Apakah Yang Kita Faham Tentang Fitnah Wanita & Cabarannya?

fitnah wanita

Pernahkah anda mendengar perkataan “fitnah wanita”?

Dan apa yang anda faham mengenai fitnah wanita?

Ada dua perkara yang Nabi Muhammad SAW pesan kepada kita agar berjaga-jaga (takut) akannya iaitu dunia dan wanita.

Pesanan ini bukan membawa maksud bahawa kita perlu bencikan dunia dan wanita.

Cuma baginda meminta kepada kita agar berwaspada atau berhati kepadanya.

Maksud sabda Rasulullah SAW:

Aku tidak tinggal cubaan yang lebih hebat ke atas lelaki lebih daripada wanita 

— Riwayat Bukhari dan Muslim

Baginda juga bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya dunia itu manis lagi hijau dan Allah menjadikan kalian berketurunan di atasnya. Allah melihat apa yang kalian perbuat. Takutlah kamu kepada (fitnah) dunia dan takutlah kepada (fitnah) wanita, kerana sesungguhnya awal fitnah yang menimpa Bani Israil daripada wanitanya

— Riwayat Muslim

Pesanan ini juga tidak bermaksud Islam itu membenci kaum wanita.

Tidak sama sekali.

Sedangkan Islamlah agama yang memelihara golongan wanita, berbeza dengan agama lain.

Ada yang tidak menyukai kaum wanita malah menganggap wanita tidak mempunyai sebarang nilai kecuali hanya sebagai alat pemuas hawa nafsu semata-mata.

Islam pula meletakkan wanita dikedudukan yang mulia.

Kaum wanita dijaga dan dihormati dan diberikan hak-haknya yang sesuai dengan mereka.

Betapa agama ini tidak menindas wanita bahkan memuliakannya.

Maka, jauh perbezaannya dengan agama lain.

 

Jangan Salah Faham Dengan Perkataan Fitnah Wanita

Fitnah bukanlah bermaksud mengada-adakan cerita

Tetapi maksud fitnah disini bermaksud ujian.

Ya, ujian yang datang berkaitan dengan wanita.

Cuba kita lihat disekeliling;

Ada wanita jika berkahwin awal, orang mengata. Jika berkahwin lewat juga ada orang yang mengata.

Serba serbi tidak kena.

Disebabkan itu kita disuruh menjaga kaum wanita.

Anak dara kita, seharusnya menerbitkan rasa bimbang di hati kita. Jika mereka balik malam, bukankah hati kita tidak senang duduk?

Walaupun dia pulang dengan teksi pun, tetap hati kita bimbang.

Cuba kita lihat hari ini nasib kaum wanita sama ada isteri, anak dara atau ahli keluarga kita sangat membimbangkan.

Ada yang dirogol pemandu teksi, pemandu bas ekspress atau warganegara asing.

Malah ada yang lebih malang apabila dinodai oleh ahli keluarga sendiri seperti bapa, abang atau datuk.

Jika diikuti perkembangan berita di media, kita dapat melihat betapa ramai kaum wanita yang menjadi mangsa penipuan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Berapa ramai dalam kalangan mereka yang menjadi mangsa sindiket gores dan menang?

Begitu juga tidak kurang sebenarnya yang menjadi mangsa keldai dadah.

 

Jangan Turuti Kehendak Yang Menyalahi Agama

Suami atau ibu bapa hendaklah berjaga-jaga daripada menuruti kehendak isteri atau anak gadis mereka yang menyalahi tuntutan agama.

Jangan kerana anak-anak gadis telah didedahkan dengan pendidikan yang moden, maka kita sebagai ibu bapa hanya menuruti kehendak mereka.

Misalnya ibu bapa membenarkan anak gadis menjadi penyanyi.

Tidak melarang anak-anak memakai pakaian menjolok mata, malah ada yang menyokong pemakaian seperti itu.

Kata mereka ini zaman anak-anak gadis. Maka tidak salah untuk berpakaian seperti itu.

Ada yang lebih menyedihkan apabila ayah memakai kopiah dan ibu memakai tudung labuh, namun tiada siapa yang kisah apatah lagi lagi mahu menegur perbuatan anak gadis yang memakai pakaian mendedahkan aurat.

Sedangkan tanpa disedari mereka sebenarnya telah tersilap mendidik anak-anak.

Sepatutnya anak-anak dididik untuk menutup aurat. Jangan sampai orang lain terkena zina mata kerana melihat aurat anaknya pula.

Malah jangan sampai anak gadisnya menjadi bangga kerana mendedahkan aurat.

Begitu juga dengan sesetengah isteri.

Ada suami membiarkan isterinya mendedahkan aurat ketika berada di luar rumah.

Suami tidak melarang malah apa yang lebih menyedihkan apabila ada suami yang menjadi pendorong isteri mendedahkan aurat dikhalayak umum.

 

Sedarlah Kita Sebagai Bapa Atau Suami Perlu Mendidik Isteri & Anak Gadis Dengan Ssempurna

Ingat, ketika kita menggenggam tangan tok kadi untuk di-akad-nikah-kan, tanggungjawab untuk menjaga isteri telah bertukar keatas bahu kita.

Kalau bukan kita yang mendidik mereka, siapa lagi?

Disebabkan itu janganlah kita mudah terpedaya dengan pujuk rayu isteri atau anak gadis.

Memang, ketika rayuan dilontarkan, manis akan terasa.

Namun jangan sampai kita cair dengan rayuan itu sehingga membiarkan sahaja mereka keluar tanpa memakai pakaian mengikut syariat.

— Sedarlah bahawa fitnah wanita bukanlah perkara biasa dan boleh dibuat main-main.

Cuba kita lihat dalam media massa sekarang ini, berapa banyakkah laporan kes-kes yang melibatkan wanita?

Ada yang sanggup berbunuh-bunuhan hanya kerana berebutkan seorang wanita. Ada yang rela menikam kawan sendiri kerana mahu menyelamatkan teman wanita.

Malah ada yang sanggup ke tali gantung demi mencari duit untuk menyara kekasih.

Apakah yang sedang berlaku kepada umat kita sekarang ini?

Ini belum termasuk kes yang melibatkan kerja syirik seperti mencari bomoh untuk membalas dendam. Sehingga ada yang rela melakukan perkara khurafat demi kepuasan hati.

Semuanya gara-gara gadis yang diidamkan tidak berjaya dimilikinya dan dia tidak mahu mana-mana lelaki memilikinya juga.

 

Hubungan Sulit Dengan Isteri Atau Suami Orang

Selain itu, antara penyakit yang wujud dalam bab fitnah wanita ini adalah apabila ada isteri orang yang mempunyai hubungan terlarang dengan suami orang lain.

Ini pun parah juga sebenarnya.

Perkara sebegini banyak berlaku terutama membabitkan hubungan cinta terlarang di pejabat.

Kononnya apabila ditanya kepada mereka, si wanita ini berkata ia berlaku kerana suami tidak memberikan kasih sayang dan perhatian kepada dirinya.

Begitu juga dengan si suami apabila mendakwa isteri melalaikan tanggungjawab terhadap dirinya.

Aduhai, mereka saling menyalahkan antara satu sama lain pula.

Kata mereka, pasangan dipejabat bagus kerana memberikan perhatian dan sangat baik.

Ya, ketika tidak mempunyai hubungan sah ini memanglah baik. Cuba setelah berkahwin.

Jika dengan pasangan di rumah pun mereka boleh melakukan khianat, apatah lagi dengan kita.

Analogi begini:

Cuba kita pergi ke mana-mana pusat pameran kereta.

Ketika belum membelinya, memang ia kelihatan sangat baik di mata kita. Kecantikan, reka bentuk dan sebagainya menarik hati kita.

Apatah lagi pegawai jualan kereta berkenaan memberi saranan yang hebat-hebat supaya kita terpengaruh untuk membelinya.

Begitu jugalah dengan kes isteri dan suami orang.

Sebelum menjadi hak kita, memanglah kita dilayan seumpama putera puteri.

Cuba setelah menjadi hak kita. Apabila masing-masing ada tanggungjawab, apa akan jadi?

Masa itu barulah kita tahu siapakah diri masing-masing.

Maka, nasihat saya janganlah terlibat dalam masalah cinta tiga segi, cinta sulit dan sebegainya.

Rasulullah ada berpesan:

Wahai manusia, takutlah kepada Allah akan urusan wanita. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka dengan amanah Allah

— Riwayat Muslim


Nota rujukan:

  1. Dato’ Ustaz Kazim Elias – Duhai Wanita Permaisuri Hati
Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments