Bagaimana tatacara pengebumian jenazah orang Islam?
Panduan ini akan menerangkan secara lengkap mengenai tatacara mengebumian jenazah orang Islam secara langkah demi langkah (bergambar).
Saya juga turut menyertakan hukum dan dalil setiap perbuatan, serta bacaan-bacaan doa yang disunatkan semasa menguruskan pengebumian jenazah.
Mari kita mulakan..
Hukum Pengebumian Jenazah Orang Islam
Selesai solat jenazah, tibalah untuk dilaksanakan kewajipan yang keempat ke atas jenazah iaitu kebumikannya.
Inilah kewajipan terakhir dalam setiap pengurusan jenazah.
Hukum mengebumikan jenazah adalah wajib (fardu kifayah).
Haram hukumnya jika sengaja membiarkan jenazah tanpa dikebumikan kerana akan mencemarkan kehormatannya sama ada baunya atau dipermainkan oleh binatang-binatang buas.
Oleh sebab itu, maksud kewajipan ini ialah sekurang-kurang kubur yang wajib digali itu adalah lubang yang dapat menegah daripada keluarnya bau atau daripada dibongkar binatang buas.
Ciri-Ciri Kubur Yang Baik
1. Menghalang Bau Jenazah
SEKURANG-KURANG kubur yang wajib adalah liang yang menghalang bau jenazah dan yang menghalang binatang buas daripada mengorek kubur berkenaan.
Liang yang tidak dapat menghalang kedua-dua perkara ini tidak memadai untuk dijadikan kubur seperti kubur bawah tanah yang terdapat di Mesir dan lain-lain. Ia berbentuk petak yang dibina di dalam tanah seperti gua.
Semua mayat lelaki dan perempuan dimasukkan ke dalam petak ini secara bertindih-tindih.
Kerana itu, lubang seperti ini tidak memadai bagi mengebumikan jenazah kerana ia tidak menghalang bau jenazah daripada keluar, sekalipun ia dapat menghalang binatang buas daripada mengorek lubang berkenaan.
Tambahan pula, kubur seperti itu membawa kepada percampuran antara jenazah lelaki dan mayat perempuan.
Selain itu, tindakan memasukkan jenazah baru sebelum jenazah yang terdahulu hancur adalah haram.
2. Terhindar daripada dikorek oleh binatang buas
Kubur yang berada di tempat yang biasa dikorek oleh binatang buas juga tidak memadai bagi mengebumikan jenazah sekalipun ia menghalang bau daripada keluar.
Maka, pada ketika ini, peti atau keranda wajib dibina atau dibuat, ataupun membuat sesuatu di atas kubur yang menghalang binatang buas daripada mengorek lubang kubur.
Sekiranya jenazah dikebumikan di kawasan yang bertanah keras, iaitu tanah yang tidak dapat digali, maka memadai dengan meletakkan jenazah di atas tanah berkenaan.
Kemudian, timbus jenazah menggunakan tanah ataupun batu, ataupun apa-apa yang menghalang bau jenazah daripada keluar dan menghalang binatang buas daripada mengoreknya.
Namun, jikalau tanah itu dapat digali, maka tidak memadai dengan hanya meletakkan jenazah di atas tanah dan menimbusnya.
Ini kerana, perbuatan itu tidak dinamakan sebagai mengebumikan atau tanam.
3. Luas, Panjang, dan Dalam
Sunat sekiranya kubur dalam saiz yang luas, panjang, dan dalam.
Apa yang lebih sempurna, kedalaman kubur menyamai ketinggian seseorang yang berdiri di dalam lubang semasa ia digali dan meluruskan tangannya ke atas. Hujung tangan orang itu perlu sama rata dengan permukaan tanah.
Cara lainnya, ukur dari dalam lubang kubur yang digali hingga ukuran menjadi empat hasta setengah.
4. Lahad Syaq dan Lahad Yang dikorek Di Sisi
Lahad yang lebih afdal adalah lahad yang dikorek pada bahagian sisi lubang kubur, iaitu sebelah yang menghadap kiblat dan sama saiznya dengan saiz jenazah.
Lahad seperti ini lebih afdal daripada lahad berliang syaq, iaitu yang digali pada bahagian tengah lubang kubur dan sama saiznya dengan saiz jenazah.
Lahad kelihatan seperti parit. Jenazah diletakkan ke dalam lahad dan kemudiannya lahad ini ditutup menggunakan sesuatu, contohnya papan. Dengan cara ini, tanah tidak jatuh ke atas jenazah.
Apabila tanah dalam keadaan keras, lahad yang dikorek pada bahagian sisi lubang kubur lebih afdal berbanding dengan lahad berliang syak.
Namun, keadaan menjadi sebaliknya apabila tanah dalam keadaan lembut dan cerul (bercerai-berai).
Dalam keadaan ini lahad berliang syak lebih afdal digunakan bagi mengelakkan tanah kubur daripada runtuh.
Selain itu, sunat juga meninggikan papan yang digunakan bagi menutup liang lahad, iaitu dalam ketinggian sekurang-kurang ia tidak bersentuhan dengan jenazah.
Tindakan mengebumikan maya dengan meletakkannya di dalam keranda tanpa ada apa-apa sebab keuzuran adalah makruh dan bidaah. Ia adalah satu perbuatan yang membazir.
Namun, jikalau mempunyai sebab keuzuran sehingga terpaksa berbuat demikian seperti sebab keadaan tanah yang cerul ataupun berair, ataupun jenazah yang dikebumikan adalah jenazah perempuan dan tiada mahramnya yang datang semasa pengkebumian, ataupun takut binatang buas mengorek kubur berkenaan — maka tindakan mengebumikan jenazah yang diletakkan di dalam keranda tidak menjadi makruh.
Bahkan wajib menggunakan keranda sekiranya bimbang binatang buas mengorek kubur berkenaan.
Jenis-Jenis Liang Kubur
Terdapat dua jenis liang yang sering dibuat iaitu:
Liang Lahad (Lubang Sisi)
Liang lahad ialah lubang yang digali, kemudian digali pula pada bahagian tepi lubang sekira-kira muat untuk diletakkan jenazah pada lubang tepi itu.
Liang Syaq (Parit)
Liang Syaq ialah lubang yang digali, kemudian dibuat seperti parit ditengah-tengah dan sekira-kira muat untuk diletakkan jenazah.
Di antara dua jenis liang ini, Rasulullah SAW lebih menganjurkan dibuat liang lahad.
Namun begitu, ia bergantung kepada juga jenis tanah dan keadaan tanah. Jika tanah lembut dan sering runtuh sudah tentu ia sukar untuk dibuat.
Atas dasar itu, kedua-dua lang ini boleh dibuat bergantung kepada keadaan tanah dan keadaan setempat.
Luas dan kedalamannya: Lebih kurang setinggi lelaki sederhana termasuk diluruskan kedua-dua tangannya ke atas. Manakala luasnya pula ialah satu hasta sejengkal.
Cara gali: Mestilah digali secara melintang ke arah kiblat.
Waktu Melakukan Pengebumian
Jenazah boleh dikebumikan pada bila-bila waktu sahaja. Waktu yang paling baik ialah pada waktu siang.
Waktu larangan pengebumian jenazah:
- Matahari sedang terbit.
- Matahari di tengah langit sehingga gelincir.
- Matahari hampir terbenam.
- Tengah malam.
Dalilnya adalah berdasarkan hadis Uqbah bin Amir, beliau berkata:
Ada tiga waktu kami dilarang oleh Rasulullah untuk melakukan solat atau menguburkan jenazah di antara kami iaitu, ketika mulai terbit matahari hingga benar-benar terbit, ketika pertengahan hari hingga matahari condong ke barat dan ketika matahari mulai terbenam hingga benar-benar terbenam.
(Riwayat Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasa’i dan Ibnu Majah)
* Larangan ini jika tiada keperluan dan disengajakan.
Tatacara Pengebumian Jenazah
Ringkasan tatacara pengebumian jenazah adalah seperti berikut
- Kebumikan jenazah dalam lubang yang cukup dalam untuk mengelakkan bau dan dilindungi dari binatang buas. Letakkan jenazah mengadap kiblat
- Memasukkan Jenazah ke Dalam Kubur. Bacakan doa semasa memasukkan jenazah. Sunat meletakkan jenazah di atas lambung kanan menghadap kiblat. Sandarkan jenazah dengan tanah di belakangnya agar tetap menghadap kiblat
- Membuka Ikatan. Buka ikatan pada kepala dan bahagian lain, serta sentuhkan pipi kanan jenazah ke tanah
- Menutup Liang Kubur. Tutup liang kubur dengan papan atau bahan lain untuk mencegah tanah menindih jenazah
- Meraup Tanah Kubur. Meraup tanah kubur tiga kali, sambil membaca doa tertentu untuk setiap kepulan tanah
- Menimbus Lubang Kubur. Tutup lubang kubur dengan tanah dan sunat meninggikan kubur sekitar sejengkal
- Menandakan Kubur. Letakkan batu atau nisan di kepala kubur sebagai penanda
- Meletakkan Batu-Batu Kecil. Sunat meletakkan batu-batu kecil di atas kubur
- Menjirus Air ke Atas Kubur. Sunat menyiram air sejuk dan bersih ke atas kubur
- Mendoakan Jenazah. Berhenti seketika di sisi kubur untuk mendoakan jenazah
- Membacakan Talkin. Bacakan talkin sesudah mengebumikan jenazah, kecuali untuk jenazah kanak-kanak.
Tatacara ini berdasarkan ajaran Islam dan sunnah Nabi Muhammad SAW serta disesuaikan dengan keadaan setempat dan adat tertentu.
Sepertimana mandi dan kafan, kebumikan jenazah juga boleh dilakukan dengan dua cara iaitu:
Pertama: Cara asas, mudah, dan paling ringkas.
Sudah dikira memadai dan akan terlepas daripada dosa dengan hanya:
- Kebumikan jenazah pada lubang yang dapat mengelak daripada baunya keluar seta memelihara daripada dibongkar oleh binatang buas.
- Letakkan jenazah dalam keadaan mengadap kiblat.
Inilah asas kepada kebumikan jenazah.
Kedua: Cara sempurna
Rasulullah SAW menganjurkan kita supaya dibuat dengan cara yang sempurna. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Galilah kubur, luaskanlah dan perelokkanlah.”
(Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)
Membaca Doa Ketika Memasukkan Jenazah Ke Dalam Kubur
Memasukkan jenazah ke dalam liang yang digali dengan dihulurkan bahagian kepala terlebih dahulu.
Orang yang memasukkan jenazah ke dalam lubang kubur disunatkan membaca:
“Dengan nama Allah dan atas agama Rasulullah.”
Kemudian membaca doa untuk jenazah
Meletakkan Jenazah Secara Mengiring
Sunat meletakkan atau mengiringkan jenazah di atas lambung (rusuk) sebelah kanan, manakala meletakkannya di atas rusuk kiri adalah makruh.
Menghadapkan jenazah ke arah kiblat adalah satu perkara wajib.
Oleh kerana itu, apabila jenazah dikebumikan dalam keadaan yang tidak menghadap kiblat, kubur jenazah berkenaan wajib digali semula dan kedudukan jenazah perlu diperbetulkan supaya menghadap ke arah kiblat.
Kemudian,sandarkan jenazah dengan ketulan-ketulan tanah pada bahagian belakangnya supaya ia tidak terbalik atau terpesong dari arah kiblat.
Bagaimana sekiranya seorang perempuan kafir meninggal dunia, tetapi di dalam perutnya terdapat anak yang Islam?
Dalam situasi ini, bahagian belakang si ibu perlu diletakkan ke arah kiblat.
Dengan kedudukan ini, bahagian muka si anak akan menghadap ke arah kiblat. Bagi jenazah ibu yang beragama Islam, bahagian muka jenazah perlu didahulukan supaya menghadap ke arah kiblat.
Membuka Ikatan Pada Bahagian kepala
Buka ikatan pada bahagian kepala dan bahagian-bahagian yang lain.
Selain itu, disentuhkan pipi kanan jenazah di atas tanah samada dengan dibuat bantal dari kepalan tanah atau diletakkan pipinya terus ke atas tanah.
Perhatian: Sekiranya jenazah ditanam secara membelakangi arah kiblat, secara menelentang atau disembamkan mukanya ke tanah, wajib digali semula dan diperbetulkannya dengan syarat selagi jenazah itu tidak berbau busuk.
Menutup Liang Dengan Papan
Setelah selesai diletakkan jenazah di dalam liang (dengan mengadap kiblat), tutup liang itu dengan papan atau seumpamanya.
Selain itu, jangan pula meletakkan hamparan ataupun bantal bersama-sama jenazah kerana ia adalah makruh.
Kemudian, wajib menutup lahad menggunakan batu ataupun papan, ataupun apa-apa yang sesuai untuk digunakan supaya jenazah tidak tertindih oleh tanah.
Meraup Dan Mengepalkan Tanah Kubur
Selepas liang lahad ditutup, setiap orang yang berada di atas kubur disunatkan supaya meraup, iaitu merapatkan kedua-dua belah tangan bagi mengaut tanah kubur sebanyak tiga kali.
Kemudian, tanah yang diraup itu dijatuhkan atau dihulurkan kepada mereka yang berada di dalam kubur, dan diletakkan pada bahagian kepala jenazah.
Kepalan pertama diletakkan di bahagian kepala, kepalan kedua pula diletakkan pada bahagian pinggang manakala kepalan ketiga diletakkan pada bahagian kaki serta dibacakan doa-doa berikut:
Meletakkan kepalan tanah pertama:
“Daripada tanah Kami jadikan kamu.”
Kepalan tanah kedua:
“Dan kepada-Nya Kami kembalikan kamu.”
Kepalan tanah ketiga:
“Dan daripada tanah juga Kami akan dikeluarkan kamu sekali lagi.”
HUKUMNYA: Membacanya adalah sunat.
DALIL: Disandarkan kepada ucapan Rasulullah SAW ketika Baginda meletakkan jenazah anaknya Ummu Kaltsum ke dalam liang lalu Baginda membacakan doa.
Menimbus Lubang Kubur Dan Meninggikannya
Lubang kubur dikambus dengan tanah dan cangkul yang lebar perlu digunakan supaya lubang kubur segera dipenuhi tanah.
Untuk proses menimbus, pertamanya lakukanlah dengan perlahan dan tidak kasar.
Bagi mereka yang turut serta berada di tempat pengkebumian tersebut bolehlah bersama-sama menurunkan tanah ke dalam kubur jenazah.
Sunat juga untuk tidak menambah tanah yang lain, cukup hanya dengan tanah yang digali keluar dari kubur itu.
Selain itu, sunat juga kita meninggikan kubur kira-kira sejengkal supaya ia diketahui, diziarahi, dan dihormati oleh orang.
Dalilnya adalah berdasarkan sabda Nabi SAW:
Sesungguhnya Nabi SAW telah meninggikan kubur anaknya Ibrahim sekadar sejengkal
— Riwayat al-Baihaki
Namun, jikalau jenazah dikebumikan di negeri kafir ataupun bidaah, ataupun di tempat yang mempunyai ramai pencuri kain kapan ataupun musuh, maka tidak sunat meninggikan kubur.
Justeru, hanya perlu meratakan tanah kubur supaya mereka tidak mengetahui perihal kubur berkenaan.
Dalam meninggikan kubur ini, afdal sekiranya tanah kubur dijadikan rata seperti papan daripada menjadikannya seperti bonggol.
Ini kerana, kubur Nabi Muhammad s.a.w., Saidina Umar r.a., dan Saidina Abu Bakar r.a.ditinggikan dan tanah di atasnya dijadikan sama rata.
Menandakan Kubur Dengan Batu Atau Nisan
Tujuannya untuk memudahkan orang yang ingin menziarahinya mengenali di mana kuburnya.
Letakkan batu penanda tersebut pada sebelah kepala jenazah.
HUKUMNYA: Sunat.
Ini berpandukan perbuatan Rasulullah SAW dalam riwayat berikut:
Telah diriwayatkan daripada Mutallib bin Abdullah katanya: Tatkala Utsman bin Maz’un meninggal dunia, dibawa jenazahnya keluar, lalu dikuburkan. Rasulullah SAW menyuruh seorang lelaki mengambil batu, namun lelaki itu tidak mampu mengangkatnya. Lalu Baginda pun bangun mendekati batu itu dan menyinsingkan kedua belah lengan bajunya.. kemudian batu tadi dibawanya, lalu diletakkan di sebelah kepala jenazah sambil berkata:”Aku memberi tanda kubur saudaraku dan aku akan menguburkan di sini sesiapa yang mati di antara ahliku.”
(Riwayat Abu Daud)
Meletakkan Batu-Batu Kecil Di Atas Kubur
Hukumnya ialah sunat.
Ini berdasarkan riwayat berikut:
Diriwayatkan daripada Jaafar bin Muhammad daripada bapanya. Sesungguhnya Nabi SAW telah meletakkan batu-batu kecil di atas kubur anaknya Ibrahim.”
(Riwayat asy-Syafi’e)
Menjirus Air Ke Atas Kubur
Antara amalan sunat lain yang berkaitan dengan mengebumikan jenazah adalah menjirus (menyiram) air yang sejuk dan bersih ke atas kubur supaya tanah kubur tidak berdebu dan terbang ditiup angin.
Ini juga bersempena dinginnya tempat berguling (persemadian) jenazah, selain mengikut atau mencontohi perbuatan Nabi Muhammad s.a.w. yang turut menyiram kubur anak lelaki Baginda, Ibrahim.
Telah diriwayatkan oleh Jaafar bin Muhammad daripada bapanya: Sesungguhnya Nabi SAW telah menyiram kubur anaknya Ibrahim.”
(Riwayat asy-Syafi”e)
Namun, menyiram kubur menggunakan air mawar ataupun air yang bercampur dengan bau-bauan adalah makruh kerana perbuatan ini adalah satu bentuk pembaziran
Mendoakan Si Mati
Selepas selesai mengebumikan jenazah, semua orang yang hadir di tanah perkuburan disunatkan untuk berhenti seketika di sisi kubur bagi mendoakan jenazah supaya tetap, selain mendoakan supaya Allah SWT mengampunkan segala kesalahan jenazah.
Ketika ini, sunat bagi orang yang berdoa menghadap ke arah muka jenazah.
Antara hikmah mendoakan ketetapan untuk jenazah adalah kerana, pada waktu itu mereka sedang disoal di dalam kubur.
Perkara ini berpandukan daripada sebuah hadis:
Diriwayatkan daripada Utsman bin Affan: Rasulullah SAW bilamana selesai menguburkan jenazah, Baginda berdiri lalu bersabda:
“Mintalah ampun untuk saudara kalian dan mintalah supaya a ditetapkan hatinya, kerana sesungguhnya ia sekarang sedang disoal.”
(Riwayat Abu Daud)
Membacakan Talkin
Apabila selesai mengebumikan jenazah, sunat membaca talkin sekiranya jenazah seorang yang berakal dan baligh, ataupun jenazah yang gila namun sebelum menjadi gila, dia adalah seorang yang berakal dan baligh.
Membaca talkin sesudah dikebumikan jenazah sesuatu yang amat baik.
Kebanyakan ulama Mazhab asy-Syafi’e dan mazhab-mazhab lainnya memandang perkara ini sesuatu yang amat baik untuk dilakukan dan ia tidak termasuk dalam erti kata bidaah kerana ada asas atau sandarannya sedangkan bidaah yang sebenar ialah yang tidak mempunyai apa-apa asas atau sandaran sekalipun lemah.
Antara yang menyokong bacaan talkin ialah Imam al-Qurtubi (pengarang Tafsir al-Qurtubi), Al-Marhum Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili (pengarang Tafsir al-Munir dan Figh Islami wa Adillatuh), dan ramai lagi ulama-ulama mazhab yang lain.
Talkin juga sunat dibaca, sekalipun untuk jenazah yang mati syahid dalam peperangan. Ini adalah pendapat Syeikh Ibnu Hajar Al-Haithami.
Namun, Syeikh Ramli mempunyai pendapat yang berbeza, iaitu tidak sunat membaca talkin untuk jenazah yang mati syahid.
Imam Abu ‘Amru pernah ditanya mengenai talkin, lalu beliau menjawab di dalam fatwanya:
Talkin itu memang perkara yang telah kami pilih dan kami melakukannya. Kami telah meriwayatkan sebuah hadis daripada Abi Umamah tetapi sanadnya tidak kuat.”
Namun beliau berpegang dengan hujah bahawa talkin itu pernah dilakukan oleh penduduk Syam.
Perhatian: Bacaan talkin tidak dianjurkan dibaca kepada jenazah kanak-kanak kerana tidak ada apa-apa asas dan sandaran tentang itu.
Dengan berakhirnya bacaan doa dan talqin, selesailah pengurusan jenazah dan tanggungjawab orang yang masih hidup ke atas jenazah.
Mengebumikan Jenazah Di Lautan
Bagaimana cara mengebumikan jenazah di lautan?
Bagi mengebumikan jenazah yang berada di atas kapal dan jauh dari daratan, ataupun sudah menghampiri daratan tetapi ada sesuatu yang menghalangnya, jenazah itu perlu diletakkan di antara dua papan dan diikat, lalu dijatuhkan ke dalam laut.
Dengan cara ini, jenazah akan dihanyutkan oleh ombak ke kawasan daratan.
Apabila ada orang yang menjumpai jenazah ini, mereka akan mengebumikannya.
Selain itu, harus juga menenggelamkan jenazah ke dalam laut dengan cara mengikat sesuatu benda yang berat pada jenazah supaya jenazah segera sampai ke bawah.
Namun, semua cara ini sunat ditakhirkan sekiranya tidak ada rasa takut keadaan jenazah itu berubah.
Soal Jawab Berkaitan Pengebumian Jenazah
Berikut adalah beberapa persoalan lazim berkaitan dengan proses pengebumian jenazah dan isu-isu yang berlaku di tanah perkuburan.
Makruh jika tiada perkara yang mendesak seperti keadaan tanah yang berair atau cepat runtuh. lika tidak berair dan berlaku runtuhan, makruh digunakan keranda.
Selain itu, disunatkan meletakkan pelepah kurma yang basah ataupun menanam tumbuhan lain seperti selasih ataupun tumbuhan hijau yang lain di atas kubur.
Ini kerana, seksaan ke atas jenazah di dalam kubur akan diringankan dengan berkat tasbih tumbuhan berkenaan.
Tambahan pula, tindakan ini bagi mencontohi perbuatan Nabi Muhammad s.a.w. yang Baginda lakukan pada kubur anak Baginda, Ibrahim. Meletakkan batu ataupun kayu pada bahagian kepala dan kaki jenazah sebagai penanda juga antara perkara sunat yang berkaitan dengan mengebumikan jenazah.
Dengan cara ini, ahli keluarga jenazah akan mengetahui di mana letaknya kubur jenazah berkenaan ketika berziarah ataupun ketika menanam jenazah yang lain daripada kaum kerabatnya.
Menulis nama jenazah ataupun lain-lain di atas papan, ataupun pada batu nisan jenazah, ataupun sebagainya adalah satu perbuatan makruh. Namun jikalau mempunyai keperluan untuk berbuat demikian supaya kubur jenazah dikenali dan diziarahi, maka perbuatan menulis nama jenazah adalah sunat, tetapi dilakukan sekadar yang diperlukan sahaja. Ini berlaku lebih-lebih lagi pada kubur para nabi, wali, dan para solihin yang sudah lama meninggal dunia sehingga tidak ada cara lain bagi mengenal pasti kubur mereka melainkan dengan menulis nama mereka pada kubur.
Mengebumikan jenazah dalam waktu karahiyah sembahyang (waktu makruh untuk sembahyang) adalah harus sekiranya tidak berniat mengebumikan jenazah dalam waktu itu.
Hukum bermalam di kubur bagi orang yang mempunyai hati yang liar (hati yang mudah ketakutan, ataupun orang yang penakut) adalah makruh. Tetapi, sekiranya mereka bukan daripada orang berhati liar ataupun terdapat ramai orang berkumpul bagi membaca Al-Quran di situ, maka ia tidak menjadi makruh.
Selain itu, duduk di atas kubur, memijak kubur, bersandarkan pada kubur, dan menekan tangan di atas kubur tanpa sebarang keperluan adalah makruh.
Ini kerana, tindakan seperti itu menggangu para penghuni kubur seperti yang dinyatakan dalam hadith. Sebaliknya, jikalau mempunyai keperluan seperti tidak dapat sampai kepada mayat yang hendak diziarahi ataupun kubur tidak dapat digali melainkan dengan terpaksa memijak kubur lain, maka ia tidak menjadi makruh.
Menghimpunkan keluarga si mati seperti isteri, para hamba, sahabatnya, mahram susuannya, mentua, menantu, ibu tiri, serta anak tirinya di satu tempat atau tanah perkuburan adalah sunat. Ini akan menggembirakan hati mereka dan memudahkan orang yang berziarah.
Hukum perempuan menziarahi kubur adalah makruh kerana terdapat tegahan dalam beberapa hadith.
Perempuan ditegah daripada menziarahi kubur kerana mereka suka membanyakkan kata-kata yang sia-sia, meratap, melakukan tindakan yang mempamerkan kebodohan, suka berhias dan mencantikkan diri, ataupun pakaian mereka terselak sama ada secara sengaja ataupun tidak.
Apabila sikap dan sifat seperti ini berlaku, maka tidak sempurnalah kebaikan mereka menziarahi kubur.
Tetapi, sunat untuk wanita menziarahi kubur Nabi s.a.w., para nabi, ulama, dan wali. Mereka disyaratkan supaya tidak berhias, memakai perhiasan dan wangi-wangian, tidak menyaringkan suara, dan tidak bercampur dengan lelaki yang hilat.
Di samping itu, mereka perlu pergi ke perkuburan itu menggunakan usungan (kenderaan) ataupun sebagainya yang menutup semua tubuh mereka daripada dilihat oleh lelaki yang asing.
Penutup
Sesungguhnya kematian itu adalah penasihat yang paling benar dalam kehidupan.
Maka selesailah perjalanan hidup di dunia ini bagi mereka yang bergelar jenazah.
Tinggal lagi kita yang masih hidup untuk menunaikan tanggungjawab menguruskan jenazah saudara kita dengan sebaik mungkin.
Marilah kita memperbanyakkan doa kepada mereka yang telah pergi terlebih dahulu agar diampunkan segala dosa, dan kematian kita juga nanti akan turut dipermudahkan dari awal sehingga akhir.
Saya berharap panduan ini memberi kemudahan dan kebaikan kepada semua muslimin muslimat.
Rujukan
- Kitab Jihazul Madihah (Persiapan Yang Terpuji) — Ustaz Azhar Idrus
- Praktik Solat Jenazah dan Pengurusannya — Zul Aimran Omar
- 50 Pencerahan Isu Jenazah & Kubur — Dr. Udah Mohsin
Tinggalkan Komen Anda..
Assalamualaikum tuan…
Apa hukum sekiranya jenazah tidak dikebumikan dengan sempurna? Maksudnya dari segi pengurusan jenazah dan pengebumian jenazah,,,,terima kasih.
Walaikumsalam,
Dalam Mazhab Syafie, terdapat beberapa langkah penting yang perlu dilakukan terhadap jenazah: memandikan, mengkafani, menyolatkan, dan menguburkan jenazah. Proses ini dianggap sebagai fardhu kifayah, yang bererti jika ada sebahagian umat Islam yang telah melaksanakannya, maka kewajiban itu gugur dari yang lain.
Memandikan jenazah adalah fardhu kifayah. Wajib memandikan jenazah sekurang-kurangnya sekali untuk seluruh anggota tubuh. Menurut pandangan Mazhab Syafie, sunat dilakukan berulang-ulang kali dengan hitungan ganjil, seperti tiga kali.
Jika proses pengurusan jenazah tidak dilaksanakan dengan sempurna atau diabaikan, ini dianggap sebagai kelalaian terhadap kewajiban yang telah ditetapkan. Apabila seseorang meninggalkan amalan fardhu kifayah seperti ini, maka dosa tersebut terbeban pada seluruh komuniti yang mengetahui dan mampu melaksanakannya tetapi tidak melakukannya. Oleh itu, sangat penting bagi umat Islam untuk memastikan jenazah diuruskan dengan baik dan sesuai dengan tuntutan syariat.