PANDUAN SAIE: Niat, Cara & Bacaan Doa Ketika Saie

Bagaimanakah niat saie, cara dan bacaan doa ketika melakukan saie?

Ini adalah panduan lengkap mengenai ibadah saie untuk Haji dan Umrah, meliputi semua perkara berkaitan saie dari awal sehingga akhir saie termasuk bacaan doa untuk setiap pusingan saie.

Apa yang penting:

Setiap bacaan dalam panduan ini dipermudahkan dengan transliterasi rumi bagi membantu anda yang sukar membaca teks arab.

Saie ialah ibadah berjalan ulang-alik sebanyak tujuh kali antara Bukit Safa dan Bukit Marwah, yang dilakukan selepas tawaf semasa menunaikan Haji atau Umrah. Ia merupakan salah satu rukun utama yang wajib disempurnakan seseorang sebelum bertahallul (keluar dari keadaan ihram).

Perkataan “sa’ie” dari segi bahasa bermakna “usaha” atau “berlari kecil”. Dalam konteks ibadah, saie merujuk kepada perbuatan berjalan secara berulang-alik di antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali selepas selesai tawaf.

Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya Safa dan Marwah itu adalah sebahagian daripada syiar (lambang) agama Allah; maka sesiapa yang mengerjakan Haji di Baitullah atau berumrah, maka tidak salah baginya bersaie (berjalan ulang-alik) di antara kedua-duanya…” (Surah al-Baqarah ayat 158)

Ayat ini menegaskan bahawa amalan sa’ie adalah sebahagian syiar Islam. Ia diturunkan antara lain untuk menghilangkan keraguan segelintir sahabat yang menyangka sa’ie tidak perlu dilakukan kerana amalan itu pernah dilakukan masyarakat jahiliah di sekitar berhala.

Oleh itu, Allah SWT menegaskan ia tidak berdosa dan malah disyariatkan dalam Islam.

Jemaah Haji dan Umrah berkumpul di hadapan Bukit Safa, tempat permulaan ibadah saie dalam Masjidil Haram.
Inilah Bukit Safa, tempat bermulanya ibadah saie dalam Haji dan Umrah. Di sinilah para jemaah memulakan perjalanan ulang-alik sebanyak tujuh kali antara Safa dan Marwah.

Banyak hadis menekankan kepentingan sa’ie.

Antaranya, dalam hadis riwayat Aishah R.Anha disebut: “Allah tidak akan menerima haji atau umrah seseorang yang tidak melakukan sa’i antara Bukit Safa dan Marwah.”

Ini menunjukkan bahawa tanpa sa’ie, ibadah Haji atau Umrah tersebut tidak akan diterima.

Bahkan Rasulullah SAW bersabda: “Lakukanlah sa’ie, kerana sesungguhnya Allah telah mewajibkan kamu melakukannya.” (Hadis riwayat Ahmad). Baginda sendiri melaksanakan sa’ie dalam Haji Wada’ selepas tawaf sebanyak tujuh kali perjalanan penuh.

Sejarah Ringkas Penyariatan Ibadah Saie

Pensyariatan sa’ie berkait rapat dengan kisah Siti Hajar, isteri Nabi Ibrahim A.S. dan ibu Nabi Ismail A.S. Ketika ditinggalkan di lembah Mekah yang tandus atas perintah Allah, Siti Hajar berulang-alik antara Bukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali mencari air untuk bayinya yang kehausan.

Dengan izin Allah, usaha gigih dan tawakkal beliau membawa kepada kemunculan telaga zamzam sebagai sumber air. Peristiwa bersejarah ini diabadikan dalam ibadah sa’ie sebagai simbolik kepada usaha dan kesabaran: umat Islam diajar berusaha bersungguh-sungguh sambil bertawakkal kepada Allah, sebagaimana yang dicontohkan oleh Siti Hajar.

Oleh itu, Saie bukan sekadar perbuatan fizikal semata-mata, tetapi ia turut menggambarkan usaha, pengorbanan dan keyakinan terhadap pertolongan Allah.

Pelaksanaan Saie yang sempurna dan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan adalah wajib bagi setiap jemaah Haji dan Umrah agar ibadah mereka diterima oleh Allah SWT.

Menurut Mazhab Syafie, ibadah saie merupakan rukun Haji dan Umrah yang wajib ditunaikan. Ini bermakna saie adalah bahagian asas ibadah yang mesti dilaksanakan. Tanpa saie, Haji atau Umrah tidak sah dan tidak boleh digantikan dengan fidyah atau dam semata-mata.

Pandangan ini turut disepakati oleh jumhur ulama, termasuk Mazhab Maliki, berdasarkan dalil daripada hadis dan amalan Rasulullah SAW sendiri yang tidak pernah meninggalkan saie dalam Haji dan Umrah baginda.

Imam al-Syafie menyatakan dalam al-Majmu‘ (8/72):

“Disyaratkan saie dilakukan selepas tawaf yang sahih.”

Para ulama Syafi‘iyyah turut menegaskan bahawa:

“Tidak boleh meninggalkan saie antara Bukit Safa dan Marwah.”

Ini menunjukkan bahawa saie bukan hanya sunat atau wajib biasa, tetapi rukun yang menjadi penentu kesempurnaan ibadah.

Berdasarkan pendirian Mazhab Syafie, sesiapa yang:

  • Meninggalkan saie sepenuhnya, atau
  • Tidak mencukupkan tujuh kali perjalanan (dari Safa ke Marwah dikira satu, dan sebaliknya sebagai satu)

… maka ibadah Haji atau Umrahnya tidak sempurna dan tidak dikira bertahallul dengan sah. Dia wajib kembali menyempurnakan saie selagi masih dalam ihram.

Sekiranya dia terus meninggalkannya, contohnya, telah pulang tanpa melaksanakannya maka ibadah Haji atau Umrahnya terbatal dan wajib diulang pada masa akan datang. Ini kerana rukun ini tidak boleh diganti dengan dam atau tebusan lain.

Kedudukan saie sebagai rukun yang tidak boleh ditinggalkan ini juga disokong oleh hadis-hadis sahih seperti yang diriwayatkan daripada Aishah RA, serta ijmak para ulama bahawa saie adalah penentu kepada sah atau tidaknya ibadah seseorang.

Rukun ialah elemen wajib dalam ibadah. Jika perkara rukun ditinggalkan, ibadah menjadi tidak sah dan tidak boleh diganti dengan dam. Manakala syarat sah pula ialah perkara yang mesti dipenuhi agar ibadah yang dilakukan diterima dan sah di sisi syarak.

Dalam Mazhab Syafie, ibadah saie mempunyai beberapa rukun dan syarat khusus yang wajib dipenuhi. Tanpa memenuhi syarat dan rukun ini, saie menjadi tidak sah dan ibadah Haji atau Umrah tidak akan sempurna.

Berikut adalah penjelasan lengkap berkenaan rukun dan syarat sah saie mengikut pandangan ulama Syafi‘iyyah:

1. Dilakukan selepas tawaf yang sah

Sa’ie hendaklah diiringi oleh tawaf terlebih dahulu. Inilah syarat paling asas, iaitu ibadah sa’ie tidak sah jika dilakukan sebelum tawaf.

Jumhur ulama berijma’ bahawa urutan mesti: tawaf dahulu barulah sa’ie, berdasarkan perbuatan Nabi SAW yang sentiasa melakukan sa’ie selepas tawaf dan sabda baginda: “Ambillah daripadaku manasik (cara ibadah) kamu”.

Imam al-Nawawi menegaskan: “Jika seseorang melakukan sa’ie sebelum tawaf, maka sa’ie itu tidak sah di sisi kami (Syafi’iyyah), dan ini juga pendapat jumhur ulama termasuk Malik, Abu Hanifah dan Ahmad”.

Oleh itu, seseorang mesti bertawaf (sama ada Tawaf Umrah atau Tawaf Ifadah dalam Haji) sebelum memulakan sa’ie.

Nota: Pengecualian hanya ada bagi jemaah Haji Ifrad/Qiran yang melakukan Tawaf Qudum (tawaf selamat datang) – mereka dibenarkan mempercepatkan sa’ie Haji selepas Tawaf Qudum (dengan niat Sa’ie Haji), kemudian tidak perlu lagi sa’ie selepas Tawaf Ifadah.

Namun, sa’ie sebelum tawaf secara umum adalah tidak sah dan mesti diulang selepas tawaf.

2. Dilakukan di tempat yang dikhususkan (Mas’aa)

Sa’ie wajib dilakukan di laluan khas antara Bukit Safa dan Bukit Marwah yang dikenali sebagai Mas’aa. Jarak antara dua bukit ini sekitar 420 meter dan kini terlindung dalam bangunan Masjidil Haram.

Ulama Syafi’e menegaskan: “Tidak harus bersa’ie di selain tempat sa’ie (mas’aa)”. Jika seseorang tersasar dari laluan yang ditetapkan (contohnya melalui kawasan luar mas’aa), sa’ie tersebut tidak sah.

Dalam keadaan biasa, seluruh kawasan berbumbung bertingkat yang dikhaskan sekarang (termasuk tingkat atas dan bawah) masih terletak di atas laluan asal Batnul Wadi antara Safa–Marwah, maka sa’ie di mana-mana tingkat adalah dibenarkan dan sah.

Kerajaan Arab Saudi telah menetapkan sempadan bukit Safa dan Marwah, contohnya hujung pagar laluan kerusi roda menandakan permulaan kawasan bukit – maka jemaah berkerusi roda yang sampai setakat itu sudah dikira memenuhi jarak sa’ie yang disyaratkan.

3. Cukup tujuh kali perjalanan lengkap

Rukun sa’ie seterusnya ialah menyempurnakan tujuh ulang-alik antara Safa dan Marwah dengan sempurna.

Perjalanan dari Bukit Safa ke Bukit Marwah dikira satu kali, dan perjalanan balik dari Marwah ke Safa dikira kali kedua. Begitulah seterusnya, sehingga kali ketujuh berakhir di Bukit Marwah.

Jemaah mesti mula di Safa dan tamat di Marwah. Ini mengikut sunnah Nabi SAW yang bersabda sebelum memulakan sa’ie: “Aku mulakan dengan apa yang Allah mulakan (Safa disebut dahulu dalam al-Quran).”

Jika tersilap memulakan sa’ie di Marwah, hitungan tujuh kali akan berakhir di bukit yang salah (Safa), menyebabkan sa’ie itu tidak menepati syarat dan wajib diulang dengan betul.

Begitu juga, bilangan tujuh kali mesti genap: jika kurang dari tujuh, sa’ie tidak sah; jika lebih (kerana tersalah kira), hanya tujuh yang pertama dikira dan selebihnya dianggap sunat (walaupun amalan menambah tanpa sebab adalah tidak digalakkan).

4. Menutup aurat (mengikut syarat ihram) & suci dari hadas atau najis (sunat)

Berbeza dengan tawaf, menutup aurat dan suci daripada hadas kecil atau besar bukan syarat sah untuk sa’ie. Ertinya, sekalipun seseorang melakukan sa’ie dalam keadaan berhadas (tanpa wudhu’), atau seorang wanita sedang haid/nifas, sa’ienya tetap sah.

Demikian juga jika ada najis ringan pada pakaian atau badan yang sukar dielak di tengah kesesakan, ia tidak membatalkan sa’ie. Namun, menutup aurat dengan sempurna dan berwudhu’ tetap amat digalakkan (sunat) sebagai adab menghormati ibadah.

Jemaah digalakkan berada dalam wudhu’ sepanjang menunaikan manasik, kerana kebersihan itu disukai syarak.

Nota: Bagi lelaki, aurat ihram (pusat hingga lutut) mesti dijaga semasa sa’ie; jika terselak kain ihram hingga mendedahkan aurat, sa’ie tetap sah tetapi dia berdosa dan wajib segera menutupnya.

5. Tertib dan Muwalat (turutan dan berterusan)

Menjaga tertib bermaksud melakukan rukun-rukun mengikut susunan. Dalam konteks sa’ie, ini telah dijelaskan ia mesti selepas tawaf.

Adapun muwalat (berturutan tanpa sela masa panjang) dalam mengerjakan sa’ie, hukumnya sunat sahaja, bukan syarat sah. Sebaiknya tujuh perjalanan sa’ie disempurnakan dalam satu masa terus menerus.

Namun jika ada keuzuran atau sebab tertentu, jemaah boleh berehat atau berhenti seketika lalu menyambung semula, asalkan akhirnya cukup tujuh kali.

Bahkan dalam Haji, dibolehkan menangguhkan sa’ie Haji ke waktu lain (misalnya selepas melakukan lontaran dan bercukur) – tiada masalah selagi ia ditunaikan sebelum tamat waktu Haji.

Contohnya, jika jemaah keletihan lalu berhenti setelah 3 kali ulang-alik, kemudian menyambung baki 4 kali beberapa jam kemudiannya (atau keesokan hari sekalipun), sa’ie itu tetap sah asalkan disambung dari tempat berhenti dan cukup tujuh kali.

Walau bagaimanapun, melewatkan sa’ie tanpa keuzuran tidak digalakkan. Untuk Umrah, biasanya sa’ie dilakukan terus selepas tawaf supaya cepat bertahallul.

Ringkasnya, syarat sah sa’ie menurut Mazhab Syafi’e adalah:

  • Didahului tawaf yang sah
  • Bermula di Safa dan berakhir di Marwah, menempuh laluan mas’aa yang ditetapkan
  • Cukup 7 kali perjalanan
  • Dalam keadaan ihram (kerana sebahagian dari manasik Haji/Umrah)
  • Tertib (ikut urutan selepas tawaf). Muwalat dalam sa’ie dan keadaan suci/menutup aurat adalah sunat yang menyempurnakan lagi ibadah tetapi tidak menjejaskan sah jika ditinggalkan

Niat Saie

Niat Saie untuk ibadah Umrah dan Haji diucapkan di dalam hati atau dengan suara perlahan sebelum memulakan perbuatan Saie.

Niat Saie Umrah

Niat saie bagi ibadah Umrah adalah seperti berikut:

Allāhumma Innī Urīdu An As‘Ā Baina Aṣ-Ṣafā Wal-Marwah Sab‘Ata Ashwāṭin, Sa‘Ya Al-‘Umrati Lillāhi Ta‘Ālā.

Dalam Bahasa Melayu:

Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya aku hendak mengerjakan sai’e antara Safa dan Marwah tujuh kali sebagai Sai’e umrah kerana Allah Taala.

Niat Saie Haji

Niat saie bagi ibadah Umrah adalah seperti berikut:

Allāhumma Innī Urīdu An As‘Ā Baina Aṣ-Ṣafā Wal-Marwah Sab‘Ata Ashwāṭin Sa‘Ya Al-Ḥajji Lillāhi Ta‘Ālā.

Dalam Bahasa Melayu:

Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya aku hendak mengerjakan sai’e antara Safa dan Marwah tujuh kali sebagai Saie Haji kerana Allah Taala.

Tatacara & Bacaan Doa Ketika Saie

Saie adalah ibadah yang dilakukan dengan berjalan ulang-alik antara Bukit Safa dan Bukit Marwah sebanyak tujuh kali, bermula dari Safa dan berakhir di Marwah. Ia adalah salah satu rukun dalam Umrah dan juga Haji, maka pelaksanaannya perlu dilakukan dengan tertib, penuh penghayatan, dan mengikut contoh yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad ﷺ.

Dalam bahagian ini, akan diterangkan secara lengkap langkah demi langkah pelaksanaan Saie berserta bacaan doa dan zikir yang dianjurkan, sesuai diamalkan oleh jemaah lelaki, wanita, warga emas mahupun golongan OKU.

Tatacara Ringkas Pelaksanaan Saie:

  • Selesai tawaf, minum air zamzam (sunat), berehat sebentar jika perlu, kemudian menuju ke Bukit Safa.
  • Berniat Saie di Safa dan berdoa menghadap kiblat.
  • Mulakan perjalanan dari Safa menuju Marwah sambil berzikir atau berdoa.
  • Di kawasan lampu hijau, lelaki sunat berlari-lari anak sambil terus berzikir atau berdoa.
  • Setiba di Marwah, berdoa menghadap kiblat.
  • Mulakan perjalanan dari Marwah ke Safa (pusingan ke-2) sambil terus berdoa.
  • Ulang perjalanan hingga lengkap tujuh kali; berakhir di Bukit Marwah.
  • Setelah selesai, berdoa penutup di Marwah, kemudian bertahallul (bercukur atau bergunting).

Nota: Boleh berehat jika penat; teruskan kiraan dari tempat berhenti. Saie tidak terbatal kerana berhenti untuk rehat atau solat.

Perjalanan 1

Safa ➜ Marwah

1. Sebelum Memulakan Perjalanan

Di atas Bukit Safa sebelum memulakan perjalanan, mengadapkan ke arah Kaabah.

Kemudian melambaikan tangan dan membaca:

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Wa Lillahil-Hamd

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, dan segala puji-pujian adalah milik Allah

Bacaan doa ini disunatkan dibaca setiap kali hendak memulakan perjalanan sebaik sahaja berada di atas Bukit Safa ataupun Marwah.

2. Ketika Memulakan Perjalanan Saie

Seterusnya ketika masih dalam keadaan menghadap kiblat lagi, sebelum memulakan perjalanan maka bacalah doa ini.

Ini adalah doa yang disukai oleh Rasulullah ﷺ:

Laa iLaHa ilLallah WahDahu Laa SyaRiiKa-LaHu, LaHul-MulKu Wa LaHul HamDu WaHuWa ‘Alaa Kulli Sya’in Qodir ― Laa iLaHa ilLaallaHu WahDaHu AnJaZa Wa’DaHu WaNaSoRo ‘AbDahu Wa HaZaMal-AhZaaBa WahDahu

Tiada tuhan selain Allah yang esa, tiada sekutu bagiNya, milikNya kerajaan dan pujian dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Tiada tuhan selain Allah yang esa, Dia melaksanakan janjiNya, dia menolong hambaNya dan Dia mengalahkan bala pakatan tentera musuh dengan sendiriNya.

3. Kemudian Bertakbir Sekali Lagi

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Wa Lillahil-Hamd

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, dan segala puji-pujian adalah milik Allah

4. Kemudian, Mulakan Perjalanan Ke Bukit Marwah

Semasa dalam perjalanan ini, bacalah doa-doa atau zikir pilihan yang disukai anda.

Antara cadangan doa yang boleh dibacakan dalam perjalanan tersebut adalah seperti berikut:

Doa Memohon Keselamatan & Ditutupkan Aib

AllahumMa Inni As Alukal ‘Afiyah Fid Dunya Wal AaKhirah. AllahumMa Inni As Alukal AfWa Wal ‘Afiyata Fii DiiNi Wa DunyaYa Wa Ahli Wa MaaLi. AllahumMas-Tur ‘AuRooTi, Wa AaMin Raw-‘AaTi. AllahumMah FazNi Min BaiNi YaDaiYa, Wa Min KholFi, Wa ‘An YaMiiNi, Wa ‘An ShiMaaLi, Wa Min FauQii. Wa Aa’UuDzu Bi ‘AdzoMaTika An Ugh-TaaLa Min TahTi.

“Wahai Tuhanku, bahawasanya aku memohon kepada-Mu afiat di dunia dan akhirat. Wahai Tuhanku, bahawasanya aku memohon kepada-Mu kemaafan dan afiat terhadap agamaku, duniaku, keluargaku dan hartaku. Wahai Tuhanku, tutuplah aiku dan berilah ketenangan dalam hatiku. Wahai Tuhanku, peliharalah aku dari hadapanku, dari belakangku, dari kananku, dari kiriku dan dari atasku, dan aku berlindung kepada Engkau dengan kebesaran Engkau dan orang yang bermaksud hendak membinasakan aku dengan tiba-tiba.” (Riwayat Abu Daud)

5. Setiap Kali Sampai Di Kawasan Lampu Hijau, Maka Bacalah Doa Ini:

Robbigfir WarHam Wa’Fu WaTaKarRam WaTaJaWaz AmMa Ta’Lamu Maa Laa Na’Lamu Innaka Antallahul A-‘azzul AkRam.

Ya Allah!  Ampunilah daku, rahmatilah daku, maafkanlah daku, kurniakanlah kami kemuliaanMu dan ampunilah segala apa yang Engkau ketahui, sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang kami tidak ketahui, sesungguhnya Engkaulah Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Terpuji.

Kawasan lampu hijau saie
Kawasan lampu hijau

Perjalanan 2

Marwah ➜ Safa

6. Melambaikan Tangan Ke Kaabah Di Atas Bukit Marwah

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Wa Lillahil-Hamd

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, dan segala puji-pujian adalah milik Allah

7. Kemudian Baca Doa-Doa Saie Pusingan Kedua

Doa Dijauhi Daripada Kepapaan

AllahumMa Robbas-Samaa Waa Tis-Sab-Eii Wa Robbal AroDinn, Wa RobbaNa Wa Robba Kulli Syai’in, FaaLiqol Habbi WanNawa, MunZilat-TawRoti Wal InjiiLi Wal Qur’an. Aa’UuDzuBika Min Syarri Kulli Dzii Syarri Anta AaHidun BiNaaSiyah. Antal Awwalu FalaySa QobLaka Syai’in. Wa Antal AaKhiru FalaySa Ba’Daka Syai’un. Wa Antaz-DzoHiru FalaySa FawQoKa Syai-Un. Wa Antal BaThin, FalaySa DuuNaka Syai-Un. IqDhi Anniid-Dayna Wa AghNiNi Minal FatRi.

“Ya Allah, wahai Tuhan yang mempunyai tuiuh petala langit, tujuh petala bumi dan Arasy yang besar. Wahai Tuhan kami, wahai Tuhan segala sesuatu, wahai Tuhan yang membelah biji dan anak kurma, yang menurunkan Taurat, Injil dan al-Quran, aku berlindung kepada Engkau daripada kejahatan segala yang mempunyai kejahatan yang Engkau pegang ubun-ubunnya. Ya Allah, Engkaulah yang permulaan, tidak ada sesuatu sebelum Engkau, Engkaulah yang akhir, tidak ada sesuatu sesudah Engkau. Engkaulah yang nyata, tidak ada sesuatu di atas Engkau, Engkaulah yang tersembunyi, tidak ada sesuatu di bawah Engkau, lunaskanlah segala hutangku dan kayakanlah aku daripada kepapaan.” (Riwayat Ahmad)

8. Setiap Kali Sampai Di Kawasan Lampu Hijau, Maka Bacalah Doa Ini:

Robbigfir WarHam Wa’Fu WaTaKarRam WaTaJaWaz AmMa Ta’Lamu Maa Laa Na’Lamu Innaka Antallahul A-‘azzul AkRam.

Ya Allah!  Ampunilah daku, rahmatilah daku, maafkanlah daku, kurniakanlah kami kemuliaanMu dan ampunilah segala apa yang Engkau ketahui, sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang kami tidak ketahui, sesungguhnya Engkaulah Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Terpuji.

Perjalanan 3

Safa ➜ Marwah

9. Melambaikan Tangan Ke Kaabah Di Safa Dan Membaca:

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Wa Lillahil-Hamd

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, dan segala puji-pujian adalah milik Allah

10. Kemudian Baca Doa-Doa Saie Pusingan Ketiga

Doa Menolak Bencana

AllahumMa RahMatika ArJuu, Falaa TakilNi, Ilaa Nafsi ThorFaTa ‘AyNin Wa AsLihLii Sya’Ni KullaHu, Laa iLaaHa ilLaa Anta

“Wahai Tuhanku, aku sentiasa mengharapkan rahmat-Mu, oleh itu janganlah Engkau menyerahkan kepada diriku sendiri walaupun sebentar, perbaikilah untukku segala urusanku, tada than bagiku selain daripada Engkau.” (Riwayat Abu Daud)

11. Setiap Kali Sampai Di Kawasan Lampu Hijau, Maka Bacalah Doa Ini:

Robbigfir WarHam Wa’Fu WaTaKarRam WaTaJaWaz AmMa Ta’Lamu Maa Laa Na’Lamu Innaka Antallahul A-‘azzul AkRam.

Ya Allah!  Ampunilah daku, rahmatilah daku, maafkanlah daku, kurniakanlah kami kemuliaanMu dan ampunilah segala apa yang Engkau ketahui, sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang kami tidak ketahui, sesungguhnya Engkaulah Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Terpuji.

Perjalanan 4

Marwah ➜ Safa

12. Melambaikan Tangan Ke Arah Kaabah Di Bukit Marwah Sambil Mengucapkan:

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Wa Lillahil-Hamd

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, dan segala puji-pujian adalah milik Allah

13. Kemudian Baca Doa-Doa Saie Pusingan Keempat

Doa Menghindari Kesukaran Hidup

Bismillahi ‘Alaa NafSii Wa MaaLii Wa DiiNii. Allahumma RodDiNii BiQoDhoo-iKa Wa BarikLii Fii QoDaRik, Hatta Laa UhibBa Ta’JiiLa Maa AaKhorTa Wa Laa Ta’Khiro Maa ‘AjalTa.

“Dengan nama Allah untuk diriku, harta dan agamaku. Wahai Tuhanku, berilah kepadaku perasaan merelai ketetapan-Mu dan berkatilah segala apa yang diberikan kepadaku supaya aku tidak mencintai mencepatkan yang Engkau lambatkan dan tidak mencintai melambatkan apa-apa yang Engkau cepatkan.” (Riwayat al-Tabarani)

14. Setiap Kali Sampai Di Kawasan Lampu Hijau, Maka Bacalah Doa Ini:

Robbigfir WarHam Wa’Fu WaTaKarRam WaTaJaWaz AmMa Ta’Lamu Maa Laa Na’Lamu Innaka Antallahul A-‘azzul AkRam.

Ya Allah!  Ampunilah daku, rahmatilah daku, maafkanlah daku, kurniakanlah kami kemuliaanMu dan ampunilah segala apa yang Engkau ketahui, sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang kami tidak ketahui, sesungguhnya Engkaulah Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Terpuji.

Perjalanan 5

Safa ➜ Marwah

15. Melambaikan Tangan Ke Kaabah Di Safa Dan Membaca:

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Wa Lillahil-Hamd

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, dan segala puji-pujian adalah milik Allah

16. Kemudian Baca Doa-Doa Saie Pusingan Kelima

Doa Memohon Kejayaan

Allahumma Inni As-Aluka SihHaTan Fii iiMaaNan, Fii HusNi KhuLuQin Wa NaJaaHan YatBa’Uhu FalaaHun, Wa RahMatan Minka  Wa ‘AaFiyatan Wa MaghFiratan Minka Wa RodWaaNan.

Ertinya: “YaAllah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu kemurnian iman dan akhlak terpuji serta kejayaan yang disertai dengan keuntungan. Aku juga memohon kepada-Mu curahan rahmat, kesihatan, pengampunan dan keredaan dari sisi-Mu.” (Riwayat al-Hakim)

17. Setiap Kali Sampai Di Kawasan Lampu Hijau, Maka Bacalah Doa Ini:

Robbigfir WarHam Wa’Fu WaTaKarRam WaTaJaWaz AmMa Ta’Lamu Maa Laa Na’Lamu Innaka Antallahul A-‘azzul AkRam.

Ya Allah!  Ampunilah daku, rahmatilah daku, maafkanlah daku, kurniakanlah kami kemuliaanMu dan ampunilah segala apa yang Engkau ketahui, sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang kami tidak ketahui, sesungguhnya Engkaulah Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Terpuji.

Perjalanan 6

Marwah ➜ Safa

18. Melambaikan Tangan Ke Arah Kaabah Di Bukit Marwah Sambil Mengucapkan:

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Wa Lillahil-Hamd

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, dan segala puji-pujian adalah milik Allah

19. Kemudian Baca Doa-Doa Saie Pusingan Keenam

Zikir Yang Mendapat Jaminan Syurga

SubHaaNallahi Wa BihamdiHi, Wa Laa Quwwata ilLaa Billahi Maa Syaa Allahu Kana, Wa MaaLam Ya Sya’Lam Yakun. A’LaMu AnnallaHa ‘Alaa Kulli Syai’in Qodir, Wa AnnallahHa Qod AhaTho BikulLi Syai-in ilMann.

“Maha Suci Allah dan Maha Terpuji-Nya, tada kekuatan kecuali dengan Allah, segala sesuatu yang dikehendaki Allah terjadilah, segala sesuatu yang tidak dikehendaki-Nya tiadalah terjadi. Aku meyakini bahawasanya Allah berkuasa atas segala sesuatu dan bahawasanya ilmu Allah meliputi segala sesuatu.” (Riwayat Ibn al-Sunni)

20. Setiap Kali Sampai Di Kawasan Lampu Hijau, Maka Bacalah Doa Ini:

Robbigfir WarHam Wa’Fu WaTaKarRam WaTaJaWaz AmMa Ta’Lamu Maa Laa Na’Lamu Innaka Antallahul A-‘azzul AkRam.

Ya Allah!  Ampunilah daku, rahmatilah daku, maafkanlah daku, kurniakanlah kami kemuliaanMu dan ampunilah segala apa yang Engkau ketahui, sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang kami tidak ketahui, sesungguhnya Engkaulah Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Terpuji.

Perjalanan 7

Safa ➜ Marwah

21. Melambaikan Tangan Ke Kaabah Di Safa Dan Membaca:

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Wa Lillahil-Hamd

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, dan segala puji-pujian adalah milik Allah

22. Kemudian Baca Doa-Doa Saie Pusingan Ketujuh

Doa Terhindar Daripada Bencana

AllahumMa Inni A’UuDubika Minal Hadam, Wa A’UuDubika Minat-TaRodDi. Wa A’UuDubika Minal GhomMi, Wal GhoRoQi, Wal HaRoQi, Wal Harami. Wa A’UuDubika An YaTaKhobBaThaNisy-SyaiThonu InDal-Mawt. Wa A’UuDubika An AmuuTa Fii SabiiLika MudBiiRan. Wa A’UuDubika An AmuuTa LaDiiGhan.

“Tuhanku, bahawasanya aku berlindung diri kepada Engkau daripada keruntuhan rumah, tersungkur ke jurang, terbakar, karam, tua nyanyuk, dikalahi syaitan ketika mati, mati membelakangi jalan-Mu dan mati disengat binatang berbisa.” (Riwayat Ahmad)

23. Setiap Kali Sampai Di Kawasan Lampu Hijau, Maka Bacalah Doa Ini:

Robbigfir WarHam Wa’Fu WaTaKarRam WaTaJaWaz AmMa Ta’Lamu Maa Laa Na’Lamu Innaka Antallahul A-‘azzul AkRam.

Ya Allah!  Ampunilah daku, rahmatilah daku, maafkanlah daku, kurniakanlah kami kemuliaanMu dan ampunilah segala apa yang Engkau ketahui, sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang kami tidak ketahui, sesungguhnya Engkaulah Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Terpuji.

Rabbana Taqabbal Minna Wa’afina Wa’fu Anna Wa’ala Ta’atika Washukrika A’inna Wa’ala Ghairika La Takilna Wa’ala Al-Imaani Wal-Islami Al-Kamili Jam’an Tawaffana Wa’anta Raadhi Anna. Allahumma Irhamni Bitarkil Ma’asi Abadan Ma Abqaitani Wa’irhamni An Atakallafa Ma La Ya’nini Warzuqni Husnan Nazari Fima Yurdiika Anni Ya Arhama Ar-Rahimiin.”

Maksudnya:

Ya Allah, Ya Tuhan kami, kami memohon diterima doa kami, afiatkanlah dan ampunilah kami. Berilah pertolongan kepada kami untuk taat dan bersyukur kepada-Mu, janganlah membiarkan kami bergantung kepada yang lain selain dari-Mu. Matikanlah kami di dalam iman dan Islam yang sempurna, sedang Engkau redha kepada kami. Ya Allah Ya Tuhan, peliharalah diriku dengan meninggalkan segala kejahatan selama hidupku dan peliharalah aku supaya tidak membuat perkara yang tidak memberi guna dan kurniakanlah kepadaku elok pandangan kepada perkara-perkara yang membawa keredhaan-Mu wahai Tuhan yang bersifat Amat Belas Kasihan.

puncak bukit marwah
Puncak Bukit Marwah. Di sinilah jemaah menamatkan pusingan ketujuh Saie. Setelah tiba di Bukit Marwah, disunatkan untuk berdiri menghadap kiblat, bertakbir, bertahlil dan membaca doa penutup. Bagi jemaah Umrah, inilah juga lokasi yang menandakan berakhirnya manasik dan permulaan tahallul – sama ada dengan mencukur atau menggunting rambut sebagai tanda keluar daripada ihram.

Adab & Perkara Sunat Semasa Melakukan Saie

Walaupun bukan rukun, mengikuti sunnah Nabi ﷺ dalam perlaksanaan Sa’ie akan menyempurnakan lagi ibadah dan meraih pahala tambahan. Antara amalan sunat dan adab Sa’ie adalah:

1. Berdoa di Safa dan Marwah

Sebelum memulakan perjalanan, disunatkan naik ke Bukit Safa (sekadar beberapa langkah di ketinggian bukit yang kini dialas marmar) dan menghadap kiblat. Bacalah takbir “Allahu akbar” dan tahmid, kemudian berdoa.

Nabi ﷺ ketika di Safa membaca ayat “Innassafa wal marwata min sya’aa’irillah…” dan berdoa memuji Allah dan berdoa apa yang dihajati. Baginda mengulang doa itu tiga kali.

Begitu juga apabila tiba di Marwah, disunatkan berdiri menghadap kiblat dan berdoa.

(Nota: Dalam keadaan Mas’a sekarang yang bertingkat, jemaah tidak semestinya boleh nampak Kaabah ketika di Safa/Marwah, tetapi memadailah menghadap lebih kurang ke arah Kaabah).

Doa-doa khusus boleh dibaca, namun tiada doa wajib tertentu. Jemaah boleh berdoa dalam bahasa sendiri memohon kebaikan dunia akhirat.

2. Berjalan dengan tawaduk dan fokus zikir

Sa’ie bukan acara sukan, sebaliknya ibadah mengingati Allah. Oleh itu, disunatkan berjalan kaki dengan tenang (bagi yang mampu), sambil berzikir, bertahlil, bertasbih dan berdoa sepanjang perjalanan.

Tiada bacaan khusus dari Nabi ﷺ untuk setiap pusingan, namun ulama menggalakkan mengulang-ulang doa ringkas. Elakkan berbual kosong atau bersenda gurau yang melalaikan tujuan ibadah.

3. Berlari-lari anak (harwalah) bagi jemaah lelaki

Salah satu sunnah unik dalam Sa’ie ialah apabila melalui kawasan lembah antara Safa dan Marwah, jemaah lelaki disunatkan berlari-lari anak (mempercepat sedikit langkah). Wanita tidak perlu berlari dan hanya berjalan seperti biasa.

Kini, kawasan “lembah” ini ditandai dengan lampu hijau di siling koridor Mas’a. Di antara dua tanda lampu hijau itulah lelaki digalakkan berlari kecil sebagai memperingati kegigihan Siti Hajar.

Setelah melepasi lampu hijau kedua, mereka kembali berjalan seperti biasa. Hal ini sesuai sabda Nabi ﷺ: “Sebab lelaki berlari di tempat itu kerana di sana dahulunya lembah curam”, maka sunnah ini dihidupkan bagi mencontohi perjalanan asal Hajar.

(Rujuk gambar di bawah: bahagian berlampu hijau menandakan zon lelaki disunatkan berlari-lari anak.)

Laluan Sa’ie di dalam Masjidil Haram dilengkapi lampu hijau sebagai penanda kawasan lembah antara Safa dan Marwah. Jemaah lelaki disunatkan berlari-lari anak di antara dua lampu hijau ini, manakala jemaah wanita meneruskan berjalan biasa. Pelaksanaan Sa’ie kini amat teratur dengan lantai marmar dan ruang bertingkat yang luas.

4. Menjaga pandangan dan akhlak

Memandangkan Sa’ie dilaksanakan dalam keadaan ihram (bagi Haji/Umrah, jemaah masih bertelekung atau berkain ihram), jaga adab berpakaian dan pandangan.

Elakkan menatap bukan mahram atau bersesak secara tidak wajar antara lelaki dan wanita.

Jika sangat padat, utamakan keselamatan dan kesopanan; contohnya lelaki jangan berlari sehingga melanggar jemaah wanita di hadapan.

5. Minum air Zamzam

Disunatkan juga minum air Zamzam selepas selesai Sa’ie (atau semasa rehat di tengah perjalanan).

Air Zamzam tersedia di banyak tempat di sekitar Mas’a. Niatkan kebaikan semasa minum air penuh barakah ini.

Tahallul bermaksud mencukur seluruh rambut kepala (ḥalq) atau menggunting sebahagian daripadanya (taqṣīr) sebagai tanda keluar daripada keadaan ihram.

Ia merupakan rukun dalam Umrah dan wajib dalam ibadah Haji mengikut pandangan Mazhab Syafi‘e. Walaupun ia tidak tergolong dalam adab atau perkara sunat Saie, tahallul tetap merupakan langkah penting yang menyusuli Saie, dan wajib dilaksanakan pada waktu yang betul mengikut jenis manasik yang sedang ditunaikan.

Tahallul bagi Jemaah Umrah

Bagi jemaah Umrah, tahallul dilakukan sejurus selepas menyempurnakan tujuh pusingan Saie. Jemaah boleh memilih sama ada:

  • Ḥalq iaitu mencukur keseluruhan rambut kepala (lebih afdal bagi lelaki)
  • Taqṣīr iaitu menggunting sekurang-kurangnya tiga helai rambut.

Setelah tahallul dilaksanakan, maka selesailah ibadah Umrah dan seseorang keluar sepenuhnya daripada ihram, membolehkan kembali kepada perkara-perkara yang sebelumnya dilarang ketika dalam ihram.

tahalull bagi lelaki
Bagi jemaah Umrah, tahallul ini adalah rukun terakhir yang wajib disempurnakan. Lelaki digalakkan mencukur keseluruhan rambut (ḥalq), manakala wanita cukup sekadar menggunting sedikit hujung rambut (taqṣīr). Tahallul boleh dilakukan di kedai gunting berdekatan Masjidil Haram, atau di bilik penginapan setelah pulang dari Saie. Namun, bagi menyempurnakan rukun secara segera, memadai dengan menggunting sehelai dua rambut terlebih dahulu semasa masih berada di kawasan Marwah, kemudian boleh disempurnakan dengan cukur licin kemudian.

Tahallul dalam Haji

Bagi ibadah Haji, hukum tahallul adalah wajib. Namun, masa pelaksanaannya berbeza mengikut jenis Haji:

  • Haji Tamattu’. Tahallul pertama berlaku selepas selesai Saie Umrah (sebelum masuk 8 Zulhijjah), kerana Umrah telah selesai. Jemaah akan kembali berihram semula pada hari Tarwiyah untuk Haji.
  • Haji Ifrad dan Qiran. Jika jemaah memilih untuk melakukan Saie Haji lebih awal (selepas Tawaf Qudum), mereka tidak bertahallul selepas Saie tersebut. Ini kerana tahallul dalam Haji hanya berlaku selepas Tawaf Ifadah, melontar Jamrah Aqabah, dan bercukur/bergunting. Saie awal itu hanya mendahulukan rukun, bukan bermakna keluar ihram.

Nota penting

Tahallul bukan sunat dan bukan pilihan. Ia adalah rukun Umrah dan wajib dalam Haji. Meninggalkannya secara sengaja dalam Umrah menyebabkan ibadah tidak sah, manakala dalam Haji ia mewajibkan dam.

Oleh itu, memahami waktu dan cara tahallul adalah penting untuk memastikan ibadah manasik dilaksanakan dengan sempurna dan sah menurut syarak.

Satu persoalan yang kerap timbul: bolehkah wanita yang sedang haid melakukan Sa’ie?

Dalam hal ini, perlu difahami bahawa wanita haid hanya dilarang tawaf di Kaabah sehingga suci, kerana tawaf diumpamakan seperti solat yang memerlukan taharah.

Namun, Sa’ie tidak disyaratkan suci seperti dijelaskan sebelum ini.

Oleh itu, hukumnya seorang wanita yang datang haid selepas selesai tawaf rukun, dibolehkan terus melakukan Sa’ie walaupun masih dalam keadaan haid, kerana Sa’ie sah tanpa wuduk.

Sebagai contoh situasi:

Seorang wanita umrah mendapati haid sejurus selesai tawaf Umrah, maka dia boleh meneruskan dengan Sa’ie dan bertahalul, menjadikan Umrahnya lengkap.

Fatwa ulama menyokong hal ini: “Jika wanita haid bersa’ie, Sa’ienya sah dan memadai”.

Begitu juga dalam Haji. Andaikata wanita haid belum sempat Sa’ie Haji, sedangkan tawaf rukun sudah dibuat (misal tawaf ifadah ketika suci, lalu haid datang sebelum Sa’ie), dia boleh Sa’ie tanpa menunggu suci.

Namun, jika haid datang sebelum tawaf dilakukan, dia tidak boleh tawaf, dan ini akan menunda Sa’ie juga kerana Sa’ie mesti selepas tawaf.

Dalam keadaan Haji Tamattu’, jika haid menghalang tawaf Umrah sebelum hari Arafah, maka wanita disarankan berniat Haji Qiran (gabungkan Haji dan Umrah) supaya cukup melakukan satu tawaf ifadah dan satu Sa’ie bagi kedua-duanya sekali gus setelah suci nanti.

Inilah yang dilakukan oleh Sayyidah Aisyah r.a. ketika Haid di Haji Wida’: beliau tukar niat kepada Haji Qiran atas arahan Nabi ﷺ, lalu melakukan tawaf dan Sa’ie sekali sahaja untuk Haji + Umrah selepas suci.

Prinsipnya: “Lakukan segala amalan Haji kecuali tawaf sehingga engkau suci”, sabda Nabi ﷺ kepada Aisyah.

Jadi, wanita haid masih boleh menyempurnakan Sa’ie, tetapi perlu memastikan aturan tawafnya diatur mengikut keadaan haid tersebut. Jika masih ragu, rujuklah petugas agama atau mutawif.

Perlu juga disebut, jika wanita didatangi haid selepas selesai semua rukun termasuk Sa’ie (contoh: haid datang sebelum Tawaf Wida’), dia dikecualikan dari Tawaf Wida’ dan boleh meninggalkan Mekah tanpa perlu apa-apa dam (ini keringanan khusus buat wanita haid).

Hal ini disebut oleh para ulama berdasarkan hadis Ibn Abbas r.a. bahawa wanita haid tidak perlu tawaf wada’. Ini bukan isu Sa’ie secara langsung, tetapi terkait bab haid dalam manasik Haji.

Bagi jemaah warga emas, orang kurang upaya (OKU) atau yang sakit, syariat sangat menggalakkan mereka tetap menunaikan ibadah dengan bantuan yang ada.

Ibadah sa’ie tidak mensyaratkan kemampuan berjalan sendiri. Seseorang yang uzur boleh melakukan sa’ie dengan cara diusung atau ditolak dengan kerusi roda.

Hal ini ada dalil dari zaman sahabat dimana terdapat riwayat Abdullah bin Abbas RA yang membolehkan orang tua melakukan tawaf dan sa’ie dengan dibantu (dipapah/dibawa).

Kini, pihak Masjidil Haram menyediakan kemudahan kerusi roda manual dan elektrik serta laluan khas bagi pengguna kerusi roda di sepanjang mas’aa.

Dari sudut hukum Mazhab Syafie, seseorang yang bersa’ie dengan menunggang kenderaan (seperti diusung atau kerusi roda) tetap sah sa’ienya asalkan memenuhi laluan Safa–Marwah tujuh kali. Dia tidak wajib berjalan kaki jika tidak mampu.

Malah harus bagi orang sihat menunggang kenderaan jika ada hajat (namun jika sengaja tanpa sebab, hukumnya makruh kerana meninggalkan sunnah berjalan kaki). Contoh situasi: Seorang suami menyorong isterinya dengan kerusi roda untuk melakukan sa’ie kerana isterinya uzur dan tak dapat berjalan.

Dalam kes ini, Mufti Wilayah berpandangan sa’ie kedua-duanya sah, dengan syarat sang suami niat melakukan sa’ie dirinya juga ketika menyorong. Ertinya, suami yang juga perlu sa’ie boleh berniat sambil menolak isterinya. Maka setiap kali ulang-alik dikira bagi kedua-duanya.

Jika suami sudah selesai sa’ie terdahulu dan hanya menyorong isteri, sa’ie isteri tetap sah kerana dia (isteri) yang berniat dan melalui jarak sa’ie, walaupun dibantu suami. Yang penting, orang yang melakukan sa’ie (di atas kerusi roda) itu sendiri berniat sa’ie, bukan semata-mata ditolak tanpa kesedaran.

Bagi orang tua yang uzur tapi tidak mahu kerusi roda, dia boleh lakukan perlahan-lahan dengan berhenti rehat setiap beberapa minit. Tiada masalah selagi akhirnya cukup 7 pusingan.

Jika terpaksa berhenti lama atau pulang ke hotel dahulu, dibolehkan (sebagaimana fatwa mengatakan sa’ie tidak wajib berturut terus). Cuma sunat disempurnakan segera jika mampu.

Beberapa penjelasan tambahan:

  • Kerusi Roda & Laluan. Laluan kerusi roda biasanya di tingkat bawah atau atas dengan trek khas. Menurut pihak Tabung Haji, penghujung pagar laluan kerusi roda di Safa/Marwah dikira sebagai hujung bukit. Jadi jika kerusi roda hanya sampai setakat itu, sa’ie tetap sah (tidak perlu memaksa naik ke atas batu bukit).
  • Orang Penglihatan Terhad atau Masalah Kognitif. Mereka boleh dibimbing oleh pembantu. Bacaan doa dan niat boleh dibantu talbiah oleh pembimbing. Sa’ie mereka sah selagi dilakukan di laluan yang betul dan mencukupi, walaupun tanpa melihat jelas tanda.
  • Terjatuh atau Pitam Semasa Sa’ie. Jika seseorang pengsan atau cedera di tengah sa’ie (contoh: baru 2 pusingan), hendaklah dibawa keluar untuk rawatan. Kemudian, apabila sedar dan sudah pulih (walau selepas beberapa jam/hari), dia wajib menyambung sa’ie dari pusingan ke-3 hingga ke-7 untuk melengkapkannya. Dalam tempoh dia pitam/dirawat, dia dianggap uzur syar’ie, maka putusnya muwalat tidak menjejaskan sah. Yang penting jangan lupa kiraan pusingan yang telah dibuat. Jika orang itu pulang sebelum sembuh dan tak sempat sambung, hukumnya sama seperti meninggalkan rukun iaitu sa’ie belum sempurna, Haji/Umrahnya belum lengkap.
  • Upah Sa’ie untuk Orang Lain. Secara umum, tidak dibolehkan mengupah orang lain menggantikan sa’ie sementara diri sendiri tidak hadir – kerana sa’ie termasuk dalam rukun yang mesti dilakukan oleh jemaah itu sendiri (kecuali Haji Badal menggantikan keseluruhan haji bagi orang yang uzur atau telah meninggal). Namun, membantu secara fizikal (memapah, menolak kerusi roda) bukan dianggap mengganti ibadah, itu dibolehkan. Jadi ahli keluarga/pegawai boleh menolak kerusi roda orang uzur, namun orang uzur itulah yang dianggap pelaku sa’ie, bukannya penolak.

Kesimpulannya, Islam memberi ruang kemudahan (rukhshah) untuk golongan wanita haid, ibu hamil, warga emas, OKU dan sebagainya dalam melaksanakan sa’ie. Selagi rukun dan syarat asas dipenuhi, ibadah mereka insyaAllah sah.

Mereka tidak perlu rasa rendah diri atau segan menggunakan kemudahan seperti kerusi roda. Hukum syarak sememangnya mengizinkan dan sa’ie mereka sama nilainya di sisi Allah, kerana yang penting adalah ketaatan dan kesungguhan hati, bukan semata-mata tenaga fizikal.

Kesalahan semasa saie

Walaupun ibadah sa’ie nampak mudah (hanya berjalan ulang-alik tujuh kali), terdapat beberapa kesalahan umum yang sering dilakukan jemaah tanpa sedar.

Kesalahan-kesalahan ini ada yang hanya menjejaskan kesempurnaan (makruh atau tidak dapat pahala sunat), dan ada yang boleh menjejaskan sah sa’ie jika berkaitan rukun.

Berikut beberapa kesilapan lazim dan penjelasan kesannya:

1. Memulakan sa’ie di tempat yang salah

Salah satu kesilapan kritikal semasa melaksanakan Sa’ie ialah memulakannya bukan dari Bukit Safa. Ada jemaah yang tersilap memulakan dari Bukit Marwah, atau dari pertengahan laluan. Kesilapan ini menyalahi sunnah dan mengakibatkan hitungan pusingan menjadi tidak tepat.

Akibatnya, Sa’ie boleh dianggap tidak sah kerana tidak memenuhi syarat rukun iaitu mesti dimulakan di Bukit Safa dan disempurnakan di Bukit Marwah.

Jika kesilapan ini disedari sebelum cukup tujuh pusingan, jemaah wajib mengulangi Sa’ie dari awal dengan permulaan yang betul di Safa. Namun jika hanya disedari selepas menyelesaikan semua pusingan, Sa’ie tersebut terbatal dan perlu diulangi keseluruhannya.

Oleh itu, pastikan permulaan dilakukan di lokasi sebenar Bukit Safa, yang biasanya ditandai dengan papan tanda “Start” dalam kawasan Sa’ie di Masjidil Haram.

2. Tidak Cukup atau Terlebih Kiraan Pusingan

Antara kesilapan biasa semasa Sa’ie ialah kekeliruan dalam menghitung tujuh perjalanan antara Bukit Safa dan Marwah.

Kes 1: Tidak Cukup (Kurang daripada 7 Pusingan)

Contohnya, seorang jemaah menyangka telah cukup tujuh pusingan dan bertahallul selepas berjalan:

Safa → Marwah → Safa → Marwah → Safa → Marwah
(hanya enam perjalanan), sedangkan pusingan ketujuh ke Marwah masih belum dilakukan.

Dalam hal ini, Sa’ie masih belum sempurna. Jika kesilapan disedari semasa masih berada di Mekah, wajib segera menyempurnakan baki pusingan.

Jika sudah bertahallul sebelum rukun Sa’ie selesai, ini dianggap pelanggaran larangan ihram dan merupakan perkara yang serius menurut mazhab Syafi’i. Jemaah perlu kembali kepada keadaan ihram dan segera menyempurnakan baki Sa’ie. Haji atau Umrahnya tidak sah selagi Sa’ie belum dilengkapkan.

Kes 2: Terlebih (8 atau 14 Pusingan)

Ada juga jemaah yang melakukan lebih daripada tujuh pusingan, sama ada kerana tersalah faham bahawa perlu tujuh kali pergi-balik (14 hala), atau kerana terlalu bersemangat.

Sebenarnya, hanya tujuh perjalanan satu hala yang diperlukan. Selebihnya dianggap lebihan yang tidak disyariatkan. Menurut pandangan ulama, Sa’ie tetap sah selagi tujuh pusingan pertama dilengkapkan dengan sempurna. Namun begitu, perbuatan ini menyalahi sunnah, boleh jatuh makruh, dan dibimbangi mengurangkan kesempurnaan ibadah.

Jika timbul keraguan semasa kiraan (contohnya tidak pasti sudah empat atau lima), ambil kiraan yang paling sedikit dan lengkapkan hingga cukup tujuh dengan yakin.

3. Tidak Menempuh Jarak Sepenuhnya antara Safa dan Marwah

Antara kesilapan yang perlu dielakkan semasa Sa’ie ialah berpatah balik sebelum benar-benar sampai ke hujung Bukit Safa atau Marwah. Ada jemaah yang berhenti beberapa meter lebih awal, sama ada kerana sesak atau keletihan, lalu terus berpatah balik. Perbuatan ini menyebabkan jarak Sa’ie tidak mencukupi.

Begitu juga jika seseorang memotong laluan, contohnya masuk melalui pintu tengah lalu keluar di bahagian tepi, tanpa menempuh jarak penuh antara dua bukit. Dalam keadaan ini, Sa’ie dianggap tidak sah jika tidak menepati jarak yang ditetapkan.

Menurut pandangan ulama, syarat sah Sa’ie mestilah perjalanan itu sampai sekurang-kurangnya ke kawasan kaki bukit yang menandakan sempadan Safa dan Marwah. Jika tidak sampai ke titik tersebut, satu pusingan tidak dikira lengkap.

  • Pastikan anda melangkah sehingga ke penghujung kawasan bukit, bukan sekadar di pertengahan laluan.
  • Di Bukit Safa dan Marwah biasanya terdapat tanda lantai khas, perubahan warna marmar, atau papan tanda sebagai panduan.
  • Di Safa, anda boleh naik sedikit ke kawasan bertangga; di Marwah juga terdapat kenaikan kecil. Ini menunjukkan anda telah sampai ke hujung yang sah.
  • Jika keadaan terlalu sesak, tunggu seketika sehingga ada ruang untuk melangkah ke hujung sebelum berpatah balik.

Kesempurnaan ibadah bergantung kepada kesungguhan menepati syarat. Jangan tergesa-gesa atau memilih jalan singkat yang boleh menjejaskan sahnya Sa’ie.

4. Melakukan Sa’ie di Luar Kawasan Mas’aa (Tempat Saie)

Kesilapan ini jarang berlaku hari ini kerana kawasan Sa’ie telah dipagari dengan jelas. Namun begitu, masih ada kemungkinan jemaah tersilap atau kurang maklumat sehingga melakukan Sa’ie di luar kawasan yang ditetapkan.

Antara contoh kes:

  • Melakukan Sa’ie di luar bangunan Masjidil Haram, seperti keluar melalui pintu dan berjalan di jalan luar.
  • Melakukan Sa’ie di kawasan bumbung yang tidak termasuk dalam laluan rasmi.
  • Menggunakan kenderaan buggy elektrik yang berada di luar laluan Mas’aa yang sah, contohnya menggunakan laluan tingkat tawaf.

Perbuatan ini tidak memenuhi syarat sah Sa’ie, kerana syarat utama Sa’ie ialah dilaksanakan di antara Bukit Safa dan Marwah melalui laluan yang ditetapkan (mas’aa).

Jika dilakukan di luar kawasan ini, Sa’ie tidak sah dan wajib diulangi semula dengan menempuh laluan sebenar.

5. Menyambung Sa’ie di Tempat yang Salah

Jika seseorang berhenti rehat ketika Sa’ie, contohnya di pertengahan pusingan ke-5 maka dia wajib menyambung semula dari tempat terakhir dia berhenti. Kesilapan berlaku apabila jemaah tersalah sambung di tempat lain, lalu menjejaskan kiraan.

Contohnya, seseorang berhenti hampir tiba di Safa, tetapi belum sampai sepenuhnya. Kemudian, apabila datang semula, dia terus bergerak dari Safa ke Marwah seperti pusingan baru. Ini menyebabkan kiraan menjadi lebih, kerana bahagian terakhir tadi belum disempurnakan.

Aturan yang betul:

  • Jika berhenti hampir ke Safa, sambung dahulu sehingga betul-betul tiba di Safa (lengkap pusingan ke-5), kemudian baru berpatah balik ke Marwah (pusingan ke-6).
  • Jika tidak pasti tempat berhenti, lebih baik ulang pusingan terakhir sebagai langkah berhati-hati.
  • Jika jarak yang ditempuh menjadi kurang, Sa’ie tidak sah kerana pusingan tidak lengkap.

6. Meneruskan Sa’ie Ketika Masuk Waktu Solat

Kesilapan ini berkait dengan keutamaan fiqh dan adab ibadah, bukan dari segi sah atau batal Sa’ie.

Apabila azan atau iqamah solat fardu berkumandang, wajib mendahulukan solat fardu, terutama jika berada dalam Masjidil Haram. Terus melakukan Sa’ie ketika waktu solat sudah masuk lebih-lebih lagi ketika iqamah telah dilaungkan, adalah perbuatan yang menyalahi tertib ibadah.

Jangan sangka sedang kejar masa. Sa’ie boleh dihentikan sementara dan disambung semula selepas solat. Malah, ini lebih menepati adab dan keutamaan syarak.

Kesan perbuatan ini:

  • Jika solat fardu ditinggalkan sehingga tamat waktu, ia adalah dosa besar.
  • Jika solat berjemaah ditinggalkan, anda telah terlepas pahala besar solat jemaah yang berlipat ganda khusus di Masjidil Haram.
  • Dari segi hukum, Sa’ie tetap sah, tetapi perbuatan meninggalkan solat berjemaah (tanpa sebab syarie) adalah satu kerugian besar.

Kesimpulannya, apabila azan berkumandang, berhenti Sa’ie dan sertai solat dahulu. Ibadah Sa’ie boleh disambung selepas selesai, tanpa menjejaskan kesahihan.

7. Tidak Berdoa atau Berzikir Langsung

Sebahagian jemaah mungkin terlalu penat, tergesa-gesa, atau leka berbual sehingga tidak membaca sebarang doa, zikir, atau istighfar sepanjang Sa’ie. Ini merupakan satu kerugian dari segi pahala dan penghayatan ibadah.

Kesan daripada perbuatan ini:

  • Sa’ie tetap sah, kerana doa atau zikir bukan sebahagian daripada rukun.
  • Namun, ibadah tersebut menjadi kosong dari ruh dan makna, seperti hanya sekadar menyempurnakan syarat fizikal seperti lulus paling minimum.
  • Jika diselangi dengan perbualan kosong, gurauan keterlaluan atau hal duniawi dalam kawasan mas’aa, ia boleh jatuh makruh kerana meremehkan suasana ibadah.

Kesimpulannya, jangan sia-siakan peluang sepanjang Sa’ie. Penuhi langkah dengan doa, zikir, dan istighfar, kerana inilah ruang untuk mendekatkan diri kepada Allah dalam suasana yang penuh keberkatan.

8. Mengerjakan Sa’ie dengan Cara yang Salah kerana Kejahilan

Ada juga jemaah yang melaksanakan Sa’ie secara salah kerana tidak mengetahui tatacara sebenar. Contoh kes yang pernah berlaku:

  • Selepas tawaf, jemaah terus mengelilingi Kaabah tujuh kali lagi di tempat yang sama, menyangka itu adalah Sa’ie. Ini berlaku kerana mereka tidak tahu bahawa Sa’ie hanya sah jika dilakukan di antara Bukit Safa dan Marwah, bukan di sekitar Kaabah. Dalam kes ini, Sa’ie tidak sah dan wajib diulangi semula di tempat yang betul.
  • Ada juga yang terus mencukur rambut (tahallul) selepas tawaf tanpa melakukan Sa’ie, kerana tersilap anggap Sa’ie itu hanya sunat. Ini adalah kesalahan besar, kerana telah bertahallul sebelum menyempurnakan rukun.

Jemaah tersebut telah melanggar larangan ihram (bertahallul sebelum rukun selesai), dan dalam mazhab Syafi’i, wajib membayar dam sebagai kifarah.

Sa’ie tetap wajib ditunaikan, dan Haji atau Umrah dianggap belum sempurna selagi rukun itu belum dilaksanakan.

Kesimpulannya, pastikan setiap langkah ibadah dilakukan dengan ilmu. Kejahilan tidak menggugurkan tanggungjawab, malah boleh membawa kepada ibadah yang tidak sah jika tidak diperbetulkan.

9. Melakukan Sa’ie secara Tidak Beradab

Kesilapan ini melibatkan aspek akhlak semasa melaksanakan ibadah.

Antara yang kerap berlaku ialah menolak orang lain dengan kasar, bermasam muka, marah-marah, atau bahkan bertengkar sesama ahli keluarga termasuklah suami isteri yang bergaduh di tengah-tengah laluan mas’aa. Semua ini mencacatkan suasana ibadah yang sepatutnya penuh ketenangan dan khusyuk.

Dari sudut hukum, Sa’ie yang dilakukan dalam keadaan seperti ini tetap sah selama mana rukun-rukunnya dipenuhi. Namun, perbuatan tidak beradab ini boleh mengurangkan atau bahkan menghilangkan pahala ibadah, kerana hati tidak hadir dengan keikhlasan yang sebenar.

Lebih membimbangkan, jika perbuatan tersebut melibatkan penganiayaan terhadap orang lain seperti menolak atau menyakiti tanpa sebab, maka hukumnya boleh menjadi berdosa. Hal ini lebih berat apabila berlaku di dalam Tanah Haram, kerana dosa yang dilakukan di sana digandakan kejelekannya menurut keterangan ulama.

Maka, sangat penting untuk mengawal emosi dan menjaga akhlak semasa Sa’ie. Bersabar dengan keadaan sekeliling, bersangka baik, dan berlapang dada adalah antara kunci kepada Sa’ie yang bukan sahaja sah, tetapi diterima dan diberkati.

Kesalahan lain mungkin sekadar makruh atau mengurangkan pahala tetapi sa’ie tetap sah. Jika menyedari melakukan kesalahan yang membatalkan, segera ulang sa’ie jika masih dalam ihram.

Jika sudah selesai haji atau umrah baru tersedar, rujuklah ahli ilmu. Biasanya jika rukun tertinggal, Haji atau Umrah tidak sah dan perlu diqadha (ulangi pada tahun seterusnya jika mampu).

Oleh itu, ambil perhatian elakkan kesilapan di atas. InsyaAllah dengan ilmu yang betul, ibadah akan lancar dan diterima Allah sebagai Sa’yan Masykura (sa’ie yang disyukuri dan diberkati).

Soal Jawab Masalah Lazim Berkaitan Dengan Saie

Saie

Berikut adalah beberapa soal jawab bagi soalan lazim yang berkaitan dengan ibadah Saie:

Adakah dikira sah Jemaah Haji yang uzur melakukan Saie dengan menaiki kerusi roda, tetapi mereka disorong hanya sampai setakat penghabisan pagar perjalanan kereta sorong sahaja?

Ya, dikira sah kerana ia Saie di kawasan yang termaklum (Batnul Wadi). Selain dari itu Kerajaan Saudi telah menghadkan pangkal Bukit Safa dan Marwah ialah pada penghabisan pagar laluan kerusi roda itu.

Adakah sah saie suami isteri yang sama-sama mengerjakan Saie dalam keadaan suami menyorong dan isteri duduk di atas kereta yang disorong kerana isteri uzur tidak dapat berjalan?

Hukumnya sah, dengan syarat suaminya mengqasadkan untuk Saie dan bukan semata-mata menyorong.

Adakah sah seseorang Saie. Setelah ia Saie tiga kali pusingan, dia pun balik ke rumah sama ada uzur atau pun tidak, kemudian esoknya barulah ia melakukan empat pusingan lagi?

Ya, sah kerana muwalat dalam Sa’ie adalah sunat sahaja tetapi hendaklah memulakan Sa’ie dari tempat dia berhenti dahulu.

Jemaah Haji wanita setelah selesai Tawaf Umrahnya ia pun mengerjakan Saie. Baru dua kali perjalanan Saienya ia terjatuh dan terus dibawa balik ke rumahnya dan menukar pakaian yang dipakainya semasa Ihram Umrahnya dengan pakaian biasa. Bagaimanakah hukum Saie dan Tahallul Umrahnya?

Setelah badannya merasa segar, ia hendaklah menyambung semula Saienya yang belum sempurna kemudian Tahallul maka berhasillah Umrahnya. Mengenai pakaian biasa yang dipakainya itu tidak menjejaskan Ihramnya kerana perempuan tidak ada pakaian khusus untuk Ihram kecuali mukanya tidak boleh ditutup dan tangannya tidak memakai sarung tangan.

Adakah kawasan Saie di tingkat atas itu masih bertapak di Batnul Wadi’ (tempat yang termaklum) dan adakah sah Saie di kawasan itu?

Ya, kawasan Saie di tingkat atas itu masih bertapak di Batnul Wadi’ (tempat yang termaklum). Mengikut pendapat yang muktamad sah Saie di kawasan itu dan walau di kawasan di tingkat langit yang ketujuh atau di bawah tanah yang ketujuh sekalipun.

Adakah tempat Saie di antara Safa dan Marwah termasuk dalam kawasan Masjidil Haram?

lanya tidak dikatakan masjid, walaupun keadaannya sekarang bersambung dengan masjid, ia adalah sebagai lambang agama Allah seperti firman Allah s.w.t. dalam al-Quran yang maksudnya; Sesungguhnya Safa dan Marwah itu ialah sebahagian daripada siar (lambang agama Allah). Dengan ini ia tidak termasuk masjid oleh itu boleh orang haid mask ke dalamnya bahkan boleh mereka melakukan Saie.

Apakah hukum Saie seseorang yang Saie kerana disangkakannya telah mengerjakan Tawaf dan dia bercukur dengan tidak Tawaf?

Hukum Saienya tidak dikira sah dan ia dikenakan Dam kerana bercukur sebelum sampai masanya, dan ia hendaklah melakukan Tawaf dahulu kemudian mengulangi Saie dan bercukur. Damnya adalah Takhyir dan Taqdir.

Apakah hukum melakukan Saie dahulu dari Tawaf semasa Umrah kerana tidak tahu di mana tempat Tawaf?

Jemaah Haji yang melakukan Saie dahulu dari Tawaf adalah tidak sah. la hendaklah melakukan Tawaf dahulu kemudian mengulangi Saie dan bercukur/ bergunting.

Seorang Jemaah Haji mengerjakan Umrah, kemudian dia melakukan Tawaf dan Saie. Tetapi sebelum sempurna Saie, dia berhenti kerana solat, selepas itu dia terlupa untuk menyambung Saie, lalu terus balik ke Malaysia. Bagaimana hukum Umrahnya?

Hukumnya adalah ia masih lagi di dalam Ihram Umrah. Dia dituntut menyambung kerja-kerja Saie dan bertahallul atau membuat Tahallul Ihsar untuk melepaskan segala larangan Ihram dan wajib ia menyempurnakan semula Saie dan Tahallul apabila berkuasa.

Kes Jemaah Haji yang melaksanakan Umrah (sebelum Haji) kemudian melakukan Saie tetapi tidak cukup 7 pusingan. Apabila tiba Hari Tarwiyah beliau mandi sunat Ihram dan niat Ihram Haji serta menyempurnakan semua rukun Haji. Jemaah tersebut hanya menyedari beliau tidak Saie atau tidak sempurna Saie tersebut setelah sempurna melaksanakan rukun Haji. Bagaimana kedudukan Haji jemaah tersebut?

Dalam perkara ini, jika mengikut pandangan Mazhab Syafi’e maka Jemaah tersebut tidak mendapat Haji pada tahun ini. Ini kerana rukun Umrah belum disempurnakan lagi (Saie yang sempurna adalah rukun Umrah dalam Mazhab Syafie).

Walau bagaimana sah Umrah dan mendapat Haji jika ditaqlidkan kepada Mazhab Hanafi dan jemaah tersebut dikenakan Dam (seekor kambing). Ini kerana dalam Mazhab Hanafi Sa’ie adalah wajib.

Rujukan lanjut Kitab Fiqh Islami wa Adillatuh Juz 3, hlm. 145-169

Penutup

Kesimpulannya, Saie bukan sekadar ibadah dalam ibadah Haji dan Umrah, tetapi ia merupakan penghayatan yang mendalam, melambangkan kepatuhan dan ketabahan kita kepada Allah SWT.

Marilah kita praktikkan ilmu yang telah dipelajari dengan penuh keikhlasan, sambil memohon kepada Allah agar setiap langkah dan doa kita dalam Saie ini diterima-Nya.

Semoga Allah SWT memberikan kita kekuatan, pemahaman, dan ketabahan untuk menjalankan ibadah ini dengan sempurna, serta memelihara kita dalam keadaan iman dan Islam yang kukuh.

Mudah-mudahan, setiap amalan kita membawa kita lebih dekat kepada keredhaan-Nya, Ya Arhama Ar-Rahimiin.

Nota & Rujukan

  1. Nota Kursus Asas Haji 1440H, edisi cetakan kemaskini November 2018, Bahagian Bimbingan Jabatan Haji, Lembaga Tabung Haji
  2. Nota Kursus Ibadah Haji & Umrah serta Ziarah Madinah, Hj. Abdul Rahman Saleh & Hj Kamaluddin Ibrahim, al-Hidayah Publication
  3. Panduan Ziarah Madinah Umrah & Haji, Ustaz Dato’ Haji Md Daud Bin Che Ngah, Pustaka Haji Abdul Majid
  4. Panduan Haji, Umrah dan Ziarah, Ustaz Ibrahim Zakaria.
  5. Panduan Ibadah Umrah & Ziarah, Ustaz Muhamad Dhiauddin, Pustaka Azhar
  6. Panduan Lengkap Haji, Umrah & Ziarah Edisi Kemaskini, Haji Abu Mazaya Al-Hafiz, Al-Hidayah House of Publisher
  7. Panduan Meraih Umrah Yang Mabrurah, Dato’ Dr Hj Zahazan B. Mohamed, Telaga Biru
  8. Soal Jawab Haji, Umrah & Ziarah, Edisi kemaskini 2020, Disemak dan diluluskan oleh Jawatankuasa Penasihat Ibadah Haji (TH-JAKIM) Bil 2/1440H
  9. Bimbingan Umrah & Ziarah, Ust Mohd Faez Bin Mohd Shah Al-Hashim, Pustaka al-Ehsan
  10. Soal Jawab Fiqh Ibadah Jilid 3, Bab Puasa, Haji, Korban & Akikah, Ustaz Abu Usamah Mohd Hanapiah Haji Husin, Ikon Syabab Resources.
Photo of author

Muhamad Naim

Penulis utama dan ketua editor. Menubuhkan web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

9 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Nazrahani
Nazrahani
1 bulan yang lalu

Alhamdulillah, terima kasih sgt membantu. Moga menjadi ilmu yg bermanfaat amal yg diredhaiNya. Halal kan ilmunya

Ahmad Faizal Abd Rahman
Ahmad Faizal Abd Rahman
5 bulan yang lalu

Alhamdulillah..
Perkongsian yang baik..Mohon dihalalkan ilmunya ya.

Annasue80
Annasue80
6 bulan yang lalu

Assalamualaikum,
Terima kasih tuan atas perkongsian. Semoga Allah pelihara tuan dan kerabat tua dunia akhirat.

Aliodin
Aliodin
1 tahun yang lalu

Mohon izin untuk manfaatkan ilmu dan share (non-profit) bagi kebaikan umat ye. Terima kasih.

Semoga Allah memberkati saudara.

Nam
Nam
1 tahun yang lalu

Alhamdullilah..Semoga ALLAH permudahkan urusan saudara