Hukum Makan Ubat Tahan Haid Untuk Puasa Penuh

hukum makan ubat tahan haid

Apakah hukum makan ubat tahan haid untuk tujuan puasa penuh?

Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.

Semoga bermanfaat.

Soalan

Adakah harus bagi seorang wanita mengambil seperti ubat yang dapat melewatkan kitaran haid bulanannya sehingga dapatlah ia berpuasa sebulan Ramadan?

Jawapan 1. Ketahuilah bahawa yang afdhal bagi kaum perempuan itu ialah berpuasa ketika dia suci dan meninggalkannya ketika dia haid dan tidak memakan ia akan ubat untuk menahan dari haidnya itu.

Telah diriwayatkan daripada Aisyah r.a. berkata:

Adalah kami kaum perempuan telah berhaid pada zaman Rasulullah saw kemudian kami suci lalu baginda memerintahkan kami dengan qadhakan puasa dan tidak memerintahkan kami dengan qadhakan solat.”

(Hadith riwayat An-Nasaie)
2. Walau bagaimanapun sebahagian fuqahak mengharuskan bagi orang perempuan makan ia akan ubat penahan haid samada jenis pil atau cecair supaya dapat dia berpuasa selama sebulan di dalam bulan Ramadhan dan qadha ia selepas daripada itu.

Berkata Imam Ibnu Quddamah:

Telah diriwayatkan daripada Imam Ahmad sungguhnya beliau berkata : Tidak mengapa bahawa diminum akan ubat oleh seorang perempuan supaya memutuskan dari perempuan itu akan darah haidnya apabila adalah ubat itu yang elok.”

(Kitab Al-Mughni)

Dan berkata Imam Al-Buhuthi Al-Hanbali:

Boleh makan ubat yang diharuskan bagi memutuskan darah haid serta mestilah aman (selamat) dari kemudaratan.”

(Kitab Kasyful Qina’)

Dan disyaratkan bahawa ubat yang digunakan itu ialah ubat yang suci dan hendaklah pengambilan ubat atau pil itu tidak memberi kesan buruk kepada kesihatannnya atau nyawanya atau tubuh badannya.

Telah berkata Mufti Negeri Mesir Dr Ali Jumaah:

Ya diharuskan bagi perempuan itu mengambil ubat penahan haid itu pada syarak dengan syarat diakui oleh pakar perubatan bahawa ubat itu tidak mendatangkan sebarang mudarat ke atas perempuan itu. Akan tetapi jika perempuan tersebut mengikut sahaja kehendak Allah Taala dan dan berserah kepada barang telah di qadarkan oleh Allah atasnya daripada haid maka ia lebih berpahala baginya dan lebih banyak mendapat ganjaran.”

(Darul Ifta Mesir)

Maksudnya perempuan yang tidak memakan akan ubat penahan haid dan dia berpuasa ketika suci dan tidak berpuasa ketika haid maka itulah yang paling baik kerana menjalani fitrah seorang perempuan yang telah ditetapkan oleh Allah.

3. Tersebut pada Himpunan Fatwa Mufti Jordan :

Harus bagi orang perempuan makan ia akan ubat yang melambatkan datang haid istimewa pula jika didapatkan keperluan syarak kepadanya seperti takut teman-teman sekumpulan tidak dapat menunggu pada masalah haji dan umrah apabila jadi terlambat ia sebab haid dan sebab menggemarkan kepada menunaikan puasa pada bulan Ramadhan.”

4. Dan tersebut pada himpunan fatwa Baitil Maqdis:

Harus mengambil akan pil yang melambatkan datang haid selama tidak ada memakan pil itu mendatangkan mudarat.”

(Darul Ifta Baitul Maqdis)

Dan adalah diriwayatkan bahawa Imam Malik memakruhkan perbuatan memakan ubat kerana melambatkan datang haid.

5. Berkata Imam Ibnu Rusydi:

Telah menyoal akan Imam Malik oleh seorang perempuan yang takut akan kedatangan haid dan perempuan ini diberitahu tentang ubat yang dimakan untuk melambatkan datang haid.

Berkata Imam Malik: Bermula yang demikian itu tidak betul dan memakruhkannya.

Berkata Ibnu Rsuydi: Hanya sungguhnya Imam Malik memakruhkannya kerana takut berlaku pada diri perempuan itu mudarat dengan sebab makan ubat itu pada tubuh badannya.”

(Kitab Mawahibul Jalil)

Dan jika tiada ubat yang suci maka tidak harus yakni haram makan ubat yang najis untuk melambatkan haid kerana melambatkan haid itu tidak termasuk darurah yang boleh merbahayakan nyawanya atau tubuh badannya.

Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus

Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments