Tips Mudah Bangun Tahajjud & Qiamullail

tips bangun tahajjud

Apakah tips mudah untuk bangun tahajjud dan qiamullail?

Panduan ini akan berkongsi persediaan berserta amalan yang boleh dilakukan sebelum tidur dan juga amalan selepas bangun dari tidur.

Amalan-amalan ini insyaaAllah akan memudahkan urusan anda untuk bangun malam dengan senang.

Pengenalan

Qiamullail adalah anugerah istimewa Allah kepada hambaNya yang beriman.

Kemampuan bangun malam daripada tidur yang selesa dan meninggalkan dakapan orang tersayang semata-mata kerana Allah SWT, bukanlah perkara yang mudah dilakukan.

Tidak hairan sekiranya Allah menjelaskan hanya sebahagian kecil hambaNya sanggup bangun berqiamullail dan menyembahNya. Kesanggupan seorang hamba bangun menghadap Tuhannya adalah kemuliaan bagi orang beriman.

Melalui kalam Jibril, Allah SWT menyampaikan pesanNya dalam sebuah hadis qudsi:

Wahai Muhammad, hiduplah sebagaimana yang kamu mahu kerana sesungguhnya kamu pasti mati. Beramallah sebagaimana yang kamu mahu kerana sesungguhnya kamu pasti dibalas dengannya. Cintailah sesiapa yang kamu mahu kerana sesungguhnya kamu pasti berpisah dengannya. Dan ketahuilah bahawa sesungguhnya kemuliaan seorang mukmin itu adalah pada qiamullail dan kemuliaannya adalah dia tidak berhajat kepada manusia lain.

(As-Sayyid As-Sabiq, Fiqh As-Sunnah, Al-Maktabah Al-Asriyyah, Beirut 1999M / 1420H, hlm 149)

Amalan Sebelum Tidur

1. Berniat Dan Berazam Untuk Berqiamullail

Azam yang kuat perlu ada dalam diri seorang mukmin yang mahu bangun malam bagi beribadah.

Tidak memadai sekadar angan-angan kosong ataupun tidur dalam keadaan tidak bercadang mahu bangun.

Apabila bertekad mahu bangun, seseorang itu pasti melakukan pelbagai usaha bagi membolehkan dia bangun seperti menggunakan jam loceng, meminta orang lain mengejutkan, ataupun tidur dalam keadaan kurang selesa.

Allah SWT mengiktiraf niat dan azam hambaNya yang mahu bangun menyembahNya pada waktu malam.

Oleh itu, apabila seseorang itu tidak bangun sehingga subuh, Allah SWT tetap memberikan ganjaran lumayan atas keinginannya itu.

Saidatina Aisyah r.a menyatakan perkara ini berdasarkan penjelasan yang didengari daripada suaminya, Rasulullah SAW:

Sesiapa yang berniat mengerjakan solat pada waktu malam, tetapi tertidur, pasti Allah menetapkan baginya ganjaran solatnya. Sementara tidurnya adalah sedekah untuknya.

— Hadis direkodkan oleh An-Nasaie dan Abu Daud

2. Meninggalkan Dosa & Maksiat Terutama Pada Waktu Siang

Qiamullail adalah ibadah istimewa yang dianugerahkan kepada mereka yang beriman dan menjauhi maksiat.

Apabila seseorang melakukan maksiat, ia menjadi penghalang besar untuk bangun bermunajat kepada Allah SWT.

Kenyataan ini dapat dilihat pada jawapan Ibrahim bin Adham apabila diajukan persoalan berkenaan kesukaran bangun malam.

Beliau menasihatkan:

Janganlah kamu melakukan maksiat pada waktu siang, pasti Allah membangkitkan kamu dihadapanNya pada waktu malam. Sesungguhnya berdirinya kamu dihadapanNya pada waktu malam adalah antara kemuliaan yang besar dan orang yang melakukan maksiat tidak berhak atas kemuliaan itu.

Oleh itu, sesiapa yang berazam bangun malam perlu meninggalkan maksiat sebelum mendapatkan kemuliaan munajat malam ini.

Elakkan menonton perkara kotor dan lucah. Jauhkan diri daripada mendengar lagu-lagu yang merangsang syahwat dan lirik yang kesat serta jijik.

Usah sesekali melangkah ke tempat yang mengheret ke lembah maksiat seperti kelab malam, karoeke, konsert dan pesta.


3. Menghadkan Pengambilan Makanan dan Minuman Terutama Makan Malam

Bagi mereka yang mahu bangun malam, kawalan makanan perlu dihadkan terutama pada waktu malam.

Elakkan makan terlalu banyak terutamanya makanan yang berat seperti nasi, mee, pizza, burger dan sebagainya.

Makanan yang diambil pada waktu malam terutamanya selepas Isyak memaksa sistem pencernaan bekerja keras sepanjang malam bagi memproses semua makanan ini.

Dalam proses ini, sudah tentu banyak tenaga digunakan. Kesannya, orang yang banyak makan pasti berasa begitu letih sehingga tertidur dengan nyenyak.

Sekiranya dia dapat bangun pada pertengahan malam, dia juga berasa malas bagi melaksanakan solat.

Rasulullah SAW menasihati para sahabat supaya bersederhana dalam perihal makan dan tidak berlebihan.

Sabda baginda:

Tidaklah seseorang anak Adam itu memenuhi satu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah untuk anak Adam itu beberapa suap bagi menguatkan tulang belakangnya. Sekiranya tiada jalan lain, maka jadikanlah (perutnya) sepertiga untuk minumannya, dan sepertiga untuk nafasnya.

— Hadis direkodkan oleh At-Tirmizi, Ibnu Majah, Sahih al-Jami’ 5674

4. Mengamalkan Tidur Qailullah Pada Waktu Siang

Qailullah ialah tidur sebentar pada waktu siang sebelum ataupun selepas zohor.

Ia bertujuan merehatkan diri dan menghilangkan rasa mengantuk akibat tidak cukup tidur ataupun keletihan.

Rehat yang baik seperti ini membantu seseorang itu bangun pada malam hari.

Anas Bin Malik melaporkan daripada Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda:

Mohon pertolongan bagi berpuasa pada siang hari dengan sahur, dan berqiamullail dengan qailullah.


5. Berwuduk Sebelum Tidur

Rasulullah SAW mengajarkan kepada umatnya supaya tidur dalam keadaan suci dari segi pakaian dan badan.

Malah, dianjurkan berwuduk sebelum masuk tidur.

Dalam hadis al-Bara’ Bin A’zib, Rasulullah SAW berkata, “Apabila kamu ingin masuk tidur, maka ambillah wuduk dengan cara berwuduk untuk solat”.

Sehubungan dengan itu, Muaz bin Jabal meriwayatkan Rasulullah SAW menyatakan:

Setiap Muslim yang tidur dengan membaca zikir dan dalam keadaan suci (berwuduk), lalu dia terjaga pada waktu malam, lantas berdoa kepada Allah memohon kebaikan urusan dunia dan akhirat, pasti Allah akan mengurniakan kebaikan itu kepadanya

— Hadis direkodkan oleh Ahmad dan Abu Daud, Sahih al-Jami’ (5754)

Amalan Selepas Bangun Tidur

1. Menyapu Muka Selepas Bangun Daripada Tidur dan Berzikir

Setiap hari kita diizinkan Allah untuk hidup kembali setelah beberapa jam dimatikan oleh Allah, atau dengan kata lain, menikmati nikmat tidur yang nyenyak.

Islam telah menganjurkan sunnah yang sangat baik iaitu membaca doa bangun tidur.

 Alhamdulillahil-ladzii AhYaaNaa Ba’daMaa Amaa TaNaa Wa ilaihin NuSyuuRu 

Maksudnya:

Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami sesudah kami mati (membangunkan dari tidur) dan hanya kepada-Nya kami dikembalikan”


2. Menyucikan Diri & Tubuh Badan

Biasanya jika kita bangun tidur, pasti kita tidak sedar apa yang berlaku sepanjang kita tidur.

Mungkin najis keluar dari mulut seperti air liur basi, ataupun keluar dari kemaluan.

Sama ada bermimpi ataupun yang seumpama dengannya.

Jika bermimpi yang menyebabkan hadas besar, wajiblah kita mandi junub.

Jika yakin tidak bermimpi, adalah baik untuk tetap membersihkan juga badan.

Kemudian, bersugi dan mengambil wudhu untuk persediaan solat sunat (qiamullail)


3. Membangunkan Isteri Dan Anak-Anak

Selain bangun sendirian, Allah SWT menjanjikan rahmatNya kepada mereka yang membangunkan ahli keluarganya bagi qiamullail.

Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda:

Allah merahmati seorang lelaki yang bangun pada waktu malam dan bersolat. Kemudian, dia membangunkan isterinya bagi bersolat. Sekiranya isteri itu enggan, dia merenjiskan air ke mukanya. Allah merahmati seorang perempuan yang bangun pada waktu malam dan bersolat. Kemudian, dia membangunkan suaminya. Apabila suami itu enggan, renjis air ke mukanya.

— Hadis direkodkan oleh An-Nasaie, Ibnu Majah dan Abu Daud

Bangun pada waktu malam ketika orang lain nyenyak diulit mimpi dan meninggalkan tilam yang empuk bukan perkara yang mampu dilakukan oleh semua orang.

Justeru, qiamullail adalah solat istimewa bagi hamba Allah yang benar-benar dekat denganNya.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

4 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Ahmed
Ahmed
3 tahun yang lalu

Terima kasih

wpDiscuz support
wpDiscuz support
3 tahun yang lalu

test