Bagaimana niat dan cara Solat Jumaat?
Ini adalah panduan lengkap untuk mengerjakan Solat Fardu Jumaat.
Anda akan dibimbing secara langkah demi langkah sehingga selesai, dan panduan ini diringkaskan agar mudah difahami.
Apa yang menarik:
Panduan ini juga dipermudahkan dengan transliterasi RUMI untuk membantu anda yang menghadapi kesukaran membaca tulisan arab.
Semoga bermanfaat..
Pengenalan
Solat Jumaat wajib bagi lelaki muslim yang baligh tetapi tidak wajib ke atas perempuan.
Sembahyang Jumaat juga tidak wajib sekiranya dalam keadaan musafir.
Solat ini ditunaikan pada hari Jumaat menggantikan sembahyang fardu Zohor.
Ianya dikerjakan di masjid dan wajib dikerjakan secara berjemaah dengan sekurang-kurangnya 40 orang yang tinggal secara tetap di kawasan itu.
Sembahyang jumaat mestilah didahului dengan dua khutbah dan diikuti dengan solat dua rakaat.
Hukum Solat Jumaat
Solat Jumaat diwajibkan ke atas semua golongan yang memenuhi syarat-syarat wajib Jumaat.
Ia adalah kewajipan; fardu ain yang mesti dilakukan sendiri oleh setiap individu tersebut.
Diriwayatkan oleh Thariq bin Syibab yang berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Solat Jumaat adalah hak yang wajib ke atas setiap orang Islam, melainkan empat golongan, iaitu hamba yang dimiliki, perempuan, kanak-kanak atau orang sakit
— Riwayat Abu Daud dalam Sunan Abi Daud
Lafaz Niat Solat Jumaat
Lafaz niat Solat Fardu Jumaat untuk makmum ialah:
Usolli Fardol Jum’ati Rak’ataini Makmuman Lillahi Taala
Maksudnya:
Sahaja aku solat fardu Jumaat dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala
Cara Mengerjakan Solat Jumaat
Ringkasan Cara Melakukan Solat Fardu Jumaat
- Permulaan Solat: Selepas pembacaan dua khutbah dan iqamat, mulakan solat dengan niat dan takbiratul ihram. Niat solat fardu Jumaat adalah “Usolli Fardol Jum’ati Rak’ataini Makmuman Lillahi Taala” atau “Sahaja aku solat fardu Jumaat dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala”.
- Baca Doa Iftitah: Setelah takbiratul ihram, disunatkan membaca doa Iftitah, walaupun ditinggalkan tidak membatalkan solat
- Baca Surah al-Fatihah: Setelah imam membaca al-Fatihah, jemaah mengikut dengan membaca al-Fatihah sendiri secara perlahan
- Rukuk dan Sujud: Ikut gerakan imam mulai dari rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, dan sujud kedua
- Rakaat Kedua: Mulakan rakaat kedua dengan takbir intiqalat, kemudian ulangi bacaan al-Fatihah selepas imam
- Rukuk dan Sujud Rakaat Kedua: Lakukan rukuk dan sujud mengikut imam
- Tahiyyat Akhir dan Salam: Setelah selesai rakaat kedua, lakukan tahiyyat akhir dan akhiri solat dengan memberi salam selepas imam.
Perlu diingat bahawa semua gerakan dalam solat Jumaat mesti dilakukan selepas imam selesai melakukannya, kerana solat Jumaat adalah solat berjemaah
Di bawah ini merupakan cara melaksanakan solat fardu Jumaat secara langkah demi langkah:
Rakaat Pertama
1. Solat Dimulakan dengan niat & takbiratul ihram.
Sesudah pembacaan dua khutbah oleh imam atau khatib dan sesudah iqamat, maka berdirilah sebagai persediakan mengerjakan solat.
Selepas imam mengangkat takbiratul ihram, maka barulah kita pula yang melakukan takbiratul ihram.
Semasa mengangkat takbir, bacakan niat solat fardu Jumaat dalam hati.
Usolli Fardol Jum’ati Rak’ataini Makmuman Lillahi Taala
.. atau
Sahaja aku solat fardu Jumaat dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala
2. Kemudian, bacalah doa Iftitah.
Selepas angkat takbir, maka disunatkan membaca Iftitah.
Hukum membaca Iftitah adalah sunat hai’ah. Solat tetap sah jika doa ini ditinggalkan. Tetapi jika dibaca, akan mendapat pahala.
Setelah selesai, berdiamlah seketika sehingga imam habis membaca surah al-Fatihah.
Allaahu Akbaru Kabiiraa-walhamdu Lillaahi Katsiiran, Wa Subhaanallaahi Bukrataw-wa’ashiila.
Wajjahtu Wajhiya Lilladzii Fatharas-samaawaati Wal Ardha Haniifam-muslimaw-wamaa Anaa Minal Musyrikiina.
Inna Solaatii Wa Nusukii Wa Mahyaaya Wa Mamaatii Lillaahi Rabbil ‘Aalamiina.
Laa Syariikalahu Wa Bidzaalika Umirtu Wa Ana Minal Muslimiin
3. Seterusnya bacalah surah al-Fatihah.
Selepas imam selesai membaca al-Fatihah, maka semua jemaah akan meng”amin”kan bacaan itu beramai-ramai secara serentak.
Selepas itu barulah para makmum membaca al-Fatihah sendiri secara perlahan sementara imam membaca ayat/surah lain dari Al-Quran..
Surah al-Fatihah adalah sebahagian daripada rukun solat. Oleh itu ia wajib dibacakan dalam semua solat.
Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Sirāṭallażīna an‘amta ‘alaihim, ghairil-magḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn
4. Rukuk Dan Sujud Dalam Rakaat Pertama
Setelah selesai dibaca ayat / surah al-Quran oleh imam, maka ikutlah segala gerak dan perbuatan imam bermula dari rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, dan sujud kedua.
Sekali lagi diingatkan, jangan mendahului imam dari segi perbuatan kerana ia akan membatalkan solat.
Rakaat Kedua
5. Rakaat kedua dimulai dengan lafaz takbir intiqalat
Sehabis sujud kedua, bangun berdiri tegak kembali dengan tangan diletakkan di atas pusat untuk rakaat kedua.
(takbir intiqalah bermaksud takbir permulaan rakaat kedua).
6. Baca surah al-Fatihah Selepas Imam
Seperti rakaat pertama, sekali lagi pada rakaat kedua dibacakan surah al-Fatihah selepas imam selesai membacanya.
Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Sirāṭallażīna an‘amta ‘alaihim, ghairil-magḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn
7. Solat diteruskan dengan rukuk dan sujud.
Lakukanlah rukuk dan sujud seperti biasa mengikut pergerakan imam.
8. Bangun dari sujud, terus lakukan tahiyyat akhir sehinggalah selesai rakaat kedua.
9. Sesudah tahiyat, solat diakhiri dengan memberi salam selepas imam selesai memberi salam.
10. Selesai solat, jangan tergesa-gesa keluar dari masjid.
Amat baik jika kita mengikut imam bertasbih, tahmid, takbir dan berdoa.
Syarat Wajib Untuk Solat Jumaat
Berikut adalah beberapa syarat yang mewajibkan seseorang itu untuk mengerjakan sembahyang Jumaat:
- Islam
- Baligh
- Merdeka
- Berakal
- Lelaki
- Untuk perempuan hukumnya harus
Syarat Sah Solat Jumaat
Berikut adalah syarat sah solat fardu Jumaat:
1. Ditunaikan di satu tempat atau bangunan di dalam kawasan kediaman tetap, pekan atau kampung walaupun tidak di dalam masjid2. Ditunaikan pada waktu Zuhur pada hari Jumaat.
3. Ditunaikan secara berjemaah sekurang-kurangnya 40 orang ahli jemaah termasuk imam dan mereka adalah penduduk yang bermastautin di kawasan itu.
4. Tidak ada kumpulan lain yang mendahului atau melakukan sembahyang jumaat di dalam kawasan yang sama.
Maksudnya, tidak boleh mendirikan dua sembahyang Jumaat di dalam satu tempat atau kawasan walaupun di masjid yang berlainan.
Kecuali untuk kawasan penempatan kampung atau pekan yang terlalu besar dan penduduknya sukar untuk berkumpul di satu tempat, maka sembahyang Jumaat boleh dibuat lebih daripada satu tempat.
5. Didahului dengan dua khutbah
Perkara Sunat Pada Hari Jumaat
Perkara-perkara yang disunatkan pada hari Jumaat khusus untuk mereka yang hendak menunaikan solat Jumaat.
- Mandi sebelum pergi ke masjid, sebaik-baiknya ketika hendak berangkat ke masjid.
- Memakai pakaian yang bersih, elok dan kemas, seeloknya berwarna putih.
- Memakai bau-bauan.
- Memendekkan kuku, merapikan misal, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari dan bersugi.
- Bersegera ke masjid dengan tujuan mendapatkan saf hadapan.
- Perbanyakkan zikir, istigfar, doa dan terutama sekali selawat. Rasulullah SAW menyatakan, pada hari jumaat ada satu waktu mustajab yang diperkenankan doa orang yang berdoa pada waktu itu.
- Memberi perhatian pada khutbah yang disampaikan oleh khatib. Makruh menggunakan telefon bimbit atau benda-benda lain termasuk tasbih ketika khatib sedang berkhutbah.
Soalan Lazim Berkaitan Solat Jumaat
Berikut dikumpulkan beberapa permasalahan lazim yang berlaku ketika solat fardu Jumaat:
Tidak perlu. Jika sudah mengerjakan Solat Jumaat, maka tidak perlu lagi melakukan Solat Zohor.
Apabila bermusafir selepas terbit fajar hari Jumaat, wajib untuknya menunaikan solat Jumaat sama ada ketika masih dalam perjalanan atau sudah tiba di tempat yang dituju.
Sebaliknya apabila musafir sebelum terbit fajar hari Jumaat, maka tidak wajib untuknya menunaikan solat Jumaat. Bagaimanapun, sekiranya mereka mengerjakannya, itu adalah lebih utama.
Orang yang bermukim ialah orang yang tinggal di suatu tempat lebih dari tempoh musafir iaitu tempat hari empat malam, tetapi tidak berniat untuk menetap di situ. Seperti orang yang datang kerana berniaga, belajar dan sebagainya. Mereka wajib menunaikan solat Jumaat, tetapi tidak boleh dikira sebagai bilangan ahli Jumaat. Iaitu mereka dikecualikan dari bilangan 40 orang ahli Jumaat yang diwajibkan.
Harus bagi polis dan tentera meninggalkan solat Jumaat kerana menjalankan tugas-tugas keselamatan yang dikira uzur syari’e disebabkan mereka terpaksa bertugas dengan syarat tidak meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut.
Orang yang bermastautin ialah orang yang tinggal tetap di sesuatu tempat sama ada dilahirkan di situ atau sudah membeli tanah atau rumah atau menyewa rumah dan menetap di tempat itu. Mereka wajib solat Jumaat dan mereka dikira sebagai bilangan ahli Jumaat.
Golongan yang tidak diwajibkan solat jumaat adalah wanita, kanak-kanak dan orang yang musafir sebelum terbit fajar hari Jumaat. Tetapi sekiranya mereka ingin mengerjakan solat Jumaat, maka solat mereka adalah sah dan tidak perlu lagi mendirikan solat fardu zohor pada hari itu.
Orang yang datang lewat untuk bersolat Jumaat perlu duduk di saf yang belakang.
Makruh hukumnya apabila dia mencelah dan menyelit sehingga melangkah tengkuk jemaah lain kerana mahu duduk di saf hadapan kerana perbuatan ini menunjukkan kesombongan dan akan mengguris hati ahli jemaah yang lain.
Sebaik-baiknya datang lebih awal jika mahu duduk di saf hadapan.
Untuk makmum yang masbuk, makmum perlu mengikut imam sekurang-kurangnya sempat membaca al-Fatihah dan rukuk bersama imam dalam rakaat kedua. Sekiranya tidak sempat rukuk bersama imam dalam rakaat kedua, dikira tidak dapat bersolat Jumaat pada hari itu.
Apabila khatib sedang berkhutbah di atas mimbar, maka diharamkan untuk solat walaupun solat itu adalah solat qada kecuali solat sunat tahiyatul masjid dan diwajibkan untuk meringankan (mempercepatkan) solat tahiyatul masjid itu dan tidak boleh menambah dua rakaat lagi selain daripada solat sunat tahiyatul masjid yang tadi.
Tidak boleh. Syarat sah Solat Jumaat mesti dikerjakan secara berjemaah dan dihadiri oleh sekurang-kurangnya 40 orang ahli jemaah yang tinggal dikawasan itu.
Orang yang tinggal jauh di pedalaman dan akan berjalan jauh untuk ke masjid berhampiran, dibolehkan untuk Solat Jumaat di kawasan mereka sendiri walaupun kurang daripada 40 orang jika mengikut pandangan ulama yang membolehkan solat jumaat kurang daripada 40 orang dan mengikut pendapat yang mengatakan tidak semestinya solat jumaat dikerjakan di masjid (Fath al-Mu’in, 2/69)
Penutup
Saya berharap agar panduan ini dapat membantu memudahkan anda dalam melaksanan solat fardu Jumaat.
Jika terdapat sebarang persoalan atau kemusykilan, anda boleh tinggalkan perkara tersebut pada ruangan di bawah.
Terima kasih.
Tinggalkan Komen Anda..
Salam Auditor.
Maaf kalau saya bertanya. Kita ke solat Jumaat. Setelah masuk ke masjid dan sebelum kita duduk kita lakukn solat sunat tahayatul masjid. Selepas itu masuk waktu zohor azan berkumandang. Apa kah niat untuk solat selepas azan itu? Ini dilakukan semua jemaah sebelum khutbah.
Terima Kasih
Ketika Anda memasuki masjid dan melaksanakan solat sunat Tahiyatul Masjid sebelum duduk, itu merupakan amalan yang sangat dianjurkan sebagai penghormatan kepada masjid. Kemudian, ketika azan Zohor berkumandang pada hari Jumaat dan Anda bersiap untuk melaksanakan solat yang dilakukan sebelum khutbah Jumaat, ini sebenarnya adalah solat sunat Qabliyah Jumaat, bukan solat Zohor.
Niat untuk solat sunat Qabliyah Jumaat adalah seperti berikut:
“Saya niat solat sunat Qabliyah Jumaat dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”
Solat sunat Qabliyah Jumaat ini dilakukan dalam dua rakaat dan merupakan amalan yang dianjurkan sebelum khutbah Jumaat dimulai. Perlu diingat, solat Jumaat menggantikan solat Zohor pada hari Jumaat bagi lelaki yang melaksanakannya berjemaah di masjid. Solat sunat Qabliyah Jumaat ini berbeza dengan solat Zohor pada hari-hari biasa.
Semoga penjelasan ini membantu Anda
Assalammualaikum Tuan Auditor.. Terima kasih atas penerangan ini..
Saya ingin Bertanya, pada pukul berapakah waktu yang sesuai untuk seorang lelaki berada di dalam masjid ketika ingin mengerjakan solat jumaat? Bermula dari mendengar khutbah hingga selesai solat jumaat. Pada kebiasaannya, pukul berapa khutbah akan dimulakan?
Waalaikumsalam, Tuan.
Untuk menjawab pertanyaan ini, waktu yang sesuai untuk seorang lelaki berada di dalam masjid bagi tujuan mengerjakan solat Jumaat adalah sebaik sahaja masjid dibuka untuk jemaah pada hari Jumaat. Ini memungkinkan seseorang itu mendapat keberkatan daripada berada di masjid, melakukan zikir, membaca Al-Quran, atau berdoa sebelum khutbah dimulakan.
Pada amnya, waktu khutbah Jumaat bermula bergantung kepada masjid dan lokasinya. Biasanya, khutbah dimulakan beberapa minit selepas waktu Zohor masuk. Di Malaysia, ini sering berlaku antara pukul 1:00 petang hingga 1:30 petang, tetapi waktu ini boleh berbeza mengikut masjid dan juga musim (misalnya, waktu Zohor berubah-ubah mengikut panjang pendeknya siang).
Adalah digalakkan untuk sampai di masjid lebih awal, jika mungkin, untuk mendapatkan tempat dan bersiap sedia mental dan fizikal sebelum khutbah bermula. Ini juga membolehkan seseorang itu menunaikan sunat tahiyatul masjid dan sunat-sunat lain sebelum solat Jumaat.
Perlu ditekankan bahawa mendengar khutbah adalah sebahagian daripada ibadah solat Jumaat, jadi penting untuk berada di dalam masjid sebelum khutbah dimulakan.
Wallahu A’lam
Alhamdulillah penerangan yg sangat jelas , terimah kasih admin.
Sama-sama, Alhamdulillah.
Saya gembira dapat membantu. Jika ada pertanyaan, jangan ragu untuk bertanya.
الحمد لله. Assalamualaikum auditor. Terima kasih d atas info yg sangat berguna ini. Semoga الله memberikan kesihatan dan ilmu kepada pihak auditor agar trus dapat memberikan ilmu2 yang berguna.
Alhamdulillah, sama-sama.
Terima kasih juga kerana sudi mendoakan kebaikan buat saya.
Adakah sah solat Jumaatnya sekiranya makmum hanya mendengar bacaan fatihah imam? Ada mengatakan cukup hanya diam dan dengarkan sahaja bacaan imam serta mengaminkannya.
Waalaikumussalam.
Dalam mazhab Hanafi, makmum tidak perlu membaca apa-apa (termasuk Al-Fatihah) ketika imam sedang membaca dengan kuat dalam solat seperti solat Maghrib, Isya’, dan Fajr, serta solat Jumaat. Cukup dengan mendengar bacaan imam.
Namun, dalam mazhab Shafie, Maliki, dan Hanbali, ada pendapat yang mengatakan makmum wajib membaca Al-Fatihah walaupun imam membacanya dengan kuat.
Dalam mazhab Shafie khususnya, membaca Al-Fatihah adalah rukun solat bagi makmum, jadi jika makmum tidak membacanya, solatnya dianggap tidak sah.
Mcm mana seseorg yg ada anxiety, perasaan takot dan berdebar shaking ketika berdepan dgn ramai org…
As Salam. Secara umumnya jika ia mendatangkan mudarat, maka ia dimaafkan pada syarak jika tidak melakukannya. Namun apa yahg terbaik adalah merujuk kepada mereka yang lebih berautoriti berkaitan hukum agama seperti jabatan mufti.
Assalamualaikum
saya nak tanya boleh kah solat jumaat di surau berseorangan/ sendiri disebabkan masa kerje yang hanya diizinkan ke surau yang berdekatan sahaja !
terima kasih
Wassalam. Tidak boleh. Antara syarat solat jumaat adalah mesti dilakukan secara berjemaah.
Terimaksih saya pun baru nak mula solat fhardu jum’at kali ni. Thanks for your information jazakallah khairan?
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanya perlukah makmum untuk membaca sendiri ketika rukuk, sujud, tahiyat awal dn akhir ketika solat jumaat? Atau perlu diam sahaja?
Wassalam.
Ya bacaan tersebut kena baca sendiri.
Surah selepas al-Fatihah sahaja tidak perlu baca.
salam jumaat,
1.)bolehkah saya melakukan solat tahiyatul masjid 2rakaat sebelum azan?
2.)dan selepas azan pertama saya melakukan silat sunat qabliyah 2rakaat lagi?
total 4 rakaat sunat sebelum waktu solat fardhu jumaat
Wassalam.
1) Boleh, tahiyatul masjid disunatkan dikerjakan sebelum duduk apabila masuk masjid.
2) Ya betul