Fidyah Puasa Untuk Orang Meninggal Dunia [Ust Azhar Idrus]

Barangsiapa yang ada meninggalkan puasa Ramadhan samada sebab uzur atau tiada baginya uzur dan dia adalah orang yang mampu melakukan qadha tapi dia tidak qadha —kemudian dia mati — maka wajib dikeluarkan dari harta peninggalannya sebagai fidyah bagi satu hari dia tinggal puasa itu akan satu cupak makanan.

Sebagaimana telah diterangkan sebelum ini makanan yang sah dijadikan fidyah itu ialah makanan utama penduduk negeri tersebut seperti beras pada negeri kita ini maka satu fidyah itu ialah secupak beras.

Dan jika dia tinggalkan dua hari puasa maka wajib dibayarkan oleh warisnya akan dua fidyah iaitu dua cupak beras.

Akan tetapi jika orang yang meninggalkan puasa sebab uzur itu tidak ada peluang baginya untuk qadha selepas Ramadhan hingga dia mati maka tidak ada suatu yang diwajibkan atasnya samada qadha atau fidyah.

Contohnya seorang itu meninggalkan puasa sehari pada Ramadhan sebab jatuh sakit dan selepas hari raya sakitnya itu berterusan sampai dia mati maka tidak wajib atas warisnya membayar fidyah atau qadhakan puasanya.

Akan tetapi jika selepas hari raya dia sihat tetapi dia belum qadhanya dan beberapa masa selepas itu dia mati maka wajib atas warisnya membayar fidyah atau qadhakannya.

Berkata Imam Syafie :

فإذا مَاتَ أُطْعِمَ عَنْهُ، وَإِنْ لَمْ يُمْكِنْهُ الْقَضَاءُ حَتَّى مَاتَ فَلَا كَفَّارَةَ عَلَيْهِ

Ertinya : “Maka apabila mati seseorang (yang ada meninggalkan puasa) nescaya diberi makan (fidhyah) daripadanya. Dan jika tidak ada kesempatan baginya itu qadha sehingga dia mati maka tiada ada kafarah (yakni fidyah) atasnya.” (Kitab Al-Hawi Al-Kabir)

Maksud diberi makan daripadanya itu ialah diberi akan makanan seperti beras kepada orang miskin sebagai fidyah puasa yang ditinggalkan oleh si mati iaitu satu cupak beras untuk seorang miskin bagi sehari puasa ditinggalkan dan jika dua hari puasa ditinggalkan olehnya maka di beri beras dua orang miskin setiap seorang secupak.

Sengaja Lambatkan Qadha Puasa

Dan jika orang yang meninggalkan puasa itu sengaja melambatkan qadha hingga datang Ramadhan yang lain dan mati ia maka hendaklah dikeluarkan dua cupak makanan sebagai fidyah iaitu kerana meninggalkan puasa dan kerana tidak qadha.

Berkata Imam Nawawi :

وإنه لو أخر القضاء مع إمكانه فمات أخرج من تركته لكل يوم مدان مد للفوات ومد للتأخير

Ertinya : “Dan kalau seorang melambatkan qadha sedangkan dia mampu qadha kemudian dia mati nescaya hendaklah dikeluarkan dari harta peninggalannya bagi setiap hari tinggal puasa itu sebanyak dua cupak makanan iaitu secupak kerana tidak berpuasa dan secupak lagi kerana melambatkan qadha.” (Minhaj At-Talibin)

Adapun orang yang meninggalkan puasa sebab uzur seperti sakit dan berterusan sakitnya sehingga dia mati maka tidak ada fidyah atasnya dan tidak ada qadha atasnya sebagaimana telah disebut dahulu.

Berkata Imam Nawawi :

مَنْ فَاتَهُ شَيْءٌ مِنْ رَمَضَانَ فَمَاتَ قَبْلَ إمْكَانِ الْقَضَاءِ فَلَا تَدَارُكَ لَهُ وَلَا إثْمَ

Artinya : “Siapa yang terluput suatu dari puasa Ramadhan kemudian dia mati sebelum dia mampu qadhanya maka tidak mengena akan dia kewajipan qadha dan dia tidak berdosa.” (Kitab Minhaj At-Talibin)

Dan berkata Syeikh Khatib As-Syarbini :

(مَنْ فَاتَهُ) مِنْ الْأَحْرَارِ (شَيْءٌ مِنْ) صَوْمِ (رَمَضَانَ فَمَاتَ قَبْلَ إمْكَانِ الْقَضَاءِ) بِأَنْ اسْتَمَرَّ مَرَضُهُ أَوْ سَفَرُهُ الْمُبَاحُ إلَى مَوْتِهِ (فَلَا تَدَارُكَ لَهُ) أَيْ الْفَائِتِ بِالْفِدْيَةِ وَلَا بِالْقَضَاءِ لِعَدَمِ تَقْصِيرِهِ (وَلَا إثْمَ) بِهِ لِأَنَّهُ فَرْضٌ لَمْ يَتَمَكَّنْ مِنْهُ إلَى الْمَوْتِ فَسَقَطَ حُكْمُهُ كَالْحَجِّ

Ertinya : “Barangsiapa luput olehnya puasa Ramadhan lalu dia mati sebelum ada kemampuan qadha seperti berkekalan sakitnya atau musafirnya yang bukan maksiat sampai kepada matinya maka tidak mengena akan dia bagi puasa yang luput itu oleh fidyah dan tidak juga qadha kerana ketiadaan cuainya dan dia tidak berdosa dengan sebabnya kerana sungguhnya dia tidak dapat peluang berpuasa daripadanya sehingga mati maka gugurlah hukumnya seperti haji.” (Kitab Mughni Al-Muhtaj)

Dan waris si mati tersebut tidak ada hak menghalang dari diambil harta peninggalan si mati kerana membayar fidyah itu adalah hak Allah yang didulukan atas hak waris.

Waris Qadhakan Puasa Si Mati

Jika ada atas mayat hutang puasa maka hendaklah membayar fidyah atas sehari puasa yang ditinggalkan si mati itu akan fidhyah secupak beras dan harta untuk membeli beras itu diambil dari harta peninggalan si mati.

Dan harus pula jika waris bagi si mati menurut pendapat yang sahih melakukan qadha akan puasa yang ditinggalkan oleh si mati itu maka apabila waris telah melakukan qadha bagi si mati nescaya tidak wajib lagi membayar fidyah untuknya.

Telah diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. beliau berkata :

جَاءَتِ امْرَأَةٌ إلى رَسولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ، فَقالَتْ: يا رَسولَ اللهِ، إنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ نَذْرٍ، أَفَأَصُومُ عَنْهَا؟ قالَ: أَرَأَيْتِ لو كانَ علَى أُمِّكِ دَيْنٌ فَقَضَيْتِيهِ، أَكانَ يُؤَدِّي ذَلِكِ عَنْهَا؟ قالَتْ: نَعَمْ، قالَ: فَصُومِي عن أُمِّكِ

Ertinya : “Telah datang seorang perempuan kepada Rasulullah sollallahu alaihi wasallam lalu berkata : Ya Rasulullah! Sungguhnya ibuku telah mati dan dia ada hutang puasa nazar apakah harus aku puasakan (sebagai qadha) daripadanya? Bersabda Nabi : Apa pendapatmu kalau ada atas ibumu hutang yang kamu boleh membayarkannya adakah kamu akan tunaikan yang demikian itu (hutang) daripadanya? Jawab perempuan itu : Ya. Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda : Maka kamu tunaikanlah puasa itu dari ibumu.” (Hadith riwayat Muslim)

Adapun kewajipan membayar fidyah dari si mati itu atau puasakan daripadanya oleh warisnya itu ialah apabila ada kesempatan bagi si mati qadhakannya.

Adapun jika sakit seseorang itu lalu mati ia di dalam bulan Ramadhan atau hidup ia selepas bulan Ramadhan tetapi berkekalan sakitnya sampai ke hari matinya nescaya tidak ada fidyah dan tidak diqadhakan oleh warisnya di sisi jumhur ulamak kerana tiada mendapat si mati itu akan masa yang boleh dia melakukan qadha sebagaimana telah tersebut sebelum ini.

Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyyah :

قَال الْحَنَفِيَّةُ وَالْمَالِكِيَّةُ وَالشَّافِعِيَّةُ وَالْحَنَابِلَةُ: مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صَوْمٌ فَاتَهُ بِمَرَضٍ أَوْ سَفَرٍ، أَوْ غَيْرِهِمَا مِنَ الأْعْذَارِ وَلَمْ يَتَمَكَّنْ مِنْ قَضَائِهِ حَتَّى مَاتَ لاَ شَيْءَ عَلَيْهِ، وَلاَ يُصَامُ عَنْهُ وَلاَ يُطْعَمُ عَنْهُ، لِقَوْل النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِذَا أَمَرْتُكُمْ بِشَيْءٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Ertinya : “Telah berkata ulamak mazhab Hanafi dan Maliki dan Syafie dan Hanbali barangsiapa yang telah mati dan ada meninggalkan puasa sebab sakit atau musafir atau sebab lain dari keduanya dari segala macam uzur dan dia tidak berpeluang untuk qadhanya sehinga dia mati nescaya tidak ada suatu (yang wajib) atasnya iaitu tidak dipuasakan daripadanya (oleh warisnya) dan tidak dikeluarkan fidyah daripadanya kerana sabda Nabi sollallahu alaihi wasallam : Apabila aku memerintahkan kamu sekelian dengan suatu perintah maka kerjakanlah daripadanya apa yang kamu mampu sahaja.”

Dan tidak sah orang yang bukan waris bagi si mati qadhakan puasa si mati melainkan dengan izin warisnya menurut pendapat yang paling sahih.

Berkata Syeikh Khatib As-Syarbini :

وَلَوْ صَامَ أَجْنَبِيٌّ بِإِذْنِ الْوَلِيِّ صَحَّ، لَا مُسْتَقِلًّا فِي الْأَصَحِّ

Ertinya : “Dan kalau berpuasa oleh orang asing (yakni yang bukan waris si mati) dengan izin wali si mati nescaya sah puasanya dan tidak sah jika tanpa izin menurut pendapat yang paling sahih.” (Kitab Mughni Al-Muhtaj)

Dan yang dimaksudkan dengan waris atau wali bagi si mati itu ialah sekelian yang menjadi walinya atau menjadi warisnya dan sekelian kaum kerabatnya yang dekat sekalipun tidak menerima pesakanya.

Berkata Syeikh As-Syarwani :

(وَالْوَلِيُّ) أَيْ: الَّذِي يَصُومُ عَلَى الْقَدِيمِ (كُلُّ قَرِيبٍ) أَيْ: لِلْمَيِّتِ بِأَيِّ قَرَابَةٍ كَانَ وَإِنْ لَمْ يَكُنْ وَارِثًا وَلَا وَلِيَّ مَالٍ وَلَا غَاصِبًا

Ertinya : “Dan perkataan wali itu ertinya sekelian kaum kerabat yang dekat yang berpuasa bagi mayat dengan apa juga hubungan keluarga dan sekalipun dia tidak mewarisi hartanya dan tidak menguruskan hartanya dan bukan asobahnya.”(Kitab Hasyiah As-Syarwani ‘Ala At-Tuhfah)

Dan menurut qaul jadid mazhab Syafie waris si mati tidak melakukan qadha puasanya tetapi mengeluarkan fidyah dari harta peninggalan si mati tersebut.

Berkata Syeikh Khatib As-Syarbini :

وَإِنْ مَاتَ بَعْدَ التَّمَكُّنِ لَمْ يَصُمْ عَنْهُ وَلِيُّهُ فِي الْجَدِيدِ بَلْ يُخْرِجُ مِنْ تَرِكَتِهِ لِكُلِّ يَوْمٍ مُدَّ طَعَامٍ، وَكَذَا النَّذْرُ وَالْكَفَّارَةُ

Ertinya : “Dan jika mati seorang itu selepas dari mampu qadha maka warisnya tidak mempuasakannya pada qaul jadid bahkan hendaklah dikeluarkan dari harta peninggalannya untuk setiap hari sebanyak secupak makanan. Dan begitu juga dengan nazar dan kafarah.” (Kitab Mughni Al-Muhtaj)

Ada pun menurut qaul qadim maka waris si mati melakukan qadha bagi si mati bahkan disunatkan warisnya itu qadhakannya dan inilah pendapat yang sahih dalam mazhab Syafie.

Maksud qaul qadim ialah pendapat Imam Syafie ketika beliau tinggal di Iraq sebelum berpindah ke negeri Mesir.

Berkata Syeikh Khatib As-Syarbini :

وَفِي الْقَدِيمِ: يَصُومُ عَنْهُ وَلِيُّهُ أَيْ يَجُوزُ لَهُ الصَّوْمُ عَنْهُ بَلْ يُنْدَبُ لَهُ، وَيَجُوزُ لَهُ الْإِطْعَامُ

Ertinya : “Dan pada pendapat qadim dipuasakan daripada simati itu oleh walinya ertinya harus bagi wali mempuasakan daripadanya bahkan disunatkan baginya dan harus juga dengan memberi makan yakni fidyah.” (Kitab Mughni Al-Muhtaj)

Maka harus bagi waris si mati memilih samada membayar fidyah dari si mati atau mempuasakan daripadanya dan salah satunya adalah wajib dilakukan.

Berkata oleh Syeikh Al-Qalyubi :

أَيْ يَجُوزُ لَهُ الصَّوْمُ عَنْهُ، وَيَجُوزُ لَهُ الْإِطْعَامُ إذَا كَانَ وَارِثًا وَلَهُ تَرِكَةٌ أَنْ يَجِبَ أَحَدُ الْأَمْرَيْنِ

Ertinya : “Iaitu harus bagi waris (si mati) puasakan daripada si mati dan harus bagi waris itu membayar fidhyah. Apabila ada bagi si mati itu waris dan ada meninggalkan harta bahawasanya wajiblah satu dari dua perkara itu (iaitu qadha atau fidhyah).” (Kitab Hasyiah Al-Qalyubi)

Hukum ini adalah berdasarkan beberapa hadith yang antaranya ialah hadith yang telah diriwayatkan daripada Aisyah r.a. :

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ

Ertinya : “Sungguhnya Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah bersabda : Barangsiapa yang telah mati dan ada atasnya puasa maka mempuasakan daripadanya oleh walinya.” (Hadith riwayat Bukhari)

Dan diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. Nabi sollallahu alaihi wasallam telah bersabda :

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامُ شَهْرٍ فَلْيُطْعِمْ عَنْهُ مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِينًا

Ertinya : “Siapa yang telah mati dan ada atasnya hutang puasa Ramadhan maka hendaklah membayar daripadanya akan fidyah dengan memberi makanan setiap hari puasa yang ditinggalkan akan seorang miskin.” (Hadith riwayat Tirmizi)

Berkata Imam Nawawi :

فَهُوَ عَلَى الْقَدِيمِ مُخَيَّرٌ بَيْنَ الصِّيَامِ وَالْإِطْعَامِ هَكَذَا نَقَلَهُ الْبَيْهَقِيُّ وَغَيْرُهُ وَهُوَ مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ عَلَى الْقَدِيمِ وَهَذَا الْقَدِيمُ هُوَ الصَّحِيحُ عِنْدَ جَمَاعَةٍ مِنْ مُحَقِّقِي أَصْحَابِنَا الْجَامِعِينَ بَيْنَ الْفِقْهِ وَالْحَدِيثِ

Ertinya : “Maka waris si mati menurut qaul qadim diberi pilihan antara berpuasa dan membayar fidhyah. Seperti inilah telah memindahkannya oleh Al-Baihaqi dan lainnya. Dan ialah yang disepakati atasnya atas qaul qadim dan pendapat ini ialah pendapat yang sahih di sisi jamaah dari muhaqqiq Ashab kami yang mengumpulkan antara fiqah dan hadith.” (Kitab Al-Majmu’)

Maka haruslah atas waris andainya mereka tidak mahu mengambil harta si mati buat membayar fidyah bahawa mereka puasakan sebagai qadha dari si mati dan waris mempuasakan dari mayat itu hukumnya hanyalah harus bukannya wajib sebagai yang disalah sangkakan oleh kebanyakkan orang.

Berkata Imam Ibnu Al-Mulaqqin :

ومن مات وعليه صيام تمكن منه أطعم عنه لكل يوم مد والمختار أن وليه يصوم عنه إن شاء

Ertinya : “Dan siapa yang telah mati dan dia ada hutang puasa yang dia berpeluang melakukannya nescaya diberi fidyah makanan daripadanya bagi setiap hari itu akan secupak makanan. Dan pendapat yang dipilih ialah warisnya berpuasa daripadanya jika mereka mahu.” (Kitab At-Taudhih)

Kepada Siapa Diberikan Fidyah

Fidyah puasa ini wajib dibayar kepada orang Islam yang faqir dan miskin sahaja.

Maka jika dibayarkan kepada selain dari faqir miskin nescaya tidak sah dan wajib dibayar semula.

Firman Allah Taala :

فِدْيَةٌ طَعامُ مِسْكِينٍ

Ertinya : “Fidyah iaitu makanan diberikan kepada orang miskin.” (Al-Baqarah : 185)

Berkata Syeikh Al-Qalyubi :

(وَمَصْرِفُ الْفِدْيَةِ الْفُقَرَاءُ وَالْمَسَاكِينُ) خَاصَّةً لِأَنَّ الْمِسْكِينَ ذُكِرَ فِي الْآيَةِ وَالْحَدِيثِ وَالْفَقِيرُ أَسْوَأُ حَالًا مِنْهُ

Ertinya : “Dan fidyah hanya diberikan kepada segala orang faqir dan miskin sahaja kerana bahawasanya orang miskin itu disebut di dalam ayat dan hadith Nabi saw dan bermula orang faqir itu lebih susah dari orang miskin.” (Kitab Hasyiah Al-Qalyubi)

Makna orang miskin ialah orang Islam yang pendapatannya tidak mencukupi bagi menampung keperluan yang wajib bagi dirinya dan keluarganya.

Dan makna orang faqir ialah orang Islam yang pendapatannya tidak sampai separuh dari yang dia perlukan bagi dirinya dan keluarganya.

Jika seorang itu tersalah mengeluarkan fidyah kepada seorang yang bukan faqir miskin seperti diberinya kepada muallaf atau atau anak yatim atau ibu tunggal maka wajib dia ulangi membayarnya kepada faqir miskin kerana tidak sah fidyahnya yang pertama itu.

Dan begitu juga tidak sah fidyah yang diberikan kepada orang yang wajib dia tanggung nafaqahnya seperti anaknya atau isterinya.

Berkata Imam Syafie :

لَوْ أَطْعَمَ غَنِيًّا وَهُوَ لَا يَعْلَمُ، ثُمَّ عَلِمَ غِنَاهُ كَانَ عَلَيْهِ أَنْ يُعِيدَ، وَهَكَذَا لَوْ أَطْعَمَ مَنْ تَلْزَمُهُ نَفَقَتُهُ، ثُمَّ عَلِمَ أَعَادَ

Ertinya : “Kalau seorang memberi fidyah makanan akan orang yang kaya dan dia tidak sedar kemudian dia tahu akan kayanya adalah wajib atasnya mengulanginya. Dan seperti itu juga kalau seorang memberi fidyah akan orang yang wajib dia nafaqahkannya kemudian dia tahu nescaya wajib dia ulangi ( bayar fidhyah).” (Kitab Al-Umm)

Oleh itu sah bayar fidyah kepada orang yang tidak wajib dia tanggungnya seperti isteri memberi fidhyah kepada suaminya yang faqir atau miskin dan suami memberi fidyah kepada ibu bapa mertuanya atau seumpamanya yang bukan termasuk orang yang wajib dia tanggung nafaqahnya.

Hendaklah diingat bahawa ramai orang tersalah memberi fidhyah kepada asnaf zakat seperti muallaf atau orang berhutang atau diberi kepada masjid atau tabung-tabung derma kerana pemberian tersebut adalah tidak sah dan wajib dia membayar semula fidyah tersebut kepada penerima yang sah iaitu faqir miskin.

Oleh itu jika hendak diberikan fidyah itu kepada ibu tunggal atau anak yatim misalnya maka pastikan keduanya adalah orang miskin atau faqir kerana jika keduanya bukan faqir miskin maka tiada sah fidyah tersebut.

Beberapa Masalah

Masalah Pertama :

Jika orang yang terlalu tua merasa mampu menunaikan puasa selepas meninggalkan puasa adakah wajib atasnya qadha?

Berkata Imam Nawawi :

وَلَوْ قَدَرَ الشَّيْخُ عَلَى الصَّوْمِ بَعْدَمَا أَفْطَرَ، فَهَلْ يَلْزَمُهُ الصَّوْمُ قَضَاءً؟ نَقَلَ صَاحِبُ التَّهْذِيبِ : أَنَّهُ لَا يَلْزَمُهُ، لِأَنَّهُ لَمْ يَكُنْ

مُخَاطَبًا بِالصَّوْمِ، بَلْ كَانَ مُخَاطَبًا بِالْفِدْيَةِ

Ertinya : “Dan jika mampu oleh orang yang sangat tua atas melakukan ibadah puasa selepas daripada meninggalkan puasa maka adakah wajib atasnya melakukan puasa qadha? Telah menaqal oleh tuan kitab At-Tahzib : Bahawasanya tidak wajib dia qadha kerana bahawasanya dia ketika itu tidak dihadapkan dengan kewajipan berpuasa bahkan dihadapkan ke atasnya kewajipan membayar fidhyah.” (Kitab Raudhah At-Talibin)

Masalah Kedua :

Jika pada awal harinya seorang itu tidak musafir kemudian dia melakukan musafir adakah boleh dia berbuka di pertengahan jalan?

Berkata Imam Taqiyuddin Ad-Dimasyqi :

فَلَو أصبح مُقيما ثمَّ سَافر فَلَا يفْطر لِأَنَّهَا عبَادَة اجْتمع فِيهَا السّفر والحضر فغلبنا الْحَضَر

Ertinya : “Maka jikalau pada awal hari seorang itu dalam keadaan belum bermusafir kemudian dia bermusafir maka dia tidak boleh berbuka kerana sungguhnya berhimpun pada ibadah puasanya itu oleh musafir dan mukim maka dimenangkan akan mukim.” (Kitab Kifayatul Akhyar)

Dan tetapi jika ketika musafir itu dia mengalami lapar atau dahaga yang bersangatan misalnya maka harus dia berbuka kerana ketika itu dia berbuka kerana sangat lapar dan dahaga bukan berbuka kerana musafir.

Masalah Ketiga :

Adakah boleh orang lain melakukan ibadah puasa daripada orang yang sakit atau yang terlalu tua ketika keduanya masih hidup?

Berkata Imam Nawawi :

قَالَ أَصْحَابُنَا: وَلَا يَصِحُّ الصِّيَامُ مِنْ أَحَدٍ فِي حَيَاتِهِ بِلَا خِلَافٍ، سَوَاءً كَانَ عَاجِزًا أَوْ غَيْرَهُ

Ertinya : “Telah berkata oleh Ashab kami : Dan tidak sah puasa dari seorang pada ketika dia masih hidup tanpa khilaf samada sebab orang itu lemah dari berpuasa atau sebab lainnya.” (Kitab Ar-Raudhah)

Masalah Keempat :

Bolehkah orang yang sakit itu tidak berpuasa dari awal hari atau dia kena berpuasa dahulu dan berbuka kemudian ketika tidak mampu?

Berkata Imam Taqiyuddin Ad-Dimasyqi :

إِن كَانَ الْمَرَض مطبقاً فَلهُ ترك النِّيَّة من اللَّيْل وَإِن كَانَ متقطعاً كمن يحم وقتا دون وَقت نظر إِن كَانَ محموماً وَقت الشُّرُوع جَازَ أَن يتْرك النِّيَّة من اللَّيْل وَإِلَّا فَعَلَيهِ أَن يَنْوِي من اللَّيْل

Ertinya : “Jika adalah sakitnya itu berterusan maka harus baginya tidak berniat puasa dari malam. Dan jika adalah sakitnya itu putus-putus seperti demam ia pada satu ketika dan sembuh pula pada satu ketika maka hendaklah dilihat iaitu jika adalah demam ia ketika waktu hendak dimulai puasa nescaya harus baginya meninggalkan berniat dari malamnya dan jika tidak demam lagi ketika hendak mula berpuasa maka wajib atasnya bahawa berniat dari malam.” (Kitab Kifayatul Akhyar)

Masalah Kelima :

Jika si mati ada meninggalkan sebulan puasa Ramadhan adakah boleh jika 30 orang warisnya berpuasa semua sekali pada hari yang satu?

Berkata Imam Nawawi :

إذَا قُلْنَا إنَّهُ يجوز صوم الولى عن الميت وصوم الاجنبي باذن الْوَلِيِّ فَصَامَ عَنْهُ ثَلَاثُونَ إنْسَانًا فِي يَوْمٍ وَاحِدٍ هَلْ يُجْزِئُهُ عَنْ صَوْمِ جَمِيعِ رَمَضَانَ فَهَذَا مِمَّا لَمْ أَرَ لِأَصْحَابِنَا كَلَامًا فِيهِ وَقَدْ ذَكَرَ الْبُخَارِيُّ فِي صَحِيحِهِ عَنْ الْحَسَنِ الْبَصْرِيِّ أَنَّهُ يُجْزِئُهُ وَهَذَا هُوَ الظَّاهِرُ الَّذِي نَعْتَقِدُهُ

Ertinya : “Apabila telah kami kata harusnya wali puasakan daripada si mati dan harus puasa orang asing dengan izin wali maka berpuasa daripada si mati seramai 30 orang pada hari yang satu adakah memadainya dari sekelian puasa Ramadhannya? Maka ia setengah dari barang yang Ashab kami tidak berkatanya dan sungguhnya Al-Bukhari telah menyebut pada sahihnya daripada Al-Hasan Al-Basri bahawasanya memadainya dan ialah pendapat yang zahir yang kami pegangnya.” (Kitab Al-Majmu’)

Masalah Keenam :

Adakah sah jika orang yang bukan waris bagi si mati mempuasakan daripadanya dengan jalan di upah?

Berkata Syeikh Ibnu Hajar Al-Haithami :

(وَلَوْ صَامَ أَجْنَبِيٌّ) عَلَى هَذَا (بِإِذْنِ) الْمَيِّتِ بِأَنْ يَكُونَ أَوْصَاهُ بِهِ أَوْ بِإِذْنِ (الْوَلِيِّ) وَلَوْ سَفِيهًا فِيمَا يَظْهَرُ؛ لِأَنَّهُ أَهْلٌ لِلْعِبَادَةِ (صَحَّ) وَلَوْ بِأُجْرَةٍ كَالْحَجِّ

Ertinya : “Dan jikalau orang asing puasakan dengan izin mayat dengan bahawa dia telah berwasiat akan orang tersebut atau orang asing itu puasa dengan izin wali sekalipun dia orang yang bodoh pada barang yang telah zahir kerana sungguhnya dia ahli bagi ibadah maka sah puasanya walaupun dengan upah sama seperti haji.” (Kitab Tuhfah Al-Muhtaj)

Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus

Sumber asal kepada panduan ini boleh dirujuk pada pautan ini

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

0 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments