Berbahagialah Ketika Diuji Oleh Ujian Yang DiberiNya

ujian yang
Put A Rainbow In Your Life by oO-Rein-Oo | Tabahlah menghadapi ujian yang menimpa

Bismillahirrahmanirrahim,

…Dan sesungguhnya kepada Tuhanmulah kesudahannya segala sesuatu, Dan sesungguhnya Dialah yang menjadikan orang tertawa dan menangis. Dan sesungguhnya Dialah yang mematikan dan menghidupkan…”

— An-Najm: 42-44

Wahai insan istimewa pilihan Allah yakni insan yang sedang diuji,

Pujuklah hatimu andai dugaan yang mendatang itu seakan menghimpitmu.

Bukan Allah tidak peduli. Bukan Allah hendak menyeksamu.

Bukan Allah sudah tidak melihat usaha dan doa-doamu, bukan Dia tidak kisah air matamu.

Dia cuma hendak kamu tahu bahawa Dia menyayangimu.

Sangat menyayangimu.

Masakan tidak, dari berbillion manusia di muka bumi ini, engkau pilihannya.

Dia memilihmu kerana Dia ingin kau kembali padaNya.

Mungkin selama ini, kau lalai dari mengingatiNya dengan sebenar-benarnya, mungkin selama ini kau kurang bersyukur dengan apa yang telah Dia berikan padamu.

Limpahan nikmat yang kau perolehi jarang sekali kau syukuri. Bahkan kau tambahi dengan keluhan.

Maka, muhasabahlah.

 

Wahai calon penghuni syurga,

Mahasuci Allah yang menguasai segala kerajaan, Dan Dia Mahakuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Mahaperkasa, Maha Pengampun.”

– Al-Mulk: 1-2

Pujuklah hatimu andai dugaan yang datang itu seakan bertubi-tubi bagimu.

Bukan Allah tidak tahu, betapa dengan ujian dariNya ini, membuat kau terduduk, membuat kau menangis dan membuat kau lebih banyak ingat Dia.

Allah tahu itu dan ketahuilah Allah sentiasa memerhatimu dengan pandangan kasih sayang.

Dia sentiasa ingin yang terbaik untuk kehidupanmu.

 

PerancanganNya sungguh berseni dan sungguh sempurna.

Dia tahu kau merancang itu dan ini, Dia tahu kau mahu itu dan ini, namun yang terjadi adalah sebaliknya.

Kau perlu ingat dan pasakkan dalam jiwa, Dialah sebaik-baik perancang.

Wahai sekalian sahabatku yang sedang memperbaiki diri dan memperbaiki iman.

Hidup ini dilingkari seluruhnya dengan limpahan kasih sayang Allah.

  • Dia beri kau nikmat sepasang mata, kerana kau pilihanNya untuk ada nikmat itu. Pernahkah kau terfikir andai selepas ini Dia mengambil nikmat itu?
  • Dia beri kau nikmat sepasang kaki, kerana kau pilihanNya untuk merasa nikmat itu. Pernahkah kau terfikir andai kakimu patah dan kau disahkan tidak boleh berjalan lagi?
  • Dia beri kau nikmat sihat, kerana kau pilihanNya untuk merasa nikmat itu. Pernahkah kau terfikir betapa banyak manusia yang sakit dihospital amat menginginkan untuk kembali sihat?

Bahkan, Dia juga beri kau nikmat ada duit, kerja, makanan, rumah, pakaian, nikmat belajar dan bermacam-macam lagi.

Tapi sayangnya, kau selalu lupa untuk mengamalkan sifat Qanaah yakni merasa cukup dengan pemberianNya.

Maka, refleksilah diri kita selalu andai kita tidak termasuk dalam golongan yang rugi dikemudian hari iaitu diakhirat sana.

 

Percayalah, Jalan yang Allah beri tidak akan mengecewakan kita

Yakinlah orang yang percaya akan janji-janji Allah.

Dia akan kirimkan khabar gembira tidak lama lagi kepadamu dari jalan yang kau tidak sangka-sangka.

Cepat atau lambat bukan soalnya, yang pasti Allah tidak akan memungkiri janji.

Allah tidak akan mensia-siakan orang yang melakukan kebaikan termasuk usahamu untuk bersabar dan redha dengan setiap dugaan dariNya.

Jika bukan didunia, mungkin ganjaranmu disyurga sana.

Percayalah dengan hebat bahawa Allah sesekali tidak akan mengecewakanmu kerana Dia Maha Adil dan Dia Maha Memberi.

Tidak dapat dinafikan ada ketika kau bertarung dengan perasaan sendiri, rasanya sakit sangat.

Apatah lagi pada masa itu orang sekelilingmu seakan tidak memahamimu.

Tidak mengapa duhai hati, sabarlah dan solatlah.

Allah sendiri berpesan dalam Al-Quran:

Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar.”

— Al-Baqarah: 153

Tidakkah ayat dariNya itu menggugah jiwamu?

Belum cukup tergerakkah dirimu untuk mencuba tips yang Allah ajari?

 

Lihatlah kehidupan ini dengan teliti, Allah mahu kita belajar..

Pandanglah sesuatu yang terjadi itu dengan positif dan professional serta cubalah belajar dari setiap yang kau perhati.

Mungkin dari situ kau dapat ingat Dia.

Ingin saya membawa diri saya dan pembaca semua satu analogi.

Mudah-mudahan dengan izinNya ada sedikit kefahaman kita mengenai ujian dalam kehidupan ini:

Kita bayangkan sebuah rumah.

Dalam pembuatan rumah sahaja mengambil masa untuk siap.

Perlu ada duit (peruntukan kewangan) untuk membeli bahan-bahan seperti simen, paku, pasir, dan sebagainya.

Prosesnya juga banyak dan pelbagai, susun batu bata, mengecat, pasang mozek, dan sebagainya.

Kadangkala tukang buat rumah itu berhenti seketika, mungkin sebab panas, penat dan ingin berehat sebentar.

Dan mungkin ada ketika tukang itu tidak dapat bekerja kerana hari itu hujan lebat, dia minta cuti, dia sakit dan bermacam-macam lagi.

Lihat.

Untuk membuat rumah saja, mengambil masa dan ada proses-prosesnya  yang harus dilalui.

Tersalah sedikit, akan memberi kesanlah kepada rumah kita, kan.

Begitu juga kita dalam kehidupan ini.

Mungkin ujian yang hadir ini ialah sebagai turning point kita agar kembali kepadaNya.

Allah beri tempoh yang tertentu untuk kita lalui ujian ini.

Pelbagai cara yang kita usahakan dalam melalui ujian itu dan bermacam-macam jenis orang yang kita jumpa.

Mungkin ada masa kau terduduk seketika, mencari ketenangan dariNya, mungkin ada masa kau mengumpul segala kekuatan untuk kembali bangkit dari rasa keputus asaanmu.

Ada masa kau mampu bertahan, namun ada masa kau rebah, tidak tertahan dan airmatamu pun tumpah membasahi pipi.

Kau menangis semahumu, kau berdialog semahumu.

Dan Dia adalah saksi segala saksi atas segala yang kau lakukan termasuk yang terlintas dihatimu semasa mendepani ujiannya ini.

Dan sampai satu saat, semuanya berakhir, ujian ini Allah izinkan berlalu pergi.

 

Dan ada ujian yang lain menanti pula..

Beruntunglah orang yang mendapat ujian daripada Allah.

Amat beruntunglah seseorang itu yang bilamana Allah hadirkan dugaan dalam hidupnya samaada dalam bentuk kesenangan mahupun kesusahan, dia semakin dekat dengan pencipta.

Dia semakin ingat Dia dan sekaligus berazam untuk kembali kepadaNya.

Amat rugilah seseorang itu yang bilamana Allah hadirkan ujian kepadanya, dia masih ditakuk yang sama.

Mengeluh tak berkesudahan.

Menyalahkan itu dan ini.

Ujian berbentuk kesenangan atau kesusahan itu adalah sunatullah dalam kehidupan.

Allah menguji setiap hambanya dengan cara yang berbeza, mengikut kadar kemampuan seseorang itu, dan pada masa yang tepat.

Mahu ataupun tidak mahu, kita kena menerima dan menghadapi dugaan yang medatang.

Siapa kita untuk mempersoalkan kenapa kita diuji andai selama ini kita selalu memungkiri perintahNya yang diperintahkan kepada kita?

Amat baiknya Allah, dengan ujian yang hadir itu membuat kita lebih matang dan kuat untuk mendepani hari-hari yang mendatang.

 

Maha Pengasih dan Maha Penyayang Allah, Dia uji kita bersebab.

Mungkin dengan ujian yang hadir itu, Allah nak angkat darjat kita.

Allah nak hapus dosa-dosa kita, dan Allah nak beri pahala pada kita.

Maka, senyum dan berbahagialah menjadi insan pilihan yang diujiNya.

Wahai manusia yang mendambakan kebahagiaan didunia dan di akhirat,

Andai dugaan itu menjengukmu, tidak dapat tidak, kita kena rapat dengan Allah.

Kekuatan itu milikNya, maka mohon kekuatan dariNya, mengadu segalanya dengan Dia.

Usahakan untuk perbaiki iman.

Solat jangan tinggal dan usahakan solat diawal waktu, lazimi juga diri dengan istighfar dan selawat, dan cuba buat ibadah yang kau tak pernah buat/ tak biasa buat seperti solat tahajud, qiamulail, solat dhuha, dan sebagainya.

Dari situ, insya-Allah kau akan terdidik sedikit demi sedikit untuk kuat, sabar dan redha dengan apapun yang terjadi dalam kehidupanmu.

Dari situ kau akan rasa, betapa nikmatnya bergantung harap sepenuhnya pada Allah.

Bersabarlah dalam ketaatan untuk beribadah kepadaNya. Moga kesudahan kita semua adalah kesudahan yang baik.

Saya rasa ada benarnya ayat ini:

Bukan beratnya ujian yang membuat kita lemah, tapi ringannya hubungan kita dengan Allah yang menyebabkan kita seakan tidak dapat menanggungnya.”

Artikel ini adalah perkongsian ke Inbox kami daripada Farahani Md Noor Facebook | Blog | @Farahani137 ] Pelajar Universiti Malaysia Sabah.

Semoga perkongsian yang dikongsikan oleh beliau memberi makna dan manfaat kepada kita semua =)

Photo of author

Muhamad Naim (Admin)

Penulis utama dan ketua editor. Menubuhkan web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

66 thoughts on “Berbahagialah Ketika Diuji Oleh Ujian Yang DiberiNya”

  1. Assalamualaikum. Minta halalkan saya untuk berkongsi kata-kata semangat ini kepada sahabat di luar sana yang memerlukan kata dorongan dan sokongan.

    Reply
  2. Asslamualaikum , sekarang baru sy tahu tuhan menguji hamba2nya kerana mahu hamba2nya bertaubat atas segala dosa2 yang telah dilakukan dan kembali ke jalannya . lepas ibu dan ayah meninggal dunia macam2 masalah timbul saya melepaskan segalanya dengan menangis dan mengadu kepada tuhan ,pernah satu ketika dulu sy terasa yang saya lahir didunia ini untuk menangis sahaja tapi saya silap tuhan itu maha adil walaupon sekarang saya diuji saya tetap kuatkan diri saya dan sentiasa ingat bahawa allah sentiasa bersama kita ,meskipun keluarga benci terhadap saya jauhkan diri daripada saya tapi kita kena sentiasa ingat jangan sesekali kita jauh daripada allah , biar semua membenci kita jangan tuhan membenci kita ..

    Reply
  3. dekatkan lagi diri dgn allah swt .. jika dah buat solat fardhu , tambah lagi dgn solat sunat .. buat lah solat sunat tasbih , insya’allah ada jalan keluar .. dan allah swt akn berikan nusrah di akhir permasahalaan nanti , dan itu lah kemanisan .. ikhlaskn diri ketika beribadah , meratap sedih lah ketika menghadapnya , menangis lahh sebisa mungkin .. tips untuk ikhlas dan khusyuk , ialah rukun ihsan .. fahami rukun ihsan .. insya’allah kita akan rasa kemanisan solat .. ;)

    Reply
  4. ya’allah .. sesungguh aq serahkan segalanya kepadamu dan aku tahu yang engkau tahu kekuatan setiap hambamu .. aq bersyukur di atas segala yang telah engkau berikan , termasuklah ujian2 yg engkau beri , dan ujian itu membuat aku lebih dekat dgn mu .. semakin dekat .. dan ada baiknya yang akan kau berikan nanti .. amin ya rabb ..

    Reply
  5. Assalamualaikum,

    Saya dh cuba untuk jadi kuat, dan setiap kli saya bangkit jadi kuat,ujian lebih besar tiba. Saya tak thu mcm mna lagi saya nk jadi kuat bila setiap hari bertubi2 dugaan datang. Saya istigfar setiap kli saya berduka untuk bagi ketenangan. Tpi saya semakin sedih dan takut dgn kehidupan sendiri. Saya dh berusaha sebaik habis,tapi usaha saya x mendatangkan hasil. Saya redha,sebab saya tahu Allah S.W.T mahu menjauhkan diri saya dari kejahatan. Tpi kli nie saya betul2 dh x kuat sebab dugaan untuk saya ialah duit gaji dh habis byr hutang, ada lagi 2 hutang bank belum bayr,esok hari akhir byr. Kereta takde minyak,kete nak kne service, dan saya buntu dan x tahu nk kne bt apa lagi. Semakin saya kuat semakin kuay dugaan sehingga saya x mampu nk berdiri.

    Reply
    • Assalamualaikum Ila…
      Yakin…Yakin…dan Yakin dengan Janji Allah setiap kesusahan pasti ada kesenangan..dan bersabar..

      Mintalah dengan Dia Yang Maha Kaya lagi Maha Memberi Kekayaan..

      Pokok pangkalnya keyakinan kepada Allah Yang Maha Agung Yang Memiliki segala sesuatu…

      Andai kita yakin..Allah pasti akan mendatangkan kepada kita jalan keluar..InshaAllah..

      *sebenarnya saya pernah melalui detik detik sukar seperti Ila selama setahun..tp Alhamdulillah berkat keyakinan denganNya..PertolonganNya dekat sangat dan sangat tepat pada masa yang saya perlukan..Alhamdulillah..

      Reply
  6. Assalam….sedar diri ini masih kurang iman..dugaan yg dtg amat perit, segala yg dirancang tidak mnjadi…sedih, seksa tp akhir nye kite amat selesa bile menangis di depan Allah..maaf kn aku tuhan….

    Reply
  7. Tersangatlah betul…didalam kesusahan itu lah yang akan membuatkan kejayaan nanti rasa lebih manisnya

    Reply
  8. Alhamdulillah…Subhanallah….Ujian yang pada awalnya terasa perit, berat dan sakit utk menempuhinya, tetapi bila dipandang dari sudut kasih sayang Allah, terasa berbaloi apabila Allah hadiahkan ujian…kerana…disebabkan ujian itulah kita jadi jatuh tersungkur dan mengenang kesilapan, kealpaan, kedegilan kita pada masa dulu….tidak pandai untuk menghargai segala nikmat yg Allah dh beri…Apabila kita muhasabah drpada ujian tu, nah…kita seolah2 mencari kekuatan untuk menjadi org baru yang lebih baik…semata2 utkn mendapat redho Ilahi….bangkitla sahabat….tidak salah utk berasa sedih dan lelah dengan setiap ujian itu…tetapi ingatla…..ada sesuatu yg bakal menantimu…dengan syarat, redhokanla segalanya…berdoalah tanpa henti…solat la tanpa mengira waktu…dan yakinlah…Allah menurunkan tarbiyah utk kebaikan kita semua…Alhamdulillah…Alhamdulillah…Alhamdulillah…syukur ats segala nikmatnya…;)

    Reply
  9. Maafkan saya. Saya ada copy a segment ayat dalam page ni utk dimasukkan ke dalam twitter. Minta halal ye. Terima kasih banyak banyak. Sebab kata kata dalam page ni memberi kesedaran :)

    Reply
  10. Terimakasih dg artikel ini saya baru mengetahui sebuah ujian yg bertubi tubi ini adalah bentuk cinta allah terhadap hamba yg dsayangnya;;)

    Reply
  11. Assalamualaikum…….
    Ada ujian yang mengambil masa yg singkat utk ditempuhi dan ada yg mengambil masa yg lama utk diharungi. Apa yg saya alami skrg mungkin mengambil masa yg lama. Sbb…wlaupun sudah hampir sebulan sy kehilangan org tersayang secara mengejut…sy masih lagi teringat dan terasa kehadirannya…masih lg teringat kata2 terakhir arwah petang seblum dia djemput pulang oleh Allah, supaya jgn sedih, tinggal sekejap sj…masih lg teringat pesanan arwah supaya mghabiskan pengajian lg setahun…mujurlh sy mngambil pengajian jarak jauh…itupun sy ponteng kuliah ke 2, sminggu slps kepergiannya…bagaimana nk tumpukan pelajaran jika selama ini ad org yg sentiasa brtanya ttg pembelajaran, ttg kehidupan harian, tiba2 hilang sekelip mata…memang redha dgn pemergian arwah…perancangan dan ketentuan Allah itu lebih baik…ada hikmah di sebalik kehilangan ini…tp mencari kekuatan diri utk bangun dan bersemangat semula memang payah…hanya Allah sj yang tahu dan mnjadi tempat mengadu….

    Reply
  12. Bertambah semangat dan percaya diri bagi saya dalam menjalani nikmat ujian yg sedang saya jalani sekarang dengan membaca artikel ini. Thanks buat penulis.

    Reply
  13. Terima kasih atas perkongsian. Setiap ayat, setiap kata-kata di dalam artikel ini membuatkan air mata saya jatuh deras. Barulah saya sedar betapa Allah itu amat menyayangi saya. Alhamdulillah. Terima kasih atas perkongsian ini. Semoga Allah merahmati saudara.

    Reply
  14. Terima kasih atas inspirasinya, semoga kita lebih kuat dalam menjalani kehidupan yg semakin hari semakin berat tantangannya. Salam dari indonesia.

    Reply

Leave a Comment