Cara Menggantikan Imam Dalam Solat Berjemaah (Istikhlaf)

cara menggantikan imam

Bagaimanakah cara yang betul untuk menggantikan imam?

Panduan kali ini akan menerangkan kaedah dan tatacara menggantikan imam dalam solat berjemaah secara lengkap.

Panduan ini akan menerangkan:

  • Apakah hukumnya
  • Bagaimana untuk “Istikhlaf” dalam beberapa keadaan tertentu dalam solat
  • Adakah makmum perlu memperbaharui niat dengan imam yang baru

.. dan banyak lagi.

Oleh itu, mari kita mulakan..

Pengenalan Mengenai Istikhlaf

Apakah maksud istikhlaf?

Istikhlaf ialah perbuatan menggantikan imam dalam solat berjemaah.

Ini terjadi apabila imam keluar daripada menjadi imam, sama ada dengan undur ke belakang para makmum, atau keluar daripada solat kerana berhadas atau seumpamanya.

Perbuatan itu adalah harus sama ada pengganti (khalifah) melantik dirinya sendiri menjadi imam atau ia dilantik oleh imam atau para makmum atau sebahagian daripada makmum.

Hukum Istikhlaf

Keharusan istikhlaf ialah berdasarkan kepada keharusan solat dengan dua imam secara berganti, sebagaimana yang terjadi ketika Sayidina Abu Bakar as-Siddiq mengimamkan para jemaah saat Rasulullah SAW sakit.

Pada suatu hari Baginda SAW berasa dirinya sudah sihat sedikit, maka Baginda pun masuk ke masjid hendak solat dan Abu Bakar ketika itu sedang mengimamkan solat jemaah bersama para Sahabat yang lain.

Lalu Abu Bakar berundur ke belakang dan mendahulukan Rasulullah SAW ke hadapan, dan seterusnya beliau pula yang mengikut Rasulullah SAW sebagai imam, setelah beliau keluar daripada menjadi imam.

Catatan
Istikhlaf boleh berlaku pada Solat Jumaat dan juga pada solat yang lain daripada Solat Jumaat.

Istikhlaf Pada Solat Jumaat

Terdapat beberapa keadaan Istikhlaf pada solat Jumaat, iaitu:

1. Istikhlaf pada pertengahan Khutbah

Disyaratkan penggantinya itu telah mendengar rukun-rukun khutbah yang lalu.

2. Istikhlaf antara khutbah dan solat

Disyaratkan penggantinya telah mendengar sekalian rukun-rukun khutbah yang disampaikan oleh khatib, kerana orang yang tidak mendengar khutbah bukan daripada ahli Jumaat.

Dia dianggap sebagai ahli Jumaat setelah dia masuk mengerjakan solatnya itu.

3. Istikhlaf sewaktu sedang solat Jumaat

Terdapat tiga keadaan istikhlaf ketika solat jumaat sedang didirikan, iaitu:

i. Pengganti orang baharu yang belum sempat mengikut imam:

Tidak sah istikhlaf sama sekali kerana para makmum itu memerlukan pembaharuan niat mengikut imam.

Ini boleh membawa kepada wujudnya satu Jumaat lagi sesudah adanya Jumaat yang lain.


ii. Pengganti itu mengikut imam yang berkenaan ketika qiam rakaat pertama atau dalam rukuk rakaat pertama:

Sah istikhlaf dan sah solat Jumaat baginya dan juga para makmum yang lain.


iii. Istikhlaf berlaku selepas imam rukuk bagi rakaat pertama, sedangkan pengganti itu tidak berkesempatan dengan imam dalam rukuk rakaat pertama:

Haram istikhlaf ke atas pengganti itu, kerana dengan demikian meluputkan Jumaat ke atas dirinya.

Maka wajiblah orang yang sempat bersama imam dalam rukuknya melangkah ke hadapan sebagai pengganti imam.

Perhatian
Jika pengganti itu mendapat rukuk bagi rakaat kedua solat Jumaat, kemudian dia menggantikan imam ketika tahiyat:

  1. Dalam masalah ini, berlaku khilaf ulama. Menurut pendapat Ibnu Hajar, pengganti itu tidak dapat Jumaat, bahkan hendaklah dia sempurnakan solatnya itu menjadi Fardu Zuhur.
  2. Manakala menurut pendapat Syeikh al-Islam Zakaria al-Anshari, al-Khatib asy-Syarbini dan Imam ar-Ramli, pengganti itu akan memperoleh Jumaat dan wajib dia menambah satu rakaat sahaja lagi dan kemudian memberi salam.

Syarat Istikhlaf Dalam Solat Jumaat

Istikhlaf ketika sedang berlangsung Solat Jumaat terdapat beberapa syaratnya, iaitu:

1. Disyaratkan pengganti itu hendaklah telah mengikut imam sebelum imam keluar daripada solatnya.


2. Disyaratkan para makmum tidak bersendirian melakukan rukun qauli atau fi’li, atau tidak berlalu satu jangka masa yang memuatkan satu rukun.


3. Para makmum tidak wajib mengubah niat mengikut pengganti itu sama sekali, bahkan memadailah dengan niat mengikut imam pada takbiratul ihram yang lalu.


4. Jika para makmum telah melakukan satu rukun sahaja dalam rakaat pertama secara bersendirian, batallah Jumaat mereka.

Ini kerana istikhlaf ketika itu hukumnya wajin dan kerana solat jumaat diwajibkan berjemaah pada rakaat pertama.


5. Jika istikhlaf itu berlaku pada rakaat kedua, dan para makmum terus melakukan satu rukun pada rakaat kedua itu secara bersendiri, tidaklah batal solat Jumaat mereka.

Walau bagaimanapun, mereka tidak diharuskan berniat mengikut pengganti itu, bahkan akan terbatal solat Jumaat mereka kalau dilakukan juga, kerana ia seperti berbilang-bilang Jumaat.

Catatan
Jika sebahagian sahaja makmum yang bersendirian terus melakukan satu rukun, atau berniat mengikut pengganti itu, sedangkan yang baki lagi tidak kurang daripada 40 orang, sahlah Jumaat mereka.

Sebaliknya jika yang baki itu kurang daripada 40 orang, batallah Jumaat mereka semua, maka hendaklah mereka ulang (i’adah) solat jumaat tersebut.

Istikhlaf Dalam Solat Yang Selain Solat Jumaat

Hukumnya:

Harus istikhlaf pada solat selain daripada solat Jumaat, sama ada pengganti itu telah mengikut imam yang berkenaan sebelum terbatal solatnya atau belum lagi mengikutnya.

Namun begitu:

Para makmum perlu berniat mengikut khalifah (pengganti) jika tertib solatnya berlainan dengan tertib solat imam yang diganti seperti istikhlaf pada rakaat kedua atau rakaat akhir.

Walau bagaimanapun, jika tertib solat khalifah itu tidak berlainan dengan tertib solat imamnya, dalam erti kata dia menggantikan imam pada rakaat pertama atau pada rakaat ketiga bagi solat empat rakaat, maka para makmum tidak perlu mengubah niat untuk mengikut khalifah itu.

Ini adalah kerana istikhlaf pada masalah pengganti itu telah pun mengikut imamnya yang diganti sebelum terbatal solatnya.

Maka para makmum tidak perlu sama sekali mengubah niat untuk mengikut pengganti, kerana pada ketika itu pengganti adalah diwajibkan memelihara peraturan solat imamnya.

Sekiranya pengganti itu sudah tahu peraturan solat imamnya, jelaslah masalahnya.

Namun jika dia tidak mengatahui peraturan solat imamnya itu, maka hendaklah dia mengamati atau memerhati mereka yang dibelakangnya.

Apabila mereka hendak bangun, hendaklah dia terus bangun.

Dan jika tidak, maka dia akan duduk.

Pada solat yang jenis empat rakaat, apabila para makmum itu bercita-cita atau kelihatan hendak duduk, hendaklah pengganti itu duduk dan bertahiyat bersama mereka.

Kemudian dia bangun selepas itu, jika mereka bangun juga bersamanya, maka jelaslah rakaat itu adalah rakaat kedua.

Dan jika mereka tidak bangun, maka jelaslah rakaat itu adalah rakaat terakhir bagi mereka.

Perhatian
Keharusan istikhlaf itu hendaklah dilakukan dengan segera iaitu sebaik-baik sahaja batal solat imam yang pertama dan sebelum makmum bersendirian melakukan rukun qauli mahupun fi’li, atau belum lagi berlalu masa yang boleh dilakukan rukun di dalamnya.

Sekiranya para makmum telah melakukan satu rukun selepas sahaja imam batal solatnya, atau telah berlalu masa yang membolehkan dilakukan rukun itu, maka ketika itu istikhlaf adalah dilarang pada solat Jumaat tanpa syarat.

Dan juga dilarang istikhlaf pada solat selain daripada solat Jumaat jika para makmum tidak memperbaharui niat untuk mengikut imam dengan khalifah itu.

Namun begitu, jika sebahagian makmum telah berasingan atau bersendirian melakukan rukun sedangkan yang lain tidak, maka yang telah berasingan sahaja memerlukan tajdid (memperbaharui) niat mengikut imam (pengganti).

Mereka yang tidak berasingan melakukan rukun pula tidak wajib tajdid niat mengikut imam.

Inilah hukum pada solat yang selain daripada solat Jumaat.

Persoalan Istikhlaf Yang Perlu Diketahui

1 Tidak harus seorang imam melantik penggantinya sebelum dia keluar daripada imam atau solatnya.


2 Seorang pengganti apabila terbatal solatnya, maka orang ketiga akan menggantikannya.

Jika orang ketiga pun keluar daripada menjadi imam, maka tampil pula orang keempat menggantikannya.

Demikianlah seterusnya.

Hukumnya adalah harus.

Tetapi disyaratkan setiap mereka itu apa yang disyaratkan pada pengganti pertama.

Dan hendaklah mereka meraikan peraturan solat imam yang pertama.


3 Jika imam pertama berwuduk semula setelah dia keluar daripada solatnya dan diganti oleh khalifah..

… kemudian dia masuk semula solat mengikut khalifahnya itu.

Dan tiba-tiba berhadas pula pula khalifah itu lalu imam pertama tadi mengganti menjadi imam.

Maka hukumnya adalah harus.


4 Sekiranya orang yang mengimami solat Jumaat itu bukan khatib sendiri, maka disyaratkan orang yang menjadi imam itu telah mendengar khutbah dan rukunnya sekali.

Walau bagaimanapun, hukumnya khilaful-aula, kerana yang afdal hendaklah imam itu adalah khatib sendiri.


5 Sekiranya khatib Jumaat terbatal wuduknya ketika khutbah, maka yang afdalnya hendaklah dia berwuduk segera.

Kemudian dia memulakan khutbah sekali lagi, jika waktu masih banyak dan keadaan mengizinkan.

Jika tidak, hendaklah dia beristikhlaf sahaja.


6 Orang yang mengganti pada solat Jumaat selepas takbiratul ihram, tidak disyaratkan dia mendengar khutbah.

Kerana dengan takbiratul ihram itu dikira sudah termasuk bersama dengan orang lain sebagai ahli jumaat.


7 Jika istikhlaf berlaku sewaktu imam sedang membaca al-Fatihah, maka penggantinya wajib menyambung bacaan al-Fatihah imam yang diganti itu dengan sempurna.

Kemudian barulah dia membaca al-Fatihah bagi dirinya jika belum lagi dibaca.

(Inilah yang ditarjihkan oleh Imam Ibnu Hajar)

Sebaliknya jika dia tidak membaca al-Fatihah yang belum dibaca itu, maka wajiblah dia menambah satu rakaat lagi sebagai ganti setelah selesai solat mereka yang diganti itu.


8 Pengganti yang masbuk diwajibkan menjaga peraturan solat imam yang digantinya, supaya solat itu berlaku menurut peraturan solat para jemaah.

Dia hendaklah melakukan apa yang dilakukan oleh imam yang diganti itu.

Apabila dia solat satu rakaat bersama mereka (makmum) dalam Solat Subuh, hendaklah dia membaca qunut untuk mereka, jika rakaat itu rakaat kedua bagi imam yang digantinya.


9 Pengganti yang masbuk juga dikehendaki membaca tasyahhud bersama makmum.

Setelah dia selesai membaca tasyahhud, barulah dia bangun meneruskan solatnya sambil memberikan isyarat kepada makmum agar mereka membuat pilihan sama ada hendak niat mufaraqah atau memberi salama bersama dengannya.

Inilah yang afdal jika masa masih banyak.

Jika waktu sudah sempit dan ditakuti akan berakhir waktu disebabkan menunggu imam, maka wajib ketika itu makmum berniat mufaraqah daripada imam.


10 Menurut pendapat yang muktamad, para makmum tidak wajib memulakan niat mengikut pengganti imam, kerana pengganti ketika itu adalah seperti imam pertama juga dalam meneruskan solat jemaah.

Kerana itulah dia tidak boleh meraikan peraturan solat dirinya.


11 Jika berlaku perlantikan khalifah itu daripada mereka yang tidak layak menjadi imam, maka solat para makmum tidak terbatal, melainkan jika mereka mengikutnya kerana penggantian itu dikira tidak berlaku.

Rujukan & Penutup

Rujukan bagi panduan ini adalah dari buku panduan imam & makmum, Ustaz Mohd Hazri Hashim Al-Bindany.

Semoga apa yang dikongsikan dapat memberi imput yang berguna kepada semua pembaca.

Jika anda mahukan panduan-panduan seperti ini lagi, sila subscribe pada ruangan emel di bawah.

Terima kasih.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

11 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
ab rahim abdullah
ab rahim abdullah
3 tahun yang lalu

sekiranya imam terbatal tanpa disedari imam, bolehkah makmum dibelakang menggantikannya. bagaiman pengganti nak maklumkan secara isyarat bahawa imam itu terbatal. contoh ada najis di kaki atau belakang baju imam seperti tahi cicak atau tahi burung.. mohon pencerahan

ahmad hafadz bajuri
ahmad hafadz bajuri
3 tahun yang lalu

Assalamu alaikum.
Jika imam terbatal pada tahiyat akhir dan para makmumpun sedang duduk tahiyat bagaimana cara imam memberi isyarat dan imam pengganti adakah perlu bergerak kehadapan? terima kasih ustaz

Muhd fikhri
Muhd fikhri
3 tahun yang lalu

Assalamualaikum ustaz, nak tanya kitab ibnu hajar ni yang mana dinukilkan?

abu haidar
abu haidar
4 tahun yang lalu

Assalamualaikum. bagaimana jika imam itu keluar terbatal pada selesai bacaan al fatihah, Adakah makmum yg ganti tu perlu membaca Al fatihah semula atau terus kepada baca surah.

Lokman
Lokman
4 tahun yang lalu

As salam…bukan hendak memberikan pandangan tetapi hendakkan kepastian kedudukan imam gantian, adakah boleh mengambil tempat imam asal berada atau hanya berada disisi tempat imam asal itu, mohon penjelasan…syukran

Atie
Atie
4 tahun yang lalu

Assalamualaikum ustaz… terima kasih atas tunjuk ajar yang diberi. Semoga ustaz diberikan kesihatan yang baik dan kelapangan masa oleh Allah supaya terus dapat berdakwah dan mengajarkan agama Islam kepada semua. Aamiin…

Ghazali Kasim
Ghazali Kasim
4 tahun yang lalu

Alhamdulillah. Terima kasih Ustaz