ISTIHADAH: Hukum & Penjelasan Lengkap (Berserta Contoh)

darah istihadah

Apakah maksud darah istihadah?

Ini adalah panduan lengkap tentang istihadah

Segala perkara berkaitan istihadah seperti cara mengenalpasti sifat darah, kaedah pengiraan hari, dan sebagainya akan diterangkan secara lengkap dalam panduan ini.

Panduan ini sedaya upaya menggunakan bahasa yang mudah agar difahami oleh semua orang.

Semoga bermanfaat.

Pengenalan

Para ilmuan Islam dan pakar perubatan mengesahkan ketiga-tiga darah haid, istihadah dan nifas mempunyai fungsi serta peranan besar kepada wanita.

Mereka berpendapat melalui pemerhatian dan kajian bahawa wanita yang teratur pusingan haidnya setiap bulan adalah wanita yang sihat dan subur.

Sedangkan wanita yang menghadapi masalah kitaran haid yang tidak menentu setiap bulan adalah petunjuk kepada masalah kesihatan yang dihadapinya.

Dengan itu secara tidak langsung, aliran darah haid sebenarnya menjadi ujian perubatan semulajadi untuk menentukan kesihatan wanita setiap bulan.

Sementara itu, wanita yang mengalami pendarahan diluar waktu haid juga menunjukkan masalah kesihatan. Darah ini dikenali sebagai darah istihadah atau darah penyakit.

Selain itu, Islam juga meletakkan hukum berbeza kepada wanita yang mengalami pendarahan ini berdasarkan kriteria-kriteria tertentu.

Takrif Maksud Istihadah

Dari Sudut Bahasa

Istihadah berasal daripada perkataan haid (حيض)

Dari Sudut Syarak

Istihadah ialah darah yang mengalir daripada faraj wanita di luar waktu haid atau nifas.

Ia adalah darah penyakit atau darah kotor yang keluar daripada saluran darah di bahagian bawah rahim.

Hukum Darah Istihadah

Persamaan Larangan Dengan Haid Dan Nifas

Fuqaha keempat-empat mazhab sepakat menyatakan bahawa perempuan yang istihadah adalah hadas yang berterusan sama seperti orang tidak lawas kencing, air mazi, tahi, atau angin, dalam keadaan mereka yang menghadapi penyakit ini tidak dapat mengawalnya.

Sementara Hanafiah dan Hanabilah menyamakannya dengan orang yang berdarah hidung dan orang yang lukanya tidak berhenti keluar darah.

Oleh itu, sebagaimana hukumnya dalam masalah hadas yang berterusan seperti ini, perempuan yang didatangi darah istihadah dikecualikan melakukan perkara-perkara yang diharamkan ke atas perempuan haid atau nifas.

Dalil-Dalil Berkaitan Hukum Istihadah

1. Sayyidatina Aisyah r.ha. pernah meriwayatkan bahawa Fatimah binti Hubaisy r.ha. bertanya kepada Rasulullah SAW katanya:

“Saya ialah seorang wanita yang sering istihadah dan tidak pernah bersih. Adakah saya perlu meninggalkan solat?”

Baginda SAW bersabda: “Jangan, kerana ia ialah darah yang keluar daripada saluran darah dan bukan haid. Jika kamu haid hendaklah kamu meninggalkan solat dan apabila telah selesai (kering haid) hendaklah kamu membasuh darah tersebut dan bersolat”

— Riwayat al-Nasa’i dalam Sunan al-Nasa’i, Haid dan Istihadah
2. Rasulullah SAW pernah memerintahkan Hamnah binti Jahsy r.ha. agar bersolat dan berpuasa ketika dia dalam keadaan istihadah (Riwayat al-Bukhari, al-Nasa’i dan Abu Daud)

3. Abu Daud meriwayatkan daripada ‘Ikrimah, daripada Hamnah bin Jahsy r.ha. bahawa dia berada dalam keadaan istihadah ketika bersetubuh denan suaminya.

Katanya, Ummu Habibah juga dalam keadaan istihadah apabila suaminya menggaulinya. Hamnah adalah isteri Talhah dan Ummu Habibah adalah isteri Abdul Rahman al-‘Auf (Riwayat Abu Daud, Ahmad dan al-Tirmizi)

Cara Mengenal Pasti Darah Istihadah

Darah istihadah boleh dikenalpasti dari beberapa perkara berikut:

  • Darah yang keluar daripada wanita yang belum baligh
  • Darah yang keluar daripada wanita hamil mengikut mazhab Hanafi dan Hanbali.
  • Darah yang keluar dalam tempoh yang kurang daripada tempoh paling singkat haid seorang wanita sehari semalam (24 jam).
  • Darah yang keluar melebihi tempoh haid paling lama seorang wanita (15 hari).
  • Darah yang keluar melebihi tempoh paling lama darah nifas (60 hari).

Perkara Yang Harus Dilakukan Oleh Perempuan Istihadah

Hukum darah istihadah adalah tidak sama dengan hukum darah haid, oleh itu wanita yang mengalami istihadah perlu:

  • Bersolat, sama ada solat fardu atau sunat.
  • Berpuasa, sama ada yang wajib atau sunat.
  • Tawaf.
  • Membaca al-Quran.
  • Menyentuh mashaf
  • Masuk ke dalam masjid.
  • Beriktikaf di dalam masjid.

Keadaan Darah Istihadah

Kadar Tempoh Dan Cara Mengenali

Terdapat tiga kaedah untuk mengenal pasti darah istihadah dan membezakannya daripada haid atau nifas.

Kaedah 1: Meneliti Ciri-Ciri Darah (Tamyiz)

Sekiranya darah tersebut kehitaman, bererti ia adalah darah haid. Jika sebaliknya, ia adalah darah istihadah.

Sekiranya seorang perempuan dapat membezakan darah yang keluar sama ada darah haid atau istihadah melalui pemerhatian terhadap kebiasaannya, dia boleh menggunakan kaedah ini untuk menentukan hukum.

Ini berdasarkan apa yang berlaku ke atas Fatimah binti Hubaisy r.ha. ketika didatangi darah istihadah.

Rasululullah SAW memberikan panduan untuk mengklasifikasikan darah haid atau istihadah.

Jika darah haid, ia adalah berwarna hitam yang biasa dikenali. Jika darah haid itu keluar hendaklah kamu berhenti dan jangan kamu menunaikan solat. Jika ia (darah) yang lain (bukan darah haid), hendaklah kamu berwuduk dan bersolat, justeru ia adalah darah yang keluar daripada saluran darah (darah istihadah).

— Riwayat Abu Daud dalam Sunan Abi Daud, kitab Taharah: Bab sesiapa yang berkata apabila haid hendaklah meninggalkan solat.
Contoh Kes

Seorang wanita yang mengalami pendarahan secara berterusan, tetapi pada hari kesepuluh kelihatan perbezaan sifat darah:

WARNA

Sehingga hari kesepuluh, darah berwarna hitam (merah kehitaman) manakala selepas itu, ia berwarna merah. Maka darah yang berwarna hitam adalah haid, darah yang berwarna merah adalah istihadah.

KEPEKATAN

Sehingga hari kesepuluh, darah bersifat pekat manakala selepas itu menjadi cair. Maka darah yang pekat adalah haid, darah yang cair adalah istihadah.

BAU

Sehingga hari kesepuluh, darah memiliki bau manakala selepas itu, tiada lagi bau. Maka darah yang berbau itu adalah haid, dan darah yang tidak berbau adalah istihadah.

Kaedah 2: Berdasarkan Kebiasaan Seorang Perempuan

Ini berdasarkan riwayat Aisyah r.ha. tentang Fatimah binti Hubaisy r.ha yang bertanya kepada Rasulullah berkaitan masalah istihadah, adalah dia perlu meninggalkan solat. Baginda menjawab:

Tidak, kerana ia adalah darah yang keluar daripada saluran darah (darah istihadah). Tinggalkanlah solat pada tempoh haid yang biasa bagi kamu, kemudian hendaklah kamu mandi dan mendirikan solat.

(Riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab Haid)

Perkara yang sama berlaku kepada Ummu Habibah r.ha, isteri Abdul Rahman bin al-‘Auf, apabila dia mengadu kepada Rasulullah SAW tentang istihadah.

Rasulullah berkata kepadanya:

Duduklah (tanpa perlu bersolat) selama tempoh yang biasanya kamu haid. Selepas itu mandilah (mandi junub). (Berikutan itu) dia mandi setiap kali mahu bersolat

(Riwayat Muslim dalam Sahih Muslim, kitab Haid: Bab perempuan istihadah, mandinya dan solatnya)
Contoh Kes

Sekiranya kebiasaan tempoh haid seorang perempuan adalah lima hari setiap bulan, kemudian suci selama 14 hari dan kemudian keluar darah lebih daripada kedua-dua masa tersebut, maka darah tersebut adalah darah istihadah.

Kaedah 3: Berdasarkan Kebiasaan Wanita Lain

Wanita yang tidak memiliki masa (tempoh dan putaran) haid yang tetap dan tidak juga memiliki sifat-sifat darah yang dapat dibezakan antara haid dan istihadah, maka baginya masa haid diukur berdasarkan kebiasaan kaum wanita terdekat, waktu selebihnya dikira sebagai istihadah.

Misalnya wanita yang menghadapi kes seperti ini melihat darah keluar secara berterusan bermula pada hari Khamis yang pertama dalam bulan tersebut.

Maka dia hendaklah melihat kebiasaan para wanita yang lain yang dekat dengannya dan menjadikan tempoh haid mereka sebagai ukuran ke atas dirinya.

Jika pada kebiasaannya mereka didatangi haid selama enam atau tujuh hari, maka demikianlah juga ukuran ke atas dirinya.

Oleh itu enam atau tujuh hari yang pertama pendarahan, bermula daripada hari Khamis, dianggap sebagai haid. Hari-hari seterusnya dianggap sebagai istihadah.

Kaedah yang dicetuskan para fuqaha sejak berabad lamanya ini mempunyai landasan yang tepat berdasarkan kajian saintifik moden.

Berdasarkan pemerhatian, ritma putaran haid seorang wanita berubah berdasarkan pelbagai faktor seperti pemakanan, jenis pekerjaan dan bangsa.

Perbezaan Darah Haid Dan Istihadah

Perbezaan keadaan darah bagi menentukan darah haid atau istihadah adalah seperti berikut:

Darah Pekat (Kuat) Dianggap Sebagai Darah haidDarah Cair (Lemah) Dianggap Sebagai Darah Istihadah
Merah Pekat (Kehitaman)Merah
Merah PekatMerah Muda
MerahKuning
Merah MudaKeruh

Perbezaan Sifat Antara Darah Kuat Dan Darah Lemah

Keadaan Darah Kuat Keadaan Darah Lemah
Darah kental atau likatDarah cair
Darah berbau kuatDarah kurang baunya

Bagaimanakah kaedah pengiraan untuk membezakan haid dan istihadah?

Adakah sekadar kurang 15 hari 15 malam dikira haid, dan jika lebih dikira sebagai istihadah?

Sebagaimana yang kita sedia maklum, sebanyak-banyak tempoh haid ialah 15 hari 15 malam menurut mazhab Syafi’e.

Hal ini sebagaimana yang dijelaskan dalam kitab al-Muqaddimah al-Hadhramiyah halaman 51:

Sekurang-kurang (tempoh) haid sehari semalam. Sebanyak-banyak (tempoh) haid 15 hari 15 malam.

Justeru itu, maka difahami bahawa darah yang keluar dalam tempoh 15 hari 15 malam dan berhenti sebelum masuk hari ke-16 adalah darah haid, walaupun kiraannya menyalahi adat dan kebiasaan sebelum ini.

Dijelaskan dalam kitab al-Najmu al-Wahhaj Fi Syarhi al-Minhaj juz 1 halaman 498:

Seorang wanita melihat (keluar darah) dalam tempoh umur haid (sembilan tahun dan ke atas) sekurang-kurangnya (sehari semalam) dan tidak melepasi sebanyak-banyaknya (15 hari 15 malam), maka kesemuanya adalah haid, sama ada bersamaan tempoh tersebut dengan adat sebelum ini atau sebaliknya, juga sama ada sama warnanya atau berbeza. Ini kerana syarat-syarat haid telah berkumpul padanya.

Ini bermakna, darah yang keluar semula pada hari yang ke-16 meskipun telah berhenti sekejap sebelumnya, ia dihukumkan sebagai darah istihadah.

Hal ini kerana ia keluar sebelum cukup sekurang-kurangnya tempoh suci, iaitu 15 hari 15 malam.

Contoh Situasi

Untuk memahami permasalahan ini dengan lebih jelas, sila teliti contoh-contoh berikut:

PertamaKhadijah mendapati darahnya mula keluar pada jam 10.00 pagi 1 Muharam. Justeru, tempoh 15 hari 15 malam bagi beliau ialah pada jam 10.00 pagi 16 Muharam. Sekiranya darah Khadijah berhenti sebelum melepasi jam 10.00 pagi 16 Muharam, maka kesemua darah tersebut dikira sebagai darah haid.

Katakanlah darah Khadijah berhenti tepat pada jam 10.00 pagi 16 Muharam, maka darah yang keluar sejak jam 10.00 pagi 1 Muharam sehingga 10.00 pagi 16 Muharam masih dikira sebagai haid. Kadarnya ialah 15 hari 15 malam, iaitu kadar maksimum tempoh haid.

Namun jika darahnya keluar semula sebelum cukup tempoh suci 15 hari 15 malam, maka darah tersebut dihukumkan sebagai darah istihadah.
KeduaAsma’ mula keluar darah pada jam 10.00 pagi 1 Muharam. Justeru, tempoh 15 hari 15 malam bagi beliau ialah pada jam 10.00 pagi 16 Muharam.

Jika darahnya keluar berterusan tanpa henti sehingga melepasi jam 10.00 pagi 16 Muharam, maka perlu dilihat dan dikenalpasti semula dimanakah status dan posisi dirinya antara tujuh kategori wanita mustahadah (sila rujuk bahagian seterusnya di bawah).

Setelah mengetahui perkara tersebut dengan jelas, maka ketika ini boleh ditentukan tempoh haid yang sebenar, dan begitu juga tempoh istihadah.

Golongan Wanita Mustahadah

Mustahadah (مستحاضة) bermaksud wanita yang mengalami istihadah.

Memahami anda berada pada golongan yang mana adalah penting bagi menentukan hukum yang akan terpakai terhadap diri anda.

Berikut adalah penjelasan berserta contoh bagi setiap golongan wanita mustahadah.

1. Mubtadaah Mumayyizah

Iaitu wanita yang kali pertama keluar darah haid dan dia mampu membezakan sifat-sifat darah yang tiga;

  • Warna darah (hitam, merah, perang, kuning, keruh)
  • Bau darah (hanyir kuat, hanyir tidak kuat)
  • Kepekatan darah

Darah yang bersifat kuat dihukumkan sebagai darah haid, manakala darah yang bersifat lemah dikira istihadah dengan dua syarat, iaitu:

  1. Darah yang bersifat kuat itu keluar tidak kurang sehari semalam.
  2. Darah yang bersifat kuat itu keluar tidak lebih 15 hari 15 malam.

Imam al-Nawawi menjelaskan dalam kitab Minhaj al-Tholibin Wa ‘Umdatu al-Muftiin halaman 19, terjemahannya:

Jika darah tersebut melepasi sebanyak-banyak tempoh haid (15 hari 15 malam), maka perlu dilihat sama ada wanita tersebut kali pertama datang haid dan dia mampu membezakan sifat darah; yang kuat dan yang lemah. Darah yang lemah itu merupakan darah istihadah, manakala darah yang kuat itu ialah haid dengan syarat (tempoh keluarnya) tidak kurang sehari semalam dan tidak lebih 15 hari 15 malam.

Contoh Situasi

Ain baru sahaja datang haid buat pertama kalinya pada bulan Ramadan.

Pada jam 7.00 pagi 1 Ramadan, darahnya mula keluar. Sifat darah yang keluar adalah pekat berwarna hitam serta kuat baunya dan berterusan sehingga jam 9.00 pagi 8 Ramadan.

Selepas itu, warna darah kian bertukar kemerahan sehinggalah jam 7.00 pagi 19 Ramadan.

Justeru itu, tempoh haid Ain ialah selama tujuh hari dua jam, iaitu tempoh darah hitam bermula dari 7.00 pagi 1 Ramadan sehingga 9.00 pagi 8 Ramadan.

Manakala darah merah yang keluar selepas jam 9.00 pagi 8 Ramadan sehingga 7.00 pagi 19 Ramadan adalah darah istihadah.

Ini kerana darah hitam itu adalah darah yang bersifat kuat, manakala darah merah adalah darah yang lemah sifatnya.

2. Mubtadaah Ghair Mumayyizah

Iaitu wanita yang kali pertama keluar darah haid namun dia tidak mampu membezakan sifat-sifat darah yang tiga itu.

Justeru itu, hukum yang terpakai padanya ialah tempoh haidnya sehari semalam sahaja dan tempoh sucinya selama 29 hari.

Maka, darah yang keluar dalam tempoh suci itu dihukumkan sebagai darah istihadah.

Daur (kitaran haid dan sucinya) adalah sebanyak 30 hari sekiranya darah masih keluar tanpa henti melebihi 30 hari.

Imam al-Nawawi menjelaskan hal ini dalam kitab Minhaj al-Tolibin Wa ‘Umdatu al-Muftiin halaman 19-20, terjemahannya:

Atau wanita yang pertama kali datang haid namun dia tidak mampu membezakan sifat darah seperti dia melihat darah hanya satu sifat sahaja, atau tidak ada satu pun syarat tamyiz, maka menurut pandangan yang lebih zahir ialah haidnya sehari semalam dan tempoh sucinya sebanyak 29 hari.

Contoh Situasi

Habsah datang haid buat pertama kalinya.

Darahnya bewarna hitam pekat serta berbau kuat bermula jam 7.00 pagi 1 Ramadan sehinggalah 15 Syawal.

Meskipun panjang tempohnya, namun warna darah, bau dan pekatnya sama sahaja.

Dalam keadaan ini, tempoh haid Habsah hanyalah sehari semalam sahaja, iaitu bermula jam 7.00 pagi 1 Ramadan sehingga 7.00 pagi 2 Ramadan.

Selepas tempoh tersebut (jam 7.00 pagi 2 Ramadan sehingga jam 7.00 pagi 1 Syawal), darah yang keluar dihukumkan sebagai darah istihadah.

Kemudian, bermula dari jam 7.00 pagi 1 Syawal sehingga 7.00 pagi 2 Syawal, darah tersebut dikira kitaran haid yang baharu baginya.

Selepas jam 7.00 pagi 2 Syawal sehinggalah 15 Syawal, darah yang masih keluar dianggap darah istihadah.

3. Mu’tadah Mumayyizah

Iaitu wanita yang pernah keluar darah haid sebelum ini dan dia mampu membezakan sifat-sifat darah yang tiga, iaitu:

  • Warna darah (hitam, merah, perang, kuning, keruh)
  • Bau darah (hanyir kuat, hanyir tidak kuat)
  • Kepekatan darah

Hukumnya sama seperti hukum mustahadah bagi kategori wanita pertama; mubtadaah mumayyizah

Justeru itu, haidnya ialah darah yang sifatnya kuat dan istihadahnya ialah darah yang sifatnya lemah berasaskan dua syarat yang telah dinyatakan sebelum ini (tempohnya tidak kurang sehari semalam dan tidak lebih 15 hari 15 malam).

Imam al-Nawawi menjelaskan hal ini dalam kitab Minhaj al-Tolibin Wa ‘Umdatu al-Muftiin halaman 20, terjemahannya:

Dihukumkan bagi mu’tadah mumayyizah dengan tamyiznya (sifat darah; kuat ialah haid, lemah ialah istihadah), bukannya dengan adat sebelumnya. Ini menurut padangan yang lebih sahih.

4. Mu’tadah Ghair Mumayyizah

Iaitu wanita yang pernah datang haid sebelum ini namun tidak mampu membezakan sifat-sifat darah yang tiga.

Justeru itu, hukum haidnya adalah sama tempoh dan kadarnya sebagaimana bulan sebelumnya.

Dalam erti kata lain, kaedah menghukumkannya adalah berpandukan tempoh kebiasaan haidnya pada bulan-bulan sebelum dari sudut nisbah kadar dan waktunya.

Contoh Situasi

Pada bulan lepas, Dayah datang haid pada jam 10.00 pagi 3 Syaaban sehinggalah 1.00 petang 10 Syaaban.

Ini bermakna, kadar haidnya ialah tujuh hari tiga jam. Waktunya adalah pada awal bulan.

Menjelang 1 Ramadan pada jam 8.00 pagi, dia mendapati ada darah berwarna merah cair dan berbau keluar sehingga jam 8.00 pagi 20 Ramadan.

Sepanjang tempoh tersebut, sifat-sifat darah sama sahaja, tidak ada perbezaan walaupun sedikit.

Justeru itu, haidnya dikira bermula jam 10.00 pagi 3 Ramadan sehingga 1.00 petang 10 Ramadan sebagaimana adat dan kebiasaannya pada bulan lepas (Syaaban).

Darah yang keluar bermula jam 8.00 pagi 1 Ramadan sehingga jam 10.00 pagi 3 Ramadan dihukumkan sebagai darah istihadah.

Begitu juga darah yang masih keluar selepas jam 1.00 petang 10 Ramadan sehingga jam 8.00 pagi 20 Ramadan, ia juga dikira darah istihadah.

5. Mutahiyyarah Zakirah Lil Wakti Dun al-Kadr

Iaitu wanita yang pernah keluar darah haid sebelum ini.

Namun pada bulan ini, darah keluar melebihi 15 hari 15 malam dan dia tidak mampu membezakan sifat-sifat darah tersebut.

Adapun tempoh haidnya pada bulan lepas, dia hanya ingat waktunya sahaja dan lupa kadarnya.

6. Mutahiyyarah Zakirah Lil Kadr Dun al-Wakt

Iaitu wanita yang pernah keluar darah haid sebelum ini.

Namun pada bulan ini, darah keluar melebihi 15 hari 15 malam dan dia tidak mampu membezakan sifat-sifat darah tersebut.

Adapun tempoh haidnya pada bulan lepas, dia hanya ingat kadarnya sahaja dan lupa waktunya.

7. Mutahiyyarah Muthlaqah

Iaitu wanita yang pernah keluar darah haid sebelum ini.

Namun pada bulan ini, darah keluar melebihi 15 hari 15 malam dan dia tidak mampu membezakan sifat-sifat darah tersebut.

Adapun tempoh haidnya pada bulan lepas, dia terlupa kadar dan waktunya.

Sejujurnya, tiga kategori terakhir ini (golongan 5, 6 & 7) melibatkan perbahasan yang panjang oleh para ulama.

Justeru itu, untuk memahami perbahasannya dengan jelas, maka perlu bertalaqqi dengan guru yang alim dan mahir dalam bab haid dan istihadah.

Hukum Taharah Untuk Wanita Istihadah

Jumhur fuqaha sepakat menyatakan bahawa wanita istihadah WAJIB berwuduk setiap kali solat.

Tetapi sebelum itu, perempuan tersebut hendaklah membersihkan farajnya daripada darah dan menutup farajnya dengan kain, kapas atau lebih baik dengan tuala wanita untuk menghalang darah mengalir keluar.

Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW kepada Hamnah ketika dia mengadu tentang darah istihadah yang terlalu banyak.

Baginda SAW bersabda, maksudnya:

Elok untuk kamu gunakan kapas, kerana ia menghilangkan (menyerap) darah

(Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Dalil yang menyatakan perempuan istihadah wajib berwuduk untuk setiap solat fardu adalah berdasarkan ulasan Rasulullah SAW tentang wanita istihadah.

Baginda SAW bersabda, maksudnya:

(Perempuan tersebut) hendaklah meninggalkan solat pada (kebiasaan) waktu haidnya. Kemudian mandi dan berwuduk pada setiap solat, dan berpuasa dan bersolat (seperti biasa).

(Riwayat al-Tirmizi dalam Sunan al-Tirmizi, kitab Taharah Rasulullah SAW: Bab tentang perempuan istihadah berwuduk pada setiap solat)

Ini kerana wuduk perempuan haid hanya taharah darurat, dan ia bergantung dengan waktu, seperti tayamum.

Niat Wuduk Perempuan Istihadah

Wuduk yang diambil oleh perempuan istihadah hanya untuk membolehkannya menunaikan solat kerana darurat, sedangkan ia tidak mengangkat hadas besar.

Oleh itu, dia hendaklah berniat wuduk atau niat mengharuskan solat dan sebagainya:

niat wuduk istihadah

Maksudnya: “Aku berwuduk”

niat wuduk istihadah

Maksudnya: “Aku berniat untuk mengharuskan apa yang memerlukan kepada wuduk”

niat wuduk istihadah

Maksudnya: “Aku berniat untuk mengharuskan solat”

Keempat-empat mazhab juga sepakat menyatakan bahawa perempuan istihadah hanya wajib mandi sekali sahaja.

Penutup

Semoga panduan ini memberi manfaat kepada para pembaca.

InsyaAllah, tulisan ini saya akan kemaskini dari masa ke semasa agar ia menjadi semakin lengkap, dan memudahkan anda mencari maklumat yang diperlukan mengenai istihadah.

Jika anda mempunyai sebarang persoalan berkaitan topik, anda boleh tinggalkan komen pada ruangan di bawah.

(Jangan lupa untuk sahkan persetujuan menerima notifikasi dalam emel anda)

InsyaaAllah saya akan menjawab setiap soalan yang ditinggalkan.

Nota Rujukan:

  • Indahnya hidup bersyariat — Dato’ Ismail Kamus & Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid
  • Soal Jawab Fiqh Ibadah Jilid 1, Bab Taharah, Darah Wanita & Solat — Ustaz Abu Usamah @ Mohd Hanafiah Haji Hussin
  • Ensiklopedia Solat — Rohizir Rais, Fuad Ismail & Mohd Wahid Abd Hanif
Photo of author

Muhamad Naim

Penulis utama dan ketua editor. Menubuhkan web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

84 thoughts on “ISTIHADAH: Hukum & Penjelasan Lengkap (Berserta Contoh)”

  1. Aslm, saya mahu tanya satu soalan. Saya haid dari 10/6 waktu Zuhur dan habis haid 14/6 waktu asar dan sepanjang tempoh ini haid berwarna coklat dan coklat perang. Tiba tiba pada 27/6 pukul 9:50 pagi datang balik dan warna coklat dan hari seterusnya coklat-kemerahan. Jadi saya mahu tanya adakah yang keluar pada 27/6 ini haid ataupun tidak? Mohon penjelasan.

    Reply
    • Waalaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh,

      Apabila menentukan jenis darah (samada haid atau istihadhah), beberapa perkara perlu diperhatikan, antaranya adalah tabiat atau kebiasaan haid seseorang, tempoh berhenti antara satu pengeluaran darah dengan yang lain, dan sebagainya.

      Dalam situasi yang puan nyatakan:

      1. Darah Haid: Puan mengalami pengeluaran darah dari 10/6 hingga 14/6. Ini jelas merupakan darah haid berdasarkan durasi dan warna yang dinyatakan.

      2. Tempoh Berhenti: Selepas itu, puan mempunyai tempoh berhenti (suci dari darah) dari 14/6 hingga 27/6, iaitu kira-kira 13 hari.

      3. Pengeluaran Darah pada 27/6: Darah yang keluar pada 27/6 dan seterusnya, memandangkan terdapat jarak yang cukup panjang (13 hari) dari haid sebelumnya, mempunyai potensi untuk dianggap sebagai haid lagi jika memenuhi syarat dan kondisi tertentu.

      Dalam mazhab Syafie:

      – Jika seorang wanita mempunyai kebiasaan haid (misalnya, dia biasa haid selama 6 hari setiap bulan), maka dia harus merujuk kepada kebiasaan tersebut untuk menentukan darah yang keluar itu samada haid atau istihadhah.
        
      – Jika seorang wanita tidak mempunyai kebiasaan atau kebiasaannya tidak konsisten, maka dia harus melihat tempoh berhentinya. Jika tempoh berhenti kurang dari 15 hari dan darah tersebut keluar untuk lebih dari 24 jam dan kurang dari 15 hari, maka darah tersebut boleh dianggap sebagai haid.

      Namun, untuk kes-kes yang lebih kompleks atau situasi yang tidak jelas, adalah lebih baik merujuk dengan seorang ustazah atau ulama yang mempunyai kepakaran dalam fiqh wanita. Mereka mungkin dapat memberikan panduan yang lebih tepat berdasarkan situasi dan keadaan khusus puan

      Semoga Allah mempermudahkan urusan puan dan memberikan pemahaman yang benar mengenai masalah ini.

      Reply
  2. Aslm, saya mahu tanya satu soalan. Saya haid dari 10/6 waktu Zuhur dan habis haid 14/6 waktu asar dan sepanjang tempoh ini haid berwarna coklat dan coklat perang. Tiba tiba pada 27/6 pukul 9:50 pagi datang balik dan warna coklat dan hari seterusnya coklat-kemerahan. Jadi saya mahu tanya adakah yang keluar pada 27/6 ini haid ataupun tidak? Mohon penjelasan.

    Reply
    • Waalaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh.

      Berdasarkan apa yang anda huraikan, anda mengalami haid pada 10/6 hingga 14/6. Kemudian, ada keluaran lagi pada 27/6.

      Dalam fiqh, terdapat konsep yang dikenali sebagai ‘habit’ atau ‘adat’ seorang wanita dalam haid. Ini bermakna, jika seseorang wanita mempunyai tabiat haid selama, contohnya, 6 hari setiap bulan, maka dia akan dianggap haid selama 6 hari sahaja dan selebihnya dianggap istihadah jika ada keluaran. Namun, dalam situasi di mana habit atau tabiat belum tentu atau berubah, maka kita akan merujuk kepada durasi minimum dan maksimum haid.

      Menurut mazhab Syafi’e:

      1. Durasi minimum haid adalah sehari semalam.
      2. Durasi maksimum haid adalah 15 hari.
      3. Tempoh suci antara dua haid adalah minimum 15 hari.

      Jadi, berdasarkan maklumat anda:
      – Anda haid dari 10/6 hingga 14/6, yang bermaksud anda mengalami haid selama 5 hari.
      – Selepas itu, anda mengalami tempoh suci selama 12 hari sebelum keluaran lain muncul pada 27/6.

      Oleh kerana tempoh suci anda adalah 12 hari, yang mana kurang dari 15 hari minimum, keluaran pada 27/6 boleh dianggap sebagai haid jika ia bertahan sehingga mencapai 15 hari keseluruhan (5 hari haid pertama + 10 hari seterusnya). Jika keluaran tersebut tidak mencapai 15 hari keseluruhan, maka ia dianggap istihadah.

      Jadi, anda harus memerhatikan durasi keluaran kali kedua ini. Jika ia melepasi 10 hari, maka hari-hari selepas itu dianggap istihadah, dan anda harus melakukan wudhu untuk setiap solat. Jika ia tidak melepasi 10 hari, maka seluruh tempoh itu dianggap haid.

      Reply
  3. السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
    بسم الله الرحمن الرحيم

    Mohon maaf sebelum dan sesudahnya ustadz, ana izin copy boleh?
    شكرا كثيرا

    Reply
  4. Assalamualaikum, sy nak tanya satu soalan, sy mula period 9/3 -14/3 (darah yg keluar hanya sedikit sahaja)… selepas itu ada keluar sedikit darah pada tarikh 20/3.. selpas itu 22/3 pukul 12 mlm ada keluar sedikit darah wrna koko waktu itu sahaja, selepas basuh dah tiada. 23/3 pukul 7:30 mlm ada keluar darah sedikit, waktu tu sahaja .. selepas basuh dah tiada. Kalau ikutkan tarikh sudah cukup 15 hari period sy.

    Hari ke 16 darah takda.. tapi hari ke 17 ada keluar darah sedikit pada pukul 6:10 pagi.. adakah itu darah istihadah?

    Soalan sy, sy boleh berpuasa dan beribadah seperti biasa kan ustaz?

    Reply
    • Waalaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh.

      Berdasarkan apa yang anda huraikan:

      1. Anda haid dari 9/3 hingga 14/3. Ini bermaksud tempoh haid anda adalah 6 hari.
      2. Selepas itu, ada beberapa ketika keluaran darah yang anda sebutkan pada 20/3, 22/3, dan 23/3.

      Menurut mazhab Syafi’e:

      1. Durasi minimum haid adalah sehari semalam.
      2. Durasi maksimum haid adalah 15 hari.
      3. Tempoh suci antara dua haid adalah minimum 15 hari.

      Jadi, memandangkan anda mengalami keluaran darah lagi pada 20/3, 22/3, dan 23/3 (yang semuanya termasuk dalam 15 hari dari mula haid pada 9/3), keluaran-keluaran tersebut dianggap sebagai sambungan haid jika ia tidak melepasi jangka masa 15 hari dari mula haid (9/3). Oleh itu, berdasarkan maklumat yang diberikan, keluaran pada hari-hari tersebut masih dianggap haid.

      Selepas 15 hari, iaitu mulai dari hari ke-16 (24/3) dan seterusnya, sebarang keluaran dianggap sebagai istihadah. Oleh itu, keluaran pada hari ke-17 (25/3) adalah darah istihadah.

      Dalam hal ini:

      1. Untuk darah istihadah, anda perlu mandi (jika menganggap perlu) dan mengambil wudhu untuk setiap waktu solat. Darah istihadah tidak menghalang puasa.

      2. Oleh itu, anda boleh berpuasa dan beribadah seperti biasa pada hari-hari selepas 15 hari pertama.

      Reply
  5. Aslm, saya nak tanya satu soalan. Jika seseorang period dari 29 hingga 5 hari bulan setelah itu suci dan pada tarikh ke 16, dia keluar darah berwarna coklat gelap dan warna colat gelap disertai merah hari seterusnya, adakah ia istihadah?

    Reply
    • Waalaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh.

      Berdasarkan maklumat yang diberikan:

      1. Anda haid dari tarikh 29 hingga 5 hari bulan berikutnya. Jadi tempoh haid anda adalah 7 hari.

      2. Kemudian, anda suci selama 10 hari (dari 6 hingga 15).

      3. Pada tarikh ke-16, anda kembali melihat keluaran darah berwarna coklat gelap yang kemudian disertai dengan warna merah.

      Dalam mazhab Syafi’e:

      1. Durasi minimum haid adalah sehari semalam.
      2. Durasi maksimum haid adalah 15 hari.
      3. Tempoh suci antara dua haid adalah minimum 15 hari.

      Oleh itu, berdasarkan tempoh suci yang anda alami (10 hari), keluaran darah pada tarikh ke-16 adalah darah istihadah kerana tempoh suci antara dua haid belum mencapai minimum 15 hari.

      Sebagai tambahan:

      1. Untuk darah istihadah, anda perlu mengambil wudhu untuk setiap waktu solat. Darah istihadah tidak menghalang puasa.

      2. Oleh itu, anda boleh berpuasa dan beribadah seperti biasa selama tempoh istihadah.

      Reply
  6. Assalamualaikum Ustaz, saya sedang mengalami darah istihadah. Saya ada 2 keraguan mengenai niat wuduk.

    1)
    Istihadah saya cuma hanya kesan darah sahaja (iaitu apabila mengesat faraj dengan tisu), kemudian tidak keluar lagi darah dan kering sepanjang hari.
    Bolehkah saya mengambil wuduk mengangkat hadas dan solat fardu berserta melakukan beberapa solat qada dalam satu wuduk pada waktu tersebut?

    2)
    Sekiranya istihadah saya sudah kering/sudah bersih sebersihnya, adakah saya perlu tukar niat wuduk seperti biasa iaitu niat mengangkat hadas kecil? atau adakah saya perlu terus berniat seperti contoh 3 niat didalam artikel ini? Sebab saya ada banyak solat qada yang hendak dilakukan dengan satu wuduk.

    Reply
    • Waalaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh,

      Mengenai situasi yang anda nyatakan:

      1. Darah Haid: Anda mengalami pengeluaran darah dari 9/3 hingga 14/3. Ini jelas merupakan darah haid berdasarkan durasi yang dinyatakan, walaupun darah yang keluar hanya sedikit.

      2. Darah Selepas Itu: Apabila darah keluar pada tarikh 20/3, 22/3, dan 23/3, ia perlu dipertimbangkan berdasarkan jarak keluarnya darah dari haid yang sebelumnya dan kebiasaan atau tabiat haid anda sebelum ini.

      3. Tempoh Berhenti: Anda mencatatkan tempoh berhenti (suci dari darah) yang cukup panjang sebelum darah keluar lagi pada 23/3. 

      Menurut mazhab Syafi’i:

      – Maksimum hari untuk haid adalah 15 hari, dan minimum suci antara dua haid adalah 15 hari. Jika anda mengalami darah selepas 15 hari suci, dan ia tidak melebihi 15 hari, maka ia boleh dianggap sebagai haid sekiranya ia sesuai dengan kebiasaan haid anda. Namun, jika ia hanya sehari dan tidak mengikut kebiasaan haid anda, maka boleh dianggap sebagai darah istihadhah.

      – Darah yang keluar selepas 15 hari haid (dalam kes anda, darah pada 23/3) mestilah dianggap sebagai darah istihadhah jika tidak sesuai dengan tabiat haid anda.

      Dalam kes darah istihadah:

      – Anda harus mandi (jika ia sesudah tempoh haid) dan berwudhu untuk setiap waktu solat apabila masuk waktu solat tersebut. Anda boleh mengerjakan solat, berpuasa, dan melakukan ibadah lain seperti biasa.

      Sebagai nota tambahan, kes-kes yang melibatkan pengeluaran darah yang tidak menentu atau tidak jelas kadang-kadang memerlukan pemerhatian lebih rapi dan pengetahuan tentang kebiasaan haid peribadi.

      Semoga Allah mempermudahkan urusan anda dan memberi kefahaman yang benar mengenai masalah ini.

      Reply
  7. Assalamualaikum ..
    Saya mempunyai masalah darah yang berpanjangan. Dari pada kali pertama haid . Hanya 7 hari. Namun bermula dec 2021 berubah haid saya semakin panjang . Bermakna berlakunya istihadah . Bulan pertama darah keluar selama 18 hari. Lalu berhenti selama 3 hari dan kembali semula selama 21 hari . Berlanjutan selama 5 . Apabila bulan ke 6 darah berubah kepada sebulan suci dan Namun kini darah masih berterusan melebihi 30 hari. Contoh mudah

    Soalan pertama adakah haid saya di kira 7 hari shj kerana dahulu haid normal 7 hari?

    Saya haid pada 1 january 2023 masih lg berdarah sehingga 10 feb 2023.
    Adakah darah selepas 15 hari iaitu 1 january 2023 sehingga 16 jan 2023 dikira haid dan 16 jan sehingga 05.feb di kira istihadah? Atau dihujung itu di kira haid. ?
    Adakah perlu mandi wajib setiap kali solat? Atau ckup sekadar cuci dan berwudhu setiap waktu? Mohon pencerahan

    Reply
    • Waalaikumsalam,

      Saya memahami kerumitan yang anda alami dan akan cuba memberikan penjelasan berdasarkan mazhab Syafi’i.

      1. Tabiat Haid: Dalam mazhab Syafi’i, jika seorang wanita mempunyai tabiat haid (misalnya, biasanya haid selama 7 hari setiap bulan), maka dia harus merujuk kepada tabiat tersebut untuk menentukan darah yang keluar itu sama ada haid atau istihadhah. Jadi, jika anda mempunyai tabiat haid selama 7 hari sebelum ini, maka anda boleh menganggap 7 hari pertama darah yang keluar sebagai haid.

      2. Darah Berterusan: Anda menyatakan darah keluar melebihi 30 hari. Dalam mazhab Syafi’i, haid tidak boleh melebihi 15 hari. Jadi, setelah 7 hari pertama (berdasarkan tabiat anda), 8 hari yang berikutnya boleh dianggap sebagai sambungan haid (menjadikan ia 15 hari). Selepas itu, semua darah yang keluar dianggap sebagai darah istihadah.

      3. Darah Istihadah: Untuk darah istihadah, anda perlu:

        – Mandi junub jika ia berlaku selepas tempoh haid (tidak perlu mandi setiap masa darah keluar).
        – Cuci bahagian yang kotor dengan darah dan berwudhu untuk setiap waktu solat apabila masuk waktu solat tersebut. 

        Anda tidak perlu mandi wajib setiap kali mahu solat. Cukup dengan membersihkan dan berwudhu setiap kali waktu solat masuk.

      Sebagai contoh, berdasarkan tarikh yang anda nyatakan:
      – 1-7 Januari: Dianggap haid (berdasarkan tabiat anda yang 7 hari).
      – 8-16 Januari: Dianggap haid (sambungan sehingga 15 hari).
      – 17 Januari – 10 Februari: Semua dianggap istihadah.

      Dalam situasi seperti ini, jika anda mempunyai kemampuan, adalah baik untuk merujuk dengan seorang ustazah atau ulama yang mempunyai kepakaran dalam fiqh wanita. Hal ini kerana isu-isu berkenaan darah wanita adalah kompleks dan memerlukan pemerhatian khusus.

      Semoga Allah memudahkan urusan anda dan memberikan kefahaman yang benar mengenai masalah ini.

      Reply
  8. Assalamualaikum ustaz… saya nak bertanya saya telah datang bulan pada 21.1.23 sehingga ke hari ini… kalau dikira sudah hari ke 14. Saya tak pernah mengalami haid yg berpanjang. Paling lama 7 hari. Darah say ni tiada ada di pad cum apabila lap dgn kapas atau tisu akan ada lendir bercampur darah… adakah itu dikira darah istihadah? Kerana saya berada di mekah… sehingga ke hari ini sye tidak dapat membuat tawaf umrah lg.

    Reply
  9. Salam ustaz..
    Saya ada kemusykilan tentang pengiraan period Sya.

    Ini pertama kali berlaku. Saya period 1-15hari kemudian hari ke16-43(coklat kesat)
    .hari ke 44-50(darah pekat hitam berketul berbau)
    Soalan saya apakah status darah sy pada hari ke 30-43 & 44-50?

    Reply
    • Waalaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh,

      Mengenai situasi yang anda nyatakan, mari kita uraikan mengikut pandangan mazhab Syafi’i:

      1. Haid: Tempoh maksimum haid adalah 15 hari. Oleh itu, darah yang anda alami dari hari ke-1 hingga ke-15 dianggap sebagai darah haid.

      2. Darah Selepas Itu:

        – Hari ke-16 hingga ke-43 (coklat kesat): Dalam mazhab Syafi’i, setelah 15 hari pertama yang dianggap haid, apa-apa jenis darah atau pelepasan yang berlaku selepasnya (sebelum anda mencapai tempoh suci sekurang-kurangnya 15 hari) dianggap sebagai darah istihadhah. Oleh itu, pelepasan coklat yang anda alami pada hari ke-16 hingga ke-43 adalah istihadhah.
        
        – Hari ke-44 hingga ke-50 (darah pekat hitam berketul): Ini juga dianggap sebagai darah istihadhah kerana belum mencapai tempoh suci 15 hari selepas haid terakhir.

      3. Darah Istihadah: Untuk istihadhah, anda perlu berwudhu untuk setiap waktu solat apabila masuk waktu solat tersebut. Anda juga perlu memastikan bahagian yang kotor telah dibersihkan sebelum memakai pakaian solat. Anda tidak perlu mandi setiap kali mahu solat; cukup dengan membersihkan dan berwudhu.

      Namun, dalam situasi yang kompleks seperti ini, adalah sangat disarankan untuk merujuk dengan seorang ustazah atau ulama yang mempunyai kepakaran dalam fiqh wanita untuk mendapatkan panduan yang lebih tepat.

      Semoga Allah mempermudahkan urusan anda dan memberikan kefahaman yang benar mengenai masalah ini.

      Reply
  10. Slm. Kalau sy dlm tempoh istihadah tetapi apabila sy ingin solat fardu sy akan ambil wuduk baharu dan bolehkah sy terus qada solat sy dlm wuduk tersebut sbb darah sy tak akan kluar dlm masa 1-4 jam sbb bulan ini sy tidak keluar darah yg byk tetapi seakan-akan jeli yg berdarah/merah (mmg waktu period tarikh tersebut).

    Reply
    • Waalaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh,

      Masaalah darah wanita, termasuk isu istihadhah, adalah antara isu yang memerlukan pemahaman khusus dalam fiqh.

      Apabila anda dalam tempoh istihadhah:

      1. Wuduk: Anda perlu berwudhu untuk setiap waktu solat apabila masuk waktu solat tersebut. Jadi, setelah masuk waktu Zohor, misalnya, anda ambil wuduk untuk solat Zohor.

      2. Qada’ Solat: Dalam keadaan di mana anda mengambil wuduk untuk solat fardu (contohnya Zohor) dan ingin qada’ solat yang lain (contohnya Asar) sebelum masuk waktu Asar, anda boleh melakukan demikian dengan wuduk yang sama, selama wuduk tersebut tidak batal.

      3. Kebersihan: Pastikan sebelum anda mula solat, bahagian-bahagian yang mungkin terkena darah (seperti pakaian) telah dibersihkan. Dalam mazhab Syafi’i, sikit pun najis yang melebihi saiz dirham (kira-kira saiz syiling 50 sen Malaysia) yang ada pada pakaian atau badan semasa solat akan membatalkan solat.

      Mengenai darah yang seakan-akan jeli atau tidak banyak keluar, dalam situasi istihadhah, anda harus memperlakukannya dengan prinsip yang sama seperti darah istihadhah lainnya. Jika ia memenuhi ciri-ciri darah haid atau istihadhah (seperti warna, tekstur), maka ia harus diperlakukan sebagai darah wanita dan hukum yang berkaitan dengannya perlu diambil kira.

      Jika ada keraguan atau keperluan untuk mendapatkan pandangan lebih lanjut, adalah baik untuk berunding dengan seorang ustazah atau ulama yang mempunyai kepakaran dalam fiqh wanita.

      Semoga Allah mempermudahkan urusan anda dan memberikan kefahaman yang benar mengenai masalah ini.

      Reply

Leave a Comment