Hukum Makan Pada Waktu Imsak (Ustaz Azhar Idrus)

Makan Pada Waktu Imsak

Apakah hukum makan pada waktu Imsak?

Adakah dibenarkan minum dan makan pada waktu Imsak?

Dalam artikel ini, saya melampirkan soalan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus dihalaman facebook beliau.

SOALAN:

Saya ada satu persoalan tentang waktu imsak.

Apakah sebenarnya waktu imsak ini dan adakah kita masih boleh makan dan minum dalam waktu imsak?


JAWAPAN:

Imsak dari bahasa arab yang bermaksud menahan yaitu menahan oleh seseorang akan dirinya dari melakukan perbuatan yang membatalkan puasa seperti makan dan minum dan jimak.

Waktu Imsak Terbahagi Kepada Dua

Pertama: Beberapa ketika sebelum masuk waktu subuh.

Apabila masuk waktu imsak yang pertama ini maka disunatkan bagi orang yang sedang bersahur berhenti makan dan minum atau mencepatkan makan dan minumnya supaya tidak terkejut dengan masuknya waktu subuh dan disunatkan bagi orang yang sedang jimak berhenti dari jimaknya.

Waktu imsak yang pertama ini lebih kurang 10 hingga 15 minit dari waktu subuh.

Diriwayatkan daripada Anas r.a. daripada Zaid bin Tsabit r.a. kata beliau:

تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلاةِ قُلْتُ كَمْ كَانَ بَيْنَ الأَذَانِ وَالسَّحُورِ قَالَ قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً

Ertinya:

Kami dulu pernah bersahur bersama Nabi saw kemudian bangun mengerjakan solat subuh. Aku berkata : Berapakah kadar masa antara azan subuh dan sahur itu. Katanya : Kadar lima puluh ayat daripada Quran.”

(Hadith Bukhari)

Para fuqahak berkata inilah waktu yang afdhal berhenti dari makan dan minum kerana mengikuti amalan Nabi saw.

Akan tetapi siapa yang masih makan dan minum dan jimak dalam waktu imsak yang pertama ini tidaklah batal puasanya.

Kedua: Bermula dengan masuknya waktu subuh.

Maka apabila masuk waktu subuh wajib bagi orang yang berpuasa itu imsak iaitu menahan dirinya dari melakukan perkara yang membatalkan puasa.

Jika orang yang bersahur itu sedang makan atau minum tiba-tiba masuk waktu subuh maka wajib ia berhenti serta merta kerana jika dimakan lagi atau diminum lagi walau pun sebiji nasi atau seteguk air maka batal puasanya.

Kerana itulah Rasulullah saw menggalakkan kita berhenti makan dan minum lebih awal sedikit dari waktu subuh supaya tidak terserempak dengan waktu subuh yang boleh membawa kepada batal puasa.

Berkata Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf bekas mufti besar negeri Mesir:

ومن هذا يعلم أن الإمساك لا يجب إلا قبل الطلوع وأن المستحب أن يكون بينه وبين الطلوع قدر قراءة خمسين آية ويقدر ذلك زمنا بعشر دقائق تقريبا

Ertinya:

Dan dari inilah diketahui sungguhnya imsak itu tidaklah wajib melainkan apabila sudah masuk waktu subuh.

Dan yang disunatkan bahawa adalah antara berhenti makan dan masuk waktu subuh itu lebih kurang masa membaca lima puluh ayat.

Dan dianggarkan kadar yang demikian itu pada zaman kita ini lebih kurang sepuluh minit.”

(Kitab Fatawa As-Syar’iyyah)

Kesimpulan

Sunat berhenti makan dan minum dan jimak apabila masuk waktu imsak yang pertama lebih kurang 10 minit sebelum azan iaitu tanda masuk waktu subuh.

Wajib berhenti makan dan minum dan jimak apabila masuk waktu imsak yang kedua yaitu waktu subuh.

Wallahua’lam

Ustaz Azhar Idrus

Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

1 Comment
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Hasmizan bin md noh
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum wbt ustat

Nk tya,jika sisa makanan ada dlm mulut dan terus telan setika azan subuh tetapi dlm keadaan dia yakin perkara tersebut Tidak batal puasanya pada mulanya(@terlupa),mcm mn ustat sah puasanya?