Masalah Darah Haid Putus-Putus (Fatrah al Naqa’)

Masalah Darah Haid Putus-Putus

Apakah hukum bagi masalah darah haid putus-putus dan bersambung pada hari berbeza?

Panduan ini akan menerangkan secara lengkap berkaitan masalah ini.

Contoh situasi juga disediakan bagi membantu anda faham dan memahami hukumnya dengan lebih jelas.

Semoga bermanfaat..

Gambaran Masalah Darah Haid Putus-Putus

Masalah di atas boleh digambarkan seperti berikut:

Seorang wanita yang sedang mengalami haid, tiba-tiba darah itu berhenti beberapa waktu atau beberapa hari, dalam tempoh dia masih haid.

Selepas itu didapati darah keluar kembali.

Ada kemungkinan haid berlaku berulang kali dalam tempoh kebiasaan haid.

Persoalannya, adakah masa-masa atau hari-hari darah terhenti itu dikira sebagai hari-hari haid atau hari-hari suci?

Hukum Dan Penjelasan

Masalah terhenti darah dalam tempoh haid ini dikenali sebagi fatrah al-naqa.

Ia bermaksud hari-hari berhenti atau tidak keluar darah di permukaan faraj dan juga tidak ada kesan darah dalam faraj.

Definisi Naqa’

Menurut mazhab Syafi’e, naqa’ didefinisikan sebagai bersih daripada darah.

Antara kaedah untuk memastikannya ialah dengan memasukkan kapas ke dalam faraj.

Jika masih putih bersih dan tidak ada kesan darah termasuklah warna keruh setelah dikeluarkan, maka ia dihukumkan sebagai naqa’.

Imam al-Nawawi menjelaskan dalam kitab al-Raudhah al-Talibin juz 1 halaman 163, terjemahannya:

(Dikira) Naqa’ sekiranya wanita itu memasukkan kapas ke dalam farajnya dan warnanya masih putih setelah dikeluarkan. Penetapan makna naqa’ ini adalah penetapan yang telah dibuat oleh Imam al-Syafi’e dalam kitab al-Umm, dan juga penetapan oleh syeikh-syeikh yang tiga.

Hukum Naqa’

Apabila terjadinya naqa’ (bersih daripada darah) di antara tempoh sekurang-kurangnya haid (1 hari 1 malam) sehingga sebanyak-banyaknya haid (15 hari 15 malam), maka ia dihukumkan sebagai tempoh haid menurut pandangan muktamad dalam mazhab Syafi’e.

Perkara ini dijelaskan dalam kitab Mughni al-Muhtaj juz 1 halaman 293:

Pendapat yang paling jelas bahawa naqa’ (haid putus-putus) di antara tempoh sekurang-kurang haid sehingga sebanyak-banyak haid adalah dikira sebagai haid.

Berapa Lama Tempoh Naqa?

Menurut pandangan muktamad dalam mazhab Syafi’e, tempoh naqa’ yang berada dicelah-celah tempoh haid dihukumkan sebagai tempoh haid.

Perkara ini menurut kitab Mughni al-Muhtaj juz 1 halaman 293 (rujuk petikanya pada perenggan di atas)

Contoh Masalah Dan Hukum Penyelesaiannya

Untuk memahami bagaimana hukum terpakai terhadap masalah ini, sila ikuti contoh gambaran situasi di bawah:

Zara keluar darah pada hari Isnin jam 8.00 pagi sehingga jam 10.00 pagi hari Rabu.

Ini bermakna, tempoh keluar darah ialah dua hari dua jam.

Kemudian terjadi naqa’ (bersih daripada darah) bermula jam 10.00 pagi hari Rabu sehingga jam 2.00 petang hari Jumaat (dua hari empat jam).

Selepas itu, darah keluar semula pada jam 2.00 petang hari Jumaat sehingga jam 2.00 petang hari Isnin (tiga hari).

Hukum bagi situasi di atas:

  1. Darah yang keluar sejak jam 8.00 pagi hari isnin sehingga jam 10.00 pagi hari rabu ialah darah haid.
  2. Manakala darah yang keluar semula pada jam 2.00 petang hari Jumaat sehingga jam 2.00 petang hari Isnin juga dikira sebagai darah haid.
  3. Tempoh naqa’ (bermula pada jam 10.00 pagi hari Rabu sehingga jam 2.00 petang hari Jumaat) juga dihukumkan sebagai tempoh haid. Hal ini kerana ia terjadi di antara keluarnya darah haid.

Persoalannya, adakah Zara wajib mandi hadas bagi membolehkannya berpuasa dan menunaikan solat fardu sepanjang tempoh naqa’ tersebut?

Jawapannya:

Ya, wajib ke atasnya untuk mandi wajib bagi membolehkannya melakukan kewajipan tersebut.

Hal ini kerana pada tempoh tersebut itu, dia dikira suci daripada haid.

Justeru itu, dia bebas daripada penghalang sekali gus diwajibkan untuk menunaikan kewajipan sebagaimana wanita yang suci.

Status Hukum Bagi Wanita Yang Pertama Kali Mengalami Naqa’ Dan Yang Sudah Pernah Mengalami Naqa

Hukum bagi wanita yang mengalami naqa’ ini terbahagi kepada dua, iaitu wanita yang pertama kali mengalaminya dan wanita sudah pernah melaluinya sebelum ini.

Penjelasan hukum bagi dua golongan wanita ini adalah seperti berikut:

Jika Pertama Kali Berlaku

Para ulama mazhab Syafi’e bersepakat mengatakan wanita yang mengalami naqa’ buat kali pertama dalam tempoh haid wajib mengambil hukum suci sepanjang tempoh tersebut.

Hal ini bertepatan dengan intipati daripada kitab yang dinyatakan sebelum ini.

Disamping itu, seharusnya kita tahu bahawa wanita yang pertama kali mengalami naqa’ dalam tempoh haid tidak semestinya berlaku pada golongan mubtada’ah sahaja, tetapi boleh juga terjadi pada golongan mu’tadah.

Nota

  • Mubtada’ah = Wanita pertama kali datang haid
  • Mu’tadah = wanita yang pernah datang haid sebelum ini

Jika Berlaku Lagi Pada Bulan Seterusnya

Para ulama mazhab Syafie berselisih pandangan berkenaan status hukum bagi keadaan ini — sama ada perlu mengambil hukum suci ataupun haid.

Hal ini sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Ibn Hajar al-Haithami dalam Kitab Tuhfaj al-Muhtaj Bi Syarhi al-Minhaj, terjemahannya:

Pada bulan yang kedua dan bulan-bulan berikutnya, wanita tersebut tidak boleh mengerjakan sesuatu pun daripada hukum-hukum suci kerana apa yang zahirnya ialah (keadaannya) pada bulan kedua ini sama sahaja seperti bulan pertama.

Hukum ini dinilai sahih oleh Imam al-Rafi’i.

Penilaian sahih ini boleh diterima, namun apa yang dinilai sahih oleh Imam al-Nawawi dalam kitab al-Tahqiq dan kitab al-Raudhah — ia menakalkan — adalah sama seperti apa yang terkandung dalam kitab majmu’ bahawa bulan kedua dan bulan-bulan berikutnya adalah seperti bulan pertama.

Contoh Kes Dan Situasi

Berikut adalah contoh situasi yang menggambarkan masalah ini:

Pada kebiasaannya, Adilah datang haid selama tujuh hari tanpa ada sebarang naqa’ (berhenti darah) dalam tempoh tersebut.

Pada bulan September, darahnya keluar pada hari Isnin bermula jam 8.00 pagi sehingga hari Rabu jam 8.00 pagi.

Bermakna, tempoh darahnya keluar genap dua hari.

Kemudian dia mengalami naqa’ bermula jam 8.00 pagi hari Rabu sehingga jam 12.00 tengahari hari Jumaat (dua hari empat jam).

Setelah itu, darahnya keluar semula jam 12.00 tengahari hari Jumaat sehingga jam 2.00 petang hari Isnin (tiga hari dua jam)

Berdasarkan situasi dan keadaan yang dialami Adilah, maka status hukumnya seperti berikut:

  1. Darah yang keluar bermula jam 8.00 pagi hari Isnin sehingga jam 8.00 pagi hari Rabu adalah darah haid.
  2. Darah yang keluar semula bermula jam 12.00 tengahari hari Jumaat sehingga jam 2.00 petang hari Isnin juga dikira darah haid.
  3. Tempoh naqa’ bermula jam 8.00 pagi hari Rabu sehingga jam 12.00 tengahari hari Jumaat juga dihukumkan sebagai tempoh haid kerana ia berlaku di antara tempoh haid.
  4. Hakikatnya, Adilah tidak mengetahui bahawa tempoh berhenti darah tersebut merupakan tempoh naqa’ sehinggalah keluar semula darah pada jam 12.00 tengahari hari Jumaat.
  5. Justeru itu, setelah berhentinya darah (yang keluar kali pertama), dia wajib mandi dan mengerjakan solat seperti biasa kerana ada kemungkinan darahnya berhenti terus.

    Namun disebabkan darahnya keluar semula (jam 12.00 tengahari hari Jumaat), maka dia wajib meninggalkan solat, puasa dan seumpamanya kerana darah tersebut dihukumkan sebagai darah haid memandangkan masih dalam tempoh 15 hari.
  6. Berkenaan tempoh haid pada bulan tersebut, Adilah dikira haid selama 7 hari 6 jam, bermula pada jam 8.00 pagi hari Isnin sehinggalah jam 2.00 petang hari Isnin berikutnya.

    Adapun tempoh naqa’ juga dikira haid memandangkan ia berlaku dalam tempoh 15 hari; tempoh maksimum haid.

Pada bulan berikutnya iaitu bulan Oktober, Adilah datang haid bermula jam 8.00 pagi hari Sabtu sehingga jam 8.00 pagi hari Isnin (dua hari).

Kemudian dia naqa’ (berhenti darah) bermula jam 8.00 pagi hari Isnin.

Berkenaan tempoh naqa’ pada bulan kedua ini, para ulama berselisih pandangan dalam menetapkan hukumnya seperti berikut:

  1. Wajib mengambil hukum suci sebagaimana bulan sebelumnya. Justeru, wajib ke atasnya untuk mandi, solat dan berpuasa.
  2. Wajib mengambil hukum haid sepanjang tempoh naqa’ tersebut.

    Hal ini sebagaimana bulan sebelumnya iaitu dengan menganggap bahawa tempoh naqa’ merupakan tempoh haid kerana kemungkinan darah akan keluar semula.

    Justeru itu, dia tidak boleh mengerjakan solat, berpuasa dan seumpamanya.

    Sekiranya Adilah mengambil pandangan yang kedua (tempoh naqa’ yang berlaku ada bulan kedua dikira haid), maka dia perlu memastikan beberapa perkara berikut:
    • Memeriksa farajnya pada jam 2.00 petang hari Sabtu seterusnya memandangkan pada tempoh tersebut telah genap 7 hari 6 jam (sebagaimana tempoh haid pada bulan September sebelumnya)
    • Jika darahnya tidak keluar semula sehinggalah jam 2.00 petang hari Sabtu, maka dia wajib mandi, solat dan berpuasa.

      Hal ini kerana pada tempoh tersebut, haidnya dikira telah berakhir memandangkan telah cukup 7 hari 6 jam (berpandungan tempoh haid bulan sebelumnya)
    • Justeru itu, solat dan puasa yang ditinggalkan bermula pada hari Isnin (permulaan tempoh naqa’) wajib diqada kerana jelas bahawa tempoh tersebut merupakan tempoh mula suci (darah tidak keluar semula).

Punca Permasalahan: Mari Fahami Kembali Definisi Haid

Untuk merungkai masalah-masalah berkaitan haid, pastinya kita perlu memahami definisi haid.

Definisi haid adalah seperti berikut:

دم جبلة يخرج من أقصى رحم المرأة في حال الصحة في أوقات مخصوصة

Terjemahan: “Darah kebiasaan yang keluar dari bahagian yang paling hujung dalam rahim seorang wanita dengan jalan sihat”

Kita sedia maklum bahawa haid adalah darah.

Justeru, jika tidak ada darah, maka tidak ada haid sekaligus membolehkan wanita tersebut mengerjakan kewajipan-kewajipan sebagaimana wanita suci.

Isu menjangkakan darah akan keluar semula setelah berhenti (tempoh naqa’) kerana masih belum mencapai tempoh kebiasaan haid merupakan perkara yang tidak harus timbul.

Tidak dinafikan, soal kemungkinan inilah yang kerap dimainkan oleh sebilangan orang yang tidak memahami permasalahan haid sama ada wanita mahupun asatizah sendiri, sedangkan kemungkinan itu sesuatu yang belum pasti.

Jika berlakunya isu sebegini: Terdapat beberapa perkara yang harus diteliti dan diakui khususnya berkaitan aspek-aspek berikut:

  1. Bilangan Hari Haid Yang Berubah-ubah

    Kita perlu tahu bahawa bilangan hari haid seseorang wanita boleh sahaja berubah. Hal ini bukan sekadar teori dalam kitab-kitab fiqh, namun secara praktikalnya juga begitu.

    Tanyalah para wanita yang telah lama datang haid. Pasti mereka akui dakwaan ini.
  2. Pertembungan Antara Dua Kemungkinan; Berhenti Terus Atau Keluar Semula

    Seorang wanita mendapati darah haidnya berhenti pada jam 10.00 pagi hari Rabu.

    Persoalannya, ada kemungkinankah darah itu berhenti terus? Jawapannya, ya.

    Sememangnya ada kemungkinan darah berhenti terus sebagaimana ada kemungkinan ia akan keluar semula.

    Namun antara dua kemungkinan tersebut, yang manakah lebih kuat?

    Jawapannya, kemungkinan darah berhenti terus lebih kuat berbanding darah keluar semula.

    Hal ini kerana tidak ada darah itu adalah keadaan yang asal. Manakala keluar darah merupakan hal yang baharu.
  3. Kewajipan Tidak Gugur Dengan Keraguan

    Hakikatnya, keraguan yang timbul bahawa ada kemungkinan darah akan keluar semula selepas ia berhenti tidak akan menggugurkan kewajipan solat dan puasa.

    Atas sebab inilah para wanita mutahayyirah tetap wajib mengerjakan solat dan puasa memandangkan darah yang keluar itu tidak diyakini haid.

    Dalam kaedah fiqh ada menyatakan: الْيَقِينُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ

    Maksudnya: “Suatu hukum yang dibina dengan keyakinan tidak akan dihilangkan hanya kerana keraguan.”

Status Solat Yang Dikerjakan Dalam Tempoh Naqa ; Dikira Sah Atau Tidak?

Jika seorang wanita mengerjakan solat dalam tempoh naqa, apakah hukumnya?

Hal ini kerana dia menyangka haidnya telah berhenti lalu mandi wajib dan mengerjakan solat.

Namun setelah selesai solat, dia dapati darah haidnya keluar semula. Mohon penjelasan

Pada dasarnya, seseorang wanita memang tidak mengetahui bahawa tempoh berhentinya darah itu adalah tempoh naqa’ melainkan setelah keluar semula darah sebelum tamatnya tempoh maksimum haid (15 hari 15 malam)

Justeru itu, sebaik sahaja darah berhenti, setiap wanita perlu mengambil hukum wanita suci tanpa perlu menunggu tempoh tertentu.

Hal ini kerana zahirnya, darah itu telah berhenti sedangkan dia tidak mengetahui bahawa darah tersebut akan keluar semula.

Bagi keadaan ini, dia diwajibkan untuk mandi wajib, kemudian melaksanakan perintahNya seperti biasa sama ada solat, puasa dan sebagainya.

Tidak ada khilaf bahawa wanita pada hari naqa’ itu perlu mengerjakan pekerjaan (kewajipan) sebagaimana wanita-wanita yang suci kerana darah itu mungkin tidak akan keluar semula. Namun jika darah keluar semula, maka hukumnya turut berubah.

— Kitab al-Najmu al-Wahhaj Syarhi Fi al-Minhaj juz 1 halaman 511

Apabila seorang wanita melihat naqa’ (tiada darah) pada hari yang kedua, maka dia perlu mengerjakan pekerjaan (kewajipan) wanita-wanita yang suci tanpa ada khilaf. Hal ini kerana kita tidak mengetahui bahawasanya dia adalah wanita talfiq kerana berkemungkinan berterusan berhenti darah tersebut. Kata ulama mazhab Syafi’e, ‘maka wajib ke atasnya mandi, puasa dan solat. Dan dia juga boleh membaca al-Quran, menyentuh mashaf, bertawaf, beriktikaf dan bersama dengan suaminya. Tiada sedikit pun khilaf dalam hal ini.

— Imam al-Nawawi menjelaskan dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzah juz 2 halaman 502-503

Adapun jika darah keluar semula dalam tempoh 15 hari 15 malam dan tidak berterusan keluar sehingga melebihi tempoh tersebut, maka ketika itu barulah diketahui tempoh berhenti darah itu ialah tempoh naqa’ sahaja.

Bermakna, darah yang keluar semula dikira darah haid.

Ibadah Yang Dilakukan Sah Atau Tidak?

Ibadah solat dan puasa yang dikerjakan dalam tempoh naqa’ dikira tidak sah menurut pandangan muktamad mazhab Syafi’e.

Ini kerana antara syarat sah solat dan puasa ialah suci daripada haid dan nifas sebagaimana sabda Rasulullah:

Bukankah seorang wanita apabila sedang haid, dia tidak perlu solat dan tidak berpuasa?

— Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Jika Ibadah Tersebut Sudah Dilakukan, Adakah Dikira Berdosa?

Memandangkan wanita itu sendiri tidak mengetahui tempoh itu adalah tempoh naqa’ melainkan setelah tamatnya tempoh itu, maka dia dikira tidak berdosa.

Meskipun demikian, wajib ke atas mereka untuk qada semula puasa wajib yang ditinggalkan sebagaimana pandangan muktamad mazhab Syafi’e.

Akan tetapi, solat yang ditinggalkan tidak perlu diqada semula.

Perkara ini sebagaimana yang dijelaskan dalam kitab al-Taqrirat al-Sadidah Fi al-Masa’il al-Mufidah halaman 166, terjemahannya:

  1. Jika dia telah mengerjakan solat dalam tempoh tersebut, maka tidak sah solatnya namun tidak wajib ke atasnya untuk qada semula.
  2. Jika dia telah berpuasa dalam tempoh tersebut, maka tidak sah puasanya dan wajib ke atasnya untuk qada semula puasa tersebut.

Kesimpulan Dari Masalah Ini

Sekiranya darah haid seorang wanita itu telah kering sebelum sampai tempoh kebiasaan buat pertama kalinya, juga tidak ada apa-apa kesan darah termasuk yang berwarna keruh..

… maka dia perlu mengambil hukum wanita suci.

Ini bermakna, dia wajib mandi, solat dan puasa tanpa perlu menunggu sehingga tibanya tempoh adat kebiasaan.

Namun jika darah keluar semula dalam tempoh 15 hari dan berhenti sebelum hari ke-16, maka keseluruhan tempoh naqa’ (berhenti darah) itu dihukumkan sebagai tempoh haid menurut pandangan muktamad mazhab Syafi’e.

Adapun jika berlaku situasi yang sama pada bulan berikutnya, maka para ulama berselisih pendapat berkenaan hukumnya sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini.

Nota Rujukan:

  1. Soal Jawab Fiqh Ibadah, Jilid 1, Bab Taharah, Darah Wanita & Solat — Ustaz Abu Usamah @ Mohd Hanapiah Haji Hussin.
  2. Darah Wanita, Pandangan Ulama dan Pakar Perubatan — Prof. Madya Dr. Anisah Ab. Ghani
  3. DARAH HAID TERPUTUS DALAM TEMPOHNYA — Laman Web Jabatan Mufti Negeri Terengganu [Pautan]
  4. AL-KAFI #894 : TOMPOKAN DARAH KURANG DARIPADA 24 JAM SEWAKTU UMRAH — Laman Web Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan [Pautan]
Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

0 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments