Panduan ini akan menjelaskan kepada anda mengenai rukun solat, perkara yang membatalkan solat, dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan solat.
Anda WAJIB TAHU kerana jika anda tertinggal salah satu rukun solat, maka solat anda tidak sah.
Oleh itu, mari kita teliti satu persatu perkara-perkara tersebut.
Maksud Rukun Solat
Rukun dari segi bahasa bermakna asas atau tiang bagi sesuatu. Oleh itu, secara mudahnya, rukun solat solat bermaksud perbuatan-perbuatan yang tersusun dimana solat tidak akan lengkap dan tidak sah tanpanya.
Contohnya:
Kita tidak melakukan takbiratul ihram (rukun), maka solat kita tidak sah kerana rukun solat kita tidak lengkap.
Bilangan Rukun Solat
Pendapat yang rajih (kuat) dan muktamad (yang dipegang) dalam mazhab Syafi’e adalah terdapat 13 perkara yang menjadi rukun solat.
Ringkasan Rukun Solat
- Niat
- Berdiri tegak
- Takbiratul Ihram
- Membaca al-Fatihah
- Rukuk
- Iktidal
- Sujud
- Duduk antara dua sujud
- Duduk tahiyat akhir
- Membaca tahiyat akhir
- Membaca selawat ke atas Rasulullah
- Memberi salam
- Tertib
Rukun solat mesti diketahui dan dilaksanakan dalam solat. Solat tidak sah apabila tertinggal mana-mana satu rukun.
Apabila kamu bangun untuk solat, sempurnakanlah wuduk, kemudian hadaplah ke kiblat lalu bertakbir. Kemudian bacalah apa yang mudah daripada al-Quran. Kemudian rukuklah sehingga kamu rukuk dengan tamakninah. Kemudian bangunlah sehingga kamu berdiri tegak. Kemudian sujudlah sehingga kamu sujud dengan tamakninah. Kemudian bangkitlah sehingga kamu duduk dalam tamakninah. Kemudian sujudlah sehingga kamu sujud dalam tamakninah. Kemudian bangkitlah sehingga kamu duduk dengan tamakninah
— Riwayat Bukhari
13 Rukun Solat Fardu
Pada bahagian ini saya akan menerangkan secara lebih terperinci mengenai setiap rukun solat daripada 13 rukun tersebut.
Niat
Niat ialah lintasan atau ingatan di dalam hati mahu mengerjakan solat itu.
Tidak dikatakan berniat apabila hanya lidah yang melafazkan, tetapi tidak diikuti dengan mengingat di dalam hati. Niat solat perlu dihadirkan di dalam hati ketika mengangkat takbiratul ihram
Sekurang-kurangnya niat itu merangkumi tiga perkara:
- Qasad (ﻗﺼﺪ) iaitu solat semata-mata.
- Ta’arudh (ﺗﻌﺮﺽ) iaitu jenis fardhu
- Ta’yin (ﺗﻌﻴﻴﻦ) iaitu menentukan waktu solat yang hendak didirikan sama ada Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib atau Isyak.
Contohnya apabila seseorang hendak mendirikan solat Zuhur, memadai dia berniat “Sahaja aku solat fardu Zuhur”
Berdiri Lurus & Tegak
Maksud berdiri dengan betul adalah berdiri tegak lurus iaitu tulang belakang tegak dengan dada menghadap kiblat.
Sunat menundukkan sedikit kepala dan memandang ke tempat sujud.
Untuk yang tidak mampu berdiri dengan betul kerana cacat, bongkok atau sakit, boleh menunaikan solat mengikut cara yang termampu oleh mereka.
Solatlah dengan berdiri, sekiranya tidak mampu maka dengan duduk, sekiranya tidak mampu, maka dengan berbaring
— Riwayat Bukhari, Ahmad, Ibnu Majah dan Abu Dawud
Takbiratul Ihram
Takbiratul ihram adalah melafaz “Allahuakbar” untuk memulakan solat dengan suara yang dapat didengar sekurang-kurangnya oleh diri sendiri.
Lafaz ini tidak boleh ditukar dengan lafaz lain atau dilafazkan dalam bahasa lain selain bahasa arab.
Lafaz ini juga perlu dibuat dalam satu nafas sambil memasang niat.
Anak kunci solat ialah berwuduk, yang mengharamkan perlakuan yang dihalalkan sebelum solat ialah takbir dan yang menghalalkannya ialah salam.
— Riwayat Ahmad, Tirmizi dan Abu Dawud
Membaca Surah al-Fatihah
Surah al-Fatihah wajib dibaca ketika berdiri pada setiap rakaat solat dengan tajwid yang betul.
Tidak (sah) solat bagi seseorang yang tidak membaca Fatihatul Kitab (surah al-Fatihah).
— Riwayat Bukhari
Rukuk
Rukuk ialah membongkokkan badan dan kepala ke hadapan sehingga sama rata dengan punggung.
Kedua-dua telapak tangan dilekapkan pada kedua-dua kepala lutut. Sunat berdoa atau bertasbih sewaktu rukuk.
Sekiranya tidak tahu berdoa atau bertasbih, cukup diam seketika sekadar masa membaca sekali “Subhanallah”.
Berada dalam keadaan tersebut dinamakan tamakninah.
Maksud Tamakninah
Tamakninah dalam bahasa mudah bawa maksud BERTENANG.
Ibarat memandu kenderaan, waktu di simpang hentikan kereta sepenuhnya sebelum bergerak semula.
Selagi kenderaan itu masih bergerak, tidaklah dikira tamakninah
Iktidal
Iktidal ialah berdiri tegak selepas rukuk.
Perlu ada tamakninah dalam keadaan berdiri tegak sebelum beralih ke rukun solat seterusnya. Kadar tamakninah sama seperti rukuk, iaitu kadar sekali nafas atau kadar menyebut “subhanallah”.
Allah tidak akan memerhatikan solat seorang hamba yang tidak menegakkan punggungnya di antara rukuk dan sujudnya
— Riwayat Ahmad
Sujud dua kali
Sujud ialah merendah dan tunduk. Sujud yang minimum adalah meletakkan dahi yang terdedah ke tempat solat.
Tapak tangan dilekapkan rata pada tempat sujud bersetentang dengan bahu. Sujud dilakukan dua kali untuk setiap rakaat.
Sujud yang sempurna adalah dengan meletakkan semua tujuh anggota sujud di atas lantai.
Anggota sujud adalah:
- Dahi
- Kedua-dua tapak tangan
- Kedua-dua lutut
- Kedua-dua kaki
Sunat meletakkan hidung ketika sujud.
Sujud wajib dilakukan dengan tamakninah.
Duduk antara dua sujud
Duduk antara dua sujud ialah duduk sebentar selepas sujud pertama sebelum melakukan sujud yang kedua dalam setiap rakaat.
Sujud ini juga perlu dilakukan dengan tamakninah.
Duduk ini juga dilakukan secara iftirasy iaitu membaringkan tapak kaki kiri dan duduk diatasnya sementara tapak kaki kanan ditegakkan dengan anak-anak jari dihadapkan ke kiblat.
Kedua-dua tapak tangan diletakkan di atas kedua-dua paha dengan hujung jari berada hampir dengan pangkal lutut.
Duduk tahiyat akhir
Duduk tahiyat akhir ialah duduk ketika membaca tahiyat akhir sebelum memberi salam. Duduk ini dilakukan secara tawarruk dan kedua-dua tangan diletakkan di atas paha.
Membaca tahiyat akhir
Tahiyat akhir dibaca ketika duduk tahiyat akhir.
Bacaan tahiyat atau ucapan penghormatan ini merangkumi dua sebutan iaitu:
Ungkapan memuji Allah SWT yang bermula daripada:
Dan salam:
Diakhiri dengan lafaz syahadah:
Membaca selawat ke atas Rasulullah SAW
Bacaan selawat ke atas Rasulullah SAW yang menjadi rukun solat adalah semasa duduk tahiyat akhir iaitu selepas melafazkan dua kalimah syahadah:
Rasulullah SAW juga berselawat atas dirinya semasa Baginda mendirikan solat.
Memberi salam
Memberi salam adalah penutup solat. Sekurang-kurangnya dengan lafaz “Assalamualaikum”
Tertib
Setiap rukun solat wajib dilaksanakan dengan tertib iaitu mengikut turutan.
Hal ini terkecuali untuk rukun yang dilakukan serentak seperti takbiratul ihram bersama niat, berdiri tegak bersama membaca al-Fatihah dan duduk tahiyat akhir semasa membaca tahiyat, tasyahud dan selawat.
Pembahagian Rukun Solat
Dalam 13 rukun solat tersebut, rukun-rukun ini terbahagi pula kepada tiga bahagian, iaitu fi’li, qauli dan qalbi.
- Maksud Qalbi ialah rukun melibatkan hati
- Maksud Qauli pula ialah rukun melibatkan perkataan atau bacaan.
- Manakala rukun Fi’li ialah rukun yang melibatkan pergerakan atau perbuatan.
Rukun Qalbi
Rukun qalbi (hati) adalah melibatkan perkara yang perlu dilakukan dalam hati.
Antara perkara yang terdapat dalam rukun qalbi ada dua, iaitu:
- Niat
- Tertib
Rukun Qauli
Rukun qauli (perkataan atau bacaan) ialah rukun yang wajib didengari oleh telinga sendiri setiap bacaan lafaznya.
Jika tertinggal satu huruf, maka wajiblah diulangi bacaan itu.
Antara bacaan yang terlibat dengan rukun qauli ialah:
- Takbiratul Ihram (ucapan Allahu Akbar)
- Al Fatihah
- Tahiyat Akhir
- Selawat atas nabi
- Salam yang pertama
Rukun Fi’li
Seperti yang telah diterangkan di atas, rukun fi’li adalah rukun pergerakan atau perbuatan.
Dalam rukun fi’li terdapat enam rukun.
Rukun tersebut adalah:
- Berdiri (qiam).
- Rukuk.
- Iktidal.
- Sujud.
- Duduk antara dua sujud.
- Duduk tahiyat akhir.
Jika terlupa atau tertinggal diantara rukun ini, maka perlu berpatah balik kepada rukun tersebut.
Bacaan lanjut mengenai rukun Qauli, Fi’li dan Qalbi boleh dibaca pada pautan ini
Perkara Yang Membatalkan Solat
Pada bahagian ini, saya akan menerangkan perkara-perkara yang membatalkan solat berserta penerangan berkaitan perkara tersebut.
Terdapat beberapa perkara yang akan membatalkan solat. Antaranya:
1. Sengaja Meninggalkan Rukun Solat
Meninggalkan salah satu rukun solat secara sengaja, solat akan terbatal.
Sekiranya terlupa, tidak terbatal solat. Tetapi perlu ditambah rukun yang terkurang itu apabila ingat kembali.
Contohnya seorang yang terlupa membaca tahiyat semasa duduk tahiyat akhir, sebaliknya membaca al-Fatihah. Apabila menyedari kesilapannya, dia perlu terus membaca tahiyat.
2. Berkata-kata Dalam Solat
Berkata-kata dengan sengaja dalam bahasa manusia selain zikir, doa atau kalimah daripada al-Quran walaupun dengan satu huruf yang difahami dan untuk kepentingan solat.
Contohnya seperti berkata kepada imam yang tersalah bilangan rakaat, “jangan berdiri” atau “duduk”
3. Berhadas Semasa Solat
Berhadas atau didatangi hadas sama ada hadas kecil atau hadas besar ketika sedang solat. Contohnya terkentut atau terkeluar air kencing walaupun sedikit.
4. Makan atau Minum Semasa Solat
Menelan sisa makanan yang ada di celah-celah gigi akan membatalkan solat.
Sekiranya berasa ada sisa makanan di dalam mulut, perlu dibuang atau dikawal supaya tidak tertelan.
5. Melakukan Pergerakan Yang Banyak
Melakukan pergerakan besar sebanyak tiga kali berturut-turut atau lebih yang bukan perbuatan solat.
Contohnya mengangkat dan menurunkan tangan sebanyak tiga kali, menggerakkan badan keseluruhannya dan melompat dengan sekali lompat.
Kecuali dalam solat Khauf dan solat sunat semasa dalam musafir.
Apabila menggerakkan jari berulang kali kerana bertasbih atau menggaru kerana gatal atau lain-lain, tidak membatalkan solat.
6. Terkena Najis
Terkena najis yang tidak dimaafkan pada badan, pakaian atau tempat solat boleh membatalkan solat.
Sekiranya najis itu dapat dibuang serta-merta, solat tidak batal.
Contohnya seperti tahi cicak yang kering terjatuh ke atas pakaian orang yang sedang solat tetapi dapat ditepis serta-merta.
7. Terbuka aurat
Terbuka aurat dengan kadar yang lama sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja seperti ditiup angin atau ditarik oleh anak-anak, tetap membatalkan solat.
Apabila ditutup dengan cepat, solat tidak terbatal.
8. Berpaling Dari Kiblat
Berpaling dada dari kiblat selain daripada solat Khauf.
Dalam solat Khauf, seseorang mungkin terpaksa memalingkan dada dari kiblat untuk mengelakkan senjata musuh atau seumpamanya dan tidak membatalkan solat.
9. Berubah Niat Solat
Berubah niat kepada solat lain seperti mengubah niat solat fardu kepada solat fardu lain dengan sengaja.
10. Murtad
Murtad adalah keluar daripada Islam sama ada melalui perkataan, perbuatan dan keyakinan.
11. Memanjangkan Rukun Yang Pendek Dengan Sengaja
Contohnya menambah doa yang panjang ketika iktidal sehingga menjadikan iktidal lebih lama daripada berdiri tegak.
Atau duduk antara dua sujud lebih lama daripada tahiyat.
12. Mendahului Imam Dalam Solat Berjemaah
Solat batal apabila makmum mendahului imam sebanyak dua rukun fi’li (perbuatan) dengan sengaja.
Apabila makmum mendahului imam secara tidak sengaja seperti ketika bangun dari sujud dan dia mendapati imam masih sujud, dia perlu duduk menunggu imam yang sedang sujud dalam kedudukan itu.
13. Memberi Salam Sebelum Masanya
Memberi salam sebelum selesai membaca tahiyat akhir kerana salam menunjukkan tanda berakhirnya solat.
14. Kembali Melakukan Sunat Yang Tertinggal Sesudah Melakukan Rukun.
Contohnya, seseorang terlupa melakukan tahiyat awal sedangkan dia sudah berdiri.
Sekiranya dia kembali duduk untuk melakukan tahiyat awal, maka batal solatnya. Hal ini disebabkan tahiyat awal hukumnya sunat sedangkan berdiri tegak dalam rakaat seterusnya adalah rukun.
Apa yang diperlu dilakukan adalah melakukan sujud sahwi.
15. Mengulang-ulang Rukun Fi’li Dengan Sengaja
Batal solatnya kerana dianggap bermain-main atau mendahulukan yang kemudian.
16. Teragak-agak Dalam Solat
Teragak-agak sama ada hendak berhenti solat atau meneruskan solat ketika solat belum selesai.
Perkara ini biasanya berlaku dalam keadaan tertentu seumpamanya:
- Makmum berasa ragu tentang suci daripada najis atau ragu terhadap sah wuduknya.
- Berasa ragu atau syak niatnya sama ada berniat solat zuhur atau asar dan seumpamanya.
Apabila berasa ragu-ragu dan masih belum mendapat kepastian sehingga berlalu satu rukun atau berlalu satu masa yang cukup untuk melaksanakan satu rukun, maka batal solatnya.
Sebaliknya apabila berasa ragu semasa sedang berdiri, tetapi sudah memastikan sah wuduknya atau betul niatnya ketika masih berdiri iaitu sebelum rukuk, maka sah solatnya.
17. Ketawa Dalam Solat
Ketawa terbahak-bahak dan gila akan membatalkan solat.
Perkara Yang Membolehkan Solat Dihentikan
Solat hanya boleh dihentikan kerana darurat atau uzur.
Ini adalah kelonggaran yang Allah SWT berikan walaupun ketika itu sepatutnya kita menumpukan sepenuh perhatian kepadaNya.
Perkara ini melibatkan maslahah atau keselamatan ramai orang atau orang lain.
Ada perkara-perkara yang mewajibkan berhenti solat dan ada pula yang hanya mengharuskan berhenti solat.
Perkara Yang Menyebabkan Solat WAJIB Dihentikan
Maksud wajib disini adalah:
Solat itu mesti dihentikan dan berdosa jika tetap meneruskan solat
1. Untuk menyelamatkan nyawa manusia.
Contohnya menolong orang dalam keadaan terancam nyawanya seperti terjatuh ke dalam perigi, diserang binatang yang ganas dan dipukul penjenayah.
Wajib seseorang itu memberhentikan solat sekiranya dia yakin mampu menolong.
2. Untuk menjaga keselamatan diri atau harta.
Contohnya ketika sedang solat ternampak kanak-kanak berjalan menuju ke parit, sungai atau tempat-tempat berbahaya dan ditakuti terjatuh ke dalamnya.
Demikian juga untuk menyelamatkan harta ketika berlaku kebakaran.
Perkara Yang Menyebabkan Solat HARUS Dihentikan
Maksud harus disini adalah:
Solat boleh diteruskan dan boleh juga dihentikan. Jika berhenti solat tidak menyebabkan dosa.
- Berlaku kecurian barang, walaupun yang dicuri itu barang orang lain.
- Ibu yang bimbang akan keselamatan anak kecilnya atau orang yang baru menyedari ada masakan sedang dimasak dan bimbang masakan itu hangit.
- Musafir yang bimbang gangguan pencuri dan perompak.
- Membunuh binatang berbahaya apabila itu memerlukan pergerakan yang banyak.
- Rasa hendak buang air besar atau buang air kecil sekalipun terpaksa keluar dari solat berjemaah
- Menyahut panggilan ibu bapa ketika melakukan solat sunat. Sekiranya yang dilakukan itu solat fardu, maka tidak boleh berhenti. Kecuali apabila panggilan ibu bapa itu jika dibiarkan akan membawa kepada mudarat seperti mereka memanggil kerana kesakitan dan memerlukan perhatian segera.
Perkara Makruh Dalam Solat
Apakah maksud makruh?
Makruh bermaksud:
Sesuatu perbuatan yang diberi pahala jika ditinggalkan dan tidak berdosa apabila mengerjakannya
Antara contoh perkara makruh dalam solat adalah:
2. Menoleh atau melirik sehingga berpaling muka dari tempat sujud tanpa sebarang keperluan.
Sekiranya ada keperluan seperti mahu memastikan sama ada imam sudah rukuk atau belum, maka diharuskan.
Perbuatan memalingkan muka tanpa sebab melambangkan seseorang itu tidak menghayati solatnya.
Sekiranya memalingkan muka secara keterlaluan sehingga dada turut terpaling dari arah kiblat, maka terbatal solat.
3. Menyapu-nyapu pasir, tanah, habuk dan benda-benda lain yang melekat pada tempat sujud lebih daripada sekali.
4. Meludah ke kanan atau ke hadapan walaupun ketika solat di luar masjid.
Tetapi meludah ke sebelah kiri diharuskan dengan syarat tiada orang di situ.
Dibolehkan juga meludah ke bawah iaitu berhampiran tapak kaki kiri.
5. Memberi isyarat dengan tangan kanan bertujuan menjawab salam atau hal-hal lain yang terpaksa dilakukan.
6. Menahan kentut, menahan buang air kecil atau besar dan menahan lapar kerana perkara ini boleh menggangu kekhusyukan solat.
Sekiranya lapar atau berasa hendak buang air sebelum memulakan solat, maka perlulah diselesaikan hajat itu dahulu.
7. Melakukan pekerjaan yang sia-sia yang membuatkan lalai dalam solat.
Contohnya mematah-matahkan jari, menyilang-nyilang anak jari, memperbetulkan rambut, mengusap misai dan janggut, menutup hidung dan mulut tanpa sebab, bersandar pada dinding tanpa sebarang keuzuran dan seumpamanya.
8. Solat dalam keadaan terlalu mengantuk.
9. Membaca surah yang lebih panjang dalam rakaat kedua berbanding surah yang dibaca dalam rakaat pertama.
10. Membaca surah dalam dua rakaat terakhir
Kecuali untuk makmum yang masbuq yang tertinggal dua rakaat awal daripada imam.
Dia boleh membaca surah pada dua rakaat terakhir imam kerana untuk dirinya sendiri dua rakaat itu adalah dua rakaat awal.
11. Membaca dengan nyaring di tempat yang sepatutnya dibaca perlahan.
Contohnya, membaca al-Fatihah dengan nyaring pada rakaat ketiga dan keempat.
Termasuk juga dalam masalah ini makmum yang menyaringkan bacaannya. Bahkan apabila bacaan nyaringnya itu mengganggu makmum lain, hukumnya haram.
12. Melakukan duduk istirahah lebih lama daripada duduk antara dua sujud.
13. Membaca tahiyat awal lebih panjang daripada tahiyat akhir.
14. Tidak duduk secara iftirasy dan tawarruk.
15. Merapatkan kedua-dua lengan ke lantai semasa sujud seperti anjing atau singa tidur.
Perkara Harus Dalam Solat
Apakah maksud harus?
Maksud harus adalah:
Sesuatu amalan yang tidak berpahala jika dikerjakan dan tidak berdosa apabila meninggalkannya
Antara perkara harus dalam solat adalah:
Menangis di sini adalah kerana takut dan rasa berdosa kepada Allah SWT.
2. Membunuh binatang berbisa yang membahayakan nyawa ketika sedang solat seperti lipan, ular dan kala jengking.
3. Bergerak atau berjalan ke hadapan atau ke belakang, ke kiri atau ke kanan sekiranya ada keperluan dengan syarat tidak sampai tiga pergerakan berturut-turut.
Apabila salah seorang ahli jemaah meninggalkan saf solat, makmum di belakang atau di sisi boleh bergerak ke tempat yang kosong itu.
Atau apabila najis cicak tiba-tiba terjatuh ke tempat sujud, maka diharuskan bergerak ke tempat lain untuk mengelakkan terkena najis yang menyebabkan batal solat.
4. Menjawab salam dengan isyarat anak jari atau tangan.
5. Membetulkan imam dengan niat berzikir apabila imam tersilap seperti tersalah bilangan atau terlupa bacaan al-Fatihah.
Makmum lelaki dibolehkan membetulkan imam dengan bertasbih (subhanallah).
Bagi makmum wanita, perlu memperbetulkan imam dengan menepuk tangan ke atas belakang tapak tangan kiri.
6. Mengingatkan imam yang terlupa ayat yang sedang dibacanya. Makmum boleh mengingatkan dengan membaca bacaan itu.
7. Membaca dengan melihat al-Quran.
Seseorang yang tidak hafal surah atau ayat al-Quran yang hendak dibaca dalam solat, boleh melihat al-Quran atau lembaran kertas yang bertulis ayat tersebut.
8. Menggerakkan anggota badan seperti menggaru-garu di tempat yang gatal dengan syarat tidak sampai tiga kali berturut-turut.
Sekiranya menggaru menggunakan anggota kecil seperti jari, tidak mengapa apabila melebihi tiga kali.
Penutup
Saya berharap panduan ini dapat memberi pencerahan kepada anda.
Jika terdapat kesalahan dalam artikel ini, mohon perbetulkan saya.
Semoga kita sama-sama dapat belajar dan memperbetulkan amal ibadah kita kepada Allah.
Jika terdapat sebarang persoalan atau permasalahan berkaitan topik ini, anda boleh nyatakan perkara tersebut pada ruangan komen di bawah.
Tinggalkan Komen Anda..
Assalamualaikum ustaz. Jika tengah sujud terkena kt bahagian tengah antara 2 bulu kening tu dikira dahi ke ustaz? Solat saya sah ke ustaz?
Assalamualaikum ustaz. Jika di rakaat pertama saya yakin dah duduk antara dua sujud, tiba-tiba lintasan hati kata saya x lakukan duduk antara dua sujud di rakaat pertama. Blh ke saya mengabaikan lintasan hati tu ustaz?
Assalamualaikum ustaz. Ketika saya tengah memberi salam yg pertama, tiba-tiba lintasan hati kata saya salah baca tahiyyat akhir, sdgkan sy yakin sy dh baca tahiyyat akhir dgn betul. Dan saya terhenti lafaz salam ketika muncul lintasan hati itu. Dan saya lafaz salam sekali lagi. Adakah solat saya sah ustaz?
Assalamualaikum ustaz. Jika sedang solat subuh, ketika duduk tahiyyat akhir, saya yakin dah berada pada rakaat kedua, tiba2 lintasan hati kata baru rakaat pertama, blh ke saya mengabaikan lintasan hati itu?
Waalaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh.
Dalam situasi yang tuan hadapi ketika solat, hukum yang digunakan adalah berdasarkan “kaedah yakin tidak hilang dengan syak” (اليقين لا يزول بالشك).
Berikut adalah penjelasannya:
1/ Yakin Mengatasi Syak
2/ Lintasan Hati (Was-was)
Tuan boleh mengabaikan lintasan hati tersebut kerana keyakinan asal bahawa tuan sudah berada di rakaat kedua adalah lebih kuat dan sah. Jangan biarkan was-was mengganggu solat tuan.
Wallahu a‘lam.
Assalamualaikum ustaz. Jika kita rukuk bongkokkan badan dan kepala, tapi x sama rata dgn punggung, adakah rukuk kita tidak sah?. Sebab ketika rukuk saya ada terpijak kain jubah dr belakang. Maka saya rukuk setakat mn yg sy mampu dengan tomakninah. Tapi tangan saya x capai lutut. Kalau saya gerakkan kaki, takut terlebih 3 kali pergerakan. Adakah solat saya sah atau tidak sah?
Wa’alaikumussalam,
Dalam rukuk, syarat sah adalah badan dibongkokkan hingga menyerupai keadaan rukuk yang sempurna, dan tangan menyentuh atau hampir menyentuh lutut. Ia tidak disyaratkan kepala, punggung, dan badan mesti betul-betul sama rata, tetapi sekurang-kurangnya mesti jelas menunjukkan keadaan rukuk.
Berikut adalah beberapa penjelasan untuk situasi puan:
1. Rukuk Tidak Sama Rata
Jika puan rukuk dengan badan tidak sama rata kerana ada halangan (seperti kain jubah), tetapi bongkokan badan masih menyerupai rukuk, solat tetap sah selagi puan memenuhi syarat tomakninah (berhenti seketika dalam posisi tersebut).
Ketidaksempurnaan posisi kerana keadaan yang tidak disengajakan tidak membatalkan rukuk.
2. Tangan Tidak Mencapai Lutut
Dalam keadaan biasa, tangan perlu menyentuh lutut. Namun, jika keadaan tidak memungkinkan, seperti disebabkan kain yang menghalang, solat tetap sah jika rukuk itu dilakukan setakat kemampuan.
3. Pergerakan dalam Solat
Jika puan perlu menggerakkan kaki untuk membetulkan kain agar rukuk lebih sempurna, pergerakan ini dibolehkan dan tidak membatalkan solat, selagi ia tidak melebihi tiga kali pergerakan besar dalam satu rukun.
Kesimpulan
Solat puan tetap sah, kerana rukuk dilakukan dengan kemampuan terbaik dan tomakninah dipenuhi. Jika berlaku lagi situasi seperti ini, puan dibolehkan membuat sedikit pergerakan untuk membetulkan kain, agar posisi rukuk lebih sempurna. Jangan terlalu bimbang, kerana Allah tidak membebankan hamba-Nya melebihi kemampuan mereka.
Semoga Allah SWT menerima solat puan dan mempermudahkan urusan ibadah.
Wallahu a’lam.
Assalamualaikum ustaz,
Jika saya solat lelapkan mata sebab untuk elakkan rasa tidak kusyuk, contohnya tiba² perasan org yg sedang duduk disana ada yang memandang..sah ke solat saya atau apa hukumnya?
Lagi satu soalan saya, boleh ke saya kuatkan bacaan dalam solat saya utk lebih kusyuk jika terdengar bunyi suara TV atau radio atau suara org berbual kuat sehingga menganggu.. Sah ke solat saya atau apa hukumnya?
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,
1. Dalam mazhab Syafi’i, menutup mata ketika solat adalah makruh (dianjurkan untuk dielakkan) kecuali jika ada keperluan. Jika menutup mata membantu anda untuk lebih khusyuk dalam solat dan mengelakkan gangguan, maka ia dibolehkan. Solat anda masih sah walaupun mata ditutup asalkan rukun dan syarat solat dipenuhi.
2. Mengenai bacaan solat, jika anda berada dalam solat sunat atau solat fardhu yang sunat dikerjakan dengan bacaan yang nyaring (seperti Subuh, Maghrib, dan Isyak), anda boleh menguatkan bacaan anda untuk membantu khusyuk. Namun, jika dalam solat yang sunat dikerjakan dengan bacaan yang pelan (seperti Zuhur dan Asar), maka sebaiknya bacaan tetap pelan tetapi boleh dikuatkan sedikit jika perlu untuk mengatasi gangguan bunyi sekeliling. Solat anda tetap sah selagi anda mematuhi rukun dan syarat solat.
Dalam kedua-dua situasi, yang penting adalah niat dan usaha untuk meningkatkan kualiti solat dengan mengikut tuntutan syarak. Allah SWT Maha Mengetahui dan memahami usaha kita untuk mendekatkan diri kepada-Nya.
Ketika Iktidal kita tak baca sah tak solat
Waalaikumussalam.
Sah. Cuma dianjurkan untuk melakukan sujud sahwi.
الحمد الله… terima kasih…
Sama-sama
Terima kasih atas perkongsian ilmu. Sangat memberi manafaat. Semoga dirahmati Allah atas ilmu yg dikongsi. Aamiin.
Alhamdulillah, terima kasih atas maklumbalas :-)
Assalamualaikum ustaz.
Saya ada terdengar dari ustaz yang mengajar ditempat saya. Selain dari niat dalam takbiratulihram, ada lagi niat lain yang wajib kita niatkan . Sepertinya selepas Lafaz Allahuakbar. Sebelum baca doa iftitah atau alfatihah kita wajib niat bahawa lafaz takbir itu adalah zikir. Dan seterusnya takbir utk rukuq(intiqal)kena niat jugak dan seterusnya sehingga habis solat. Buleh ustaz tolong perjelaskan, sebab kalau tak niat ,solat akan terbatal. Betulkah.
Tuan Mohd Sabri Bin Mamat, saya bukan ustaz, sekadar mencelah soalan tuan yang tidak jelas. Adakah niat-niat lain setiap kali lafaz takbir berikutnya? Contoh niat untuk diberi kesihatan yang baik, niat untuk rumah tangga aman damai,,,, bagaimana?