Doa Di Muzdalifah & Mina (Transliterasi Rumi)

doa ketika di Muzdalifah dan Mina

Ini adalah panduan doa semasa mabit di Muzdalifah & Mina.

Doa-doa dalam panduan ini adalah doa yang ma’thur, dan telah saya pecahkan dalam beberapa bahagian serta ditambah dengan transliterasi rumi.

Tujuannya adalah untuk membantu para jemaah haji yang kurang mahir membaca tulisan teks arab untuk berdoa dan mengerjakan perkara wajib haji ini dengan sempurna.

Semoga membantu..

Apakah Maksud Mabit Di Muzdalifah & Mina?

Mabit di Muzdalifah

Mabit dalam konteks ibadah haji adalah tinggal atau bermalam di suatu tempat sebagai sebahagian dari perlaksanaan ibadah haji.

Istilah “mabit” biasanya digunakan untuk merujuk kepada tiga malam yang dihabiskan di Mina (malam 10, 11, dan 12 Zulhijjah) dan juga malam di Muzdalifah (malam 10 Zulhijjah) dalam perjalanan ibadah haji.

  1. Mabit di Muzdalifah: Setelah menunaikan wukuf di Arafah pada tanggal 9 Zulhijjah, para jemaah haji akan menuju ke Muzdalifah, di mana mereka akan bermalam dan mengerjakan solat Maghrib dan Isyak secara jamak taqdim, kemudian mengerjakan Solat Subuh pada keesokan harinya sebelum ke Mina.
  2. Mabit di Mina: Setelah Hari Arafah, para jemaah haji diwajibkan untuk bermalam di Mina selama tiga malam, iaitu pada malam 10, 11 dan 12 Zulhijjah. Pada hari-hari ini, mereka akan melontar jumrah, yang merupakan tiga tiang batu yang melambangkan syaitan.

Mabit ini adalah bahagian penting dari ibadah haji dan merupakan wajib haji dalam mazhab Syafi’i.

Jika tidak dikerjakan, haji tersebut sah tetapi perlu membayar Dam.

Doa Ketika Di Muzdalifah

Muzdalifah adalah tempat perhentian para jemaah untuk bermalam di situ sehinggalah lewat tengah malam bagi mengutip dan mengumpulkan batu-batu kecil untuk dibawa ke Mina.

Yang disunatkan untuk kali pertama adalah mengutip 7 biji batu kecil. Bagaimanapun adalah harus untuk mengutipnya terus sebanyak 70 biji.

Selain dari mengutip batu, para jemaah juga disunatkan untuk solat jamak takhir di sini antara Maghrib (sewaktu di Arafah tadi) dan juga Isyak yang dilakukan di waktu Isyak di Muzdalifah sini.

Sekiranya kedua solat tersebut telah dilaksanakan di Arafah (dengan jamak taqdim) maka para jemaah juga disunatkan untuk solat sunat di sini, berzikir, berdoa dan beristighfar.

Adapun doa yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah SAW dan lazim dibaca ketika di Muzdalifah adalah sebagaimana berikut:

Doa ketika di Muzdalifah

Allahumma Kama Auwqaaftana Wa Auwraitana Iyyaahu Fauwaafiqnaa Lizikrika Kama Hadaitanaa Wa Ghafirlanaa Wa Rohamnaa Kama Wa’adhtanaa Bi Qaulika Wa Qaulukal Haq

Maksudnya

Ya Allah, sebagaimana Engkau menghimpunkan kami dan menunjukkan kami pada hari ini, maka berikanlah kami taufik untuk mengingat-Mu seperti Engkau telah membimbing kami, dan ampunilah kami, dan berilah rahmat kepada kami seperti yang Engkau janjikan dalam firman-Mu dan firman-Mu adalah kebenaran.”

Doa ketika di Muzdalifah

Fa Idzaa Afadtum Min ‘Arofati Fadz-Kurullooha Indal Masya’ari Al Harami Wa Dz-Kuruhu Kama Hadaakum Wa In Kuntum Min Qablihi Lamina Ad-Daal-Lin. Tumma Afeedhu Min Haitsu Afaadan Naasu Wastagh-FirulLaha InNalLaha Ghaafurun Rohiim

Maksudnya

(Maka apabila kalian telah beranjak dari Arafah, maka ingatlah Allah di tempat berhenti yang suci dan ingatlah Dia sebagaimana Dia telah membimbingmu dan sesungguhnya kalian sebelum itu benar-benar termasuk orang-orang yang sesat. Kemudian beranjaklah kalian dari tempat orang banyak beranjak dan mohonlah pengampunan Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang).

Doa ketika di Muzdalifah

Allahumma Inna Nasa’luka Ya Ghaafuru Ya Rohiimu An Taftaha Li-Ad’iyatinaa Abuwaabal Ijabaati Ya Man Idzaa Sa’alahu Al Mudhtarru Ajaabahu Ya Man Yaquulu Lil-Shayi Kun Fayakuun.

Maksudnya

Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu, ya Maha Pengampun, ya Maha Penyayang, agar Engkau membuka pintu-pintu jawaban bagi doa-doa kami, ya Tuhan yang jika diajukan permohonan oleh orang yang sangat membutuhkan maka Engkau akan menjawabnya, ya Tuhan yang berkata kepada sesuatu ‘jadilah’ lalu menjadi.

Doa ketika di Muzdalifah

Allahumma Inna Jitnaaka Bijam’inaa Mutasyaffi’ina Ilaika Bighufraanika Dzunubanaa Fala Taruddanaa Khaa-Ibin Wa Atina Afdzala Ma Tu’ti Bihi Ibaadakas Saalihina La Tasrifnaa Min Hadzaa Al-Masya’aril Adzim Illa Faa’izina Ghaira Khazaaya Wa La Naadimiina Wa La Daal-Laina Wa La Mudhill-Laina Ya Arhama Ar-Rohiimiin.

Maksudnya

Ya Allah, sesungguhnya kami datang kepada-Mu dengan kumpulan kami, meminta syafaat kepada-Mu dengan ampunan-Mu atas dosa-dosa kami, maka janganlah Engkau menolak kami dalam keadaan kecewa, dan berilah kami kelebihan apa yang Engkau berikan kepada hamba-hamba-Mu yang shalih, jangan palingkan kami dari tempat berhenti ini yang agung ini kecuali dalam keadaan menang, tidak merasa malu dan tidak menyesal, tidak sesat dan tidak menyesatkan, ya Tuhan yang paling penyayang.

Doa ketika di Muzdalifah

Allahumma Wafiqnaa Lil-Hudaa Wa’asimnaa Min Asbaabil Jahli War Radaa Wa-Sallimnaa Min Aafaatil Nufusi Fa-Innaha Syarul Adwaa Waj’alnaa Mimman Aqbalt A’laaihi Fa’a’radza ‘Amman Siwaaka Wakhudz Bi Aidina Ilaika Wa Roham Tadzarru’anaa Baina Yadaika Ilahana Qauumna Idzaa A’wajnaa Wa’a’innaa Idzaa Istaqamnaa Wa-Kun Lanaa Wa La Takun ‘Alaaina Wa-Ahyinaa Fi Ad-Dunya Mu’miniin Taa’iin Wa Tauwaffanaa Muslimiina Taibiin Wa J’alnaa Inda As-Su’aali Naajiin.

Maksudnya

Ya Allah, berilah kami keberuntungan untuk petunjuk dan lindungilah kami dari sebab-sebab kebodohan dan kemunduran, dan selamatkanlah kami dari penyakit-penyakit jiwa, karena sesungguhnya itu adalah penyakit yang paling buruk, dan jadikanlah kami dari orang-orang yang Engkau hadapi lalu menjauhkan diri dari selain-Mu dan ambillah tangan kami kepada-Mu dan rahmatilah kami yang rendah hati di hadapan-Mu, Tuhan kami, perbaikilah kami ketika kami bengkok dan bantulah kami ketika kami lurus dan menjadi milik kami dan jangan menjadi lawan kami, dan hidupkan kami di dunia sebagai orang yang beriman, taat, dan wafatkan kami sebagai orang muslim, bertaubat, dan jadikan kami dari orang-orang yang selamat ketika ditanya.

Doa ketika di Muzdalifah

Wa J’alnaa Mimman Ya’khudzu Kitaabahu Bi Yaminihi Wa J’alnaa Yauma Al-Faza’ Al-Akbari Mina Al-Amiiniin Wa-Matti’na Allohumma Bin-Nadzari Ila Wajhikal Kariimi Bi Rohmatika Ya Arhama Ar-Rohiimiin.

Maksudnya

Dan jadikanlah kami dari orang-orang yang menerima kitabnya dengan tangan kanannya dan jadikan kami pada hari ketakutan yang paling besar dari orang-orang yang percaya dan berilah kami kenikmatan, ya Allah, untuk melihat wajah-Mu yang mulia dengan rahmat-Mu, ya Tuhan yang paling penyayang.

Doa Semasa Di Mina

Anda akan bertolak ke Mina dengan menaiki bas semula atau pun berjalan kaki setelah pukul 12:15 malam (lewat malam).

Bagi mengelakkan kesesakan dan panas terik matahari para jemaah dinasihatkan agar melontar Jamrah waktu malam sahaja.

Setelah tiba di khemah masing-masing dirikanlah solat subuh berjemaah dan setelah itu bacalah doa seperti di bawah:

Doa ketika di Mina

Al-Hamdu Lillahi Alladzi Balaghaniha Saliman Mu’aafaa. Allahumma Hadzihi Minaa Ataituhaa Wa Ana ‘Abduka Wa Fi Qabdh-Atik.

Maksudnya

Segala puji bagi Allah yang telah membenarkan aku sampai ke sini dalam keadaan selamat dan sihat. Ya Allah, inilah niatku, aku datang ke sini sebagai hamba-Mu dan berada dalam genggaman-Mu

Doa ketika di Mina

As-Aluka An Tamunna ‘Alaiyya Bima Mananta Bihi ‘Ala Auliyaika Wa Ahl Tha’atik.

Maksudnya

Aku memohon kepada-Mu untuk merahmati aku seperti mana Engkau merahmati mereka yang Engkau sayangi dan mereka yang patuh kepada-Mu.

Doa ketika di Mina

Allahumma A’udzu Bika Minal Hirmani Wal Musiibati Fi Diini Ya Arhama Ar-Rohiimin.

Maksudnya

Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada penolakan dan bencana dalam agama ku, ya Tuhan yang Maha Penyayang.

Doa ketika di Mina

Allahumma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammad Wa ‘Ala Aalihi Wa Sahbihi Wa Ummatihi Wa Sallam. Amin.

Maksudnya

Ya Allah, limpahkanlah salawat dan salam kepada junjungan kami Nabi Muhammad, serta keluarga, sahabat-sahabatnya, dan umatnya. Amin.

Melontar jamrah Aqabah adalah sebahagian daripada wajib haji.

Sekiranya masa telah sesuai para jemaah dipersilakan berangkat ke Jamratul Aqabah dan melontarnya dengan 7 biji batu kecil secara satu-persatu.

Sebelum melontar bacalah doa sebagaimana di bawah:

Doa ketika melontar jamrah aqabah

Bismillahi, Allahu Akbar Rajman Li-syaitani Wa Hizbihi.

Maksudnya

“Dengan nama Allah, Allah Maha Besar, aku melontar syaitan dan pengikut-pengikutnya.”

Nota Penting
  1. Para jemaah sama sekali tidak dibenarkan melontar dengan bahan-bahan selain daripada batu kecil seperti dengan kasut, selipar, dan lain-lain. Ini kerana ia tidak terdapat di sebarang nas sama ada Al-Quran atau Al-Hadis.
  2. Jika para jemaah haji telah sampai di Jamrah Aqabah maka terputuslah dia dari membaca talbiah, yakni tidak perlu lagi membaca talbiah.
  3. Posisi melontar hendaklah berdiri di depan Jamrah dengan menjadikan Makkah di sebelah kirinya dan Mina di sebelah kanannya. Lalu angkatlah tangan dan melontarlah dengan dimulai membaca doa seperti di atas.

Setelah melontar pula, anda digalakkan untuk membaca doa seperti berikut:

Doa selepas melontar jamrah aqabah

Allahumma’jalhu Hajjan Mabruura, Wa Sa’yan Masykuura, Wa Zanban Maghfuura, Wa ‘Amalan Soolihan Maqbuula, Wa Tijaartan Lan Tabuur.

Maksudnya

“Ya Allah ya Tuhanku, jadikanlah Hajiku haji yang mabrur (diterima), sa’i yang diterima, dosa yang diampunkan, amal soleh yang makbul dan perdagangan yang tidak akan rugi.”

Untuk panduan lengkap mengenai zikir, doa dan tatacara melontar jamrah sughro, wusta dan kubra, pada Hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah), anda boleh merujuk pada pautan ini: ZIKIR & DOA MELONTAR JAMRAH (Panduan Haji Lengkap)

Penutup

Sebagai kesimpulan, melaksanakan ibadah di Muzdalifah dan Mina merupakan bahagian penting dalam perjalanan haji.

Dengan berdoa dan berzikir di tempat-tempat suci ini, para jemaah bukan sahaja menunaikan kewajiban haji tetapi juga memperkukuhkan hubungan keimanan mereka dengan Allah SWT.

Semoga panduan ini memudahkan para jemaah dalam melaksanakan ibadah dengan sempurna dan mendapat haji yang mabrur. Sentiasa berdoa agar Allah menerima semua amalan kita dan memberikan keberkatan dalam setiap langkah kita.

InsyaAllah.

Nota & Rujukan

  1. Nota Kursus Asas Haji 1440H, edisi cetakan kemaskini November 2018, Bahagian Bimbingan Jabatan Haji, Lembaga Tabung Haji
  2. Nota Kursus Ibadah Haji & Umrah serta Ziarah Madinah, Hj. Abdul Rahman Saleh & Hj Kamaluddin Ibrahim, al-Hidayah Publication
  3. Panduan Ziarah Madinah Umrah & Haji, Ustaz Dato’ Haji Md Daud Bin Che Ngah, Pustaka Haji Abdul Majid
  4. Panduan Haji, Umrah dan Ziarah, Ustaz Ibrahim Zakaria.
  5. Panduan Ibadah Umrah & Ziarah, Ustaz Muhamad Dhiauddin, Pustaka Azhar
  6. Panduan Lengkap Haji, Umrah & Ziarah Edisi Kemaskini, Haji Abu Mazaya Al-Hafiz, Al-Hidayah House of Publisher
  7. Panduan Meraih Umrah Yang Mabrurah, Dato’ Dr Hj Zahazan B. Mohamed, Telaga Biru
  8. Soal Jawab Haji, Umrah & Ziarah, Edisi kemaskini 2020, Disemak dan diluluskan oleh Jawatankuasa Penasihat Ibadah Haji (TH-JAKIM) Bil 2/1440H
  9. Bimbingan Umrah & Ziarah, Ust Mohd Faez Bin Mohd Shah Al-Hashim, Pustaka al-Ehsan
  10. Soal Jawab Fiqh Ibadah Jilid 3, Bab Puasa, Haji, Korban & Akikah, Ustaz Abu Usamah Mohd Hanapiah Haji Husin, Ikon Syabab Resources.
Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

2 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Shamsul
Shamsul
6 bulan yang lalu

Doa ketika melontar tiada dlm kandungan ini.. Beri sy pencerahan.. Terima kasih