Apakah waktu haram solat?
Bagaimana pembahagian waktu solat dilakukan?
Artikel ini akan menerangkan perkara-perkara penting mengenai:
- Pembahagian waktu solat
- Waktu diharamkan solat
- Waktu solat yang digalakkan, penentuan masuk waktu
… dan sebagainya.
Tanpa buang masa, mari kita mulakan..
Pembahagian Waktu Solat
Waktu-waktu solat keseluruhannya terbahagi kepada sembilan bahagian, iaitu:
1. Waktu Fadhilat
Waktu ini bermaksud waktu paling utama (afdal) iaitu pada awal waktu.
2. Waktu Ikhtiar
Selepas waktu fadilat hingga sekira-kira boleh menghabiskan solat dengan sempurna dalam waktunya.
3. Waktu Harus (Jawaz)
Sama seperti waktu ikhtiar.
Hukumnya sama seperti hukum waktu ikhtiar melainkan:
- Pada waktu asar, berkekalan hingga kuning matahari.
- Pada waktu Isyak, berkekalan hingga fajar saddiq.
- Pada waktu subuh, sehingga merah di tepi langit.
4. Waktu Hurmah (Haram)
Iaitu akhir waktu yang mencemaskan sekira-kira tidak sempat menyempurnakan solat dalam waktunya.
5. Waktu Darurat
Iaitu untuk orang yang baru hilang daripada perkara yang menegah solat seperti haid, nifas, gila dan seumpanya.
Ketika itu kadar waktu solat yang ada hanyalah sekadar sempat mengangkat takbiratulihram.
Oleh itu, dia tidak sempat solat waktu itu dan solat itu wajib diqada
6. Waktu Idrak
Iaitu antara awal waktu dengan datang halangan untuk solat seperti datang haid, bersalin dan sebagainya.
Apabila dalam jangka masa tersebut seseorang itu sepatutnya sempat melakukan solat tetapi dia tidak melakukannya, maka solat yang ditinggalkan itu wajib qada.
7. Waktu Harus (Jawaz), Tetapi Makruh
Waktu jawaz tetapi makruh adalah seperti berikut:
- Waktu asar: Bermula dari matahari kekuningan hingga berkekalan sampai waktu akhir kadar lulus solat.
- Waktu maghrib: Bermula setelah habis syafak (awan-awan merah di langit) hingga akhir waktu kadar lulus solat.
- Waktu isyak: Bermula dari fajar kazib (fajar sebelum matahari terbit) hingga ke waktu akhir kadar lulus solat.
- Waktu subuh: Bermula dari merah tepi langit hingga ke waktu akhir kadar lulus solat.
8. Waktu Uzur
Iaitu antara zuhur dengan asar iaitu antara hujung waktu zohor dan awal waktu asar atau maghrib dengan isyak, jamak takdim atau takhir untuk orang yang musafir.
9. Waktu Haram Solat (Waktu Tahrim)
Bilakah waktu tahrim?
- Sesudah solat subuh
- Ketika matahari hampir terbit atau sedang terbit.
- Ketika rembang iaitu matahari tegak di atas kepala.
- Ketika matahari hampir terbenam.
- Sesudah solat asar.
Solat yang diharamkan ini ialah solat yang tidak bersebab iaitu solat sunat mutlak dan solat yang sebabnya datang terkemudian seperti solat sunat istikharah, solat sunat musafir dan solat sunat Ihram.
Manakala solat yang bersebab seperti solat qada, solat sunat wuduk, solat Tahiyyatul Masjid, solat sunat tawaf, sujud tilawah dan sujud syukur tidak diharamkan.
Begitu juga apabila berada di Tanah Haram, tidak diharamkan melakukan apa jua solat dalam waktu ini.
Waktu Solat Yang Utama
Waktu solat yang utama adalah pada awal waktu.
Ibnu Umar mengatakan, Rasulullah SAW bersabda:
Waktu awal daripada solat adalah keredhaan Allah SWT dan waktu yang akhir adalah kemaafan Allah
— Riwayat Tirmizi
Solat pada awal waktu sangat disukai oleh Allah SWT kerana menjadi bukti kesungguhan seorang hamba bersegera menjunjung dan menunaikan perintahNya.
Abdullah bin Mas’ud r.a bertanya kepada Rasulullah SAW:
“Wahai Rasulullah, apakah amalan yang paling baik?” Rasulullah SAW bersabda: “Solat pada awal waktunya”. Abdullah bertanya: Kemudian apa? Rasulullah SAW bersabda:”Berbuat baik kepada ibu bapa””Kemudian apa lagi? tanya Abdullah. Jawab Rasulullah SAW:”Berjihad di jalan Allah”.
— Riwayat Bukhari dan Muslim
Solat pada penghujung waktu dengan sengaja menunjukkan sikap tidak bersungguh-sungguh dalam menunaikan perintahNya.
Melewatkan solat hanya dibenarkan atas sebab-sebab tertentu seperti melewatkan solat Isyak untuk mengadakan majilis ilmu.
Panduan Menentukan Masuknya Waktu Solat
Solat perlu dilakukan setelah yakin masuk waktunya.
Tidak sah solat yang ditunaikan selain pada waktunya.
Masukknya waktu solat fardu dapat diketahui dengan cara:
- Mendengar azan dari masjid berdekatan atau melalui siaran radio dan televisyen tempatan.
- Menggunakan jadual waktu solat yang dikeluarkan oleh jabatan-jabatan Islam negeri.
- Melihat tanda-tanda alam yang menunjukkan masuknya waktu solat fardu.
Tanda masuknya waktu solat fardu adalah seperti berikut:
Waktu Zohor
Waktu zohor bermula sebaik sahaja matahari tergelincir ke arah barat.
Waktu zohor diketahui dengan muncul bayang-bayang sesuatu objek ke arah timur.
Waktu zohor berpanjangan hingga bayang-bayang terjadi lebih panjang daripada objek asal.
Waktu Asar
Bermula ketika bayang-bayang sesuatu objek lebih panjang daripada objek itu dan berakhir dengan terbenamnya matahari.
Waktu Maghrib
Masuk waktu maghrib adalah apabila matahari terbenam di ufuk barat.
Sekiranya tempat matahari terbenam itu terlindung oleh bukit, saat terbenam matahari dapat dipastikan dengan melihat warna kelam pada kaki langit tempat matahari terbit pada ketinggian segalah (45 darjah) dari paras bumi.
Waktu Maghrib berlanjutan sehingga hilang lembayung merah di ufuk barat.
Waktu Isyak
Waktu Isyak bermula apabila hilang lembayung merah di kaki langit hingga terbit fajar saddiq.
Sekiranya lembayung merah itu tidak dapat dilihat kerana dilindungi oleh bukit, maka saat hilangnya lembayung merah itu apabila kelihatan bintang-bintang kecil di tengah langit.
Apabila belum kelihatan bintang-bintang kecil, hanya kelihatan bintang-bintang besar, ertinya lembayung merah masih belum hilang dengan sempurna dan masih ada waktu maghrib.
Waktu Subuh
Waktu subuh masuk dengan terbitnya fajar sadiq.
Fajar sadiq ialah satu garisan putih yang melintang di kaki langit di sebelah timur iaitu arah matahari terbit setelah hilang fajar kazib.
Fajar kazib ialah satu garisan membujur yang naik dari kaki langit ke tengah langit.
Waktu subuh berakhir dengan terbitnya matahari.
Menentukan Waktu Ditempat Asing
Sekiranya seseorang berada di tempat asing dan tidak mengetahui waktu solat dengan mana-mana cara di atas, wajib untuknya berijtihad iaitu membuat kajian untuk memastikan waktu solat.
Menunaikan solat tanpa keyakinan atau tanpa berijtihad tentang telah masuk waktu solat, maka tidak sah solatnya.
Sekiranya selepas berijtihad diketahui waktu solat belum masuk, maka wajib untuknya mengulangi solat itu.
Oleh yang demikian, orang yang bermusafir diharuskan melewatkan sedikit solat daripada waktu yang telah diijtihadkannya.
Dikawasan yang terletak lebih jauh dari Garisan Khatulistiwa, tempoh wakut siang dan malam berubah mengikut musim.
Pada musim panas, wakut siang lebih panjang menyebabkan jarak antara waktu solat Subuh, Zohor dan Asar dan Maghrib menjadi lebih panjang.
Manakala waktu antara solat Maghrib, Isyak dan Subuh menjadi sangat pendek.
Pada musim sejuk pula, malam menjadi lebih panjang menyebabkan jarak masa antara solat Subuh, Zohor, Asar menjadi sangat pendek.
Penutup
Semoga panduan ini memberi manfaat kepada anda.
Jika terdapat sebarang persoalan, boleh tinggalkan perkara tersebut pada ruangan di bawah.
InsyaaAllah saya akan cuba untuk membantu anda. :-)
Tinggalkan Komen Anda..
As salam. Mohon pencerahan waktu(jam) dimana matahari berada diatas kepala. Contoh waktu Dhuha 28 minit selepas waktu Syuruk.
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Mengenai waktu di mana matahari berada tepat di atas kepala, ia merujuk kepada waktu istiwa’, iaitu ketika matahari berada di titik tertinggi di langit. Pada masa ini, bayang-bayang sesuatu objek akan berada tepat di bawahnya atau sangat pendek.
Waktu ini adalah ketika matahari tepat di atas kepala, dan ia juga dikenali sebagai waktu larangan solat, kerana ketika ini umat Islam tidak digalakkan untuk mendirikan solat sunat.
Waktu istiwa’ ini adalah lebih kurang 5 hingga 10 minit sebelum masuknya waktu Zuhur. Secara amnya, ia berbeza sedikit bergantung kepada lokasi geografi dan waktu tahun. Sebagai contoh, jika waktu Zuhur di tempat tuan ialah pada jam 1:00 tengah hari, maka waktu matahari berada tepat di atas kepala ialah sekitar 12:50 tengah hari hingga masuk waktu Zuhur.
Perlu diingat, waktu Dhuha pula bermula sekitar 28 minit selepas waktu Syuruk, dan berterusan sehingga sebelum masuknya waktu Zuhur. Maka, untuk mengelakkan waktu larangan solat, pastikan solat sunat Dhuha dilaksanakan sebelum waktu istiwa’ ini.
Semoga penjelasan ini memberi pencerahan kepada tuan, dan semoga Allah memberkati setiap usaha tuan dalam mencari ilmu.
Wallahu a’lam.
Alhamdulillah. Jelas. Terima kasih bnyk2.
Assalamualaikum, jika kita melakukan solat fardhu pada waktu hurmah adakah solat itu perlu diqada?
Wassalam,
Jika sempat ditunaikan solat di dalam waktu sekurang-kurangnya satu rakaat maka ia dikira tunai secara keseluruhannya (sekalipun rakaat selebihnya dilakukan setelah habis waktu).
Jika tidak sempat walaupun satu rakaat, maka kena qadha’.
Assalamualaikum nak tanya untuk solat sunat mutlak bilakah waktu yang betul sesuai untuk lakukan..??
Wassalam. Boleh dilakukan pada bila-bila masa selain daripada waktu tahrim seperti yang dinyatakan di atas.
asslm ketika waktu dhuha jika habis solat dhuha bolehkah kerja solat sunat lain seperti solat taubat dan hajat?
Wassalam. Boleh tiada masalah. Solat tahajjud sahaja tak boleh sebab bukan waktunya.
Assalammualaikum nak tanya waktu yang diharamkan untuk solat sunat bolehkah nak buat solat qada
Wassalam.
Boleh. Solat qada boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja.
Salam ustaz, boleh ke buat solat taubat selepas melaksanakan solat zohor?
Wassalam. Boleh.
Assalamualaikum ust. Adakah waktu tahrim bermaksud kita x boleh solat fardhu pada masa itu?
Wassalam. Solat sunat sahaja
Macam mana tentang solat sunat taubat, adakah boleh didirikan pada waktu yang diharamkan?.Seperti selepas subuh, imsak kan, jadi bolehkah solat sunat taubat pada masa itu?.
Tidak boleh lakukan solat sunat taubat selepas subuh atau selepas asar.
Assalamualaikum ustaz, adakah solat pada waktu imsak dibenarkan ? Saya tak berapa jelas . Adakah perlu menunggu subuh ?
Wassalam. Jika solat sunat fajar atau solat subuh, mesti tunggu waktu subuh masuk dahulu. Jika solat sunat lain, boleh buat tiada masalah.
Assalam.
Apakah anggaran waktu diharamkan solat asar? Sy x jelas dengan penerangan diberikan.