ISTIHADAH: Hukum & Penjelasan Lengkap (Berserta Contoh)

darah istihadah

Apakah maksud darah istihadah?

Ini adalah panduan lengkap tentang istihadah

Segala perkara berkaitan istihadah seperti cara mengenalpasti sifat darah, kaedah pengiraan hari, dan sebagainya akan diterangkan secara lengkap dalam panduan ini.

Panduan ini sedaya upaya menggunakan bahasa yang mudah agar difahami oleh semua orang.

Semoga bermanfaat.

Pengenalan

Para ilmuan Islam dan pakar perubatan mengesahkan ketiga-tiga darah haid, istihadah dan nifas mempunyai fungsi serta peranan besar kepada wanita.

Mereka berpendapat melalui pemerhatian dan kajian bahawa wanita yang teratur pusingan haidnya setiap bulan adalah wanita yang sihat dan subur.

Sedangkan wanita yang menghadapi masalah kitaran haid yang tidak menentu setiap bulan adalah petunjuk kepada masalah kesihatan yang dihadapinya.

Dengan itu secara tidak langsung, aliran darah haid sebenarnya menjadi ujian perubatan semulajadi untuk menentukan kesihatan wanita setiap bulan.

Sementara itu, wanita yang mengalami pendarahan diluar waktu haid juga menunjukkan masalah kesihatan. Darah ini dikenali sebagai darah istihadah atau darah penyakit.

Selain itu, Islam juga meletakkan hukum berbeza kepada wanita yang mengalami pendarahan ini berdasarkan kriteria-kriteria tertentu.

Takrif Maksud Istihadah

Dari Sudut Bahasa

Istihadah berasal daripada perkataan haid (حيض)

Dari Sudut Syarak

Istihadah ialah darah yang mengalir daripada faraj wanita di luar waktu haid atau nifas.

Ia adalah darah penyakit atau darah kotor yang keluar daripada saluran darah di bahagian bawah rahim.

Hukum Darah Istihadah

Persamaan Larangan Dengan Haid Dan Nifas

Fuqaha keempat-empat mazhab sepakat menyatakan bahawa perempuan yang istihadah adalah hadas yang berterusan sama seperti orang tidak lawas kencing, air mazi, tahi, atau angin, dalam keadaan mereka yang menghadapi penyakit ini tidak dapat mengawalnya.

Sementara Hanafiah dan Hanabilah menyamakannya dengan orang yang berdarah hidung dan orang yang lukanya tidak berhenti keluar darah.

Oleh itu, sebagaimana hukumnya dalam masalah hadas yang berterusan seperti ini, perempuan yang didatangi darah istihadah dikecualikan melakukan perkara-perkara yang diharamkan ke atas perempuan haid atau nifas.

Dalil-Dalil Berkaitan Hukum Istihadah

1. Sayyidatina Aisyah r.ha. pernah meriwayatkan bahawa Fatimah binti Hubaisy r.ha. bertanya kepada Rasulullah SAW katanya:

“Saya ialah seorang wanita yang sering istihadah dan tidak pernah bersih. Adakah saya perlu meninggalkan solat?”

Baginda SAW bersabda: “Jangan, kerana ia ialah darah yang keluar daripada saluran darah dan bukan haid. Jika kamu haid hendaklah kamu meninggalkan solat dan apabila telah selesai (kering haid) hendaklah kamu membasuh darah tersebut dan bersolat”

— Riwayat al-Nasa’i dalam Sunan al-Nasa’i, Haid dan Istihadah
2. Rasulullah SAW pernah memerintahkan Hamnah binti Jahsy r.ha. agar bersolat dan berpuasa ketika dia dalam keadaan istihadah (Riwayat al-Bukhari, al-Nasa’i dan Abu Daud)

3. Abu Daud meriwayatkan daripada ‘Ikrimah, daripada Hamnah bin Jahsy r.ha. bahawa dia berada dalam keadaan istihadah ketika bersetubuh denan suaminya.

Katanya, Ummu Habibah juga dalam keadaan istihadah apabila suaminya menggaulinya. Hamnah adalah isteri Talhah dan Ummu Habibah adalah isteri Abdul Rahman al-‘Auf (Riwayat Abu Daud, Ahmad dan al-Tirmizi)

Cara Mengenal Pasti Darah Istihadah

Darah istihadah boleh dikenalpasti dari beberapa perkara berikut:

  • Darah yang keluar daripada wanita yang belum baligh
  • Darah yang keluar daripada wanita hamil mengikut mazhab Hanafi dan Hanbali.
  • Darah yang keluar dalam tempoh yang kurang daripada tempoh paling singkat haid seorang wanita sehari semalam (24 jam).
  • Darah yang keluar melebihi tempoh haid paling lama seorang wanita (15 hari).
  • Darah yang keluar melebihi tempoh paling lama darah nifas (60 hari).

Perkara Yang Harus Dilakukan Oleh Perempuan Istihadah

Hukum darah istihadah adalah tidak sama dengan hukum darah haid, oleh itu wanita yang mengalami istihadah perlu:

  • Bersolat, sama ada solat fardu atau sunat.
  • Berpuasa, sama ada yang wajib atau sunat.
  • Tawaf.
  • Membaca al-Quran.
  • Menyentuh mashaf
  • Masuk ke dalam masjid.
  • Beriktikaf di dalam masjid.

Keadaan Darah Istihadah

Kadar Tempoh Dan Cara Mengenali

Terdapat tiga kaedah untuk mengenal pasti darah istihadah dan membezakannya daripada haid atau nifas.

Kaedah 1: Meneliti Ciri-Ciri Darah (Tamyiz)

Sekiranya darah tersebut kehitaman, bererti ia adalah darah haid. Jika sebaliknya, ia adalah darah istihadah.

Sekiranya seorang perempuan dapat membezakan darah yang keluar sama ada darah haid atau istihadah melalui pemerhatian terhadap kebiasaannya, dia boleh menggunakan kaedah ini untuk menentukan hukum.

Ini berdasarkan apa yang berlaku ke atas Fatimah binti Hubaisy r.ha. ketika didatangi darah istihadah.

Rasululullah SAW memberikan panduan untuk mengklasifikasikan darah haid atau istihadah.

Jika darah haid, ia adalah berwarna hitam yang biasa dikenali. Jika darah haid itu keluar hendaklah kamu berhenti dan jangan kamu menunaikan solat. Jika ia (darah) yang lain (bukan darah haid), hendaklah kamu berwuduk dan bersolat, justeru ia adalah darah yang keluar daripada saluran darah (darah istihadah).

— Riwayat Abu Daud dalam Sunan Abi Daud, kitab Taharah: Bab sesiapa yang berkata apabila haid hendaklah meninggalkan solat.
Contoh Kes

Seorang wanita yang mengalami pendarahan secara berterusan, tetapi pada hari kesepuluh kelihatan perbezaan sifat darah:

WARNA

Sehingga hari kesepuluh, darah berwarna hitam (merah kehitaman) manakala selepas itu, ia berwarna merah. Maka darah yang berwarna hitam adalah haid, darah yang berwarna merah adalah istihadah.

KEPEKATAN

Sehingga hari kesepuluh, darah bersifat pekat manakala selepas itu menjadi cair. Maka darah yang pekat adalah haid, darah yang cair adalah istihadah.

BAU

Sehingga hari kesepuluh, darah memiliki bau manakala selepas itu, tiada lagi bau. Maka darah yang berbau itu adalah haid, dan darah yang tidak berbau adalah istihadah.

Kaedah 2: Berdasarkan Kebiasaan Seorang Perempuan

Ini berdasarkan riwayat Aisyah r.ha. tentang Fatimah binti Hubaisy r.ha yang bertanya kepada Rasulullah berkaitan masalah istihadah, adalah dia perlu meninggalkan solat. Baginda menjawab:

Tidak, kerana ia adalah darah yang keluar daripada saluran darah (darah istihadah). Tinggalkanlah solat pada tempoh haid yang biasa bagi kamu, kemudian hendaklah kamu mandi dan mendirikan solat.

(Riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab Haid)

Perkara yang sama berlaku kepada Ummu Habibah r.ha, isteri Abdul Rahman bin al-‘Auf, apabila dia mengadu kepada Rasulullah SAW tentang istihadah.

Rasulullah berkata kepadanya:

Duduklah (tanpa perlu bersolat) selama tempoh yang biasanya kamu haid. Selepas itu mandilah (mandi junub). (Berikutan itu) dia mandi setiap kali mahu bersolat

(Riwayat Muslim dalam Sahih Muslim, kitab Haid: Bab perempuan istihadah, mandinya dan solatnya)
Contoh Kes

Sekiranya kebiasaan tempoh haid seorang perempuan adalah lima hari setiap bulan, kemudian suci selama 14 hari dan kemudian keluar darah lebih daripada kedua-dua masa tersebut, maka darah tersebut adalah darah istihadah.

Kaedah 3: Berdasarkan Kebiasaan Wanita Lain

Wanita yang tidak memiliki masa (tempoh dan putaran) haid yang tetap dan tidak juga memiliki sifat-sifat darah yang dapat dibezakan antara haid dan istihadah, maka baginya masa haid diukur berdasarkan kebiasaan kaum wanita terdekat, waktu selebihnya dikira sebagai istihadah.

Misalnya wanita yang menghadapi kes seperti ini melihat darah keluar secara berterusan bermula pada hari Khamis yang pertama dalam bulan tersebut.

Maka dia hendaklah melihat kebiasaan para wanita yang lain yang dekat dengannya dan menjadikan tempoh haid mereka sebagai ukuran ke atas dirinya.

Jika pada kebiasaannya mereka didatangi haid selama enam atau tujuh hari, maka demikianlah juga ukuran ke atas dirinya.

Oleh itu enam atau tujuh hari yang pertama pendarahan, bermula daripada hari Khamis, dianggap sebagai haid. Hari-hari seterusnya dianggap sebagai istihadah.

Kaedah yang dicetuskan para fuqaha sejak berabad lamanya ini mempunyai landasan yang tepat berdasarkan kajian saintifik moden.

Berdasarkan pemerhatian, ritma putaran haid seorang wanita berubah berdasarkan pelbagai faktor seperti pemakanan, jenis pekerjaan dan bangsa.

Perbezaan Darah Haid Dan Istihadah

Perbezaan keadaan darah bagi menentukan darah haid atau istihadah adalah seperti berikut:

Darah Pekat (Kuat) Dianggap Sebagai Darah haidDarah Cair (Lemah) Dianggap Sebagai Darah Istihadah
Merah Pekat (Kehitaman)Merah
Merah PekatMerah Muda
MerahKuning
Merah MudaKeruh

Perbezaan Sifat Antara Darah Kuat Dan Darah Lemah

Keadaan Darah Kuat Keadaan Darah Lemah
Darah kental atau likatDarah cair
Darah berbau kuatDarah kurang baunya

Bagaimanakah kaedah pengiraan untuk membezakan haid dan istihadah?

Adakah sekadar kurang 15 hari 15 malam dikira haid, dan jika lebih dikira sebagai istihadah?

Sebagaimana yang kita sedia maklum, sebanyak-banyak tempoh haid ialah 15 hari 15 malam menurut mazhab Syafi’e.

Hal ini sebagaimana yang dijelaskan dalam kitab al-Muqaddimah al-Hadhramiyah halaman 51:

Sekurang-kurang (tempoh) haid sehari semalam. Sebanyak-banyak (tempoh) haid 15 hari 15 malam.

Justeru itu, maka difahami bahawa darah yang keluar dalam tempoh 15 hari 15 malam dan berhenti sebelum masuk hari ke-16 adalah darah haid, walaupun kiraannya menyalahi adat dan kebiasaan sebelum ini.

Dijelaskan dalam kitab al-Najmu al-Wahhaj Fi Syarhi al-Minhaj juz 1 halaman 498:

Seorang wanita melihat (keluar darah) dalam tempoh umur haid (sembilan tahun dan ke atas) sekurang-kurangnya (sehari semalam) dan tidak melepasi sebanyak-banyaknya (15 hari 15 malam), maka kesemuanya adalah haid, sama ada bersamaan tempoh tersebut dengan adat sebelum ini atau sebaliknya, juga sama ada sama warnanya atau berbeza. Ini kerana syarat-syarat haid telah berkumpul padanya.

Ini bermakna, darah yang keluar semula pada hari yang ke-16 meskipun telah berhenti sekejap sebelumnya, ia dihukumkan sebagai darah istihadah.

Hal ini kerana ia keluar sebelum cukup sekurang-kurangnya tempoh suci, iaitu 15 hari 15 malam.

Contoh Situasi

Untuk memahami permasalahan ini dengan lebih jelas, sila teliti contoh-contoh berikut:

PertamaKhadijah mendapati darahnya mula keluar pada jam 10.00 pagi 1 Muharam. Justeru, tempoh 15 hari 15 malam bagi beliau ialah pada jam 10.00 pagi 16 Muharam. Sekiranya darah Khadijah berhenti sebelum melepasi jam 10.00 pagi 16 Muharam, maka kesemua darah tersebut dikira sebagai darah haid.

Katakanlah darah Khadijah berhenti tepat pada jam 10.00 pagi 16 Muharam, maka darah yang keluar sejak jam 10.00 pagi 1 Muharam sehingga 10.00 pagi 16 Muharam masih dikira sebagai haid. Kadarnya ialah 15 hari 15 malam, iaitu kadar maksimum tempoh haid.

Namun jika darahnya keluar semula sebelum cukup tempoh suci 15 hari 15 malam, maka darah tersebut dihukumkan sebagai darah istihadah.
KeduaAsma’ mula keluar darah pada jam 10.00 pagi 1 Muharam. Justeru, tempoh 15 hari 15 malam bagi beliau ialah pada jam 10.00 pagi 16 Muharam.

Jika darahnya keluar berterusan tanpa henti sehingga melepasi jam 10.00 pagi 16 Muharam, maka perlu dilihat dan dikenalpasti semula dimanakah status dan posisi dirinya antara tujuh kategori wanita mustahadah (sila rujuk bahagian seterusnya di bawah).

Setelah mengetahui perkara tersebut dengan jelas, maka ketika ini boleh ditentukan tempoh haid yang sebenar, dan begitu juga tempoh istihadah.

Golongan Wanita Mustahadah

Mustahadah (مستحاضة) bermaksud wanita yang mengalami istihadah.

Memahami anda berada pada golongan yang mana adalah penting bagi menentukan hukum yang akan terpakai terhadap diri anda.

Berikut adalah penjelasan berserta contoh bagi setiap golongan wanita mustahadah.

1. Mubtadaah Mumayyizah

Iaitu wanita yang kali pertama keluar darah haid dan dia mampu membezakan sifat-sifat darah yang tiga;

  • Warna darah (hitam, merah, perang, kuning, keruh)
  • Bau darah (hanyir kuat, hanyir tidak kuat)
  • Kepekatan darah

Darah yang bersifat kuat dihukumkan sebagai darah haid, manakala darah yang bersifat lemah dikira istihadah dengan dua syarat, iaitu:

  1. Darah yang bersifat kuat itu keluar tidak kurang sehari semalam.
  2. Darah yang bersifat kuat itu keluar tidak lebih 15 hari 15 malam.

Imam al-Nawawi menjelaskan dalam kitab Minhaj al-Tholibin Wa ‘Umdatu al-Muftiin halaman 19, terjemahannya:

Jika darah tersebut melepasi sebanyak-banyak tempoh haid (15 hari 15 malam), maka perlu dilihat sama ada wanita tersebut kali pertama datang haid dan dia mampu membezakan sifat darah; yang kuat dan yang lemah. Darah yang lemah itu merupakan darah istihadah, manakala darah yang kuat itu ialah haid dengan syarat (tempoh keluarnya) tidak kurang sehari semalam dan tidak lebih 15 hari 15 malam.

Contoh Situasi

Ain baru sahaja datang haid buat pertama kalinya pada bulan Ramadan.

Pada jam 7.00 pagi 1 Ramadan, darahnya mula keluar. Sifat darah yang keluar adalah pekat berwarna hitam serta kuat baunya dan berterusan sehingga jam 9.00 pagi 8 Ramadan.

Selepas itu, warna darah kian bertukar kemerahan sehinggalah jam 7.00 pagi 19 Ramadan.

Justeru itu, tempoh haid Ain ialah selama tujuh hari dua jam, iaitu tempoh darah hitam bermula dari 7.00 pagi 1 Ramadan sehingga 9.00 pagi 8 Ramadan.

Manakala darah merah yang keluar selepas jam 9.00 pagi 8 Ramadan sehingga 7.00 pagi 19 Ramadan adalah darah istihadah.

Ini kerana darah hitam itu adalah darah yang bersifat kuat, manakala darah merah adalah darah yang lemah sifatnya.

2. Mubtadaah Ghair Mumayyizah

Iaitu wanita yang kali pertama keluar darah haid namun dia tidak mampu membezakan sifat-sifat darah yang tiga itu.

Justeru itu, hukum yang terpakai padanya ialah tempoh haidnya sehari semalam sahaja dan tempoh sucinya selama 29 hari.

Maka, darah yang keluar dalam tempoh suci itu dihukumkan sebagai darah istihadah.

Daur (kitaran haid dan sucinya) adalah sebanyak 30 hari sekiranya darah masih keluar tanpa henti melebihi 30 hari.

Imam al-Nawawi menjelaskan hal ini dalam kitab Minhaj al-Tolibin Wa ‘Umdatu al-Muftiin halaman 19-20, terjemahannya:

Atau wanita yang pertama kali datang haid namun dia tidak mampu membezakan sifat darah seperti dia melihat darah hanya satu sifat sahaja, atau tidak ada satu pun syarat tamyiz, maka menurut pandangan yang lebih zahir ialah haidnya sehari semalam dan tempoh sucinya sebanyak 29 hari.

Contoh Situasi

Habsah datang haid buat pertama kalinya.

Darahnya bewarna hitam pekat serta berbau kuat bermula jam 7.00 pagi 1 Ramadan sehinggalah 15 Syawal.

Meskipun panjang tempohnya, namun warna darah, bau dan pekatnya sama sahaja.

Dalam keadaan ini, tempoh haid Habsah hanyalah sehari semalam sahaja, iaitu bermula jam 7.00 pagi 1 Ramadan sehingga 7.00 pagi 2 Ramadan.

Selepas tempoh tersebut (jam 7.00 pagi 2 Ramadan sehingga jam 7.00 pagi 1 Syawal), darah yang keluar dihukumkan sebagai darah istihadah.

Kemudian, bermula dari jam 7.00 pagi 1 Syawal sehingga 7.00 pagi 2 Syawal, darah tersebut dikira kitaran haid yang baharu baginya.

Selepas jam 7.00 pagi 2 Syawal sehinggalah 15 Syawal, darah yang masih keluar dianggap darah istihadah.

3. Mu’tadah Mumayyizah

Iaitu wanita yang pernah keluar darah haid sebelum ini dan dia mampu membezakan sifat-sifat darah yang tiga, iaitu:

  • Warna darah (hitam, merah, perang, kuning, keruh)
  • Bau darah (hanyir kuat, hanyir tidak kuat)
  • Kepekatan darah

Hukumnya sama seperti hukum mustahadah bagi kategori wanita pertama; mubtadaah mumayyizah

Justeru itu, haidnya ialah darah yang sifatnya kuat dan istihadahnya ialah darah yang sifatnya lemah berasaskan dua syarat yang telah dinyatakan sebelum ini (tempohnya tidak kurang sehari semalam dan tidak lebih 15 hari 15 malam).

Imam al-Nawawi menjelaskan hal ini dalam kitab Minhaj al-Tolibin Wa ‘Umdatu al-Muftiin halaman 20, terjemahannya:

Dihukumkan bagi mu’tadah mumayyizah dengan tamyiznya (sifat darah; kuat ialah haid, lemah ialah istihadah), bukannya dengan adat sebelumnya. Ini menurut padangan yang lebih sahih.

4. Mu’tadah Ghair Mumayyizah

Iaitu wanita yang pernah datang haid sebelum ini namun tidak mampu membezakan sifat-sifat darah yang tiga.

Justeru itu, hukum haidnya adalah sama tempoh dan kadarnya sebagaimana bulan sebelumnya.

Dalam erti kata lain, kaedah menghukumkannya adalah berpandukan tempoh kebiasaan haidnya pada bulan-bulan sebelum dari sudut nisbah kadar dan waktunya.

Contoh Situasi

Pada bulan lepas, Dayah datang haid pada jam 10.00 pagi 3 Syaaban sehinggalah 1.00 petang 10 Syaaban.

Ini bermakna, kadar haidnya ialah tujuh hari tiga jam. Waktunya adalah pada awal bulan.

Menjelang 1 Ramadan pada jam 8.00 pagi, dia mendapati ada darah berwarna merah cair dan berbau keluar sehingga jam 8.00 pagi 20 Ramadan.

Sepanjang tempoh tersebut, sifat-sifat darah sama sahaja, tidak ada perbezaan walaupun sedikit.

Justeru itu, haidnya dikira bermula jam 10.00 pagi 3 Ramadan sehingga 1.00 petang 10 Ramadan sebagaimana adat dan kebiasaannya pada bulan lepas (Syaaban).

Darah yang keluar bermula jam 8.00 pagi 1 Ramadan sehingga jam 10.00 pagi 3 Ramadan dihukumkan sebagai darah istihadah.

Begitu juga darah yang masih keluar selepas jam 1.00 petang 10 Ramadan sehingga jam 8.00 pagi 20 Ramadan, ia juga dikira darah istihadah.

5. Mutahiyyarah Zakirah Lil Wakti Dun al-Kadr

Iaitu wanita yang pernah keluar darah haid sebelum ini.

Namun pada bulan ini, darah keluar melebihi 15 hari 15 malam dan dia tidak mampu membezakan sifat-sifat darah tersebut.

Adapun tempoh haidnya pada bulan lepas, dia hanya ingat waktunya sahaja dan lupa kadarnya.

6. Mutahiyyarah Zakirah Lil Kadr Dun al-Wakt

Iaitu wanita yang pernah keluar darah haid sebelum ini.

Namun pada bulan ini, darah keluar melebihi 15 hari 15 malam dan dia tidak mampu membezakan sifat-sifat darah tersebut.

Adapun tempoh haidnya pada bulan lepas, dia hanya ingat kadarnya sahaja dan lupa waktunya.

7. Mutahiyyarah Muthlaqah

Iaitu wanita yang pernah keluar darah haid sebelum ini.

Namun pada bulan ini, darah keluar melebihi 15 hari 15 malam dan dia tidak mampu membezakan sifat-sifat darah tersebut.

Adapun tempoh haidnya pada bulan lepas, dia terlupa kadar dan waktunya.

Sejujurnya, tiga kategori terakhir ini (golongan 5, 6 & 7) melibatkan perbahasan yang panjang oleh para ulama.

Justeru itu, untuk memahami perbahasannya dengan jelas, maka perlu bertalaqqi dengan guru yang alim dan mahir dalam bab haid dan istihadah.

Hukum Taharah Untuk Wanita Istihadah

Jumhur fuqaha sepakat menyatakan bahawa wanita istihadah WAJIB berwuduk setiap kali solat.

Tetapi sebelum itu, perempuan tersebut hendaklah membersihkan farajnya daripada darah dan menutup farajnya dengan kain, kapas atau lebih baik dengan tuala wanita untuk menghalang darah mengalir keluar.

Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW kepada Hamnah ketika dia mengadu tentang darah istihadah yang terlalu banyak.

Baginda SAW bersabda, maksudnya:

Elok untuk kamu gunakan kapas, kerana ia menghilangkan (menyerap) darah

(Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Dalil yang menyatakan perempuan istihadah wajib berwuduk untuk setiap solat fardu adalah berdasarkan ulasan Rasulullah SAW tentang wanita istihadah.

Baginda SAW bersabda, maksudnya:

(Perempuan tersebut) hendaklah meninggalkan solat pada (kebiasaan) waktu haidnya. Kemudian mandi dan berwuduk pada setiap solat, dan berpuasa dan bersolat (seperti biasa).

(Riwayat al-Tirmizi dalam Sunan al-Tirmizi, kitab Taharah Rasulullah SAW: Bab tentang perempuan istihadah berwuduk pada setiap solat)

Ini kerana wuduk perempuan haid hanya taharah darurat, dan ia bergantung dengan waktu, seperti tayamum.

Niat Wuduk Perempuan Istihadah

Wuduk yang diambil oleh perempuan istihadah hanya untuk membolehkannya menunaikan solat kerana darurat, sedangkan ia tidak mengangkat hadas besar.

Oleh itu, dia hendaklah berniat wuduk atau niat mengharuskan solat dan sebagainya:

niat wuduk istihadah

Maksudnya: “Aku berwuduk”

niat wuduk istihadah

Maksudnya: “Aku berniat untuk mengharuskan apa yang memerlukan kepada wuduk”

niat wuduk istihadah

Maksudnya: “Aku berniat untuk mengharuskan solat”

Keempat-empat mazhab juga sepakat menyatakan bahawa perempuan istihadah hanya wajib mandi sekali sahaja.

Penutup

Semoga panduan ini memberi manfaat kepada para pembaca.

InsyaAllah, tulisan ini saya akan kemaskini dari masa ke semasa agar ia menjadi semakin lengkap, dan memudahkan anda mencari maklumat yang diperlukan mengenai istihadah.

Jika anda mempunyai sebarang persoalan berkaitan topik, anda boleh tinggalkan komen pada ruangan di bawah.

(Jangan lupa untuk sahkan persetujuan menerima notifikasi dalam emel anda)

InsyaaAllah saya akan menjawab setiap soalan yang ditinggalkan.

Nota Rujukan:

  • Indahnya hidup bersyariat — Dato’ Ismail Kamus & Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid
  • Soal Jawab Fiqh Ibadah Jilid 1, Bab Taharah, Darah Wanita & Solat — Ustaz Abu Usamah @ Mohd Hanafiah Haji Hussin
  • Ensiklopedia Solat — Rohizir Rais, Fuad Ismail & Mohd Wahid Abd Hanif
Photo of author

Muhamad Naim

Penulis utama dan ketua editor. Menubuhkan web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

84 thoughts on “ISTIHADAH: Hukum & Penjelasan Lengkap (Berserta Contoh)”

  1. Assalamualaikum ustaz, sy alami satu condition namanya ovulation pain/mittelschmerz dimana, sampai je fasa ovulasi (bbrp hari slps habis period) bhg ovari sy sakit seperti senggugut smpi keluar darah.
    (boleh cari di google utk maklumat lanjut)

    Bagi sy, darah tu keluar merah pekat pada mulanya dan lama kelamaan jadi coklat. Bau dia hampir sprt darah period. Bezanya darah ni memang akan keluar sekali dengan keputihan (mix). Darah keluar dan tamat dalam 15 hari tempoh maksimum haid.
    Adakah darah tersebut haid atau istihadah ustaz. Mohon penerangan terimakasih

    Reply
    • Waalaikumussalam warahmatullah Puan Hani,

      Dalam mazhab Syafi‘e, penentuan haid/istihādah bukan semata-mata sebab perubatan atau “rupa” darah, tetapi lebih utama pada kiraan hari.

      Sila semak 3 perkara ini:

      1/ Kiraan 15 hari (maksimum haid)

      Kira bermula dari titisan darah haid pertama (Hari 1).

      Jika tompokan/pendarahan semasa ovulasi itu berlaku masih dalam lingkungan 15 hari 15 malam dari Hari 1 haid (walaupun di tengah ada beberapa hari “kering”), maka ia termasuk dalam haid (fatrah).

      Dalam keadaan ini, darah merah pekat/coklat itu masih haid, dan hari-hari “kering” di tengah juga dikira dalam haid.

      2/ Kiraan 15 hari (minimum suci antara dua haid)

      Jika darah ovulasi itu keluar selepas Puan benar-benar suci dan sudah berlalu sekurang-kurangnya 15 hari 15 malam tempoh suci, barulah ia boleh jadi haid baharu (jika memenuhi syarat lain).

      Jika tempoh suci belum cukup 15 hari, maka darah itu istihādah.

      3/ Tempoh minimum haid 24 jam

      Jika darah itu keluar sekadar sekejap/spotting dan tidak sampai terkumpul 24 jam, ia tidak dikira haid (jadi istihādah), walaupun warnanya pekat dan baunya seperti darah period.

      Nota: Darah yang bercampur keputihan (merah/coklat/kuning keruh) tetap dianggap darah selagi ada warna darah.

      Apa yang perlu dibuat jika ia istihādah: solat tetap wajib. Bila masuk waktu, bersihkan, pakai pelapik, kemudian ambil wuduk dan terus solat (darah yang berterusan dimaafkan dalam waktu itu).

      Jika sakit ovulasi kuat atau pendarahan kerap/luar biasa, elok juga dapatkan pemeriksaan doktor untuk pastikan puncanya.

      Wallahu a‘lam.

      Reply
  2. Assalamualaikum ustaz. Jika ada darah istihadah, saya dah membersihkan kemaluan bila masuk waktu solat, dah pakai pad, ambik wuduk, dan solat. Jika tengah solat, ada tercakap, pastu ulang balik solat dengan wuduk yg sama sebab belum settle lg solat, adakah solat saya sah ustaz? Sebab lepas solat sy dapati xde darah kt pad. Ke jika dh batal solat kena istinjak semula dan amik wuduk semula?

    Reply
    • Wa‘alaikumussalam warahmatullāh.

      Insya-Allah solat puan sah.

      Jika ketika solat tercakap hingga solat terbatal, puan boleh ulang semula dengan wuduk yang sama selagi masih dalam waktu yang sama dan tiada perkara lain yang membatalkan wuduk (contoh: keluar angin).

      Bagi darah istihādah, selepas masuk waktu, bersihkan, tahan/alas (pad/tisu), kemudian ambil wuduk dan terus solat. Aliran yang berterusan dimaafkan untuk tempoh waktu solat itu. Tidak perlu ulang istinjak/wuduk setiap kali mula semula, kecuali jika tamat waktu atau berlaku hadas lain.

      Selepas solat puan lihat tiada darah pada pad, itu lebih meyakinkan bahawa solat tadi tidak terjejas.

      Yang terbatal tadi hanyalah solat (kerana bercakap), bukan wuduk. Teruskan kaedah ini pada waktu-waktu seterusnya, dan semoga Allah memudahkan serta menerima ibadah puan.

      Reply
  3. Assalamualaikum ustaz,nak tanya adakah saya perlu berwuduk jika ingin qadha solat?

    Contoh : saya terlepas solat asar, ketika waktu solat maghrib. Adakah saya teruskan qadha solat dengan mengunakan wuduk solat maghrib tadi atau berwuduk sekali lagi?

    Reply
    • Waalaikumussalam warahmatullah.

      • Jika uzur istihadah (hadath berterusan): Satu wuduk hanya untuk satu solat fardu sahaja (sama ada ada’ atau qada’). Jadi, tunaikan Maghrib dengan wuduk Maghrib, kemudian perbaharui wuduk untuk qada’ Asar. Solat sunat boleh dilakukan sebanyak mana dengan wuduk yang sama dalam waktu itu.
      • Jika bukan istihadah: Selagi wuduk tidak batal, ia boleh digunakan untuk beberapa solat, termasuk qada’, tanpa perlu wuduk baharu.

      Dahulukan solat waktu (Maghrib), kemudian qada’ (Asar).

      Wallahu a’lam

      Reply
  4. Assalamualaikum ustaz,

    Saya perasan kitaran haid saya 3 utk bulan terakhir sehingga kini dah berubah menjadi 7 hari haid, lepastu suci 4 hari, lepas suci 4 hari keluar darah merah segar tapi keluar sekali shj.

    Persoalan saya;
    1) Adakah darah itu istihadah atau haid? Saya keliru, boleh jadi darah istihadah sbb darah tu keluar sekali, lepas tempoh suci 4 hari, tak sampai 24 jam, tak menepati haid.

    Lagi satu, kitaran haid saya dari pertama kali haid mmg 7 hari, pada mulanya ikut adat saya anggap istihadhah, tetapi macam yg saya mention tadi, sudah 3 kali kitaran haid yg lepas menujukkan pattern yg sama (darah merah segar keluar sekali slps 4 hari suci), adakah patut saya ikut adat kitaran yang baru?

    Ataupun… adakah ianya darah haid sebab tempoh keluar kedua dua darah itu tidak melebihi 15 hari 15 malam?

    2) Ustaz mention di komen sebelumnya tempoh suci antara 2 haid mesti minimum 15 hari 15 malam, saya masih keliru adakah ini hanya utk darah yang dikira haid atau juga termasuk darah yg dalam kategori istihadah?

    Contohnya… kalau seorang wanita ni dia kira tempoh suci antara 2 kitaran darah yang dikira tempoh haid shj, cukup 15 hari 15 malam. tapi tempoh pertama kitaran haidnya ada darah istihadah selepas darah haid tu, jadi tak cukup 15 hari 15 malam,

    3) Mana yang perlu diutamakan utk menentukan ianya darah haid atau istihadhah, adat tempoh seseorang tu haid atau tempoh maksimum haid 15 hari 15 malam?

    Mohon pencerahan, terima kasih.

    Reply
    • Wa‘alaikumussalam Puan,

      1) Darah yang keluar selepas 4 hari kering itu tetap dikira haid kerana ia berlaku sebelum cukup 15 hari suci. Empat hari kering tersebut sebenarnya masih dalam lingkungan haid (fatrah), bukan suci sebenar. Maka dari hari pertama haid hingga keluar darah seterusnya (dalam lingkungan 15 hari) kesemuanya dihukum haid.

      2) Syarat suci 15 hari adalah jarak antara dua haid yang sah. Darah istihādah tidak memutuskan tempoh suci itu, kerana ia bukan haid. Jadi, haid baharu hanya bermula selepas cukup 15 hari suci daripada tamat haid sebelumnya.

      3) Yang diutamakan ialah had syarak:

      • Maksimum haid = 15 hari.
      • Minimum suci = 15 hari.

      Adat digunakan bila darah melebihi 15 hari tanpa putus. Dalam keadaan itu, tempoh haid ditentukan berdasarkan adat, selebihnya istihādah.

      Dalam kes Puan, corak yang berulang (7 hari darah + 4 hari kering + keluar darah sekali) tetap dihitung sebagai haid berterusan sehingga hari ke-12, kerana masih dalam had 15 hari. Selepas itu barulah bermula kiraan suci.

      Jika darah berpanjangan melepasi 15 hari, hanya tempoh adat (7 hari) dihukum haid, manakala selebihnya istihādah.

      Pada waktu istihādah, puan perlu solat seperti biasa: bersihkan diri dan berwuduk pada setiap masuk waktu.

      Semoga pencerahan ini membantu dan Allah memudahkan urusan.

      Wallāhu a‘lam.

      Reply
  5. assalamualaikum ustaz, sy ada beberapa soalan…

    1) bagaimana jika darah itu keluar setiap hari sehingga kitaran haid yg baru (dan berterusan sehingga bulan setetusnya tanpa sehari/hanya bbrp hari shj tempoh suci)?

    2) sekiranya wanita tu hanya ada sehari tempoh suci sblm haid yg baru, dan haid seterusnya wanita itu kembali normal 7 hari.. tapi disebabkan kiraan darah fasad kena cukup 15 hari, 7 hari itu termasuk dlm fasad dan dikira istihadah

    jadi nak kira tempoh suci utk haid yg seterusnya lagi, adakah perlu tunggu tempoh habis waktu suci 15 hari sekali fasad, barulah kira tempoh suci yg baharu atau,
    terus kira sebaik shj darah tidak keluar?

    3) jika lepas istihadah, suci utk beberapa hari, selepas itu keluar semula darah istihadah. adakah perlu mandi wajib lagi?

    4) jika tempoh haid tidak menentu… kdg2 lebih 15 hari, kdg2 kurang.
    contohnya secara adat haid seminggu.
    lepas seminggu, boleh ke solat/puasa mcm biasa, kalau sampai lebih/kurang 15 hari pun tidak perlu ganti semula…

    mohon penerangan ya ustaz… terima kasih

    Reply
    • Waalaikumussalam warahmatullah puan,

      Terima kasih atas pertanyaan puan. Berikut adalah jawapan secara ringkas dan jelas mengikut Mazhab Syafi‘e:

      1. Darah keluar setiap hari secara berterusan
      Jika darah keluar secara berterusan tanpa henti melebihi 15 hari, maka 15 hari pertama sahaja dikira sebagai haid.

      Hari ke-16 dan seterusnya dianggap sebagai istihadah. Selepas 15 hari itu, puan wajib mandi wajib dan meneruskan solat serta puasa seperti biasa, dengan mengambil wuduk setiap kali masuk waktu solat.

      2. Jika hanya ada sehari tempoh suci sebelum keluar darah semula
      Tempoh suci minimum antara dua haid adalah 15 hari. Jika tempoh suci kurang daripada 15 hari, darah selepas sehari suci itu dianggap istihadah, bukan haid. Puan tidak perlu menunggu 15 hari baru mandi; sebaik sahaja darah berhenti, puan mandi wajib dan terus solat serta puasa seperti biasa.

      Untuk mengira haid seterusnya, puan hanya boleh mula kira apabila ada tempoh suci yang cukup 15 hari atau lebih.

      3. Selepas istihadah, suci beberapa hari, kemudian keluar semula istihadah, adakah perlu mandi wajib?
      Tidak perlu mandi wajib semula kerana istihadah bukan haid, ia hanya hadas kecil. Hanya perlu berwuduk setiap kali masuk waktu solat.

      4. Haid tidak menentu, kadang-kadang lebih atau kurang 15 hari
      Jika haid berhenti sebelum atau pada hari ke-15, selesai sahaja darah berhenti, puan mandi wajib, solat dan puasa seperti biasa.

      Jika darah keluar melebihi 15 hari, hanya kira 15 hari pertama sahaja sebagai haid. Darah hari seterusnya adalah istihadah. Solat dan puasa yang puan lakukan selepas tempoh maksimum haid (15 hari) adalah sah, tidak perlu diqada semula.

      Semoga penerangan ini membantu puan dalam memahami keadaan tersebut dengan lebih jelas. Jika ada kekeliruan lanjut, puan boleh bertanya semula.

      Wallahu a‘lam.

      Reply
      • Assalammualaikum ustaz mintak maaf saya desperate nak tanya sebab ada banyak pendapat & saya pesakit OCD bermaksud duduk di tandas nak menyucikan diri tersangatlah lama, apatah lagi nak berwuduk setiap kali solat disebabkan istihadah.

        • Darah haid biasa: 8/8 – 14/8 (6 hari)
        • Pada tempoh suci anggaran hari ke 12-14 selepas haid (27/8 – 28/8): tiba tiba ada pendarahan sikit (itu pun nampak macam darah lama sebab stain warna coklat kehitaman lama)
        • 30/8: Pendarahan warna coklat on & off sikit sikit sahaja bermula
        • 31/8 (2:30pm): Pendarahan mula lebat seperti period biasa sehingga lah ke hari ini

        Isu:

        • Tempoh suci kurang dari 15 hari. Difahamkan perlu menyempurnakan baki tempoh suci iaitu, kalau sudah kotor pada hari 12-14 tempoh suci selepas haid (kurang dari 15 hari yang sepatutnya), maka anggap seperti istihadah dan solat seperti biasa sehingga la “mencukupkan 15 hari tempoh suci”, dan darah yang berterusan pada hari ke 15 tempoh suci dan seterusnya (sampai sekarang) dianggap haid. Kiranya, 2 hari dianggap istihadah, dan bermula 1/9, 2/9 dah boleh anggap seperti haid sebab darah masih berterusan?

        Betul ke kefahaman saya atas pandangan mufti KL & beberapa pendapat lain.

        Sumber rujukan: https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3881-al-kafi-1476-tempoh-suci-antara-dua-haid

        Terima kasih ustaz, mintak tolong sangat jawab.

        Reply
        • Wa‘alaikumussalam Puan,

          Berdasarkan tarikh yang Puan sebutkan, kiraannya adalah begini:

          8/8 – 14/8 → haid (6 hari).

          15/8 – 29/8 → tempoh suci (cukup 15 hari).

          Tompokan 27–28/8 (coklat/kehitaman) = istihādah, kerana belum genap 15 hari suci. Solat tetap wajib seperti biasa.

          30/8 → bermula darah semula, dan kerana tempoh suci 15 hari telah lengkap pada 29/8, maka darah 30/8 dikira haid baharu.

          31/8 dan seterusnya → masih dalam haid selagi belum melebihi 15 hari, atau sehingga darah berhenti.

          Maksudnya, haid Puan bermula 30/8, bukan 1/9. Kefahaman bahawa kena cukupkan 15 hari suci dahulu itu memang betul, dan dalam kes puan tempoh itu telah genap pada 29/8.

          Jika darah berlarutan melebihi 15 hari dikira dari 30/8 (iaitu selepas 13/9), maka hanya 6 hari pertama (30/8–4/9) dihukum haid kerana itu ‘adat’ Puan, dan hari selebihnya dianggap istihādah.

          Dalam keadaan istihādah, Puan tetap wajib solat seperti biasa.

          Setiap kali masuk waktu, bersihkan faraj, pakai pad, kemudian berwuduk.

          Wuduk itu sah untuk semua solat dalam waktunya walaupun darah masih keluar.

          Tidak perlu mandi setiap kali, cukup mandi wajib selepas tamat haid.

          Semoga Allah permudahkan urusan Puan dan menerima ibadah Puan.

          Wallāhu a‘lam.

          Reply
  6. Assalamualaikum ustaz,

    Tempoh kebiasaan haid saya 7 hari.

    Tapi kalini,
    Hari 1-7 : Haid spt biasa
    Hari 8: Suci
    Hari 9-17: Keluar darah semula (sama sifat dgn darah haid yg biasa)

    Ini kefahaman saya;

    Jika darah sdh melebihi 15 hari, kena mandi wajib dan solat spt biasa (bersihkan dari hadas dahulu),
    Dan saya qada solat utk hari 9-15.

    Jika darah keluar berturut turut (hari) tp tdk melebihi 15 hari maka darah itu dikira haid

    Kalau ada jarak, cthnya hari 1-5 haid, hari 6-9 suci, hari 10-12 ada darah semula,
    hari yg dikira suci, mandi wajib & solat spt biasa

    Jika contoh, haid dtg seperti biasa 7 hari, hari seterusnya suci sampai hari ke 16, lepastu keluar darah semula.
    Dikira darah hari ke 16 itu darah istihadah sebab hanya 9 hari suci ( perlu 15 hari suci utk dikira darah haid )

    Mohon pembetulan sekiranya ada kesalahan 🙏 Syukran ustaz

    Reply
    • Waalaikumussalam warahmatullah,

      Terima kasih atas pertanyaan yang dikemukakan. Berikut adalah penerangan mudah berdasarkan situasi puan menurut pandangan Mazhab Syafi‘e:

      Secara asasnya:

      • Tempoh maksimum darah haid adalah 15 hari.
      • Tempoh minimum suci antara dua haid pula adalah 15 hari.

      Berdasarkan keadaan puan:

      • Hari 1–7: Dikira haid seperti kebiasaan puan.
      • Hari ke-8: Sudah suci. Puan perlu mandi wajib dan melakukan solat seperti biasa.
      • Hari 9–17: Darah yang keluar semula ini sudah melebihi tempoh maksimum haid (melebihi 15 hari termasuk hari yang suci tadi). Maka darah ini tidak lagi dianggap haid, tetapi dikira sebagai darah istihadah (darah penyakit).

      Apa yang perlu puan lakukan sekarang?

      1. Mandi wajib selepas hari ke-7 (sekiranya puan belum melakukannya).
      2. Puan perlu qada solat yang ditinggalkan bermula hari ke-8 hingga hari ke-17 (kerana tempoh ini sebenarnya darah istihadah, bukan darah haid).
      3. Dalam keadaan istihadah:
      • Bersihkan darah tersebut, tukar pelapik, dan berwuduk setiap kali masuk waktu solat.
      • Puan boleh melakukan ibadah seperti biasa (solat, puasa, baca al-Quran).

      Haid puan hanya 7 hari seperti biasa, manakala darah selepas itu dikira darah istihadah.

      Semoga jawapan ini jelas dan membantu puan.

      Wallahu a‘lam.

      Reply
  7. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh ustadz
    Saya izin bertanya

    Saya kan haidnya dari tanggal 7 februari sampe tanggal 24 februari itu keluar darah tapi yang hari ke 10 sampai 15 darah yg keluar nggak banyak 

    Lalu tangga 25 26 darah nya udh enggak keluar lagi ustadz

    Lalu ustadz sekarang tanggal 27 darahnya keluar lagi ustadz waktu sore tadi
    Trus perut sebelah kiri juga sakit
    Kaya haid yg kalau haid seperti awal haid

    Waktu bulan bulan kemarin juga saya haidnya akhir bulan

    Tapi yg bulan februari saya haidnya awal bulan tanggal 7 ustadz

    Jsdi saya mau bertanya yang sekarang keluar itu darah haid atau istihadhah ustadz?

    Terima kasih ustadz

    Reply
    • Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh puan,

      Berdasarkan maklumat yang puan berikan:

      🔹 Haid bermula 7 Februari hingga 24 Februari – ini melebihi 15 hari maksimum haid menurut Mazhab Syafie.
      🔹 Hari ke-16 dan seterusnya (22 – 24 Februari) dikira sebagai istihadah.
      🔹 25 & 26 Februari darah berhenti – tetapi tempoh suci hanya 2 hari (belum cukup 15 hari).
      🔹 27 Februari keluar darah semula – kerana tempoh kering belum cukup 15 hari, darah ini masih dianggap istihadah, bukan haid baharu.

      Apa yang perlu dilakukan?

      • Puan wajib solat seperti biasa sepanjang istihadah.
      • Ambil wuduk baharu setiap kali masuk waktu solat (jika darah masih keluar).
      • Jika darah terus keluar, boleh guna tuala wanita atau pantyliner, kemudian berwuduk semula setiap kali masuk waktu solat.

      Jadi, darah yang keluar pada 27 Februari bukan haid, tetapi masih istihadah kerana belum ada jarak suci 15 hari sejak darah terakhir.

      Semoga jawapan ini membantu.

      Reply
  8. ASSALAMUALAIKUM Ustaz,
    saya nak tanya tentang kitaran haid saya.
    saya mula haid 10/10 tidak pasti waktunya , dan berterusan sehingga 3/11
    ( total panjang hari 25 hari ) . sepanjang haid cuma tompokan darah dan hanya pakai panty liner sahaja.

    pada 26/10 tersebut sudah cukup 15 hri . Pada 27 sudah dikira istihadah kan?
    seterusnya, darah saya berhenti dan kering pada 3/11. Darah haid saya untuk seterusnya bermula kembali pada 23/11. sya memang dari awal haid period berpanjangan. kiraan saya adakah benar?

    Reply
    • Waalaikumussalam puan,

      Terima kasih atas soalan puan. Berdasarkan kiraan puan, haid yang bermula pada 10/10 dan berterusan hingga 3/11 (25 hari) melebihi tempoh maksimum haid menurut Mazhab Syafie, iaitu 15 hari.

      🔹 Hari ke-1 hingga ke-15 (10/10 – 24/10) dikira sebagai haid.
      🔹 Hari ke-16 dan seterusnya (25/10 – 3/11) dikira sebagai istihadah.

      Jadi, bermula 25/10, puan sudah berada dalam keadaan istihadah dan perlu solat seperti biasa dengan mengambil wuduk setiap kali masuk waktu solat (jika darah masih keluar).

      Seterusnya, darah berhenti pada 3/11, dan haid kembali pada 23/11. Jarak antara tempoh suci (4/11 – 22/11) adalah 19 hari, melebihi minimum 15 hari suci. Oleh itu, darah yang keluar pada 23/11 dikira sebagai haid baharu.

      Kesimpulan:

      ✔️ Kiraan puan betul – darah selepas 15 hari pertama ialah istihadah.
      ✔️ Darah yang keluar pada 23/11 adalah haid baharu kerana jarak sucinya mencukupi.

      Semoga jawapan ini membantu.

      Reply
  9. Assalam ustaz, kitaran haid sy betubah dari 29 ke 26 dan kini 23 . Ia menyebabkan tempoh suci sy kurang 15 hari selama 3 bulan berturut-turut. Ciri ii darah yg keluar serupa dgn darah haid . Adakah ia dikira darah istihadhah ?

    Reply
    • Waalaikumussalam.

      Berkenaan dengan perubahan kitaran haid dan tempoh suci yang lebih pendek daripada 15 hari, perkara ini memerlukan pemahaman yang tepat berdasarkan mazhab Syafi’e.

      Dalam fiqh, ada beberapa peraturan yang berkaitan dengan haid dan istihadhah:

      1. Tempoh minimum haid:
      Tempoh minimum bagi haid adalah sehari semalam (24 jam), dan tempoh maksimum adalah 15 hari.

      2. Tempoh suci minimum antara dua haid:
      Tempoh minimum antara dua kitaran haid (tempoh suci) adalah 15 hari. Jika tempoh suci awak kurang daripada 15 hari, maka darah yang keluar selepas itu tidak dianggap haid, tetapi dikira sebagai darah istihadhah.

      3. Ciri-ciri darah haid dan istihadhah:
      Walaupun darah yang keluar mungkin kelihatan serupa dengan darah haid, jika ia muncul sebelum 15 hari suci selesai, ia adalah darah istihadhah.

      Darah istihadhah adalah darah penyakit dan tidak termasuk dalam hukum haid. Oleh itu, ketika darah istihadhah keluar, awak perlu tetap solat dan boleh melakukan ibadah lain seperti biasa, cuma perlu menjaga kebersihan (contohnya, bersuci setiap kali sebelum solat).

      4. Perubahan kitaran haid:
      Kitaran haid boleh berubah dari masa ke masa, tetapi jika tempoh suci antara dua haid kurang daripada 15 hari, ia menunjukkan bahawa darah yang keluar dalam tempoh kurang 15 hari itu adalah istihadhah, bukan haid.

      Kesimpulan:
      Jika tempoh suci awak kurang daripada 15 hari berturut-turut selama 3 bulan, maka darah yang keluar dalam tempoh itu adalah darah istihadhah. Awak perlu tetap menunaikan solat dan ibadah lain seperti biasa, serta menjaga kebersihan dengan mengambil wudhu’ untuk setiap waktu solat.

      Wallahu a’lam.

      Reply

Leave a Comment