“Aku baik tau dengan sahabat-sahabat aku.
Semua yang mereka mahu aku cuba dapatkan. Apa yang mereka perlu, aku cuba cukupkan.
Tapi, bila tiba masa aku…”
Hajar diam. Tangannya di dahi, matanya layu memandang siling.
“Aku minta maaf. Aku juga sebahagian daripada mereka.”
“Aku tak maksudkan kau, Sara. Orang lain…”
“Ya, tetapi setidak-tidaknya pelajaran kepada orang lain itu pun perlu aku sematkan di dalam dada. Cuma yang perlu kau tahu, aku dan orang-orang lain itu manusia. Kami tak tak lepas daripada kesilapan.”
Nada Sara rendah. Mudah-mudahan ia berhasil sebagai pujukan kepada hati Hajar yang terluka.
“Aku bukan mengharap, tetapi tak bolehkah aku diberi sedikit penghargaan?”
“Siapa tempat kau berharap? Mereka atau Allah?”
“Mengharap Allah itu pasti, tetapi bila kebaikan yang kita buat dibalas tuba, aku rasa tak adil untuk aku…”
Sara pejam mata. Ada getar di dalam hati. Selalu perkara beginilah yang paling dia takuti. Takut perasaan begini singgah di sanubari, baik ke atas dirinya sendiri, mahupun kaum keluarga dan teman terdekat, seboleh-bolehnya isu baik dibalas tuba inilah yang cuba diperbetul persepsinya.
“Kita akan selalu kecewa jika harapan kepada manusia kita letakkan lebih tinggi daripada harapan kepada Allah. Allah itu Maha Baik, baik atau buruk sesuatu kejadian, pada setiapnya terkandung hikmah bagi yang berfikir. Boleh jadi, kebaikan yang dibalas kejahatan ini sebagai salah satu cara Allah untuk mengajar kita tentang ikhlas”.
Ada juga kebaikan yang dibalas kebaikan tetapi nilainya tidak setimpal dengan kebaikan yang kita buat. Kalau nak dilihat pada nilai, sedikit atau banyak, tinggi atau rendah, kita akan rasa sukar untuk bersyukur.”
“Kau menyokong mereka yang buat begini pada aku? Mereka ini pun tidak bersyukur, kau tahu? Aku dah baik selama ini.”
Madu kuhulur, racun yang kau lempar!
Hajar beralih posisi, menghadap Sara di katil sebelah.
“Aku tak kata mereka betul. Memang apa yang mereka buat itu salah dan tidak patut sebagai seorang Muslim. Masih ingat usrah lepas kita pernah bincang bahawa Allah suruh kita sentiasa berbuat kebaikan.
“Dan berbuat baiklah kepada ibu-bapak, karib kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil (orang yang bepergian) dan hamba sahayamu (pembantu).” [4: 36]
Tetapi, macam mana dalam keadaan kau, apa patut dilakukan bila kebaikan dibalas kejahatan? Allah jawab dalam al-Mukminun:
“Balaslah perbuatan buruk mereka dengan yg lebih baik. Kami lebih mengetahui apa yang mereka sifatkan.” [23:96]”
Hajar hela nafas. Bunyinya seakan mengeluh. Lama dia memandang Sara, sahabat akrab yang jarang sekali dilihat bermasam muka. Kadang-kadang dia sendiri tidak pasti apakah Sara tidak pernah dirundung masalah.
“Mungkin kerana apa yang diucapkannya selalu dia amalkan, mungkin.” Getus hati Hajar.
“Apa aku dapat, Sara? Mampukah aku terus bertahan? Kesabaran aku ini pun ada batas, lama-lama boleh kalah juga,”
“Apa yang kau dapat, Allah dah bagi. Kadang-kadang kita diuji dengan sahabat-sahabat yang jahat pada tanggapan kita tadi, tetapi pada sudut lain, Dia sukupkan nikmat yang berganda. Rezeki yang tidak putus, makan pakai sempurna.
Malah, dalam sepuluh orang sahabat, masih ada seorang dua yang sayangkan kita, boleh jadi lebih lagi kasihnya berbanding mereka yang lain tadi. Kadang-kala kebaikan itu tak tumpah pada kita saja, tapi turut terkena dengan kesihatan ibu ayah, adik-adik, kebaikan suami, solehnya anak-anak.
Lihatlah dengan akal sihat, akan nampaklah berganda-gandanya yang Allah beri. Allah kata,
“Mereka itu diberi pahala dua kali lipat disebabkan kesabaran mereka dan mereka menolak kejahatan dengan kebaikan dan sebagian dari apa yang telah Kami rezekikan kepada mereka, mereka nafkahkan” [28:54]
Kita mampu bersabar, kalau kita terus berharap pada Allah. Mengharap balasan hanya dari Allah. Bertahanlah dengan berpaut erat pada rahmat dan kebaikan Allah. InsyaAllah, tidak tidak akan terjatuh jika Dia-lah tempat bertahan.
Sabar itu tidak pernah ada batas jika kita benar ikhlas. Dalam bersabar pun kita perlukan kesabaran. Jangan berhenti meminta supaya Allah bantu kita mempertahankan kesebaran.”
Sara berpaling, memandang redup wajah Hajar, sahabat yang sangat dikasihi. Dia dapat melihat ada air jernih menuruni perlahan pipi Hajar.
“Astagfirullah… ampunkan Hajar, Allah.” Sayup.
****
Sifat Manusia Itu Mahu Kebaikan Dibalas Kebaikan
Inilah yang selalu terjadi dalam hari-hari kita. Kerana terlalu berharap pada balasan kebaikan, kadang-kadang kita terlepas pandang pada kelemahan yang dinamakan ‘manusia’.
Kita mahu kalau boleh, bila kita buat baik, yang menerima kebaikan akan membalas dengan kebaikan yang serupa. Bila saja kita tidak menerima balasan yang setimpal, kita mula rasa dikhianati, tidak dhargai, kurang disayangi.
Kita ini, manusia. Kurang lebih antara kita sepatutnya sudah maklum.
Apakah kita mahu mengharapkan lebih daripada manusia lain yang kelemahannya lebih kurang sahaja dengan diri kita? Tidakkah kita mahukan balasan Allah yang tiada banding taranya?
Sukar sebenarnya mendidik hati mengaplikasi pelajaran yang satu ini, yakni menerima kurang lebih antara manusia dengan lapang dada.
Namun sukar tidak bermakna ia sukar dilakukan. Kita boleh.
Cuma mahu atau tidak saja.
Selalulah luangkan masa dengan hati.
Ajak hati berbual-bual, fahami ia, didik ia perlahan-lahan menurut kemanisan ibadah bersulam iman.
Hati ini fitrahnya kebaikan.
Hanya kerana dosa-dosa yang terpalit, ia jadi keras dan hitam.
Berusahalah membersihkan.
Pohonlah kekuatan dari Yang Maha Perkasa, InsyaAllah berjaya.
Semoga Allah redha.
Artikel ini adalah perkongsian ke Inbox kami ([email protected]) daripada Saidatul Faiqah Samasu, [ Facebook | Blog | Tumblr ] Pelajar tahun akhir Master Bahasa Melayu di UPM. Semoga perkongsian yang dikongsikan oleh beliau memberi makna dan manfaat kepada kita semua.
Tinggalkan Komen Anda..
Memang tidak selamanya kebaikan” yg telah kita lakukan di sukai oleh orang lain, tapi jangan lah takut. Semua yg kita lakukan akan selalu mendapatkan balasannya.