap 9 Muharram dalam kalendar hijrah Islam.

Bulan Muharram pula adalah bulan pertama dalam kalendar Islam. Hukum berpuasa pada Hari Asyura adalah sunat.

Kebanyakan orang yang berpuasa Tasu’a adalah untuk melengkapi Puasa Asyura pada keesokan harinya iaitu pada 10 Muharram.

Seterusnya disambung lagi dengan puasa sunat pada 11 Muharram.

Mengapa berpuasa selama 3 hari berturut-turut?

Sebenarnya amalan ini adalah bertujuan untuk menyelisihi golongan Yahudi yang hanya berpuasa pada 10 Muharram secara tunggal (perayaan Yom Kippur).

Berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas, Nabi SAW bersabda:

Berpuasalah kalian pada hari ‘Asyura dan berbezalah dengan golongan Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya.

— Riwayat Ahmad

Mufti Wilayah Persekutuan mengatakan, untuk menyempurnakan puasa Hari Asyura adalah lebih baik dengan berpuasa sehari sebelum dan sehari selepas 10 Muharram.

Berdasarkan hadis-hadis, perlaksanaan puasa Asyura menurut Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya, Za dal-Ma’ad, mempunyai beberapa tahap:

  1. Tahap paling utama adalah berpuasa pada hari Asyura, hari sebelum, dan hari selepasnya, iaitu pada 9, 10, dan 11 Muharam.
  2. Tahap kedua adalah melakukan puasa Tasu’a dan Asyura secara berturut-turut.
  3. Tahap ketiga adalah berpuasa pada 10 Muharam sahaja iaitu pada hari Asyura.

Puasa Tasu’a dilakukan pada hari kesembilan Muharam sebagai mengiringi puasa hari kesepuluh iaitu puasa Asyura. Sekiranya mahu berpuasa sunat pada hari Tasu’a sahaja, ia bukan sesuatu yang dituntut daripada hadis-hadis Nabi Muhammad SAW.

Kisah Disebalik Puasa Sunat Tasua

Orang Yahudi di Madinah menjelaskan kepada Rasulullah SAW, iaitu mereka berpuasa pada hari Asyura demi memperingati peristiwa Nabi Musa AS diselamatkan daripada Firaun.

Maklum balas yang diberikan oleh Rasulullah SAW ialah, “Kami (umat Islam) lebih berhak atas Musa daripada kamu semua (kaum Yahudi).” Kemudian Baginda berpuasa dan meminta (umat Islam) berpuasa.

Ya, kita lebih berhak memperingati kisah perjuangan dan pengorbanan Nabi Musa AS kerana orang Yahudi dan Nasrani sudah tidak lagi mengikut tunjuk ajar nabi-nabi mereka, malah memesongkannya.

Kita lebih berhak meraikan hari Asyura, dan pada masa yang sama, kita perlu tunjukkan perbezaan antara kita dan mereka. Seruan supaya tidak menyerupai Yahudi dan Nasrani boleh ditemui dalam sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

“Sesiapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka.”

(Riwayat Abu Daud)

Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri RA, iaitu Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Pasti kalian akan mengikuti orang-orang sebelum kalian setapak demi setapak dan sejengkal demi sejengkal, sehingga apabila mereka masuk ke dalam lubang biawak sekalipun, kalian akan mengikuti mereka.”

Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, (apakah yang dimaksudkan ialah mengikuti) jejak orang-orang Yahudi dan Nasrani?”

Baginda menjawab: “Siapa lagi sekiranya bukan mereka?”

(Riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, kita dituntut berpuasa pada hari Asyura dan sehari sebelum ataupun selepasnya.

Lafaz Niat Puasa Tasu’a

Niat Puasa Sunat Tasu’a adalah seperti berikut:

Nawaitu Souma fii Yaumi Tasu’a Sunnatan Lillaahi Ta’ala

Maksudnya:

Sahaja aku berniat puasa sunat hari Tasua esok hari kerana Allah ta’ala.

Nota

Jika anda terlupa berniat di malam hari atau sebelum subuh tidak menjadi masalah asalkan anda sempat berniat sebelum tergelincir matahari dengan syarat tidak makan dan minum atau tidak didahului dengan perkara yang boleh membatalkan puasa.

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RHUMA menceritakan:

“Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan agar (sahabat) turut berpuasa, mereka berkata, ‘Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh Yahudi dan Nasrani.’

Baginda menjawab, ‘(Kalau begitu) tahun hadapan dengan kehendak Allah, kita berpuasa pada hari kesembilan (bulan Muharam).’

Ibnu Abbas berkata, ‘Belum sempat tiba tahun hadapan, Rasulullah SAW telah wafat.’”

(Riwayat Muslim)

Berdasarkan pendapat Imam asy-Syafi’e, disunatkan berpuasa sunat Tasu’a dan Asyura secara bersama-sama (berturut-turut), kerana Nabi Muhammad SAW melakukan puasa Asyura dan berhajat (berniat) melakukan puasa Tasu’a.

Sebelum kedatangan Islam, kaum Quraisy sudah melakukan puasa Asyura, yang sesuai namanya (kesepuluh), dikerjakan pada 10 Muharam.

Dan ketika Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah, baginda menyaksikan kaum Yahudi setempat juga mengerjakan puasa pada hari tersebut.

Oleh itu, Baginda menganjurkan agar dilaksanakan puasa Tasu’a agar berbeza dari puasa kaum yahudi tersebut.

Antara hikmah puasa sunat ini adalah:

1. Puasa Yang Ingin Dilakukan Rasulullah

Puasa Tasu`a, yang dilaksanakan pada 9 Muharram, merujuk kepada salah satu Hadis riwayat Imam Muslim:

Jika aku masih hidup pada tahun hadapan, sungguh aku akan melaksanakan puasa pada hari ke 9 Muharram”

Hadis riwayat Muslim No.2/798 dan Ibnu Majah no 736

Dari Abdullah bin Abbas r.a berkata:

Rasulullah berpuasa pada hari Asyura dan menganjurkan umat Islam untuk turut berpuasa.

Suatu ketika, mereka berkata, “Ya Rasulullah, ini hari yang dimuliakan oleh orang Yahudi dan Nasrani”.

Mendengar jawaban tersebut, Nabi berkata, “Jika aku masih hidup hingga tahun depan, insyaAllah, kita akan berpuasa pada hari kesembilan juga”.

Namun, Rasulullah meninggal sebelum tahun berikutnya tiba

(H.R Muslim 1916).

2. Puasa Paling Utama

Puasa Asyura (juga puasa Tasu’a) merupakan puasa yang dikerjakan di bulan Muharram.

Puasa di bulan Muharram merupakan puasa yang paling utama setelah puasa Ramadhan.

Rasulullah SAW bersabda:

Puasa paling utama setelah Ramadhan adalah (puasa bulan) Muharram dan solat yang paling utama setelah solat fardhu adalah solat malam.”

(HR. Muslim)

Rasulullah SAW ditanya, “Solat manakah yang lebih utama setelah solat fardhu dan puasa manakah yang lebih utama setelah puasa Ramadhan?”

Baginda bersabda:

Solat yang paling utama setelah solat fardhu adalah solat di tengah malam dan puasa yang paling utama setelah puasa Ramadhan adalah puasa pada bulan Allah (yakni) Muharram.”

(HR. Muslim, Abu Dawud, dan Ahmad)

3. Imam Nawawi rahimahullaah menyebutkan ada tiga hikmah disyariatkannya puasa pada hari Tasu’a:

  • Untuk membezakan dengan puasa orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari kesepuluh saja.
  • Untuk menyambung puasa hari Asyura dengan puasa di hari lainnya.
  • Sebagai had agar berhati-hati dalam pelaksanaan puasa Asyura, kerana dikhuawatirkan berlaku kesilapan pengiraan anak bulan.

Beberapa ulama berbeza pendapat berkenaan keharusan berpuasa pada 11 Muharam. Ini kerana, hadis yang menjadi sandaran dianggap lemah oleh sebahagian ahli hadis.

Walau bagaimanapun, puasa pada bulan Muharam secara umumnya digalakkan.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Sebaik-baik puasa selepas bulan Ramadan adalah (pada) bulan Allah, Muharam.”

Oleh itu, amalan berpuasa pada hari kesebelas tidak dilarang.

Penutup

Tiada amalan khusus yang digariskan dalam bulan haram ini seperti puasa dan solat tarawikh di bulan Ramadhan.

Namun begitu, memandangkan bulan Muharram antara bulan yang mulia di sisi Allah SWT seharusnya kita menghormati dan melakukan serta mempertingkatkan amalan dan juga mencegah daripada melakukan kemungkaran. 

Ini termasuklah puasa sunat Asyura dan Tasu’a.

Semoga panduan ini memberi manfaat.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

4 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Nur Azrie Hj Ali
Nur Azrie Hj Ali
5 bulan yang lalu

Saya amat menghargai & menyokong uşaha & kaedah perkongsian ilmu yg dilakukan ini. Tambahan pula ilmu yg dişüşün & dihimpun ini müdah utk dirujuk serta dikongsikan dgn pembaca yg lain. Tahniah & teruskan uşaha yg mulia & murni ini.

Nur
Nur
4 tahun yang lalu

Alhamdulillah.. syukran lillah syukran kepada pihak berkenaan..