
Apakah perbezaan antara darah haid, nifas dan istihadah?
Panduan ini akan membimbing anda mengenai fardu ain asas berkaitan darah haid, nifas dan istihadah secara lengkap dan tersusun.
Ia juga akan menerangkan hukum perkara berkaitan:
- Bagaimana tempoh suci dikira?
- Bagaimana permulaan tempoh nifas?
- Ibadah yang diharamkan
… dan sebagainya.
Oleh itu tanpa buang masa, mari kita mulakan.
Darah Haid
Pengertian Haid
Haid ialah darah kotor yang keluar dari rahim perempuan yang bukan darah penyakit.
Perempuan yang berada dalam keadaan haid atau nifas diharamkan solat dalam tempoh berkenaan.
Mereka juga tidak perlu menggantikan semula solat yang ditinggalkan itu.
Tempoh Haid
Tempoh haid berlaku sekurang-kurangnya sehari semalam iaitu 24 jam.
Tempoh paling lama adalah lima belas hari lima belas malam.
Kebiasaannya tempoh haid pada kebanyakkan wanita berlaku selama enam atau tujuh hari tujuh malam.
Diriwayatkan daripada Rasulullah SAW yang bersabda kepada Hamnah binti Jahsin r.ha. yang bermaksud:
Kamu didatangi haid enam atau tujuh hari dalam pengetahuan Allah, kemudian mandilah.
— Hadis riwayat Ahmad
Haid berwarna merah kehitaman, kuning tua atau berwarna coklat.
Sekiranya yang keluar itu berwarna putih, maka tidaklah dipanggil haid dan perempuan itu bukannya mengandung.
Ciri-Ciri Utama Darah Haid
Nabi Muhammad SAW telah menyifatkan darah haid dengan beberapa sifat tertentu:
- Dalam keadaan pekat
- Dalam keadaan seperti terbakar akibat kepanasan
- Keluar dengan perlahan-lahan dan tidak mengalir seperti cairan yang biasa mengalir
- Mempunyai bau yang busuk ditambah pula dengan warnanya yang hitam dan sangat merah
Rujukan:
Ahkam ‘Ibadah al-Mar’ah, ‘Umdah al-Qari jilid 3 halaman 217. Al-Haid wa Ahkamuhu, Dr. Kamil Musa Halaman 20. As-Syarkawi ‘ala Syarh at-Tahrir jilid 1 halaman 217. Ahkam al-Haid wal Istihadhah. Abdul Hajjaj halaman 100
Tempoh Suci Dari Haid
Tempoh haid paling sekejap ialah satu hari satu malam, dan tempoh yang paling lama ialah 15 hari 15 malam.
Manakala tempoh pada kebiasaan adalah enam atau tujuh hari.
Sekurang-kurangnya tempoh suci itu, mesti 15 hari 15 malam – ertinya antara dua haid mestilah 15 hari paling kurang tetapi tidak ada batasan tentang tempoh maksimumnya.
Darah Nifas
Pengertian Nifas
Nifas ialah darah yang keluar daripada rahim perempuan selepas melahirkan anak (bersalin)
Mazhab Syafi’e menyatakan bahawa darah nifas itu ialah darah yang keluar selepas selesai melahirkan anak.
Tetapi sekiranya bayi masih belum keluar kesemuanya, maka belum lagi dikatakan darah nifas tetapi darah yang keluar itu dikira darah penyakit.
Darah daripada rahim perempuan yang keguguran anak juga dipanggil darah nifas.
Tempoh sekurang-kurangnya satu lahzah (iaitu sedetik).
Kebiasaannya 40 hari dan tempoh maksimum 60 hari.
Maka tidaklah wujud 44 hari sebagaimana kepercayaan orang melayu.
Tempoh Nifas Bagi Perempuan Yang Melahirkan Anak Kembar
Bagaimana dengan perempuan yang melahirkan anak kembar?
Sekiranya seseorang perempuan melahirkan anak kembar, dua atau lebih, tempoh nifasnya dikira bermula daripada kelahiran anak yang terakhir dan bukannya anak yang pertama.
Ini bererti, walaupun selang masa kelahiran anak pertama dan terakhir adalah lama, namun masa nifas tetap dihitung sejak kelahiran anak yang terakhir.
Darah yang keluar pada kelahiran yang pertama dianggap darah haid (sekiranya kebiasaan haidnya tepat dengan ciri, dan tempoh biasa berlakunya haid).
Jika tidak, ia dianggap sebagai darah istihadah.
Terdapat beberapa perkara yang diharamkan dilakukan ketika seseorang itu dalam tempoh haid atau nifas.
Antaranya adalah:
- Solat (sembahyang)
- Membaca, menyentuh dan membawa al-Quran
- Tawaf
- Puasa (wajib qada puasa)
- Bersetubuh
- Bercerai. Tetapi talaknya jatuh.
Masalah Haid & Nifas
Orang yang sedang haid atau nifas boleh membaca sedikit ayat al-Quran seperti basmalah dengan niat zikir.
Begitu juga beberapa ayat dalam kategori pendinding diri seperti ayat kursi dan surah-surah 3 Qul.
Selain itu, tidak haram bagi seorang wanita yang haid melintasi masjid.
Ini sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dan lainya:
Daripada Aisyah r.ha. bahawa dia berkata, Rasulullah SAW telah bersabda kepadaku:”Ambilkan untukku sejadah di masjid”. Lalu aku berkata: “Sesungguhnya aku dalam keadaan haid”.
Sabda Rasulullah:”Sesungguhnya haidmu itu bukannya di tangan kamu”
— Hadis riwayat al-Bukhari (245) dan Muslim (316)
An-Nasa’i pula meriwayatkan daripada Maimunah r.ha. bahawa dia berkata:
Salah seorang daripada kami bangun membawa sejadah ke masjid, lalu dia menghamparkannya sedangkan di dalam keadaan haid”
— Hadis riwayat an-Nasa’i (1/147)
Darah Istihadah
Pengertian Istihadah
Sekiranya darah yang keluar melebihi daripada kebiasaan, contohnya melebihi maksimum haid seperti 15 hari maka darah yang lebih itu dikira istihadah atau darah penyakit.
Orang yang berdarah penyakit wajib menunaikan solat dan amalan-amalan lain sebagaimana orang biasa juga.
Istihadah ialah darah yang keluar dari faraj perempuan bukan semasa haid atau nifas.
Ia disifatkan sebagai darah penyakit.
Tiap-tiap darah yang keluar dari rahim yang melebihi atau kurang dari haid atau nifas, maka darah itu dikira sebagai istihadah.
Perlu diingatkan bahawa perempuan yang darahnya keluar sebagaimana yang tersebut, tidak dikenakan sebarang larangan seperti orang haid dan nifas.
Mereka hanya perlu sentiasa memperbaharui wuduk tatkala hendak mengerjakan ibadah solat dan lain-lain yang diwajibkan berwuduk.
Solat Orang Beristihadah
Orang yang beristihadah jika hendak mengerjakan solat perlu mengambil kira perkara-perkara berikut:
- Berwuduk hanya apabila telah masuk waktu solat setelah membersihkan darah berkenaan serta meletakkan sesuatu balutan terlebih dahulu, lalu terus bersolat. Dia tidak boleh menunggu melainkan untuk solat berjemaah.
- Mereka hanya boleh solat satu fardu an beberapa solat sunat sahaja.
Sumber Rujukan Dan Penutup
Sumber rujukan dalam menghasilkan panduan ini adalah Modul Fardu Ain Diri, Keluarga dan Masyarakat Sepanjang Hayat, Indahnya Hidup Bersyariat oleh Dato’ Ustaz Ismail Kamus.
Jika anda mempunyai sebarang persoalan berkaitan haid, nifas dan istihadah, anda boleh meninggalkan soalan tersebut pada ruangan komen di bawah.
Saya akan cuba membantu sebaik mungkin.
Semoga panduan ini memberi manfaat!
Waalaikumussalam puan Ain,
Dalam Mazhab Syafi‘e, tempoh haid maksimum ialah 15 hari, dan tempoh suci minimum antara dua haid ialah 15 hari.
Kes puan: haid bermula 16/1 (7 hari). Jika keluar darah semula pada 28/1, itu masih dalam lingkungan 15 hari dari permulaan haid (lebih kurang hari ke-13). Jadi kebiasaannya ia dianggap sambungan haid (haid terputus-putus), bukan haid baru.
Hari-hari yang benar-benar kering / keluar putih (tanda suci) di tengah-tengah itu dikira suci, jadi puan wajib solat pada hari tersebut. Bila darah keluar semula, puan berhenti solat semula.
Jika darah itu berterusan sampai melebihi 15 hari dari 16/1, maka selepas cukup 15 hari, baki darah dihukum istihadah. Mandi wajib, bersihkan & pakai pad, kemudian ambil wuduk selepas masuk waktu dan solat seperti biasa.
Wallahu a‘lam.
Assalamualaikum saya nak tanya, saya period 16/1 sehingga 7 hari. Pada 28/1 keluar lagi darah. Adakah itu darah haid atau istihadhah? Terima kasih ustaz