
Mengapa Wujud Rasa Lemah?
Memang, rasa lemah atau down itu kadangkala menyapa diri.
Ujian-ujian yang datang bertimpa-timpa, kadang kala membuatkan kita rebah dan tersungkur.
Kadangkala, cukup satu ujian yang menerpa.
Namun, beratnya sudah cukup membuat kita hilang arah.
Jika kita berjaya bangun, dan kembali menyusun langkah, alhamdulillah.
Namun, kadang-kadang kejatuhan yang kita alami itu seakan-akan merenggut segala daya dan upaya kita.
Tenaga yang masih bersisa hilang entah ke mana, lantaran harapan buat hari esok yang semacam tiada.
Lalu, masihkah ada sinar harapan buat kita bangkit kembali?
Bagaimana kita menghadapinya?
Saya percaya, menyuruh orang bersabar tatkala diuji itu jauh lebih mudah, berbanding diri sendiri yang menghadapinya.
Benar. Memang tidak dapat dinafikan.
Saya pun pernah berada dalam keadaan itu.
Di kala, kata-kata motivasi yang kita sering laung-laungkan kepada orang lain juga ada masanya seakan tidak punya kesan terhadap diri.
Keyakinan yang selama kita ini kita pegang pun mampu tergoyah kembali.
Harapan Untuk Bangkit
Maka di sini, kita dapat melihat kepentingan saling nasihat-menasihati kepada kebenaran dan kesabaran, yang ditekankanNya melalui surah al-Asr.
Seringkali, kata-kata tulus mereka itu jualah yang menyembuhkan semangat diri.
Namun bukan itu yang saya mahu sentuh di sini. Dalam konteks diri kita sendiri, bagaimana seharusnya kita berdepan dengan ujian itu.
Bagaimanakah caranya untuk kita memotivasikan diri sendiri?
Ok. Perkara ini kita perlu faham dengan jelas, supaya tatkala kita diuji nanti mudah-mudahan perkongsian ini turut mampu membangkitkan kita kembali.
Mulakanlah dengan bersangka baik kepada Allah dalam apa jua perkara.
Ya, Bersangka baiklah.
Yakinlah, Dia tidak menciptakan sesuatu ujian atau bencana itu, hanya dengan sia-sia.
Pasti terdapat hikmah di sebalik peristiwa yang menimpa.
Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
— Surah Al-Baqarah, 2: 216
Kemudian, sertai kepositifan tadi (bersangka baik) dengan bersabar.
Kerana sesungguhnya, Allah itu berserta dengan mereka yang sabar.
Dan kelak, kesabaran itu pasti akan membuahkan hasil yang bermanfaat.
Agar kemudiannya kita merenung kembali hikmah yang Dia susunkan itu, sambil tersenyum.
Menyedari Kesilapan Kita
Ada masa kita silap.
Kita rasakan yang kita ini sudah cukup kuat, bagaikan kita ini telah kebal dari sebarang titik-titik kelemahan.
Kita rasakan bahawa kita mampu berdiri sendiri sehinggakan kita fikir semua ujian yang datang kepada kita itu, mampu untuk kita selesaikan seorang diri.
Tidak.
Saya tidak salahkan kemahuan kita untuk hidup berdikari.
Namun, kita sering lupa bahawa hakikatnya, kita ini hanyalah makhlukNya yang serba lemah dan kekurangan.
Mampukah kita menanggung semua ujian itu dengan sendirinya tanpa sebarang bantuan?
Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, kerana manusia diciptakan (bersifat) lemah.”
— [Surah An-Nisa’, 4: 32]
Ya. Manusia itu sifatnya tidak akan mampu berdiri dengan sendirinya; jika tidak dia memperoleh kekuatan itu dari Allah.
Bukankah ujian itu datangnya dari Allah?
Maka, kepada siapa lagi harus kita kembalikan jika tidak kepada Dia Yang Maha Kuasa?
Namun, silapnya pada kita.
Kita sering menyombongkan diri untuk bersimpuh memohon pertolonganNya.
Kita merasakan diri kita sudah lengkap sempurna.
Kuat, berkuasa.
Sedangkan hakikatnya, kita sedikit tidak punya daya jika Dia tidak mengizinkannya.
Mari Kita Bermuhasabah Diri
Manusia jarang sekali mahu bermuhasabah diri.
Tatkala disentap dengan ujian yang berat barulah wujud saat mereka kembali berfikir apakah salah silap mereka selama ini.
Itupun jikalau mereka sedar.
Maka, salah satu hikmah dari ujian adalah wujudnya masa kita untuk bermuhasabah.
Masa untuk kita merenung kembali sejauh mana kehidupan ini telah dibawa.
Adakah kita masih berada pada landasan yang benar?
Hikmah dari muhasabah ini akan membawa kita melihat dan memikirkan pula hikmah-hikmah yang lain dari ujian tadi.
Baik, Apakah hikmah yang ingin Dia tunjukkan kepada kita melaluinya?
Manusia itu selalu bersifat lupa diri tatkala diberi nikmat.
Namun, tatkala kita diuji dengan sedemikian rupa, barulah kita bersegara kembali mencariNya. Sungguh-sungguh kita mohon padaNya agar dipermudahkan segala kesulitan yang ada.
Sedang selama ini, hendak mengingatiNya sebentar pun terasa berat. Astagfirullah, hamba jenis apakah kita ini?
Dan apabila manusia ditimpa bahaya, dia berdo’a kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu darinya, dia kembali (ke jalan yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Demikianlah dijadikan terasa indah bagi orang-orang yang melampaui batas apa yang mereka kerjakan.”
— Surah Yunus 10: 12
Maka, di situ ada hikmah untuk sama-sama kita renungkan.
Bersangka baiklah kepada Allah atas ujian yang menimpa kita.
Dia mahu kita kembali kepadaNya. Dia mahu kita selamat di ‘sana’. Dia mahu kita merenung sebentar dan bermuhasabah kembali.
Sekarang, jawablah dengan hati kita. . .
Yakinlah Janji Allah Itu Benar
Manusia itu sewajarnya sedar peranan yang perlu dia mainkan di muka bumi ini ialah sebagai khalifah; yakni dengan memakmurkan muka bumi, serta membawa manusia kembali kepada Allah, satu-satunya ‘Illah’ (Tuhan) seluruh semesta.
Setelah kesedaran, kefahaman, dan keyakinan tadi mendasar, semua permasalahan tadi pasti akan tampak lebih mudah. InshaAllah.
Wajar sahaja kita merasa sedih tatkala diuji, kerana itu merupakan lumrah seorang manusia.
Namun, amatlah tidak wajar untuk kita merasa kecewa dan berputus asa.
Sekaligus, kita tidak akan sesekali memanjangkan kesedihan yang dirasa.
Nabi Muhamad juga merasa sedih dengan pemergian Siti Khadijah, tetapi baginda tidak memanjangkan kesedihan itu.
Ya. Ia adalah atas keyakinan kita bahawa Allah itu Tuhan yang menciptakan segala.
Memperhambakan diri kepadaNya merupakan tujuan hidup kita.
Dan pasti, Dia tidak menciptakan sesuatu sia-sia, melainkan ada hikmahnya.
Jika kita sudah sedar akan perkara ini, maknanya, hikmah dari ujian itu seharusnya sudah nampak.
Kebangkitan yang ditunggukan-tunggukan itu juga seharusnya sudah dimulakan langkahnya.
” …Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar bagiNya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.”
— Surah At-Talaq 65: 2-3
Terima kasih …..nasihat yang amat baik kepada insan yang tengah down dan memerlukan kekuatan untuk kembali pulih seperti sedia kala.. Turut bermanfaat untuk mereka yang ingin memperbaiki diri..
Alhamdulillah.
Semoga dapat membantu :-)
Terima kasih…. Nasihat yang berguna kepada sesiapa yang tengah down sekarang ni… Alhamdulillah
Alhamdulillah, sama-sama :-)
Terima kasih..info yang diberi mengurangkan sedikit kesedihan ..kedukaan yang saya alami sekarang. Muga ada kekuatan jiwa dalam diri saya.
Peluang datang dari perubahan. Maka beranikan diri untuk berubah, untuk menerima realiti.
What already happened was enough.
You are here now, try to live on with the best you can.
Terima Kasih… Saya hargai dan memahami info ini ..
Saya harap hati saya selepas ini kuat dan tabah untuk hadapi segala galanya dengan baik …
Saya seorang yang hati lembut dan cepat terasa dengan apa yang orang katakan mengenai sesuatu yang melibatkan perasaan saya….Saya harap saya mampu membuat yang terbaik dan orang sekeliling saya bahagia
Even if we don’t get what we want, we can still make other choices.
We can still do things and we can try to feel okay about it.
No matter what hardships are waiting for us in the future, we will always survive because
He’s always with us.
Never forget, be grateful.
mengapa aku masih sombong dengan Penciptaku…aku palingkan muka dari meyembahnya memohon pertolongan sedangkan Dia memang berharap aku menadah memohon bantuan dariNya….Ya Allah berdosanya aku…bantulah aku Ya Allah, keluarkanlah aku aku dari masalah ini. Permudahkanlah segalanya, bukakanlah pintu rezeki melimpah ruah buatku…amin yarabb…
terima kasih di atas rencana di atas.
Clear your mind. Strengthen your heart. Live your life. :-)